Kebanyakan artikel disini adalah karya Al-Marhoum Tuan Guru Syeikh Wan Mohd Shaghir Abdullah R.A cucunda kepada Tuan Guru Syeikh Ahmad Al-Fathanie, juga dari akhbar2 nasional yang lain dan laman2 web yang bertebaran di alam maya juga disaduri macam2 hikayat,riwayat,kaifiat dan khasiat keemasan saya himpun dan susun sebagai koleksi peribadi dan bagi tatapan dan santapan rohani buat teman-teman yang sudi...himpunan artikel2 terbaru saya sekarang lebih muyul kepada informasi kesihatan ala muslim-jawi kearaban..... dan saya mula berjinak2 dengan jualan secara online produk kesihatan muslim, khasnya peralatan bekam (Set cawan, jarum dan pen bekam) dan khidmat pembekaman, Sudi-sudilah ziarah dan sudikan tinggal komentar anda. TQ
Memaparkan catatan dengan label Ulama Sambas. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ulama Sambas. Papar semua catatan

Ahad

MURSHID TARIKAT QODIRIYAH-NAQSYABANDI TERTINGGI

Syeikh Ahmad Khathib Sambas - Mursyid Tariqat Qadiriyah
KESOHORAN Syeikh Ahmad Khathib Sambas di kalangan pengamal Tariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah, sama ada peringkat Nusantara mahu pun antarabangsa pada zamannya tidak dinafikan. Sekurang-kurangnya terdapat dua buah kitab yang ditulis dalam bahasa Arab oleh orang Arab, menceritakan kisah ulama-ulama Mekah dan nama Syeikh Ahmad Khathib Sambas juga terdapat di dalamnya. Kitab yang pertama, Siyar wa Tarajim, karya Umar Abdul Jabbar. Kitab kedua, Al-Mukhtashar min Kitab Nasyrin Naur waz Zahar, karya Abdullah Mirdad Abul Khair yang diringkaskan oleh Muhammad Sa'id al-'Amudi dan Ahmad Ali. Kita sangat berterima kasih kepada kedua-dua penulis Arab itu, walau bagaimanapun ketepatan data dan fakta termasuk tahun lahir dan wafatnya perlu ditinjau kembali.


Nama lengkapnya ialah Syeikh Ahmad Khathib bin Abdul Ghaffar bin Abdullah bin Muhammad as-Sambasi. Lahir di Kampung Dagang, Sambas. Tarikh lahirnya hanya disebut oleh Umar `Abdul Jabbar, ialah pada bulan Safar 1217 H (kira-kira bersamaan 1802 M, pen:), tidak terdapat tulisan lainnya. Wafatnya di Mekah al-Mukarromah tetapi terdapat perbezaan pendapat mengenai tahun kewafatannya antara Umar Abdul Jabbar dengan Abdullah Mirdad Abul Khair. Abdullah Mirdad Abul Khair menyebut bahawa Syeikh Ahmad Khathib wafat tahun 1280 Hijrah (kira-kira bersamaan 1863 M, pen:), tetapi menurut Umar Abdul Jabbar, pada tahun 1289 Hijrah (kira-kira bersamaan 1872 M, pen:). Tahun wafat 1280 H yang disebut oleh Abdullah Mirdad Abul Khair sudah pasti ditolak, kerana berdasarkan sebuah manuskrip Fath al-'Arifin salinan Haji Muhammad Sa'id bin Hasanuddin, Imam Singapura, menyebut bahawa "Muhammad Sa'ad bin Muhammad Thasin al-Banjari mengambil tariqat daripada gurunya, Syeikh Ahmad Khathib yang tersebut itu di dalam negeri Mekah al-Musyarrafah di dalam khalwatnya, dan khatamnya pada hari Arba', yang ketujuh hari dari bulan Zulhijjah sanah 1286 Hijrah''. Jadi bererti pada 7 Zulhijah 1286 H, Syeikh Ahmad Khathib Sambas masih hidup. Oleh itu Syeikh Ahmad Khathib Sambas wafat tahun 1289 H yang disebut oleh Umar Abdul Jabbar menepati yang sebenarnya.
" Pada zamannya, Syeikh Ahmad Khathib Sambas merupakan Syeikh Mursyid Tariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah yang teratas sekali."
KEMUNCAK KEMASYHURAN

Manusia menjadi terkenal kerana berbagai-bagai sebab, Syeikh Ahmad Khathib Sambas terkenal kerana beliau sebagai Mursyid Tariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah. Pada zamannya, di Mekah tentang tariqat itu, Syeikh Ahmad Khathib Sambas merupakan Syeikh Mursyid yang teratas sekali. Ia bukan sahaja bagi masyarakat dunia Melayu, tetapi juga diakui oleh ulama-ulama dunia luar. Sepanjang sejarah perkembangan Tariqat Qadiriyah di dunia Melayu dari dahulu hingga sekarang memang tidak dapat dinafikan bahawa tokoh yang terbesar dan paling berkesan bagi ulama-ulama Jawi/Nusantara dalam penyebaran Tariqat Qadiriyah itu ialah Syeikh Ahmad Khathib Sambas. Nama beliau juga dikenal di Uzbekistan, kerana salah seorang murid beliau bernama Syeikh Abdul Murad, adalah seorang ulama Tariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah yang menerima tawajjuh kedua-dua tariqat itu daripada Syeikh Ahmad Khathib Sambas.

FAT-HUL `ARIFIN

Fat-hul `Arifin termasuk salah satu istilah yang banyak dibicarakan di kalangan sufi. Tetapi yang dimaksudkan di sini ialah sebuah risalah atau kitab yang berasal daripada imlak Syeikh Ahmad Khathib Sambas. Imlak tersebut ditulis oleh beberapa orang muridnya, dan yang sempat diterbitkan hanyalah versi catatan Syeikh Muhammad bin Ismail bin Abdur Rahim al-Bali. Manuskrip Fat-hul `Arifin yang dinisbahkan kepada Syeikh Ahmad Khathib Sambas, yang ada pada penulis ialah: 1. Judul Silsilah Tariqat Qadiriyah wan Naqsyabandiyah yang dicatat oleh Abdul Hakim ibnu Marhum Lebai Abdul Kari Sambas, Kampung Asam. Naskhah ini merupakan satu-satunya yang ditulis oleh orang yang berasal dari Sambas sendiri. 2. Manuskrip tanpa judul, hanya dinyatakan "Talkin, zikir dan bai'ah tariqat yang diijazahkan oleh guru kita Maulana asy-Syeikh Ahmad Khathib bin Abdul Ghaffar Sambas yang di dalam negeri Mekah al-Musyarrafah kepada sekalian muridnya''. Pada manuskrip ini dimulai nama pencatatnya bernama Haji Muhammad Sa'id bin Hasanuddin, Imam Singapura, bahawa beliau ``... mengambil talkin, dan bai'ah, dan tawajjuh, serta ijazah daripada gurunya Sayid Muhammad bin Ali al-'Aidrus. Dia mengambil daripada Sayid Ja'afar bin Muhammad as-Saqaf Pontianak, mengambil daripada Muhammad Sa'ad bin Muhammad Thasin al-Banjari mengambil daripada Syeikh Ahmad Khathib... `` Manuskrip ini ditulis tahun 1286 H dan selanjutnya disalin oleh Sayid Ahmad bin Ismail al-'Aidrus pada hari Khamis, 4 Zulhijah 1293 H/21 Disember 1876 M, diperoleh di Pontianak pada 8 Syawal 1422 H/22 Disember 2001 M. 3. Fat-hul `Arifin, naskhah yang ditulis oleh Haji Muhammad bin Syeikh Abdus Samad al-Kalantani diselesaikan pada tahun 1294 H/1877 M. Dalam manuskrip ini dikombinasikan dengan Tariqat Syathariyah.

Tiga versi yang tersebut di atas merupakan manuskrip yang pernah diterbitkan iaitu versi catatan Syeikh Muhammad bin Ismail bin Abdur Rahim al-Bali, beliau selesai menulis kembali setelah diteliti dan bersih daripada corat-coret pada bulan Rejab 1295 H/Julai 1878 M. Naskhah tersebutlah yang ditashhih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani, kemudian dicetak pertama kalinya oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah Mekah, 1305 H/1887 M, yang diterbitkan itu diberi judul Fat-hul `Arifin.

Walaupun Syeikh Ahmad Khathib Sambas sebagai seorang tokoh sufi, namun selain ditonjolkan karya tasawuf Fat-hul `Arifin, beliau juga menghasilkan karya dalam bidang ilmu fikah. Penulis juga memiliki manuskrip fikah karya beliau, iaitu Fatwa Syeikh Ahmad Khathib Sambas Perihal Jumaat. Naskhah tulisan tangan itu dijumpai tahun 1986, bekas koleksi Haji Manshur yang berasal dari Pulau Subi, Kepulauan Riau. Kandungan naskhah selain membicarakan masalah Jumaat terdapat pula fatwa beliau mengenai hukum penyembelihan secara Islam. Pada bahagian akhir naskhah terdapat pula suatu nasihat beliau yang panjang, kemudian ditutup dengan beberapa amalan wirid beliau

Selain amalan Tariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah. Sebuah karya (judul yang sebenar tidak terdapat) yang membicarakan fikah mulai taharah, sembahyang dan pengurusan mayat. Manuskrip tanpa dinyatakan tarikh, hanya terdapat tahun penyalinan dinyatakan ``... Hari Khamis, 11 Muharam 1281 H oleh Haji Ahmad ibnu al-Marhum Penggawa Nashir ahli al-Kayung jama'ah Tuan Syeikh Ahmad Khathib Sambas di Mekah al-Mukarramah ...'' Manuskrip di atas diperoleh di Kampung Mendalok, Sungai Kunyit, Kabupaten Pontianak, Kalimantan Barat, pada 6 Syawal 1422 H/20 Disember 2001 M.

MURID-MURID SYEIKH AHMAD KHATIB
Besar nian pengaruh Tariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah yang bersumber daripada Syeikh Ahmad Khathib Sambas di dunia Melayu, melebihi tokoh-tokoh penyebar Tariqat Qadiriyah seperti Syeikh Nuruddin ar-Raniri, Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri dan lain-lainnya yang lebih dahulu. Di Jawa misalnya, dapat kita semak pada beberapa lembar tulisan Zamakhsyari Dhofier dalam bukunya Tradisi Pesantren, beliau menyebut, "Dalam abad ke-19, organisasi-organisasi tariqat di Jawa memperoleh semangat dan dukungan baru daripada masyarakat. Hal ini disebabkan oleh kedatangan para pengikut Syeikh Ahmad Khatib Sambas dan Sulaiman Effendi dari Mekah''. Seterusnya, "Namun yang cukup menarik ialah di Jawa Syeikh Ahmad Khatib Sambas dikenal sebagai pendiri suatu tariqat baru, Tariqat Naqsyabandiyah''. Selanjutnya, ``Kedudukan Syeikh Ahmad Khatib sebagai seorang sarjana Islam perlu kita sedari betul-betul ...''. Selanjutnya, ``Adalah suatu hal yang penting bahawa seorang sarjana besar seperti Syeikh Sambas, kepada siapa hampir semua kiyai di Jawa menelusuri penealogi intelektual mereka juga dikenal sebagai seorang pemimpin tariqat''.

Kalau demikian yang diperkatakan, sekarang mari kita menjejaki kemantapan sistem pengkaderan yang dilakukan kepada murid-muridnya. Salah seorang muridnya bernama Syeikh Zainal Abidin yang berasal dari Kelantan diutus oleh Syeikh Ahmad Khathib Sambas ke Kalimantan Barat sebagai `Ketua Khalifah' di sana. Jadi bererti murid-muridnya yang lain, yang semuanya berasal dari Kalimantan Barat, adalah di bawah pengawasan Syeikh Zainal Abidin al-Kalantani. Selanjutnya semua mereka disuruh supaya mendalami pelbagai ilmu kepada ulama yang berasal dari Kelantan itu. Kebenaran untuk mentawajjuh/ membai'ah sekali-kali tidak dibenarkan kepada murid-murid yang lain selagi Syeikh Zainal Abidin al-Kalantani masih hidup, atau selagi beliau masih berada di Kalimantan Barat. Syeikh Zainal Abidin al-Kalantani meninggal dunia di Kampung Sebedang, Sambas.

Yang dilantik oleh Syeikh Ahmad Khathib Sambas sebagai khalifahnya di Mekah ialah Syeikh Abdul Karim al-Bantani, beliau mempunyai murid yang ramai sesudah Syeikh Ahmad Khatib Sambas. Untuk di Jawa terdapat tiga orang wakil khalifah, iaitu: Di Jawa Timur, Syeikh Ahmad Hasbullah bin Muhammad al- Manduri (Madura) dan lain-lain. Di Jawa Tengah, Syeikh Zarkasyi Barjan, Porwajo Syeikh Ibrahim Berumbung. Di Jawa Barat, Syeikh Asnawi Banten dan lain-lain.

Murid Syeikh Ahmad Khathib Sambas yang bernama Syeikh Muhammad bin Ismail bin Abdur Rahim berasal dari Pulau Bali. Beliau juga diberikan kebenaran mentawajjuhkan. Salah seorang muridnya yang menjadi ulama besar ialah Tuan Guru Haji Abdur Rahman yang berasal dari Ambon. Murid Syeikh Ahmad Khathib Sambas yang bernama Haji Abdul Lathif bin Haji Abdul Qadir berasal dari Sarawak. Di antara muridnya ialah Haji Muhammad Arsyad bin Abdur Rahman Pontianak. Murid Haji Abdul Lathif yang berasal dari Sarawak yang menjadi ulama besar, mengajar di Masjidil Haram, Mekah, ialah Syeikh Utsman bin Abdul Wahhab as-Sarawaqi. Tetapi selanjutnya Syeikh Utsman Sarawak ini menerima tawajjuh Tariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah sekali lagi daripada Syeikh Abdul Karim al-Bantani di Mekah.

Masih banyak kisah murid-murid Syeikh Ahmad Khathib Sambas yang belum sempat disebutkan di sini, penulis menyimpulkan saja bahawa institusi pengajaran Tariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah yang bersumber daripada Syeikh Ahmad Khatib Sambas yang masih kekal sampai sekarang ialah daripada muridnya yang bernama Syeikh Abdullah Mubarak. Pondok Pesantren yang beliau dirikan 7 Rejab 1323 H/ 5 September 1905 M masih kekal sampai sekarang, bahkan terkenal di seluruh Indonesia dan Malaysia. Sistem pelajaran Tariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah yang berasal daripada Syeikh Ahmad Khatib Sambas itu dikembangkan dengan penyesuaian pada zaman moden.
Al-Fatiihah...

Koleksi Tulisan Al-Marhoum Syeikh Wan Muhd Saghir Abdullah 06/12/2004
Gambar Syeikh Ahmad Kathib dan gambar kitab diambil dari blog BahrusShofa
___________________________________________________________________


Ya Allah Dikau Maha mendengar, dikau mendengar tidak berhajat pada suara,bukan kayaknya hambaMu yg lemah ini yg tak dapat mendengar kecuali dgn telinga kurniaanMu dan suara makhluk ciptaanMu ya Robb,peliharalah pendengaranku dan pancaindraku, dikau mampu mendengar tulisan doaku ini, keMAHAan sifat mu dan keagungan zatmu hanya dikau yg mengetahui. Ya Rabb..mu mohon dengan berkat Syeikh Ahmad Sambas, peliharalah diriku zahir bathin, ayah ibuku pohonkan keampunan untuknya dan leluhur juga keturunannya, adik2ku yg kusayangi kuminta dariMu Ya Rabb...tolonglah kami pada setiap laku kami, baik dikau mudahkanlah yg jahat ponon dikau simpangkanlah...Ya Rabb. Ampunilah aku leluhur dan keturuanku dunia akhirat. Ya Rabb...berkatilah guru2 ku, Ustaz M.Noor guru quran ketika kecilku, Cikgu-cikgu sekolah ku, Dakatir ku. Ya Rabb..ampunilah dan berkatilah kesemua guru ku terutama guru pembimbingku Ayah Mat Selama, Abg Zulfakar al-Abjadi, Tok Ayah Daud kedai Piah al-Kelantani, Ammu Syed Ali Sering, tuan Guru Haji Lah lubok Tapah, tuan Guru Hj Hamid Seligi, Abe Tendung, Tok Ayah Mat Bachok dan yag terutama dan paling utama Wali Qutub Alim Rabbani Syeikh Mokhtar r.a kupohon dengan berkatnya dan mereka ampunilah aku,berkatilah aku,bukakanlah hatiku sebagaimana dikau kurniakan kepada mereka2 itu Ya Rabb...amiiin bibarokati maulana dan Syeikh Ahmad Khatib Sambas.






Basiyuni Imran Maharaja Imam Sambas

Masjid Agung Sambas yang dibangun oleh
Sultan Abubakar Tajuddin (1848-1853).

Basiyuni Imran Maharaja Imam Sambas
Oleh Almarhoum Syeikh Wan Mohd. Shaghir Abdullah r.a .Al-Fatihah

INDAH nian, sekiranya kira merenung dan menghayati liku-liku sejarah keperibadian ulama. Yang lalu belum tamat, disambung pula dengan ulama Sambas, Kalimantan, Indonesia dalam artikel ini. Pada 1963, ketika saya mengembara di Jawa, saya membeli buku berjudul, Mengapa Kaum Muslimin Mundur dan Mengapa Kaum Selain Mereka Maju yang diterjemah oleh K. H. Munawar Chalil daripada karya Amir Syakib Arsalan. Sejak itu nama Syeikh Muhammad Basiyuni Imran Maharaja Imam Sambas mulai terpahat pada ingatan saya.

Betapa tidak, kerana buku itu disusun adalah sebagai jawapan daripada pertanyaan ulama Sambas itu yang ditujukan kepada gurunya Saiyid Rasyid Ridha. Judul asli dalam bahasa Arab Limaza Taakhkharal Muslimun, wa limaza Taqaddama Ghairuhum? Tiga tahun kemudian, tepatnya pada 1966, di Kepulauan Riau saya mulai bergaul dengan adik ulama itu iaitu Pak Hifni Imran, salah seorang pejuang kemerdekaan Indonesia.

Beliau pula memiliki banyak ilmu hikmat untuk berdepan dengan musuh. Pada 1968 - 1969 sebelum saya bertemu dengan Syeikh Muhammad Basiyuni Imran saya telah menemui dua orang adik beliau ialah Haji Maaz Imran, seorang ulama, dan adiknya yang bongsu Haji Muhammad Zuhdi Imran, juga ulama, ketika itu sebagai Kepala Kantor Jabatan Agama Kabupaten Sambas, Kalimantan, Indonesia. Haji Muhammad Zuhdi Imran adalah seorang yang fasih berbahasa Arab, ahli pidato dan luas pergaulan.

Sewaktu beliau melantik Penghulu-Penghulu Nikah di Kecamatan Tebas, bertempat di Kampung Tekarang, ketika itu saya sempat tidur sekatil (satu tempat tidur) dengan beliau. Setelah menyebut nama adik-beradik beliau yang sempat saya wawancara, maka sebelum membicarakan hal-hal yang lain di sini saya sebut nama lengkap beliau ialah Syeikh Muhammad Basiyuni Maharaja Imam bin Syeikh Muhammad Imran Maharaja Imam bin Syeikh Muhammad Arif Maharaja Imam bin Imam Nuruddin bin Imam Mushthafa as-Sambasi. Lahir di Sambas, Kalimantan, Indonesia pada 23 Zulhijjah 1300 H/25 Oktober 1883 M. Tarikh wafat 29 Rejab 1396 H/26 Julai 1976 M.

Pada satu hari Jumaat, tahun 1970, saya berdua dengan Pak Abdul Ghani, waktu Dhuha, Syeikh Muhammad Basiyuni Imran seorang dirinya saja, rupanya ulama besar Sambas tersebut telah berada dalam Masjid Jamik Sultan Sambas. Ketika itu beliau duduk mentelaah kitab. Kami berdua terpaku, kagum, sukar menjelaskannya dalam artikel ini. Sungguh hebat dan berwibawa caranya duduk, caranya berpakaian, semuanya menarik.

Ketika itu umur beliau hampir 90 tahun, namun wajahnya berseri-seri apatah lagi kulit beliau putih kekuningan langsat menghiasi susuk tubuh yang berjubah putih, kepala dililit dengan serban, semuanya dengan rapi dan bersih. Melihat kami datang beliaulah yang terlebih dahulu mengucapkan salam. Setelah berkenalan sejenak kami berdua mohon beliau membaca kitab yang ada di tangannya, kerana kami ingin mengambil berkat. Walau pun yang mendengar hanya kami berdua beliau tidak keberatan memenuhi permintaan kami.

Lafaz Arabnya beliau baca, langsung diterjemah dan ditafsirkannya ke bahasa Melayu Sambas. Menjelang Jumaat orang bertambah ramai sehingga azan barulah beliau berhenti membaca kitab. Syeikh Muhammad Basiyuni Imran juga menjadi imam Jumaat pada hari itu, bertambahlah kagum saya terhadap ulama Sambas tersebut, kerana bukan parasnya saja yang cantik, rupanya suara dan bacaannya sangat merdu dan sedap didengar telinga. Tidak dapat saya bayangkan, kerana hingga saya menulis artikel ini apabila saya teringat peristiwa yang bersejarah ini masih terkesan dan tercari-cari bunyi bacaan yang demikian itu. Padahal saya pernah menjadi makmum sembahyang Jumaat mengikut Syeikh Muhammad Basiyuni Imran hanya dua kali. Yang sekali lagi di Masjid Gang Wan Sagaf Pontianak.

Baik pertemuan yang pertama di Sambas mahu pun yang kedua di Pontianak bagi saya memang ada kesan yang tersendiri. Yang saya ceritakan ini adalah yang sebenarnya bukan atas ketaksuban. Haji Agus Salim, Buya Hamka dan Prof. Dr. Kahar Muzakkir, ketiga-tiganya orang-orang yang hebat belaka, mereka mengakui ketinggian ilmu yang dimiliki oleh ulama Sambas tersebut. (Lihat Riwayat Hidup dan Perjuangan Maharaja Imam Sambas, oleh Machrus Effendy, P.T Dian Kemilau, Jakarta, 1995, hlm. 16.)

Pendidikan

Syeikh Muhammad Basiyuni Imran mendapat pendidikan awal dan asas selama 10 tahun dari ayahnya sendiri, Maharaja Imam Muhammad Imran dan ayah saudaranya Khathib Muhammad Jabir. Ayah dan ayah saudaranya itu adalah anak ulama besar Maharaja Imam Sambas yang pertama, ialah Haji Muhammad Arif. Sejak Muhammad Basiyuni dilahirkan ayahnya telah ada firasat berdasarkan tanda-tanda, bahawa anak yang dilahirkan itulah yang akan meneruskan riwayat datuk neneknya yang menjadi ulama dalam kerajaan Sambas. Oleh hal yang demikian itulah kedua adik beradik tersebut tidak melalaikan diri memberi pendidikan khusus tentang ilmu-ilmu Islam selama sepuluh tahun kepada Muhammad Basiyuni.

Syeikh Muhammad Basiyuni Imran melanjutkan pendidikan di Mekah tahun 1320 H/1902 M hingga tahun 1325 H/akhir tahun 1907 M. Ramai gurunya di Mekah di antaranya termasuk Syeikh Ahmad Khathib al-Minankabawi dan Syeikh Ahmad al-Fathani. Bererti Syeikh Muhammad Basiyuni Imran sempat belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani sekitar lima tahun saja. Keberangkatan beliau belajar di Mesir adalah setelah kewafatan Syeikh Ahmad al-Fathani, 11 Zulhijjah 1325 H/14 Januari 1908 M, riwayat ini hampir sama dengan kisah Tok Kenali pulang ke Kelantan dan Syeikh Sulaiman ar-Rasuli pulang ke Minangkabau dalam tahun yang sama. Syeikh Muhammad Basiyuni Imran masuk Universiti Al-Azhar, Mesir agak kemudian dari Syeikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi dan Syeikh Muhammad Nur al-Fathani. Hanya dua tahun saja Syeikh Muhammad Basiyuni Imran belajar di Universiti Al-Azhar, iaitu dari 1327 H/1909 M hingga 1329 H/1911 M. Setelah itu selama setahun, 1330 H/1912 M, melanjutkan pelajaran di Madrasah Darud Da'wah wal Irsyad, iaitu pendidikan yang diasaskan oleh Saiyid Muhammad Rasyid Ridha.

Setakat ini karya Syeikh Muhammad Basiyuni Imran yang ada dalam simpanan saya hanya sembilan judul. Sungguhpun demikian belum dijumpai karya ulama yang berasal dari Sambas lebih banyak daripada karya beliau. Jadi bererti Syeikh Muhammad Basiyuni Imran adalah ulama Sambas yang terbanyak menghasilkan karangan. Senarai karya Syeikh Muhammad Basiyuni Imran ialah:

1. Bidayatut Tauhid fi 'Ilmit Tauhid, diselesaikan di Sambas, hari Rabu, 13 Jamadil Akhir 1336 H/27 Mac 1918 M. Membicarakan akidah merupakan petikan dari kitab Al-Jawahir al-Kalamiyah oleh al-'Allamah asy-Syeikh Thahir al-Jazairi, kitab Kalimah at-Tauhid oleh al-'Allamah asy-Syeikh Husein Wali al-Mashri dan kitab Kifayah al-'Awam. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 50 Minto Road, Singapura, awal Muharam 1344 H.

2. Cahaya Suluh Pada Menyatakan Jumaat Kurang Daripada Empat Puluh, diselesaikan di rumah penulisnya, Kampung Dagang Hulu Sambas, maghrib, malam jumaat, 2 Safar 1339 H/14 Oktober 1920 M. Kandungan membicarakan pertikaian pendapat (khilafiyah) tentang syarat-syarat mendirikan sembahyang jumaat. Membahas tentang mengulang sembahyang Zuhur sesudah sembahyang jumaat (sembahyang mu'adah), dll. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ikhwan, 74 Arab Street, Singapura, 1340 H.

3. Tazkir Sabilin Najah fi Tarkis Shalah, judul dalam bahasa Melayu oleh pengarangnya ialah Jalan Kelepasan Pada Mengingati Orang Yang Meninggalkan Sembahyang, diselesaikan di Sambas, hari rabu, 9 Rabiulakhir 1349 H/3 September 1930 M. Setelah tamat pada bahagian akhir ditambah pula terjemahan tulisan Saiyid Muhammad Rasyid Ridha yang terdapat dalam Al-Manar, juzuk yang pertama daripada majalah 31. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura.

