Kebanyakan artikel disini adalah karya Al-Marhoum Tuan Guru Syeikh Wan Mohd Shaghir Abdullah R.A cucunda kepada Tuan Guru Syeikh Ahmad Al-Fathanie, juga dari akhbar2 nasional yang lain dan laman2 web yang bertebaran di alam maya juga disaduri macam2 hikayat,riwayat,kaifiat dan khasiat keemasan saya himpun dan susun sebagai koleksi peribadi dan bagi tatapan dan santapan rohani buat teman-teman yang sudi...himpunan artikel2 terbaru saya sekarang lebih muyul kepada informasi kesihatan ala muslim-jawi kearaban..... dan saya mula berjinak2 dengan jualan secara online produk kesihatan muslim, khasnya peralatan bekam (Set cawan, jarum dan pen bekam) dan khidmat pembekaman, Sudi-sudilah ziarah dan sudikan tinggal komentar anda. TQ

Isnin

GUSTI MUHAMMAD TAUFIQ RAJA MEMPAWAH TERAKHIR

Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin Raja Mempawah terakhir
Dua siri keluaran yang terdahulu telah diceritakan dua orang keturunan Upu Daeng Celak, iaitu Sultan Alauddin Sulaiman Syah, Selangor dan Raja Ali Kelana Riau. Keluaran kali ini diperkenalkan pula keturunan Upu Daeng Menambon. Nama lengkapnya ialah Pangeran Muhammad Taufiq Aqamuddin bin Gusti Ibrahim, raja terakhir yang memerintah Mempawah (yang ke-13).Upu Daeng Celak dan Upu Daeng Menambon adalah adik beradik. Dalam penulisan sejarah yang dilakukan oleh Raja Ali Haji dan penulis-penulis lain pada masa dulu, selalu menyebut hubungan kekeluargaan antara Mempawah dan negeri-negeri Melayu di Riau, Johor, Pahang, Terengganu, Selangor dan lain-lain. Oleh itu tulisan ini mengingatkan kembali hubungan kekeluargaan yang pernah wujud pada masa silam itu.

Sebelum melanjutkan kisah yang termaktub pada judul di atas, terlebih dulu dirasakan perlu menyebut nama raja-raja yang memerintah Mempawah dari awal hingga ditutup dengan Pangeran Muhammad Taufiq Aqamuddin (Raja yang ke-13). Raja yang pertama ialah Raja Dayak, iaitu Patih Gumantar pada tahun 1380 Masihi. Raja kedua, iaitu Kerajaan Mempawah Hulu yang berpusat di Pukan Raja ialah Raja yang bernama Penembahan Kudung dengan isterinya, Puteri Burkalim pada tahun 1610 Masihi-1680 Masihi. Raja ketiga pada tahun 1680 Masihi, Penembahan Sepauk/Senggauk memerintah kerajaan di Sepauk di Perhuluan Mempawah. Semua raja yang tersebut belum menganut sesuatu agama (animisme)

Raja keempat, Upu Daeng Menambon, iaitu raja Islam yang pertama di Mempawah pada tahun 1740, berasal dari negeri Bugis. Raja kelima, putera kepada Gusti Jamiril bergelar Penembahan Adiwijaya Kesuma yang terkenal anti penjajah Belanda. Baginda adalah saudara sepupu dengan Raja Ali Haji (Riau), Raja Lumu (Selangor) dan lain-lain. Raja keenam pada tahun 1804, Gusti Jati yang bergelar Sultan Muhammad Zainal Abidin Putera Mahkota. Raja ketujuh pada tahun 1831, Gusti Amin. Raja kelapan pada tahun 1839, Penembahan Mu'min. Raja kesembilan pada tahun 1855 yang terkenal dengan gelaran Penembahan Mahmud. Raja kesepuluh pada tahun 1858, Gusti Utsman. Raja kesebelas, Gusti Ibrahim yang bergelar Penembahan Ibrahim Saifuddin pada tahun 1872. Raja kedua belas iaitu Puteri Raja Gusti Intan dengan gelaran Ratu Permaisuri pada tahun 1887. Raja ketiga belas yang diriwayatkan ini, ialah Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin, lahir pada tahun 1288 Hijrah/1871 Masihi dan meninggal dunia pada tahun 1944 Masihi. Beliau memerintah Mempawah pada tahun 1322 Hijrah/1904 Masihi - 1363 Hijrah/1944 Masihi.

ULAMA DI MEMPAWAH

Mulai pemerintahan Upu Daeng Menambon di Mempawah, beliau mendatangkan seorang ulama berbangsa Arab, Sayid Husein bin Sayid Ahmad al-Qadri. Putera Upu Daeng Menambon yang bernama Gusti Jamiril mendapat pendidikan daripada ulama ini dan dilanjutkan dengan Syeikh Ali bin Faqih yang datang dari Patani. Diriwayatkan bahawa Gusti Jamiril mendapat pendidikan Islam yang mendalam daripada kedua-dua ulama Arab dan Patani itu.

