Kebanyakan artikel disini adalah karya Al-Marhoum Tuan Guru Syeikh Wan Mohd Shaghir Abdullah R.A cucunda kepada Tuan Guru Syeikh Ahmad Al-Fathanie, juga dari akhbar2 nasional yang lain dan laman2 web yang bertebaran di alam maya juga disaduri macam2 hikayat,riwayat,kaifiat dan khasiat keemasan saya himpun dan susun sebagai koleksi peribadi dan bagi tatapan dan santapan rohani buat teman-teman yang sudi...himpunan artikel2 terbaru saya sekarang lebih muyul kepada informasi kesihatan ala muslim-jawi kearaban..... dan saya mula berjinak2 dengan jualan secara online produk kesihatan muslim, khasnya peralatan bekam (Set cawan, jarum dan pen bekam) dan khidmat pembekaman, Sudi-sudilah ziarah dan sudikan tinggal komentar anda. TQ
Memaparkan catatan dengan label Ulama Terengganu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ulama Terengganu. Papar semua catatan

Jumaat

Tok Syeikh Duyung Syeikhul ulama Terengganu

Maqom Tok Sheikh Duyong di Terengganu
PADA tarikh 13 Februari 2006 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin
(KUSZA) Terengganu telah berlangsung Seminar Kebangsaan Kefahaman Tasawuf Nusantara. Majlis itu dihadiri 1,500 orang. Pada keesokan harinya di dewan yang sama berlangsung pula Peringatan 101 Tahun Kewafatan Syeikh Ahmad Al-Fathani yang diberi judul ‘Ulama Bermesra Sultan dan Rakyat (Syeikh Ahmad Al-Fathani dan Sultan Zainal Abidin III)’.

Peringatan ini adalah atas kerjasama pihak KUSZA dan Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara (PENGKAJI). Saya telah diberi kesempatan memberi ceramah di beberapa tempat di Terengganu yang diatur oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu.

Saya dan PENGKAJI terhutang budi atas kerjasama pihak KUSZA dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu. Kami mengucapkan jutaan terima kasih. Selama seminggu di Terengganu saya berkesempatan menziarahi beberapa makam ulama yang bersejarah di Terengganu dan mewawancara beberapa orang.
Wawancara itu bukanlah yang pertama kali di Terengganu, tetapi adalah lanjutan wawancara yang pernah dijalankan tahun 1976. Ulama Terengganu tidak dapat dipisahkan dengan ulama Patani, termasuk yang diriwayatkan ini, yang digelar orang ‘Tok Syeikh Duyung’.

Nama sebenarnya ialah Syeikh Wan Abdullah bin Muhammad Amin bin Ya’qub al-Fathani. Lahir di Cabang Tiga, Patani, tahun 1216 H/1802 M, Allahyarham wafat pada hari Khamis, pukul 4.00 petang, 12 Jamadilakhir 1306 H/24 Februari 1889 M.

Saya terkenang kembali hasil wawancara saya di Terengganu pada tahun 1976, terutama dengan Datuk Sansura Pahlawan, tentang nama ‘Duyung’. Ia mengingatkan saya bahawa Pulau Duyung Kecil menjadi tempat keluarga besar ulama Patani berhijrah akibat perang dengan Siam. Di antara yang berhijrah ialah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, ulama yang banyak menulis kitab yang sangat terkenal itu. Yang digelar ‘Tok Syeikh Duyung’ yang lebih awal ialah Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani yang kemudian lebih dikenali dengan panggilan ‘Tok Syeikh Bukit Bayas’.

Allahyarham Tokku Paloh terima Anugerah Khas Tokoh Ulama Terengganu dari Najib


Syed Abu Bakar menerima anugerah bagi pihak Tokku Paloh
KUALA NERUS: Perdana Menteri Negara Malaysia Yb. Datuk Sri Najib Razak hari ini menyampaikan Anugerah Khas Tokoh Ulama Terengganu kepada Allahyarham Tokku Paloh sebagai menghargai sumbangan besar ulama itu meninggikan syiar Islam. 

Anugerah itu disampaikan Perdana Menteri semasa merasmikan majlis penutup Ijtimak Pondok Malaysia 2016 yang diadakan di Universiti Malaysia Terengganu. Najib menyerahkan anugerah itu kepada Datuk Syed Abu Bakar Syed Abdullah yang juga generasi keempat Tokku Paloh atau nama sebenar Sayid Abdul Rahman Muhammad al-Idrus. 

Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Syed Abu Bakar, 72, berkata anugerah itu memberi motivasi kepada cucu cicit Allahyarham untuk terus memberi lebih banyak sumbangan bagi meninggikan syiar Islam di negara ini khususnya Terengganu. 

Beliau berkata ketika ini masih ada generasi ketiga dan keempat Allahyarham Tokku Paloh di sekitar Kuala Terengganu namun kebanyakannya sudah uzur akibat faktor kesihatan. "Kami masih meneruskan warisan Allahyarham iaitu Masjid Tokku Paloh berdekatan Losong yang kini sudah berusia 160 tahun dengan pelbagai ceramah dan aktiviti keagamaan. 

"Saya adalah pengerusi di masjid itu dan setiap malam Isnin, Rabu dan Khamis, saya akan memilih penceramah di kalangan anak cucu yang ada berdekatan masjid dan sesekali ada juga panggil penceramah luar," kata Syed Abu Bakar. 

Tokku Paloh adalah generasi ke-32 daripada Rasulullah SAW. Beliau adalah zuriat merangkap itroh dan ahlulbait zahir bathin dari leluhur kabilah Al-Aidrus. Nasab sebelah bapanya sampai kepada Sayidina Hussein r.a. anak Sayidatina Fatimah Az-Zahrah r.ha. binti Rasulullah SAW. lbu Tokku Paloh, Hajah Aminah, ialah isteri pertama daripada beberapa orang isteri Sayyid Muhammad yang terkenal dengan gelaran Tokku Tuan Besar.

Sabtu

SHEIKH ABDUL QODIR BUKIT BAYAS SYEIKHULISLAM TERENGGANU

Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas ulama paling berpengaruh di Terengganu

TIDAK dapat dinafikan bahawa yang mewarnai corak pelangi indah keIslaman di Terengganu mulai peringkat awal hingga abad ke-20, terdiri daripada dua golongan ulama atau penyebar Islam. Golongan itu ialah, pertama: Berasal daripada ulama-ulama Patani, dan kedua: Daripada keturunan Rasulullah s.a.w. atau golongan 'sayid' yang juga disitilahkan sebagai ahlulbait. Di antara ulama yang paling besar pengaruhnya di Terengganu ialah Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani atau Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas, Terengganu. Selain beliau ulama yang masyur di Terengganu yang diangkat sebagai pejuang Islam dan bangsa Melayu ialah Tok Ku Paloh Al-Aidrus, Tok Pulau Manis yang keramat masyur dengan Hikam Melayunya, keagungan Islam dan keilmua saking hebatnya sehingga sampai ke puncak Istana, ini terbukti betapa masyurnya Sultan Zainal Abidin III sebagai seorang Umara bertaraf dunia alim lagi bijaksana.

PENDIDIKAN

Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim mendapat pendidikan asas di beberapa pondok pengajian di Patani. Walaupun ditinjau dari segi pangkat, nasab beliau adalah peringkat datuk saudara kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, namun ditinjau dari segi umur pula Abdul Qadir lebih muda daripada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Menurut riwayat, Abdul Qadir dan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani pernah sama-sama belajar dalam sebuah pondok, sama ada di pondok Kuala Bekah (Patani) mahu pun di pondok-pondok lainnya. Bahkan pernah sama-sama belajar di Mekah. Dalam riwayat yang lain pula menyebut bahawa Syeikh Abdul Qadir pernah belajar kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Jadi beliau termasuk peringkat murid kepada Syeikh Daud Abdullah al-Fathani. Ketika beliau melanjutkan pelajaran ke Mekah, beliau berguru kepada Syeikh Muhammad Shalih bin Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani, Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaludin Aceh. Kepada ulama-ulama Arab pula beliau belajar di antaranya kepada Syeikh Muhammad Shalih bin Ibrahim, Mufti Syafi'ie di Mekah, Syeikh Ahmad al-Marzuqi dan lain-lain. Setelah memperoleh ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang di Mekah dan Madinah, beliau turun ke Jawi. Pertama kali ke sana beliau tidak langsung ke negeri asalnya Patani, tetapi beliau ke Pulau Duyung, Terengganu. Langkah itu diambilnya kerana di Pulau Duyung Kecil, Terengganu itu ahli keluarganya lebih ramai dan lebih dekat daripada di Patani sendiri. Di Pulau Duyung Kecil, Terengganu beliau memulakan aktivitinya sebagai seorang ulama.

AKTIVITI

Syeikh Abdul Qadir mulai mengorak langkah di mana sahaja beliau pergi dalam negeri Terengganu beliau memperkenalkan ajaran Islam menurut Mazhab Syafie dan iktikad Ahlus Sunnah wal Jamaah. Beliau merancang membuka sebuah institusi semacam pondok di Patani, kerana pada zaman itu pengajian pondok memang di Patani yang paling terkenal di rantau ini. Sama ada di Terengganu mahupun di tempat-tempat lainnya, pengajian pondok tidaklah sekukuh seperti di Patani sendiri. Apabila rancangannya itu telah mantap, beliau pulang ke Patani dengan tujuan mendapatkan rancangan kerja yang lebih mantap atau konteks kerjasama dalam dunia pendidikan pondok dengan beberapa orang Tok Guru mahu pun ahli keluarga beliau yang menjadi ulama yang memimpin pondok di Patani. Setelah sampai ke Patani, niat beliau tergendala kerana pada masa itu terjadi suatu peperangan besar antara Kedah-Patani terhadap pencerobohan bangsa Siam. Peperangan besar yang melibatkan beberapa orang tokoh ulama itu diikuti pula oleh Syeikh Abdul Qadir sendiri.

