Kebanyakan artikel disini adalah karya Al-Marhoum Tuan Guru Syeikh Wan Mohd Shaghir Abdullah R.A cucunda kepada Tuan Guru Syeikh Ahmad Al-Fathanie, juga dari akhbar2 nasional yang lain dan laman2 web yang bertebaran di alam maya juga disaduri macam2 hikayat,riwayat,kaifiat dan khasiat keemasan saya himpun dan susun sebagai koleksi peribadi dan bagi tatapan dan santapan rohani buat teman-teman yang sudi...himpunan artikel2 terbaru saya sekarang lebih muyul kepada informasi kesihatan ala muslim-jawi kearaban..... dan saya mula berjinak2 dengan jualan secara online produk kesihatan muslim, khasnya peralatan bekam (Set cawan, jarum dan pen bekam) dan khidmat pembekaman, Sudi-sudilah ziarah dan sudikan tinggal komentar anda. TQ
Memaparkan catatan dengan label Ulama Selangor. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ulama Selangor. Papar semua catatan

Jumaat

GANDINGAN UMARA' DAN ULAMA MEMBAWA BERKAH

Tuanku Alaeddin Sulaiman Shah ibni al-Marhum
Raja Muda Musa(1898 - 1938)

Sultan Sulaiman Selangor - Sultan yang mengasihi ulama
ANTARA sekian ramai sultan di dunia Melayu, terdapat beberapa orang sultan yang terlibat secara langsung dalam aktiviti Islam. Ada yang mengasihi ulama, bahkan ada yang mempunyai pengetahuan yang luas tentang agama Islam. Ada juga yang menghasilkan karangan berupa risalah atau pun kitab. Sultan Sulaiman, Sultan Selangor Darul Ehsan dapat dikategorikan seorang sultan yang mengasihi ulama. Mengenainya dapat dibaca dalam riwayat Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani r.a, Shaikhul Islam Selangor, dalam Ruangan Agama, Utusan Malaysia, terbitan Isnin, 22 Mac 2004, atau pun sila klik disini (click) untuk maklumat lanjut

Nama lengkapnya ialah Sultan Alauddin Sulaiman Syah bin Raja Muda Musa bin Sultan Abdul Samad bin Raja Abdullah bin Sultan Ibrahim Syah bin Raja Lumu (Sultan Salehuddin Syah, Sultan Selangor yang pertama) bin Upu Daeng Celak (Yamtuan Muda Riau yang kedua). Sultan Sulaiman lahir pada 19 Rabiul Akhir 1282 Hijrah/11 September 1865 Masihi dan mangkat pada 30 Muharam 1357 Hijrah/31 Mac 1938 Masihi. Baginda Sultan Sulaiman merupakan Sultan Selangor ke-5, yang bertahta pada tahun 1898 Masihi - 1938 Masihi, memerintah dalam masa lebih kurang 40 tahun.

Keturunan

Memperhatikan jalur keturunan di atas dapat dipastikan bahawa dari sebelah ayah baginda, Sultan Sulaiman adalah keturunan anak Raja Bugis yang berasal dari Luwuk, Sulawesi dan dari sebelah ibu baginda adalah keturunan puteri Kerajaan Riau. Datuk neneknya, Raja Lumu adalah adik beradik dengan pahlawan Melayu yang terkenal, iaitu Raja Haji asy-Syahid fi Sabilillah yang meninggal dunia dalam peperangan melawan Belanda di Teluk Ketapang, Melaka pada 18 Jun 1784 Masihi. Raja Haji secara rasminya dianugerah sebagai Pahlawan Nasional Indonesia yang disertai dengan Piagam dan Tanda Kehormatan Bintang Mahaputera Adipradana pada 11 Ogos 1997 oleh Presiden Republik Indonesia yang ditandatangani oleh Soeharto.

AKTIVITI ISLAM

Atas rasa kewajipan dan tanggungjawab menyebar dan mempertingkatkan pengetahuan Islam di Kerajaan Selangor, Sultan Sulaiman telah mendatangkan beberapa orang ulama besar dalam kerajaan yang diperintahnya. Antara ulama yang paling dekat dengannya ialah Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman al-Fathani.

Sultan Sulaiman sangat mesra dan kasih kepada Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman al-Fathani dalam Selangor sendiri hinggalah ketika beliau satu ketika pergi ke luar negara (terutama ke London), ulama yang berasal dari Patani itu ikut bersama-sama dalam rombongan beliau. Peristiwa ini mencerminkan bahawa Sultan Sulaiman berusaha sedemikian rupa menggabungkan kerjasama, kesepaduan dan keserasian antara umara dan ulama sebagaimana yang disuruh oleh Rasulullah s.a.w. -

