Kebanyakan artikel disini adalah karya Al-Marhoum Tuan Guru Syeikh Wan Mohd Shaghir Abdullah R.A cucunda kepada Tuan Guru Syeikh Ahmad Al-Fathanie, juga dari akhbar2 nasional yang lain dan laman2 web yang bertebaran di alam maya juga disaduri macam2 hikayat,riwayat,kaifiat dan khasiat keemasan saya himpun dan susun sebagai koleksi peribadi dan bagi tatapan dan santapan rohani buat teman-teman yang sudi...himpunan artikel2 terbaru saya sekarang lebih muyul kepada informasi kesihatan ala muslim-jawi kearaban..... dan saya mula berjinak2 dengan jualan secara online produk kesihatan muslim, khasnya peralatan bekam (Set cawan, jarum dan pen bekam) dan khidmat pembekaman, Sudi-sudilah ziarah dan sudikan tinggal komentar anda. TQ

Sabtu

Tok Perdana Kelantan

Datuk Nik Mahmud - Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan
NAMA lengkapnya ialah Nik Mahmud bin Haji Nik Ismail Qadhi bin Haji Mahmud bin Cik Seman. Beliau meninggal dunia pada 1384 Hijrah/1964 Masihi. Ibunya bernama Wan Aisyah binti Wan Utsman.
GURU-GURUNYA
Ayahnya, Haji Nik Wan Ismail Qadhi bin Haji Nik Wan Mahmud adalah sahabat Syeikh Ahmad al-Fathani. Kedua-duanya adalah ulama besar. Oleh itu Nik Mahmud mendapat pendidikan awal daripada ayahnya sendiri di Kelantan.

Setelah ayahnya wafat pada 1315 Hijrah/1898 Masihi, dalam tahun itu juga ibunya Wan Aisyah membawa Nik Mahmud dan tiga orang anaknya yang lain ke Mekah. Nik Mahmud diserahkan pengurusannya kepada Syeikh Ahmad al-Fathani.

Oleh sebab ilmu-ilmu dalam bidang keislaman yang dipelajari oleh Nik Mahmud daripada ayahnya dipandang sudah memadai, maka al-Fathani hanya mendidik Nik Mahmud dalam bidang-bidang ilmu khusus, terutama ilmu pentadbiran dan siasah, serta diperlengkapkan lagi dengan ilmu pertahanan diri.

Sepanjang pendidikan pengkaderan putera-putera Melayu di Mekah yang dilakukan oleh al-Fathani, tidak ramai yang berbakat dalam ilmu pentadbiran dan siasah. Tetapi yang pasti, tercatat dua orang dari kerajaan Riau-Lingga, iaitu Raja Ali Kelana dan Raja Khalid Haitami (cucu Raja Ali Haji). Mereka yang berasal dari Kelantan pula ialah Nik Mahmud dan Haji Muhammad bin Muhammad Sa'id yang kemudian dikenali memperoleh gelaran Datuk Laksamana.

Hubungan antara Nik Mahmud dengan Muhammad bin Muhammad Sa'id selanjutnya adalah saudara ipar, kerana Nik Mahmud berkahwin dengan Che Aisyah, adik kepada Haji Muhammad bin Muhammad Sa'id.

Walaupun pendidikan di Mekah yang diperoleh Nik Mahmud tidak begitu lama, namun semua guru kepada ulama-ulama yang saya tulis dalam artikel terdahulu juga menjadi guru kepada Nik Mahmud. Selanjut al-Fathani mengirim Nik Mahmud ke Mesir.

Pendidikan khusus untuk Nik Mahmud diberikan oleh al-Fathani di Bukit Jabal Suaidan, Mekah. Pendidikan siasah diberikan dengan menggunakan permainan catur. Sedangkan pendidikan pertahanan diri diberikan di tanah lapang, di tempat yang sama dengan menggunakan pedang, keris dan lainnya.

Untuk memahirkan ilmu pertahanan diri, Nik Mahmud sentiasa membuat latihan di Bukit Jabal Suaidan yang disaksikan sendiri oleh al-Fathani.

Sebelum menceritakan pendidikan Nik Mahmud di Mesir, di sini saya petik satu peristiwa mengenai Nik Mahmud, Tok Kenali dan lain-lainnya bersama guru mereka, al-Fathani dalam perjalanan ke Beirut dan Mesir.