Pendatang

Sampai pada zaman pemerintahan Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin, tradisi menampung ulama pendatang di Mempawah berjalan terus. Ulama yang datang dari Semenanjung ke Mempawah ketika baginda memerintah antaranya ialah Syeikh Muhammad Yasin yang berasal dari Kedah, Haji Abdur Rahman bin Husein (anak murid Tok Kenali, beliau menjawat jawatan Mufti terakhir kerajaan Mempawah) berasal dari Kelantan dan Haji Muhammad Saleh Sarawak. Ulama yang datang dari Patani ialah Haji Wan Nik al-Fathani dan Syeikh Abdul Lathif al-Fathani. Selain ituada juga dari Arab seperti Syeikh Yusuf al-Manshuri. Dari Banjar Haji Abdul Qadir bin Ahmad al-Banjari.

Antara guru Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin dalam bidang agama yang dapat dikesan ialah Haji Abdul Fattah, Haji Wan Nik al-Fathani dan Syeikh Abdul Lathif al-Fathani, Haji Ali bin Sulaiman dan ramai lagi. Daripada data ini dapatlah diketahui latar pendidikan Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin, bahawa beliau memperoleh pendidikan Islam seimbang dengan pendidikan kenegaraan yang diperoleh dalam lingkungan Istana Kerajaan Mempawah sendiri.

Ulama yang berkhidmat dalam masa pemerintahan Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin yang paling akhir meninggal dunia ialah Haji Ahmad dan Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani. Haji Ahmad berasal daripada keturunan Pulau Pinang. Jawatan yang disandangnya ialah Maharaja Imam Mempawah. Sementara Haji Abdur Rahman Kelantan pula, jawatan yang disandangnya ialah Maharaja Imam Mempawah. Penulis sempat mewawancara kedua-dua ulama tersebut pada tahun 1968 -1970.
"Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin adalah seorang raja Melayu yang mampu memahami kitab-kitab bahasa Arab yang tinggi dan mendalam huraiannya."
Penulis mempunyai beberapa buah kitab bahasa Arab bekas milik Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin. Sungguh mengkagumkan kerana beberapa judul, antaranya adalah kitab yang besar berjilid-jilid. Ada pula yang tidak diterbitkan lagi dan sukar mendapatkannya. Kitab yang besar antaranya ialah Fathul Bari, iaitu kitab syarah Shahih Bukhari yang terkenal oleh Syeikh Ibnu Hajar al-Asqalani. Memperhatikan kitab-kitab yang ditinggalkan dan dirujuk dalam dua buah karangannya yang telah dijumpai, dapatlah diyakini bahawa Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin adalah seorang raja Melayu yang mampu memahami kitab-kitab bahasa Arab yang tinggi dan mendalam huraiannya.

PENULISAN


Nasihat Kepada Anak Buah Kerajaan Mempawah Yang Beragama Islam, diselesaikan pada 25 Syawal 1351 Hijrah/21 Februari 1933 Masihi. Kandungannya merupakan nasihat seorang raja kepada rakyatnya supaya hidup menurut panduan Islam dan menghindari hidup yang bermegah-megah dengan kemewahan. Tidak terdapat nama pencetak. Dalam koleksi ini terdapat tanda tangan Pangeran Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin, Penembahan Kerajaan Mempawah lengkap dengan cop mohornya. Naskhah ini diperoleh dari dalam Istana Kerajaan Mempawah.

Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin memulakan nasihatnya dengan kalimat, "Waktu sekarang dikatakan orang musim Malaise, iaitu segala harga barang tanaman seperti kelapa, getah dan lainnya ada terlalu amat turun harganya. Ialah tiada menurut seperti harga penjualan pada tahun yang telah lalu. Oleh sebab demikian semua orang yang hidup daripada hasil berkebun kelapa, getah, dan lain tanaman ada berasa amat berkurang menerima keuntungan daripada hasil harga kebunnya itu. Sebab biasanya orang itu menerima banyak dari pendapatan hasil kebunnya tetapi pada waktu sekarang ia cuma menerima hasil yang terlalu sedikit.'' Istilah "Malaise'' yang digunakan oleh beliau barangkali boleh kita samakan dengan 'kemelesetan ekonomi' iaitu sama ada disukai atau pun tidak, diundang atau datang dengan sendirinya, senantiasa datang dan pergi dalam sesuatu pemerintahan atau pun dunia secara keseluruhannya.