Dalam penyebaran Islam di negeri lain selain Selangor, Sultan Sulaiman juga mempunyai rasa tanggungjawab. Sebagai buktinya, walaupun baginda kasih terhadap Tengku Muhammad bin Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani, namun kerana masyarakat Jambi sangat memerlukan ulama, baginda merestui keberangkatan Tengku Muhammad dari Klang ke Jambi. Di tanah Jambi Tengku Muhammad diberi gelaran Ulama Jubah Hitam, riwayat Ulama ini boleh dibaca dalam blog muhibmahbub.blogspot.com disini

Sebagai bukti bahawa Sultan Sulaiman mementingkan pembangunan keIslaman, beliau juga membina sebuah masjid yang diberi nama dengan nama baginda iaitu Masjid Alauddin di Kuala Langat, Selangor. Di masjid tersebutlah Sultan Alauddin Sulaiman Syah selalu membaca khutbah Jumaat, khutbah kedua-dua hari raya, Aidilfitri dan Aidiladha al-Mubarok

PENULISAN

1. Kitab Pohon Ugama Bahagian Rukun Iman, diselesaikan 1337 H/1919 M. Cetakan ketiga, Mathba'ah New Klang Press, Klang, 15 Jamadilakhir 1349 H/1930 M. Kandungan, setelah "Pendahuluan'' oleh baginda sendiri, Rahman al-Fathani. Antara pandangan Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani, "Terlihatlah hamba yang daif atas kitab ini, Pohon Ugama, karangan bagi Yang Maha Mulia Sultan Selangor Maulana al-Mu'azzam Sir Alauddin Sulaiman Syah ... Maka patut dijadikan pelajaran kanak-kanak yang mubtadi pada tiap-tiap sekolah ugama supaya berkekalan manfaatnya istimewa pula ...'' Kandungan yang menjadi topik perbahasan keseluruhan ialah mengenai akidah. Pada halaman 25 terdapat gambar baginda sedang duduk di atas mimbar Masjid Alauddin dalam rangka membaca khutbah.

Ilmu Tauhid

2. Kitab Melatih Kanak-Kanak Laki-Laki Perempuan, Agama Islam 1, diselesaikan di Istana Mahkota Puri, Klang 3 Zulhijjah 1348 H. Dicetak oleh The Boon Hua Press, Klang, 1349 H/1930 M. Kandungan, antara kalimat baginda yang bersajak pada pendahuluan, ``... pada bicarakan ilmu tauhid pangkal agama Islam. Yang sangat hampir fahamnya dan mengertinya bagi segala awam. Dicadangkan dia bagi mereka yang berkehendak kemenangan lama. Daripada kanak-kanak yang baharu belajar di dalam sekolah agama ...'' Pada halaman 27 terdapat satu judul yang agak menarik, ialah ``Nasihat Guru Pada Murid''. Mengenai ini baginda menulis dalam bentuk puisi yang terdiri daripada 22 bait empat-empat rangkap. Sebagai contoh, beberapa bait antaranya ialah:
"Tuntutlah ilmu akhirat dunia,

hidup matimu dapat bahagia.

Ke manamu pergi jadi mulia,

tidaklah hidup sia-sia

Pergi sekolah janganlah segan,

ilmu agama jangan dilupakan

Sama dituntut sama amalkan,

dua-duanya sama muliakan.

Agama Islam amat sebenar,

peraturannya cukup benar.

Tetaplah padanya jangan nanar,

beroleh kebajikan yang bersinar ... "

*Puisi yang mengandungi pemantapan pengenalan terhadap Nabi Muhammad s.a.w. di atas baginda tutup dengan beberapa bait, katanya,

"Sekadar ini rencananya disurat,

supaya ingat jangan melarat.

Menghafaz membaca janganlah berat,

iman di dada akar berurat.

Cinta ibu harus diingat,

bapa berharap beserta sangat

Anak yang soleh jadi semangat,

setiap waktu setiap saat.

Harap ibu orang yang cinta,

bapa dan kaum pula serta.

Anak berilmu alim pendeta,

biarlah habis wang harta ".

Karya di atas juga telah disemak oleh Tengku Mahmud Zuhdi al- Fathani. Selain memuji kandungan karya, Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani juga memuji baginda sultan, katanya, "... padahal ia daripada karangan orang yang mempunyai akal yang sempurna. Dan tinggi hemah pada meneguhkan tiap-tiap pekerjaan yang berguna. Iaitu mereka yang menghamparkan atas rakyatnya naung kurnia. Dan aman hadhrat yang mentadbirkan dan memerintahkan negeri Selangor Darul Ehsan Yang Maha Mulia Maulana as-Sultan Sir Alauddin Sulaiman Syah ibni al-Marhum Maulana al-Mu'azzam Raja Musa ...''

KETURUNAN

Sultan Sulaiman berkahwin beberapa kali dan mempunyai keturunan yang ramai. Yang dipaparkan dalam artikel ini sekadarnya sahaja, kerana ketiadaan cukup ruangan. Perkahwinan pertamanya dengan Tengku Ampuan Maharum binti Tunku Dhiyauddin/Tengku Kudin Kedah, memperoleh seorang putera dan empat puteri. Putera baginda ialah Sultan Ghiatuddin Riayat Syah, Sultan Selangor yang ke-7 (1942 M- 1945 M).