4. Khulashatus Siratil Muhammadiyah disebut dengan judul yang lain Haqiqat Seruan Islam, diselesaikan 20 Jamadilakhir 1349 H/11November 1930 M. Terjemahan karya Saiyid Muhammad Rasyid Ridha tentang sejarah Nabi Muhammad s.a.w., cetakan yang pertama, Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura, 1351 H/1932 M.

5. Husnul Jawab 'an Itsbatil Ahillati bil Hisab diselesaikan pada 6 Ramadan 1352 H/23 Disember 1933 M. Membicarakan hisab anak bulan untuk melakukan puasa dan hari raya. Dicetak oleh Maktabah az-Zainiyah, Penang, 1938. Diberi Kata Pengantar oleh Syeikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi.

6. Irsyadul Ghilman ila Adabi Tilawatil Quran diselesaikan hari Ahad, 5 Syawal 1352 H/21 Januari 1934 M. Membicarakan persekitaran pembacaan al-Quran. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura, 15 Zulhijjah 1352 H/31 Mac 1934 M.

7. Durusut Tauhid As-Saiyid Muhammad Rasyid, diselesaikan pagi jumaat, 20 Rejab 1354 H/18 Oktober 1935 M. Membicarakan ilmu akidah merupakan terjemahan dari karangan gurunya Saiyid Muhammad Rasyid Ridha. Pada mukadimah, Syeikh Muhammad Basiyuni Imran menceritakan riwayat ringkasnya. Bahawa antara tahun 1329 H/1911 M - 1330 H/1912 M, beliau belajar di Madrasah Darud Da'wah wal Irsyad yang didirikan oleh Saiyid Muhammad Rasyid Ridha. Beliau telah belajar langsung kepada ulama tokoh tajdid itu. Salah satu sebab menterjemah karya gurunya itu setelah dapat berita gurunya meninggal dunia. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura, tanpa dinyatakan tarikh.

8. Nurus Siraj fi Qishshatil Isra' wal Mi'raj, diselesaikan sesudah sembahyang jumaat, 23 Jamadilakhir 1357 H/19 Ogos 1938 M. Membicarakan Israk dan Mikraj Nabi Muhammad s.a.w.. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 101 Jalan Sultan Singapura, tanpa dinyatakan tarikh.

9. Khutbah Jumaat, Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha Dan Gerhana. Membicarakan Khutbah Jumaat dan kedua-dua hari raya semuanya ditulis dalam bahasa Arab dan khutbah gerhana ditulis dalam bahasa Melayu. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura, tanpa dinyatakan tarikh.

Pandangan
Mukadimah artikel ini dimulai dengan kenyataan Islam dikatakan mundur atau terkebelakang daripada umat lainnya, demikianlah yang dipercakapkan oleh ramai orang Islam sendiri hingga sekarang. Saya mempunyai pandangan sebaliknya bahawa umat Islam adalah maju daripada umat lainnya.

Yang saya maksudkan ialah bahawa seseorang yang ditakdirkan lahir dalam Islam bererti sudah kurniaan Allah yang paling besar dan berharga. Setelah dipeliharanya Islam dan beriman ia dapat menilai dan memilih kemajuan mana yang diredai Allah atau dikutuk, bererti ia akan lebih maju lagi. Kemajuan tidak dapat diukur dengan teknologi saja. Seseorang peribadi atau sesuatu bangsa yang dikatakan maju membuat senjata pembunuh sesama manusia dan perosak seluruh alam bererti biadab dan mundur ke belakang kerana kembali ke zaman primitif.

Oleh itu ditinjau dari segi moral, umat Islam adalah jauh maju ke hadapan dalam semua zaman dulu, kini dan akan datang. Orang Islam yang mundur hanyalah penyokong-penyokong kebiadaban yang dilakukan oleh manusia-manusia biadab.