Insaf

Daripada mukadimah nasihat di atas dapat kita ketahui bahawa Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin, Raja Mempawah, adalah seorang raja yang faham keadaan ekonomi dan mengambil perhatian terhadap rakyat yang diperintahnya. Dapat dibuktikan pula dengan nasihat beliau, katanya, "Maka sepatutnya orang yang pemboros itu waktu sekarang banyak menaruh insaf akan dirinya kerana waktu Malaise ini ialah menjadi satu pengajaran kepadanya. Maka hendaklah ia membanyakkan berhemat, jangan lagi suka membuang-buang harta jikalau tiada amat fardu ...''

Baginda menganjurkan berusaha supaya wang dapat digandakan, baginda menyambung kalimat di atas, "Jika sekiranya mereka itu ada kelebihan daripada nafkah yang wajib baginya pada masa ini lebih baik diperbanyakkan berusaha menuntut jalan kemajuan bagi dunia dan akhirat atau pun apa sahaja yang mendatangkan keuntungan baginya. Jauhkan sifat pemboros yang mengecewakan hidup kita ...''

Sikap Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin tidak terikat dengan sesuatu adat kuno, tetapi beliau lebih mengutamakan ajaran yang berlandaskan kepada ajaran Islam. Mengenainya dapat kita pelajari daripada kalimat, "Maka kerana demikian terasalah pada fikiran, hati kita, akan memberi nasihat kepada bangsa Islam anak buah kerajaan Mempawah supaya mengubah adat kuno itu (adat zaman dahulu) yang kiranya pada fikiran kita tiada sekali merosakkan pada hukum agama Islam...'' Yang dimaksudkan dengan kalimat ini ialah pembaziran kewangan dalam upacara perkahwinan, berkhatan dan lain-lain. Menurut baginda dalam masa krisis ekonomi cukuplah dikerjakan hal-hal yang diwajibkan oleh syarak saja.

Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin, Raja Mempawah, ketika menyusun nasihatnya, baginda menyebut beberapa kitab rujukannya dalam bahasa Arab iaitu I'anatut Thalibin oleh Saiyid Bakri Syatha. Rujukan dalam bahasa Melayu ialah Sabilul Muhtadin oleh Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari.

KETURUNAN

Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin, Raja Mempawah yang terakhir ini meninggal dunia akibat korban pembunuhan kejam tentera Jepun sewaktu perang dunia kedua. Hingga sekarang tidak diketahui di manakah tempat pembunuhan itu sebenarnya terjadi. Peristiwa tersebut berlaku pada tahun 1944 Masihi.

Sebelum tentera jepun pergi Istana Mempawah dan menangkap Penembahan Pangeran Muhammad Taufiq Aqamuddin dan pembesar-pembesar lainnya terlebih dahulu mereka pergi ke rumah Tuan Guru Abdul Rahman Al-Kelantani tapi ditakdirkan tuan guru keluar pergi ke Sungai Bundung, kira-kira 30 km dari Mempawah, iaitu sebuah kampung yang ramai muridnya setelah disuruh oleh seorang yang tidak dikenali agar beliau segera meninggalkan rumah.

Sewaktu pembunuhan terjadi, Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin meninggalkan tiga orang putera dan seorang puteri, iaitu Pangeran Muhammad yang kemudian dikenali dengan nama Drs. Jimmy Ibrahim (Sudah meninggal dunia pada hari Isnin 25 Julay 2005) seorang tokoh yang terkenal dalam pemerintahan Propinsi Kalimantan Barat. Putera-puteri beliau yang lain ialah Pangeran Faishal, Pangeran Taufiqiyah dan Pangeran Abdullah.

Kesimpulan dan penutup artikel ini, penulis berpendapat bahawa hubungan Mempawah dan negeri-negeri Melayu lain di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Brunei sejak Upu Daeng Menambon telah terjalin kekeluargaan yang sangat erat. Oleh itu masa kini hubungan silaturahim perlu diikat dan dijalin kembali. Mengenai hal ini dirasakan perlu diikatkan dengan penelitian sejarah, kebudayaan, pelancongan, kerjasama ekonomi dan lain-lain yang dirasakan perlu. Mempawah dan Kalimantan Barat khususnya atau Kalimantan/Borneo umumnya adalah berpotensi untuk kekukuhan ekonomi rakyat Indonesia, Malaysia dan Brunei Darussalam pada masa-masa yang akan datang. Rakyat mengharapkan mudah-mudahan para pemimpin tiga negara yang memerintah Kalimantan/Borneo sekarang mengambil berat untuk menangani perkara-perkara yang tersebut di atas.

Artikel oleh Almarhoum Syeikh W.Md.Saghir 26/07/2004 dan sedikit saduran dari kisah Tuan Guru Abdur Rahman Al-Kelantanie mufti terakhir kerajaan Mempawah juga karya beliau.

Tiada ulasan: