Kebanyakan artikel disini adalah karya Al-Marhoum Tuan Guru Syeikh Wan Mohd Shaghir Abdullah R.A cucunda kepada Tuan Guru Syeikh Ahmad Al-Fathanie, juga dari akhbar2 nasional yang lain dan laman2 web yang bertebaran di alam maya juga disaduri macam2 hikayat,riwayat,kaifiat dan khasiat keemasan saya himpun dan susun sebagai koleksi peribadi dan bagi tatapan dan santapan rohani buat teman-teman yang sudi...himpunan artikel2 terbaru saya sekarang lebih muyul kepada informasi kesihatan ala muslim-jawi kearaban..... dan saya mula berjinak2 dengan jualan secara online produk kesihatan muslim, khasnya peralatan bekam (Set cawan, jarum dan pen bekam) dan khidmat pembekaman, Sudi-sudilah ziarah dan sudikan tinggal komentar anda. TQ
Memaparkan catatan dengan label Ulama Pahang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ulama Pahang. Papar semua catatan

Selasa

TUAN GURU HAJI UTHMAN GURU MAT KILAU PAHLAWAN PAHANG

Utsman Senik - Mufti Pahang selama 20 tahun
Nama lengkapnya ialah Tuan Guru Haji Utsman bin Haji Senik bin Haji Ibrahim bin Haji Salim. Diriwayatkan bahawa beliau adalah keturunan Bugis. Tetapi jika diperhatikan nama ayahnya Haji Senik, menurut lazimnya nama Senik digunakan oleh masyarakat di Patani dan tidak pernah digunakan oleh orang Bugis. Namun, dengan pasti dapat diketahui bahawa Haji Senik mahupun ayahnya Haji Ibrahim , ayah dan datuk beliau meninggal dunia di Kampung Gaung Pendik, Kelantan Darul Naim. Sedangkan yang bernama Haji Salim moyang beliau pula meninggal dunia di Temasik. Tahun kelahiran Haji Utsman belum diketahui dengan pasti. Beliau meninggal dunia di Kampung Ketapang, Pahang Darul Makmur pada 12 Ramadan 1336 Hijrah/21 Jun 1918 Masihi)

PENDIDIKAN

Utsman dipercayai mendapat pendidikan awalnya di Kelantan Darul Naim, terutama daripada ayahnya atau datuknya. Pendidikan tentang keIslaman secara mendalam dilanjutkan ke Pondok Bendang Daya, Patani daripada Sheikh Abdul Qadir (Tok Bendang Daya II) bin Sheikh Haji Wan Mustafa al-Fathani. Selain itu beliau mempelajari ilmu Arabiyah seumpama ilmu nahwu, sharaf dan lain-lain, asas tauhid, fikah dan tasawuf. Beliau juga mempelajari ilmu hikmat yang dibangsakan kepada Imam al-Buni seperti tersebut dalam Syamsul Ma'arif al-Kubra, Mujarrabat dan lain-lain.

Dipercayai bahawa Uthman belajar langsung kepada Syeikh Haji Wan Mustafa al-Fathani, pengasas Pondok Bendang Daya, dan beliau pula adalah seorang hulubalang Patani yang sangat handal. Syeikh Haji Wan Mustafa al-Fathani adalah sahabat Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Kedua-duanya bersama Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani ikut dalam satu peperangan besar ketika Kedah dan Patani melawan Siam.

Ilmu hikmat tersebut sangat berguna untuk menghadapi cabaran zamannya, kerana pada zaman itu orang ramai masih menghandalkan kekuatan fizikal berupa pencak silat untuk menghadapi pergaduhan. Permusuhan seringkali terjadi bukan sahaja terhadap sesama manusia tetapi juga dengan haiwan seumpama harimau, ular besar, buaya dan sebagainya.

Ilmu hikmat itulah yang telah dipergunakan oleh Tuan Guru Haji Utsman Pahang sewaktu beliau membuka hutan membuat perkampungan. Kampung yang dibuka itulah yang dikenali dengan nama Kampung Ketapang yang terletak di Pekan, Pahang. Menurut ceritanya, ketika membuka hutan tersebut binatang buas memang tunduk kepada beliau.

Seiring dengan mempelajari ilmu hikmat, Utsman juga mendalami ilmu perubatan tradisional. Beliau pandai membuat berbagai-bagai jenis makjun. Semua ilmu tersebut diperoleh daripada Tok Bendang Daya II al-Fathani tersebut. Setelah itu beliau melanjutkan pelajarannya ke Mekah dan belajar kepada Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, guru thala'ah kitabnya di bawah bimbingan Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani dan Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman al-Kalantani. Sungguhpun Syeikh Ahmad al-Fathani jauh lebih muda daripadanya, Utsman mendalami nahwu dengan menggunakan kitab Tashil Nailil Amani kepada pengarangnya, iaitu ulama Patani tersebut. Kitab Tashil Nailil Amani itulah yang beliau ajar hinggalah beliau menjadi Mufti di Pahang.

AKTIVITI DI PAHANG

Dari Mekah Utsman langsung menuju ke Pulau Tawar, Pahang. Sewaktu di Pulau Tawar beliau tidak memperlihatkan dirinya sebagai seorang ulama kerana beliau bergaul dengan orang-orang kebanyakan. Pada peringkat awal dakwahnya, beliau hanya memperlihatkan kebolehan dalam bidang ilmu hikmat. Pada suatu ketika Utsman pernah mengeluarkan sebuah kapal yang telah karam. Pada kesempatan lain beliau pernah didatangi buaya ganas yang telah memakan manusia sehingga buaya tersebut dapat dibunuhnya. Pada kali yang lain pula beliau pernah menangkap harimau buas yang selalu mengancam ketenteraman manusia dan binatang ternakan.

Melihat hal-hal pelik yang menyalahi adat itulah, maka Mat Kilau bin Imam Rasu @ Tok Gajah pahlawan Pahang yang tersohor. Ibu beliau adalah Mahda iaitu anak kepada Tok Kaut Burau Sheikh Othman sejak kecil diserahkan oleh kedua-dua orang tuanya kepada Tuan Guru Haji Utsman untuk diajar berbagai-bagai ilmu fardu ain. Umur Mat Kilau sama dengan anak sulungnya, Haji Juned.

Setelah masyarakat mengetahui bahawa Utsman adalah seorang ulama, maka ramai yang berminat untuk menuntut ilmu kepada beliau. Sehingga Sultan Pahang ketika itu, Sultan Ahmad berkenan melantik beliau sebagai Mufti Kerajaan Pahang Darul Makmur. Sekali gus beliau menjadi orang terkemuka di Kerajaan Pahang, mengajar kaum keluarga Diraja Pahang di istana, selain mengajar orang awam. Beliau menjadi Mufti Pahang selama 20 tahun hingga meninggal dunia dalam tahun 1918 Masihi.

Diriwayatkan bahawa Utsman menjadi mufti selama itu dalam tiga pemerintahan Sultan Pahang iaitu Sultan Ahmad, Sultan Mahmud dan Sultan Abdullah. Selain sebagai mufti, Utsman juga mengasaskan pengajian pondok. Lokasi pondok pengajian, surau dan rumah Utsman terletak di Kampung Ketapang Tengah. Setelah Utsman meninggal dunia pada tahun 1918 Masihi dalam usia hampir 100 tahun, pondok tersebut diteruskan oleh dua orang anaknya.

Perlu juga dicatat bahawa pondok yang diasaskan oleh Utsman di Kampung Ketapang Tengah, Pekan Pahang tersebut adalah pondok pengajian menurut sistem pondok cara Patani yang pertama sekali dalam Kerajaan Pahang Darul Makmur. Pada tahun 1922 Masihi, pondok tersebut berubah sistem menjadi pengajian madrasah. Setelah berbentuk madrasah, bantuan pembiayaan diterima daripada seorang saudagar Arab bernama Habib Hasan al-Attas dan madrasah tersebut dinamakan Madrasatul `Arabiyah Islamiyah Al-Attas. Pada tahun 1966 Masihi, pondok pengajian bekas peninggalan Mufti Haji Utsman itu dijadikan Sekolah Menengah Agama Kerajaan Negeri Pahang. Guru Besarnya yang pertama ialah Ustaz Abdul Qadir Kamaluddin, cucu beliau.

Sewaktu Utsman menjadi Mufti Pahang, beliau bergerak cergas membawa ulama-ulama terkenal dari luar dengan tujuan menambah semangat anak tempatan mempelajari agama Islam. Antara ulama besar terkenal yang pernah dijemput datang ke Pahang ialah gurunya Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani. Menurut riwayatnya, ulama tersebut datang ke Terengganu pada tahun 1912 Masihi atas permintaan muridnya, Sultan Zainal Abidin III, Sultan Terengganu. Kedatangan beliau ke Terengganu itu dimanfaatkan oleh semua kerajaan di Semenanjung termasuk Pahang atas kehendak Mufti dan Sultan Pahang sendiri.

Utsman sangat mengasihi gurunya dan bersikap tawaduk kepadanya sehingga beliau mengerahkan murid-muridnya menandu dan mengayuh sampan ketika menjemput dan menghantar pulang Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani itu. Ketika itu perjalanan masih banyak menggunakan perjalanan darat dengan berjalan kaki dan mengharung sungai. Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani berada di Pekan Pahang kira-kira sebulan sahaja, namun dalam waktu singkat itu telah dipergunakan oleh Utsman untuk mempelajari ilmu tafsir al-Quran bagi dirinya sendiri. Sedangkan ilmu-ilmu fardu ain lainnya beliau bukakan kepada masyarakat untuk bertanya langsung kepada ulama besar dunia Melayu yang datang dari Mekah itu.

MURID-MURIDNYA

Adapun murid-murid Utsman yang menjadi tokoh terkenal antaranya ialah:

1. Tuan Guru Haji Daud, ketika hidupnya banyak mengajar masyarakat. Beliau berasal dari Patani dan ayah kepada ibu Tun Abdul Razak (Perdana Menteri Malaysia yang kedua).

2. Haji Mat Daud bin Zainal Abidin. Beliau pernah menjadi Qadi Besar Pahang.

3. Lebai Yusof pernah menjadi Qadi Kuantan.

4. Haji Abu Bakar (Datuk Seri Penggawa) bin Haji Abdul Halim (Imam Perang Indera Mahkota).

5. Mat Kilau, Pahlawan Melayu yang terkenal sangat memusuhi penjajah Inggeris.

Dengan mengetahui bahawa Haji Utsman bin Haji Senik, Mufti Pahang ini adalah guru kepada sebahagian besar para tokoh di Pahang termasuk Mat Kilau, ia dapat menambah pengetahuan kita betapa hebatnya peranan ulama silam dalam membina umat di negara ini. ia juga menambah maklumat sejarah, terutama mengenai Mat Kilau yang selama ini kebanyakan para penulis tidak menyebut peranan guru dan ayah angkatnya, iaitu Utsman bin Haji Senik, Mufti Pahang yang sangat berpengaruh dalam lingkungan masyarakat Pahang.

PENULISAN

Utsman bin Haji Senik tidak banyak menghasilkan karangan, yang diketahui hanya dua buah, iaitu:
1. Majliatul Mushalli yang pernah dicetak dengan huruf batu di Singapura. Penulis hanya diperlihatkan oleh Ustaz Haji Abdul Qadir bin Kamaluddin, beberapa lembaran sahaja kerana halaman yang beliau miliki ternyata banyak yang hilang.

2. Kitab Perubatan. Kitab perubatan secara tradisional susunan beliau ini tidak dijumpai lagi. Namun sebagai kesan peninggalan beliau, terkenal suatu makjun yang dinamakan Makjun Telor. Beberapa orang anak cucu beliau masih mengusahakan pembuatan makjun tersebut.

KETURUNAN

Utsman bin Haji Senik berkahwin dua kali. Perkahwinan pertamanya dengan Syarifah berasal dari Kelantan. Perkahwinan ini dianugerahkan beberapa orang anak; 1. Haji Juned. Beliau adalah sahabat Mat Kilau ketika kecilnya. 2. Haji Jamaluddin (meninggal dunia di Mekah) dan 3. Haji Kamaluddin.

Haji Juned pula memperoleh beberapa orang anak. Antaranya, yang men- jadi tokoh masyarakat ialah: Abdul Basit, menjadi guru Kulliyatul Lughah wad Din Sultan Abu Bakar (sekarang Sekolah Tinggi Agama), Dr. Su'udi yang ketika hidupnya menjadi Pensyarah Bahagian Syariah di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Haji Kamaluddin pula memperoleh anak bernama Ustaz Haji Abdul Qadir, bekas guru Kulliyatul Lughah wad Din Sultan Abu Bakar. Beliau pula pernah bertugas sebagai Pemeriksa Hal Ehwal Agama Pahang.

Utsman bin Haji Senik berkahwin kali kedua dengan seorang wanita berasal dari Pahang bernama Naubah, iaitu anak saudara kepada isteri Khatib Rasu atau Imam Perang Indera Gajah. Perkahwinan keduanya ini bererti menjalin tali persaudaraan antara keluarga pembesar Pahang dengan ulama.

Artikel dimabil dari karya S.W.Md Saghir 21/06/2004

Rabu

CICIT TOK JANGGUT GURU SULTAN PAHANG

Syeikh Abdul Mubin Al-Jarimi Al-Fatani - Guru Sultan Pahang
Nama lengkapnya ialah Syeikh Syihabuddin Abu Ahmad Abdul Mubin bin Syeikh Muhammad Thaiyib bin Syeikh Abbas bin Syeikh Muhammad Jailani (gelar Tok Janggut) bin Masari bin Hamzah bin Abdul Mubin bin Abdul Jabbar Syah bin Muhammad Arifin Syah al-Jarimi al-Fathani. Selanjutnya disingkatkan dengan Syeikh Abdul Mubin al-Jarimi al-Fathani.

Beliau dilahirkan di Kampung Jerim, Patani pada 15 Rabiulawal 1303 Hijrah/1885 Masihi. Dan meninggal dunia pada waktu Subuh hari Jumaat tanggal 14 Syaaban 1367 Hijrah/20 Ogos 1948 Masihi di Kuantan, Pahang. Dikebumikan pada pukul 12.00 tengah malam di Perkuburan Beserah, Kuantan, Pahang, dekat dengan Maqam Tuan Wok.

Syeikh Muhammad Arifin Syah, iaitu datuk neneknya adalah di antara ulama peringkat awal yang datang ke Patani Darus Salam. Beliau digelar juga dengan Tok Kelupang. Selain itu sebagai seorang ulama dan ketua pemerintahan di Cabang Empat, Patani.

PERHUBUNGAN KELUARGA

Dalam perhubungan silsilah ulama yang diceritakan ini, terdapat empat nama ulama yang bernama Abdul Mubin. Pertama, Syeikh Abdul Mubin bin Abdul Jabbar Syah bin Muhammad Arifin Syah al-Jarimi al-Fathani. Syeikh Abdul Mubin yang pertama ini memperoleh anak bernama Syeikh Hamzah. Syeikh Hamzah memperoleh anak bernama Syeikh Masari. Syeikh Masari memperoleh anak tiga orang iaitu, 1. Syeikh Abdul Mubin, 2. Syeikh Abdur Rahman, dan 3. Syeikh Muhammad Jailani.

Ada pun Syeikh Muhammad Jailani (anak ketiga) memperoleh lima orang anak, iaitu 1. Syeikh Abdul Mubin, 2. Syeikh Muhammad Shalih, 3. Syeikh Abbas, 4. Muhammad Yunus, dan 5. Syeikh Maula. Syeikh Abdul Mubin (anak pertama) memperoleh 11 orang anak, di antaranya Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok, Syeikh Abdullah (penyusun kitab Tanbihul Ghafilin dalam bahasa Melayu, selengkapnya buku Manhalush Shafi). Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok adalah guru kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, ulama dunia Melayu yang sangat terkenal. Syeikh Abbas (anak ketiga) memperoleh anak bernama Syeikh Muhammad Thaiyib. Syeikh Muhammad Thaiyib memperoleh anak bernama Syeikh Abdul Mubin al-Jarimi al-Fathani, guru kepada Sultan Ahmad al-Mu'azzam Syah, Sultan Pahang, iaitu ulama yang sedang dibincangkan ini.