Pengajian pondok

Dipercayai beliau datang ke Pulau Duyung kali kedua ini sekitar tahun 1830an M. Ketika itu beliau mulai mengajar di Kampung Paya Bunga, Duyung. Syeikh Abdul Qadir mendirikan sebuah mesjid di Bukit Bayas. Di kedua-dua tempat itu beliau membina pengajian pondok menurut tradisi di Patani. Kemudian oleh sebab beliau memusatkan aktivitinya di Bukit Bayas, maka terkenallah namanya kemudian hari dengan gelaran Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas, pengganti kepada nama terkenal sebelumnya iaitu gelaran Syeikh Abdul Qadir Duyung (Tok Duyung sahaja).

PENULISAN

At-Targhib wat Tarhib li al-Bai'i wa Asy-Syira, diselesaikan waktu duha, hari Isnin, 2 Rabiulawal 1234 H, di negeri Terengganu. Kandungannya membicarakan tentang perniagaan menurut ajaran Islam, mengemukakan hujah-hujah berdasarkan al-Quran dan hadis mengenai terlarangnya memakan riba. Di antara salinan terbaik yang pernah ditemui ialah yang diselenggarakan oleh Mahmud ibnu Muhammad Yusuf Terengganu.

Setelah Basmalah, Hamdalah, Selawat dan Salam, pengarangnya Syeikh Abdul Qadir menyebut judul karya ini dalam bahasa Arab, iaitu Risalah fi Bayani Hukmil Bai'i war Riba. Judul terjemahan oleh pengarangnya dalam bahasa Melayu: Risalah Pada Menyatakan Hukum Jual Beli Dan Riba. Berdasarkan kenyataan ini bererti karya ini terdapat dua judul yang berbeza dalam bahasa Arab, iaitu judul yang satu lagi yang tertulis pada bahagian depan manuskrip ialah: At-Targhib wat Tarhib li al-Bai'i wa asy-Syira.

Sebagai keterangan tambahan keseluruhan kandungannya diringkaskan oleh beliau sendiri, dengan katanya ``Ditambahi sedikit daripada dalil dan hadis pada menyatakan seksa dan azab atas tiap-tiap orang yang memakan riba, dan orang yang mengurangkan sukatan dan timbangan, dan orang yang menzalim atas harta manusia.'' Sasaran karangan beliau nyatakan, "Supaya beroleh manfaat dengan dia oleh tiap-tiap orang yang membaca akan dia daripada segala orang yang berjual beli laki-laki dan perempuan, kecil dan besar, muda dan tua.'' (hlm. 1).

Setelah itu pengarangnya memasuki perbincangan yang merupakan subjudul awalnya, ialah Asal Yang Mengharuskan Jual Beli Dan Haram Riba. Bahagian ini mengemukakan hujah-hujah daripada al-Quran dan hadis lengkap dengan perbandingan pendapat para ulama tentang pentafsirannya. Hadis yang pertama diperkenalkan terjemahan menurut Syeikh Abdul Qadir, "Bermula yang terlebih afdal usaha itu berjual beli yang baik, ertinya yang tiada tipu daya padanya dan tiada khianat, dan bekerja laki-laki dengan tangannya.''

Selanjutnya Syeikh Abdul Qadir memetik hadis- hadis yang lain, di antaranya yang dikeluarkan oleh Baihaqi daripada Muaz, hadis yang dikeluarkan oleh Ibnu Majah dan Hakim daripada Ibnu Umar, hadis yang dikeluarkan oleh Ishbahani dan Dailami, dan banyak lagi hadis yang dapat dirujuk pada bahagian ini (hlm. 2-4). Kemudian memasuki Tanbih Bersalah-salahan Ulama Pada Usaha Yang Terafdal, Syeikh Abdul Qadir memulakan kalimat bahagian ini dengan katanya, "Telah berkata oleh beberapa ulama, yang terlebih afdal usaha itu berniaga. Dan telah berkata oleh setengah ulama yang Muhaqqiqin, bermula usaha yang terlebih afdal itu berbuat bendang, kemudian daripada itu usaha kepandaian. Seperti berbuat rumah dan perahu, menjahit dan barang sebagainya daripada segala kepandaian yang diharuskan oleh syara. Kemudian daripada itu pula berniaga.'' Pada bahagian ini dimulai dengan khabar daripada Muslim terjemahan menurut Syeikh Abdul Qadir, "Tiada menanam oleh orang yang Islam akan satu tanaman dan tiada berbuat bendang ia akan satu bendang, maka makan daripadanya oleh manusia, dan tiada memakan akan dia oleh binatang, dan tiada suatu yang memakan akan dia melainkan adalah baginya itu sedekah.'' Setelah membandingkan pelbagai pendapat, lalu dimulai perbincangan mengenai jual beli, iaitu dimulakan dengan tiga macam bentuk jual beli: Pertama, berjual mata benda yang dilihat. Kedua, dijual akan mata benda yang belum lagi maujud. Ketiga, dijual mata-benda yang ghaib, yang tiada dilihat (hlm. 10-20).

Hukum riba

Setelah mengupas sesuatu barang yang sah dijual beli atau tidak sahnya secara terperinci, lalu membicarakan mengenai riba. Syeikh Abdul Qadir membuka lembaran ini dengan kata beliau, "Syahdan hendaklah mengetahui dan belajar pula akan hukum riba kerana wajib atas tiap-tiap orang yang berniaga itu berlajar segala hukum jual beli, dan hukum riba ...'' Menurut beliau, "Barangsiapa berniaga dahulu daripada mengetahui hukumnya nescaya haramlah atas orang itu dengan ittifaq segala ulama...'' Mengenai asal hukum haram riba beliau kemukakan ayat al-Quran dan beberapa hadis. Di antara hadis yang disebutkan terjemahan menurut Syeikh Abdul Qadir, ``Satu dirham riba yang memakan akan dia oleh anak Adam itu terlebih sangat besar dosanya pada Allah Taala daripada tiga puluh enam kali mengerjakan zina. Riwayat Imam Ahmad daripada Abi Hurairah.'' Semua permasalahan riba dibicarakan mulai hlm. 20 sampai 31. Selanjutnya disambung dengan Tanbih Haram Menipu Daya Pada Berjual Beli. Di antara hadis yang dipetik pada perbincangan ini terjemahan menurut Syeikh Abdul Qadir, ``Dan barangsiapa menipudaya ia akan kami maka tiadalah ia daripada kami.'' (hlm. 32-41). Tidak kalah juga pentingnya beliau memberi subjudul Tanbih Suatu Perjagaan Pada Menyatakan Hukum Orang Yang Mengurangkan Sukatan Dan Timbangan''. (hlm. 46-49).

KETURUNAN DAN MURID

Syeikh Abdul Qadir ini sangat besar pengaruhnya sama ada kepada masyarakat luar mahu pun kepada pihak Kerajaan Terengganu. Sangat ramai murid beliau menjadi ulama besar dan pemimpin kerajaan Terengganu. Daripada keturunan (zuriat) beliau demikian juga adanya. Beliau meninggalkan anak 21 orang lelaki dan perempuan. Mereka ialah: 1. Wan Abdur Rahim, 2. Wan Muhammad Amin, 3. Wan Muhammad Sa'id, 4. Wan Muhammad Saleh, 5. Wan Jamilah, 6. Wan Maimunah, 7. Wan Putih, 8. Wan Hitam, 9. Wan Khatijah, 10. Wan Maryam, 11. Wan Abdullah, 12. Wan Halimah, 13. Wan Salamah, 14. Wan Abu Bakar, 15. Wan Ahmad, 16. Wan Kaltsum, 17. Wan Abdur Rahman, 18. Wan Aminah, 19. Wan Man, 20. Wan Salimah, 21. Wan Muda. Yang menjadi ulama dan pembesar di Terengganu di antaranya Wan Muhammad Saleh, iaitu berpangkat Tok Kaya Pahlawan atau Datok Sangsura Pahlawan. Cucu beliau bernama Wan Abdul Hamid bin Wan Muhammad Sa'id bin Syeikh Abdul Qadir juga sebagai Datok Sangsura Pahlawan.

Di antara murid Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas yang sangat terkenal sebagai tokoh atau pun ulama ialah Baginda Sultan Umar (Sultan Terengganu), Wan Abdullah bin Muhammad Amin al-Fathani (Syeikh Duyung), Tok Ku Tuan Besar, Tuan Guru Mahmud bin Muhammad Yusuf Kemaman (penyalin pelbagai manuskrip) dan ramai lagi.

WAFAT

Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani Bukit Bayas, Terengganu wafat dalam tahun 1864 M di Kampung Paya Bunga, Terengganu. Riwayat lain menyebut beliau wafat di Bukit Bayas, Terengganu.