Sewaktu al-Fathani mendapat mandat daripada ulama Mekah ke Beirut dan Mesir untuk menyelesaikan peristiwa khilafiyah antara Sayid Yusuf bin Ismail an-Nabhani (Beirut) dengan Syeikh Muhammad Abduh (Mesir), al-Fathani telah mengajak beberapa orang muridnya menemui kedua-dua ulama tersebut.

Telah menjadi tradisi al-Fathani dan ulama-ulama lainnya, jika akan menyelesaikan masalah-masalah besar, mereka sentiasa bermunajat di tempat-tempat yang makbul. Oleh itu ketika sampai di Tursina, beliau berdoa secara berjamaah. Untuk Nik Mahmud, al-Fathani berdoa, "minta supaya Allah memberinya kedudukan orang besar di kerajaan Kelantan ... "

Doa di Tursina ternyata dikabulkan Allah, kerana setelah Nik Mahmud kembali ke Kelantan, akhirnya beliau digelar sebagai Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan.

Beberapa pucuk surat al-Fathani di Mekah kepada Nik Mahmud ketika belajar di Mesir sebagai bukti kesungguhan al-Fathani memberikan pendidikan untuk mengangkat martabat bangsa Melayu, sebagaimana pesannya kepada Nik Mahmud, "Dan mudah-mudahan anakanda meninggikan hemah pada mendapatkan barang yang sayugia mendapatkan dia, bagi seumpama diri anakanda di dalam ini masa, supaya terangkat dengan yang demikian itu oleh nama jenis Melayu, berat dan terhebat dengan dia oleh kerajaannya pada segala hati ajanib (orang asing, pen:). Dan tertamadun dengan dia oleh siasah mereka itu sebagai tamadun yang muafakat dengan syara.'' (Surat bertarikh 19 Rabiulakhir 1324 Hijrah/11 Jun 1906 Masihi).

Surat yang sama maksudnya dengan bahagian yang saya petik ini juga pernah dikirim kepada Sultan Zainal Abidin III, Sultan Terengganu, dan sultan-sultan dalam negeri Melayu lainnya.

Bukti kesungguhan dan penuh rasa tanggungjawab al-Fathani terhadap Nik Mahmud dapat kita pelajari daripada kalimat beliau, "Dan tatkala sampai surat anakanda kepada bonda anakanda, daripada kenyataan minta tambah lima junaih itu, maka ia beri kepada Abang Awan Kenali dua junaih sahaja. Maka Abang Awan Kenali pun terima hendak pergi kirim kepada anakanda atas tangan Syeikh Abdul Hamid Kudus. Maka sampai khabar itu kepada ayahanda. Maka ayahanda hentikan dia dahulu. Dan ayahanda suruh akan dia minta tambah biar cukup lima junaih. Kemudian datang bonda anakanda ke rumah ayahanda bermusyawarat pada demikian itu, lalu ayahanda minta daripadanya kirim cukup juga kerana takut kepayahan hendak mengirim ...'' (Surat bertarikh 19 Rabiulakhir 1324 Hijrah/11 Jun 1906 Masihi).

AKTIVITI DI KELANTAN

Nik Mahmud sewaktu bergelar Dato' Bentara Setia, bersama-sama Tok Kenali dan Haji Muhammad bin Haji Muhammad Sa'id, berhasil menubuhkan Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan. Perisytiharan oleh Sultan Muhammad IV di Istana Balai Besar pada 24 Disember 1915.

Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan berhasil menerbitkan majalah Pengasuh, Tok Kenali sebagai Ketua Pengarang yang pertama. Terbitan pertama 11 Julai 1918. Majalah Pengasuh masih terbit sampai sekarang, bererti majalah inilah majalah Islam di dunia Melayu yang paling lama dapat bertahan.

Nik Mahmud secara rasmi sebagai pentadbir dan diplomat tertinggi Kelantan mulai 29 April 1921, dengan gelar Dato' Perdana Menteri Paduka Raja. Beliau menggantikan Che Hassan bin Mohd. Salleh yang memegang jawatan Dato' Menteri Kelantan yang meninggal dunia pada 22 Januari 1921. Datuk Nik Mahmud meletak jawatan pada 27 Disember 1945, diganti oleh anaknya Nik Ahmad Kamil hingga tahun 1953. Istilah yang digunakan setelah terbentuk Persekutuan Tanah Melayu tidak lagi memakai Perdana Menteri, diganti dengan Menteri Besar.