Baginda berkahwin pula dengan Cik Hasnah/Cik Aminah binti Pelong Makam Bandar, memperoleh dua putera dan dua puteri. Putera yang menjadi sultan ialah Sultan Hisamuddin Alam Syah, Sultan Selangor yang ke-6 (1938 M- 1942 M dan 1945 M - 1960 M). Baginda sempat menjadi Yang Dipertuan Agong Malaysia ke-2 tetapi tidak sempat mengakhiri jabatannya kerana baginda mangkat (1960 M).

Selanjutnya Sultan Sulaiman berkahwin dengan Tengku Ampuan Zabedah binti Sultan Abdul Jalil Syah, Perak, memperoleh dua putera dan empat puteri. Baginda berkahwin lagi dengan Tengku Ampuan Fatimah binti Sultan Idris, Perak, memperoleh empat putera dan dua puteri. Perkahwinan seterusnya dengan Raja Bulat binti Raja Ahmad, memperoleh empat putera. Berkahwin dengan Raja Cik Rogayah binti Mohd. Amin, memperoleh dua putera. Berkahwin dengan Che Bidayah binti Ahmad, memperoleh empat putera dan dua puteri.

Sultan Sulaiman berkahwin dengan Che Maimun binti Abdullah, memperoleh lima putera dan seorang puteri. Puteri baginda bernama Tengku Raihani (lahir 1911 M) berkahwin dengan Sultan Sir Ahmad Tajuddin ibni Sultan Jamalul Alam, Sultan Brunei, memperoleh putera Pangiran Anak Puteri Nor Ehsan. Nor Ehsan berkahwin dengan Tengku Pangiran bin Tengku Abdul Aziz Syah memperoleh tiga putera di Brunei, ialah Tengku Putera Pawzy, Tengku Putera Amir Farouk dan Tengku Putera Muhd. Harris Fadzillah. Salah seorang putera daripada isteri ini bernama Tengku Mahmud (lahir 1925 M) berkahwin (yang pertama) dengan Raja Habsyah binti Raja Muhammad Bai, Riau. Raja Habsyah masih mempunyai hubungan keluarga dengan penulis, beliau belajar al-Quran dan ilmu-ilmu fardu ain kepada Hajah Wan Zainab binti Syeikh Ahmad al-Fathani, ibu penulis. Oleh itu selain ada hubungan kekeluargaan, pada tahun 1970 dan tahun 1976, dalam rangka penelitian sejarah penulis pernah tinggal di rumah Tengku Mahmud di Jalan Mawar, Klang. Daripada mereka sangat banyak diperoleh maklumat dalam penulisan artikel ini.

Penulisan

Terakhir sekali dua orang lagi isteri Sultan Sulaiman, ialah Che Chik binti Abdullah, memperoleh tiga putera dan empat puteri. Isteri terakhirnya ialah Che Johari binti Abdullah, memperoleh dua putera.

Memperhatikan penulisan baginda dan perkataan Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani, penulis berkesimpulan bahawa baginda Sultan Sulaiman sangat memperhatikan soal pendidikan sejak kanak-kanak lagi. Dan yang paling diutamakan penerapannya ialah perkara akidah dan akhlak.

Sumber rujukan artikel diatas :-
1- Karya Sheikh Wan Mohammad Saghir Abdullah dalam utusan malaysia bertarikh 05/07/2004
2- Gambar diambil dari Laman royalark selangor here
3- Photo The Sultan Alauddin Mosque dari malaysia info here
4- Sedikit maklumat dari wikipedia versi melayu tentang sultan-sultan Selangor
5- Laman Salasilah kesultanan Selangor semenjak tahun 1756

Ahad

Tengku Mahmud Zuhdi - Syeikhul Islam Selangor

Tengku Mahmud Zuhdi - Syeikhul Islam Selangor
NAMA lengkapnya ialah Tengku Mahmud Zuhdi bin Tengku Abdur Rahman bin Tuanku Nur bin Raja Belat ibnu Raja Datu al-Fathani al-Jawi. Ayahnya adalah Raja Jambu, Patani yang ditangkap oleh Siam dan ditempatkan di istana tersendiri di Ban Sim Dip, Bangkok. Ibunya bernama Kalsum binti Haji Sa'ad, berasal dari India.

Tengku Mahmud lahir di Ban Sim Dip, Bangkok, pada tahun 1293 Hijrah/1876 Masihi. Beliau meninggal dunia di Mekah pada tanggal 6 Rabiulawal 1376 Hijrah/10 Oktober 1956 Masihi.

PENDIDIKAN
Walaupun berada di dalam keadaan sangat darurat di dalam tahanan, namun ayahnya sempat mengajar Tengku Mahmud ilmu-ilmu asas Islam tradisi Patani dan pengetahuan adab raja-raja Melayu. Tengku Mahmud juga sempat belajar kepada Syeikh Abdul Latif bin Mustafa al-Fathani di Thait (pinggiran Bangkok). Ketika berusia antara 8 - 9 tahun (1302 Hijrah/1885 Masihi), dalam keadaan sukar, Tengku Mahmud berhasil dikirim ke Mekah. Di Mekah, diserahkan sekalian urusannya kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Syeikh Ahmad al-Fathani mendidiknya sendiri dan memasukkannya ke Maktab Saulatiyah, yang diasaskan oleh orang India. Dengan demikian Tengku Mahmud memperoleh dua sistem pendidikan, iaitu sistem tradisional pondok dan sistem persekolahan.

Beliau adalah murid yang paling cemerlang di sekolah itu. Oleh kerana itu beliau diminta mengajar di sekolah tersebut pada tahun 1895. Syeikh Ahmad al-Fathani mendesak Tengku Mahmud supaya melanjutkan pelajarannya ke Mesir bersama Syeikh Muhammad Nur al-Fathani, Syeikh Tahir Jalaluddin Minangkabau dan lain-lain pada tahun 1900.

Di Mesir beliau hanya memperdalam pelbagai ilmu yang telah dipelajarinya di Mekah, terutama ilmu falakiyah dan ilmu khat. Pada tahun 1905, Tengku Mahmud lulus peperiksaan Hasyimiyah (Syarif Husein) dengan memperoleh Syahadah al-Kubra dan memperoleh kebenaran mengajar di Masjidil Haram, Mekah.

Sungguhpun Tengku Mahmud telah mengajar di Maktab Saulatiyah dan Masjidil Haram, namun beliau sentiasa memperdalam ilmu kepada Syeikh Ahmad al-Fathani terutama ilmu sastera Arab. Beliau juga menerima bai`ah Thariqat Syathariyah dan Thariqat Syaziliyah daripada Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani. Selain pendidikan yang telah disebutkan, agak kebelakangan Tengku Mahmud juga belajar kepada Syeikh Mukhtar `Atharid Bogor.

KERABAT DIRAJA SELANGOR
Tengku Mahmud berhijrah dari Mekah ke Jambi, Sumatera. Beliau sampai di Jambi pada hari Khamis, 6 Rabiulawal 1344 Hijrah/23 Oktober 1925 Masihi. Di sana beliau mendirikan sekolah Arab di sebuah tempat yang bernama Tahtul Yaman. Apabila Sultan Sulaiman Syah mendengar ulama tersebut berada di Jambi, baginda sendiri datang ke Jambi mengajak Tengku Mahmud supaya pindah ke Selangor.

Tengku Mahmud berangkat ke Klang pada tahun 1929. Pada mulanya beliau dilantik sebagai Penasihat Agama Selangor, selanjutnya menjadi Syeikhul Islam Setia Diraja Selangor. Di Selangor Tengku Mahmud berkahwin dengan Tengku Hajah Safiah, puteri Sultan Abu Samah bersama isterinya Tengku Kubis. Tengku Mahmud berkahwin beberapa kali, isterinya di Kelantan bernama Tengku Maryam. Di Kedah beliau berkahwin dua kali dan di Patani sekali.

Anak perempuannya yang bernama Tengku Aminah (tidak jelas daripada isterinya yang mana) berkahwin dengan Tengku Badli Syah (Tengku Laksamana Selangor) ibni Sultan Hisyamuddin Alam Syah.

MURID-MURIDNYA
Di kalangan kerabat Diraja Selangor termasuk Sultan Sulaiman (mangkat 1937), putera baginda Tengku Haji Ibrahim Syah (Tengku Sri Wangsa) adalah murid Tengku Mahmud Zuhdi.

Selain itu, Tengku Mahmud telah mencetuskan idea sehingga berdirinya madrasah di Klang yang bernama Marta' al-Ulum ad-Diniyah (1933 sampai tahun 1945). Pada tahun 1945, madrasah ini terpaksa ditutup kerana perang dunia ke-II. Setelah peperangan selesai madrasah tersebut dibuka kembali dengan mudirnya Hj. Abdul Ghani bin Hj. Othman. Selanjutnya ia dipimpin oleh Sayid Abdul Aziz asy-Syami al-Masri dan nama madrasah tersebut diganti dengan Darul Ulumid Diniyah. Kemudian setelah pimpinannya beralih kepada Sayid Mahmud `Arif Bukhari, madrasah tersebut kembali kepada nama asalnya, iaitu Marta' al-Ulum ad-Diniyah.

Seorang ulama besar berbangsa Arab dan berasal dari Mekah yang pernah belajar kepada Tengku Mahmud sewaktu di Klang, ialah Sayid Mahmud `Arif al-Bukhari. Ramai para pentadbir Islam di dalam Selangor yang menjadi murid kepada Tengku Mahmud, di antara mereka ialah Ustaz Ahmad Dahlan bin Abdul Mannan, bekas Pembantu Pelajaran Agama di Jabatan Agama Islam Selangor, Ustaz Hj. Abdul Jalil Safwan bin Hj. Abdul Rahman, bekas Yang Dipertua Persatuan Guru-Guru Islam Selangor (PEGUAM) dan ramai lagi.

Murid Tengku Mahmud Zuhdi yang mempunyai hubungan dengan golongan korporat pula, seperti Haji Abdullah bin Faqih, ayah kepada Dato' Hj. Shahrani, D.P.M.S, J.P, F.C.I.T, Group Excutive Chairman, Shapadu Corporation Sdn. Bhd. Dato' Hj. Shahrani Hj. Abdullah adalah salah seorang usahawan yang berjaya, berasal dari Selangor dan beliau berminat terhadap khazanah dunia Melayu.

KARYA-KARYANYA
Tengku Mahmud dapat dikategorikan sebagai ulama dunia Melayu yang mampu mengarang dalam dwi bahasa; bahasa Arab dan bahasa Melayu. Di antara karangannya yang telah ditemui disenaraikan sebagai berikut:

1. Al-Faridatus Saniyah wal Khuthbatul Bahiyah, diselesaikan pada hari Isnin, akhir Muharam 1321 Hijrah. Cetakan pertama Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah 1331 Hijrah. Kata pujian oleh Syeikh Abdullah Daud al-Fathani dan saudaranya Syeikh Muhammad Nur Daudi al-Fathani. Kandungannya mengenai khutbah Jumaat. Pada halaman akhir terdapat puisi Syeikh Abdullah Daud Fathani dan puisi pe-ngarangnya. Kedua-duanya dalam bahasa Melayu.

2. Janiyatus Tsamarat fi Ta'rifi Ba'dhil Kalimat, diselesaikan di Mekah, Subuh Jumaat, awal Rabiulawal 1325 Hijrah. Cetakan pertama Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah 1325 Hijrah. Kandungannya membicarakan nahu dalam bahasa Arab dan merupakan syarah Matan al-Ajrumiyah. Pada cetakan ini terdapat juga tentang ilmu isti'arah karya gurunya Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.

3. Syarh Tadrijish Shibyan ila Tasywiqil Bayan, diselesaikan di Mekah, 1330 Hijrah. Cetakan pertama Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1332 Hijrah. Pada bahagian tepi dicetak juga matan ilmu tersebut yang disusun oleh gurunya, Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Kata pujian oleh Saiyid Abdullah bin Saiyid Muhammad Shalih az-Zawawi (Mufti Mekah al-Mukarramah). Kandungannya membicarakan ilmu isti'arah (bahagian ilmu bayan), ditulis dalam bahasa Arab dan merupakan syarah karya gurunya, Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.

4. Tsimarul Khuthab al-Mahbarah al-Minbariyah, diselesaikan Muharam 1335 Hijrah. Dicetak oleh Mathba'ah Dar Ihya' al-Kutub al-Arabiyah. Kandungannya merupakan kumpulan khutbah dan terdapat berbagai-bagai amalan.

5. Tazkiyatul Anzhar wa Tashfiyatul Afkar, diselesaikan pada hari Jumaat, 7 likur Muharam 1339 Hijrah. Dicetak oleh Mathba'ah Dar at-Thiba'ah al-Islamiyah, Patani. Kata pujian oleh Syeikh Muhammad Mukhtar bin `Atharid Bogor, Syeikh Abdul Qadir bin Shabir Mandailing, Syeikh Muhammad Nur al-Fathani, Syeikh Muhammad bin Abdul Qadir al-Fathani, Syeikh Yahya Legih ar-Ramani al-Fathani, Syeikh Ismail/Pak De `El bin Abdul Qadir al-Fathani, Syeikh Muhammad Nashir al-Fathani, bertarikh 16 Zulkaedah 1339 Hijrah dan Syeikh Abdul Haq, tahun 1341 Hijrah. Pentashihnya adalah Syeikh Abdullah bin Ibrahim Langgar al-Qad-hi. Kandungannya menolak beberapa pemikiran Kaum Muda terutama karangan Mufti Haji Wan Musa Kelantan.

6. Pemudahan Yang Disayang, diselesaikan pada hari Jumaat, 7 Muharam 1343 Hijrah. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura, 1345 Hijrah /1927 Masihi. Kandungannya mengenai melakukan fidiyah menurut Mazhab Hanafi yang boleh dipakai dalam Mazhab Syafie.

7. Pegangan Yang Terutama Pada Sedikit Daripada Pangkal Ugama, diselesaikan pada 10 Syaaban 1352 Hijrah. Dicetak pada hari Rabu, 2 Safar 1353 Hijrah/16 Mei 1934 Masihi, tanpa disebut tempat mencetaknya. Kandungannya membicarakan akidah.

8. Tamhidul Manahij al-Adabiyah fi I'rabi Mabanil Ajrumiyah, diselesaikan pada hari Isnin, 10 Zulkaedah 1352 Hijrah. Jilid 1 dan 2 dicetak oleh The New Klang Press, Klang, pada hari Isnin, 11 Rejab 1352 Hijrah/30 Oktober 1933 Masihi. Jilid 4, dicetak oleh Persama Press, Penang. Kandungannya mengenai ilmu nahu dan merupakan huraian Matan Ajrumiyah.

9. Dua Khutbah Bagi Dua Hari Raya Fitrah Dan Adha, tidak terdapat tahun selesai penulisan. Cetakan yang pertama Mathba'ah al-Ishlah, Jeddah. Dicetak atas perbelanjaan pengarang sendiri. Kandungannya mengenai khutbah, doa khatam al-Quran untuk khanduri/kenduri, talqin mayat dan doa Nisfu Syaaban.

KETURUNAN
Anak Tengku Mahmud yang meninggalkan keturunan ada empat orang; Haji Muhammad, keturunannya di Jambi, Sumatera, Haji Ahmad keturunannya di Jambu, Patani, Tengku Abdul Hamid dan Tengku Aminah, keturunan dua orang yang terakhir ini di Selangor.

Anak Tengku Mahmud yang menjadi ulama besar dua orang; Haji Muhammad, sangat terkenal di Jambi. Digelar oleh masyarakat sebagai `Ulama Jubah Hitam'. Yang menjadi ulama pula ialah Haji Ahmad, Imam Masjid Jambu, Patani dan guru mengajar pelbagai kitab. Semua anak Tengku Mahmud Zuhdi yang tersebut telah meninggal dunia.

Artikel Syeikh Wan Mohd Saghir dalam utusan bertarikh 22/03/2004

Khamis

Ulama Jawa termasyhur di Selangor

Imam Muhammad Dahlan -
Ulama Jawa termasyhur di Selangor

SEWAKTU Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani sebagai Syeikhul Islam Selangor, pada zaman pemerintahan Sultan Sulaiman, terdapat ramai ulama yang datang dari pelbagai pelosok dunia Melayu di kerajaan Selangor. Di antara mereka ada yang sengaja diajak oleh Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani, dan ada juga yang datang dengan kemahuan sendiri. Sebagaimana beberapa siri yang lalu telah diperkenalkan ulama yang berasal dari Jawa yang terkenal di peringkat antarabangsa, kali ini diperkenalkan pula ulama yang berasal dari Jawa yang berperanan di Kerajaan Selangor dan sekitarnya. Beliau aktif dalam penyalinan kitab-kitab bahasa Arab, menterjemah beberapa kitab yang dipandang penting ke bahasa Jawa, menulis karangan sendiri dalam bahasa Jawa dan hanya sedikit jumlahnya yang ditulis dalam bahasa Melayu.

Sebelum membicarakan ulama yang dimaksudkan lebih terperinci di bawah ini, saya petik tulisan beliau sendiri yang ditulis dalam bahasa Arab dan di bawahnya diberi gantungan bahasa Jawa, terjemahan maksudnya sebagai berikut, ``... Haji Muhammad Dahlan bin Kiyahi Hasan al- Minhaj Perumpung, Kebumen, Jawa. Orang tua lelaki berasal dari Banjarnegara. Kemudian berpindah ke Kampung Perumpung, Kebumen. Kemudian berpindah ke Negeri Singapura. Kemudian berpindah ke Klang. Kemudian beliau meninggal dunia, dikuburkan di Simpang Lima, Klang, Selangor.'' Haji Muhammad Dahlan lahir pada 26 Rejab 1313 H/12 Januari 1894 M dan wafat di Madinah, Zulhijjah 1398 H/November 1978 M

Imam Muhammad Dahlan mempunyai ramai keturunan yang belum sempat saya ungkapkan, tetapi yang dapat disentuh adalah seorang cucunya Ahmad Shukri bin Haji Ghazali, iaitu Imam Masjid Bandar Baru Sungai Buloh. Bahawa ibu Ahmad Shukri bernama Hajah Badariah, iaitu anak kepada Imam Haji Muhammad Dahlan yang dibicarakan ini. Haji Ghazali bin Haji Siraj, ayah Ustaz Haji Ahmad Shukri, adalah salah seorang murid Imam Haji Muhammad Dahlan. Haji Ghazali bin Haji Siraj dalam tahun 2005 ini memperoleh Tokoh Keluarga Mithali Negeri Selangor 2005.

KARYA-KARYANYA BERBAHASA ARAB

1. Kitabul Faraidh, diselesaikan malam Sabtu, Rabiulawal 1341 H/November 1921 M. dalam bentuk manuskrip asli. Kandungannya membicarakan kaedah membahagi pusaka

2. Mukhtasharut Tarkibil Jurumiyah, mulai menulis pada 14 Zulhijjah 1347 H di Kapar Road Klang, Selangor. Dalam bentuk manuskrip asli. Kandungannya membicarakan ilmu nahu untuk peringkat kanak-kanak.

3. Khutbah Jumaat, diselesaikan pada hari Isnin, akhir Syawal 1350 H. Kandungan khutbah Jumaat yang pertama dan kedua yang ditulis dalam bahasa Arab untuk Kerajaan Selangor dalam masa pemerintahan Sultan Sulaiman bin Sultan Musa bin Sultan Abdus Samad. Dalam bentuk manuskrip asli.

Karya salinan dalam bahasa Arab pula adalah sebagai berikut:

1. Qazhun Niyam fima yata'allaqu bish Shiyam, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan. Manuskrip salinan daripada cetakan awal bulan Syaaban 1321 H, tanpa menyebut nama percetakan. Karangan Saiyid Utsman Betawi. Nama penyalin yang pertama Ahmad Dahlan bin Abdullah, disalin pada 2 Rejab 1324 H. di Darat Semarang. Disalin yang kedua daripada salinan yang pertama oleh Muhammad Dahlan bin Muhammad Minhaj berasal dari Kampung Perumpung, Kebumen, pada 25 Rabiulawal 1340 H. Kandungannya membicarakan tentang ilmu falak.

2. Shiaghu Shalawati `alan Nabiyi Shallallahu alaihi wa Sallam, tanpa tarikh. Nama pengarang asal Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan. Salinan di-

selesaikan pada malam Selasa, awal Safar 1350 H. Salinan ini ialah daripada naskhah yang pernah dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1316 H. Kandungannya membicarakan pelbagai selawat atas Nabi s.a.w. terutama Shalawat Saiyidi Syeikh Ahmad al-Badawi dan Shalawat Saiyidi Syeikh Abdul Qadir al-Jilani. Kandungan tambahan ialah mengenai tasawuf.

3. Syarhu `Uqudil Lujjain fi Bayani Huquqiz Zaujain oleh Syeikh Nawawi al-Bantani. Diselesaikan waktu Dhuha, hari Ahad 27 Muharam 1294 H. Salinan diselesaikan di Sungai Pinang, Klang, Selangor pada hari Khamis, waktu Dhuha, 25 Zulkaedah 1351 H. Kandungannya membicarakan hak-hak dan adab orang yang bersuami dan beristeri

4. Sulukul Jadah wa zalatuz Zulumah wal Mu'anadah liman Raghaba fi Iqamatil Jum'ati ma'al I'adah, tanpa tarikh. Salinan diselesaikan pada malam Ahad, 24 Syaaban 1362 H. Kandungannya membicarakan sembahyang Jumaat, perbahasan yang terpenting mengulangi sembahyang Zuhur sesudah Jumaat (i`adah). Merupakan syarah karya Syeikh Salim bin Samir al-Hadhrami (wafat di Betawi) yang berjudul Lum'atul Mafadah fi Bayanil Jum'ati wal Mu'adah.

5. Al-Khal'atul Fikriyah fi Syarhil Minhatil Khairiyah, tanpa tarikh. Kitab ini adalah karya Syeikh Muhammad Mahfuz bin Abdullah at-Tarmasi. Manuskrip salinan daripada yang pernah dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1315 H. Keadaan manuskrip sangat uzur. Kandungannya merupakan Syarh Hadits Arba'in (Hadis Empat Puluh) berdasarkan yang disyairkan oleh Syeikh Syihabuddin Ahmad al-Qasthallani dalam Hadis Bukhari yang berasal daripada perkataan al-Hafizh Abi Bakr al-Burqaini .

6. Tuhfatul Murid `ala Jauharatit Tauhid, tanpa tarikh. Salinan oleh Haji Muhammad Dahlan bin Kiyahi Hasan Minhaj, juga tanpa tarikh. Kandungannya membicarakan akidah Ahlis Sunnah wal Jama'ah

7. Bab Hawasyi minar Rumuz `ala Jauharatit Tauhid, tanpa tarikh. Salinan oleh Haji Muhammad Dahlan bin Kiyahi Hasan Minhaj, juga tanpa tarikh. Kandungannya membicarakan rumuz nama beberapa orang ulama yang terkenal, cukup menyebut beberapa huruf saja, tanpa menggunakan nama yang panjang. Kegunaannya adalah untuk memudahkan membaca kitab-kitab syarah dan hasyiyah yang hanya menggunakan huruf-huruf Abjad.

Setelah kita mengetahui karya Imam Muhammad Dahlan bin Hasan Minhaj dalam bahasa Arab dan karya salinan, terdapat lagi karya yang beliau tulis dalam bahasa Jawa. Hasil karya beliau yang ditulis dalam bahasa Jawa lebih banyak. Nampaknya tentang bahasa Melayu kurang beliau kuasai jika dibandingkan dengan bahasa Arab, apatah lagi jika dibandingkan dengan bahasa Jawa. Sewaktu saya menulis artikel ini, saya belum menemui kitab karya beliau dalam bahasa Melayu.

Yang ada beliau tulis dalam bahasa Melayu hanyalah berupa catatan yang pendek-pendek. Sungguh pun karya-karya Imam Muhammad Dahlan bin Hasan Minhaj dalam bahasa Jawa banyak yang penting-penting, namun saya tinggalkan saja kerana kekurangan ruangan untuk membicarakannya. Insya-Allah mengenainya akan dibicarakan dalam sejarah hidup beliau yang lebih lengkap pada waktu-waktu yang akan datang.

ULAMA DUNIA MELAYU

Daripada semua karya Imam Muhammad Dahlan bin Hasan Minhaj, terdapat nama-nama penting para ulama yang berasal dari dunia Melayu atau ulama dunia luar yang ada hubungannya dengan dunia Melayu.

Daripada informasi ini dapat dihubungkaitkan untuk menjejaki sanad atau salasilah dengan keilmuan Imam Muhammad Dahlan bin Hasan Minhaj. Nama-nama yang dimaksudkan ialah seumpama Sayid Utsman Betawi, Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Ahmad al-Fathani dan Syeikh Muhammad Mahfuz bin Abdullah at-Tarmasi. Ulama Arab pula di antaranya ialah Saiyid Abi Bakri Syatha, Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan, Syeikh Utsman ad-Dimyathi dan lain-lain.

Dapat dipastikan semua ulama yang tersebut mempunyai hubungan sanad atau salasilah pelbagai bidang keilmuan Islam. Imam Muhammad Dahlan bin Hasan Minhaj mempunyai pertalian sanad/salasilah dengan Syeikh Muhammad Mahfuz bin Abdullah at-Tarmasi. Kemungkinan Imam Muhammad Dahlan bin Hasan Minhaj adalah murid kepada adik ulama ini, ialah Kiyai Haji Muhammad Dimyathi bin Abdullah at-Tarmasi (wafat 1934 M) kerana nama ini ada beliau sebut dalam tulisannya.

Sahabat

Oleh itu sekurang-kurangnya sebuah karya Syeikh Muhammad Mahfuz at-Tarmasi, mengenai hadis yang berjudul Al-Khal'atul Fikriyah telah beliau salin. Syeikh Muhammad Mahfuz at-Tarmasi adalah sahabat Tok Kenali Kelantan, Mufti Haji Abdullah Fahim dan lain-lain. Semua mereka adalah murid Syeikh Ahmad al-Fathani. Syeikh Ahmad al-Fathani adalah murid Sayid Abi Bakri Syatha.

Sekali gus beberapa orang murid Syeikh Ahmad al-Fathani termasuk ulama-ulama yang tersebut juga sempat belajar kepada Sayid Abi Bakri Syatha. Dari sini bermula sanad pelbagai keilmuan Islam yang naik kepada Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan, Mufti Mekah pada zaman itu. Syeikh Ahmad al-Fathani dan gurunya Sayid Abi Bakri Syatha sebagai murid kepada Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan. Syeikh Nawawi al-Bantani juga murid Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan walau pun kedua-duanya sebaya umur. Daripada Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan naik kepada Syeikh Utsman ad-Dimyathi dan seterusnya hingga akhir sanad.

Ada persamaan jenis tarekat yang diamalkan Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani, Syeikhul Islam, Selangor dan Imam Muhammad Dahlan bin Hasan Minhaj. Kedua-duanya mengamalkan Thariqat Syathariyah. Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani mendapat tawajjuh dan bai`ah Thariqat Sythariyah daripada Syeikh Wan Ali Abdur Rahman Kutan al-Kalantani, tetapi Imam Muhammad Dahlan Hasan Minhaj mendapat tawajjuh dan bai`ah Thariqat Syathariyah daripada Syeikh Haji Muhammad Ali Sejangkang.

Penyelidikan

Bagaimanakah biografi Syeikh Haji Muhammad Ali Sejangkang masih memerlukan penyelidikan. Sejangkang berada di dalam Selangor, sedangkan ulama yang tersebut masih di dalam `selubung' yang masih belum `terselakkan'. Kedua-dua salasilah di atas bertemu pada Syeikh Muhammad As'ad. Daripada Syeikh Muhammad As'ad melalui muridnya, ulama yang sangat terkenal, iaitu Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani turun ke bawah termasuklah Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani. Daripada Syeikh Muhammad As'ad melalui muridnya Syeikh Haji Asy'ari, yang juga masih belum terungkapkan, turun ke bawah termasuklah Imam Muhammad Dahlan bin Hasan Minhaj.

Untuk lebih jelas tentang Silsilah Thariqat Syathariyah Imam Muhammad Dahlan dapat dibaca dalam kertas kerja yang berjudul Sanad Keilmuan Syeikh Ahmad Al-Fathani dan Ulama Selangor, yang dibahas (dibentangkan) pada hari Ahad, 20 Rabiulakhir 1426 H/29 Mei 2005 M. di Masjid Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor Darul Ehsan.

Selain mengamalkan Thariqat Syathariyah, Imam Muhammad Dahlan bin Muhammad Minhaj juga mengamalkan dua tarekat yang lain, iaitu Thariqat Khalwatiyah dan Thariqat `Ulwiyah /Thariqat `Alawiyah.