Kebanyakan artikel disini adalah karya Al-Marhoum Tuan Guru Syeikh Wan Mohd Shaghir Abdullah R.A cucunda kepada Tuan Guru Syeikh Ahmad Al-Fathanie, juga dari akhbar2 nasional yang lain dan laman2 web yang bertebaran di alam maya juga disaduri macam2 hikayat,riwayat,kaifiat dan khasiat keemasan saya himpun dan susun sebagai koleksi peribadi dan bagi tatapan dan santapan rohani buat teman-teman yang sudi...himpunan artikel2 terbaru saya sekarang lebih muyul kepada informasi kesihatan ala muslim-jawi kearaban..... dan saya mula berjinak2 dengan jualan secara online produk kesihatan muslim, khasnya peralatan bekam (Set cawan, jarum dan pen bekam) dan khidmat pembekaman, Sudi-sudilah ziarah dan sudikan tinggal komentar anda. TQ
Memaparkan catatan dengan label Ulama Acheh. Papar semua catatan

Ahad

KETUA PELAJAR MELAYU PERTAMA WAFAT DI MESIR

Syeikh Ismail Al-Asyi - Ketua Mahasiswa Melayu pertama di Mesir.
Koleksi Syeikh Wan Mohd Saghir r.a...Al-Fatihah

PENYELIDIKAN pertama terhadap ulama yang berasal dari Acheh ini dimulai dengan pengesanan artikel-artikel karya beberapa orang ulama yang beliau kumpulkan dalam satu kitab yang cukup terkenal di dunia Melayu yang diberi judul olehnya "Jam'u Jawami'il Mushannafat''. Selain itu juga kitab yang diberi judul oleh beliau dengan "Tajul Muluk''. Setelah itu dijumpai pelbagai judul karya beliau sendiri dan beberapa buah kitab yang ditashhihnya.

Dalam fail surat Syeikh Ahmad al-Fathani 1323 Hijrah - 1325 Hijrah dijumpai beberapa lembar surat Syeikh Ahmad al-Fathani, di Mekah, kepada Syeikh Ismail bin `Abdul Muthallib al-Asyi di Kaherah, Mesir. Dari surat- surat itu dapat diambil kesimpulan bahawa Syeikh Ismail bin `Abdul Muthallib al-Asyi itu adalah termasuk murid Syeikh Ahmad al-Fathani. Beliau dilantik oleh Syeikh Ahmad al-Fathani menjadi Ketua Pelajar-Pelajar Melayu di Kaherah, sedang Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin dilantiknya sebagai Ketua Pelajar Putera Diraja Riau di Kaherah juga. Dipercayai bahawa Syeikh Ismail bin `Abdul Muthallib al-Asyi adalah sebagai Ketua Pelajar Melayu di Kaherah yang pertama sekali. Ada pun perintis jalan orang Melayu yang pertama belajar di Masjid Al-Azhar ialah Syeikh Ahmad al-Fathani (tahun 1292 Hijrah sampai 1299 Hijrah). Setelah Syeikh Ahmad al-Fathani kembali ke Mekah beliau menggalakkan murid-muridnya belajar di Mesir terutama sekali di Al-Azhar. Maka sangat ramai pelajar kita yang berasal dari dunia Melayu pergi ke Mesir itu. Selain Syeikh Ismail al-Asyi dan Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin Minangkabau termasuk peringkat awal ke Mesir juga di antaranya ialah: Syeikh Ahmad Tahir Khathib Kerue (Lampung), Syeikh `Abdur Razzaq bin Muhammad Rais Lampung, Syeikh Muhammad Nur al-Fathani, dan ramai lagi.

PENDIDIKAN

Pendidikan asas di Acheh tidak dapat diketahui secara pasti. Dari tulisannya sendiri yang termaktub dalam cetakan Zahratul Murid karya Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, beliau menyebut, " Adapun silsilah haqir Ismail bin Abdul Muthallib al-Asyi, maka telah mengambil talqin zikir dan bai'ah daripada Syeikh Muhammad Ali. Ia mengambil daripada Syeikh Muhammad As'ad. Ia mengambil daripada Syeikh Sa'id....'', dan seterusnya sama dengan silsilah Thariqat Syathariyah versi Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Tidak jelas "Syeikh Ali'' yang disebutkannya dalam silsilah itu, apakah berasal dari Acheh atau tempat lainnya. Yang menjadi kemusykilan ialah bahawa apabila kita semak bererti "Syeikh `Ali'' itu seperguruan dengan Syeikh Daud bin `Abdullah al-Fathani, kerana Syeikh Daud bin `Abdullah al-Fathani juga menerima Thariqat Syathariyah daripada Syeikh Muhammad As'ad itu.

Syeikh `Ali al-Asyi adalah ulama Acheh yang seperguruan dengan Syeikh Daud bin `Abdullah al-Fathani. Syeikh `Ali al-Asyi lebih muda dari Syeikh Daud bin `Abdullah al-Fathani, kemungkinan beliau berumur panjang sehingga Syeikh Ismail al-Asyi sempat menerima thariqat daripadanya. Sebaliknya Syeikh Ahmad al-Fathani tidak sempat bertemu dengan Syeikh Daud bin `Abdullah al-Fathani, yang menjadi murid ulama Patani itu ialah Syeikh Muhammad Zain al-Fathani (ayah beliau).

PENTASHIH KARYA ULAMA ACHEH

Sumbangan yang besar Syeikh Ismail al-Asyi ialah mentashhih kitab-kitab karya ulama Acheh. Beliau adalah orang yang pertama memberi catatan nota beberapa kosa kata dari bahasa Acheh diberikan maknanya ke bahasa Melayu yang umum digunakan pada masa itu. Jadi bererti aktiviti tashhih kitab Melayu/Jawi yang diasaskan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani di Mekah itu, bahagian penelitian bahasa Acheh ditangani oleh Syeikh Ismail al-Asyi. Syeikh Ismail al-Asyi mulai melibatkan diri dalam usaha Syeikh Ahmad al-Fathani itu sejak permulaan lagi, bersama-sama dengan Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani, Syeikh Idris bin Husein al-Kalantani, Syeikh Abdur Rahman Gudang al-Fathani, ketiga-tiganya merupakan orang kepercayaan Syeikh Ahmad al-Fathani dalam semua permasalahan tashhih. Kitab-kitab yang ditashhih oleh Syeikh Ismail al-Asyi pada peringkat awal dikumpulkan dalam Jam'u Jawami'il Mushannafat ialah:

1. Hidayatul `Awam karya Syeikh Jalaluddin bin Kamaluddin Acheh.

2. Faraidh al-Quran, tanpa nama pengarang.

3. Kasyful Kiram karya Syeikh Muhammad Zain al-Asyi.

4. Talkhishul Falah karya Syeikh Muhammad Zain

5. Syifaul Qulub karya `Arif Billah Syeikh `Abdullah Acheh.

6. Mawaizhul Badi'ah karya Syeikh `Abdur Rauf Fansuri

7. Dawaul Qulub karya Syeikh Muhammad bin Syeikh Khathib Langien.

8. I'lamul Muttaqin karya Syeikh Jamaluddin bin Syeikh `Abdullah.

Cetakan awal kitab di atas diusahakan oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah. Halaman terakhir cetakan ke lapan, 1320 H/1902 M disebutkan bahawa pada cetakan itu ditambah dua naskhah lagi iaitu, Fathul `Arifin, Paal Kamalullah dan Paal Nabi S.A.W. Syeikh Ismail al-Asyi mencatatkan, "... dan ditashhihkan dengan cermat dan ditaruhkan pula pada tepinya hasyiah yakni tafsir kalam yang payah jadi mudah''. Maksudnya bahawa beliau memberi nota bahasa Acheh disesuaikan dengan maknanya dengan bahasa Melayu, dan memberikan huraian pada kalimat yang tidak jelas. Pada cetakan yang kemudian dari cetakan tersebut terdapat puisi Syeikh Ismail al-Asyi 18 bait yang terdiri dari dua rangkap-dua rangkap. Kitab yang diusahakan oleh Syeikh Ismail al-Asyi itu mendapat sambutan masyarakat luas di dunia Melayu, sampai sekarang masih banyak diajar dan masih mudah mendapatkannya di kedai-kedai kitab.

Dalam kitab yang berjudul Tajul Muluk terkumpul pula beberapa buah karangan, juga diusahakan oleh Syeikh Ismail al-Asyi. Cetakan awal yang telah ditemui ialah yang diusahakan oleh Mathba'ah al- Miriyah al-Kainah, Mekah, 1311 Hijrah/1893 Masehi. Pada mukadimah Tajul Muluk terdapat 34 bait puisi Syeikh Ismail al-Asyi yang terdiri dua rangkap-dua rangkap. Syeikh Ismail al-Asyi memulakan kumpulan Tajul Muluk dengan karya Syeikh `Abbas al-Asyi yang berjudul Sirajuz Zhalam, yang membicarakan ilmu hisab dan falakiyah. Pada akhir kitab Sirajuz Zhalam karya Syeikh `Abbas al-Asyi, Syeikh Ismail al-Asyi mencatat, "Maka telah selesai hamba salin kitab ini dalam negeri Mekah yang Musyarrafah pada masa hijrah Nabi S.A.W 1306 tahun, pada hari Sabtu, pada 28 hari bulan Rabiulawal ... " Kitab terakhir dalam Tajul Muluk ialah yang berjudul Hidayatul Mukhtar karya Syeikh Wan Hasan bin Wan Ishaq al-Fathani.

Manuskrip

Sebuah karya Syeikh Abdus Shamad bin Abdur Rahman al-Falimbani yang berjudul Zahratul Murid fi Bayani Kalimatit Tauhid yang sebelumnya hanya ditemui manuskripnya saja, dalam bulan April 1993 saya temui cetakannya, pada halaman terakhir terdapat silsilah Syeikh Ismail bin Abdul Muthallib al-Asyi dan beliau juga menyalin silsilah Thariqat Qadiriyah dan Thariqat Syathariyah Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri, ditashhihkan oleh Syeikh Idris bin Husein al-Kalantani. Saya berkesimpulan bahawa kitab Zahratul Murid karya Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani itu diusahakan bersama-sama Syeikh Ismail al-Asyi dan Syeikh Idris bin Husein al-Kalantani, dicetak oleh Mathba'ah at-Taraqqil Majidiyah al-'Utsmaniyah Makkah, 1331 Hijrah/1912 Masehi.

KARYA DAN PEMIKIRAN

Selain karya yang bercorak tashhih seperti tersebut di atas, Syeikh Ismail al-Asyi juga menghasilkan karya sendiri, di antaranya yang telah ditemui ialah:

1. Muqaddimatul Mubtadi-in, diselesaikan pada hari Rabu, 30 Safar, di Mekah, tanpa menyebut tahun. Dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah, Mekah, 1307 Hijrah/1889 Masehi. Pada halaman tercantum 19 bait puisi beliau yang terdiri dua rangkap-dua rangkap.

2. Tuhfatul Ikhwan fi Tajwidil Quran, diselesaikan pada waktu Dhuha hari Jumaat dua likur Jamadilawal 1311 Hijrah/1893 Masehi. Cetakan pertama Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1311 Hijrah/1893 Masehi. Terdapat lagi cetakan Mathba'ah al-Miriyah, Mekah, 1324 Hijrah/1906 Masehi.

3. Fat-hul Mannan fi Bayani Ma'na Asma-illahil Mannan, diselesaikan tahun 1311 Hijrah/1893 Masehi. Cetakan kedua oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Makkah, 1311 Hijrah/1893 Masehi.

4. Fat-hul Mannan fi Hadits Afdhal Waladi `Adnan, diselesaikan tahun 1311 Hijrah/1893 Masehi. Hanya diketemukan cetakan Mathba'ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, Kelantan, 1379 Hijrah/1960 Masehi yang diusahakan oleh Haji Muhammad bin Ahmad, Kampung Gong, Kelantan, dengan catatan, "Dengan izin waris pengarangnya dan anak muridnya yang di Mekah al-Mukarramah pada tahun hijrah 1377.''

Kesimpulan bahawa karya Syeikh Ismail al-Asyi meliputi beberapa disiplin ilmu, ialah `aqidah (Muqaddimatul Mubtadi-in), tajwid (Tuhfatul Ikhwan), hikmah dan fadhail (Fat-hul Mannan, nombor 3), hadis (Fat-hul Mannan, nombor 4), bahasa (pada kitab-kitab yang ditashhihnya) dan sastera (puisi), yang berbentuk syair dua rangkap-dua rangkap. Syair yang digubahnya dalam bahasa Melayu memang indah susunan bahasanya, tetapi sayang kadang-kadang bercampur dengan bahasa Acheh yang sukar dimengerti oleh masyarakat dunia Melayu umumnya.

Contoh beberapa bait syair Syeikh Ismail al-Asyi, ialah:
"Wahai ikhwan yang Muslimin,

orang yang yakin akan Rabbana,

Karangan ini intan ku karang,

segala maknikam himpun di sana.''

(Jam'u Jawami'il Mushannafat)

"Barangsiapa tiada makrifat,

segala ibadat tiada guna.

Kitab ini baik sekali,

makrifat Rabbi di sini nyata.''
(Muqaddimatul Mubtadi-in)

KETURUNAN

Keturunan Syeikh Ismail al-Asyi ramai di Mekah, mengenai ini dapat diketahui di antaranya tercatat dalam kitab Durrul Faraid karya Syeikh Nuruddin ar-Raniri cetakan pertama Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Makkah, 1311 H/1893 M, tertulis, "Maka orang yang empunya kitab ini Tuan Haji Ahmad anak Tuan Syeikh Ismail anak Tuan Abdul Muthallib al-Asyi ... Dia duduk di muka pintu, di dalam Maq'ad, di sanalah empunya kitab ini.'' Syeikh Ismail bin `Abdul Muthallib al-Asyi meninggal dunia di Kaherah, Mesir, demikian tersebut dalam buku Student Indonesia di Mesir. Al-Fatihah

Sumber Bicara Agama 10/01/2005
_____________________________________________________________

Ya Allah Ya TuhanKu yang Maha Mendengar, Maha Melihat..ke MAHA anMu Ya Rabb meliputi segala, Ya Rab betapa besarnya anugerahMu kepada hamba2 pilihanMu, ku mohon dariMu Ya Rabb...dengan berkat berpanjangan yang Dikau kurniakan kepada Syeikh Ismail al-Asyie, panjangkanlah umurku ayah dan ibuku serta keluargaku dalam keimanan,dipenuhi limpah rahmat dan berkat dariMu Ya Rabb, murahkanlah rezeki kami Ya Allah yang Maha Pemberi dan Maha Kaya...Ya Rabb, tolonglah kami dan sahabar2ku yang dalam kesusahan dan kesenangan, bantulah kami dan mereka Ya Rabb..Ya Allah, ku mohon berikanlah keberkatan dan kefahaman dalam bahasa arab dengan berkat Syeikh Ahmad fathani dan anak murid beliau khususnya Syeikh Ismail al-Asyie r.houm ajmain. Al-Fatihaha bibarokati Sidna Mustofa habibuka Ya Allah...amin

Isnin

Sheikh Daud Al-Asyi dan keturunannya

Koleksi tulisan Allahyarham Wan Mohd. Saghir Abdullah

H.M.Zainuddin dalam bukunya Tarich Atjeh dan Nusantara meriwayatkan bahawa Abdullah al-Malikul Mubin yang kuburnya di Aceh tahun 799 H ini memperoleh beberapa orang anak iaitu:

1. As-Saiyid Syeikh Ahmad at-Tawawi Talabahu Tarahu, tinggal di negeri Pasai.

2. As-Saiyid Syeikh Muhammad Sa'id Tattahiri, tinggal di negeri Campa.

3. As-Saiyid Syeikh Muhammad Daud, tinggal di Patani.

4. As-Saiyid Syeikh Abdul Wahhab, tinggal di Kedah.

Menurut H.M.Zainuddin dalam bukunya di halaman 54 bahawa tahun 799 H itu bersamaan tahun 1407 M, tetapi menurut perhitungan penulis, tahun 799 H itu bersamaan dengan tahun 1396 M.

Pada halaman 58 dan 62 buku tersebut, H. M. Zainuddin menyebut bahawa Sultan Inayat Syah, salah seorang Sultan di Aceh Besar adalah putera Abdullah al-Malikul Mubin juga. Barangkali juga yang dimaksudkan dengan as-Saiyid Sheikh Muhammad Sa’id Tattahiri (nombor 2 pada senarai) itu adalah Sheikh Muhammad Sa’id al-Barsisi yang kuburnya dijumpai di Tanah Ujung Lidah, Patani (Thailand) yang telah diriwayatkan.

Ada pun yang dimaksudkan dengan as-Saiyid Sheikh Muhammad Daud itu, memang terdapat yang bernama demikian di Patani pada zaman yang disebutkan. Malah beliau meninggalkan keturunan yang menjadi ulama, baik di Patani mahu pun terjadi perpindahan kemudiannya ke Betawi.

Menurut H. M. Zainuddin, Pangeran Abdullah bin Muhammad bin Abdul Qadir yang tersebut adalah keturunan darjat keenam Khalifah Bani Abbas Abu Ja’far al-Muntasir atau kaum Abbas al-Muqtasir.

Memerhatikan kenyataan-kenyataan oleh H. M. Zainuddin dalam bukunya itu, bahawa Sheikh Muhammad Daud anak Sheikh Abdullah al-Malikul Mubin berasal dari Aceh ke Patani itu adalah keturunan Bani Abbas, maka dapat dihubungkaitkan dengan Sheikh Shafiyuddin (Tok Raja Faqih).

Dalam versi Patani sangat terkenal riwayatnya bahawa ulama ini dari Aceh ke Patani dan beliau juga keturunan Bani Abbas. Jika benar yang dimaksudkan dengan as-Saiyid Sheikh Muhammad Sa’id bin Abdullah al-Malikul Mubin yang dikatakan jatuh ke Campa itu adalah Sheikh Muhammad Sa’id yang banyak dibicarakan dalam beberapa versi sejarah Patani, ini bererti peranan Bani Abbas sangat penting dalam perkembangan Islam di Aceh dan Patani.

Sebagaimana Sheikh Shafiyuddin al-Abbasi (Tok Raja Faqih) dan Sheikh Muhammad Sa’id diketahui keturunannya di Patani, demikian halnya dengan Sheikh Daud bin Abdullah al-Malikul Mubin.

Sheikh Daud yang tersebut itu memperolehi anak di Patani bernama Sheikh Ali. Sheikh Ali memperoleh anak bernama Sheikh Muhammad. Sheikh Muhammad memperoleh anak bernama Ahmad. Ahmad memperoleh anak bernama Sheikh Shalih. Sheikh Shalih memperoleh anak bernama Sheikh Thahir. Muhammad Thahir memperoleh anak bernama Abdur Rahman (nama yang lain Ahmad Thaiyib).

Abdur Rahman/Ahmad Thaiyib memperolehi anak bernama Khatib Sa’ad (digelar Ahmad Nom) memperoleh anak Sheikh Ahmad al-Mirsad. Sheikh Ahmad al-Mirsad memperoleh anak Kiai Sheikh Ahmad al-Marzuqi.

Mengenai salasilah catatan yang dikumpulkan ini, ia bersesuaian pula dengan yang disebut oleh Sheikh Yasin Padang dalam Bulughul Amani di halaman 164, mengenai salasilah Sheikh Kiai Marzuqi al-Fathani al-Batawi.

Perpindahan dan peranan ulama Patani di Betawi/Jakarta

Kedatangan orang Patani ke Betawi, baik secara langsung dari Patani atau pun setelah mereka dari Campa memang sejak lama. Pada zaman dulu, Betawi juga dinamakan dengan Sunda Kelapa, Jayakarta dan Batavia, tetapi sekarang ialah Jakarta.

Jika benar Sunan Gunung Jati /Syarif Hidayatullah adalah putera Sultan Umdatuddin bin Saiyid Ali Nurul Alam, Sultan di Campa, menurut satu versi bahawa Sunan Gunung Jati tersebut berhasil menguasai Sunda Kelapa itu pada 21 Jun 1527 M.

Sejak itu, beliau dan orang-orang Patani yang ada hubungan dengan Sunan Gunung Jati berhijrah ke Betawi untuk membantu dan mengukuhkan kedudukan Sunan Gunung Jati.

Di antara sekian ramai orang Patani termasuklah keturunan Sheikh Daud bin Abdullah al-Malikul Mubin.