Al-Fatihah untuk almarhoum Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani Bukit Bayas

artikel asal oleh Syeikh Wan Md Saghir Abdullah. utusan 14/03/2005
__________________________________________________________________
Ya Allah Ya Tuhanku...dengan rahmatMu kepada kekasih2 Mu ku bermohon dariMu Ya Tuhan yg Maha Kaya dan Pemurah, ampunilah aku dan ayah ibuku juga keluargaku Ya Rab, Ya Rabb kurniakan kepada hambamu yang faqir lagi hina dina ini rezeki yg mencukupi untuk duniaku, aku mengadu hal miskinya aku, lemahnya aku, jahilnya aku kepadaMu yang Maha kaya, maha Alim dan Maha Mengetahui....kurniakan Rahmat dan penjagaan darimu dunia akhirat.
Ya Allah...tolonglah selamatkan adik ku yg kusayangi, baru2 ini dia keguguran kandungannya, selamatkanlah dia sekeluarga, kurniakanlah zuriat dan kumohon tetapkanlah anak kandunganya, hilangkanlah sakit dan lemah semangatnya, kuatkanlah azamnya, ringankanlah alahan waktu dia mengandung, berkatkanlah kandunganya, dan selamatkanlah dia dan anaknya sewaktu melahirkan...Ya Rabb, kurniakanlah kepadanya anak lelaki yang sehat dan berkatikanlah anak saudaraku nanti, kumohon makbulkanlah doaku ini dengan berkat kekasihmu Zakaria a.s, Ya awaalu Ya akhiru Ya zohiru Ya Bathin..makbulkanlah doaku sebagaimana Dikau makbulkan doa Nabi Zakaria a.s....amin Ya Robbal alamin.

Khamis

SULTAN ZAINAL ABIDIN III SULTAN MELAYU TERALIM

Sultan Zainal Abidin III - Umara bertaraf dunia

Sultan Zainal Abidin III Sultan Terengganu yang alim

Koleksi karya Syeikh Wan.Md.Saghir r.a
SULTAN Zainal Abidin III, Sultan Terengganu, diakui oleh beberapa orang ulama Mekah dan para cerdik cendekiawan bahawa baginda adalah di antara Sultan Melayu yang paling alim dan ahlil ilmi pada zamannya. Dua ulama yang berasal dari dunia Melayu di Mekah yang paling dekat dan menjadi rujukan pelbagai masalah baginda, ialah Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani (Syeikh Nik Mat Kecik) dan Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.

Sesuatu permasalahan yang sukar diselesaikan oleh Sultan Zainal Abidin III akan sentiasa dirujuk kepada kedua-dua ulama di Mekah itu. Kadang-kadang dengan cara mengirim surat atau adakalanya mengirim utusan yang khusus. Sewaktu Syeikh Ahmad al-Fathani datang ke Kota Bharu, Kelantan, Sultan Zainal Abidin III berserta beberapa pembesar Terengganu datang menjemput beliau supaya sudi mengunjungi Kuala Terengganu. Syeikh Ahmad al-Fathani telah menggubah puisi 33 bait dalam bahasa Arab yang bercorak memuji Sultan Zainal Abidin III yang diiringi dengan pengharapan agar baginda memperkukuh kedudukan agama Islam, bahasa dan bangsa Melayu, diiringi pula sejarah bangsa Melayu yang lengkap. Sultan Zainal Abidin III yang dibicarakan ini lahir pada 1281 H/1865 M dan mangkat hari Selasa, 22 Safar 1337 H/26 November 1918 M.

Sekurang-kurangnya terdapat dua buah puisi mengenai Sultan Zainal Abidin III. Satu lagi ialah dalam judul Syair Tuan Hampris karya Hajah Wok Aisyah binti al-Haji Nik Idris Terengganu yang dikarang jauh kemudian daripada puisi Syeikh Ahmad al-Fathani. Pada beberapa bait ada persamaan maksudnya. Sebagai contoh beberapa bait untuk perbandingan dapat disemak di bawah ini:

Puisi Syeikh Ahmad al-Fathani

"Itulah Sultan Terengganu, Raja yang berani

Bermurah, dan bertuah.'' (bait yang ke-11)

Syair Tuan Hampris pula,

"Negeri khabarnya itu

seorang raja memerintah tentu

adil dan murah bukan suatu

sangatlah alim paduka ratu.'' (bait yang ke-18)

"Perangainya halim tangannya murah

sekalian kasih memandang wajah ... " (bait yang ke-22, dua baris awal)

Kesimpulannya daripada petikan kedua-dua puisi di atas ialah memunculkan watak Sultan Zainal Abidin III itu sebagai seorang yang pemurah. Mengenai sifat pemurah itu disebut oleh Syeikh Ahmad al-Fathani pada bait yang lain, iaitu bait yang ke-8, katanya,
" Bagaikan laut, pemurah tiada tepi

Bagaikan hujan, penolong tiada beza

Memberi sebelum diminta.''
Watak seorang sultan yang berilmu pengetahuan juga terdapat pada Syair Tuan Hampris, disebut juga oleh Syeikh Ahmad al-Fathani pada bait ke-12 dan 13, katanya,
"Raja yang agung lagi bijaksana

Pandai mentadbir

Banyak berilmu

Petunjuk jalan bahagia.

Kemuncak usahanya ialah menggali ilmu, menyelami makrifah

menunjuk jalan hidayah.''
Pada Syair Tuan Hampris yang sama maksudnya dengan puisi di atas terdapat pada bait yang ke-20, 21 dan 22, iaitu:
"Rajanya alim lagi jauhari

kitab Quran sangat pelajari

alimnya tidak lagi terperi

termasyhurlah khabar ke sana ke mari.

Saleh dan warak lagi pendeta

bijak laksana jangan lagi dikata

masyhurlah khabar di dalam warta

di alam Melayu sekalian rata.

Perangainya halim tangannya murah

sekalian kasih memandang wajah

cukup fahamnya ilmu Arabiyah

baginda nan gemar ilmu falakiah.''
Setelah kita membandingkan beberapa contoh di atas yang perlu diberi ulasan ialah pada Bahagian II. Bahagian ini merupakan pujian khusus untuk Sultan Zainal Abidin III, kerana ia mengandungi unsur sejarah dan asal-usul Sultan Terengganu. Ada tiga bait yang perlu dibicarakan di sini, iaitu pada bait yang ke-18, 19 dan 20 ialah:
"Baginda adalah orang yang mulia,

bahkan kemuliaan itu, warisan daripada datuk neneknya keturunan mulia dari dahulu sampai sekarang.

Memang raja putera raja

Keturunan yang mempunyai rantai kemuliaan yang tiada pernah putusnya

Keturunan Saidina Ali

Saiyid anak Saiyid

Keturunan yang tak melahirkan,

kecuali hanya kemuliaan.''
Pada bait yang ke-18 dan 19, Syeikh Ahmad al-Fathani menyatakan bahawa baginda adalah seorang raja yang mulia yang diwarisi daripada datuk neneknya. Yang diriwayatkan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani ini adalah benar, namun walau bagaimana pun silsilah yang telah ditemui masih terdapat perbezaan pendapat. Yang disebut oleh Syeikh Ahmad al-Fathani pada bait di atas relevan dengan tulisan Haji Muhammad Salleh bin Haji Awang (MISBAHA) dalam bukunya, Mengkaji Sejarah Terengganu, jilid ke-2, beliau menulis, "... maka Tun Zainal Abidin Paduka Maharaja ialah Sultan yang pertama dilantik bagi negeri Terengganu, keturunan beliaulah Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan-Sultan Terengganu memerintah hingga ke hari ini bagi negeri Terengganu dan jajahan takluknya. Yang demikian jadinya keturunan Sultan Zainal Abidin itu Kerabat-Kerabat Diraja Terengganu kiranya disusuli sehingga kepada Bendahara Melaka yang pertama Tun Perpatih Besar (bapa saudara Sultan Muhammad Syah) sudah turun temurun dari semenjak kurun Masihi yang keempat belas lagi. Sultan Zainal Abidin ini adalah seorang daripada putera Bendahara Paduka Raja Abdul Majid Bendahara Padang Saujana, Bendahara Johor yang kesembilan belas, lahir di Johor kira-kira pada tahun 1089 Hijrah ...''

Puisi Syeikh Ahmad al-Fathani pada bait yang ke-25 dan ke-26 adalah penting untuk ditafsirkan. Namun di sini saya mulai daripada bait yang ke-24, maksudnya ialah:
"Dan yang lebih besar lagi, aku berharap,

semoga baginda berkenan menyuruh ulama dan cendekiawan yang memahami petunjuk

Agar mereka dapat membukukan bahasa Melayu

Kerana aku bimbang ia akan hilang atau dirosak oleh perubahan yang berlaku dari masa ke masa

Begitu pula hendaklah mereka itu mengarang Sejarah Melayu yang meliputi segala perihal Melayu

Kalau tidak, mereka nanti akan hilang, dalam lipatan sejarah.''
BUDI BAHASA

Surat menyurat antara Sultan Zainal Abidin III dengan Syeikh Ahmad al-Fathani sesuai dijadikan contoh 'budi bahasa' untuk persuratan. Setelah Syeikh Ahmad al-Fathani menerima sepucuk surat daripada Sultan Zainal Abidin III lalu beliau menjawabnya. Di antara kalimat-kalimat yang halus, lunak dan berkesan, kata beliau, "Bahawasa marqum yang mulia, yang Hadhrat Duli Tuanku kurnia kepada patik itu, telah patik sambuti akan dia, serta junjung ihtiram dan syukur''. Maksud-nya bahawa surat daripada sultan itu adalah surat mulia, oleh itu Syeikh Ahmad al-Fathani memandang perlu mencurahkan rasa hormat (ihtiram) dan rasa terima kasih terhadap sultan, itulah maksud perkataannya "serta junjung ihtiram dan syukur''.

Syeikh Ahmad al-Fathani membangsakan surat Sultan Zainal Abidin III kepada beliau itu sebagai `nuran lil bashar wa syifa-an lima fish sadhri', mengandungi maksud 'cahaya bagi pandangan mata dan ubat bagi penyakit yang tersembunyi di dalam hati'. Sepintas kilas jika kita perhatikan kalimat Syeikh Ahmad al-Fathani nampaknya beliau merendah diri, namun dalam masa yang sama ada sasaran untuk kepentingan memartabatkan Islam dan bangsa Melayu sebagaimana kata beliau, "Dan dilimpahi dengan nikmat, dan rahmat, dan kekayaan, yang ada padanya berkat yang memberi manfaat bagi agama Islam. Dan terangkat dengan dia oleh sebutan jenis Melayu''. Jika kita tafsirkan sepotong pertama kalimatnya, iaitu "... dan kekayaan, yang ada padanya berkat yang memberi manfaat bagi agama Islam''.

Walau pun surat Syeikh Ahmad al-Fathani itu ditujukan kepada Sultan Zainal Abidin III tetapi sasarannya boleh saja kepada semua sultan, semua pemimpin yang beragama Islam, semua orang Islam (Muslim/ Muslimat) yang memiliki 'kekayaan'. Pada pandangan Syeikh Ahmad al-Fathani, `kekayaan' tiada bererti sekiranya pemiliknya tiada memanfaatkannya untuk kepentingan agama Islam. Jika menggunakan perkataan yang kasar atau `tidak berbudi bahasa', bahawa `Raja atau pemimpin yang beragama Islam yang memiliki kekayaan, yang kekayaan itu tiada manfaat bagi agama Islam, maka raja atau pemimpin itu adalah tidak bertanggungjawab terhadap Islam'.

Kalimat ini pun masih lunak, kerana masih banyak bahasa yang lebih kasar daripada itu, boleh saja dianggap sebagai 'bakhil', 'kedekut' dan lain-lain sejenisnya. Pada sepotong kalimat keduanya pula, iaitu "Dan terangkat dengan dia oleh sebutan jenis Melayu''.

Kalimat ini jelas berbicara tentang Melayu. Tafsirannya juga sama, jika kita menggunakan perkataan yang kasar atau 'tidak berbudi bahasa', bahawa "Raja atau pemimpin Melayu, yang tiada manfaat bagi bangsa Melayu, maka raja atau pemimpin itu adalah pengkhianat terhadap bangsa Melayu, bangsanya sendiri.'' Daripada contoh di atas terbuktilah bahawa ulama perlu bijak dan 'berbudi bahasa' dalam menyampaikan dakwah dan pendidikan melalui surat terhadap golongan tinggi seperti tersebut di atas. Sebaliknya umara (pemerintah) yang bijak perlu mendekati ulama ikhlas dan jujur.

Al-Fatihah untuk Almarhoum Sultan Zainal Abidin III...al-fatihah.

Sumber Utusan 28/02/2005
Sumber gambar disini dan

Rabu

HJ UMAR BESUT KETURUNAN BANGSAWAN PATANI

Haji Umar Cik Ahmad - Tuan Guru Besut Terengganu
Nama lengkapnya Haji Umar bin Cik Ahmad bin Cik Wan Abdul Lathif bin Cik Wan Cik bin Cik Wan Jat bin Cik Wan Abdul Lathif bin Cik Jenal bin Cik Hamat bin Cik Wan. Beliau berasal dari Patani dan dilahirkan di Besut pada tahun 1295 Hijrah/1878 Masihi, lebih muda sedikit daripada Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani, Syeikh al-Islam Selangor (1293 Hijrah/1876 Masihi - 1375 Hijrah/1956 Masihi) Beliau meninggal dunia di Kampung Raja, Besut, pada hari Selasa pukul 2.30 petang, 5 Zulhijjah 1360 Hijrah/23 Disember 1941 Masihi.

Pada namanya terdapat istilah "Cik Wan" atau dulunya ditulis dengan `Che' Wan' yang merupakan satu istilah keturunan bangsawan Patani yang berhak memerintah negeri. Istilah 'Cik Wan' adalah berbeza dengan istilah 'Wan' sahaja, walau pun sebenarnya masih termasuk dalam lingkungan satu kekeluargaan. 'Wan' sudah lupus haknya untuk menjadi raja dalam Patani. Jadi ulama yang diceritakan ini merupakan keturunan raja Patani yang mempunyai hak untuk memerintah dalam Negara Patani.

Daripada datuk nenek ulama inilah yang mencetuskan nama 'Besut', yang sekarang berada dalam kerajaan Terengganu. Bermula ceritanya bahawa Cik Wan melarikan diri belayar menuju ke sebelah Timur melintasi beberapa kuala. Akhirnya beliau berhenti di sebuah Pulau Ru yang berhadapan sebuah kuala, iaitu paling penghabisan dalam bahasa Patani disebut 'sut', ertinya tidak ada lagi sesudahnya atau penghabisan, maka dinamakanlah kuala itu dengan Kuala Sut, lama kelamaan berubah menjadi Kuala Besut.

Cik Wan yang berasal dari Patani meninggal dunia dalam peperangan. Kuburnya dijumpai di Pengkalan Kubor, Kuala Besut. Kubur tersebut merupakan kubur yang tertua di Kuala Besut. Demikianlah riwayat ringkas datuk nenek Tuan Guru Haji Umar yang sekali gus merupakan gambaran awal kerajaan Besut dan ulama-ulama yang berada di dalamnya.

PENDIDIKAN
Haji Umar memperoleh pendidikan asas dari lingkungan keluarga sendiri. Pendidikan al-Quran dan ilmu-ilmu asas yang lain beliau pelajari daripada ayah saudaranya Haji Ibrahim, adik beradik ayahnya. Ayahnya Haji Ahmad mempunyai sembilan adik beradik. Haji Ibrahim adalah yang paling alim dalam keluarga mereka, beliau pula sempat belajar kepada ulama besar Besut yang terkenal iaitu Syeikh Wan Hasan Besut bin Wan Ishaq al-Fathani. Syeikh Wan Hasan Besut adalah murid Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Dari sini mempunyai silsilah dan sanad pelbagai ilmu Islam yang bersambung hingga yang lebih atas.

Sebelum Umar melanjutkan pelajaran di Mekah, beliau terlebih dulu memasuki salah sebuah pengajian pondok di Kelantan. Ketika di Mekah beliau di bawah bimbingan Tok Kenali, Tok Bacuk dan Tok Kemuning yang membolehkan beliau mengikuti pelajaran kepada Syeikh Ahmad al-Fathani.

Oleh sebab Syeikh Ahmad al-Fathani mengajar orang-orang yang telah memperoleh ilmu yang banyak, maka Umar belajar kepada guru-guru yang lebih muda atau peringkat murid Syeikh Ahmad al- Fathani. Oleh itu Umar lebih banyak belajar kepada Syeikh Daud bin Mustafa al-Fathani (Tok Cik Wan Daud), Syeikh Umar Sumbawa, Syeikh Muhammad Mukhtar bin `Atharid Bogor, dan ramai lagi.

AKTIVITI
Setelah Umar memperoleh pelbagai bidang ilmu di Mekah, beliau pulang ke Besut. Dalam tahun 1326 Hijrah/1908 Masihi, beliau membuka pondok pengajian di Kampung Palembang, iaitu sebuah kampung yang ramai dikunjungi orang pada zaman itu kerana tempat itu merupakan pelabuhan.

Sistem pengajian pondok Umar adalah seragam dengan pengajian-pengajian pondok lainnya, sama ada di Patani mahu pun dengan tempat-tempat lain di seluruh Semenanjung. Pengetahuan Islam sama ada yang berbahasa Melayu/Jawi mahu pun bahasa Arab adalah sangat ditekankan dalam pondok beliau.

Ada pun kitab-kitab Melayu/Jawi yang diajarkan terutama karangan guru-guru beliau atau karangan guru daripada guru beliau, di antaranya dalam bidang akidah ialah Faridatul Faraid karya Syeikh Ahmad al-Fathani, ad-Durruts Tsamin karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan lain-lain. Mengenai fikah pula ialah Wusyahul Afrah, Mathla'ul Badrain, kedua-duanya karya Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani dan lain-lain. Ilmu tasawuf ialah Hidayatus Salikin karya Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani.

Pengajian kitab-kitab Melayu/Jawi selain diajarkan kepada pelajar-pelajar pondok juga diikuti oleh masyarakat kampung. Walau bagaimanapun untuk pelajar-pelajar pondok lebih diutamakan kitab-kitab bahasa Arab. Kitab-kitab bahasa Arab yang beliau ajar di pondoknya mulai daripada yang paling rendah hinggalah yang besar-besar, di antaranya ialah:Fathul Qarib, Fathul Mu'in, I'anatuth Thalibin. Ketiga-tiganya adalah mengenai fikah. I'anatuth Thalibin adalah karya Syeikh Abu Bakar Syatha, kitab tersebut ditashhih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Kedua-dua ulama itu adalah guru beliau. Kitab-kitab fikah dalam Mazhab Syafie peringkat tinggi juga diajarkan oleh Umar, kitab-kitab itu ialah Minhajut Thalibin, Fathul Waahhab dan Mahalli.

Kitab-kitab mengenai bahasa Arab, nahwu dan sharaf merupakan mata pelajaran yang dianggap wajib. Di antara yang diajarkan ialah: Matan `Awamil al-Jurjani, Matan al-Ajrumiyah, Mukhtashar Jiddan, Qathrun Nada, Kaukabud Durriyah dan Tashilu Nailil Amani. Tashilu Nailil Amani adalah karangan gurunya Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Daripada kitab-kitab asas ilmu nahwu yang tersebut akan membolehkan kepada kitab-kitab yang besar-besar yang juga diajarkan oleh Tuan Guru Haji Umar di pondok pengajiannya.

Umar Besut selain berkemampuan mengajar kitab-kitab akidah, fikah, nahwu, sharaf dan lain-lain, beliau juga mengajar kitab-kitab tasawuf. Di antara kitab tasawuf yang pernah diajarnya ialah Minhajul `Abidin karangan Imam al-Ghazali. Selain mengajar Minhajul `Abidin yang berbahasa Arab, beliau juga mengajar Minhajul `Abidin bahasa Melayu terjemahan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Walaupun ada orang menafikan Tuan Guru Haji Umar Besut mengamalkan sesuatu Thariqat Shufiyah, namun menurut keterangan Ustaz Muhammad bin Abdur Rahman (Kampung Raja Besut), beliau telah menemukan catatan bahawa Tuan Guru Haji Umar Besut pernah mentalqinkan Thariqat Sammaniyah. Yang ditalqinkan Thariqat Sammaniyah itu ialah Haji Cik Man Banggul (Imam Tua Banggul) dan Haji Sulaiman bin Haji Ibrahim. Haji Sulaiman adalah salah seorang murid Tok Kenali. Haji Sulaiman adalah ayah saudara kepada Ustaz Muhammad bin Abdur Rahman yang tersebut. Selain Thariqat Sammaniyah ternyata Tuan Guru Haji Umar Besut juga mengamalkan Shalawat Dalail al-Khairat. Kitab Shalawat Dalail al-Khairat pernah diamal oleh tuan guru itu yang tercatat ijazah daripada gurunya juga ada dalam simpanan Ustaz Muhammad bin Abdur Rahman. Dalam catatan pula bahawa setiap malam Jumaat Tuan Guru Haji Umar Besut mengadakan halaqah zikir yang dimulakan dengan bacaan Al-Asma' Al-Husna. Daripada keterangan yang tersebut, tidak diragui bahawa Tuan Guru Haji Umar Besut adalah juga mengamalkan sesuatu Thariqah Shufiyah seperti ulama-ulama yang lain juga.

Selain yang tersebut di atas dalam peristiwa khilafiyah yang dibangkitkan oleh Mufti Haji Wan Musa Kelantan, ulama Besut bernama Tuan Guru Haji Muhammad bin Husein Besut dan Tuan Guru Haji Umar Besut termasuk dalam barisan ulama yang tidak sependapat dengan Mufti Haji Wan Musa Kelantan itu. Tuan Guru Haji Muhammad bin Husein Besut telah menyanggah pendapat Mufti Haji Wan Musa Kelantan itu dalam sebuah tulisannya bertarikh malam Isnin, 29 Syawal 1334 Hijrah. Sebelum sanggahan itu dikirim kepada Mufti Haji Wan Musa Kelantan, ulama Besut itu telah bermuzakarah dengan Tuan Guru Haji Umar Besut yang diriwayatkan ini.

KETURUNAN DAN MURID-MURID
Umar Besut berkahwin sebanyak dua kali. Perkahwinan yang pertama dengan saudara sepupunya bernama Hajah Khadijah, memperoleh tiga orang anak. Perkahwinan kedua dengan Hajah Wan Sa'idah binti Haji Wan Muhammad. Haji Wan Muhammad ini adalah Mufti Perak Darul Redzuan yang pertama. Usia Hajah Wan Sa'idah sekarang sudah hampir seratus tahun. Beliau menetap di Kampung Raja, Besut. Penulis sempat menemubual beliau (8 Mac 2004). Banyak cerita menarik diperoleh daripadanya. Di antaranya sewaktu beliau ke Mekah yang pertama bersama ayahnya, beliau mengenali Syeikh Ahmad al-Fathani dan Syeikh Nur al-Fathani. Kedua-dua ulama itu menurutnya sangat banyak keistimewaannya.
* Tuan Haji Muhammad Zain bin Muhammad Amin adalah Mufti kerajaan Perak Darul Redzuan yang pertama dan juga bapa mentua kepada Tuan Guru Umat Besut dalam artikel ini, beliau menjawat jawatan mufti dijabatan Mufti kerajaan Perak dari tahun 1935 hingga 1941, Dato' Seri Haji Harussani bin Haji Zakaria mufti kerajaan Melayu Perak sekarang adalah mufti yang ke lapan mengikut turutan. Untuk mengetahiu senarai Mufti-mufti Perak boleh layari website Jabatan Mufti Perak dengan click right and open link in new tab disini

Perkahwinan Umar Besut dengan Hajah Wan Sa'idah binti Haji Wan Muhammad memperoleh anak enam orang. Di antaranya ialah Ustaz Haji Abdul Aziz. Beliau ini pernah berkahwin dengan anak Nik Mustafa Fadhil bin Datuk Nik Mahmud, Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan. Ustaz Haji Abdul Aziz adalah seorang penulis buku-buku untuk sekolah menengah kerajaan dan sekolah menengah agama di Kelantan.

Sebagai guru pengajian pondok yang lain juga, Umar Besut telah menurunkan murid yang ramai terutama di sekitar Besut atau seluruh Terengganu dan Kelantan. Murid-murid beliau itu ramai pula yang membuka pondok pengajian di beberapa tempat. Di antara mereka ialah: Tuan Guru Haji Wan Ahmad bin Wan Saleh, Bukit Puteri, Besut, Tuan Guru Haji Abbas bin Muhammad, Kampung Tok Jiring, Kuala Terengganu, Tuan Guru Haji Abdul Lathif bin Awang, Alor Keladi, Jeretih, Besut, Tuan Guru Haji Muhammad Ali bin Haji Abdullah, Kampung Nering, Pasir Putih, Tuan Guru Haji Husein bin Awang Hamat, Pengkalan Pauh, Jeram, Pasir Putih dan ramai lagi.

Nukilan dari karya Syeikh Wan Mohd Saghir pada 03/05/2004

Jumaat

TOK PULAU MANIS ALIM TERENGGANU

Tok Pulau Manis Syeikh Abdul Malik Terengganu
TOKOH yang acap kali memperkenalkan pelbagai aspek ulama besar Terengganu, Syeikh Abdul Malik Terengganu yang digelar dengan Tok Pulau Manis ini ialah Shafie Abu Bakar.

Namun, tulisan ini penulis mulai dari penemuan sebuah salasilah yang penulis peroleh daripada salah seorang keturunan adik-beradik Syeikh Abdul Malik Terengganu.

Tertulis pada bahagian atas salasilah, “Bismillahir Rahmanir Rahim Syarif Muhammad, satu raja yang memerintah akan negeri Baghdad kerana mengambil ... (tak dapat dibaca) lalu pergi ke Mekah. Kemudian diturut orang akan dia. Maka lari ke Terengganu, lalu duduk di Ulu Pauh. Dan wafatlah ia di Pauh. Maka meninggalkan anak dua orang, satu Abdullah dan kedua Abdul Malik. Maka Abdul Malik itulah Datuk Pulau Manis yang keramat itu”.

Daripada salasilah di atas, ternyata terdapat kelainan dengan tulisan-tulisan sebelum ini, iaitu semua penulis termasuk penulis sendiri, menyebut bahawa nama ayah Syeikh Abdul Malik Terengganu ialah Abdullah. Ada pun dalam salasilah di atas, ayahnya ditulis Syarif Muhammad yang berasal dari Baghdad.

Nama Abdullah itu adalah adik-beradik Syeikh Abdul Malik (Tok Pulau Manis). Adik-beradiknya yang seorang lagi bernama Abdul Qahhar. Tetapi sebelum ini ada salah seorang keturunan ulama ini meriwayatkan kepada penulis bahawa datuk dan nenek kepada Syeikh Abdul Malik ialah Syarif Abdul Qahhar. Anak lelaki Syarif Abdul Qahhar itu bernama Abdullah, iaitulah ayah bagi Syeikh Abdul Malik.

Salasilah versi yang lain memberikan maklumat bahawa Syeikh Abdul Malik bin Abdullah bin Abdul Qahhar bin Saiyid Muhammad. Sangat sukar untuk mentahqiqkan riwayat yang bersimpang-siur seperti ini, tulisan-tulisan yang terdahulu masih belum dapat dimansuhkan sedang salasilah yang bertulis, yang baru diperoleh juga sukar ditolak.

Berdasarkan salasilah yang baru diperoleh, bahawa dari tiga orang adik beradik ulama yang berasal dari Baghdad itu, hanya Abdul Qahhar saja yang tidak tercatat meninggalkan anak dan zuriat. Abdullah iaitu adik beradik yang kedua, memperoleh seorang anak bernama Sulaih.

Sulaih menurunkan zuriat hingga kepada pemilik salasilah, iaitu Jamaluddin bin Yusuf Terengganu. Dicatat pada sudut kanan, “Pada tiap-tiap satu daripada keturunan Abdullah ini banyak lagi pecahan saudara dan anak-anaknya”.

Catatan dalam salasilah bahawa yang ramai meninggalkan zuriat ialah Syeikh Abdul Malik (Tok Pulau Manis), yang berpunca dari tiga orang anaknya.

Sebagaimana disebutkan bahawa yang paling banyak memperkenalkan Syeikh Abdul Malik ialah Shafie Abu Bakar, oleh itu dapat dirujuk tulisan-tulisannya. Dalam Pesaka II dengan judul Syeikh Abdul Malik Bin Abdullah dan Karangan-karangannya.

Dalam Pesaka IV, dengan judul Hikam Melayu (HM) di Dalam Perkembangan Tasawuf Kedudukan dan Penetapan Pengarangnya. Juga tulisan Shafie bin Abu Bakar dimuat dalam buku Ulama Terengganu Suatu Sorotan, dengan judul Tok Pulau Manis Dan Pengasasan Pendidikan Islam.

Penulis sendiri telah memperkenalkan ulama tersebut dalam Katalog Pameran Manuskrip Melayu terbitan Perpustakaan Negara Malaysia dalam rangka Sempena Persidangan Antarabangsa Tamadun Melayu kedua 15-20 Ogos 1989. Tulisan penulis pula dimuat dalam Jurnal Dewan Bahasa, Julai 1990.

Ismail Che Daud pula dalam majalah Pengasuh bilangan 509, Februari 1991 memunculkan judul Tok Pulau Manis (1650an - 1736 M) Penulis Syarah Hikam. Pengakuan Kitab Syarah Hikam Melayu sebagai karya Tok Pulau Manis Terengganu mulai diragukan pertama sekali dikemukakan oleh Abdur Razak Mahmud ditulis dalam majalah Pengasuh bilangan 511, April 1991 sebagai tanggapan terhadap tulisan lsmail Che Daud. Ia sekali gus menyentuh tulisan-tulisan Shafie bin Abu Bakar yang tersebut.

Dalam Seminar Warisan Kitab-Kitab Melayu Lama pada 28 Safar 1412/7 September 1991, anjuran Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri, pembentang kertas kerja Abdul Aziz bin Ismail sangat banyak menyebut nama Tok Pulau Manis dan Kitab Hikam Melayu, dan lain-lain sangat banyak untuk disebutkan. Oleh itu, beberapa perkara yang telah banyak dibicarakan, penulis sentuh serba ringkas saja. Bagaimanapun, beberapa penemuan baru dirasakan perlu diulas agak panjang terutama mengenai keturunannya yang menjadi ulama atau tokoh yang berpengaruh dalam masyarakat.

PENDIDIKAN

Tahun kehidupan Syeikh Abdul Malik (Tok Pulau Manis) Terengganu tercatat antara tahun 1089 H/1676 M-1149 H/1736 M, demikian tersurat di atas kubur beliau, yang menurut salah satu tulisan Misbaha. Tetapi penyelidikan terakhir memberikan maklumat bahawa beliau lahir lebih awal dari tahun yang tersebut itu, iaitu kira-kira 1650 M.

Setelah mendapat pendidikan di kampung sendiri dan dari beberapa ulama di Terengganu, beliau meneruskan pelajarannya ke Aceh. Di antara gurunya di Aceh ialah Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Dipercayai sewaktu belajar di Aceh bersahabat dengan beberapa orang yang akhirnya menjadi tokoh dan ulama besar. Mereka ialah Syeikh Yusuf Tajul Khalwati al-Mankatsi dari Bugis-Makasar, Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan dan Syeikh Burhanuddin Ulakkan dari Sumatera Barat dan ramai lagi.

Mereka telah menerima talqin baiah Tarekat Syathariyah daripada ulama Aceh yang terkenal itu. Mereka melanjutkan pelajaran ke Mekah dan Madinah. Sewaktu di Mekah bersahabat pula dengan Syeikh Abdus Syukur bin Abdul Karim Batani al-Fathani dan belajar kepada Syeikh Ibrahim al-Kurani.

Syeikh Ibrahim al-Kurani ini juga guru kepada Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri.

KARYA-KARYA

Mengenai karya beliau semuanya dapat dirujuk kepada tulisan-tulisan Shafie bin Abu Bakar, kecuali kitab Syarah Hikam Melayu dalam penyelidikan terkini dimunculkan sebagai bukan karya Tok Pulau Manis oleh Abdur Razak Mahmud yang beliau tulis dalam majalah Pengasuh yang telah disebutkan.

Dalam tulisan terdahulu, penulis menyatakan kitab yang dipertikaikan itu termasuk dalam senarai. Ada dua kitab yang penulis bicarakan dalam Jurnal Dewan Bahasa, Julai 1990, yang sebuah lagi ialah Kitab Kifayah manuskrip salinan Tok Kelaba yang tersimpan di Pusat Manuskrip Melayu dengan nombor kelas MS 517. Tok Kelaba cukup jelas menyebut kitab tersebut adalah karya Tok Pulau Manis. Akan tetapi ada sebuah manuskrip koleksi penulis yang ditemui di Kampung Kepala Bukit Senggora (Mei 1993) dengan judul Al-Kitabul Kifayah, selain judulnya sama juga kandungannya adalah sama, bahawa dinyatakan sebagai karya Imam Syafie (maksudnya bukan Imam Syafie imam mazhab) yang diselesaikan penulisannya pada hari Khamis, 2 Safar 1180 H/1766 M.

Ada pun salinan Tok Kelaba tidak tersebut tahun selesai menulisnya, hanya disebutkan tahun selesai penyalinan saja iaitu pada 13 Zulkaedah 1297 H/1879 M (kira-kira 117 tahun kemudian).

Ingin penulis sebutkan di sini bahawa penulis menemui sebuah manuskrip karya beliau di Patani (hadiah seorang Tuan Guru, Julai 1991). Manuskrip yang telah penulis miliki itu belum pernah disebut dalam semua tulisan sebelum ini. Risalah tersebut nipis saja, hanya enam halaman tetapi lengkap. Di akhir risalah tertulis, “Maka adalah yang memindahkan dan yang menjadikan segala perkataan ini semuanya fakir yang hina iaitu Haji Abdul Malik ibnu Abdullah al-Jawi ...”. Kandungan kitab ini ialah jawapan beliau atas beberapa pertanyaan yang bersangkutpaut dengan nikah kahwin.

Ada pun mengenai kitab Syarah Hikam Melayu, pada mulanya telah sepakat dikatakan sebagai karya Syeikh Abdul Malik Terengganu (Tok Pulau Manis). Kemudian dibantah oleh Abdur Razak Mahmud, mengenai ini telah penulis bahas dengan agak panjang dimuat dalam buku Penjelasan Nazham Syair Shufi Syeikh Ahmad Al-Fathani (terbitan pertama Khazanah Fathaniyah, September 1993).

Adapun penulis mempunyai pelbagai edisi cetakan Syarah Hikam Melayu, termasuk cetakan pertama yang ditashhih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani di bawah perkataan dalam bahasa Arab cetakan pertama, dinyatakan, “Inilah terapan yang pertama daripada kitab ini”.

Di bawahnya lagi dijelaskan, “Diterapkan dia dengan peterapan Miri pada negeri Mekah al-Mukarramah”. Cetakan pertama yang tersebut adalah tahun 1302 H. Ukuran cetakan 28.8 x 20.8 cm, tebal 208 halaman.

Pada akhir cetakan Syeikh Ahmad al-Fathani, mencatatkan, “Dengan Tolong Al-Malikul Wahhab. Telah sempurnalah menthaba’kan ini kitab yang mustathab, iaitu Syarah Hikam Ibni ‘Athaullah dengan bahasa Melayu. Dan adalah pada tharah kitab ini dahulu hamba sebutkan hal keadaannya nuqil daripada setengah manusia, bahawa kitab ini karangan bagi setengah daripada ulama Terengganu. Kemudian nyata bagi hamba, kemudian daripada periksakan aturan ibaratnya dan pilikkan (pelat) cakapannya, bahawasanya bukan ia bagi orang Terengganu. Maka ada pula orang yang mengkhabar bahawasanya ia karangan orang Aceh adanya. Dan adalah yang muqabalahkan dia atas sekira-kira barang yang ada pada asal naskhahnya al-faqir al-fani Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani musyarakan li anisihi al-fadhil Daud ibni almarhum Ismail al-Fathani.

Dan selesai men(ge)capkan dia pada pertengahan bulan Syawal sanah 1302 daripada hijrah Nabi kita ‘Alais Shalatu was Salam .... Oleh itu, pembahasan kitab Syarah Hikam Melayu dan lapan bait puisi Syeikh Ahmad al-Fathani yang terletak di bahagian depan semua cetakan kitab tersebut telah cukup jelas dalam buku Penjelasan Nazham Syair Shufi Syeikh Ahmad Al-Fathani, maka ditutup sampai di sini saja.

KETURUNAN

Syeikh Abdul Malik Terengganu memperoleh tiga orang anak iaitu: Imam Yusuf Kesuma, Badruddin dan Mik Tok Bungkuk. Ada pun Imam Yusuf Kesuma itu memperoleh anak dua orang, ialah: Abdur Rahman dan Ali. Sampai di sini salalsilah terputus, tidak terdapat sambungan keturunannya. Malahan salasilah Mik Tok Bungkuk terputus juga. Yang teramai memperoleh anak dan keturunan ialah anak Tok Pulau Manis yang kedua, iaitu Badruddin. Badruddin memperoleh lapan anak iaitu tujuh lelaki dan hanya seorang saja yang perempuan. Mereka ialah; Daud, Husein, Hasan, Muhammad, Musa, Isa, Maimunah dan Ya’qub.

Huraian ringkas salasilah sebagai yang berikut: Daud (No. 1) bin Badruddin bin Syeikh Abdul Malik, memperoleh anak; Sulaiman, Fatimah, Usman, Badruddin, Husein, Umar, Abu Bakar, Idris dan Khatib Muhammad Shalih

Salasilah terputus kecuali Khatib Muhammad Shalih dikatakan memperoleh anak bernama Ali.

Husein (No. 2) bin Badruddin bin Syeikh Abdul Malik, memperoleh anak hanya dua orang, ialah Yusuf dan Aisyah. Salasilah juga terputus.

Hasan (No. 3) bin Badruddin bin Syeikh Abdul Malik, memperoleh anak hanya seorang, ialah Zainab. Salasilah juga terputus.

Muhammad (No. 4) bin Badruddin bin Syeikh Abdul Malik, memperoleh dua anak orang, ialah Wan Abdul Qadir dan Wan Semik. Salasilah juga terputus.

Musa (No. 5) bin Badruddin bin Syeikh Abdul Malik, salasilah juga terputus.

Isa (No. 6) bin Badruddin bin Syeikh Abdul Malik, memperoleh lima anak iaitu; Aminah, Aisyah, Habibah, Salamah dan Haji Abdul Malik.

Aminah (No. 1) binti Isa bin Badruddin bin Syeikh Abdul Malik, memperoleh lima anak iaitu; Muhammad, Imam, Usman, Aisyah dan Asiah.

Salasilah terputus dan nama suami Aminah tidak tercatat dalam salasilah.

Aisyah (No. 2) binti Isa bin Badruddin bin Syeikh Abdul Malik juga memperoleh lima anak iaitu; Syarifah, Haji Ahmad, Shafiyah, Sa’diyah dan Abdur Rahman.

Salasilah juga terputus dan nama suami Aisyah juga tidak tercatat dalam salasilah.

Habibah (No. 3) binti Isa bin Badruddin bin Syeikh Abdul Malik dan Salamah (No. 4) binti Isa bin Badruddin bin Syeikh Abdul Malik, keturunannya tidak tercatat dalam salasilah. Yang ramai anak dan ramai keturunan yang tercatat dalam salasilah ialah Haji Abdul Malik (No. 5) bin Isa bin Badruddin bin Syeikh Abdul Malik. Sebelum menyebut keturunan beliau, perlu dicatatkan di sini bahawa Haji Abdul Malik bin lsa bin Syeikh Abdul Malik Terengganu ini adalah salah seorang murid Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Jadi Haji Abdul Malik bin Isa cucu Tok Ku Pulau Manis Terengganu tersebut adalah termasuk ulama besar Terengganu pada zamannya. Haji Abdul Malik (No. 5) memperoleh enam anak; Haji Muhammad al-Qadhi, Encik Ahmad, Haji Abdur Rahim, Abdur Rahman, Abdullah dan Maryam.

Haji Muhammad al-Qadhi (No. 1) memperoleh empat anak iaitu; Kaltsum, Abdullah, Abdul Malik dan Musa

Encik Ahmad (No. 2) bin Haji Abdul Malik bin lsa bin Syeikh Abdul Malik memperoleh anak hanya 2 orang, ialah: Muhammad dan Haji Abdullah.

Haji Abdur Rahim (No. 3) bin Haji Abdul Malik bin lsa bin Syeikh Abdul Malik memperoleh anak hanya 4 orang, ialah; Muhammad Encik Da, Ahmad Encik Hitam, Halimah Encik Wok dan Khadijah Encik Nik

Muhammad Encik Da (No. 1) bin Haji Abdur Rahim bin Haji Abdul Malik bin lsa bin Syeikh Abdul Malik memperoleh anak hanya seorang, ialah: Abdullah Encik Awang. Abdullah Encik Awang memperoleh anak 3 orang, ialah: Isa Encik Long, Khadijah Encik Wok dan Shafiyah Encik Nik. Salasilah terputus hingga sampai di sini.

Ahmad Encik Hitam (No. 2) bin Haji Abdur Rahim bin Haji Abdul Malik bin 'lsa bin Syeikh Abdul Malik tidak tercatat nama anak dan keturunannya, yang tercatat hanya "Kubur keduanya (maksudnya Muhammad Encik Da dan Ahmad Encik Hitam) di maqam Tuan Syeikh Abdul Qadir".

Selanjutnya Halimah Encik Wok (No. 3) bin Haji Abdur Rahim bin Haji Abdul Malik bin lsa bin Syeikh Abdul Malik juga tidak tercatat nama anak dan keturunannya, sedang adiknya Khadijah Encik Nik (No. 4) anak-anaknya ialah: Ismail Encik Su, Maimunah Encik Wok, Aisyah Encik Tih dan Satidah Encik Hitam.

Selain itu, penulis masih meragui bahawa ditarik garis ke bawah sesudah Khadijah Encik Nik juga disebut nama Tuan Syeikh Abdul Qadir (maksudnya Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas). Mengenai ini tidak jelas, kerana menurut sejarah yang terkenal, Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas, ulama besar yang sangat terkenal itu adalah anak Syeikh Abdur Rahim yang berasal dari Patani. Mungkin saja Haji Abdur Rahim, ayah Khadijah Encik Nik adalah betul datuk/nenek Syeikh Abdul Qadir al-Fathani Bukit Bayas itu dari pihak sebelah ibunya, dan secara kebetulan serupa nama dengan ayah beliau iaitu Syeikh Abdur Rahim yang berasal dari Patani itu. Ini dapat diketahui dengan jelas kerana Haji Abdur Rahim (ayah Khadijah) nama ayahnya ialah Haji Abdul Malik bin Isa bin Syeikh Abdul Malik Terengganu, sedang Syeikh Abdur Rahim al-Fathani (ayah Syeikh Abdul Qadir) nama ayahnya ialah Wan Deraman bin Wan Abu Bakar bin Wan Ismail bin Faqih Ali.

Tulisan Syeikh Wan Mohd Saghir

Rabu

Tok Ku Paloh Al-Aidrus

Tok Ku Paloh Al-Aidrus pejuang Islam dan bangsa Melayu
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah
DALAM halaman Agama Utusan Malaysia keluaran Isnin lalu, nama Tok Ku Paloh ada disebutkan. Peranan penting ayah beliau, Saiyid Muhammad bin Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus atau Tok Ku Tuan Besar di Terengganu, dilanjutkan pula oleh Tok Ku Paloh.

Beberapa riwayat tulisan yang terdahulu daripada ini, termasuk percakapan lisan, ada memperkatakan tentang sumbangan tersebut. Bagaimanapun, saya menemui beberapa dokumen yang menunjukkan Tok Ku Paloh bukan berpengaruh di Terengganu saja, tetapi juga di Patani.
Hubungan beliau sangat erat dengan Haji Wan Ismail bin Syeikh Ahmad al-Fathani, iaitu Kadi Jambu. Walau bagaimanapun, Haji Wan Ismail al-Fathani (lahir 2 Jamadilawal 1304 H/27 Januari 1887 M) dari segi perbandingan umur adalah peringkat cucu kepada Tok Ku Paloh (lahir 1233 H/1818 M).
Tahun lahir Tok Ku Paloh itu sama dengan tahun lahir Syeikh Wan Muhammad Zain al-Fathani (lahir 1233 H/1817 M). Beliau ini ialah datuk kepada Haji Wan Ismail al-Fathani. Hubungan antara Haji Wan Ismail al-Fathani, Kadi Jambu, dengan Tok Ku Paloh hanyalah kesinambungan hubungan yang terjalin sejak zaman datuknya itu, dan meneruskan hubungan antara Tok Ku Paloh dengan ayah beliau, iaitu Syeikh Ahmad al-Fathani.
Darah perjuangan Tok Ku Paloh dalam memperjuangkan Islam dan bangsa Melayu tidak dapat dinafikan mempunyai kesan tersendiri dalam tubuh Syeikh Ahmad al-Fathani. Isu kemaslahatan Islam dan bangsa Melayu yang menghadapi pelbagai masalah penjajah pada zaman itu perlu dilihat dalam konteks hubungan antara Syeikh Ahmad al-Fathani, Tok Ku Paloh dan Sultan Zainal Abidin III, Terengganu.
Tok Ku Paloh dirahmati berumur panjang. Beliau meninggal dunia pada bulan Zulhijjah 1335 H/September 1917 M. Bererti ketika meninggal dunia Tok Ku Paloh berusia sekitar 102 tahun menurut perhitungan tahun hijrah atau 100 tahun menurut tahun masihi.
Nama penuh beliau ialah Saiyid Abdur Rahman bin Saiyid Muhammad bin Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus. Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus mempunyai beberapa nama gelaran, yang paling popular ialah Tok Ku Paloh. Gelaran lain ialah Engku Saiyid Paloh, Engku Cik, Tuan Cik dan Syaikh al-Islam Terengganu. Tok Ku Paloh mempunyai beberapa orang adik-beradik. Ada yang seibu sebapa dan ada juga yang berlainan ibu. Adik-beradik kandung Tok Ku Paloh ialah Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus yang digelar dengan Engku Saiyid Seri Perdana, Saiyid Ahmad al-Aidrus digelar Tok Ku Tuan Ngah Seberang Baruh dan Saiyid Mustafa al-Aidrus yang digelar Tok Ku Tuan Dalam.
Beliau ialah seorang ulama dan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III. Adik-beradiknya selain yang disebut itu ialah Tuan Embung Abu Bakar atau digelar dengan nama Tuan Embung Solok atau Tok Ku Tuan Kecik, Tuan Nik (Senik). Antara nama-nama tersebut, ramai yang memegang peranan penting dalam Kerajaan Terengganu tetapi nama yang paling masyhur ialah Tok Ku Paloh.
Pendidikan
Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus atau Tok Ku Paloh berketurunan ‘Saiyid’. Oleh itu sudah menjadi tradisi keturunan itu untuk lebih mengutamakan usaha mempelajari ilmu-ilmu daripada orang yang terdekat dengan mereka. Ayah beliau, Saiyid Muhammad al-Aidrus atau Tok Ku Tuan Besar, pula merupakan seorang ulama besar yang mempunyai kedudukan tertinggi dalam urusan Islam di Terengganu. Dapat dipastikan Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus telah belajar pelbagai bidang ilmu daripada orang tuanya sendiri.
Hampir semua orang yang menjadi ulama di Terengganu pada zaman itu memperoleh ilmu melalui jalur daripada ulama-ulama yang berasal dari Patani. Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus, selain belajar daripada ayahnya, juga berguru dengan Syeikh Wan Abdullah bin Muhammad Amin al-Fathani atau Tok Syeikh Duyung (lihat Utusan Malaysia, Isnin, 6 Mac 2006).
Saiyid Muhammad al-Aidrus atau Tok Ku Tuan Besar dan Tok Syeikh Duyung bersahabat baik dan sama-sama belajar daripada Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani di Bukit Bayas, Terengganu. Mereka juga sama-sama belajar dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani di Mekah.
Dalam artikel ini saya terpaksa menjawab satu e-mel dari Brunei Darussalam yang bertanyakan apakah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani berketurunan Nabi Muhammad s.a.w.? Sepanjang dokumen yang ditemui ada tulisan meletakkan nama ‘Wan’ pada awal nama beliau. Ada saudara pupu saya di Mekah memberi maklumat bahawa beliau menemui satu catatan Syeikh Ismail al-Fathani (Pak De 'El al-Fathani) bahawa ulama Patani itu juga berketurunan marga ‘al-Aidrus’.
Sejak dulu saya mengetahui ada catatan lain menyebut hal yang sama bahawa Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani di Bukit Bayas, Terengganu juga termasuk marga ‘al-Aidrus’. Dengan keterangan ini bererti antara ulama Patani dengan ulama Terengganu yang diriwayatkan ini selain ada hubungan keilmuan mereka juga ada perhubungan nasab.
Perjuangan
Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus (Tok Ku Paloh) melanjutkan pelajarannya di Mekah. Di sana beliau bersahabat dengan Syeikh Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani (kelahiran Sungai Duyung Kecil, Terengganu) dan ramai lagi. Antara orang yang menjadi guru mereka di Mekah ialah Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan dan Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki.
Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus setelah pulang dari Mekah memusatkan aktivitinya di Kampung Paloh, Terengganu. Menurut Muhammad Abu Bakar, Kampung Paloh didatangi orang daripada pelbagai jurusan, bukan saja dari sekitar Kuala Terengganu, tetapi juga dari Kelantan, Pahang dan Patani (Ulama Terengganu, hlm. 181). Diriwayatkan bahawa salah seorang murid Tok Ku Paloh ialah Sultan Zainal Abidin III. Riwayat lain pula mengatakan antara muridnya yang terkenal dan menjadi pejuang antipenjajah ialah Haji Abdur Rahman Limbung dan Tok Janggut.
Tok Ku Paloh ialah ulama yang tidak takut menanggung risiko tinggi dalam perjuangan demi mempertahankan Islam dan bangsa Melayu. Beliau melindungi pejuang-pejuang Islam dan Melayu yang bermusuh dengan penjajah Inggeris pada zaman itu. Semangat jihadnya sungguh indah, menarik dan ada hembusan segar seperti yang diriwayatkan oleh Muhammad Abu Bakar.
Katanya: “Dalam Perang Pahang, penentang-penentang British yang dipimpin oleh Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau hampir-hampir menyerah diri setelah mengalami tekanan daripada kerajaan.
“ Pada Mei 1894, mereka menghubungi Tok Ku Paloh, dan mendapat simpati daripada ulama tersebut. Ini bukan sahaja memberi nafas baru kepada perjuangan mereka, tetapi mereka juga diberi perlindungan di Paloh serta diajar ilmu untuk menentang musuh mereka di Pahang. Hugh Clifford dalam pemerhatiannya mengatakan Tok Ku Paloh telah menyeru pahlawan-pahlawan itu melancarkan perang jihad.
“Hasil semangat baru yang diperoleh daripada Tok Ku Paloh, serta penambahan kekuatan, pasukan pahlawan menjadi lebih besar dan tersusun.” (Ulama Terengganu, hlm. 184)
Daripada riwayat ini, kita dapat mengambil iktibar berdasarkan peristiwa dunia terkini bahawa ramai tokoh Islam menjadi pejuang Islam dan bangsanya, dan ramai pula yang menjadi pengkhianat. Afghanistan, Iraq, Palestin dan Lebanon menjadi sasaran bom yang dilancarkan oleh bangsa-bangsa bukan Islam. Ada ramai pejuang Islam di sana. Pengkhianat pun banyak. Bangsa kita, bangsa Melayu yang beragama Islam, patut mencontohi perjuangan bijak Tok Ku Paloh. Janganlah ada manusia Melayu yang khianat terhadap agama Islam dan bangsanya.
Tok Ku Paloh sangat berpengaruh terhadap murid dan saudara ipar beliau iaitu Sultan Zainal Abidin III. Beberapa pandangan dan nasihat Tok Ku Paloh kepada Sultan Zainal Abidin III tentang pentadbiran kerajaan banyak persamaan dengan surat-surat dan puisi Syeikh Ahmad al-Fathani kepada Sultan Terengganu itu. Semasa Tok Ku Paloh dan Sultan Zainal Abidin III masih hidup, Inggeris tidak berhasil mencampuri pentadbiran negeri Terengganu.
Tok Ku Paloh wafat pada bulan Zulhijjah 1335 H/September 1917 M dan Sultan Zainal Abidin III mangkat pada 22 Safar 1337 H/26 November 1918 M. Sesudah itu, tepat pada 24 Mei 1919 M barulah Inggeris dapat mencampuri kerajaan Terengganu.
Penulisan
Ahli sejarah, Datuk Misbaha ada menyebut bahawa risalah 'Uqud ad-Durratain adalah karya Tok Ku Tuan Besar, berdasarkan cetakan tahun 1950 oleh ahli-ahli Al-Khair dan cetakan pada tahun 1978 oleh Yayasan Islam Terengganu (Pesaka, hlm. 91). Tetapi pada cetakan yang jauh lebih awal berupa selembaran dalam ukuran besar yang diberi judul Dhiya' 'Uqud ad-Durratain, ia merupakan karya Tok Ku Paloh. Tertulis pada cetakan itu, “Telah mengeluar dan mengecapkan terjemah ini oleh kita as-Saiyid Abdur Rahman bin Muhammad bin Zain bin Husein bin Mustafa al-Aidrus....”
Di bawah doa dalam risalah itu dinyatakan kalimat, “Tiada dibenarkan sekali-kali siapa-siapa mengecapkan terjemah ini melainkan dengan izin Muallifnya dan Multazimnya Ismail Fathani. Tercap kepada 22 Ramadan sanah 1335 (bersamaan dengan 11 Julai 1917 M).”
Yang dimaksudkan Ismail Fathani pada kalimat ini ialah Kadi Haji Wan Ismail bin Syeikh Ahmad al-Fathani. Risalah cetakan ini saya terima daripada salah seorang murid Haji Wan Ismail Fathani.
Beliau menjelaskan bahawa risalah itu diajarkan di Jambu, Patani secara hafalan. Orang yang menyerahkan risalah itu bernama Nik Wan Halimah yang berusia lebih kurang 78 tahun (Oktober 2000). Ketika beliau menyerahkan risalah itu kepada saya, beliau masih hafal apa yang termaktub dalam risalah itu.
Kemuncak penulisan Tok Ku Paloh yang sering diperkatakan orang ialah kitab yang diberi judul Ma'arij al-Lahfan. Sungguhpun kitab ini sangat terkenal dalam kalangan masyarakat sufi sekitar Terengganu, Kelantan dan Pahang namun ia belum dijumpai dalam bentuk cetakan.
Saya hanya sempat membaca tiga buah salinan manuskrip kitab itu. Ilmu yang terkandung di dalamnya adalah mengenai tasawuf.
Sebagaimana telah disebutkan, Tok Ku Paloh ialah seorang pejuang Islam dan bangsa. Beliau ialah penganut Thariqat Naqsyabandiyah.
Antara anak Tokku Paloh ialah Saiyid Aqil bin Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus. Beliau inilah yang bertanggungjawab mentashhih dan menerbitkan kitab nazam Kanz al-Ula karya datuknya, Tok Ku Tuan Besar, terbitan Mathba'ah al-Ahliyah Terengganu, 1347 H