Sangat banyak aktiviti Datuk Nik Mahmud sewaktu memegang jawatan Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan saya tinggalkan saja, saya berkesimpulan bahawa beliau adalah Perdana Menteri Kelantan/Menteri Besar yang paling terkenal dalam sejarah Kelantan sama ada sebelum atau pun sesudahnya.

KARYA-KARYA

Walau pun Datuk Nik Mahmud merupakan tokoh dan ulama sebagai pentadbir tertinggi di dalam pemerintahan kerajaan negeri Kelantan pada zamannya, namun beliau sempat juga menghasilkan beberapa buah karya. Di antaranya yang sempat diterbitkan ialah:

* Cahaya Purnama Bagi Menerangkan Jalan Ugama. Ia diselesaikan di Kota Bharu, Kelantan pada 1 Syaaban 1336 Hijrah/12 Mei 1918 Masihi. Dicetak oleh Mathba'ah Majlis Ugama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan. Kandungannya membicarakan perkara-perkara fardu ain, dimulai perbicaraan ilmu tauhid dan disudahi mengenai mengerjakan haji.

* Tajuk Kemuliaan. Diselesaikan pada 21 Syaaban 1350 Hijrah/31 Disember 1931 Masihi. Dicetak oleh Majlis Ugama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan dan Mathba'ah Asasiyah, Kelantan, 1350 Hijrah/1932 Masihi. Kandungannya membicarakan akhlak.

* Ringkasan Cetera Kelantan Mengandungi Silsilah Raja-raja Dan Tarikhnya. Diselesaikan pada 8 Ramadan 1351 Hijrah/4 Januari 1933 Masihi. Dicetak oleh Mathba'ah al-Asasiyah Company Kelantan, tanpa dinyatakan tarikh. Kandungannya menceritakan asal usul keturunan raja-raja Kelantan, Patani, raja-raja yang memerintah dari peringkat awal hingga ke zaman pengarangnya (Datuk Nik Mahmud Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan) dan lain-lain. Pada kata Pendahuluan/dinyatakan bahawa sejarah ini disalin daripada tulisan Pak Wan Mahmud, Menteri Besar yang ditulis dalam tahun 1197 Hijrah, diambil daripada perkataan Pak Bedulah (Abdullah). Dinyatakan oleh pengarang bahawa beliau telah membandingkan dengan naskhah yang lain dengan cermat, maka yang diatur ini adalah yang lebih sahnya.

* Perbendaharaan Mustika. Diselesaikan hari Isnin, 2 Jamadilawal 1363 Hijrah. Cetakan pertama Ismailiyah Press, Kota Bharu, Kelantan (tanpa tahun cetak). Dicetak atas kebenaran Nik Mustafa Fadhil (Datuk Seri Amar Diraja) bin Nik Mahmud. Ditandatangani oleh Raja Muda, Yang Dipertua Majlis Ugama Islam, Pejabat Majlis Ugama Islam Kelantan pada tarikh 21 Julai 1946 Masihi. Kandungannya mengupas Al-Asmaul Husna, menghuraikan ilmu hikmah yang diamalkan oleh golongan khas.

* Pati Rahsia. Diselesaikan pada 1 Rejab 1363 Hijrah. Cetakan yang ketiga Haji Daud bin Haji Abu Bakar al-Ahmadi, 3296-B, Jalan Tengku Petra Semerak, Kota Bharu, Kelantan, 1389 Hijrah/1969 Masihi. Dicetak atas perbelanjaan Nik Ahmad Kamil (Datuk Seri Setia Raja) bin Nik Mahmud, dan dicetak atas kebenarannya. Ditandatangani oleh Raja Muda, Yang Dipertua Majlis Ugama Islam, Pejabat Majlis Ugama Islam Kelantan pada tarikh 15 Jun 1946 Masihi, bilangan (3) 136/46. Kandungannya mengupas ilmu hikmah menggunakan berbagai-bagai, isim, wirid, doa, dan lain-lain.

KETURUNANNYA

Di antara anak Datuk Nik Mahmud yang menjadi tokoh atau pembesar sama ada di Malaysia mahupun peringkat antarabangsa ialah Tan Sri Datuk Nik Ahmad Kamil (meninggal dunia 20 Disember 1977). Di antara anak Tan Sri Datuk Nik Ahmad Kamil pula ialah Tan Sri Datuk Nik Ibrahim Kamil, sekarang Pengerusi Southern Investment Bank Berhad, Kuala Lumpur.

Sumber tulisan Al-Marhoum Syeikh Wan Mohd Saghir 15/03/2004

Tiada ulasan: