Kebanyakan artikel disini adalah karya Al-Marhoum Tuan Guru Syeikh Wan Mohd Shaghir Abdullah R.A cucunda kepada Tuan Guru Syeikh Ahmad Al-Fathanie, juga dari akhbar2 nasional yang lain dan laman2 web yang bertebaran di alam maya juga disaduri macam2 hikayat,riwayat,kaifiat dan khasiat keemasan saya himpun dan susun sebagai koleksi peribadi dan bagi tatapan dan santapan rohani buat teman-teman yang sudi...himpunan artikel2 terbaru saya sekarang lebih muyul kepada informasi kesihatan ala muslim-jawi kearaban..... dan saya mula berjinak2 dengan jualan secara online produk kesihatan muslim, khasnya peralatan bekam (Set cawan, jarum dan pen bekam) dan khidmat pembekaman, Sudi-sudilah ziarah dan sudikan tinggal komentar anda. TQ
Memaparkan catatan dengan label Ulama Kelantan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ulama Kelantan. Papar semua catatan

Khamis

Syeikh Abu Bakar keturunan Tok Gudang Al-Fathani

Syeikh Abu Bakar (Tok Ji)

Haji Abu Bakar Bin Syeikh Wan Abdur Rahman Bin Ismail Bin Ali Haji Abu Bakar merupakan di antara para ulama dari keturunan Syeikh Abdur Rahman Tok Gudang.al-Fathani. Diberitakan bahawa asal keturunan Syeikh Abdur Rahman ini adalah dari keturunan raja-raja Acheh.

Oleh kerana peperangan, anak raja dihanyutkan sehinggalah mereka berlabuh di Kelantan (Kg.Penambang) dan membuka madrasah untuk beribadah dan mengajar agama Islam di situ. Tok Gudang dilahirkan di Kelantan. Belajar dari sekian ramai ulama terbilang di situ dengan cara bertalaqqi di rumah guru. 

Kemudian berhijrah ke Fathani (Thailand) dan akhirnya bermastautin dan wafat di Mekkah al-Mukarramah.
Haji Abu Bakar pula wafat di Kedah dan di maqamkan di perkuburan Masjid Langgar Kedah. Anak beliau bertebaran di bumi Malaysia.

Penulis (Abu Al-Baqir) merupakan cucu beliau dari anak beliau yang masih berada di Padang Layang Kelantan yang bernama Hj Ariffin. Sejarah hidup beliau tidak banyak direkodkan tetapi diberitakan bahawa beliau sempat membuka beberapa pondok di Thailand dan di Kelantan

Ahad

TOK PULAI CHONDONG ULAMA YANG ALIM WARAK

Sheikh Abdul Samad Faqih atau lebih dikenali sebagai Tok Pulai Condong
Masjid Tok Pulai Condong Kelantan.
Negeri Kelantan sejak dahulu lagi yang terkenal dengan haruman serambi Mekkah bukan saja terkenal dengan kaum hawa yang mendominasi perniagaan, mereka juga terkenal sebagai kaum ibu yang melahirkan tokoh-tokoh ulama. Kelantan berfungsi sebagai pusat kelahiran tokoh ulama islam yang terbilang seperti Tok Pulai Condong, Tok Kenali, Tok Pulau Ubi, Tok Selehong, Tuan Guru Nik Aziz dan ramai lagi ulamawan dan cendiakawan islam tulin.

Tok Pulai Condong atau nama sebenar beliau Abdul Samad Faqih Abdullah adalah seorang ulama Melayu terkemuka di Nusantara yang bertanggung jawab menyebarkan syiar Islam pada zaman kegelapan masyarakat Melayu lampau.

Tokoh yang dikira sebagai yang terawal di kelantan ini dilahirkan ketika zaman pemerintahan Long Yunus (1762-1794) iaitu pada 1792. Beliau adalah saudara dua pupu Syeikh Daud Abdullah al-Fatani ulama asal Patani yang masyur itu.

Beliau mendapat pendidikan daripada ayah dan datuknya sendiri melalui sistem pengajian pondok tradisional Pattani dan juga belajar di Pondok Pauh Bok, Patani daripada Syeikh Abdul Rahman Abdul Mubin al-Fatani sebelum melanjutkan pengajiannya ke Makkah.

Ketika di Makkah, beliau belajar dengan Tuan Guru Adam dan ada yang mengatakan beliau adalah murid Syeikh Daud al-Fatani. Setelah menetap beberapa tahun di Makkah, Tok Pulai Condong pulang ke Kelantan dan menyebarkan pengetahuannya dalam tiga cabang iaitu Usuluddin, Fiqh dan Tasawuf.

Atas sikap ingin belajar, ulama ini sekali lagi melanjutkan pelajaran ke Makkah pada 1840 kerana berasa dirinya perlu belajar lagi, bukan mengajar. Padahal dalam penilaian beberapa orang ulama, ilmunya dalam Tasawuf sebenarnya memang layak mengajar bukan belajar.

Tok Pulai Condong adalah ulama yang alim, warak dalam ilmu agama, malah doa yang selalu dipraktikkan ialah Hizbul Bahar serta berpegang kepada falsafah 'Berhamba kepada Allah dengan sebaik hamba'.

Beliau kerap menunaikan haji dan pernah membawa anaknya, Muhammad Arshad yang berusia 13 tahun. Sewaktu menunaikan haji beliau sempat menziarah makam Imam Syafie di Mesir bersama Tuan Tabal (Pengarang Kitab Sabla dan Tuan Haji Hassan Besut).

Pada 1820 Tok Pulai Condong membuka Kampung Bilal Talib, Pulai Condong dan membina sebuah surau berhampiran sebatang pokok pulai di kampung itu. Sekembalinya dari Makkah, beliau aktif menyebarkan syiar Islam kepada masyarakat dengan mendirikan sebuah surau pada 1820 dan dijadikan pusat pengajian sistem pondok.

Cicit beliau, Mohd Nor Haji Muhamad, 71, berkata surau pertama yang dibina Tok Pulai Condong terletak di Kampung Bilal Talib berhampiran sebatang pokok pulai yang dikatakan condong. Belia mendapat gelaran itu sempena membuka kampung berkenaan dan membina surau berdekatan pokok pulai. ( gambar sebelah : MOHD NOR menunjukkan hasil penulisannya mengenai riwayat Tok Pulai Condong. )

Surau itu menjadi pusat pengajian pondok, di mana pelajarnya datang dari pelusuk nusantara seperti Kampar, Sumatera, Kemboja, Pattani, Terengganu dan negeri lain di Semenanjung. Selepas kematiannya, pondok itu diambil alih anaknya Muhammad Arshad.

Beliau juga mendirikan masjid pada 1820 tetapi musnah dalam kebakaran dan sekali lagi membina masjid baru sebelum ia dipindahkan ke Kampung Surau. Masjid itu dikenali sebagai Masjid Tok Pulai Condong yang digunakan hingga sekarang.

"Pada 1856 masjid itu sekali lagi terbakar, kali ini ia dibakar oleh penduduk kampung yang dikenali sebagai Awang Senik dan ia dibina semula dengan kerjasama anak mukimnya.

"Dalam kejadian itu, menara masjid tidak terbakar dan mimbar serta gendang asal masih kekal hingga kini," katanya.

Mohd Nor berkata, menara masjid itu menjadi objek kemegahan tempatan kerana ia dibina oleh Tok Pulai Condong sendiri. Menara setinggi 57 kaki (18 meter) itu mempunyai keistimewaan tersendiri kerana dibina menggunakan sebatang kayu cengal tanpa bersambung. Selain itu, menara masjid berbentuk lapan segi dengan ukur lilit 12 kaki (empat meter) itu, mempunyai 23 anak tangga, digunakan oleh bilal untuk melaungkan azan. Keteguhan menara itu teruji apabila negeri dipukul ribut besar pada 1880 menyebabkan banyak pokok tumbang, tetapi menara itu tetap teguh dan tidak terusik.

Sumbangan Tok Pulai Condong dalam syiar Islam mendapat perhatian Sultan dan Sultan Muhammad II kemudian melantiknya sebagai guru di istana untuk mengajar Raja Perempuan mengenai Islam. Sumbangannya berjaya mengubah corak kehidupan masyarakat Kelantan ketika itu yang masih jahil kepada masyarakat berilmu dan patuh terhadap perintah Allah.

Info Tok Pulai Chondong

* Meninggal dunia di Makkah pada 1874 dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Maala (berhampiran kubur Siti Khadijah).

* Mempunyai empat orang isteri iaitu Mek Mendusa, Bi'ah, Thamani dan Zaleha.

* Dikurniakan 16 anak. Empat daripadanya meninggal dunia ketika masih kecil.

* Senarai anak Tok Pulai Condong.
-Abdul Hamid
-Abdul Syukur
-Abdul Aziz
-Umar
-Muhammad Said
-Taib
-Siti Mariam
-Muhammad Arsyad
-Abdullah
-Muhammad
-Zainab
-Ummu Maimunah

Almarhoum Sheikh Wan Muhd Saghir r.a juga ada menulis kisah tentang Tok Pulai Chondong ini, tulisan almarhoum boleh dilihat di sini klik here
_______________________________________________

sumber dari berita harian .

Khamis

TOK KENALI MENDAKI BUKIT TURSINA MESIR

Tok Kenali ulama peringkat wali
Oleh Almarhoum Haji Wan Mohd. Shaghir Abdullah

DALAM sekian banyak e-mel yang saya terima, ada orang memprotes kenapa sudah sekian banyak ulama Nusantara yang diperkenalkan dalam halaman Agama Utusan Malaysia, namun cerita tentang Tok Kenali tidak muncul?.
Pada prinsipnya kisah semua ulama Nusantara akan saya muatkan dalam akhbar ini, hanya gilirannya belum sampai. Ada ulama kisahnya disegerakan dan ada yang artikelnya masih dalam pemerosesan.

Tok Kenali ialah satu nama yang paling terkenal dalam dunia pengajian Islam menggunakan sistem pondok di Malaysia. Bahkan beliau juga terkenal di seluruh alam Melayu. Oleh itu, memang riwayat beliau perlu diketahui oleh masyarakat. Dalam dua keluaran terakhir perbicaraan tentang ulama, telah disentuh perjuangan tokoh yang antipenjajah (Tok Ku Paloh Terengganu dan Haji Sulong al-Fathani). Ada orang berpendapat bahawa Tok Kenali tidak pernah terlibat dalam perjuangan yang bercorak demikian.

Bagi saya, pendapat seperti demikian itu adalah hanya ditinjau dari satu sudut yang belum menyeluruh. Tok Kenali ialah murid yang paling dipercayai oleh Syeikh Ahmad al-Fathani, oleh itu hampir-hampir tidak ada satu rahsia perjuangan Syeikh Ahmad al-Fathani yang tidak diketahui oleh Tok Kenali.

Di sini saya sentuh sedikit saja. Syeikh Ahmad al-Fathani ialah tokoh pertama dari lingkungan dunia Melayu sejagat yang secara diplomatik pergi ke Istanbul, Turki untuk melaporkan perbuatan tiga bangsa yang menjajah di dunia Melayu ketika itu kepada Khalifah Islam. Bangsa-bangsa itu ialah Inggeris, Belanda dan Siam.

Walau bagaimanapun, supaya suasana tidak selalu keras dan tegang dalam corak pemikiran jihad zhahiri, kisah Tok Kenali saya fokuskan kepada pemikiran jihad shufi. Jihad zhahiri lebih menitikberatkan perjuangan secara fizikal, sedang jihad shufi lebih mengutamakan pembinaan dalaman, qalbi atau hati dan rohani. Kedua-dua jenis jihad itu adalah penting dikombinasikan secara sepadu. Selain itu dalam disiplin ilmu akidah dan tasawuf ia dikenali dengan istilah ‘Wali Allah’ dan ‘karamah’ (istilah Melayu: keramat). atau kemuliaan anugerah Allah.

Tradisi penulisan para ulama Islam juga banyak menceritakan tentang ‘karamah’ para Wali Allah. Tulisan saya dalam Utusan Malaysia yang telah lalu (133 siri) tentang ‘karamah’ sengaja tidak saya sentuh kerana saya lebih mengutamakan riwayat yang berdasarkan fakta. Oleh kerana ramai yang minta kepada saya supaya menulis tentang karamah yang pernah berlaku pada Tok Kenali maka permintaan itu saya paparkan berdasarkan cerita yang telah saya kumpulkan daripada pelbagai sumber sejak tahun 1950-an lagi.

Karamah Tok Kenali

Nama sebenar Tok Kenali ialah Haji Muhammad Yusuf bin Ahmad al-Kalantani, lahir pada 1287 H/1871 M, wafat Ahad, 2 Syaaban 1352 H/19 November 1933 M. Yang saya riwayatkan ini adalah berdasarkan pelbagai cerita yang saya dengar, oleh itu tidak terikat sangat dalam sistem penulisan ilmiah.

Yang saya ingat pada tahun 1953, ibu saya Hajah Wan Zainab binti Syeikh Ahmad al-Fathani hanya menyebut nama murid ayahnya itu dengan istilah Awang Kenali. Menurutnya, Syeikh Ahmad al-Fathanilah yang pertama menggunakan istilah ‘Awang’ itu. Riwayatnya, sewaktu Syeikh Ahmad al-Fathani menjadi utusan ulama Mekah ke Beirut dan Mesir untuk menyelesaikan pertikaian pendapat antara Saiyid Yusuf an-Nabhani (Beirut) dengan Syeikh Muhammad Abduh (Mesir) dalam rombongan itu, Awang Kenali ikut serta bersama delegasi tersebut.

Ketika sampai di Bukit Tursina, kerana di tempat itulah Nabi Musa mendengar ‘Kalam Allah’, Syeikh Ahmad al-Fathani menyuruh murid-muridnya munajat secara khusus. Awang Kenali ditugaskan supaya minta menjadi ulama. Nik Mahmud ditugaskan munajat minta menjadi seorang pembesar Kelantan. Setelah Tok Kenali munajat, Syeikh Ahmad al-Fathani menyatakan bahawa ilmu Awang Kenali tinggi hanya mencapai ‘awan’ tidak menjangkau kepada langit. Ilmu yang sampai ke peringkat ‘awan’ itulah yang dapat dijangkau oleh kebanyakan ulama di tanah Jawi.

Admin pernah mendengar ceramah dari al-marhoum Sheikh Wan Muhammad Saghir sewaktu majlis maulidurasul di Pahang suatu ketika dahulu beliau ada berkata; walaupun ilmu Tok Kenali hanya sampai ke peringkat awan dan tidak menjangkau langit namun ulama di Mesir pada waktu itu tidak ada ada yang ilmunya melepasi awan. Begitulah gambaran banyak luas dan tingginya ilmu Tok Kenali...wallahua'lam.

Daripada perkataan ‘awan’ itulah kemudian bertukar menjadi ‘Awang’. Cerita yang sama juga saya dengar daripada Haji Wan Ismail bin Hawan, Qadhi Jala (cerita didengar pada tahun 1970). Dalam surat-surat Syeikh Ahmad al-Fathani kepada pihak lain, termasuk kepada orang Arab dan Turki, apabila melibatkan muridnya itu, beliau mengekalkan tulisan dengan istilah ‘Awan Kenali’ saja tanpa menyebut nama lainnya.

Awal ketibaan beliau di Mekah

Pada tahun 1969 saya dengar cerita bahawa Tok Kenali pertama-tama datang ke Mekah penuh dengan peristiwa yang pelik-pelik (ajaib). Kehidupan sehari-harinya penuh dengan tawakal. Beliau tidak mempunyai pakaian yang lebih daripada sehelai, tidak memiliki wang, tidak siapa mengetahui beliau makan ataupun tidak pada setiap hari siang ataupun malam. Hampir-hampir tidak ada orang yang mengenalinya di Mekah ketika itu.

Orang yang tidak mengenalinya hanya memperhatikan keanehannya berada dari satu halaqah ke satu halaqah yang lain dalam Masjid Haram, Mekah. Keberadaannya dalam sesuatu halaqah tidak pula membawa sesuatu kitab seperti orang lainnya. Pada kebanyakan masa ketika duduk dalam halaqah beliau memejamkan mata, orang menyangka beliau bukan mendengar pelajaran tetapi tidur. Antara ulama yang mengajar dalam Masjid al-Haram ketika itu ada yang tembus pandangannya, diketahuinyalah bahawa pemuda yang aneh itu bukanlah sembarangan orang, martabatnya ialah seorang ‘Wali Allah’.

Walau bagaimanapun, tidak seorang ulama peringkat Wali Allah di Mekah mahu membuka rahsia itu kepada murid-muridnya. Ketika Tok Kenali sampai di Mekah, Syeikh Ahmad al-Fathani telah mengetahui pemuda yang berasal dari Kelantan itu, tetapi sengaja tidak dipedulikannya kerana pada firasat Syeikh Ahmad al-Fathani pemuda Kelantan itu sama ada lekas ataupun lambat akan datang juga kepada beliau.

Dalam masa berbulan-bulan peristiwa seperti di atas, pada satu ketika Tok Kenali mengunjungi halaqah Syeikh Ahmad al-Fathani. Tok Kenali duduk jauh di belakang pelajar-pelajar lain. Syeikh Ahmad al-Fathani telah mempersiapkan sekurang-kurangnya tiga kemusykilan atau masalah, yang pada pemikiran Syeikh Ahmad al-Fathani tidak akan dapat dijawab oleh siapa pun yang hadir dalam majlis pengajiannya, kecuali seseorang itu memiliki pandangan ‘kasyaf’ ataupun telah memperoleh ‘ilmu ladunni’.

Sewaktu Syeikh Ahmad al-Fathani melemparkan pengujian atau pertanyaan kepada semua pelajar, Tok Kenali seperti orang tidur-tidur saja. Semua pelajar terdiam, tidak seorang pun berkemampuan menjawab masalah yang dikemukakan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Tiba-tiba Syeikh Ahmad al-Fathani menyergah pemuda Kelantan yang sedang tidur. Pemuda itu terkejut. Syeikh Ahmad al-Fathani menyuruhnya supaya datang ke hadapan duduk bersama beliau. Disuruhnya pemuda Kelantan itu menjawab masalah ujian yang dikemukakan lalu semuanya dijawab dengan sejelas-jelasnya.

Setelah peristiwa itu Tok Kenali menjadi murid yang paling mesra dengan Syeikh Ahmad al-Fathani. Bahkan Tok Kenali menjadikan dirinya sebagai ‘khadam’ kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Seluruh gerak dan diam Tok Kenali hanyalah berkhidmat kepada gurunya itu, kerana diketahuinya bahawa seluruh kerja Syeikh Ahmad al-Fathani semata-mata untuk kepentingan agama Islam dan bukan kepentingan peribadinya. (Cerita yang sama juga didengar daripada Tuan Guru Haji Mahmud bin Yusuf Juani di Pondok Gajah Mati, Kedah pada tahun 1970. Beliau ialah murid Tok Bermin, sahabat Tok Kenali).

Hampir semua murid Tok Kenali yang pernah saya temui meriwayatkan bahawa orang yang pernah belajar dengan Tok Kenali semuanya mendapat kedudukan dalam masyarakat. Apabila seseorang murid itu lebih berkhidmat kepada beliau maka ternyata akan lebih pula ilmu yang diperolehnya. Demikian juga kedudukan dalam masyarakat. Yang dimaksudkan berkhidmat di sini ialah ada yang pernah menyiram Tok Kenali ketika mandi. Bahkan ada murid yang pernah membasuh beraknya sesudah buang air besar.

Murid yang sampai kepada kedua-dua peringkat ini saja yang menjadi ulama besar, antara mereka termasuk Syeikh Idris al-Marbawi dan Syeikh Utsman Jalaluddin Penanti. (Sumber cerita ini daripada murid beliau, Tuan Guru Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani, Mufti Mempawah, yang didengar pada tahun 1969 di Mempawah; Tuan Guru Haji Mahmud di Gajah Mati, Kedah pada tahun 1970; Qadhi Haji Wan Ismail bin Hawan di Jala pada tahun 1970; Tuan Guru Haji Abdur Rahim Kelantan di Mekah pada tahun 1979, dan masih ada yang lain yang belum perlu disebutkan.)

Walaupun telah diketahui umum Tok Kenali berasal dari Kelantan tetapi sewaktu saya mengembara ke negeri Caiyya (nama asalnya Cahaya) yang terletak jauh ke Utara Patani dan Senggora, orang tua-tua bercerita bahawa asal usul datuk nenek Tok Kenali adalah dari Cahaya. Diriwayatkan ada dua atau tiga kali Tok Kenali pernah datang ke negeri Cahaya. Setiap kali Tok Kenali datang beliau dimuliakan orang. Tempat yang menjadi laluan Tok Kenali dihamparkan dengan kain kuning, demikian juga tempat duduknya. Orang ramai datang berduyun-duyun menziarahi Tok Kenali kerana mengambil berkat keramatnya. Ada orang tertentu yang didoakan oleh Tok Kenali ternyata dikabulkan oleh Allah sebagaimana doa yang beliau ucapkan (riwayat ini didengar di Caiya (Cahaya) pada 1992).

Penulisan
Penglibatan Tok Kenali dalam penulisan adalah sebagai bukti beliau seperti juga ulama-ulama terkenal lainnya. Beliau ialah Ketua Pengarang majalah Pengasuh yang pertama ketika majalah itu mula-mula diterbitkan. Dari sini dapat kita buktikan bahawa majalah Pengasuh merupakan majalah Islam yang paling lama dapat bertahan di Nusantara. Majalah Pengasuh masih kekal diterbitkan hingga sekarang ini (1427 H/2006 M) oleh Majlis Agama Islam Kelantan. Semua majalah Islam di Nusantara yang diterbitkan peringkat awal, bahkan termasuk yang agak terkebelakang, semuanya tidak diterbitkan lagi.

Karya-karya Tok Kenali yang ditulis dalam bentuk risalah atau kitab pula antaranya ialah Risalatud Durril Mantsur, yang selesai ditulis pada bulan Jumadil Akhir 1310 H/Disember 1892 M. Kandungannya merupakan terjemahan dan penjelasan fadhilat Burdah Bushiri. Dicetak dalam bentuk huruf batu/litografi oleh Syeikh Abdullah Mujallid, Mekah pada Jumadilakhir 1310 H.

Karya Tok Kenali dalam bidang ilmu sharaf pula ialah Madkhal Kamil fi 'Ilmis Sharfi, selesai penulisan pada 15 Rabiulawal 1351 H. Kandungan merupakan karya tashhih tentang ilmu sharaf. Kemungkinan maksud daripada gurunya Syeikh Ahmad al-Fathani, iaitu karya berjudul Abniyatul Asma' wal Af'al. Dicetak oleh Mathba'ah al-Asasiyah al-Kalantaniyah atas perbelanjaan Haji Wan Daud bin Haji Wan Sufyan.

Karya Tok Kenali dalam bidang ilmu nahu pula ialah Mulhiq li Miftahit Ta'allum fi I'rabi Matnil Ajrumiyah wal Amtsilah 'ala Ratbih, selesai penulisan pada 29 Sya’ban 1354 H. Membicarakan ilmu nahu merupakan huraian kitab Matn al-Ajrumiyah. Kitab ini dikumpulkan atau ditulis kembali oleh salah seorang muridnya iaitu Tuan Guru Haji Abdullah Thahir bin Ahmad, Bunut Payung. Dicetak oleh Persama Press, Pulau Pinang atas kehendak Tuan Guru Abdullah Thahir bin Ahmad bin Muhammad Zain pada 9 Safar 1356 H.


Gambar TOK KENALI (duduk kiri) bersama ulamak
Kelantan yang lain Pendita Za'aba (memegang tongkat)
[Gambar dari blog pakngah70]

Kisah Tok Kenali ini diambil dari karya Al-Marhom Syeikh Wan Muhammad Saghir r.a di
02/10/2006
_____________________________________________________

Ya Allah, kupohon dengan berkat Tok Kenali, kaurniakan daku ilmu, masa, keturunan dan rezeki yang berkaat...Al-fatihah bibarokati Tok Kenali r.a

Rabu

TUAN TABAL JUGA DIGELAR TUAN KUTAN

( Dua anak Tuan Tabal mengikut jejak ayahnya menjadi ulama, mufti ketiga Kerajaan
Islam Kelantan Haji Wan Musa dan abangnya Haji Wan Muhammad mufti kempat)


Tuan Tabal - Penyebar Tarikat Ahmadiyah pertama di Nusantara

Hubungan Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman al-Kalantani dengan Tuan Tabal yang diriwayatkan sebagai saudara ipar dalam Ruangan Agama, Utusan Malaysia, Isnin, 13 September 2004/28 Rejab 1425H, masih dirasakan perlu diberi keterangan lanjut. Oleh itu pada terbitan kali ini dipilih judul mengenai ulama yang berasal dari Tabal itu. Nama sebenarnya ialah Haji Abdus Shamad bin Muhammad Saleh Tabal al-Fathani al-Kalantani. Sebelum bergelar Tuan Tabal beliau juga pernah digelar Tuan Kutan.

Oleh sebab semua tulisan yang meriwayatkan Tuan Tabal sebelum ini tidak pernah menyebut bahawa beliau adalah beripar dengan Syeikh Wan Ali Kalantani, maka sebelum meneruskan riwayat ini dirasakan perlu menulis perbandingan di bawah ini. Para penulis Kelantan selama ini menyebut bahawa isteri Tuan Tabal itu bernama Wan Tsum atau Wan Kaltsum anak Tok Semian. Maklumat daripada keluarga ini di Terengganu menyebut bahawa Tok Semian adalah nama gelar kepada Haji Abdur Rahman. Apabila kita teliti maklumat ini, maka salasilah yang diperoleh dari Terengganu ada benarnya, kerana ayah Syeikh Wan Ali Kutan dan Wan Kaltsum, adiknya memang bernama Abdur Rahman. Cuma ayah Abdur Rahman di sini bernama Abdul Ghafur, sedangkan ayah Abdur Rahman pada konteks isteri Tuan Tabal sebelum ini dikatakan bernama Lebai Muda. Kemungkinan Lebai Muda di sini adalah nama gelar juga bagi Abdur Ghafur pada konteks datuk kepada Syeikh Wan Ali Kutan dan saudaranya Wan Kaltsum tersebut. Penulis meyakini maklumat versi Terengganu ini, namun walau bagaimana pun penelitian tetap masih perlu dijalankan tanpa hentinya.

Untuk lebih jelas, saya masukkan keratan dari lain dari tulisan al-marhoum di Bicara Agama dalam tajuk Syeikh Wan Senik Karisiqi moyang Syeikh Daud Al-Fathani [sumber].

