Kebanyakan artikel disini adalah karya Al-Marhoum Tuan Guru Syeikh Wan Mohd Shaghir Abdullah R.A cucunda kepada Tuan Guru Syeikh Ahmad Al-Fathanie, juga dari akhbar2 nasional yang lain dan laman2 web yang bertebaran di alam maya juga disaduri macam2 hikayat,riwayat,kaifiat dan khasiat keemasan saya himpun dan susun sebagai koleksi peribadi dan bagi tatapan dan santapan rohani buat teman-teman yang sudi...himpunan artikel2 terbaru saya sekarang lebih muyul kepada informasi kesihatan ala muslim-jawi kearaban..... dan saya mula berjinak2 dengan jualan secara online produk kesihatan muslim, khasnya peralatan bekam (Set cawan, jarum dan pen bekam) dan khidmat pembekaman, Sudi-sudilah ziarah dan sudikan tinggal komentar anda. TQ
Memaparkan catatan dengan label Ulama Palembang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ulama Palembang. Papar semua catatan

Selasa

SYEIKH MUHAMMAD .AZHARI ULAMA SUFI PALEMBANG

Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani - Penyambung aktiviti ulama Palembang
Koleksi karya Almarhum Sheikh Wan Mohd Saghir.

PENYELIDIKAN awal yang saya lakukan terhadap ulama besar ahli sufi yang berasal dari Palembang, Sumatera Selatan ini dimulai dengan terdapat sebuah kitab berjudul Badi'uz Zaman, karyanya yang disebut oleh Syeikh Ahmad al-Fathani dalam karyanya Al-Fatawal Fathaniyah. Ada satu permasalahan Syeikh Ahmad al-Fathani tidak sependapat dengan Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani itu, iaitu mengenai perbahasan sifat "harus bagi Allah''. Menurut Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani "harus bagi Allah ada empat perkara'', sedangkan menurut Syeikh Ahmad al-Fathani dan pendapat ulama ahli tauhid "harus bagi Allah itu hanya satu sahaja'', iaitu "memperbuat sekalian mungkin atau meninggalkannya ".

Bertahun-tahun saya mencari kitab Badi'uz Zaman karya Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani itu akhirnya diperoleh juga, bahkan banyak lagi karangan beliau selain itu dapat saya kumpulkan. Pada mulanya ada beberapa perkara yang saya ragukan terhadap ulama ini, di antaranya sebuah karyanya yang diselesaikan pada tahun 1259 Hijrah/ 1843 Masehi dan karya beliau yang terakhir disebutkan bahawa diselesaikan dalam tahun 1324 Hijrah/ 1906 Masehi. Memperhatikan tahun yang tersebut itu bererti beliau telah hidup pada zaman Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan masih hidup pula pada zaman Syeikh Ahmad al-Fathani. Bererti daripada penulisan pertama hingga yang terakhir memakan masa sekitar 65 tahun. Mengenai nama beliau pula ada yang ditulis dengan menggunakan Muhammad bin Abdullah al-Azhari al-Falimbani dan yang lain dengan Muhammad Azhari bin Abdullah al-Falimbani. Dalam buku Masuk dan Berkembangnya Islam di Sumatera Selatan, tercatat nama yang lain pula, iaitu Kiyai Haji Kemas Muhammad Azhari atau dikenal juga dengan sebutan Kiyai Syeikh dan Kiyai Pedatukan. Disebutkan juga riwayat yang sangat ringkas mengenainya, "Beliau sangat mendalami ajaran Islam, dan mungkin merupakan orang Indonesia pertama menuntut ilmu serta melakukan pengembaraan ke negeri-negeri Arab, Mesir, Syria, dan India serta negeri-negeri lainnya. Beliau diikuti oleh puteranya iaitu Haji Kemas Abdullah Azhary''(2).

Terakhir sekali biografi yang agak lengkap mengenai anaknya ditulis oleh Syeikh Yasin Padang dalam beberapa buah bukunya banyak dapat menolong ke arah jawapan kemusykilan-kemusykilan penyelidikan terhadap ulama ini.

PENDIDIKAN

Nama lengkapnya As-Shufi as-Syeikh Muhammad Azhari bin Abdullah bin Muhammad Asyiquddin bin Shafiyuddin Abdullah al-'Alawi al-Husaini. Mengenai guru-guru beliau dalam beberapa tempat karyanya ada beliau catatkan di antaranya, "Maka inilah salasilah Thariqat al-Khalwatiyah as-Samaniyah, turun-turun tempat mengambil zikir dan kaifiyatnya bagi Wali Allah yang terlebih takut akan Allah Taala, iaitu Quthbur Rabbani dan arif yang shamadani, guru kita dan penghulu kita, iaitu asy-Syeikh Muhammad bin asy-Syeikh Abdul Karim as-Samani yang telah masyhur. Dan sesungguhnya telah mengambil talqin zikir ini oleh faqir Muhammad Azhari ibnu Abdullah al-Falimbani. Ia mengambil daripada asy-Syeikh Muhammad Aqib bin Hasanuddin al-Falimbani. Ia mengambil daripada asy-Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani. Ia mengambil daripada Quthbul Akwan Saiyidinasy Syeikh Muhammad Saman al-Madani...''

Pada tempat yang lain Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani menyebut Syeikh Ma'ruf bin Abdullah (belum jelas apakah sama dengan Syeikh Abdullah bin Ma'ruf seperti yang tersebut di atas). Selain itu beliau menyebut bahawa menerima Thariqat Qadiriyah kepada Syeikh Muhammad Zainuddin as-Sumbawi. Ia mengambil daripada Syeikh Muhammad Mukrim, Mufti Hamad di Syam. Menurut Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani lagi bahawa Syeikh Muhammad Zainuddin as-Sumbawi itu adalah penyusun kitab Tuhfatul Qudsiyah.

Pada bacaan hadiah al-Fatihah pula disebut beberapa orang ulama, iaitu Syeikh Abdul Lathif Musyarri', Syeikh Abdur Rahman Musyarri', Syeikh Abdullah Amin al-Haji Bastam. Kemungkinan yang beliau sebutkan ini adalah guru-guru beliau, yang beliau sebut sebagai Syaikhuna.

Belajar

Selain sumber asli Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani sendiri seperti yang telah dinukil di atas, daripada sumber Syeikh Yasin Padang pula beliau menyebut nama-nama guru Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani itu. Bahawa beliau belajar kepada ayahnya Syeikh Abdullah. Syeikh Abdullah belajar kepada ayahnya Syeikh Asyiquddin. Syeikh Asyiquddin belajar kepada beberapa orang ulama iaitu Muhammad Murad as-Sandi, Muhammad bin Sulaiman al-Kurdi al-Madani, Muhammad bin Abdul Karim Saman, Abdul Wahhab at-Tantawi, Sa'id bin Hilal al-Makki. Semua ulama tersebut adalah murid kepada Ahmad bin Muhammad an-Nakhali, Abdullah bin Salim al-Basri dan Sayid Muhammad bin Abi Bakar asy-Syibli. Ketiga-tiga ulama ini adalah murid asy-Syamsu Muhammad bin al-'Ala al-Babili.

Kemudian Syeikh Yasin Padang menyebut pula daripada salasilah yang lain, bahawa Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani adalah murid kepada Syeikhah Fatimah binti Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani. Syeikhah Fatimah ini adalah murid ayahnya sendiri, iaitu Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, sanad/salasilah beliau ini ada beberapa jalur, tetapi tidak disebutkan di sini. Daripada salasilah lain Syeikh Yasin Padang menyebut pula bahawa Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani murid kepada Sayid Ahmad bin Muhammad al-Hadhrawi. Beliau adalah murid kepada ayah dan datuknya asy-Syihab Ahmad bin Ahmad al-Mansuri. Beliau murid kepada Sayid Muhammad Murtadha az-Zabidi, Muhammad al-Amir al-Kabir, Abi Abdillah Muhammad bin `Aqilah al-Makki al-Ahdal dan Abdul Ghafur as-Sandi.

Kesimpulan daripada salasilah/sanad di atas dan hasil kajian daripada karya-karya Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani sendiri yang menyebut nama beberapa orang ulama yang berasal dari Palembang, terutama yang menjadi rujukan utama dan pegangan kukuh bagi beliau ialah Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, bahkan Syeikh Muhammad Azhari adalah murid Fatimah anak Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, maka dapat dipastikan bahawa beliau sebagai ulama penyambung aktiviti-aktiviti penulisan ulama Palembang. Pada pandangan dan pendapat saya sesudah Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, Palembang, Sumatera Selatan nampaknya dalam kekeringan ulama yang terjun ke dunia penulisan kitab. Dengan kemunculan Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani yang pertalian keilmuannya mempunyai hubungan dengan ulama-ulama Palembang secara asli, maka dapatlah kita anggap bahawa beliaulah tokoh terbesar ulama Palembang sesudah Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani yang sangat terkenal itu.

KARYA-KARYA DAN PEMIKIRAN

Setakat ini karya-karya Syeikh Muhammad Azhari bin Abdullah al- Falimbani yang telah ditemui ialah:

1. `Atihyatur Rahman fi Bayani Qawa'idil Iman, ditulis pada tahun 1259 H/1843 M. Kitab ini banyak kali dicetak bersama karya gurunya Syeikh Muhammad Zainuddin bin Muhammad Badawi Sumbawi berjudul Sirajul Huda. `Athiyatur Rahman sentiasa dicetak di bahagian tepi Sirajul Huda

2. `Aqaidul Iman li Ma'rifatil Ilahir Rahman, diselesaikan di Mekah, 18 Safar 1309 Hijrah/1891 Masehi. Dicetak dengan huruf batu di Singapura pada 8 Syawal 1319 Hijrah/1901 Masehi, iaitu naskhah yang disalin oleh `Alwi bin Idrus al-'Aidrus.

3. Badi'uz Zaman fi Bayani `Aqaidil Iman, diselesaikan di Mekah, 21 Rabiulakhir 1310 Hijrah/1892 Masehi, cetakan pertama dan ketiga oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah (pertama 1310 Hijrah dan ketiga 1329 Hijrah).

4. Bidayatur Rahman, 1324 Hijrah/1906 Masehi. Pernah dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah, Mekah, 1330 Hijrah/1911 Masehi.

5. Amalan Doa `Ukasyah Bergantung Makna Serta Dengan Syarahnya, tanpa disebutkan tarikh penulisan. Dicetak di tempat Haji Muhammad Sa'id bin Haji Arsyad, Singapura. Cetakan ini diusahakan oleh seorang muridnya Hasan bin Abdusy Syukur.

Tasawuf

Apabila kita mengkaji pemikiran Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani, maka sebahagian besar jalan pemikirannya menjurus kepada pemikiran tasawuf dan sedikit pemikirannya mengenai tauhid. Selain itu dari sudut sastera Melayu beliau juga menggubah beberapa untaian syair. Menurut Syeikh Muhammad Azhari bahawa jalan tetap iman itu ada kalanya mengambil dalil daripada ayat al-Quran, hadis dan pandangan yang membawa kepada `ilmul yaqin', dan adakalanya dengan 'musyahadah' akan `Kamal Sifat-Nya'. Syeikh Muhammad Azhari, memetik pendapat Syeikh Tusi, mengenai martabat orang 'ahli syuhud', yang dihuraikan dengan agak panjang.

KETURUNAN DAN MURID

Mengenai anak Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani yang menjadi ulama terdapat dua sumber dalam karya bahasa Arab. Kedua-duanya ialah tulisan Syeikh Abdullah Mirdad Abul Khair judul Nasyrun Naur waz Zahar. Sumber yang kedua ialah karya Syeikh Yasin Padang dalam Tasyniful Asma' Syuyuhil Ijazah was Sama', juga dalam Bulughul Amani. Syeikh Muhammad Azhari telah mendidik anaknya itu, kemudian menyerahkannya belajar kepada beberapa orang ulama terkenal di Mekah. Anak beliau yang tersebut bernama Syeikh Abdullah Azhari, lahir di Mekah, menurut Syeikh Abdullah Mirdad Abul Khair. Tetapi menurut Syeikh Yasin Padang, bahawa beliau lahir di Palembang, malam Khamis, 18 Syaaban 1279 Hijrah/1862 Masehi. Wafat pada hari Ahad, 16 Zulkaedah 1357 Hijrah/1938 Masehi, dalam usia lebih kurang 78 tahun. Pada masa hidupnya bergiat dalam mengajar di Mekah dan usaha penanganan Syeikh Haji. Keturunan beliau selanjutnya tidak disebut dalam karya kedua-dua penulis yang tersebut, namun sampai pada masa berakhirnya sistem Syeikh Haji di Mekah masih terdapat tanda nama Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani. Ini bererti keturunan beliau masih aktif dalam pengurusan Syeikh Haji di Mekah pada masa itu.

Selain Syeikh Abdullah Azhari sebagai anak, sekali gus adalah muridnya, barangkali ramai murid Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani itu, di antaranya ialah Haji Hasan bin Abdusy Syukur yang berusaha menerbitkan karya beliau. Syeikh Muhammad Azhari al- Falimbani telah menyebarkan Thariqat Sammaniyah-Khalwatiyah di tempat-tempat pengembaraannya terutama sekali di dunia Melayu. Dalam dunia tarbiyah thariqah shufiyah yang dijalankannya, beliau adalah seorang tokoh yang melanjutkan tatacara yang dilakukan oleh Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani. Mengenai Thariqat Qadiriyah nampaknya nama beliau tidak begitu ditonjolkan kerana tenggelam dalam kebesaran kemursyidan Syeikh Ahmad Khathib Sambas.

Al-Fatihah untuk Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani

sumber bicara agama 17/01/2005
______________________________________________________________________________

Ya Allah ampunilah dan berkatikanlah aku dan keluarga ku dengan berkat syeikh Muhammad Azhari al-falimbani ini,kurniakanlah rahmatMu kepada kami dunia akhirat. amin.

Isnin

Sheikh Abdus Shamad Al-Falimbani penulis prolifik


ALLAHYARHAM Wan Mohd. Shagir Abdullah (kanan) berdoa di
pusara yang dipercayai milik Sheikh Abdus Shamad Al-Falimbani.


Koleksi Tulisan Allahyarham: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
Karya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani tidak sebanyak karya sahabatnya, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Ini kerana Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani memperoleh ilmu pengetahuan dalam usia muda dan umurnya juga panjang. Sedangkan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, mahupun Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari umumnya jauh lebih tua daripada Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani bahkan boleh dijadikan ayahnya.

Walau bagaimanapun, Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dan Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari termasuk dalam klasifikasi pengarang yang produktif. Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari terkenal dengan fiqhnya yang berjudul Sabilul Muhtadin.

Sheikh Abdush Shamad al-Falimbani adalah yang paling menonjol di bidang tasauf dengan dua buah karyanya yang paling terkenal dan masih beredar di pasaran kitab sampai sekarang ini ialah Hidayatus Salikin dan Siyarus Salikin. Seluruh karangannya yang telah diketahui umum seperti di dalam carta.

Penjelasan-penjelasan lengkap mengenai karya-karya beliau boleh dirujuk dalam buku berjudul, Sheikh Abdus Shamad Palembang Ulama Shufi dan Jihad Dunia Melayu, pada halaman 96 hingga 148.

Wafat

Sebagaimana telah terjadi kekeliruan beberapa tulisan mengenai tahun kelahiran Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, demikian halnya juga dengan tahun kewafatannya. Perbahasan mengenai kewafatannya adalah dihuraikan seperti yang berikut di bawah ini.

Dr M. Chatib Quzwain menulis dalam kertas kerja dan bukunya berjudul Mengenal Allah Suatu Studi Mengenal Ajaran Tasauf Sheikh Abdus Shamad al-Palimbani, halaman 180-181: Bahawa dalam tahun 1244 H/1828 M dikatakan umur Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani 124 tahun. Baik pendapat Dr. M Chatib Quzwain mahupun pendapat Dr. Azyumardi Azra perlu disanggah berdasarkan fakta sejarah.

Sebelum mengemukakan hujah, selengkapnya penulis salin di bawah ini. Azra menulis, “Meskipun saya tidak dapat menentukan secara pasti angka-angka tahun di seputar kehidupannya, semua sumber bersatu kata bahwa rentang masa hidup Al-Palimbani adalah dari dasawarsa(dekad) pertama hingga akhir abad kedelapan belas.

Al-Baythar menyatakan, Al-Palimbani meninggal setelah 1200/1785. Tetapi kemungkinan besar dia meninggal setelah 1203/1789, iaitu tahun ketika dia menyelesaikan karyanya yang terakhir dan paling masyhur, Sayr Al-Salikin. Ketika dia menyelesaikan karya ini, mestinya umurnya adalah 85 tahun.

“Dalam Tarikh Salasilah Negeri Kedah diriwayatkan, dia terbunuh dalam perang melawan Thai pada 1244/1828. Tetapi saya sukar menerima penjelasan ini, sebab tidak ada bukti dari sumber-sumber lain yang menunjukkan Al-Palimbani pernah kembali ke Nusantara. Lebih jauh lagi, waktu itu mestinya umurnya telah 124 tahun terlalu tua untuk pergi ke medan perang.

“Walaupun Al-Baythar tidak menyebutkan tempat di mana Al-Palimbani meninggal, ada kesan kuat dia meninggal di Arabia”.

Tanggapan dari penulis bahawa sumber dari Al-Baythar yang menyebut tahun kewafatan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani 1200 H/1785 M, seperti yang disebut oleh Dr. Azyumardi Azra itu adalah ditolak.

Dengan disebutkannya bahawa Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani wafat tahun 1200 H/1785 M adalah sebagai bukti bahawa Al-Baythar tidak banyak tahu tentang Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani. Bahkan tulisannya sendiri bertentangan antara satu sama lainnya.

Cuba diperhatikan kalimat Dr. Azyumardi Azra dalam buku yang sama halaman 250, “Al-Baythar meriwayatkan, pada 1201/1787 Al-Palimbani mengadakan perjalanan ke Zabid di mana dia mengajar murid-murid terutama dari keluarga Ahdal dan Al-Mizjadi”.

Bagaimanakah ini boleh terjadi, pada tempat lain Al-Baythar mengatakan Al-Palimbani wafat setelah 1200 H/1785 M. Di tempat yang lain disebutnya Al-Palimbani ke Zabid tahun 1201 H/1787 M. Oleh itu persoalan-persoalan lain yang bersumber dari Al-Baythar mengenai Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani yang menyalahi sumber-sumber yang telah dianggap benar oleh tradisi/mutawatir dunia Melayu adalah ditolak juga.

Sumber wafat 1200/1785 M penulis tegaskan adalah tidak tepat kerana menyalahi dengan tulisan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani sendiri. Kitab-kitab yang dikarang/diselesaikan oleh Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani sesudah tahun 1200 H/1785 M itu ialah Risalah Isra’ wa Mi’raj, yang dicatat oleh Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani sendiri selesai menulisnya pada tahun 1201 H, kira-kira bersamaan 1786/87 M. Umumnya, juga diketahui ialah Siyarus Salikin jilid ke-IV, diselesaikan pada malam Ahad, 20 Ramadhan 1203 H di Taif, kira-kira bersamaan tahun 1789 M.

Pendapat Dr. Azyumardi Azra pada kalimatnya, “Ketika dia menyelesaikan karya ini, mestinya umurnya adalah 85 tahun”, adalah tertolak kerana tahun kelahiran Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani yang dikemukakan oleh kedua-dua sarjana tersebut adalah ternyata salah seperti yang telah disebutkan sebelum ini.

Malahan ramai yang menduga bahawa kewafatan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani tahun 1203 H/1789 M. Penulis memang tidak berani hanya dengan menduga apabila tidak cukup bukti. Walau bagaimanapun penulis tetap menolak tahun wafat Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dalam tahun 1203 H/1789 M yang hanya berdasarkan tahun beliau selesai mengarang Siyarus Salikin itu.

Malah penulis tetap yakin bahawa Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani memang terlibat langsung dalam peperangan di antara Kedah-Patani melawan Siam yang terjadi jauh sesudah tahun 1203 H/1789 M itu. Ini berdasarkan cerita yang mutawatir, dikuatkan sebuah manuskrip salinan Haji Mahmud bin Muhammad Yusuf Terengganu murid Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, telah diketemukan kubur beliau dan lain-lain yang perlu dikaji dengan lebih teliti.

Dr. M. Chatib Quzwain menyebut bahawa kubur Sheikh Abdus Samad al-Falimbani di Palembang, Dr. Azyumardi Azra pula menyebut, “ada kesan kuat dia meninggal di Arabia”, kedua-dua pendapat tersebut bertentangan dengan Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah. Juga bertentangan dengan cerita popular masyarakat Islam di Kedah, di Patani, Banjar, Mempawah/Pontianak dan tempat-tempat lain yang ada hubungan pertalian penurunan keilmuan tradisional Islam dunia Melayu.

Selain itu, bertentangan pula dengan manuskrip Al-Urwatul Wutsqa karya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani yang disalin oleh Haji Mahmud bin Muhammad Yusuf Terengganu, salah seorang murid Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani. Bertentangan pula dengan pembuktian bahawa diketemukan kubur Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani di perantaraan Kampung Sekom dengan Cenak termasuk dalam kawasan Tiba, iaitu di di Utara Patani.

Penulis tidak pasti sumber manakah yang digunakan oleh Dr. Azyumardi Azra yang menyebut, “ada kesan kuat dia meninggal di Arabia” itu. Sedangkan tulisan penulis dalam majalah Dian tersebut sekali-kali tidak merujuk kepada Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah, tetapi ternyata jalan ceritanya adalah sama. Pada waktu itu penulis tidak mengetahui bahawa riwayat tersebut termaktub dalam buku tersebut. Buku tersebut diterbitkan tahun 1968, sedangkan cerita mengenai Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani penulis dengar sejak tahun 1958 lagi.

Kemudian setelah tulisan awal (Dian, 1977) dan tulisan yang kedua (Al-Fathaanah, 1983), kedua-duanya belum begitu banyak dijumpai hujah. Maka tulisan yang seterusnya daripada itu termasuklah tulisan artikel ini, menurut pertimbangan penulis cukup padat dengan pembuktian-pembuktian. Percaya atau tidak terserah kepada penilaian para pembaca yang dapat menggunakan akalnya.

Dalam penyelidikan, apabila pembuktian telah cukup, maka tidak ada alasan untuk kita mempertahankan sesuatu kekeliruan itu. Mahu tidak mahu kita mesti mengikut kebenaran pembuktian. Jika di belakang hari ternyata tulisan penulis keliru, insya-Allah penulis akan mengikut siapa saja yang dapat membetulkannya dengan syarat berdasarkan pembuktian-pembuktian yang cukup kuat pula.

Keturunan

Mengenai keturunan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, maklumat terawal hanya dijumpai dalam karya-karya Sheikh Yasin Padang, bahawa beliau menulis anak Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani bernama Fathimah.

Memperhatikan bahawa ramai ulama Asia Tenggara menerima sanad daripada Fathimah binti Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, bererti beliau ini adalah seorang ulama, walau pun beliau seorang perempuan. Di antara ulama-ulama tanah Jawi sebagai murid Fathimah binti Sheikh Abdus Shamad al- Falimbani ialah Sheikh Azhari bin Abdullah al-Falimbani, Sheikh Nawawi al-Bantani dan ramai lagi.

Walau bagaimanapun sehingga artikel ini ditulis, belum diketahui keturunan Fathimah binti Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani itu, kemungkinan keturunannya berada di Mekah.

Antara kitab karangan Sheikh Abdush Shamad al-Falimbani

1. Zahratul Murid fi Bayani Kalimatit Tauhid, 1178 H/1764 M.

2. Risalah Pada Menyatakan Sebab Yang Diharamkan Bagi Nikah, 1179 H/1765 M.

3. Hidayatus Salikin fi Suluki Maslakil

Muttaqin, 1192 H/1778 M.

4. Siyarus Salikin ila ‘Ibadati Rabbil ‘Alamin, 1194 H/1780 M-1203 H/1788 M.

5. Al-‘Urwatul Wutsqa wa Silsiltu Waliyil Atqa.

6. Ratib Sheikh ‘Abdus Shamad al-Falimbani.

7. Nashihatul Muslimina wa Tazkiratul Mu’minina fi Fadhailil Jihadi wa Karaamatil Mujtahidina fi Sabilillah.

8. Ar-Risalatu fi Kaifiyatir Ratib Lailatil Jum’ah

9. Mulhiqun fi Bayani Fawaidin Nafi’ah fi Jihadi fi Sabilillah

10. Zatul Muttaqin fi Tauhidi Rabbil ‘Alamin

11. ‘Ilmut Tasawuf

12. Mulkhishut Tuhbatil Mafdhah minar Rahmatil Mahdah ‘Alaihis Shalatu was Salam

13. Kitab Mi’raj, 1201 H/1786 M.

14. Anisul Muttaqin, manuskrip dalam simpanan penulis.

15. Puisi Kemenangan Kedah.


Sheikh Abdus Shamad Al-Falimbani wafat sebagai syuhada

(Masjid Al-Mansyur Betawi yang di perbetulkan
arah kiblat oleh Para Wali )

Koleksi tulisan Allahyarham WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

LEMBARAN akhir kitab Siyarus Salikin dinyatakan diselesaikan di Taif pada tahun 1203 Hijrah.
SHEIKH Abdus Shamad al-Falimbani adalah seorang ulama sufi yang agung di Nusantara, beliau sangat anti terhadap penjajah dan ia telah menunjukkan kesanggupan luar biasa untuk berjuang demi ketinggian Islam semata-mata.

Prof. Dr. Hamka menyebut dalam salah satu karangannya, bahawa setelah belajar di Mekah, Sheikh Abdus Shamad Palembang tidak pernah kembali ke tanah airnya Palembang, lantaran bencinya terhadap penjajah Belanda.

Sebagaimana disebutkan bahawa yang sebenarnya menurut khabar yang mutawatir, dan bukti-bukti bertulis bahawa Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani pulang buat kali pertamanya ke Nusantara bersama-sama sahahat-sahabatnya iaitu Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, Sheikh Abdul Wahab Sadenreng Daeng Bunga Bugis, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, dan Sheikh Abdur Rahman al-Masri.

Diceritakan oleh Sheikh Abdur Rahman Shiddiq al-Banjari dalam Syajaratul Arsyadiyah, bahawa gurunya menasihati mereka jika ke Mesir untuk mendalami ilmu pengetahuan, hal itu akan mengecewakan kerana Sheikh Abdus Shamad dan Sheikh Muhammad Arsyad Banjar itu bukan layak menjadi mahasiswa, akan tetapi layak menjadi mahaguru.

Di Mesir adalah sukar mencari ulama yang lebih tinggi pengetahuannya daripada ulama-ulama yang berasal Jawi itu. Tetapi gurunya tidak melarang maksud suci itu, namun gurunya itu menegaskan jika ke Mesir hanya ingin bertemasya melihat keindahan dan peninggalan-peninggalan kuno khas Mesir, hal itu adalah merupakan suatu ilmu pengetahuan perbandingan pula.

Sheikh Abdus Shamad dan kawan-kawan dikatakan sempat ke Mesir tetapi bukan belajar di sana melainkan ingin mengunjungi lembaga-lembaga pendidikan di Mesir ketika itu. Mereka bukan saja ke Kaherah tetapi termasuk beberapa kota kecil, bahkan sampai ke pedalaman dan di hulunya. Banyak madrasah dan sistem pendidikannya menjadi perhatian mereka bahawa mereka bercita-cita menerapkan kaedah Mesir yang agak berbeza dengan kaedah pendidikan di Pattani.

Sekembali dari Mesir, mereka tidak tinggal lama di Mekah mahupun Madinah. Setelah diizinkan oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Karim as-Samman, maka mereka berangkat menuju ke Jeddah. Dari Jeddah mereka menumpang sebuah perahu layar, pulang ke tanah air. Berbulan-bulan di laut sampailah mereka di Pulau Pinang. Mereka kemudian menziarahi Kedah dan Perak, kemudian melalui jalan darat terus ke Singapura.

Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani walaupun telah dekat dengan negerinya Pattani namun beliau tidak pulang tetapi disebabkan semangat setiakawannya, beliau mengikuti teman-temannya ke Singapura.

Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani hanya sampai di Singapura saja, tetapi dalam riwayat lain ada yang mengatakan beliau menghantar sampai ke Betawi. Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dan Sheikh Muhammad Arsyad meneruskan pelayaran ke Betawi (Jakarta).

Setelah di Betawi, pada satu hari Jumaat, mereka sembahyang di Masjid Kampung Sawah Jambatan Lima, Betawi. Walaupun masjid itu telah lama didirikan, menurut Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, dan Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari bahawa adalah arah ke kiblat masjid itu tidak tepat sebagaimana semestinya.

Orang yang hadir dalam masjid itu sangat hairan melihat mereka melakukan solat tahiyatul masjid jauh miring dari seperti apa yang dikerjakan oleh orang lain. Lalu ada yang bertanya dan dijawab oleh mereka bahawa arah kiblat menurut biasa itu adalah tidak tepat, dan yang betulnya seperti yang mereka lakukan dan. Maka, berlaku sedikit salah faham antara mereka dan hadirin tersebut.

Dengan tangkas Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari maju kemuka. Ia berdiri di depan sekali, diangkatkannya tangannya ke arah hadirin majlis Jumaat hari itu, sangat aneh dan ajaib sekali tiba-tiba saja yang hadir itu langsung dapat melihat Kaabatullah ke arah lurus tangan Sheikh Muhammad Arsyad itu. Suasana tenang kembali, tiada siapa berani membantah.

Khalayak ramai maklum bahawa orang-orang yang melakukan solat tahiyatul masjid yang berbeza dengan mereka itu adalah para wali Allah yang ditugaskan Wali Quthub Sheikh Muhammad bin Abdul Karim as-Samman yang terkenal itu. Kononnya, mulai hari Jumaat itu arah kiblat diubah atau diperbetulkan dengan dibuat garis merah sebagai tandanya.

Peristiwa itu akhirnya diketahui penguasa Belanda, selaku kuasa penjajah pada zaman itu. Belanda menangkap Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari, dan Sheikh Abdul Wahab Bugis dan mereka dituduh sebagai pengacau keamanan. Mereka dibawa ke atas sebuah kapal yang sedang berlabuh di Betawi, di atas kapal itulah mereka disoal, dihujani dengan pelbagai pertanyaan yang sukar dijawab. Akan tetapi pihak Belanda sangat mengagumi pengetahuan mereka sehingga setelah tiga hari tiga malam, barulah mereka dibebaskan begitu saja.

Setelah peristiwa itu barulah mereka kembali ke tempat kelahiran masing-masing. Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani pulang ke Palembang, Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari pulang ke Banjar, kemudian Sheikh Abdul Wahab Bugis juga ke Banjar mengikut Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari.

Ramai meriwayatkan cerita yang menarik ketika Sheikh Abdus Shamad berada di negerinya Palembang. Oleh kerana rasa bencinya kepada Belanda, ditambah pula dengan peristiwa di atas kapal itu, beliau bertambah kecewa kerana melihat pihak Belanda yang kafir telah memegang pemerintahan di lingkungan Islam dan tiada kuasa sedikit pun bagi Sultan.

Maka beliau rasa tidak betah untuk diam di Palembang walaupun beliau kelahiran negeri itu. Sheikh Abdus Shamad mengambil keputusan sendiri tanpa musyawarah dengan siapa pun, semata-mata memohon petunjuk Allah dengan melakukan solat istikharah. Keputusannya, beliau mesti meninggalkan Palembang, mesti kembali ke Mekah semula.

Lantaran terlalu anti Belanda, beliau tidak mahu menaiki kapal Belanda sehingga terpaksa menebang kayu di hutan untuk membuat perahu bersama-sama orang-orang yang patuh sebagai muridnya. Walaupun sebenarnya beliau bukanlah seorang tukang yang pandai membuat perahu, namun beliau sanggup mereka bentuk perahu itu sendiri untuk membawanya ke Mekah. Tentunya ada beberapa orang muridnya mempunyai pengetahuan membuat perahu seperti itu.

Ini membuktikan Sheikh Abdus Shamadal-Falimbani telah menunjukkan keteguhan pegangan, tawakal adalah merupakan catatan sejarah yang tidak dapat dilupakan.

Pulang ke nusantara buat kali kedua

Setelah perahu siap dan kelengkapan pelayaran cukup, maka berangkatlah Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dari Palembang menuju Mekah dengan beberapa orang muridnya. Selama di Mekah, beliau bergiat dalam pengajaran dan penulisan kitab-kitab dalam beberapa bidang pengetahuan keislaman, terutamanya tentang tasauf, fikah, usuluddin dan lain-lain.

Untuk menunjukkan sikap antinya kepada penjajah, dikarangnya sebuah buku tentang jihad. Buku yang penting itu berjudul Nasihatul Muslimin wa Tazkiratul Mu’minin fi Fadhail Jihadi fi Sabilillah wa Karamatul Mujtahidin fi Sabilillah.

Kegiatan-kegiatannya di bidang penulisan akan dibicarakan pada bahagian lain.

Di sini terlebih dahulu diceritakan kepulangan beliau ke nusantara untuk kali kedua. Kepulangan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani kali ini tidak ke Palembang tetapi ke Kedah. Saudara kandungnya Sheikh Wan Abdul Qadir bin Sheikh Abdul Jalil al-Mahdani ketika itu ialah Mufti Kerajaan Kedah. Seorang lagi saudaranya, Sheikh Wan Abdullah adalah pembesar Kedah dengan gelar Seri Maharaja Putera Dewa.

Meskipun Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani lama menetap di Mekah, namun hubungan antara mereka tidak pernah terputus. Sekurang-kurangnya mereka berutus surat setahun sekal, iaitu melalui mereka yang pulang selepas melaksanakan ibadah haji.

Selain hubungan beliau dengan adik-beradik di Kedah, Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani turut membina hubungan dengan kaum Muslimin di seluruh Asia Tenggara. Pada zaman itu hampir semua orang yang berhasrat mendalami ilmu tasauf terutama di sektor Tarekat Sammaniyah, Tarekat Anfasiyah dan Tarekat Khalwatiyah menerima ilmu daripada beliau.

Beliau sentiasa mengikuti perkembangan di Tanah Jawi (dunia Melayu) dengan menanyakan kepada pendatang-pendatang dari Pattani, Semenanjung Tanah Melayu, dan negeri-negeri Nusantara yang di bawah penjajahan Belanda (pada zaman itu masih disebut Hindia Belanda).

Ini terbukti dengan pengiriman dua pucuk surat kepada Sultan Hamengkubuwono I, Sultan Mataram dan kepada Susuhunan Prabu Jaka atau Pangeran Singasari Putera Amengkurat IV. Surat-surat tersebut jatuh ke tangan Belanda di Semarang (tahun 1772 M).

Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani telah lama bercita-cita untuk ikut serta dalam salah satu peperangan/pemberontakan melawan penjajah. Namun setelah dipertimbangkan, beliau lebih tertarik membantu umat Islam di Pattani dan Kedah melawan keganasan Siam yang beragama Buddha.