Salah seorang di antara keturunannya ialah Wan Abdul Bagus, datuk neneknya berasal dari Patani tetapi beliau sendiri dilahirkan di Betawi. Beliaulah yang membuka Kampung Melayu di Betawi pada tahun 1656 M. Pemerintah kolonial Belanda melantik Wan Abdul Bagus menjadi ketua orang-orang Melayu atau digelar dengan Captain Malleyer.

Wan Abdul Bagus al-Fathani menguasai tanah yang luas di bahagian tepi kiri-kanan Kali Ciliwung sebelah selatan dan bersempadan dengan tanah Meester Cornelis. Pemilikan tanah dikeluarkan dalam tahun 1661 M dan ditambah lagi tahun 1696 M sehingga menjadi amat luas.

Wan Abdul Bagus meninggal dunia tahun 1716 M. Beliau digantikan anaknya Wan Abdullah bin Wan Abdul Bagus al-Fathani sehingga Belanda merampas kekayaan dan melucutkan jabatannya sebagai Kapten Melayu. Kemudian Wan Abdullah ditangkap, dipenjara, diseksa dan dibuang.

Berdasarkan cerita di atas dapat disimpulkan bahawa keluarga besar ulama Patani pernah berperanan penting di Betawi baik dalam kepemimpinan duniawi mahu pun ukhrawi.

Selain itu, terdapat jalinan hubungan ulama antara Aceh-Patani-Betawi. Generasi terakhir orang Patani yang berperanan sebagai ulama terkenal di Betawi ialah Kiai Sheikh Ahmad al-Marzuqi al-Fathani al-Betawi, yang datuk neneknya ialah Sheikh Daud bin Abdullah al-Malikul Mubin, seperti yang telah disebutkan.

Kiai Sheikh Ahmad al-Marzuqi wafat di Betawi hari Jumaat 25 Rejab 1353 H/1934 M.

TEUKU SYIAH KUALA PENTAFSIR AL-QURAN MELAYU PERTAMA

Gambar Sheikh Abdur Rauf al-Fansuri as-Singkili atau dikenali Teuku
Syiah Kuala guru kepada Tok Pulau Manis dan Tok Sheikh Ulakan

SYEIKH ABDUR RAUF FANSURI
pentafsir al-Quran pertama dalam bahasa Melayu
Oleh Almarhoum Sheikh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

MENGENAI ulama ini sangat banyak ditulis orang, namun tulisan ini terlebih dahulu mengemukakan kelainan penulisan yang bersumber daripada orientalis yang diikuti oleh hampir semua penulis dunia Melayu, iaitu tentang namanya yang dikemukakan sebagai Abdur Rauf Singkil atau al-Sinkili. Walhal daripada Syeikh Abdur Rauf sendiri belum ditemui penambahan perkataan Sinkili di hujung namanya, yang ada hanyalah ‘al-Fanshuri’.

Penambahan nama ‘al-Fanshuri’ bukan ‘as-Sinkili’ di hujung nama untuk Syeikh Abdur Rauf bin Ali yang tersebut dilanjutkan oleh semua ulama Melayu, yang dimulai oleh muridnya Baba Daud bin Ismail ar-Rumi ketika beliau menyelesaikan Turjumanul Mustafid atau Tafsir al-Baidhawi, demikian juga pada salasilah Tarekat Syathariyah dan Tarekat Qadiriyahnya.

Hal yang sama dilanjutkan pula oleh murid Baba Daud bin Ismail ar-Rumi bernama Syeikh Faqih Jalaluddin bin Kamaluddin al-Asyi dalam Manzharul Ajlanya. Malahan juga sama dengan yang ditulis oleh Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin al-Asyi di dalam Bidayatul Hidayahnya. Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam Manhalush Shafi juga menyebut nama Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri.

Demikian halnya dengan Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani di dalam Siyarus Salikin. Demikian halnya dengan Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani di dalam Aqidatun Najin dan juga Syeikh Ahmad al-Fathani pada kenyataannya sewaktu mentashhih kitab Turjumanul Mustafid/Tafsir al-Baidhawi.

Barangkali tulisan terawal di kalangan ulama yang menyebut ulama ini berasal dari Singkel ialah Syeikh Abdur Rauf bin Makhalid Khalifah al-Qadiri al-Bantani dalam karyanya berjudul Mukhtashar Tashnif Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fanshuri. Di antara tulisannya, “... dan berkata orang yang arif, iaitu Syeikh Abdur Rauf anak Ali, Singkil nama negerinya”.

Pada halaman terakhir manuskrip tertulis, “Ini kami mengambil risalah ini karangan Syaikhu Masyaikh segala Jawi Syeikh Abdur Rauf Aceh, Singkil nama kampungnya ....”

Namun dalam tulisan ini, penulis tetap mengikut tulisan ulama-ulama kita, iaitu menyebut nama lengkapnya Syeikh Aminuddin Abdur Rauf bin Ali al-Fanshuri. Nama Aminuddin yang biasa dipakai pada awal namanya, namun jika dihilangkan tidaklah cacat kerena untuk memendekkan kalimat.

ASAL USUL DAN PENDIDIKAN

Menurut pendapat A. Hasymi, ada dua orang ulama yang bersaudara keturunan Parsi, iaitu Ali al-Fansuri dan Hamzah al-Fansuri. Datuk nenek kedua-duanya diberi kepercayaan oleh kerajaan memimpin pusat pendidikan yang bernama Daya Blang Pria. Ulama tersebut bernama Syeikh al-Fansuri.

Bahawa pada masa pemerintahan Sultan Alaiddin Riayat Syah Said Mukammil, 997-1011 H/1589-1604 M, dua orang keturunan Syeikh al-Fansuri itu mendirikan dua pusat pendidikan Islam di pantai barat Tanah Aceh, iaitu Syeikh Ali al-Fansuri mendirikan Dayah Lipat Kajang di Simpang Kanan. Adiknya Syeikh Hamzah al-Fansuri mendirikan Dayah Obah di Simpang Kiri Rundeng.

Pada 1001H/1592M, Syeikh Ali al-Fansuri dikurniakan seorang putera yang diberi nama Abdur Rauf. Ada pendapat lain menyebut bahawa Abdur Rauf lahir dalam tahun 1024H/1615M. Pendapat tersebut berbeza dengan pendapat Dada Meuraxa, menurutnya Abdur Rauf lahir di Singkel (Aceh Selatan), ibunya berasal dari Barus. Katanya, dalam sejarah abad ke-16 terdapat dua ulama yang serupa namanya, Syeikh Abdur Rauf dari Singkel dan Syeikh Abdur Rauf dari Barus.

Hamka dalam bukunya yang bercorak menyerang Ir. Mangaraja Onggang Parlindungan berjudul Antara Fakta dan Khayal Tuanku Rao telah memansuhkan pendapatnya sendiri yang sebelumnya mengatakan bahawa yang bernama Syeikh Abdur Rauf itu adalah dua, dalam buku tersebut beliau mengatakan hanya seorang.