Syeikh Muhammad Yusya' bin Abdul Ghafur, ayah pada Syeikh Jalaluddin, adalah adik -beradik dengan Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Ghafur. Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Ghafur adalah orang yang sama dengan Syeikh Wan Abdur Rahman al-Kalantani, yang ketika mudanya tinggal di Lorong Tok Semian Kelantan. Beliau juga digelar dengan Tok Semian. Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Ghafur berkahwin dengan Hajah Wan Zainab binti Wan Abdul Qadir, anak perempuannya bernama Hajah Wan Kaltsum, menjadi isteri Tuan Tabal al-Kalantani. Hajah Wan Kaltsum adalah kakak Syeikh Wan Ali Kutan, dapat disemak dalam artikel tarikh 27 September 2004 atau dalam koleksi lepas disini.

KELAHIRAN DAN PENDIDIKAN

Ada pertikaian pendapat tentang tahun kelahiran Tuan Tabal. Yang pertama mengatakan bahawa beliau lahir tahun 1816 Masihi, dan pendapat yang kedua menyebut tahun 1840 Masihi. Nik Abdul Aziz bin Haji Nik Hassan dalam buku Sejarah Perkembangan Ulama Kelantan menentukan bahawa Tuan Tabal lahir pada tahun 1840 Masihi, yang diikuti oleh Hamdan Hassan dalam bukunya Tarekat Ahmadiyah di Malaysia Suatu Analisa Fakta Secara Ilmiah (DBP, 1990, hlm.72). Disebabkan ada dua pendapat di atas, maka penulis masih ragu dengan kedua-dua tahun yang disebutkan itu. Kedua-dua tahun yang disebutkan penulis-penulis lain tidak menyebutkan tahun Arabiyahnya. Padahal pada zaman itu tidak ada ulama kita mencatatkan tahun kelahiran dan tahun wafat menggunakan tahun Masihi. Pemindahan dari tahun Arabiyah kepada tahun Masihi sering terjadi kekeliruan, sebagai contoh Nik Abdul Aziz dalam buku yang sama tersebut di atas (lihat hlm. 99) menyebut bahawa Syeikh Ahmad al-Fathani lahir tahun 1872, padahal hanya salah menyalinnya sahaja daripada tulisan penulis dalam majalah Dian bil. 49, 1972, yang penulis tulis tahun 1272 Hijrah bukan 1872 Masihi.

Tulisan terawal Tuan Tabal ialah Munabbihul Ghafilin yang beliau selesaikan dalam tahun 1285 Hijrah yang jika dijadikan tahun Masihi lebih kurang tahun 1868 Masihi, bererti ketika itu Tuan Tabal baru berusia 28 tahun. Kitab yang tersebut itu walaupun nipis sahaja, namun mencorakkan falsafah mistik peringkat tinggi, yang menurut tradisi ulama dunia Melayu, ilmu tasawuf semacam itu tidak pernah ditulis oleh orang-orang yang berumur 28 tahun. Walaupun mereka menguasai ilmu tasawuf, namun mereka lebih suka menulis ilmu-ilmu yang bercorak zahir saja. Oleh sebab hal-hal yang tersebut di atas tahun 1840 Masihi itu perlu penyelidikan lebih lanjut.

Setelah memperoleh ilmu di Patani, Tuan Tabal melanjutkan pelajarannya ke Mekah. Oleh sebab ilmu Arabiyah beliau kurang kemas sewaktu di Patani, beliau diperintah oleh gurunya Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki memperdalam ilmu-ilmu Arabiyah itu daripada Syeikh Ahmad al-Fathani, walaupun Syeikh Ahmad al-Fathani sendiri jauh lebih muda daripada Tuan Tabal. Tuan Tabal lebih muda sedikit umurnya daripada Syeikh Muhammad Zain al-Fathani, ayah kepada Syeikh Ahmad al-Fathani.
"...dipercayai Tuan Tabal adalah orang pertama menyebarkan thariqat Ahmadiyah di Kelantan dan sekitarnya.."
Mengenai Tuan Tabal belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani itu sangat masyhur diceritakan oleh guru-guru pondok. Juga telah dirakamkan berupa tulisan oleh beberapa orang di antaranya Muhammad Uthman El-Muhammady, Hamdan Hassan (dalam buku yang sama di atas) dan lain-lain. Namun demikian tulisan Hamdan Hassan mengenai kepulangan Tuan Tabal dari Mekah sebelum tahun 1860 Masihi (lihat hlm. 74) masih meragukan. Sebab, dalam tahun 1860 Masihi itu Syeikh Ahmad al-Fathani baru berumur 4 tahun, jadi dalam tahun berapakah Tuan Tabal belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani ? Sebab itu mahu tidak mahu kita terpaksa memilih salah satu daripada dua, iaitu Tuan Tabal benar pernah belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani jauh sesudah tahun 1860 Masihi, atau Tuan Tabal tidak pernah belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani kerana ketika beliau turun dari Mekah pada tahun 1860 Masihi, Syeikh al-Fathani masih kanak-kanak.

Penulis tetap masih berpegang kepada cerita yang mutawatir bahawa Tuan Tabal memang pernah belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani, namun yang perlu penelitian ialah tahun-tahun yang bersangkutan dengan Tuan Tabal kerana masih banyak yang diragui. Ada pun tahun-tahun yang melibatkan Syeikh Ahmad al-Fathani mulai lahir, aktiviti kepelbagaian dalam kehidupan dan tarikh wafat semuanya cukup jelas kerana dokumen mengenai beliau memang tercatat secara teratur.

Dalam waktu yang sama Tuan Tabal, Syeikh Wan Ali Kutan dan Syeikh Ahmad al-Fathani menerima Thariqat Ahmadiyah daripada Sidi Syeikh Ibrahim ar-Rasyidi. Sidi Syeikh Ibrahim ar-Rasyidi adalah murid kepada Sidi Ahmad Idris, iaitu daripadanya dinisbahkan Thariqat Ahmadiyah yang tersebut. Oleh sebab Tuan Tabal pulang ke Kelantan sedangkan Syeikh Wan Ali Kutan dan Syeikh Ahmad al-Fathani tetap tinggal di Mekah, maka dipercayai Tuan Tabal adalah orang pertama menyebarkan thariqat tersebut di Kelantan dan sekitarnya, atau tempat-tempat lain di Nusantara.

Sampai artikel ini ditulis memang belum diketahui orang lain yang lebih awal menyebarkan thariqat itu di dunia Melayu, bagaimanapun penyebaran yang dilakukan oleh Tuan Tabal tidaklah secara besar-besaran seperti yang dilakukan oleh Syeikh Muhammad Sa'id Negeri Sembilan yang muncul agak terkebelakang sedikit daripada Tuan Tabal.

AKTIVITI

Maklumat mengenai Tuan Tabal, pengamal Thariqat Ahmadiyah yang tersebut dapat disemak daripada surat Raja Kelantan ibnu Sultan Muhammad kepada Syeikh Ahmad al-Fathani tarikh 14 Ramadan 1323 Hijrah, tertulis,''... orang yang dahulu beberapa banyak terima Thariqat Rasyidi, seperti Tuan Haji Abdus Shamad Tabal ...'' Dipercayai beliau telah mengajar thariqat yang tersebut terutama kepada anak-anak beliau.

Bagaimanapun pengajaran Thariqat Ahmadiyah yang disebarkan oleh Tuan Tabal bukanlah merupakan pengajian asas. Pengajian yang asas dan pemantapan beliau mula mengajarnya di kampung Kutan, Kelantan, selanjutnya pindah ke Terengganu. Di antara muridnya di Terengganu ialah Bentara Guru Haji Wan Saleh, iaituDato' Bentara Guru Mufti Terengganu. Selanjutnya beliau mengajar pondok di kampung Tempoyak Tabal. Setelah berpindah ke Kota Bharu, Kelantan, pengajaran dan dakwah lebih dipergiatkan lagi. Beliau telah berhasil membangun sebuah surau tempat beribadat dan mendidik umat di Lorong Semian.

PENULISAN

Karya Tuan Tabal yang telah ditemui ialah:

1. Munabbihul Ghafilin, diselesaikan hari Sabtu, 2 Muharam 1285 Hijrah/ 1868 Masihi. Kandungannya membicarakan tasawuf, merupakan petikan daripada kitab Ihya Ulumid Din dan Masyariqul Anwar. Naskhah yang dicetak berasal daripada salinan anak beliau, Nik Abdullah pada hari Sabtu, 29 Syaaban 1320 Hijrah.

2. Jalalul Qulub bi Zikrillah, diselesaikan pada waktu Zuhur, hari Rabu, 18 Muharam 1287 Hijrah/1870 Masihi. Kandungannya juga mengenai tasawuf. Cetakan pertama oleh Majlis Ugama Islam Kelantan, 29 Zulhijjah 1254 Hijrah/ 1935 Masihi. Cetakan yang kedua, Mathba'ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, Kelantan. Diberi kata pendahuluan oleh Tuan Guru Haji Nik Daud bin Ahmad Jambu, di Bukit Rahmah Tanah Merah, Kelantan.

3. Kifayatul `Awam fima Yajibu `alaihim min Umuril Islam, diselesaikan 14 Safar 1295 Hijrah/1878 Masihi. Manuskrip kitab ini telah penulis miliki pada 3 Syawal 1411 Hijrah, dihadiahkan oleh salah seorang keturunan Tuan Guru Haji Ahmad bin Abdul Manan (ulama Kelantan murid Syeikh Ahmad al-Fathani). Manuskrip tersebut tidak lengkap dan merupakan salinan yang dilakukan pada akhir bulan Syawal 1321 Hijrah/1903 Masihi. Selain manuskrip penulis juga memiliki cetakan batu yang diperoleh di Senggora (1991). Tempat dan tarikh cetakan tiada tersebut dalam cetakan huruf batu tersebut.

4. Mun-yatu Ahlil Auwab fi Bayanit Taubah, oleh sebab saya tidak dapat merujuk kitab asli, maka tidak dapat memastikan yang mana sebenarnya judul yang betul, apakah seperti yang penulis tulis itu atau yang satu lagi tertulis "... al-Awbah ...'' bukan " ... Auwab ...''. Tertulis Auwab berdasarkan senarai tulisan tangan yang penulis peroleh daripada salah seorang keturunan Tuan Tabal, dalam senarai Nik Abdul Aziz juga sama demikian. Yang menulis al-Awbah ditulis oleh beberapa penulis termasuk Hamdan Hassan (lihat hlm. 238). Daripada senarai Hamdan Hassan diperoleh maklumat bahawa kitab ini pernah diterbitkan oleh Mustafa Press, Kota Bharu (tanpa tahun).

5. Bab Harap, dicetak oleh Mathba'ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, 1359 Hijrah/ 1940 Masihi.

6. Bidayatu Ta'limil `Awam fi Tarafi min Arkanil Islam, tanpa menyebut tarikh. Pernah dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah, Mekah, 1323 Hijrah/1906 Masihi. Cetakan kelima oleh Mathba'ah al-Kamaliyah, Kota Bharu.

7. Manhatul Qaribil Mujib wa Mughnir Raghibin fit Taqrib, diselesaikan pada Jumaat, 10 Zulhijjah 1300 Hijrah/1882 Masihi. Kandungan kitab ini ialah usuluddin, fikah dan tasawuf. Tetapi yang terpenting ialah fikah. Cetakan yang kedua oleh Mathba'ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, 1354 Hijrah/ 1935 Masihi. Kitab ini adalah karya Tuan Tabal yang paling tebal, 327 halaman menurut ukuran model kitab-kitab Melayu/Jawi.

8. Mun-yatul Muridin fi Ba'dhi Ausafi Saiyidil Mursalin, kitab ini tidak sempat diselesaikan kerana beliau meninggal dunia. Kitab ini pernah diterbitkan oleh Mathba'ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, 1345 Hijrah/1926 Masihi.

Beberapa orang anak dan keturunan Tuan Tabal yang menjadi ulama, di antaranya Mufti Haji Wan Muhammad Bin Haji Abdul Samad (1870M-1920M) mufti ketiga kerajaan Islam Kelantan abang kepada Mufti Haji Wan Musa Bin Haji Abdul Samad menjadi mufti ke empat kelantan selepas menggantikan adiknya(1875M-1939M) dan lain-lain akan dibicarakan dalam siri-siri berikutnya. Insyallah

Al-Fatihah.....

sumber dari utusan malaysia bertarikh 04/10/2004
gambar dari web tokoh Ulama kelantan here

__________________________________________________
Ya Allah ya tuhanku...aku bermohon dengan berkat kekasihmu Tuan Guru Tabal Al-Kelantani ampunilah dan berkatilah ibubapaku,aku adik2ku dan leluhur keluargaku juga keturunanku sepanjang masa, tiliklah kami dengan tilikan rahmatmu Ya Rabb dunia dan akhirat...
Ya Rabb..ampunilah juga sahabat2 kuyg telah pergi mengadapMu YaRabb dan yg pasti kami akan pergi jua Ya rabb,khusus doaku untuk diriku dan sahabatku Nik Fuad berketurunan Tuan Tabal ini, juga Md Anuwi dan Fadli Yusuf P.Puteh, Ruzaha Kuala Krai, Zabidi, Nik Azham , Azman dan Safie jelawat keluarga dan sahabat2 mereka semua dengan berkat Tuan Tabal r.a...amiin.


Isnin

SYEIKH WAN ALI KUTAN PENYUSUN LUM'ATUL AURAD

Syeikh Wan Ali Kutan - Guru para ulama Melayu
RIWAYAT ini masih dalam rangkaian ulama yang mempunyai hubungan dengan pengajian pondok di Sungai Dua, Seberang Perai, Syeikh Jalaluddin bin Muhammad Yusya' bin Abdul Ghafur al-Jawi al-Kalantani yang dipercayai adalah saudara sepupu ulama yang dibicarakan ini. Nasab ke atas sampai kepada nama Wan Abdul Ghafur yang dianggap sahih kerana tercantum dalam salah sebuah karangan Syeikh Wan Ali al-Kalantani. Penyelidikan penulis yang terkini mendapati bahawa ada orang meriwayatkan ayah Wan Abdul Ghafur itu bernama Syeikh Wan Ali bin Syeikh Wan Izzuddin. Syeikh Izzuddin ini mempunyai dua nama, yang satu lagi ialah Syeikh Wan Taqiyuddin. Tentang ini masih belum dipandang sahih.

Keluarga Besar

Sebagaimana Syeikh Jalaluddin al-Kalantani mempunyai hubungan keturunan yang luas, demikian pula halnya Syeikh Wan Ali al-Kalantani, kerana Syeikh Wan Ali al-Kalantani mempunyai beberapa orang adik beradik. Mereka ialah: 1. Haji Wan Seman, 2. Wan Bulat, 3. Wan Hawa, 4. Wan Kaltsum, 5. Wan Siti Hajar, dan yang bungsu ialah Syeikh Wan Ali. Haji Wan Seman bin Wan Abdur Rahman mendapat tiga orang anak, iaitu Nik Sah, Wan Timun dan Nik Wan Zainab. Melalui anaknya Wan Timun, anak perempuan Wan Timun bernama Wan Embong, anak perempuan Wan Embong bernama Nik Wan Zainab kahwin dengan Tengku Hamzah Tengku Setia Maharaja, anaknya bernama Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li).

Wan Hawa binti Wan Abdur Rahman berkahwin dengan Wan Muhammad bin Wan Musa, memperoleh 4 orang anak. Salah seorang di antaranya Wan Salamah yang berkahwin dengan Wan Ya'qub bin Wan Sulaiman, memperoleh anak bernama Wan Kaltsum yang kahwin dengan Wan Ahmad Hakim bin Ibrahim (Hakim di Besut, Terengganu), keturunannya di Terengganu. Di antara anaknya ialah Wan Muhammad Ali, ayah kepada Haji Wan Abdur Rahim Kamil, salah seorang tokoh perbankan Islam.

Wan Kaltsum binti Wan Abdur Rahman berkahwin dengan ulama bernama Haji Abdus Shamad Kutan, yang kemudian dikenali dengan gelar Tuan Tabal. Beliau adalah guru kepada Bentara Guru Haji Wan Saleh, iaitu Dato' Bentara Guru Mufti Terengganu. Mengenai Tuan Tabal yang bererti saudara ipar kepada Syeikh Wan Ali Kutan diperoleh maklumat daripada keluarga ini di Terengganu, secara terperinci akan diceritakan pada siri-siri berikut dalam judul yang tersendiri.

Wan Siti Hajar binti Wan Abdur Rahman mempunyai anak iaitu Haji Muhammad Sa'id. Beliau berhijrah ke Langkat, belajar dan berkhidmat kepada Mursyid Thariqat Naqsyabandiyah yang terkenal, iaitu Syeikh Abdul Wahhab Rokan di Besilam perintis tarikat Nakshabandi di Langkat. Akhirnya Haji Muhammad Sa'id menjadi murid kesayangan dan orang kanan ulama yang terkenal itu. Haji Muhammad Sa'id memperoleh enam orang anak, di antaranya ialah Khalifah Haji Abdul Hamid. Anak beliau ialah Haji Muhammad Saleh Hamid, Ketua Majlis Ulama Indonesia, Kabupaten Langkat dan Drs. Haji Usman Hamid, bekas dosen/pensyarah FPOK, IKIP, Medan, Sumatera Utara.

Kelahiran

Sheikh Wan Ali bin Wan Abdur Rahman merupakan saudara bongsu enam beradik yang diriwayatkan ini, oleh itu dalam surat menyurat Syeikh Ahmad al-Fathani memanggil ulama Kelantan tersebut dengan panggilan 'Pak Cu Wan Ali'. Syeikh Wan Ali adalah ayah saudara sepupu kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Syeikh Wan Ali al-Kalantani pula berkahwin dengan saudara sepupunya bernama Wan Aisyah binti Wan Muhammad Saleh al-Fathani, adik beradik dengan Wan Cik binti Wan Muhammad Saleh al-Fathani, ibu kepada Syeikh Ahmadal-Fathani.

Syeikh Wan Ali lahir dekat Kota Kubang Labu, di tepi Sungai Kelantan. Ismail Awang dalam majalah Pengasuh menyebut bahawa beliau lahir tahun 1253 Hijrah/1837 Masihi, tarikh inilah yang diikuti oleh kebanyakan penulis. Penulis sendiri tetap mempertikaikan tahun yang disebutkan itu, jika ditulis tahun 1235 Hijrah/1820 Masihi, barangkali lebih mendekati kebenaran. Hujah-hujah penulis adalah bahawa di kalangan keluarga telah popular cerita tentang Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani adalah sebaya umurnya dengan Syeikh Wan Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani.

Selain itu, antara beliau terjadi tukar menukar ilmu pengetahuan dengan Syeikh Abdul Qadir bin Mustafa al-Fathani (adik Syeikh Muhammad Zain al-Fathani). Adapun hubungan Syeikh Muhammad Zain al-Fathani dengan Syeikh Wan Ali Kutan itu adalah berbirasan, kerana isteri kedua-duanya adalah adik beradik. Isteri Syeikh Wan Ali Kutan bernama Wan Aisyah binti Wan Muhammad Saleh al-Fathani dan isteri Syeikh Wan Muhammad Zain al-Fathani bernama Wan Cik binti Wan Muhammad Saleh al-Fathani. Syeikh Ahmad al-Fathani mencatat tahun kelahiran ayahnya itu pada tahun 1233 Hijrah/ 1817 Masihi dan ibunya lahir pada tahun 1241 Hijrah/1825 Masihi. Sedangkan dalam riwayat bahawa Wan Cik al-Fathani itu walaupun menjadi kakak ipar kepada Syeikh Wan Ali Kutan, namun Syeikh Wan Ali Kutan lebih tua daripada Wan Cik. Wan Aisyah adik Wan Cik pula dilahirkan pada tahun 1243 Hijrah/1827 Masihi, sedangakn Wan Ali Kutan adalah lebih tua daripada isterinya itu.

Dengan fakta-fakta tersebut di atas, penentuan tarikh lahir Syeikh Wan Ali Kutan adalah pada tahun 1253 Hijrah/1837 Masihi (yang bererti lebih muda sekitar sepuluh tahun daripada isterinya) itu adalah suatu kekeliruan. Diharapkan kepada para pengkaji sejarah dapat meneliti kembali tahun-tahun yang tersebut itu, mudah-mudahan sejarah yang tepat dapat menjadi pegangan yang tidak menjadi keraguan lagi.

Pendidikan

Pendidikan ketika di Kelantan tidak jelas, yang dapat dikaji dimulai dari umur 12 tahun, kerana ketika usia itulah beliau dibawa ke Mekah untuk belajar di sana. Pendidikan di Mekah itu merupakan penentuan bahawa Syeikh Wan Ali al-Kalantani dapat dikategorikan sebagai ulama besar yang lengkap dengan pelbagai ilmu pengetahuan keIslaman. Di antara gurunya di Mekah dapat dicatat ialah Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Syeikh Muhammad Haqqi an-Nazili an-Naqsyabandi. Kedua-dua ulama ini sangat terkenal.

Selain itu, Syeikh Wan Ali al-Kalantani belajar pula kepada Syeikh Ahmad As'ad ad-Dihan, Syeikh Abdus Shamad Pulau Condong seorang ulama sufi yang sangat berwibawa Kelantan dan lain-lain. Di Madinah Syeikh Wan Ali belajar kepada Syeikh Muhammad Amin bin Sayid Ridhwan al-Madani, terutama sekali menerima ijazah Shalawat Dalailul Khairat dengan sanad yang bersambung sampai kepada pengasasnya Syeikh Sulaiman al-Jazuli.

Dalam karangannya Lum'atul Aurad, Syeikh Wan Ali al-Kalantani menyebut bahawa beliau menerima ijazah Hizbul Bahri daripada Syeikh Ahmad bin As'ad ad-Dihan juga daripada Syeikh Abdus Shamad Pulau Condong, Kelantan. Syeikh Abdus Shamad Pulau Condong menerima daripada Syeikh Abdullah bin Muhammad Saleh, beliau menerima daripada ayahnya Syeikh Muhammad Saleh bin Abdur Rahman al-Fathani, beliau pula menerima daripada Syeikh Muhammad Saleh bin Ibrahim Mufti Syafi'ie di Mekah pada zamannya. Silsilah ini bersambung terus hingga kepada pengamal pertama Hizbul Bahri, iaitu Wali Allah Syeikh Abil Hasan asy-Syazili r.h. Syeikh Wan Ali al-Kalantani termasuk pengikut Thariqat Syaziliyah yang sanad/silsilahnya bersambung daripada Syeikh Abil Hasan asy-Syazili hingga kepada Hadhrat Baginda Rasulullah s.a.w.

Syeikh Wan Ali al-Kalantani juga belajar berbagai-bagai ilmu kepada Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani termasuk beliau menerima Thariqat Syathariyah kepada ulama Patani itu. Syeikh Wan Ali al-Kalantani juga termasuk pengamal Thariqat Ahmadiyah yang dinisbahkan kepada Sayid Ahmad bin Idris. Dipercayai Syeikh Wan Ali al-Kalantani telah menerima talqin bai'ah Thariqat Ahmadiyah itu daripada Syeikh Ibrahim ar-Rasyidi.

Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman, Kutan al-Kalantani meninggalkan beberapa karangan, yang senarai lengkapnya adalah sebagai berikut:

1. Al-Jauharul Mauhub wa Munabbihatul Qulub, 1306 Hijrah/1888 Masihi. Kandungannya merupakan terjemahan dan syarah Lubabul Hadits. Matan Lubabil Hadits adalah karya Imam Jalaluddin as-Suyuthi. Cetakan pertamanya ditashih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Pada cetakan pertama tercantum puisi dalam bahasa Arab gubahan Syeikh Ahmad al-Fathani yang terdiri daripada 27 bait, dua-dua rangkap.

2. Zahratul Murid fi 'Aqaidit Tauhid, 1310 Hijrah/1892 Masihi. Kandungannya membicarakan perkara tauhid menurut pegangan Ahlus Sunnah wal Jama'ah. Cetakan pertama, juga ditashih oleh Syeikh Ahmad al- Fathani. Di bahagian muka dan belakang cetakan Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1315 Hijrah terdapat keterangan Syeikh Ahmad al-Fathani. Kitab ini terdapat beberapa edisi cetakan di antaranya dicetak oleh Mathba'ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, Kelantan.

3. Lum'atul Aurad, 1311 Hijrah/1894 Masihi. Kandungannya mengenai selawat, wirid dan pelbagai doa. Terdapat pelbagai edisi cetakan, di antaranya oleh Matba'ah al-Miriyah, Mekah, cetakan kedua 1314 Hijrah. Edisi cetakan Matba'ah Al-Ahmadiah, Singapura, 1346 Hijrah. Dan edisi yang terakhir ialah yang diusahakan oleh cucunya, Haji Wan Abdul Qadir Daud al-Kalantani. Edisi yang terakhir ini dicetak terus menerus dan masih beredar di pasaran kitab sampai sekarang ini. Lum'atul Aurad ini sangat banyak diamalkan oleh para ulama dan orang awam dunia Melayu, bagi pengamal-pengamalnya selalu menceritakan akan keberkesanan amalan tertentu yang termaktub dalam kitab itu setelah mereka mengamalkannya secara teratur dan rutin.

4. Majma'ul Qashaid wal `Awaid, 1320 Hijrah/1902 Masihi. Kandungannya merupakan kumpulan pelbagai qasidah. Cetakan pertama Mathba'ah al-Miriyah, Mekah, 1321 Hijrah.

5. Ilmu Perubatan, ditulis dalam bahasa Arab, masih dalam bentuk manuskrip.

6. Ilmu Perubatan, ditulis dalam bahasa Melayu, masih dalam bentuk manuskrip.

7. Catatan-catatan, masih dalam ben-tuk manuskrip.

Disebabkan kekurangan ruangan, keturunan Syeikh Wan Ali al-Kalantani tidak dapat dimuat dalam artikel ini, insya-Allah akan dibicarakan pada kesempatan dan waktu yang lain.

Sumber dr artikel tulisan Almarhoum Syeikh Wan Muhammad Saghir r.a 27/09/2004
_________________________________________

Ya Allah, ku pohon dariMu dengan berkat Syeikh Wan Ali Kutan Al-Kelantani, ampunkan aku dan keluarga ku,sampaikan hajat kami dan peliharalah kami semua.
Dan juga semua sahabatku khususnya Fauzi Al-Zuhuri, Badr Al-Bhanggi dan Din Al-Selangouri serta keluarga mereka dan sahabat2 mereka, sampailah hajat kami yg baik2,qobulkan doa dan terima amalan kami,peliharalah kami Ya Rabb dunia akhirat dgn berkat Tok Wan Ali Kutan r.a



Rabu

MEMBACA AL-QURAN JADI KESUKAANYA

HAJi Ismail Al-Kalantani (kiri) dan Saiyid Abdullah Az-Zawawi dua
ulama luar yang berperanan besar dalam kerajaan Pontianak.


Ismail al-Kalantani - Mufti Kerajaan Pontianak

Nama lengkapnya ialah Ismail bin Haji Abdul Majid bin Haji Abdul Qadir al-Kalantani. Lahir di Kampung Labok, Macang, Kelantan. Mengenai tahun lahir dan wafatnya masih perlu dikaji kembali. Pendapat awal menyebut bahawa Ismail Kelantan lahir pada tahun 1293 Hijrah/1876 Masihi. Ismail Che' Daud menjelaskan pada notanya bahawa ulama tersebut lahir pada awal tahun 1300 Hijrah/1882 Masihi. Demikian tentang wafatnya bahawa pendapat awal menyebut tahun 1365 Hijrah/1946 Masihi, Ismail Che' Daud menyebut kemungkinan pada tahun 1370 Hijrah/1951 Masihi atau terkemudian lagi.

PENDIDIKAN

Ismail dan abangnya Muhammad Nuh (yang kemudian dikenali sebagai Haji Nuh Kaya) setelah memperoleh pendidikan asas di Kelantan, dihantar belajar ke Mekah. Di Mekah, Ismail sempat mengikuti majlis pengajian Syeikh Ahmad al-Fathani, sama ada di rumah mahu pun di Masjid al-Haram. Ada orang meriwayatkan bahawa Ismail Kelantan pulang ke Kelantan sesudah haji pada tahun 1325 Hijrah/1908 Masihi, iaitu tahun kewafatan Syeikh Ahmad al-Fathani (wafat 11 Zulhijjah 1325 Hijrah/18 Januari 1908 Masihi). Riwayat lain menyebut bahawa setelah Syeikh Ahmad al-Fathani meninggal dunia, Ismail Kelantan meneruskan pengajiannya kepada beberapa orang ulama besar Mekah, antaranya Saiyid Abdullah az-Zawawi (lahir 1266 Hijrah/1850 Masihi, wafat 1343 Hijrah/1924 Masihi), Syeikh Muhammad Mahfuz bin Abdullah at-Tarmasi dan ramai lagi. Syeikh Muhammad Mahfuz bin Abdullah at-Tarmasi berasal dari Termas (Jawa) adalah seorang ulama besar Mazhab Syafie dan ahli dalam ilmu hadis. Beliau mempunyai beberapa karangan yang besar, antaranya Muhibah Zawin Nazhar yang tebalnya empat jilid.

Hubungan mesra antara Ismail Kelantan dengan Saiyid Abdullah az-Zawawi sejak beliau belajar di Mekah lagi, yang ketika itu Saiyid Abdullah az-Zawawi adalah seorang Mufti Mazhab Syafie di Mekah. Ketika pergolakan Wahhabi di Mekah, beberapa orang ulama tidak aman tinggal di Mekah, termasuklah Saiyid Abdullah az-Zawawi. Haji Ismail Kelantan mengikut gurunya Saiyid Abdullah az-Zawawi itu berhijrah dari Mekah ke Riau dan selanjutnya ke Pontianak. Sewaktu Saiyid Abdullah az-Zawawi menjadi Mufti Pontianak, Ismail Kelantan terus bersama gurunya itu, belajar pelbagai bidang ilmu tiada henti-hentinya walau pun ilmu yang dikuasainya cukup banyak dan memadai. Riwayat lain menyebut bahawa Ismail Kelantan pulang ke Kelantan lebih awal (1325 Hijrah/1908 Masihi), dan selanjutnya pergi ke Cam/Kemboja.

Ilmu falak

Ismail Kelantan tidak sempat menamatkan ilmu falak yang dipelajarinya daripada Syeikh Ahmad al-Fathani. Oleh itu setelah Syeikh Ahmad al-Fathani meninggal dunia, beliau meneruskan pendidikan khusus tentang ilmu falak itu daripada Syeikh Muhammad Nur bin Muhammad bin Ismail al-Fathani. Ketika mempelajari ilmu falak daripada Syeikh Muhammad Nur al-Fathani, beliau bersama Syeikh Haji Abu Bakar bin Haji Hasan Muar.

Mengenai ketokohan Ismail Kelantan dalam ilmu falak dapat dibuktikan dalam karyanya Pedoman Kesempurnaan Manusia. Menurut cerita Ustaz Abdur Rani Mahmud (ketika masih hidup sebagai Ketua Majlis Ulama Kalimantan Barat), bahawa Ismail Kelantan adalah orang pertama yang menyebarluaskan ilmu falak di Pontianak, khususnya atau Kalimantan Barat umumnya.

KE PONTIANAK SEBAGAI MUFTI

Selain bersama gurunya Saiyid Abdullah az-Zawawi di Pontianak, Ismail Kelantan pernah menziarahi Syeikh Muhammad Yasin, seorang ulama yang berasal dari Kedah, yang tinggal di Kuala Secapah, Mempawah. Pada tahun kedatangan Ismail Kelantan ke Kuala Secapah, Mempawah itulah Syeikh Muhammad Yasin Kedah meninggal dunia. Ismail Kelantan juga menziarahi Wan Nik, seorang ulama sufi yang berasal dari Patani. Beliau tinggal dalam bandar Mempawah.

Dalam waktu yang relatif singkat, kealiman Ismail Kelantan tersebar di sekitar Mempawah dan Pontianak. Oleh sebab itu Adam, seorang hartawan Bugis di Sungai Itik, Pontianak, iaitu seorang yang sangat haus dengan ilmu pengetahuan, menjemput Ismail Kelantan mengajar di rumahnya. Bukan itu saja, atas kehendak Adam dan Mu'minah binti Haji Muhammad Thahir, mereka menjodohkan anak perempuannya dengan Ismail Kelantan. Perkahwinan dengan anak Adam itu merupakan perkahwinan Ismail Kelantan yang pertama di Pontianak. Detik-detik terakhir akan kepulangannya ke Kelantan, Ismail berkahwin lagi dengan Jamaliah yang berasal dari Tasik Malaya, Jawa Barat. Perkahwinan kedua ini adalah atas kehendak dan perintah Sultan Muhammad, Sultan Pontianak.

Daripada sepucuk surat Ismail Kelantan kepada Syarif Muhammad bin Syarif Yusuf, Sultan Pontianak, tarikh Pontianak: 28 Februari 1924, dapatlah diketahui bahawa mula-mula beliau dilantik sebagai Naib Hakim di Rad Agama Pontianak mulai tarikh 12 Ogos 1920 Masihi. Pada tarikh penulisan surat 28 Februari 1924, kedudukan Ismail Kelantan adalah sebagai Mufti di Kerajaan Pontianak.

Sewaktu Ismail Kelantan menjadi Mufti Pontianak, ada tiga orang ulama yang bernama Ismail. Dua orang lagi ialah Ismail bin Abdul Lathif (lebih dikenali dengan Ismail Jabal) dan Ismail bin Abdul Karim (lebih dikenali sebagai Ismail Mundu). Ismail bin Abdul Lathif berpangkat Adviseur Penasihat Rad Agama Kerajaan Pontianak. Ismail bin Abdul Karim (wafat pada hari Khamis, 15 Jamadilakhir 1376 Hijrah/16 Januari 1957 Masihi) pula adalah Mufti Kerajaan Kubu, sebuah kerajaan kecil di bawah naungan Kerajaan Pontianak. Ketiga-tiga ulama tersebut sangat terkenal di dalam Kerajaan Pontianak. Bahkan kerajaan-kerajaan lain di seluruh Kalimantan/Borneo.

PULANG KE KELANTAN

Ismail Kelantan pulang ke Kelantan sekitar tahun 1937. Di Kota Bharu beliau menjadi guru di Jami' Merbau yang berstatus sebagai pendidikan tinggi Islam ketika itu. Murid-murid yang diterima di Jami' Merbau adalah orang-orang yang telah mendapat pendidikan yang cukup memadai, yang datang dari seluruh Semenanjung dan Patani.

* Sekarang ini Jami' Merbau dikenali Sekolah Menengah Arab Ma'ahad Muhammadi, ianya didirikan pada tahun 1937 dengan nama Al-Madrasah al-Arabiyah al-Muhammadiyah Majlis Agama Islam Kelantan. Pada masa itu, ia belajar di sudut belakang bangunan Majlis Agama Islam Kelantan, dekat dengan Masjid Muhammadi, masjid besar Kota Bharu Kelantan. Pada tahun 1942, ia berpindah ke Jalan Merbau, dan namanya pun ditukar kepada al-Madrasah al-Arabiyah Jami' Merbau al-Ismalili. Dalam tahun 1956 sekali lagi berpindah, dan namanya pun turut diubah kepada Al-Ma'ahad al-Muhammadi. Dalam tahun 1982, ia dipecah kepada dua bahagian, iaitu bahagian lelaki dan bahagian perempuan. Pada tahun 1984, Ma'ahad Muhammadi bahagian lelaki berpindah ke Jalan Pangkalan Chepa. Dalam tahun 1985, Ma'ahad Muhammadi lelaki ditempatkan di bangunan lama al-Madrasah al-Falahiyah, Pasir Pekan. Pada tahun 1988, bangunan tambahan Ma'ahad Muhammadi lelaki di Jalan Pangkalan Cepa dibina untuk menampung pelajar dari kelas peralihan hingga ke tingkatan 6 atas, yang mula diguna pada awal tahun 1989 hingga kini.

Semangat

Selain mengajar di Jami' Merbau, Ismail Kelantan juga menjadi guru dan imam di Istana Sultan Kelantan. Ismail Kelantan adalah hafiz al-Quran tiga puluh juzuk, fasih ketika berpidato dan berkhutbah di atas mimbar. Kelebihannya pula dapat mempengaruhi dan membakar semangat pendengar. Dalam satu peristiwa pergaduhan yang didalangi Bintang Tiga yang terjadi di Kota Bharu, Ismail Kelantan telah berpidato sehingga menaikkan semangat juang orang Melayu.

PENULISAN

1. Fatwa Daripada as-Saiyid Abdullah Ibnu Almarhum as-Saiyid Muhammad Shalih az-Zawawi Jawab Soal Dari Tanah Jawa, diselesaikan pada 25 Syawal 1330 Hijrah. Kandungannya mengenai ayat-ayat al-Quran dalam piring hitam. Diberi gantungan makna dalam bahasa Melayu daripada karya asalnya yang ditulis dalam bahasa Arab, Rejab tahun 1326 Hijrah. Dicetak dengan kehendak as-Saiyid Ja'far bin Pangeran Syarif Abdur Rahman al-Qadri Pontianak. Dicetak di Mathba' Haji Muhammad Sa'id bin al-Marhum Haji Arsyad, No. 82 Arab Street Singapura, pada 25 Syawal 1330 Hijrah oleh Muhammad bin Haji Muhammad Sa'id, Basrah Street, No. 49 Singapura.

2. Risalah Pada Bicara Jum'at dan Sembahyang Zhuhur Mu'adah, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan. Tarikh salinan 3 Rabiulawal 1345 Hijrah. Manuskrip disalin oleh Khathib Peniti Kecil, diperoleh di Pontianak pada 8 Syawal 1422 Hijrah/22 Disember 2001 Masihi. Kandungan perbahasan khilafiah mengenai sembahyang Jumaat dan sembahyang Zuhur atau mu'adah.

3. Pedoman Kemuliaan Manusia, kandungannya membicarakan rampaian berbagai-bagai ilmu, termasuk falakiyah. Cetakan yang pertama Mathba'ah al-Ma'arif, Kota Bharu, Kelantan. Taqriz/pujian: Tuan Guru Ahmad Mahir bin Haji Ismail Kemuning, Kadi Besar Negeri Kelantan (ditulis pada 22 Januari 1938), Tuan Guru Nik Muhammad Adib bin Syeikh Muhammad Daud, Jawatan Tinggi Kadi Pelawat atau Pemeriksa Kadi-kadi Dalam Kelantan (ditulis 22.11.37), Tuan Guru Abdullah Tahir bin Ahmad, Guru Besar Ugama Dalam Kelantan dan Anggota Ulama Dalam Majlis Ugama Islam Kelantan (ditulis 14 Zulkaedah 1356 Hijrah).
"..di mana saja beliau duduk, mulutnya sentiasa membaca ayat-ayat al-Quran. Tangannya senantiasa memegang tasbih.."
KETURUNAN DAN MURID

Sewaktu Ismail Kelantan pulang ke Kota Bharu, Kelantan, tiga orang anaknya dengan isteri pertama telah berumah tangga, ketiga-tiganya tidak ikut pulang ke Kelantan. Anak-anaknya yang pernah ditemui penulis ialah anaknya yang tinggal di Parit Sungai Keluang, Peniti, Kecamatan Siantan, Kabupaten Pontianak. Suaminya bernama Arif. Seorang anak Ismail Kelantan yang perempuan lainnya tinggal di Pontianak. Dipercayai ketiga-tiga anak Ismail Kelantan melahirkan keturunan yang ramai di Pontianak atau pun telah berpindah ke tempat-tempat lainnya.

Antara sekian ramai murid Ismail Kelantan di Pontianak yang sangat rapat dengan penulis ialah Ustaz Abdur Rani Mahmud. Beliau termasuk salah seorang guru penulis. Jawatan terakhir beliau ialah Ketua Majlis Ulama Kalimantan Barat. Beliau adalah tempat rujukan segala kemusykilan mengenai Islam bagi masyarakat umum dan pihak pemerintah di Kalimantan Barat.

Cerita-cerita mengenai kelebihan atau keistimewaan Ismail Kelantan banyak penulis dengar dan catat daripada Abdur Rani Mahmud. Menurut Abdur Rani Mahmud, Ismail Kelantan adalah orang pertama menyebarkan ilmu falak secara meluas di Pontianak. Katanya, "Kemungkinan Haji Ismail Kelantan hafal Quran tiga puluh juzuk kerana di mana saja beliau duduk, mulutnya sentiasa membaca ayat-ayat al-Quran. Tangannya senantiasa memegang tasbih. Kalau mengajar mata pelajaran apapun yang diajarkannya semuanya secara hafal walau pun kitab ada di depannya.''

