Kebanyakan artikel disini adalah karya Al-Marhoum Tuan Guru Syeikh Wan Mohd Shaghir Abdullah R.A cucunda kepada Tuan Guru Syeikh Ahmad Al-Fathanie, juga dari akhbar2 nasional yang lain dan laman2 web yang bertebaran di alam maya juga disaduri macam2 hikayat,riwayat,kaifiat dan khasiat keemasan saya himpun dan susun sebagai koleksi peribadi dan bagi tatapan dan santapan rohani buat teman-teman yang sudi...himpunan artikel2 terbaru saya sekarang lebih muyul kepada informasi kesihatan ala muslim-jawi kearaban..... dan saya mula berjinak2 dengan jualan secara online produk kesihatan muslim, khasnya peralatan bekam (Set cawan, jarum dan pen bekam) dan khidmat pembekaman, Sudi-sudilah ziarah dan sudikan tinggal komentar anda. TQ
Memaparkan catatan dengan label Ulama Mempawah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ulama Mempawah. Papar semua catatan

Jumaat

SHEIKH MUHAMMAD YASIN MEMPAWAH YANG KERAMAT

Syeikh Muhammad Yasin - Ulama Kedah berhijrah ke Mempawah
Koleksi: Almarhoum Syeikh Wan Mohd.Saghir Abdullah r.a

MAKLUMAT bertulis berupa tulisan tangan dan kitab-kitab peninggalan Syeikh Muhammad Yasin yang berasal dari Kedah ini telah ditemui di Kampung Kuala Secapah, Mempawah, Kalimantan Barat tahun 1998 Masihi. Selain itu jauh sebelum ini, sumber-sumber sahih yang dapat dipercayai diperoleh daripada Tuan Guru Haji Abdur Razzaq. Ulama yang berasal dari Daik, Kepulauan Riau ini wafat di Mempawah, 1978 dalam usia hampir 100 tahun, adalah murid yang terakhir Haji Muhammad Yasin Kedah, saya sempat bergaul dengan beliau sejak tahun 1968 hingga 1978. Daripada beliau banyak diperoleh informasi tentang ulama yang berhijrah dari Kedah ke Mempawah yang diriwayatkan ini. Diriwayatkan bahawa ulama yang berasal dari Kedah itu belajar di Mekah lebih dua puluh tahun. Untuk memenuhi sara hidupnya selama belajar di Mekah, beliau mengambil upah menyalin pelbagai kitab Melayu/Jawi. Yang paling banyak disalinnya ialah kitab Siyarus Salikin karya Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani. Salah satunya ada dalam simpanan saya.

Kepercayaan

Mengenai guru Haji Muhammad Yasin Kedah ketika belajar di Mekah, Haji Abdur Razzaq meriwayatkan, "Sewaktu saya akan pergi ke Mekah dalam tahun 1889, waktu itu saya masih kecil, saya dibawa oleh ayah saya menziarah Tok Haji Mat Yasin. Ayah saya adalah murid yang setia dan kepercayaannya. Tok Haji Mat Yasin mengamanahkan berupa kiriman duit yang banyak kepada gurunya di Mekah, iaitu Syeikh Nik Mat Kecik Fathani, pengarang Mathla'ul Badrain.'' Kata Haji Abdur Razzaq, "Tok Haji Mat Yasin adalah termasuk khalifah dan mursyid Thariqat Qadiriyah di bawah jagaan Syeikh Ahmad Khathib Sambas. Saya kurang pasti apakah beliau menerima langsung daripada Syeikh Ahmad Khatib Sambas itu ataupun beliau telah dibaiah oleh murid-murid Syeikh Ahmad Khathib Sambas, di antaranya Syeikh Abdul Karim Bantan ataupun Syeikh Abdul Qadir al-Fathani ataupun Syeih Nik Mat Kecik al-Fathani sendiri.''

Memperlihatkan hal-hal yang tersebut saya berkesimpulan bahawa walaupun Haji Muhammad Yasin dikatakan murid kepada Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani, namun umur beliau barangkali tidak berjauhan. Atau sekurang-kurangnya beliau ini adalah murid peringkat terawal ulama yang berasal dari Patani kelahiran Pulau Duyung, Terengganu yang terkenal itu. Kedatangan Haji Muhammad Yasin ke Mempawah, Kalimantan Barat juga adalah ditugaskan oleh Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani, bukan kehendaknya sendiri.

MEMBUKA PONDOK PENGAJIAN

Diriwayatkan bahawa dakwah yang berantai yang dilakukan dari Semenanjung Melayu dan Patani ke Kalimantan Barat yang melibatkan setiap orang yang pergi haji ataupun orang yang sengaja semata-mata untuk belajar ke Mekah memang tahu pasti mengenai Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang berlanjutan sampai ke zaman Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani. Di kalangan sultan ataupun penembahan terutama Sultan/Penembahan Pontianak, Mempawah dan Sambas setiap tahun mengirim surat, barang-barang dan wang kepada ulama-ulama Patani, terutama kepada Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani.

Oleh kerana banyak surat yang diterima daripada tiga kerajaan tersebut maka Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani telah mengutus beberapa orang muridnya berdakwah dan mengajar di Kalimantan Barat. Sedangkan yang telah menunggu di Mempawah ialah Tuan Guru Haji Wan Nik al-Fathani, yang sebelumnya telah dirintis oleh Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani. Adapun Haji Muhammad Yasin Kedah adalah di antara sekian ramai mubaligh dan ulama yang ditugaskan di Kalimantan Barat itu. Manakala Haji Muhammad Yasin sampai ke Pontianak, beliau ditampung oleh Sultan Pontianak yang memerintah ketika itu iaitu Sultan Syarif Yusuf bin Syarif Abdul Hamid al-Qadri (1873 Masihi - 1895 Masihi). Sultan meminta beliau mengajar di istana dan masyarakat Pontianak. Permintaan itu beliau persetujui, namun mengajar di Pontianak tersebut hanya beberapa bulan, kerana pada pandangan beliau mengajar dengan cara menerima gaji adalah mencerminkan kurang tawakalnya terhadap Allah. Haji Muhammad Yasin Kedah lebih suka berdikari daripada diarahkan oleh orang lain. Beliau bermohon kepada Sultan Pontianak untuk melakukan pengembaraan ke utara, maksudnya adalah Mempawah dan Sambas. Pada khayalannya apabila berjalan menuju ke utara adalah bersifat mendaki atau naik ke atas, maka segala cita-cita akan tercapai. Sebaliknya apabila menuju ke selatan adalah bersifat menurun, maka akan menempuh gangguan dan cubaan, kejayaan sukar dicapai.

Tujuan pengembaraan ini ialah mencari lokasi untuk membuka satu institusi pengajian pondok. Beliau berkenan sebuah lokasi yang mempunyai sebuah sungai yang mengalir dan letaknya di tepi laut. Apabila tempat yang demikian ada penduduknya, maka akan lekas berkembang kerana dari pihak laut orang akan datang ke daratan. Tabiat air pula mengalir dari hulu menuju pantai, maka orang akan datang menuju pondok itu mengikut jalan dan tabiat air tersebut.

Hanya dengan berjalan kaki sejauh lebih kurang enam puluh kilometer, Haji Muhammad Yasin Kedah tidak jadi meneruskan perjalanannya ke utara kerana tempat yang sesuai menurut beliau membuka pondok pengajian itu telah ditemuinya. Tempat tersebut ialah Kampung Kuala Secapah yang merupakan muara sungai Mempawah. Di Sungai Mempawah itulah dahulunya tempat pahlawan Bugis bernama Upu Daeng Menambon mulai melabuhkan perahunya yang kemudian mudik ke hulu kira-kira empat kilometer, lalu membentuk sebuah kerajaan Islam yang dinamakan Kerajaan Mempawah.

Kedatangan Haji Muhammad Yasin disambut gembira oleh penduduk kerana sebelum kedatangan beliau ke situ namanya memang sudah sangat terkenal sama ada di kalangan elit kerajaan mahupun masyarakat yang memang fitrahnya mengasihi para ulama. Dipercayai kedatangan beliau ke Mempawah ialah pada zaman pemerintahan Gusti Ibrahim yang bergelar Penembahan Ibrahim Shafiuddin (kira-kira tahun 1872 Masihi - 1887 Masihi). Menurut riwayat, Haji Muhammad Yasin membina sebuah rumah yang besar di Kampung Kuala Secapah tersebut, orang pun datang berbondong-bondong kerana menimba ilmu dan berkat kekeramatannya. Dalam waktu yang relatif singkat ada pula yang membuat pondok di sekeliling rumah beliau. Haji Muhammad Yasin Kedah menarik minat masyarakat dengan pelbagai kepandaiannya. Dari sudut kesenian yang bercorak Islam beliau adalah seorang ulama yang pandai bermain Hadhrah. Sampai sekarang masih ada golongan masyarakat Kuala Secapah khususnya dan Kalimantan Barat umumnya pandai bermain Hadhrah yang bersumber daripada Haji Muhammad Yasin Kedah.

Menurut keterangan masyarakat permainan Hadhrah bahawa sanad kesenian itu berasal daripada Syeikh Abu Bakar al-Adani. Selain kesenian shufi berupa Hadhrah Haji Muhammad Yasin juga mengajar pelbagai lagu Barzanji, Nazham dan Burdah. Semua kesenian yang tersebut itu masih belum pupus di Mempawah, Kalimantan Barat terutama sekali Barzanji hampir setiap malam ada saja orang-orang yang mengadakan upacara itu. Bagi murid-murid yang memahami ilmu tauhid, fikah dan tasawuf, beliau tawajjuhkan zikir Thariqat Qadiriyah yang dinisbahkan kepada Syeikh Abdul Qadir al-Jilani yang sangat terkenal diajarkan oleh Syeikh Ahmad Khathib Sambas di Mekah pada abad ke 19 itu.

Semua yang tersebut di atas merupakan pelajaran tambahan sebagai alat penyeru masyarakat yang berminat pada seni. Mata pelajaran pokok yang diajarkan di pondok Haji Muhammad Yasin Kedah tersebut sama seperti pondok-pondok di Patani. Pondok yang beliau asaskan di Kampung Kuala Secapah, Mempawah tersebut merupakan pondok pengajian mengikut sistem pondok Patani yang pertama sekali di Kalimantan Barat.

DIANGGAP KERAMAT

Oleh kerana Haji Muhammad Yasin Kedah memang seorang yang hebat dalam bidang keilmuan dan banyak pula perkara-perkara menyalahi adat yang dapat disaksikan oleh masyarakat luas dengan mata sendiri pada zamannya, maka beliau dianggap seorang yang keramat oleh masyarakat. Bukti-bukti kekeramatan dan keberkatannya sangat banyak. Menurut cerita masyarakat, sebelum kedatangan beliau, silang sengketa sesama masyarakat sering terjadi, namun setelah beliau datang semua masyarakat tiba-tiba rukun dan damai. Semenjak beliau datang rezeki melimpah ruah, hasil tanaman padi berlipat ganda yang sebelumnya selalu diserang oleh hama, tikus dan air masin menghentam tanaman padi. Demikian halnya juga dengan perkebunan kelapa, selain berbuah lebat harganya juga dijual dengan baik dan memuaskan. Salah satu keistimewaan ulama ini ialah beliau tidak mahu membunuh binatang walau sekecil nyamuk sekalipun. Di kampung tempat beliau membuka pondok itu jika musim angin barat nyamuk sangat banyak. Jenis nyamuknya pula apabila menyengat bisanya sangat berkesan sakit dan gatal-gatal. Bagi orang biasa seekor nyamuk menggigit saja sudah tidak sanggup menahan bisa, tetapi bagi beliau beribu-ribu nyamuk hinggap ke atas tubuhnya beliau biarkan saja, jangankan membunuhnya menghalaupun tidak.

Ketaqwaan

Keramatnya pula, bahawa semua murid yang datang belajar di pondoknya tanpa dikenakan bayaran berupa apapun dan semuanya beliau beri makan dengan belanja kewangan beliau sendiri. Hal ini sangat menghairankan masyarakat kerana tidak diketahui dari mana beliau memperoleh kewangan untuk keperluan perbelanjaan yang tidak sedikit itu. Haji Muhammad Yasin Kedah dengan penuh yakin menyatakan bahawa rahsianya terletak pada ketaqwaan masyarakat dengan memperbanyak ibadat yang pelbagai corak ragamnya. Tetapi di antara amal yang paling penting ialah memperbanyakkan zikrullah dan selawat serta salam ke atas Nabi s.a.w. Apabila dua amalan tersebut telah menjadi darah dan daging, maka pertolongan Allah akan datang di luar dugaan akal manusia, semuanya boleh terjadi. Yang demikian itu mudah bagi Allah, apabila Allah telah meredhainya. Berdasarkan penyaksian masyarakat, Haji Muhammad Yasin Kedah sememangnya banyak melakukan ibadat. Beliau mempunyai bilik khas untuk melakukan ibadat bersendirian selain tempat yang digunakan untuk berjamaah. Di dalam tempat khas itulah beliau banyak mengkhatam zikir nafi dan isbat tujuh puluh ribu kali. Sedangkan zikir dalam berjamaah dilaksanakan sesudah sembahyang lima kali sehari semalam hanya seratus enam puluh kali. Selawat yang beliau amalkan ialah `Salawat Dalail al-Khairat' yang dibaca setiap hari dan dikhatamkan setiap hari Isnin. Selain selawat tersebut, beliau juga mengamalkan `Salawat Quraniyah' dan `Salawat Seratus Empat Puluh Sembilan' yang terdapat dalam Lum'atul Aurad karya Syeikh Wan Ali Kutan, al-Kalantani.