Walau bagaimana pun kalimat di bawah ini mencerminkan bahawa beliau masih belum tahqiq atau ragu-ragu. Katanya, “Tetapi saya akan kembali pula mengatakan dua kalau ada orang yang dapat mengemukakan fakta yang dapat dipertanggungjawabkan”.

Pendapat Dada Meuraxa dan Ir. Mangaraja Onggang Parlindungan yang menyebut Syeikh Abdur Rauf ada dua orang disokong kuat oleh Abdullah Abbas Nasution dalam bukunya Sejarah Islam Sedunia 14 Abad Silam.

Dengan bersyukur kepada Allah, penulis menemukan bukti bahawa di Aceh pada zaman yang sama memang terdapat dua orang yang bernama Syeikh Abdur Rauf. Penulis juga menemukan sebuah manuskrip berjudul Durratun Nakhirah Tanbihan li Durril Fakhirah karya Syeikh Sirajuddin bin Jalaluddin yang diselesaikan pada 1238 H/1822 M. Di dalam kitab tersebut diceritakan dua orang yang bernama Abdur Rauf, iaitu yang seorang Abdur Rauf saja dan yang seorang lagi Abdur Rauf Hitam.

Menurut jalan cerita kitab itu, yang Abdur Rauf saja iaitulah Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Kedua-dua Abdur Rauf itu menerima wasiat daripada Syeikh Muhammad az-Zainusy Syakhiyah sewaktu mereka masuk ke dalam kubah Syeikh Syazili di Mokha.

Jadi berdasarkan kepada kitab yang tersebut bererti Syeikh Abdur Rauf memang ada dua orang. Walaupun dalam kitab tersebut tidak memberi maklumat secara jelas bahawa mereka berasal dari Aceh, namun secara logiknya dapat diterima bahawa mereka memang datang dari negeri yang sama.

Secara umumnya, mereka sama-sama berasal dari Sumatera. Penulis tidak bermaksud mencampuri pertikaian-pertikaian pendapat yang tersebut, tetapi dua orang yang bernama Abdur Rauf itu, penulis ungkapkan adalah menceritakan suatu penemuan penulis yang terbaru. Sekali gus adalah merupakan jawapan terhadap tulisan Almarhum Buya Hamka yang masih mencari-cari tentang Syeikh Abdur Rauf satu atau dua orang itu.

Syeikh Abdur Rauf Hitam tidak dibicarakan dengan panjang di sini, yang dibicarakan ialah Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri, penyusun Turjumanul Mustafid iaitulah terjemahan dan tafsir al-Quran yang pertama dalam bahasa Melayu.

Hampir semua karya beliau sudah penulis pegang dan baca, baik yang manuskrip mahupun cetakan. Ada pun karya ulama bernama Syeikh Abdur Rauf Hitam belum lagi penulis menemuinya. Oleh itu tidak perlu dibicarakan mengenai beliau dalam artikel ini.

Mengenai para gurunya, Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri mencatatkan dalam karyanya, Umdatul Muhtajin, secara keseluruhannya, termasuk salasilah Tarekat Syathariyah dan Tarekat Qadiriyah, telah penulis tulis dalam buku Khazanah Karya Pusaka Asia Tenggara jilid 1. Namun begitu, baik pada manuskrip ‘Umdatul Muhtajin mahupun Kifayatul Muhtajin koleksi Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) terdapat ketinggalan beberapa nama jika dibandingkan dengan salasilah Tarekat Syathariyah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Pada salasilah Tarekat Syathariyah Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri, tidak tersebut nama Syeikh Abdullah asy-Syathari. Seharusnya guru Imam Qadi Syathari ialah Syeikh Abdullah asy-Syathari, dan guru Syeikh Abdullah asy-Syathari ialah Syeikh Muhammad Arif. Demikian menurut salasilah Tarekat Syathariyah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Pada salasilah Tarekat Syathariyah Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri langsung saja sesudah Syeikh Qadi Syathari berguru kepada Syeikh Muhammad Arif.

Orang-orang anti tarekat selalu berpendapat bahawa salasilah tarekat ada yang terputus-putus ertinya seseorang guru tarekat meninggal dunia, muridnya pula belum lahir. Hal ini berlaku seperti Syeikh Hasan al-Kharqani tidak pernah berjumpa dengan Abi Yazid al-Bistami. Demikian juga Abi Yazid al-Bistami tidak pernah berjumpa dengan Imam Ja'far Shadiq.

Pandangan yang keliru dan salah itu perlu dijawab, jawapannya ialah bahawa kedua-dua tempat pada salasilah itu tidak terputus, dengan hujah-hujah sebagai yang berikut, bahawa yang tersebut ini memang ada golongan tarekat yang lebih suka menyebut bahawa penerimaan itu adalah secara rohaniah.

Namun secara arif, pengkaji-pengkaji dan pengamal-pengamal tarekat mempunyai hujah-hujah lain, iaitu sebenarnya Syeikh Hasan al-Kharqani sebelum menerima secara rohaniah daripada Syeikh Abi Yazid al-Bistami. Beliau terlebih dahulu belajar dengan Syeikh Abi Muzhaffar at-Thusi. Syeikh Abi Muzhaffar at-Thusi belajar pula kepada Khawajah Abi Yazid al-Asyqi. Khawajah Abi Yazid al-Asyqi belajar kepada Muhammad al-Maghribi. Khawajah Muhammad al-Maghribi inilah yang sebenarnya menerima tawajuh tarekat daripada Syeikh Abi Yazid al-Bistami.

Adapun perantaraan Syeikh Abi Yazid al-Bistami dengan Imam Ja'tar Shadiq pula, ialah Syeikh Abi Yazid al-Bistami berguru kepada Imam Ali Ridha. Imam Ali Ridha belajar kepada ayahnya Imam Musa al-Kazhim, Imam Musa al-Kazhim belajar pula kepada ayahnya Imam Ja'far as-Shadiq.

Dengan keterangan di atas tidak ragu lagi bahawa tarekat-tarekat yang diterima oleh Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri dari guru-gurunya selama berada di Mekah, Madinah dan Timur Tengah adalah sah ditinjau dari segi salasilah menurut istilah tasauf atau sanad dalam ilmu hadis.

Dari keseluruhan gurunya yang cukup ramai, yang paling banyak beliau sebut ialah Syeikh Ahmad al-Qusyasyi dan Syeikh Ibrahim al-Kurani.

MURID-MURID DAN KETURUNAN

Murid Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri sangat ramai, tetapi yang dapat dipastikan ada beberapa ulama besar yang sangat terkenal menyebarkan Islam di beberapa tempat di seluruh dunia Melayu. Antara mereka ialah, Baba Daud bin Agha Ismail bin Agha Mustata al-Jawi ar-Rumi. Beliau ini berasal daripada keturunan ulama Rom yang berpindah ke Turki, keturunannya pula pindah ke Aceh sehingga menjadi ulama yang tersebut ini. Keturunan beliau pula ada yang berpindah ke Pattani, sehingga menurunkan ulama terkenal iaitu Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani.

Setelah berkhidmat di Mekah dikirim oleh saudara sepupu dan gurunya Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani ke Kota Bharu, Kelantan untuk memimpin Matba’ah al-Miriyah al-Kainah al-Kalantaniyah. Lalu beliau berpindah ke Kota Bharu, Kelantan, beliau dikenal dengan gelaran ‘Tok Daud Katib’.

Ada pun Baba Daud bin Ismail al-Jawi ar-Rumi di atas beliau inilah yang menyempurnakan karya gurunya Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri yang berjudul Turjumanul al-Mutafid atau yang lebih terkenal dengan Tafsir al-Baidhawi Melayu, iaitu terjemah dan tafsir al-Quran 30 juzuk yang pertama dalam bahasa Melayu.

Naskhah asli tulisan tangan Baba Daud bin Ismail al-Jawi ar-Rumi itu dimiliki oleh keturunannya Tok Daud Katib, lalu naskhah itu diserahkan kepada guru dan saudara sepupunya Syeikh Ahmad al-Fathani.

Dari naskhah yang asli itulah diproses oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani dan Syeikh Idris bin Husein Kelantan sehingga terjadi cetakan pertama di Turki, di Mekah dan Mesir pada peringkat awal. Nama ketiga-tiga ulama itu yang dinyatakan sebagai Mushahhih (Pentashhih) pada setiap cetakan tafsir itu kekal diletakkan di halaman terakhir pada semua cetakan tafsir itu.

Turjumanul Mustafid yang diterbitkan sampai sekarang adalah merupakan lanjutan daripada cetakan yang dilakukan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani dan dua orang muridnya itu (keterangan lanjut mengenai ini lihat buku Khazanah Karya Pusaka Asia Tenggara, jilid 1, 1990:157-172).

Murid Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri yang lain pula ialah Syeikh Burhanuddin Ulakan. Beliau inilah yang disebut sebagai orang yang pertama sebagai penyebar Islam di Minangkabau (Sumatera Barat) melalui kaedah pengajaran Tarekat Syathariyah.

Di Jawa Barat, Indonesia terkenal seorang murid Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri yang dianggap sebagai seorang Wali Allah. Beliau ialah Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan. Sepanjang catatan sejarah, beliau dianggap orang pertama membawa Tarekat Syathariyah ke Jawa Barat dan selanjutnya berkembang hingga ke seluruh tanah Jawa.

Adapun mengenai Syeikh Yusuf Tajul Mankatsi yang berasal dari tanah Bugis ada riwayat menyebut bahawa beliau juga murid Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Riwayat lain menyebut bahawa Syeikh Yusuf Tajul Mankatsi itu adalah sahabat Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri, sama-sama belajar kepada Syeikh Ahmad al-Qusyasyi dan Syeikh Ibrahim al-Kurani.

Walau bagaimanapun, selembar salasilah yang ada pada penulis, yang ditemui di Kalimantan Barat, menyebut Syeikh Yusuf Tajul Mankatsi menerima Tarekat Syathariyah kepada Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri itu. Memang diakui bahawa Syeikh Yusuf Tajul Mankatsi ialah orang pertama menyebarkan Tarekat Syathariyah di Tanah Bugis atau seluruh Sulawesi Selatan.

Bahkan dianggap juga beliau sebagai orang pertama menyebarkan pelbagai tarekat lainnya, di antaranya Tarekat Qadiriyah dan Tarekat Naqsyabandiyah. Tetapi berdasarkan manuskrip Mukhtashar Tashnif Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fanshuri oleh Syeikh Abdur Rauf bin Makhalid Khali-fah al-Qadiri al-Bantani bahawa Syeikh Yusuf al-Mankatsi adalah cucu murid kepada Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri, tertulis, “... kerana kata ini daripada Syeikh Yusuf (al-Mankatsi/al-Maqasari) turun daripada Syeikh Muhyuddin Karang (Pamijahan), turun daripada Syeikh Abdur Rauf al-Asyi”.

Murid Syeikh Abdur Rauf bin Alial-Fansuri di Semenanjung Tanah Melayu (Malaysia) pula, yang paling terkenal ialah Syeikh Abdul Malik bin Abdullah Terengganu atau lebih popular dengan gelar Tok Pulau Manis yang mengarang berbagai-bagai kitab di antaranya Kitab Kifayah.’

Ada yang meriwayatkan bahawa Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani pernah belajar kepada Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Tetapi dalam penelitian penulis tidaklah demikian. Yang betul ialah ayah Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok itu, iaitu Syeikh Abdul Mubin bin Jailan al-Fathani dipercayai adalah sahabat Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri kerana sama-sama belajar kepada Syeikh Ahmad al-Qusyasyi dan Syeikh Ibrahim al-Kurani. Sebagai pengenalan awal penyelidikan murid-murid Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri di sini setakat ini dulu dan penyelidikan lanjut masih sedang dijalankan.

KARYA-KARYA

Syeikh Abdul Rauf bin Ali al-Fansuri termasuk dalam golongan ulama dunia Melayu yang produktif dalam bidang karangan dalam bahasa Melayu. Karya beliau telah penulis senaraikan dalam buku Khazanah Karya Pusaka Asia Tenggara, jilid 1, sebanyak 25 buah.

Setelah buku tersebut diterbitkan, diketahui pula karya beliau yang belum termasuk dalam senarai yang tersebut. Karya-karya tersebut ialah: Aghmadhus Sail. Kitab ini baru ditemui hanya sebuah saja, iaitu yang diamanahkan kepada Muzium Islam Pusat Islam Kuala Lumpur. Kandungan kitab ini mengenai ilmu tauhid. Judul yang lain juga baru diketahui pula ialah Kanzul Insaniyi, telah menjadi koleksi Pusat Manuskrip Melayu PNM, nombor kelas MS1530.

Karya Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri yang baru menjadi koleksi Pusat Manuskrip Melayu PNM pula ialah Durratul Baidha’ Tanbihan lin Nisa’ nombor kelas MS 1625.

Oleh itu, terdapat tiga karya Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri yang baru diketahui, dengan disebutkan tiga buah kitab yang tersebut bererti ada 27 buah karya beliau yang telah dikenalpasti kerana Hujjatul Balighah ternyata bukan karya Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri, judul itu terpaksa digugurkan dari senarai yang telah lalu.

PENUTUP

Demikianlah satu tinjauan mengenai Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri ulama Asia Tenggara yang berasal dari Aceh Selatan atau menurut pendapat yang lain berasal dari Mandailing (daerah Batak) yang telah menggunakan masa hidup mulai tahun 1001/1592 M.

Namun menurut pendapat lain 1024H/1615 M, dan juga ada pendapat lain mengatakan 1620 M, hingga wafat tahun 1693 M. Setelah wafat lebih terkenal dengan sebutan Teuku Syiah Kuala.

* Koleksi tulisan Allahyarham Wan Mohd. Shaghir Abdullah.
* Gambar foto dari waspada online
_________________________________________________________

Ya Allah dengan berkat namaMu yg berkumandang dibesarkan oleh hamba2Mu Ta Rabb, dan dengan berkat Syeikh Teuku Syiah Kuala wali dan kekasihMu Ya Rabb, kurnikanlah kepadaku ilmu, keampunan, keberkatan, anugerah umpama dikau kurniakan kepada beliau dimasa hidup dan selepas wafat...Ya Allah, peliharalah ayah dan ibuku serta seluruh keluargaku ampunilah kami semua...Ya Rabb. kabulkan doaku Ya Allah Amiiin....

SYEIKH ABDUR RAUF FANSURI

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

Syeikh Abdul Rauf Fansuri pentafsir al-Quran pertama dalam bahasa Melayu.
MENGENAI ulama ini sangat banyak ditulis orang, namun tulisan ini terlebih dahulu mengemukakan kelainan penulisan yang bersumber daripada orientalis yang diikuti oleh hampir semua penulis dunia Melayu, iaitu tentang namanya yang dikemukakan sebagai Abdur Rauf Singkil atau al-Sinkili. Walhal daripada Syeikh Abdur Rauf sendiri belum ditemui penambahan perkataan Sinkili di hujung namanya, yang ada hanyalah ‘al-Fanshuri’.

Penambahan nama ‘al-Fanshuri’ bukan ‘as-Sinkili’ di hujung nama untuk Syeikh Abdur Rauf bin Ali yang tersebut dilanjutkan oleh semua ulama Melayu, yang dimulai oleh muridnya Baba Daud bin Ismail ar-Rumi ketika beliau menyelesaikan Turjumanul Mustafid atau Tafsir al-Baidhawi, demikian juga pada salasilah Tarekat Syathariyah dan Tarekat Qadiriyahnya.

Hal yang sama dilanjutkan pula oleh murid Baba Daud bin Ismail ar-Rumi bernama Syeikh Faqih Jalaluddin bin Kamaluddin al-Asyi dalam Manzharul Ajlanya. Malahan juga sama dengan yang ditulis oleh Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin al-Asyi di dalam Bidayatul Hidayahnya. Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam Manhalush Shafi juga menyebut nama Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri.

Demikian halnya dengan Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani di dalam Siyarus Salikin. Demikian halnya dengan Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani di dalam Aqidatun Najin dan juga Syeikh Ahmad al-Fathani pada kenyataannya sewaktu mentashhih kitab Turjumanul Mustafid/Tafsir al-Baidhawi.

Barangkali tulisan terawal di kalangan ulama yang menyebut ulama ini berasal dari Singkel ialah Syeikh Abdur Rauf bin Makhalid Khalifah al-Qadiri al-Bantani dalam karyanya berjudul Mukhtashar Tashnif Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fanshuri. Di antara tulisannya, “... dan berkata orang yang arif, iaitu Syeikh Abdur Rauf anak Ali, Singkil nama negerinya”.

Pada halaman terakhir manuskrip tertulis, “Ini kami mengambil risalah ini karangan Syaikhu Masyaikh segala Jawi Syeikh Abdur Rauf Aceh, Singkil nama kampungnya ....”

Namun dalam tulisan ini, penulis tetap mengikut tulisan ulama-ulama kita, iaitu menyebut nama lengkapnya Syeikh Aminuddin Abdur Rauf bin Ali al-Fanshuri. Nama Aminuddin yang biasa dipakai pada awal namanya, namun jika dihilangkan tidaklah cacat kerena untuk memendekkan kalimat.

ASAL USUL DAN PENDIDIKAN

Menurut pendapat A. Hasymi, ada dua orang ulama yang bersaudara keturunan Parsi, iaitu Ali al-Fansuri dan Hamzah al-Fansuri. Datuk nenek kedua-duanya diberi kepercayaan oleh kerajaan memimpin pusat pendidikan yang bernama Daya Blang Pria. Ulama tersebut bernama Syeikh al-Fansuri.

Bahawa pada masa pemerintahan Sultan Alaiddin Riayat Syah Said Mukammil, 997-1011 H/1589-1604 M, dua orang keturunan Syeikh al-Fansuri itu mendirikan dua pusat pendidikan Islam di pantai barat Tanah Aceh, iaitu Syeikh Ali al-Fansuri mendirikan Dayah Lipat Kajang di Simpang Kanan. Adiknya Syeikh Hamzah al-Fansuri mendirikan Dayah Obah di Simpang Kiri Rundeng.

Pada 1001H/1592M, Syeikh Ali al-Fansuri dikurniakan seorang putera yang diberi nama Abdur Rauf. Ada pendapat lain menyebut bahawa Abdur Rauf lahir dalam tahun 1024H/1615M. Pendapat tersebut berbeza dengan pendapat Dada Meuraxa, menurutnya Abdur Rauf lahir di Singkel (Aceh Selatan), ibunya berasal dari Barus. Katanya, dalam sejarah abad ke-16 terdapat dua ulama yang serupa namanya, Syeikh Abdur Rauf dari Singkel dan Syeikh Abdur Rauf dari Barus.

Hamka dalam bukunya yang bercorak menyerang Ir. Mangaraja Onggang Parlindungan berjudul Antara Fakta dan Khayal Tuanku Rao telah memansuhkan pendapatnya sendiri yang sebelumnya mengatakan bahawa yang bernama Syeikh Abdur Rauf itu adalah dua, dalam buku tersebut beliau mengatakan hanya seorang.

Walau bagaimana pun kalimat di bawah ini mencerminkan bahawa beliau masih belum tahqiq atau ragu-ragu. Katanya, “Tetapi saya akan kembali pula mengatakan dua kalau ada orang yang dapat mengemukakan fakta yang dapat dipertanggungjawabkan”.

Pendapat Dada Meuraxa dan Ir. Mangaraja Onggang Parlindungan yang menyebut Syeikh Abdur Rauf ada dua orang disokong kuat oleh Abdullah Abbas Nasution dalam bukunya Sejarah Islam Sedunia 14 Abad Silam.

Dengan bersyukur kepada Allah, penulis menemukan bukti bahawa di Aceh pada zaman yang sama memang terdapat dua orang yang bernama Syeikh Abdur Rauf. Penulis juga menemukan sebuah manuskrip berjudul Durratun Nakhirah Tanbihan li Durril Fakhirah karya Syeikh Sirajuddin bin Jalaluddin yang diselesaikan pada 1238 H/1822 M. Di dalam kitab tersebut diceritakan dua orang yang bernama Abdur Rauf, iaitu yang seorang Abdur Rauf saja dan yang seorang lagi Abdur Rauf Hitam.

Menurut jalan cerita kitab itu, yang Abdur Rauf saja iaitulah Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Kedua-dua Abdur Rauf itu menerima wasiat daripada Syeikh Muhammad az-Zainusy Syakhiyah sewaktu mereka masuk ke dalam kubah Syeikh Syazili di Mokha.