ULAMA yang berasal dari Kelantan ini pernah penulis (Almarhoum Syeikh W.Md.Saghir) riwayatnya di dalam Majalah Pengasuh yang diperlengkapkan oleh Ismail Awang. Selanjutnya dimuat dalam buku Tokoh-Tokoh Ulama Semenanjung Melayu (jilid 1), yang diselenggarakan oleh Ismail Che Daud dan diterbitkan oleh Majlis Ugama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, cetakan pertama, 1988. Beberapa tahun kemudian penulis menemui data-data baru mengenai ulama Kelantan yang pernah menjadi Mufti Kerajaan Pontianak di Kalimantan Barat ini, oleh itu riwayat mengenainya ditulis kembali di dalam ruangan Agama, Utusan Malaysia ini.

Oleh ALMARHOUM WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH [Utusan Malaya] 02/08/2004

TOK KENALI TOKOH SUFI ALAM MELAYU

KETOKOHAN TUK KENALI DAN SUMBANGANNYA
Tuk Kenali ialah seorang tokoh tokoh ‘Ulama’ , guru, tokoh pembangun pemikiran umat Islam di dunia sebelah sini, di awal abad ke-20. Beliau seorang alim Rabbani yang dalam hidupnya banyak berpandukankitab Suci Al-Quran dan Sunnah Nabi Shallallaahu alaihi wasallam. Beliau disebut juga sebagai seorang yang memilih hidup sederhana . dan juga seorang wali keramat dan mendapat ilham daripada Allah dan ilmu laduni (Ilmu Kurniaan Ilahi tanpa belajar).

Bagi seseorang yang mengkaji sejarah tanah air, lebih-lebih lagi menyelidiki 'sejarah kelantan' maka dia secara langsung atau tidak, akan menemui nama Tuk kenali’. Mengikut perkembangan sejarah, Tuk Kenali adalah merupakan seorang pembangun fikiran umat Islam di dunia sebelah sini menerusi pengajaran kepada murid-murid yang bertebar pada beberapa tempat di Alam Melayu, juga melalui fikiran-fikirannya yang membina menerusi majalah “Pengasuh”, keluaran Majlis Agama Islam dan Adat istiadat Melayu kelantan dan majalah “Al-Hikmah” sebuah majalah pengatahuan yang antara lain yang sedang bersemarak di masa ini.

Sesuatu perkara yang menarik perhatian kita ialah perjuangan dan penghidupan Tuk kenali adalah agak nyata. Beliau banyak menerima pengaruh dari ajaran-ajaran Failasuf islam Al-Iman Ghazali , (1058-1111M) seorang pembangun dan pembina fikiran umat Islam yang banyak membuat pembaharuan dalam acara mengupas soal-soal agama berdasarkan ajaran-ajaran kitab suci Al-Quran dan hadis di samping memperoleh ilmu ladunni di zaman silam.

Melihat kepada perjuangannya, kita mendapati cara perjuangannya hampir-hampir sama dengan perjuangan Syaikh Muhammad Abduh (1849-1905M), seorang pembawa pembaharuan pemikiran umat Islam yang meletakkan kitab Al-Quran sebagai asas perjuangannya dan perjuangannya adalah secara menyeluruh menyedar dan membina masyarakat dalam aspek hidup, agama, ilmu pengatahuan, politik, sosial ekonomi dan lain-lain yang secara kebetulan di masa Tuk kenali berada di kota Suci makkah dan semasa beliau melawat ke Mesir bersama Tuan Guru beliau Syeikh Ahmad Al-Fathani 1322H (1904M) merupakan akhir zaman Syaikh itu.

* Jika disimpulkan dari cerita-cerita Tok Kenali r.a oleh Syeikh Wan Muhammad Saghir r.a beliau lebih muyul kearah pembawakan sebagaimana guru besarnya di Mekah Mukarromah iaitu Tuan Guru Syeikh Ahmad al-Fathoni r.a, penyalin tidak dapat pastikan sejauhmana pendekatan yang diambil dari Syeikh Muhammad Abduh sebagaimana yang dinyatakan oleh Ustaz Abdullah Al-Qori, sila rujuk artikel oleh Sheikh Muhammad Saghir di sini

Untuk selanjutnya marilah sama-sama kita mengikuti garis-garis perjuangan beliau dan cebisan riwayat hidup beliau sebagai berikut:

KELAHIRAN TUK KENALI

Beliau dilahirkan di Kampung Kenali, Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan kira-kira pada tahun 1287H (1870M*) dengan nama Muhammad Yusof (Pernah disebut sebagai Awang sahaja) iaitu di penghujung pemerintahan Sultan Muhammad II (1837-1886M). Bapanya seorang petani bernama Ahmad, manakala Fatimah, ibunya adalah seorang insan yang sopan dan bercita-cita tinggi dan murni.

LATAR BELAKANGNYA:

Muhammad Yusoff dilahirkan dalam keluarga yang sederhana, dan ini adalah membentukkan sifat peribadinya yang tidak menonjol. Bapanya seorang petani manakala ibunya bagaimana kebiasaan orang-orang di kampungnya adalah bekerja menolong pekerjaan suaminya.

Sebelum melanjutkan pelajaran ke luar negeri, Muhammad yusof telah mula belajar pada datuknya sendiri Encik Salleh (Tok Leh) iaitu dalam pelajaran membaca kitab suci Al-Quran dan pelajaran tulis-menulis. Sesudah itu dia menyambungkan pelajaran ke masjid Besar Al-Muhammadi, Kota Bharu dan tempat-tempat pengajian lain di sekitar kota Bharu dalam pelajaran Bahasa Arab, nahu, saraf juga pengetahuan agama.

Perlu disebutkan bahawa datuknya adalah seorang yang lebai, wara, mempunyai sedikit sebanyak ilmu-ilmu agama untuk panduan hidup, seorang yang mempunyai kesedaran, mematuhi peraturan-peraturan agama dan gemar berbuat ibadat semata-mata mencari keredaan Allah.

Bapanya meninggal dunia sewaktu umurnya baru meningkat 5 tahun. Beliau dilantik di bawah pengawasaan datuknya menyebabkan pengaruh bapanya kurang terasa dalam corak hidupnya. Disamping itu nenek perempuan tirinya, Tuk Mek ngah turut memberikan pendidikan yang baik kepadanya termasuk pengawasan terhadap punca-punca makanan yang hendak disajikan. Menurutnya pengaruh-pengaruh makanan-makanan yang haram adalah membawa akibat yang buruk dalam penghidupan di dunia ini, lebih-lebih lagi di akhirat kelak.

KEBOLEHAN LUAR BIASA

Kecenderungan Tuk Kenali dalam pelajaran adalah nyata sejak kecil lagi. Perasaan ingin maju dan ingin tahu adalah meluap-luap di dadanya. Dalam tempoh yang pendek dia telah dapat mengkhatami pembacaan kitab suci Al-quran dan dapat menulis dengan baik. Kerana itu tidaklah hairan mengapa dia telah dipilih oleh penggawa daerahnya untuk menjadi seorang kerani sebagai pembantunya dalam mengira dan menguruskan hasil-hasil tanaman dan kebun di kawasan tersebut sewaktu dia berusia antara tujuh ke lapan tahun.

MENYAMBUNG PELAJARAN KE KOTA

Sewaktu berusia antara sembilan ke sepuluh tahun, Muhammad Yusof telah mengambil langkah bagi menyambung pelajarannya ke Kota Bharu. Tempat pertama yang ditujunya ialah ke masjid Al-Muhammadi, di mana terdapat beberapa orang guru agama dan beratus-beratus orang murid dari seluruh ceruk Negeri Kelantan menyembung pelajaran mereka ke sini. Sekitar masjid besar ini, dewasa ini penuh dengan pondok-pondok (asrama) penuntut.

Dalam masa menuntut di sini beliau berguru kepada encik Ismail (ayahnda Datuk Perdana menteri Paduka Raja, kelantan) Beliau belajar bersama-sama encik idris yang kemudiannya menjadi “Mufti Kerajaan kelantan”’ Selain iatu beliau berguru kepada Tuan Guru Hj. Ibrahim, penambang (Mufti kerajaan kelantan) syaikh Muhammad ali bin Ab. Rahman (Wan Ali) kutan dan kepada tuan guru padang (Hj. Ahmad) Kota Bharu.

MELANJUTKAN PELAJARAN KE TANAH SUCI MEKKAH

Sebagai seorang pelajar, Tuk kenali telah menaruh cita-cita yang kuat untuk melanjutkan pelajaran ke Makkah. Pada tahun 1887M (1305H). Menjelang umurnya kira-kira 18 tahun, Tuk Kenali menjejak Tanah Suci Makkah untuk meninggikan pelajaran agamanya di samping menunaikan rukun yang kelima, Ibadat Haji iaitu sesudah enam bulan mengalami kesusahan di Lautan Hindi disebabkan kerosakan kapal yang ditumpanginya.

PENGHIDUPAN TUK KENALI DI TANAH SUCI

Pemergiannya ke Tanah Suci adalah semata-mata atas bantuan daripada sahabat kenalan beliau di Kota Bharu yang berjumlah kira-kira RM50.00 dan sumbangan daripada ibunya cuma berjumlah RM22.00. Kesukaran yang di hadapi Tuk Kenali di rantau orang tidak dapat digambarkan lagi. Hampir tujuh bulan beliau di sana tanpa tempat kediaman yang tetap. Semasa itu beliau menginap di serambi Masjid Al-Haram, Makkah yang hanya dapat tidur dan berehat-rehat bila menjelang sesuku malam disebabkan Masjid Al-Haram merupakan pusat ibadat tawaf, sa’i, sembayang dan sebagainya.

Pakaiannya sederhana, begitu juga tentang pemilihan makanannya untuk menampung kekosongan di waktu pagi dan petang. Memandangkan kedudukan ini, beliau pernah ditugaskan menjadi tukang masak sementara dalam sesuatu perkelahan atau antara kawan-kawannya di wadi-wadi (lembahan) dan di pinggir-pinggir bukit-bukit nan tandus.

PERKEMBANGAN PELAJARAN

Sebelum beliau keluar negeri dahulu, beliau telahpun mempunyai pengetahuan-pengetahuan asas dalam pelajaran-pelajaran yang telah dipelajari ketika itu . Beliau telah pun menguasai pengetahuan bahasa arab (Nahu dan Sarafnya) bagi mengikuti setiap segi jurusan pengetahuan agama di masa itu. Perkara-perkara ini adalah melayakkan Tuk Kenali untuk menerima dan mengikuti pelajaran-pelajarannya yang sedang berkembang dewasa ini di Tanah Suci Makkah.

Tuk Kenali terpaksa belajar mendengar sahaja tanpa kitab. Di samping itu juga beliau terpaksa membaca di kedai-kedai kitab dengan meminta izin tuan-tuan kedai itu untuk membaca dan menatap kitab-kitab jualannya dalam tempoh yang agak lama dengan cara yang cermat sekali. Kitab-kitab Wakaf yang ada dalam simpanan di Masjid Al-Haram juga dipergunakan untuk memahami kuliah-kuliah gurunya . Selain itu, Tuk Kenali terpaksa pula meminjam kitab-kitab gurunya sendiri. Kerana kemiskinanlah agaknya , membawa Tuk Kenali mengharungi lautan ilmu dan kemajuan melebihi kawan-kawannya yang lain.

Jelaslah bahawa Tuk Kenali banyak sekali membaca dan menatap kitab-kitab buah tangan ulamak dan para failasuf islam yang telah dan sedang tersebar di dunia islam dewasa itu. Beliau juga mempunyai sifat suka bertanya dan mengkaji pelajarannya sebelum pelajaran itu diajar oleh gurunya dengan mengadakan perbandingan-perbandingan sendiri dan pergalaman sendiri. Banyak membaca dan banyak membuat kajian adalah merupakan faktor-faktor besar dalam perkembangan ilmu seseorang pelajar atau siswa.

Antara guru-guru di Masjid yang namanya banyak disebut-sebut oleh Tuk Kenali ialah Tuan Guru Wan Ahmad atau nama penuhnya “ Ahmad bin Muhamad Zain bin Mustafa Al-Fatani” yang terkenal sebagai seorang pengarang sesudah nama Syaikh Daud Patani. Kepada Guru inilah Tuk Kenali mendapat bimbingan dan bantuan baik dari segi ilmu pengetahuan mahupun penghidupan. Disamping itu, terdapat beberapa orang guru dari patani dan indonesia yang mungkin mendapat perhatian Tuk kenali disamping guru-gurunya yang terdiri daripada orang-orang Arab.

LAWATAN TUK KENALI KE MESIR

Dalam tahun 1904M, Tuk kenali telah melawat Mesir dengan bimbingan gurunya “ Wan Ahmad”. Beliau ke sana berempat orang iaitu Tuk kenali, Tuan Guru Wan Ahmad, Encik Mahmud (yang kemudiannya bergelar Datuk Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan) dan Hj. Ismail Patani. Garis-garis kasar lawatan ini adalah menunjukkan bahawa lawatan beliau ke mesir adalah berbentuk lawatan sambil belajar terutama kerana mengkaji hal-hal perkembangan pelajaran yang berhubung dengan Agama islam di Universiti Al-Azhar dan lain-lain tempat pengajian di sekitar kota Qahirah.