Al-Fatihah untuk Syeikh Muhammad Yasin

Sumber Bicara Agama Utusan 03/01/2005 .

Isnin

GUSTI MUHAMMAD TAUFIQ RAJA MEMPAWAH TERAKHIR

Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin Raja Mempawah terakhir
Dua siri keluaran yang terdahulu telah diceritakan dua orang keturunan Upu Daeng Celak, iaitu Sultan Alauddin Sulaiman Syah, Selangor dan Raja Ali Kelana Riau. Keluaran kali ini diperkenalkan pula keturunan Upu Daeng Menambon. Nama lengkapnya ialah Pangeran Muhammad Taufiq Aqamuddin bin Gusti Ibrahim, raja terakhir yang memerintah Mempawah (yang ke-13).Upu Daeng Celak dan Upu Daeng Menambon adalah adik beradik. Dalam penulisan sejarah yang dilakukan oleh Raja Ali Haji dan penulis-penulis lain pada masa dulu, selalu menyebut hubungan kekeluargaan antara Mempawah dan negeri-negeri Melayu di Riau, Johor, Pahang, Terengganu, Selangor dan lain-lain. Oleh itu tulisan ini mengingatkan kembali hubungan kekeluargaan yang pernah wujud pada masa silam itu.

Sebelum melanjutkan kisah yang termaktub pada judul di atas, terlebih dulu dirasakan perlu menyebut nama raja-raja yang memerintah Mempawah dari awal hingga ditutup dengan Pangeran Muhammad Taufiq Aqamuddin (Raja yang ke-13). Raja yang pertama ialah Raja Dayak, iaitu Patih Gumantar pada tahun 1380 Masihi. Raja kedua, iaitu Kerajaan Mempawah Hulu yang berpusat di Pukan Raja ialah Raja yang bernama Penembahan Kudung dengan isterinya, Puteri Burkalim pada tahun 1610 Masihi-1680 Masihi. Raja ketiga pada tahun 1680 Masihi, Penembahan Sepauk/Senggauk memerintah kerajaan di Sepauk di Perhuluan Mempawah. Semua raja yang tersebut belum menganut sesuatu agama (animisme)

Raja keempat, Upu Daeng Menambon, iaitu raja Islam yang pertama di Mempawah pada tahun 1740, berasal dari negeri Bugis. Raja kelima, putera kepada Gusti Jamiril bergelar Penembahan Adiwijaya Kesuma yang terkenal anti penjajah Belanda. Baginda adalah saudara sepupu dengan Raja Ali Haji (Riau), Raja Lumu (Selangor) dan lain-lain. Raja keenam pada tahun 1804, Gusti Jati yang bergelar Sultan Muhammad Zainal Abidin Putera Mahkota. Raja ketujuh pada tahun 1831, Gusti Amin. Raja kelapan pada tahun 1839, Penembahan Mu'min. Raja kesembilan pada tahun 1855 yang terkenal dengan gelaran Penembahan Mahmud. Raja kesepuluh pada tahun 1858, Gusti Utsman. Raja kesebelas, Gusti Ibrahim yang bergelar Penembahan Ibrahim Saifuddin pada tahun 1872. Raja kedua belas iaitu Puteri Raja Gusti Intan dengan gelaran Ratu Permaisuri pada tahun 1887. Raja ketiga belas yang diriwayatkan ini, ialah Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin, lahir pada tahun 1288 Hijrah/1871 Masihi dan meninggal dunia pada tahun 1944 Masihi. Beliau memerintah Mempawah pada tahun 1322 Hijrah/1904 Masihi - 1363 Hijrah/1944 Masihi.

ULAMA DI MEMPAWAH

Mulai pemerintahan Upu Daeng Menambon di Mempawah, beliau mendatangkan seorang ulama berbangsa Arab, Sayid Husein bin Sayid Ahmad al-Qadri. Putera Upu Daeng Menambon yang bernama Gusti Jamiril mendapat pendidikan daripada ulama ini dan dilanjutkan dengan Syeikh Ali bin Faqih yang datang dari Patani. Diriwayatkan bahawa Gusti Jamiril mendapat pendidikan Islam yang mendalam daripada kedua-dua ulama Arab dan Patani itu.

Pendatang

Sampai pada zaman pemerintahan Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin, tradisi menampung ulama pendatang di Mempawah berjalan terus. Ulama yang datang dari Semenanjung ke Mempawah ketika baginda memerintah antaranya ialah Syeikh Muhammad Yasin yang berasal dari Kedah, Haji Abdur Rahman bin Husein (anak murid Tok Kenali, beliau menjawat jawatan Mufti terakhir kerajaan Mempawah) berasal dari Kelantan dan Haji Muhammad Saleh Sarawak. Ulama yang datang dari Patani ialah Haji Wan Nik al-Fathani dan Syeikh Abdul Lathif al-Fathani. Selain ituada juga dari Arab seperti Syeikh Yusuf al-Manshuri. Dari Banjar Haji Abdul Qadir bin Ahmad al-Banjari.

Antara guru Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin dalam bidang agama yang dapat dikesan ialah Haji Abdul Fattah, Haji Wan Nik al-Fathani dan Syeikh Abdul Lathif al-Fathani, Haji Ali bin Sulaiman dan ramai lagi. Daripada data ini dapatlah diketahui latar pendidikan Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin, bahawa beliau memperoleh pendidikan Islam seimbang dengan pendidikan kenegaraan yang diperoleh dalam lingkungan Istana Kerajaan Mempawah sendiri.

Ulama yang berkhidmat dalam masa pemerintahan Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin yang paling akhir meninggal dunia ialah Haji Ahmad dan Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani. Haji Ahmad berasal daripada keturunan Pulau Pinang. Jawatan yang disandangnya ialah Maharaja Imam Mempawah. Sementara Haji Abdur Rahman Kelantan pula, jawatan yang disandangnya ialah Maharaja Imam Mempawah. Penulis sempat mewawancara kedua-dua ulama tersebut pada tahun 1968 -1970.
"Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin adalah seorang raja Melayu yang mampu memahami kitab-kitab bahasa Arab yang tinggi dan mendalam huraiannya."
Penulis mempunyai beberapa buah kitab bahasa Arab bekas milik Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin. Sungguh mengkagumkan kerana beberapa judul, antaranya adalah kitab yang besar berjilid-jilid. Ada pula yang tidak diterbitkan lagi dan sukar mendapatkannya. Kitab yang besar antaranya ialah Fathul Bari, iaitu kitab syarah Shahih Bukhari yang terkenal oleh Syeikh Ibnu Hajar al-Asqalani. Memperhatikan kitab-kitab yang ditinggalkan dan dirujuk dalam dua buah karangannya yang telah dijumpai, dapatlah diyakini bahawa Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin adalah seorang raja Melayu yang mampu memahami kitab-kitab bahasa Arab yang tinggi dan mendalam huraiannya.

PENULISAN


Nasihat Kepada Anak Buah Kerajaan Mempawah Yang Beragama Islam, diselesaikan pada 25 Syawal 1351 Hijrah/21 Februari 1933 Masihi. Kandungannya merupakan nasihat seorang raja kepada rakyatnya supaya hidup menurut panduan Islam dan menghindari hidup yang bermegah-megah dengan kemewahan. Tidak terdapat nama pencetak. Dalam koleksi ini terdapat tanda tangan Pangeran Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin, Penembahan Kerajaan Mempawah lengkap dengan cop mohornya. Naskhah ini diperoleh dari dalam Istana Kerajaan Mempawah.

Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin memulakan nasihatnya dengan kalimat, "Waktu sekarang dikatakan orang musim Malaise, iaitu segala harga barang tanaman seperti kelapa, getah dan lainnya ada terlalu amat turun harganya. Ialah tiada menurut seperti harga penjualan pada tahun yang telah lalu. Oleh sebab demikian semua orang yang hidup daripada hasil berkebun kelapa, getah, dan lain tanaman ada berasa amat berkurang menerima keuntungan daripada hasil harga kebunnya itu. Sebab biasanya orang itu menerima banyak dari pendapatan hasil kebunnya tetapi pada waktu sekarang ia cuma menerima hasil yang terlalu sedikit.'' Istilah "Malaise'' yang digunakan oleh beliau barangkali boleh kita samakan dengan 'kemelesetan ekonomi' iaitu sama ada disukai atau pun tidak, diundang atau datang dengan sendirinya, senantiasa datang dan pergi dalam sesuatu pemerintahan atau pun dunia secara keseluruhannya.

Insaf

Daripada mukadimah nasihat di atas dapat kita ketahui bahawa Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin, Raja Mempawah, adalah seorang raja yang faham keadaan ekonomi dan mengambil perhatian terhadap rakyat yang diperintahnya. Dapat dibuktikan pula dengan nasihat beliau, katanya, "Maka sepatutnya orang yang pemboros itu waktu sekarang banyak menaruh insaf akan dirinya kerana waktu Malaise ini ialah menjadi satu pengajaran kepadanya. Maka hendaklah ia membanyakkan berhemat, jangan lagi suka membuang-buang harta jikalau tiada amat fardu ...''

Baginda menganjurkan berusaha supaya wang dapat digandakan, baginda menyambung kalimat di atas, "Jika sekiranya mereka itu ada kelebihan daripada nafkah yang wajib baginya pada masa ini lebih baik diperbanyakkan berusaha menuntut jalan kemajuan bagi dunia dan akhirat atau pun apa sahaja yang mendatangkan keuntungan baginya. Jauhkan sifat pemboros yang mengecewakan hidup kita ...''

Sikap Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin tidak terikat dengan sesuatu adat kuno, tetapi beliau lebih mengutamakan ajaran yang berlandaskan kepada ajaran Islam. Mengenainya dapat kita pelajari daripada kalimat, "Maka kerana demikian terasalah pada fikiran, hati kita, akan memberi nasihat kepada bangsa Islam anak buah kerajaan Mempawah supaya mengubah adat kuno itu (adat zaman dahulu) yang kiranya pada fikiran kita tiada sekali merosakkan pada hukum agama Islam...'' Yang dimaksudkan dengan kalimat ini ialah pembaziran kewangan dalam upacara perkahwinan, berkhatan dan lain-lain. Menurut baginda dalam masa krisis ekonomi cukuplah dikerjakan hal-hal yang diwajibkan oleh syarak saja.

Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin, Raja Mempawah, ketika menyusun nasihatnya, baginda menyebut beberapa kitab rujukannya dalam bahasa Arab iaitu I'anatut Thalibin oleh Saiyid Bakri Syatha. Rujukan dalam bahasa Melayu ialah Sabilul Muhtadin oleh Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari.

KETURUNAN

Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin, Raja Mempawah yang terakhir ini meninggal dunia akibat korban pembunuhan kejam tentera Jepun sewaktu perang dunia kedua. Hingga sekarang tidak diketahui di manakah tempat pembunuhan itu sebenarnya terjadi. Peristiwa tersebut berlaku pada tahun 1944 Masihi.

Sebelum tentera jepun pergi Istana Mempawah dan menangkap Penembahan Pangeran Muhammad Taufiq Aqamuddin dan pembesar-pembesar lainnya terlebih dahulu mereka pergi ke rumah Tuan Guru Abdul Rahman Al-Kelantani tapi ditakdirkan tuan guru keluar pergi ke Sungai Bundung, kira-kira 30 km dari Mempawah, iaitu sebuah kampung yang ramai muridnya setelah disuruh oleh seorang yang tidak dikenali agar beliau segera meninggalkan rumah.

Sewaktu pembunuhan terjadi, Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin meninggalkan tiga orang putera dan seorang puteri, iaitu Pangeran Muhammad yang kemudian dikenali dengan nama Drs. Jimmy Ibrahim (Sudah meninggal dunia pada hari Isnin 25 Julay 2005) seorang tokoh yang terkenal dalam pemerintahan Propinsi Kalimantan Barat. Putera-puteri beliau yang lain ialah Pangeran Faishal, Pangeran Taufiqiyah dan Pangeran Abdullah.

Kesimpulan dan penutup artikel ini, penulis berpendapat bahawa hubungan Mempawah dan negeri-negeri Melayu lain di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Brunei sejak Upu Daeng Menambon telah terjalin kekeluargaan yang sangat erat. Oleh itu masa kini hubungan silaturahim perlu diikat dan dijalin kembali. Mengenai hal ini dirasakan perlu diikatkan dengan penelitian sejarah, kebudayaan, pelancongan, kerjasama ekonomi dan lain-lain yang dirasakan perlu. Mempawah dan Kalimantan Barat khususnya atau Kalimantan/Borneo umumnya adalah berpotensi untuk kekukuhan ekonomi rakyat Indonesia, Malaysia dan Brunei Darussalam pada masa-masa yang akan datang. Rakyat mengharapkan mudah-mudahan para pemimpin tiga negara yang memerintah Kalimantan/Borneo sekarang mengambil berat untuk menangani perkara-perkara yang tersebut di atas.

Artikel oleh Almarhoum Syeikh W.Md.Saghir 26/07/2004 dan sedikit saduran dari kisah Tuan Guru Abdur Rahman Al-Kelantanie mufti terakhir kerajaan Mempawah juga karya beliau.

Ahad

KIAI ABDUL MADJID YANG PEMURAH

Kiyai Abdul Madjid ulama Madrasah At-Taufiqiyah
Ulama kali ini adalah sangat terkenal di daerah Nusapati bagi Kabupaten Pontianak yang terletak Kepulauan Kalimantan Barat, Indonesia. Ulama yang dimaksudkan ialah Kiai Abdul Madjid Ismail.

Semasa hayatnya, beliau sangat aktif dalam menyebarkan dakwah Islamiah dengan mengajar di serata masjid-masjid.

Beliau adalah penyambung pimpinan Madrasah at-Taufiqiyah, yang diasaskan oleh bapa saudaranya iaitu, Sulaiman Sa’ad

Asal-usul

Tokoh yang dikenali dengan Ustaz Madjid ini dilahirkan pada 24 Julai 1924 di Kuala Secapah, Mempawah, iaitu salah satu daerah di Kabupaten Pontianak, Indonesia.

Bapanya bernama Ismail Sa’ad manakala ibunya, Fatimah Tereng bin Ahmad yang berasal dari Banjar Masin.

Bapa beliau iaitu Ismail Sa’ad juga adalah generasi yang pertama bersama-sama mendirikan Madrasah at-Taufiqiyah tersebut bersama-sama adik-beradiknya yang lain.

Pendidikan

Kiai Haji Abdul Madjid Ismail memulakan pendidikan di Madrasah Nurul Falah wan-Najah di Sungai Bakau Besar (Indonesia). Kemudian meneruskan pengajiannya di Madrasah at-Taufiqiyah, yang merupakan sekolah yang diasaskan dari ahli keluarga beliau sendiri, iaitu bapa saudaranya bernama Sulaiman Sa’ad.

Selain belajar di madrasah-madrasah, beliau juga menuntut ilmu dengan ulama-ulama yang ada pada zamannya di sekitar Kabupaten Pontianak. Malahan beliau banyak menuntut ilmu melalui ahli keluarganya sendiri iaitu bapa dan bapa saudaranya tersebut.

Perkahwinan

Beliau berkahwin sebanyak dua kali. Melalui isteri pertamanya, iaitu Fatimah Abdul Rahman dikurniakan lima anak, iaitu Rohani, Muhaibah, Sa’adiah, Zamhariyah dan Hamidiyah.

Setelah kematian isteri yang pertama, beliau berkahwin dengan Dariyah Abdul Azim dan mendapat tujuh anak iaitu Mohd. Rahimi, Hakimah, Mohd Syaukani, Ahmadiy, Mohd. Syazili, Mohd. Ambari dan Mohd. Habibi.

Anaknya, Mohd. Rahimi mengatakan bahawa kesemua anak beliau mendapat pendidikan asas di Madrasah at-Taufiqiyah tersebut. Seterusnya melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Antaranya Mohd. Syazili dan Mohd. Ambari meneruskan pengajian ke Pondok Pesantren Darullughah Wad Dakwah, di Bangil, Jawa Timur iaitu sebuah pondok pesantren yang terkenal di Indonesia kerana melahirkan ramai yang menjadi ulama dan tokoh masyarakat.

Anak-anak beliau lainnya pula ada yang meneruskan pengajian di universiti-universiti tempatan di sekitar Kabupaten Pontianak.

Hasil didikan beliau yang amat menitikberatkan pengajian Islam, anak-anaknya menjadi insan yang berjaya dan berbakti kepada masyarakat.

Antara yang mengikuti jejak langkah beliau adalah Mohd. Rahimi, yang kini menjadi pemimpin madrasah at-Taufiqiyah tersebut, dengan dibantu oleh adik-adiknya yang lain.

Anak beliau Mohd. Syazili pula sangat aktif mengajar di masjid-masjid dengan pelbagai cabang ilmu kepada masyarakat tempatan.

Pengalaman

Kiyai Abdul Madjid mula memimpin Madrasah at-Taufiqiyah tersebut pada tahun 1950. Pimpinan beliau bermula di peringkat rendah yang disebut sebagai Madrasah Ibtidaiyah at-Taufiqiyah.

Setelah itu, beliau memimpin di peringkat menengah yang digelar sebagai Madrasah Tsanawiyah at-Taufiqiyah dari tahun 1970 sehingga 1980. Setelah itu, beliau bersara dan berkhidmat sebagai penasihat bagi pimpinan madrasah tersebut.

Namun begitu, beliau yang sememangnya cintakan ilmu ini meneruskan dakwah dengan mengajar di masjid-masjid, dan di majlis-majlis Ta’lim. Beliau seorang yang sangat aktif dengan Majlis Ta’lim dari tahun 1950 hinggalah kewafatannya.

Selain dalam keilmuan, beliau juga menitikberatkan soal kepimpinan. Beliau pernah menyandang sebagai wakil rakyat bagi kawasannya, yang disebut sebagai Dewan Perwakilan rakyat Daerah dari tahun 1987 hingga 1992. Beliau juga menjadi ahli dalam Nahdhatul Ulama (NU) di Indonesia, dan pernah menyandang jawatan sebagai Ketua Dua dan Badan Penasihat.

Sejarah Madrasah at-Taufiqiyah

Madrasah at-Taufiqiyah yang pernah dipimpin oleh ulama yang dibicarakan ini adalah diasaskan oleh bapa saudara beliau iaitu, Sulaiman bin Sa’ad. Nama madrasah ini diambil dari nama Penembahan Muhammad Taufiq Aqamuddin, iaitu yang terakhir kerajaan Mempawah.

Baginda merupakan seorang sultan dan seorang pemimpin yang sangat mencintai para ulama. Hubungan baginda dengan ulama juga sangat rapat sehingga banyak nasihat dalam hal-hal pemerintahan baginda, dirujuk kepada ulama. Baginda juga diketahui menguasai pelbagai bidang ilmu keislaman.

Lantaran kerana cinta dan kasih Baginda terhadap para ulama juga terhadap ilmu pengetahuan, Baginda amat menyokong penubuhan madrasah at-Taufiqiyah tersebut.

Madrasah at-Taufiqiyah didirikan pada 20 April 1935M dengan hasil kerjasama oleh beberapa tokoh-tokoh agama pada zaman tersebut, iaitu:

-Sulaiman bin Sa’ad

-Ismail bin Sa’ad

-Ahmad bin Sa’ad

-Arasib bin Basuk

Pada awal penubuhannya, madrasah ini hanya berstatus Madrasah Diniyah, iaitu hanya mengajar dalam mata pelajaran yang berkaitan agama Islam seperti fikah, tauhid, akidah dan sebagainya.

Dalam pimpinan awal iaitu di bawah Ustaz Sulaiman, Madrasah at-Taufiqiyah ini berjalan dengan baik, hinggalah kedatangan tentera Jepun ke Indonesia pada tahun 1940. Pada waktu kedatangan tentera jepun tersebut, Madrasah at-Taufiqiyah terpaksa ditutup selama lebih kurang lima tahun iaitu sehingga tahun 1945.

Dalam pada itu juga, pengasasnya Sulaiman Bin Sa’ad kembali ke rahmatullah pada 22 September 1944. Maka dinamakan masyarakat setempat tahun tersebut dengan tahun dukacita kerana kehilangan seorang pemimpin masyarakat yang disegani.

Menjelang kemerdekaan Indonesia pada tahun 1945, Madrasah at-Taufiqiyah dibuka dan diteruskan semula, dengan dipimpin oleh pengurus baru yang merupakan adik Sulaiman iaitu, ustaz Ahmad Sa’ad.

Beberapa pembaharuan dijalankan, antaranya status Madrasah Diniyah berubah menjadi Madrasah Ibtidaiyah. Madrasah Ibtidaiyah adalah pengajian di peringkat rendah dengan penambahan mata pelajaran akademik seperti Bahasa Indonesia, Bahasa Inggeris, Matematik dan sebagainya.

Dalam pimpinan Ustaz Ahmad Bin Sa’ad, Madrasah at-Taufiqiyah berjalan dengan baik dan maju. Namun ditakdirkan pada 13 November 1956, beliau pula kembali ke rahmatullah.

Bagi melantik pimpinan yang baru, diadakan mesyuarat di antara ahli-ahli dalam Madrasah at-Taufiqiyah dan masyarakat setempat, dan akhirnya sepakat melantik Abdul Madjid, iaitu ulama yang dibicarakan ini.

Di bawah pimpinan beliau, maka madrasah tersebut semakin pesat membangun sehingga status Madrasah Ibtidaiyah meningkat. Dengan perkembangan tersebut, maka pada tahun 1971 didirikan pula Madrasah Tsanawiyah at-Taufiqiyah, iaitu pengajian bagi peringkat menengah bawah. Antara pendiri-pendiri Madrasah Tsanawiyah adalah:

-Ustaz Abdul Madjid Ismail

-Dawaer bin Ismail

-Ustaz Syamsuddin Abdur Rahman

-Abdullah Yusof

Perkembangan Madrasah at-Taufiqiyah semakin meningkat dari semasa ke semasa. Disebabkan peningkatan tersebut, maka pada tahun 1986 didirikan pula Madrasah Aliyah.

Madrasah Aliyah pula adalah peringkat menengah atas, iaitu sebelum ke peringkat berstatus universiti.

Namun Madrasah Aliyah tersebut hanya bertahan selama enam tahun sahaja. Ini kerana ia tidak diakui oleh Departmen Agama (Majlis Agama) kerana tidak memenuhi syarat-syarat penubuhan Madrasah Aliyah.

Syarat yang tidak dapat dipenuhi adalah disebabkan lokasi Madrasah at-Taufiqiyah tersebut adalah di kawasan desa. Menjadi salah satu syarat bahawa untuk menubuhkan Madrasah Aliyah hendaklah di wilayah atau bandar daerah, dan tidak boleh di kawasan desa atau kampung.

Madrasah at-Taufiqiyah pula adalah didirikan di kawasan desa, maka tidak dapat memenuhi syarat tersebut. Selain itu, antara syarat lain adalah tidak mempunyai Badan Hukum.

Maka pada tahun 1988, Abdul Madjid mengajukan kepada Badan Hukum untuk mendirikan Yayasan Pendidikan Islamiyah at-Taufiqiyah. Akhirnya pada tahun 1989, Madrasah Aliyah sudah mempunyai Badan Hukum pada 13 April 1989.

Selain itu, Abdul Madjid mempunyai keinginan yang kuat untuk menampung anak-anak yatim dan kurang kemampuan dalam pendidikan mereka. Selanjutnya pada 1 Januari 1991, beliau menubuhkan Pondok Pesantren at-Taufiqiyah yang bertujuan untuk pengajian yang tidak formal kepada masyarakat setempat.

Sehingga kini Madrasah at-Taufiqiyah, mahu pun Pondok Pesantren at-Taufiqiah berjalan dengan baik dan ramai lepasan-lepasannya yang berjaya dan berbakti kepada masyarakat.

Adapun lokasi untuk penubuhan Madarash at-Taufiqiyah merupakan wakaf dari Tereng Ahmad. Tereng ialah bapa kandung Fatimah, iaitu ibu kepada ulama ini, manakala lokasi bagi Pondok Pesantren at-Taufiqiyah berserta Asrama putra dan putri adalah wakaf daripada ulama yang dibicarakan ini.

Kembali ke rahmatullah

Ustaz Abdul Madjid kembali ke rahmatullah pada 24 Mei 2007, iaitu pada hari Selasa sekitar pukul 3 petang. Beliau meninggal pada usia 83 tahun disebabkan sakit tua.

Pemergian beliau sangat dirasai sekalian lapisan murid-murid, masyarakat setempat dan kaum keluarganya. Ini kerana sifat-sifat beliau adalah sangat disegani, di samping suka menghulurkan bantuan terutama kepada anak-anak yatim, janda-janda dan fakir miskin.

Bantuan yang dihulurkan bukan sahaja berbentuk material malah mencurahkan ilmu tanpa sebarang bayaran. Malahan sehingga akhir hayatnya, beliau masih tidak jemu-jemu mengajar dan berdakwah walaupun dalam keadaan terlantar sakit.

Dengan pemergian beliau, maka Yayasan Pendidikan Islamiyah at-Taufiqiyah kini dipimpin oleh anak lelaki sulung beliau iaitu Mohd. Rahimi. Madrasah Tsanawiyah pula dipimpin oleh Mohd. Ambari Abdul Madjid

Pondok Pesantren at-Taufiqiyah pula diurus oleh Mohd. Syazili Abdul Madjid. Kesemua urusan pentadbiran madrasah tersebut dipimpin sepenuhnya oleh anak-anak beliau.

Demikianlah sekilas sejarah berkenaan ulama yang berasal dari kepulauan Kalimantan Barat ini, dan mengenai sejarah berdirinya Madrasah at-Taufiqiyah dan Pondok Pesantren at-Taufiqiyah tersebut. Sehingga kini madrasah tersebut sudah berusia 73 tahun.

Koleksi tulisan Allahyarham Wan Mohd. Shaghir Abdullah 28 April 2008 / 21 Rabiul Akhir 1429

Khamis

TUAN MUFTI TERAKHIR kerajaan MEMPAWAH bangsa KELANTAN

Abdul Rahman Al-Kalantani - Mufti terakhir kerajaan Mempawah
Ulama-ulama yang dikisahkan dalam Ruangan Agama akhbar utusan dan yang saya blogkan disini adalah hasil karya Syeikh Wan Mohd Saghir yang sebahagian besarnya adalah ulama-ulama pendatang ke Malaysia, terutama yang berasal dari Patani. Berlainan dengan ulama yang diceritakan ini, beliau adalah ulama yang berasal dari Kelantan Darul Naim, Malaysia yang menyebarkan Islam di Kalimantan Barat, Indonesia. Beliau ialah Tuan Guru Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani. Tahun kelahirannya tidak diketahui. Beliau meninggal dunia pada tahun 1391 Hijrah/1971 Masihi dalam usia melebihi 80 tahun. Kuburnya terletak di Kampung Pulau Pedalaman, Mempawah.

Terdapat beberapa ulama yang berasal dari Malaysia dan datang ke Kalimantan Barat sebelum Abdur Rahman, antara mereka ialah Tuan Guru Haji Muhammad Yasin yang berasal dari Kedah. Makamnya terletak di Kuala Secapah, Mempawah. Haji Ismail bin Abdul Majid berasal dari Kelantan dan pernah menjadi Mufti di Kerajaan Pontianak. Beliau meninggal di Kelantan.

Pendidikan

Abdur Rahman adalah murid peringkat awal Tok Kenali. Menurut keterangannya sendiri bahawa beliau sempat menadah kitab sewaktu Tok Kenali mengajar di bawah pohon getah, kerana pada waktu itu beliau belum memiliki bangunan surau atau madrasah. Perkara yang sangat ditekankan dalam pendidikan tersebut ialah ilmu nahu dan sharaf.(dua ilmu alat yang amat penting dipelajari) Abdur Rahman sempat mempelajari kedua-dua ilmu itu daripada Tok Kenali mulai peringkat yang paling asas hingga peringkat tertinggi. Sampai hari tuanya, beliau masih tetap menghafal Matan Alfiah Ibnu Malik yang terdiri daripada 1000 bait dan sangat terkenal. Selain Matan Alfiah, beliau juga menghafal matan-matan lainnya.

Antara murid Tok Kenali yang menjadi ulama besar terkenal dan sama-sama belajar dengan Abdur Rahman, bahkan tinggal sepondok, ialah Syeikh Idris al-Marbawi, penyusun Kamus al-Marbawi, tokoh Maal Hijrah peringkat kebangsaan Malaysia pertama.
* Tuan guru Dr Harun Din seorang ulama' tersohor di Malaysia dikala ini pernah berkesempatan belajar dengan Syeikh Idris al-Mawbawi sewaktu menuntut di Mesir, sila baca biodata Tuan Guru Harun Din Al-Hafiz disini

Selanjutnya setelah memperoleh ilmu yang sangat banyak di pondok pengajian Tok Kenali, Abdur Rahman melanjutkan pelajarannya ke Mekah. Beliau tinggal di Mekah selama belasan tahun.

Perantauan
Begitu lama Abdur Rahman belajar sambil merantau di Mekah dan sekitarnya, sehingga ketika pulang ke Kelantan beliau tidak begitu mesra tinggal di Kelantan, negerinya sendiri. Menurutnya, pada mulanya beliau akan merantau ke Banjar, kerana di sana sangat terdapat ramai ulama. Perancangan awalnya, dari Banjar beliau akan ke pulau Jawa kerana sewaktu berada di Mekah beliau sempat belajar kepada beberapa orang ulama yang berasal dari Jawa, antaranya, Syeikh Mukhtar bin `Atharid Bogor.

Dari Kelantan Abdur Rahman menuju ke Singapura dan selanjutnya belayar menuju Sambas. Pada zaman itu Sambas juga terkenal dengan ulamanya yang ramai. Di Sambas beliau tinggal di rumah Syeikh Muhammad Basiyuni Imran, Maharaja Imam Sambas yang sangat terkenal.

Syeikh Muhammad Basiyuni Imran menyarankan supaya Abdur Rahman tinggal di Kerajaan Sambas dan tidak perlu merantau ke Banjar atau ke Jawa kerana Kerajaan Sambas masih memerlukan para ulama. Atas kehendak Syeikh Muhammad Basiyuni, beliau diberikan seorang isteri di Kampung Semperiuk, Sambas. Sekali gus diberi tugas mengajar di daerah tersebut dan beberapa daerah yang berdekatan dengannya.

Mufti dan guru penembahan Mempawah

Setelah beberapa tahun Abdur Rahman menetap di Sambas, beliau diminta pula oleh Pangeran Muhammad Taufiq Aqamuddin, Penembahan Mempawah untuk berpindah ke Mempawah bagi mengajar di Istana Mempawah dan sekali gus mengajar di masjid-masjid dan surau-surau dalam pemerintahan Mempawah.
* Penembahan : Panggilan untuk raja atau orang yang sangat dihormati; yamtuan

Sebelum tawaran itu diterima, terlebih dulu Abdur Rahman mengadakan perundingan dan persetujuan daripada Syeikh Muhammad Basiyuni Imran.

Semua yang dijanjikan oleh Pangeran Muhammad Taufiq Aqamuddin kepada Abdur Rahman dipenuhi. Pangeran Muhammad Taufiq membahagikan dua jalur penyebaran Islam dalam Kerajaan Mempawah, iaitu sebelah utara ditugaskan kepada Abdur Rahman Kelantan dan sebelah selatan kepada Tuan Guru Haji Abdul Qadir bin Ahmad yang berasal dari Banjar. Kedua-dua ulama tersebutlah yang paling terkenal dalam Kerajaan Mempawah sebelum perang dunia kedua.