Jadi berdasarkan kepada kitab yang tersebut bererti Syeikh Abdur Rauf memang ada dua orang. Walaupun dalam kitab tersebut tidak memberi maklumat secara jelas bahawa mereka berasal dari Aceh, namun secara logiknya dapat diterima bahawa mereka memang datang dari negeri yang sama.

Secara umumnya, mereka sama-sama berasal dari Sumatera. Penulis tidak bermaksud mencampuri pertikaian-pertikaian pendapat yang tersebut, tetapi dua orang yang bernama Abdur Rauf itu, penulis ungkapkan adalah menceritakan suatu penemuan penulis yang terbaru. Sekali gus adalah merupakan jawapan terhadap tulisan Almarhum Buya Hamka yang masih mencari-cari tentang Syeikh Abdur Rauf satu atau dua orang itu.

Syeikh Abdur Rauf Hitam tidak dibicarakan dengan panjang di sini, yang dibicarakan ialah Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri, penyusun Turjumanul Mustafid iaitulah terjemahan dan tafsir al-Quran yang pertama dalam bahasa Melayu.

Hampir semua karya beliau sudah penulis pegang dan baca, baik yang manuskrip mahupun cetakan. Ada pun karya ulama bernama Syeikh Abdur Rauf Hitam belum lagi penulis menemuinya. Oleh itu tidak perlu dibicarakan mengenai beliau dalam artikel ini.

Mengenai para gurunya, Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri mencatatkan dalam karyanya, Umdatul Muhtajin, secara keseluruhannya, termasuk salasilah Tarekat Syathariyah dan Tarekat Qadiriyah, telah penulis tulis dalam buku Khazanah Karya Pusaka Asia Tenggara jilid 1. Namun begitu, baik pada manuskrip ‘Umdatul Muhtajin mahupun Kifayatul Muhtajin koleksi Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) terdapat ketinggalan beberapa nama jika dibandingkan dengan salasilah Tarekat Syathariyah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Pada salasilah Tarekat Syathariyah Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri, tidak tersebut nama Syeikh Abdullah asy-Syathari. Seharusnya guru Imam Qadi Syathari ialah Syeikh Abdullah asy-Syathari, dan guru Syeikh Abdullah asy-Syathari ialah Syeikh Muhammad Arif. Demikian menurut salasilah Tarekat Syathariyah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Pada salasilah Tarekat Syathariyah Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri langsung saja sesudah Syeikh Qadi Syathari berguru kepada Syeikh Muhammad Arif.

Orang-orang anti tarekat selalu berpendapat bahawa salasilah tarekat ada yang terputus-putus ertinya seseorang guru tarekat meninggal dunia, muridnya pula belum lahir. Hal ini berlaku seperti Syeikh Hasan al-Kharqani tidak pernah berjumpa dengan Abi Yazid al-Bistami. Demikian juga Abi Yazid al-Bistami tidak pernah berjumpa dengan Imam Ja'far Shadiq.

Pandangan yang keliru dan salah itu perlu dijawab, jawapannya ialah bahawa kedua-dua tempat pada salasilah itu tidak terputus, dengan hujah-hujah sebagai yang berikut, bahawa yang tersebut ini memang ada golongan tarekat yang lebih suka menyebut bahawa penerimaan itu adalah secara rohaniah.

Namun secara arif, pengkaji-pengkaji dan pengamal-pengamal tarekat mempunyai hujah-hujah lain, iaitu sebenarnya Syeikh Hasan al-Kharqani sebelum menerima secara rohaniah daripada Syeikh Abi Yazid al-Bistami. Beliau terlebih dahulu belajar dengan Syeikh Abi Muzhaffar at-Thusi. Syeikh Abi Muzhaffar at-Thusi belajar pula kepada Khawajah Abi Yazid al-Asyqi. Khawajah Abi Yazid al-Asyqi belajar kepada Muhammad al-Maghribi. Khawajah Muhammad al-Maghribi inilah yang sebenarnya menerima tawajuh tarekat daripada Syeikh Abi Yazid al-Bistami.

Adapun perantaraan Syeikh Abi Yazid al-Bistami dengan Imam Ja'tar Shadiq pula, ialah Syeikh Abi Yazid al-Bistami berguru kepada Imam Ali Ridha. Imam Ali Ridha belajar kepada ayahnya Imam Musa al-Kazhim, Imam Musa al-Kazhim belajar pula kepada ayahnya Imam Ja'far as-Shadiq.

Dengan keterangan di atas tidak ragu lagi bahawa tarekat-tarekat yang diterima oleh Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri dari guru-gurunya selama berada di Mekah, Madinah dan Timur Tengah adalah sah ditinjau dari segi salasilah menurut istilah tasauf atau sanad dalam ilmu hadis.

Dari keseluruhan gurunya yang cukup ramai, yang paling banyak beliau sebut ialah Syeikh Ahmad al-Qusyasyi dan Syeikh Ibrahim al-Kurani.

MURID-MURID DAN KETURUNAN

Murid Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri sangat ramai, tetapi yang dapat dipastikan ada beberapa ulama besar yang sangat terkenal menyebarkan Islam di beberapa tempat di seluruh dunia Melayu. Antara mereka ialah, Baba Daud bin Agha Ismail bin Agha Mustata al-Jawi ar-Rumi. Beliau ini berasal daripada keturunan ulama Rom yang berpindah ke Turki, keturunannya pula pindah ke Aceh sehingga menjadi ulama yang tersebut ini. Keturunan beliau pula ada yang berpindah ke Pattani, sehingga menurunkan ulama terkenal iaitu Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani.

Setelah berkhidmat di Mekah dikirim oleh saudara sepupu dan gurunya Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani ke Kota Bharu, Kelantan untuk memimpin Matba’ah al-Miriyah al-Kainah al-Kalantaniyah. Lalu beliau berpindah ke Kota Bharu, Kelantan, beliau dikenal dengan gelaran ‘Tok Daud Katib’.

Ada pun Baba Daud bin Ismail al-Jawi ar-Rumi di atas beliau inilah yang menyempurnakan karya gurunya Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri yang berjudul Turjumanul al-Mutafid atau yang lebih terkenal dengan Tafsir al-Baidhawi Melayu, iaitu terjemah dan tafsir al-Quran 30 juzuk yang pertama dalam bahasa Melayu.

Naskhah asli tulisan tangan Baba Daud bin Ismail al-Jawi ar-Rumi itu dimiliki oleh keturunannya Tok Daud Katib, lalu naskhah itu diserahkan kepada guru dan saudara sepupunya Syeikh Ahmad al-Fathani.

Dari naskhah yang asli itulah diproses oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani dan Syeikh Idris bin Husein Kelantan sehingga terjadi cetakan pertama di Turki, di Mekah dan Mesir pada peringkat awal. Nama ketiga-tiga ulama itu yang dinyatakan sebagai Mushahhih (Pentashhih) pada setiap cetakan tafsir itu kekal diletakkan di hal-man terakhir pada semua cetakan tafsir itu.