*Mengikut Syeikh Wan Muhammad Saghir pemergian Tok Kenali dan Tuan Guru beliau ke Mekah, penyalin pernah mendengar sendiri ceramah beliau di Pahang sewaktu ketika dahulu pada tahun1994.
" ...............sewaktu Syeikh Ahmad al-Fathani menjadi utusan ulama Mekah ke Beirut dan Mesir untuk menyelesaikan pertikaian pendapat antara Saiyid Yusuf an-Nabhani (Beirut) dengan Syeikh Muhammad Abduh (Mesir) dalam rombongan itu, Awang Kenali ikut serta."

PULANG KE TANAH AIR

Pada tahun 1909M (1327 H) iaitu sesudah menjalani pengajian selama 22 tahun di tanah suci mekah, maka Tuk kenali pun pulang ke tanah air iaitu ke Kelantan seterusnya pada tahun 1911M (1329M) beliau mula membuka pondok Kenali, sebuah tempat pengajian yang kemudiannya menjadi pusat pengajian agama di semenanjung ini. Dua tahun kemudian , beliau menjadi guru di masjid Besar Al-Muhammadi, kota Bharu yang waktu itu menjadi pusat pengetahuan agama terbesar di kelantan, malahan juga dikenali di Semenanjung sebagai Serambi Mekkah.

Murid-murid dari seluruh kelantan telah membanjiri pondok-pondok yang terletak berderet-deret di sepanjang jalan di kawasan masjid dan di kawasan Kubang Pasu. Selain itu, bukan sedikit murid-murid dan pelajar-pelajar dari luar negeri datang yang menceduk pengetahuan agama daripada guru-guru yang terkenal . Selain daripada Tuk kenali, mereka belajar pada Tuan Guru Hj. Nik Abdullah, Tuan Guru Hj.Idris (yang kemudiannya berjawatan “Mufti kelantan) dan lain-lain.

Memandang hak-hak kemasyarakatan di kampung sendiri perlu pula dititik beratkan, maka Tuk kenali terpaksa pula menetap di kampungnya sendiri iaitu sesudah lima tahun mengajar di Masjid Besar Al-Muhammadi. Dewasa itu pondok kenali kembali bersemarak sehingga namanya termasyur ke serata ceruk rantau Semenanjung ini, malah sampai ke Indonesia (terutama Sumatera) kemboja, Patani dan lain-lain. Jumlah pelajar-pelajar yang menetap di asrama (Pondok) meningkat 400 orang suatu jumlah yang besar dalam pertumbuhan pengajian Islam dikala itu.

Dalam menjalankan tugasnya, Tuk kenali menetapkan beberapa buah kitab pelajaran (teks) dalam berbagai-bagai jurusan, iautu pengajian Bahasa dan pengetahuan-pengetahuan Agama islam dalam berbagai-bagai peringkat pelajaran. Beliau sendiri banyak mengambil peranan dalam mengembangkan pengetahuan Bahasa Arab, manakala pelajaran-pelajaran lain diperkembangkannya selaras dengan kehendak-kehendak masyarakat dewasa itu.

Murid-murid beliau yang telah matang dalam pengajiannya dilantiknya menjadi kepala telaah (guru Kumpulan) disamping itu, kitab-kitab agama dalam tulisan jawi diajarkan juga kepada pelajar-pelajar dan orang-orang kampung. Menerusi pengajian-penjagian kepada orang-orang dewasa inilah lahirnya cerita-cerita tauladan yang kadang-kadang mengggelikan, sebagai suatu cara untuk menarik perhatian murid-murid kepada pelajaran yang sedang ditumpukan. Suatu hal yang agak luar biasa bahawa dalam masa mengajar itu, Tuk kenali mengajar tanpa kitab, di hadapannya tiada kitab-kitab pelajaran sedangkan muridnya mempelajarinya dengan menggunakan kitab. Ililah menunjukkan bahawa Tuk kenali adalah seorang yang mempunyai daya ingatan yang kuat.

Kemasyuhuran Tuk kenali telah menarik ramai pelajar islam dari serata ceruk semenanjung. Antara mereka ini ada yang telahpun mempunyai kematangan dalam pengetahuan Agama islam datang untuk mengenal wajah dan mengikuti sebahagian pelajaran yang diajar oleh Tuk Kenali. Antara mereka ada yang datang kira-kira seminggu, sebulan, tiga atau empat tahun seterusnya. Ini bergantung kepada keadaan masing-masing, sebab di antara mereka ada yang sudahpun bekerja sebagai guru agama. Qadi atau sebagainya. Untuk meminta Tuk Kenali membaca kitab, cukuplah dengan meminta izin beliau di mana si peminatnya sendiri yang akan disuruh membacanya di hadapan kumpulan pelajar-pelajar. Sesudah itu Tuk kenali memainkan peranan memberi kefahaman dan mensyarahkan isi kitab itu, juga memberi peluang-peluang bertanya.

MENGHEMBUS NAFAS TERAKHIR

Setelah kira-kira 65 tahun menyedut udara dunia ini, maka Tuk kenali pun dipanggil tuhan, kekasihnya iaitu pada Ahad 19 November 1933M, berikutan suatu penyakit di kakinya.

Majalah “Pengasuh” keluaran 11 disember 1933M. Mencalitkan berita tentang kematian Tuk kenali antara lain berbunyi; “ kembali ke Darul-Baqa 1352 yang meredupkan alam kelantan dengan dukacita. Innalillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun:.

“Hari wafatnya; dilawati oleh tidak kurang daripada 2,500 orang dan disembahyang jenazahnya lebih daripada 1,000 orang dan disembahyang jenazahnya lebih seribu orang yang khalis liwajhillaahi Ta’ala.

Tuk Kenali dikebumikan di perkuburan yang sekarang terkenal dengan nama Kubur Tuk Kenali kilometer 5 jalan Pasir puteh, kota Bharu, tidak jauh dari istana negeri. Kuburnya selalu dizarahi oleh Duli yang maha Mulia Al-marhum Sultan Ibrahim (nenekanda kepada Duli Yang mulia Sultan Ismail Putera Sekarang) apa lagi oleh ramai terutamnya bekas murid-murid beliau yang ada berselerak di negeri ini, juga oleh pelawat-pelawat.

Dari desa pergi ke kota

mencari sahabat nan berbudi

kematiannya tanpa mewarisi harta

tapi meninggalkan ilmu dana bakti.

JAWATAN-JAWATAN TUK KENALI

Tuk kenali ada di antara orang-orang yang memikul tugas dan jawatan terpenting dalam perkembangan pengajian islam dan pertubuhan kebudayaan timur yang berteraskan islam di negeri Kelantan berdasarkan jawatan-jawatan yang pernah disandangnya sebagai berikut:

1. Bertugas sebagai ketua pelajaran Agama Islam Kelantan, juga sebagai Penolong Mufti.

2. Menjadi Anggota majlis Agama islam dan adat istiadat Melayu kelantan.

3. Menjadi Anggota majlis ulamak Islam kelantan (Anggota Dewan Ulamak)

4. Ketua pengarang kehormat bagi majalah pengasuh lidah rasmi majlis Agama islam kelantan.

5. Guru Agama di masjid Besar Al-Muhammadi, kota Bharu.

KEGIATAN-KEGIATAN DAN JASA TUK KENALI

Selain daripada amengajar, Tuk Kenali juga bergiat dalam lapangan-lapangan yang berhubung dengan kemajuan agala dana kebudayaan islam. Datu Paduka menteri Paduka Raja (Tuan Haji Mahmud bin Ismail) dengan nasihat beliau telah dapat membentuk Majis Agama Islam dan Adat istiadat melayu kelantan pada 24 Disember 1915M (17 Safar 1334H). Ini adalah satu jasa yang dapat dilihat buktinya sampai sekarang.

Semasa hendak mengeluarkan majalah pengasuh 1918M iaitu warta majlis Agama islam dan Adat Istiadat Melayu kelantan. Tuk kenali telah dipilih untuk menjadi ketua pengarang kehormat . pada mulanya majalah ini dikeluarkan berupa lembaran akhbar yang mempunyai bidang besar, diterbitkan setia hari Isnin, senaskah berharga 10 sen. Penerbitan majalah ini juga adalah daripada saranan dan dorongan-dorongan beliau.

Selain itu beliau telah ditugaskan oleh pihak majlis Agama Islam kelantan untuk menterjemahkan Tafsir Al-Khazin yang bertajuk “Lubaab at-Ta,wiil fil Ma’aani At-Tanzil” ke dalam bahasa melayu. Tugas berat ini telah dijalankan oleh beliau dan sebahagian daripada tafsir Al-khazin telahpun siap diterjemahkan. Sayangnya, naskah ini tidak dapat dikesan sehingga sekarang.

Juga tidak dapat dilupakan bahawa majalah Al-Hikmah (lahir 1 julai 1923M) di mana ketua Pengarang dan penerbitnya yang berbahagia tuan hj. Ahmad bin Ismail (Datuk Lela negara) adalah kerap menerima nasihat-nasihat dan fikiran-fikiran yang berguna daripada Tuk kenali. Majalah pengetahuan ini diterbitkan tiga kali sebulan . pejabat penerbitan ini selalu didatangi oleh Tuk kenali dan merupakan salah satu tempat beliau membaca surat-surat khabar dan majalah dewasa itu.

Tuk Kenali adalah seorang pencinta ilmu pengetahuan. Hal ini nyata sekali dalam sejarah hidupnya . Beliau juga pernah menyimpan sebuah buku cetera Raja Muda . salah sebuah buku sejarah kelantan yang penting. Buku ini kemudiannya telah diberikan kepada pengaranag buku Hikayat Seri kelantan.

Dalam kegiatan kemasyarakatan pula , beliau telah melancarkan suatu gerakan perhimpunan umat islam yang di namakan ‘Jam'ieyyatul Asriyyah [Perhimpunan semasa] yang kerap membicangkan perkara-perkara hangat dalam masyarakat [Politik] , pebincangan-perbincangan ilmu dan perhimpunan kerana ibadat. Sebagai megekal gerakan tersebut , maka satu bangunan telah didirikan di tebgah-tengah ibu kota dengan nama yang sama, terletak di Jalan Tengku Petra Semarak , Kota Bharu.

PERKEMBANGAN PENGARUH.

Melihatkan jawatan- jawatan pentig yang telah disandang oleh Tuk Kenali dalam masa hayatnya, juga memandangkepada kegiatan dan jasa -jasa beliau yang cermelang dalam perkembangan pengajian ugama dan kebudayaan islam di Negeri Kelantan khasnya dan Alam Melayu amnya.

Maka sudah sewajanyalah pengaruh beliau segera berkembang ke segenap pelusuk tanah air dalam masa yang singkat sekali.

Perkembangan-perkembangan ini adalah agak memuncak di penghujung pemerintahan Sultan Muhammad IV (1900-1920M) dan di awal pemerintahan sultan Ismail (1920-1944M) . kedua-dua baginda sultan ini adalah di antara sultan-sultan yang banyak mencipta kemajuan negeri dalam serba lapangan, lebih-lebih lagi di lapangan kemajuan agama islam. Ini adalah memberi peluang yang besar kepada perkembangan pengaruh Tuk kenali yang sedang berkembang ke seluruh tanah air, apa lagi melihat kedudukan Tuk Kenali yang sedang berkembang ke seluruh tanah air, apa lagi mellihatkan eratnya perhubungan Tuk Kenali dengan anak tuan gurunya dahulu iaitu dengan hj. Nik Mahmud bin Ismail (Datuk Perdana Menteri Paduka Raja) yang juga memegang peranan terpenting dalam pentadbiran negeri kelantan dewasa itu.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa tersebarnya pengatahuan Bahasa Arab dan pengetahuan-pengetahuan agama melalui pondok dan sekolah-sekolah pondok ke seluruh Tanah melayu ini antara lain ialah daripada jasa Tuk kenali yang menyusun kata-kata Tassrif yang kemudiannya diperkenalkan oleh murid-murid nya terutama Tuan Guru Hj. Ali Shalahuddin Pulau Pisang dan Syaikh Uthman Jalaluluddin, seberang prai dalam buku Tatriful Arf- itu, syaikh Uthman menulis; “Sesungguhnya hamba pungut akan dia daaripada beberapa mutiara tasrif yang amat elok bagi guru hamba yang alim lagi yang amat ilmunya lagi yang menghimpunkan bagi beberapa fan (seni) ilmu yang bangsa kepada agama iaitu Muhammad Yusof yang masyhur akan gelarannya di seluruh tanah melayu dengan Tuk Kenali di negeri Kelantan.

PERKEMBANGAN PONDOK SEKOLAH AGAMA DAN SEKOLAH MELAYU

Sistem persekolahan yang diutamakan oleh Tuk kenali dalam masa hayatnya ialah sistem pondok, Sistem pondok yang menggunakan bahan-bahan pelajaran yang berdasarkan kitab dengan mengkelas-kelaskan kitab kepada pengajian peringkat rendah, menengah atas dana tinggi yang dipelajari secara berkelompok (berhalqah) di masjid atau madrasah (balaisof) . Manakala pelajar-pelajar yang tinggal di pondok-pondok (Asrama) di bawah bimbingan Tuk kenali, telah melahirkan beberapa orang tokoh ulamak.

Tuan-tuan guru (tok guru), pendakwah, pengarang yang terkenal yang datang dari beberapa tempat di seluruh tanah Melayu , sumatera, kemboja dan lain-lain.

Guru-guru pondok lepasan kenali inilah kemudiannya tersebar keseluruhan rantau ini di mana mereka menghidupkan pula sistem pondok.

Adalah agak luar biasa, di samping menggalakkan sistem pondok, Tuk kenali sebagai pencinta ilmu, tidaklah menghalang wujudnya sistem persekolahan.

Tertubuhnya Agama islam dan adat istiadat melayu kelantan padaa tahun 1915M yang sudahpun mempunyai rancangana mendidikan sekolah-sekolah Agama islam di kelantan , adalah juga dengan mendapat nasihat daripada Tuk kenali. Maka pada 5 Ogos 1917M ditubuhkan sebuah Sekolah Agama berbahasa pengantar melayu yang menitik beratkan Bahasa Arab, dengan nama “Al-Madrasah Al-Muhammadiyyah Al-Kilantaniyyah”. Sekolah ini juga mengadakan pelajaran bahasa inggeris di sebelah petangnya.

Jadi, Tuk Kenali sebagai Ketua Pelajaran Agama Islam di Kelantan adalah memainkan peranan dalam pembukaan dan perlaksaan sekolah ini. Sekolah ini lebih dikenal dengan nama “ Sekolah Agama Majlis”.

Kemudian pada tahun 1937 bila lahirnya sekolah aliran bahasa arab di Majlis dengan nama “Majlis Al-Muhammadiyyah Al-Arabiyyah” barulah Sekolah Agama Majlis tadi bertukar nama dengan “Sekolah Melayu Majlis”, manakala sekolah yang baru tadi disebut “Sekolah Arab Majlis”. Akhir sekolah aliran melayu ini diserapkan secara beransur-ansur ke dalam Bahasa Arab sesudah dia dipindahkan ke bangunan Maahad Al-Muhammadi sekarang ( sebagai ekoran daripada sekolah aliran arab tadi )

Keberkatan usaha beliau ini membawa Syaikh Uthman Jalaludin Al-Kelantani membuka sekolah arab Manaabi’ Ai-’Uluum, Bukit mertajam pada tahun 1934 (1353). Demikian juga Tuan Guru Hj. Ali Salaahudin membuka madrasah Al-Falaah di Pulau Pinang di mana kedua-dua madrasah ini lebih berbentuk pondok (sistem pondok).

Di samping itu beliau juga adalah dianggap sebagai pendorong pembukaan sebahagian sekolah-sekolah Melayu di Kelantan ini seperti Sekolah Melayu Kubang Kerian 1920M, Sekolah Melayu Mentuan, dan lain-lain. Beliau tidaklah memusuhi pembukaan sekolah-sekolah seperti ini selagi pelajaran yang diajar tidak menyelaweng daripada ajaran islam yang suci.

TUK KENALI MELAHIRKAN ANGKATAN PENGARANG

Di antara murid-murid Tuk kenali terdapat suatu golongan atau angkatan pengarang buku-buku agama yang mempunyai kedudukan yang baik di kalangan masyarakat Islam di dunia sebelah sini. Mereka ialah”

1. Dr. Syaikh Muhammad Idris Al-Marbawi, seorang pujangga Islam yang banyak memberi sumbangan dalam perkembangan ajaran-ajaran Isdlam dengan kamusnya “Kamus Al- Marbawi” (Arab-Melayu) dan kitab-kitab karyanya yang banyak di lapangan Agama Islam.

2. Saahib Al-Fadhilah Datuk Hj. Ahmad mahir, Mufti Kerajaan kelantan yang juga seorang pengarang.

3. Syaikh Uthman Jalaluddin Al-Kilantani, seorang pengarang buku-buku agama dan seorang guru.

4. Tuan guru Hj. Yaakub bin Ismail. Legor, Selatan Thailand.

5. Saahib Al-Fadhilah, Datuk Hj. Ismail bin Yusoff, Mufti Kerajaan kelantan.

6. Asy-Syaikh Muhammad Salih Tuk kenali, Makkah Al-Mukarramah Saudi Arabia.

7. Yang Berbahagia Hj. Ahmad bin Ismail (Datuk Lela Negara) pengarang majalah Al-Hikmah***(1923M) yang banyak mendidik bakat-bakat penulis dan pengarang-pengarang sebelum perang.

8. Tuan guru Hj. Ali Salahuddin, seorang guru agama terkenal yang juga menjadi seorang pengarang.

9. Tuan Guru Hj. Abdullah Tahir, seorang guru agama terkenal yang juga menjadi seorang pengarang.

10. Tuan Guru Hj. Yaakub bin Hj. Ahmad , lorong Gajah mati, kota Bharu adalah seorang guru agama dan seorang pengarang.

11. Yang berbahagia Datuk Hj. Hassan Yunus Al-Azhari, Bekas Menteri Besar Johor , ahli politik yang juga menjadi seorang pengarang.

Selain murid-murid beliau yang berbakat, terdapat pula cahaya-cahaya mata Tuk kenali yang turut memperkembangkan pengajaran ayahndanya, mereka ialah

1. Al-Marhum Hj. Ahmad Tuk Kenali, guru agama di pondok kenali dan guru yang mengajar pada beberapa buah surau dalam beberapa jajahan, daerah Negeri Kelantan.

2. Hj. Mahmud, wakil Syaikh haji , makkah.

3. Hj. Mohd Salleh Tuk Kenali, guru agama di kota suci Makkah dan seorang pengarang buku-buku dan risalah-risalah agama. Beliau mendirikan persatuan “Darul-Islah” bertempat di Maulid nabi, satu persatuan perhimpunan kaum Muslimin dari Tanah melayu, patani, kemboja, Indonesia dan lain-lain yang datang ke Tanah Suci makkah terutamanya di musim-musim haji, di mana Tuk kenali diperkenal dan jasanya diperkenangkan. Satu persatuan lagi didirikan oleh beliau dengan nama “Darul-Quran (Persatuan Al-quran) bertempat di Misfalah, Makkah.

4. Hj. Abdullah Zawawi, lulusan kuliah Syariah, makkah. Berkecimpung di bidang pendidikan dan menjadi pengetua sekolah-sekolah menengah di Kerajaan Arab Saudi dan Nigeria.

PERIBADI DAN SIFAT-SIFAT UTAMA

Tuk kenali bukan hanya terkenal sebagai salah seorang ulamak besar sahaja, malah terkenal pula sebagai tokoh yang mempunyai sifat-sifat utama yang berguna untuk menjadi teladan kepada masyarakat islam. Antara sifat-sifat utama yang berguna untuk menjadi teladan kepada masyarakatt islam. Antara si fat-sifat tersebut ialah:

a) Sangat menghormati dan memuliai ibu

b) Pemurah, suka menderma terutamanya kepada fakir miskin dan anak-anak.

c) Seorang yang sabar, tidak lekas marah.

d) Suka berjalan kaki sahaja sebagai suatu langkah latihan melenyapkan perasaan sombong, bongkak dan megah.

e) Mengamalkan hidup berdikari. Beliau membeli sendiri di pasar.

f) Suka membaca dan menatap, baik buku-buku atau majalah-majalah di mana-mana sahaja beliau berada.

g) Suka beriktikaf di masjid, manakala tidur kerap berbantalkan lengan.

h) Pakaian beliau amat sederhana.

Sebenarnya Tuk kenali ialah seorang “Wali Allah” dan seorang ahli sufi yang di'sufi'kan(disucikan) oleh Allah, banyak berlaku perkara luar biasa dan mencarik adat berlaku atas dirinya dan sifat beliau tidak inginkan kemegahan dan kesenangan hidup yang berlebihan. Tambahan pula memandang makhluk-makhluk lain dengan pandangan yang penuh bertimbang rasa dan kasihan belas. Inilah sifat seorang sufi, sufi bermaksud mereka yang disucikan, dalam ilmu tatabahasa arab kalimah sufi ini termasuk dalam lafaz 'bina majhul' yang apabila diterjemah kebiasaanya di letakkan 'di' sebelum kalimah dan ditambah 'kan' diakhirnya, sufi bermaksud suci atau bersih, adapun kalimah 'sufi' selepas diterjemahkan kedalam bahasa melayu berarti "di suci kan" disebabkan failnya terlampau maklum disisi ahli muhaqqiqin, tak perlulah dipanjangkan perbahasan istilah sufi, wallahuaklam.

TUK KENALI DENGAN HAL-HAL KEMASYARAKATAN

Sewaktu melancarkan pengajaran-pengajarannya, Tuk kenali didapati agak gemar sekali membincangkan hal-hal politik tanah air. Semasa hayatnya Tuk kenali tidak memisahkan politik daripada bidang pelajaran, malah beliau tidak mengenal pemisahan antara agama islam yang difahami dengan politik. Ini adalah merupakan suatu cara menyesuaikan pengajarannya dengan masalah-masalah yang dihadapi masyarakat dengan alam keliling. Kerana itu dalam pengajarannya beliau mengemukakan beberapa anjuran melalui cerita-cerita tauladan yang berkesan antaranya:

ikut bapamu, tetapi takutkan Tuhan

kuasailah pengetahuan agama dan politik

ilmu itu apa yang terguris dalam hati

pengetahuan manusia terbatas.

Mengaku salah jika bersalah.

Sunnah Tuhan sudahlah wajar

biar mati adat, jangan mati syarak.

Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

Bertanya pada yang tahu.

Penjahat itu mencukupi dengan kejahatannya.

Doa adalah senjata orang mukmin.

(Cerpen-cerpen Tuk Kenali” oleh AQHAS - halaman 76), Terbitan baru dengan tajuk cerpen-cerpen warisan Tuk Kenali).

TUK KENALI DENGAN PUISI

Dalam masa menyampaikan pengajarannya, disamapaing mengutarakan ayat-ayat suci Al-Quran dan hadis-hadis nabi Muhammad S.A.W , maka terhamburlah dari mulut beliau beberapa rangkap syair dan kata-kata hikmat bak mutiara gugur dari untainya.

Di sini dibentangkan sebuah syair yang pernah dikeluarkan oleh Tuk Kenali iaitu:

Bahaya Merokok.

Perokok itu terhina,
Dungu, membazir dan keji,
kerendahan bagi penagihnya, pasti.
Darinya menguap kentut yang busuk dan diluati.
Kepulan asap dari bibirnya mengasapi muka dana peribadi.
Antara kata-kata hikmatnya:

“orang yang mulia itu ialah orang yang memuliakan ibu”

“mengkaji sendiri adalah punca kemajuan dalam pembelajaran”,

PENGARUH DARI IMAN AL-GHAZALI

Melihatkan peribadi dana sikap hidupnya, nyatakan bahawa Tuk kenali adalah terpengaruh oleh ajaran-ajaran Failasuf islam Iman Ghazali, seorang alhi Tasauf yang sampai kepada darjat “hakikat” mengenal diri dan Tuhannya, ingin mencapai kebahagiaan dan kesucian yang setinggi-tingginya dalam penghidupan yang singkat ini,

Kemewahan hidup yang terhad dan sifat tidak membesar diri adalah nyata sekali dalam penghidupannya.

Unsur-unsur ini adalah terkandung dalam adoa yang dikumpul dan digubah oleh Iman Al-Ghazali dalam kitabnya “Ayyuhai Walad” (Wahai Anak) yang menjadi amalan Tuk Kenali dan murid-murid beliau sehingga sesudah itu dikenal pula dengan “Doa Tuk Kenali” (Doa mengiringi sembahyang Lima Waktu) yang antara lain bererti: wahai tuhan, sesungguhnya saya pohon pada Engkau pemberiannya sempurna , kesihatan yang berkekalan, rahmat yang menyeluruh dan kesegaran yang berguna. Saya pohonkan daripada Engkau puncak kesenangan hidup, puncak kebahagiaan umur, kesempurnaan kebaikan, juga keluasan pemberian dan kesopanan yang lebih berfaedah.”

Tuhanku, Tolonglah kami dan jangan pula kami ditindas. Tuhanku, Bahagiakanlah kesudahan hidup kami, buktikanlah hasrat kami dengan penambahan amalan. Susilah kesegaran dikala berpagi-pagi dan berpetang-petang.

Wahai Tuhanku, tumpahkanlah rahmat engkau di tempat kembali kami dan kesudahan kami dan tuangkanlah dulang kemaafan ke atas dosa-dosa kami dan kurniakanlah pembaikan kepada keaifan-keaifan kami dan berikanlah kegiatan kami pada agama engkau. Kepada Engkau kami berserah dan kepada engkau kami menggantung harapan”.

Meninjau kepada beberapa segi yang telah dikemukakan di atas, tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa Tuk kenali adalah salah seorang tokoh ulama terkenal dan pembangun fikiran Umat Islam di dunia sebelah juga tidaklah salah jika dikatakan bahawa selagi terbitnya majalah pengasuh ke alam persuratan melayu, maka selama itulah Tuk Kenali dikenangan, seterusnya tidaklah merupakan suatu penonjolan jika dikatakan bahawa selagi wujudnya majlis Agama islam dan Adat istiadat melayu kelantan” maka selama itulah ?Tuk Kenali masih disebut dan dikenali.

Di ambil dalam web Tok Kenali dan Sumbanganya dengan sedikit perubahan berupa pembetulan dari kesalahan ejaan dan sedikit penambahan fakta selepas dibuat perbandingan secara rambang dengan tidak mengubah maksud pengarang asal iaitu Guru dan Ustaz saya sendiri Ustaz Abdullah Al-Qori, terima kasih ustaz semoga ustaz mendapat keberkatan dengan dan sebagaimana yang dikurniakan oleh Tok Kenali r.a

Artikel ini Berasal dari Kertas kerja yang dibentangkan di majlis Wacana Tuk Kenali bertempat di Dewan Bahasa Dan Pustaka Wilayah Timur, Kota Bharu, kelantan pada 19 Mei 2001

Oleh: Abdullah Al-Qari Haji Salleh.