Selain sebagai Mufti, mengajar kerabat istana, mengajar di masjid-masjid dan surau-surau, Abdur Rahman juga mendirikan pondok pengajian menurut sistem pondok Patani dan Kelantan yang diberi nama Darul `Ulum.

Catatan peribadi (Catatan peribadi Syeikh Wan Mohd Saghir)

Pertama kali sampai di Mempawah pada tahun 1969, penulis tinggal di rumah Tuan Guru Haji Abdur Rahman Kelantan. Di sini penulis sempat bergaul dan belajar kepada beliau, maka dirasakan perlu merakamkan beberapa catatan penting mengenai beliau.Sewaktu perang dunia kedua, ramai pemimpin dan ulama di Kalimantan Barat dibunuh oleh Jepun tetapi Abdur Rahman terlepas daripada tangkapan Jepun.

Menurut ceritanya bahawa pada suatu hari sesudah sembahyang Subuh, tiba-tiba ada seorang yang tidak dikenali datang ke rumahnya. Orang itu menyuruh beliau segera meninggalkan rumah. Abdur Rahman segera mengikut arahan tersebut. Beliau kemudiannya pergi ke Sungai Bundung, kira-kira 30 km dari Mempawah, iaitu sebuah kampung yang ramai muridnya. Tidak lama kemudian tentera Jepun sampai ke rumahnya tetapi Abdur Rahman tidak berada di rumah. Oleh kerana itu, tentera Jepun langsung menuju Istana Mempawah dan menangkap Penembahan Pangeran Muhammad Taufiq Aqamuddin dan pembesar-pembesar lainnya.

Sekiranya beliau berada di rumah, sesudah Maghrib biasanya beliau mengamalkan wirid hingga masuk waktu Isyak. Sesudah makan malam beliau akan berjalan mundar-mandir sekurang-kurangnya seratus langkah. Menurutnya amalan sedemikian untuk penghadaman makanan yang tujuannya menjadikan badan sentiasa segar dan sihat. Sambil melakukan riadah tersebut, kedengaran beliau membaca surah-surah al-Waqi`ah, al-Mulk dan lain-lainnya secara hafalan.

Beliau akan berhenti mengajar kira-kira pukul 11.00 malam. Pukul 3.00 pagi akan terdengar suaranya mengucapkan zikir dan surah al-Ikhlas sehingga kedengaran azan Subuh.

Peristiwa ini diketahui penulis kerana penulis tidur di bilik yang disediakannya, iaitu bersebelahan dengan bilik tempat beliau tidur dan beramal.

Jika beliau berada di kediaman muridnya, mengajar di kampung yang berjauhan dari rumahnya, beberapa amalan di atas tetap dikerjakan, ditambah lagi mengajar hingga pikul 12.00 malam. Sesudah mengajar beliau terus mengerjakan beberapa jenis sembahyang sunat dan berwirid kira-kira satu jam lamanya. Sekitar pukul 1.00 pagi barulah beliau merebahkan badannya di atas tempat tidur. Kira-kira pukul 3.00 pagi, beliau bangun lagi untuk berwirid selama satu jam.

Lebih kurang satu jam sebelum Subuh beliau mandi. Biasanya, air mandinya disediakan oleh murid-muridnya. Cara mandinya juga mempunyai cara tersendiri, Setiap gayung air yang disiramnya, diiringi dengan bacaan doa. Siraman air sekurang-kurangnya 40 gayung.

Selain hal-hal yang tersebut, biasanya murid-muridnya menyediakan kopi yang asli, telur ayam kampung dan madu asli. Semuanya beliau adun dalam air panas. Menurut beliau, amalan tersebut diamalkannya sejak muda lagi dan khasiatnya supaya badan tidak lemah.

Menurut keterangan anaknya Drs. Haji Abdul Malik, sepanjang pergaulannya dengan beberapa orang ulama di Banjar, Kalimantan Selatan, beliau tidak berjumpa cara-cara melakukan amalan-amalan dengan rutin atau istiqamah seperti yang dikerjakan oleh orang tuanya itu, bahkan tidaklah berlebihan jika dikatakan bahawa bidang penguasaan ilmu Islamnya juga sangat sukar untuk dicari gantinya.

Segala yang penulis sebutkan di atas mungkin ada benarnya, kerana umur beliau ketika itu telah mencecah lebih 70 tahun. Penulis pernah mengikutnya berjalan kaki sejauh 8 km ke tempatnya mengajar. Beliau berjalan dengan laju tanpa berhenti walaupun sekejap.

Karya dan keturunan

Karya yang sempat dihasilkannya hanya sebuah, iaitu Qawaninul Mubtadi fil Fiqh yang diselesaikan pada 22 Zulhijjah 1353 Hijrah/27 April 1935 Masihi. Kandungannya membicarakan tentang fikah dalam bentuk soal jawab. Ia dicetak oleh Mathba'ah al-Masawi, 14 Ulu Palembang.

Abdur Rahman Kelantan berkahwin dua kali. Perkahwinan pertamanya di Kampung Semperiuk, Sambas, memperoleh seorang anak bernama Haji Aziqqi. Beliau memperoleh pendidikan Universiti Al-Azhar, Mesir dan selanjutnya menjadi pensyarah di sebuah universiti di Banjar. Haji Aziqqi meninggal dunia di Banjar. Semua anaknya berada di Banjar, Kalimantan Selatan. Perkahwinan kedua di Mempawah, memperoleh dua orang anak lelaki dan tiga perempuan. Antara anak-anaknya dengan isteri di Mempawah ialah Drs. Abdul Malik yang telah meninggal dunia. Jawatan yang pernah disandangnya ketika hidupnya ialah Kepala Kantor Urusan Wilayah Propinsi Kalimantan Barat di Pontianak. Anak perempuan Abdur Rahman yang bernama Mahfuzah berkahwin dengan Ustaz Hasan Basri, yang aktif memimpin Thariqat Naqsyabandiyah Muzhhariyah.

Antara murid-murid Abdur Rahman yang masih aktif hingga sekarang ialah Ustaz Haji Zainal Arifin bin Ahmad, Ketua Majelis Ulama Daerah Tingkat II Kabupaten Pontianak di Mempawah. Murid beliau pula ialah Drs. Haji Bujang Rasni, Kepala Pondok Pesantren Usuluddin di Singkawang.

Nukilan dan sedikit tambahan dari artikel Syeikh Wan Mohd Saghir 10/05/2004