PENDIDIKANNYA

Pendidikan asasnya diperoleh dari lingkungan keluarga sendiri yang secara bersambung mulai dari pihak ayah dan ibunya hingga ke atas adalah orang-orang yang alim dalam ilmu-ilmu keIslaman. Syeikh Abdul Mubin al-Jarimi al-Fathani mengikuti pengajian sistem pondok di Pondok Tok Raja Haji, Jambu, Patani dalam tempoh yang lama. Setelah memperoleh ilmu yang banyak menurut pengajian sistem pondok Patani, beliau melanjutkan pelajarannya ke Mekah dan berguru kepada Syeikh Ahmad al- Fathani kerana Syeikh Ahmad al-Fathani tetapi hanya sekejap kerana ulama yang terkenal itu meninggal dunia (1325 Hijrah/1908 Masihi).

Selepas itu Syeikh Abdul Mubin mencari guru-guru yang lain sehingga akhirnya belajar kepada Syeikh Mukhtar bin `Atharid Bogor. Setelah pulang dari Mekah beliau memperdalam ilmu pula kepada Tok Kenali dan Tok Kelaba, kedua-duanya adalah peringkat abang kepadanya sewaktu sama-sama belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Sebelum Syeikh Abdul Mubin pindah ke Kampung Beserah, Pahang, beliau pernah merantau ke beberapa tempat selain memperdalam ilmu pengetahuan, sekali gus menyebarkan ilmu-ilmu keIslaman yang telah dikuasainya.

AKTIVITI, KARYA DAN PEMIKIRAN

Minat Syeikh Abdul Mubin untuk menyebarkan ilmu pengetahuan melalui media cetak yang ditanamkan oleh gurunya Syeikh Ahmad al-Fathani kepadanya sangat berkesan. Syeikh Abdul Mubin tahu benar peristiwa pelantikan yang dilakukan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani kepada Raja Ali Kelana dan Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani untuk mengelolakan media cetak itu; masing-masing di Riau dan Singapura ditugaskan pada Raja Ali Kelana dan di Kota Bharu, Kelantan ditugaskan pada Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani.

Beliau sendiri walaupun tidak melalui pelantikan rasmi oleh gurunya, namun berusaha bergerak mendirikan Mathba'ah al-'Ubudiyah al-Fathaniyah di Patani. Akan tetapi oleh sebab pengetahuan khusus beliau mengenainya kurang memadai, maka usahanya di Patani itu telah gagal. Beliau kemudiannya terpaksa berpindah ke Singapura mendekati sahabat-sahabatnya keturunan Diraja Riau, yang juga bekas murid Syeikh Ahmad al-Fathani, yang telah berhasil mendirikan Mathba'ah Al-Ahmadiah Singapura cawangan Syarkah Ahmadi & Co. Midai. Oleh kerana itulah beberapa buah karya beliau pada peringkat awal dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah Singapura. Selepas beliau merasa pengetahuannya dalam dunia percetakan dan dunia perniagaan sudah cukup, beliau mengorak langkah berhijrah ke Pahang.

Di Pahang beliau mulai mengajar ilmu-ilmu Islam kepada masyarakat dengan cara berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain. Oleh kerana pengetahuan Islamnya yang luas, Sultan Pahang sendiri berhasrat melantiknya sebagai mufti tetapi beliau menolaknya. Beliau hanya bersedia menjadi guru kepada keluarga Sultan Pahang. Selain mengajar masyarakat sekeliling dan keluarga istana Sultan Pahang, beliau juga menyusun beberapa buah risalah dan kitab.

Karya-karyanya ada yang disusun di atas kehendaknya sendiri dan ada pula di atas kehendak Sultan Pahang. Dalam masa yang sama beliau meneruskan cita-cita membangun media cetak yang pernah diusahakannya tetapi gagal sewaktu berada di Patani dulu. Percetakannya di Pahang dinamakan sebagai Mathba'ah al-'Ubudiyah al-Fathaniyah al-Kainah, Beserah, Pahang.

Di antara karya beliau yang berada di dalam simpanan penulis adalah sebagaimana tersenarai di bawah ini:

1. Najatul Ikhwan fima Yahshulu bihil Islam wal Iman, diselesaikan ada 12 Syaaban 1337 Hijrah/12 Mei 1919 Masihi di Pahang Darul Amani (istilah beliau, padahal yang umum dipakai sekarang ialah Pahang Darul Makmur). Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah al-Kainah Singapura, 50 Minto Road, 1343 Hijrah/1924 Masihi. Halaman muka dinyatakan, `Diterjemahkan ini kitab dengan titah yang maha mulia al-Mu'tasim Billah as-Sultan `Abdullah al-Muzaffar Syah ibni al-Marhum as-Sultan Ahmad al-Mu'azzam Syah Pahang'.

2. Fat-hul Majid fi `Ilmit Tauhid, diselesaikan pada 20 Safar 1342 Hijrah/1923 Masihi. Cetakan kedua oleh Mathba'ah al-'Ubudiyah al-Fathaniyah, Beserah, Kuantan, Pahang, 1356 Hijrah/ 1937 Masihi.

3. Tabshiratul Ikhwan fi Tajwidil Quran, diselesaikan 22 Zulhijah 1342 Hijrah/1923 Masihi di Pahang Darul Amani. Cetakan kedua oleh Mathba'ah al-'Ubudiyah al-Fathaniyah al-Kainah bin Firdaus al-Fahamiyah, 1356 Hijrah/1937 Masihi. Kitab ini pernah dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah Singapura tahun 1346 Hijrah/1927 Masihi.

4. `Umdatul Hukkam li Ta'dilil Ahkam, diselesaikan pada tahun 1358 Hijrah/1939 Masihi. Juzuk pertama cetakan pertama oleh Mathba'ah al-`Ubudiyah al-Fathaniyah al-Kainah bil Bashrah al-Fahamiyah al-Mahmiyah, 1359 Hijrah/1940 Masihi. Kata pengantar Sultan Pahang, katanya, ``Adalah kitab `Umdatul Hukkam li Ta'dilil Ahkam ini dengan kehendak beta menanggungkan atas orang yang beta percayai akan dia, iaitu al-Labibun Najib Tuan Haji Wan Abdul Mubin bin Muhammad Thaiyib Fathani, pada menterjemahkan dia ke bahasa Melayu daripada kitab Fiqh asy-Syafi'iyah yang masyhur.''

5. Hadis Suluk lil Umara' wal Muluk, diselesaikan pada 19 Zulhijah 1359 Hijrah/1940 Masihi. Cetakan pertama oleh Mathba'ah al-'Ubudiyah al-Fathaniyah al-Kainah bil Bashrah al-Fahamiyah al-Mahmiyah, 1359 Hijrah/ 1940 Masihi.

6. Safinatun Najah fima Yajibu `alal `Abdi li Maulah, juzuk yang pertama, tanpa disebut tahun selesai penulisan. Cetakan pertama oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 50 Minto Road, Singapura, tanpa kenyataan tahun cetakan.

7. As`adur Rafiq, tersebut pada iklan Natijah Al-Ahmadiah bagi tahun 1345 Hijrah atau tahun 1926-1927 Masihi, halaman 53. Dengan terdapatnya kata pengantar Maulana al-Watsiq Billah as-Sultan Abu Bakar Ri`ayatuddin Mu'azzam Syah ibni al-Marhum Maulana al-Mu'tasim Billah as-Sultan `Abdullah bin as-Sultan Ahmad al-Mu'azzam Syah, Sultan Pahang, pada karya-karya Syeikh `Abdul Mubin al-Jarimi al-Fathani adalah sebagai bukti bahawa beliau adalah seorang ulama yang sangat besar peranan dan pengaruhnya di Kerajaan Pahang.

KETURUNAN

Syeikh Abdul Mubin sepanjang hidupnya pernah berkahwin sebanyak tujuh kali dan meninggalkan 11 orang anak. Perkahwinan pertamanya dengan Hajah Aisyah binti Syeikh, berasal dari Pahang. Beliau memperoleh anak-anak; 1. Ahmad 2. Haji Mahmud, menetap di Betong, Patani. Daripada beliau ini penulis memperoleh pelbagai dokumen mengenai ulama yang diceritakan ini, 3. Hamidah, 4. Salamah, dan 5. Rahmah. Anak-anak beliau daripada isteri yang lain penulis tinggalkan. Ia dapat dirujuk di dalam buku yang telah penulis terjemahkan berjudul Dhiyaul Murid Syeikh Daud Bin Abdullah Al-Fathani.

Nukilan karya agung Syeikh Wan Mohd Saghir r.a dalam utusan melayu bertarikh 12/04/2004