Sebelum perang itu terjadi, Sheikh Wan Abdul Qadir bin Sheikh Abdul Jalil al-Mahdani, Mufti Kedah mengirim sepucuk surat kepada Sheikh Abdus Shamad di Mekah. Surat itu membawa maksud agar diumumkan kepada kaum Muslimin yang berada di Mekah bahawa umat Islam Melayu Pattani dan Kedah sedang menghadapi jihad mempertahankan agama Islam dan watan (tanah air) mereka.

Dalam peperangan itu, Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani memegang peranan penting dengan beberapa panglima Melayu lainnya. Ada catatan menarik mengatakan beliau bukan berfungsi sebagai panglima sebenarnya tetapi beliau bertindak sebagai seorang ulama sufi yang sentiasa berwirid, bertasbih, bertahmid, bertakbir dan berselawat setiap siang dan malam.

Banyak orang menuduh bahawa orang sufi adalah orang-orang jumud yang tidak menghiraukan dunia. Tetapi jika kita kaji beberapa biografi ulama sufi, termasuk Sheikh Abdus Shamad yang diriwayat ini adalah orang-orang yang bertanggungjawab mempertahankan agama Islam dan tanah air dari hal-hal yang dapat merosakkan Islam itu.

Golongan ini adalah orang yang berani mati dalam menegakkan jihad fi sabililah. Mereka tidak terikat dengan sanak keluarga, material duniawi, pangkat dan kedudukan dan sebagainya, mereka semata-mata mencintai Allah dan Rasul dari segala apa pun juga.

Kepulangan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani ke Kedah memang pada awalnya bertekad demi jihad, bukan kerana mengajar masyarakat mengenai hukum-hukum keislaman walaupun beliau pernah mengajar di Mekah. Dipendekkan kisah akhirnya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dan rombongan pun berangkat menuju ke Pattani yang bergelar ‘Cermin Mekah’.

Sayangnya kedatangan beliau agak terlambat, pasukan Pattani telah hampir lemah dengan keganasan Siam.

Sementara itu, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan pengikut-pengikutnya telah mengundurkan diri ke Pulau Duyung, Terengganu untuk menyusun semula langkah perjuangan.

Pattani telah patah dan kekuatan lenyap dengan itu Sheikh Abdus Shamad pun berkhalwat di salah sebuah masjid di Legor. Ada orang mengatakan beliau berkhalwat di Masjid Kerisik yang terkenal dengan ‘Pintu Gerbang Hang Tuah’ itu.

Para pengikut tasauf percaya di sanalah beliau menghilang diri tetapi bagi kalangan bukan tasauf, perkara ini adalah mustahil dan mereka lebih percaya bahawa beliau telah mati dibunuh oleh musuh-musuh Islam.

Mengenai tahun peperangan yang terjadi antara Kedah dengan Siam, dalam Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah menyebut bahawa kejadian tersebut berlaku pada 1244 H bersamaan dengan 1828 M. Sungguhpun demikian, seorang ahli sejarah Kedah, Hj. Wan Shamsuddin, berpendapat bahawa kemuncak peperangan terjadi ialah pada 1254 H/1838 M, iaitu 10 tahun kemudian dari yang disebut oleh Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah itu. Oleh itu, yang mana yang lebih tepat antara 1244 H/1828 M atau 1254 H/1838 M, perlu kepada penyelidikan lanjut.

Kesimpulannya, kembalinya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani untuk kali yang kedua itu adalah juga merupakan tahun kepulangannya beliau ke rahmatullah sebagai seorang ‘syuhada’.

* Gambar Masjid Al-mansyur yang pernah dikunjungi Para Wali dan diperbetul arah kiblatnya oleh Imam Muhammad Arsyad Banjarmasin dan Sheikh Abdus Shamad Al-Falimbani dirintis oleh seseorang dari Kerajaan Mataram bernama Abdul Malik. Abdul Malik adalah putra dari Pangeran Cakrajaya, yang sebelumnya bergabung dengan Tentara Mataram berperang di Batavia. Sumber gambar dari blog gambang

Ahad

Syeikh Abdus Shamad Al-Falimbani ulama sufi penegak jihad

Koleksi tulisan Allahyarham WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
Bahagian (1)

Sejarah mengenai Syeikh Abdus Shamad ini terlalu banyak panjang untuk dibincangkan, sama ada mengenai asal-usul beliau, pendidikan, karya-karya, keturunan dan sebagainya.

Oleh itu, artikel ini merupakan bahagian pertama yang hanya meliputi pengenalan awal mengenai nama ayah dan pendidikan beliau sahaja. Selebihnya akan dibincangkan pada bahagian selanjutnya.

Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, pertama kali penulis perkenalkan dalam majalah Dian bilangan 100, Ogos 1977. Sumber awal yang dibicarakan sebahagian besar adalah berdasarkan cerita yang mutawatir yang didengar di Kepulauan Riau, Patani dan Kalimantan Barat. Yang bersumberkan bahan bertulis hanyalah berdasarkan berbagai-bagai edisi cetakan karyanya, maupun manuskrip simpanan penulis yang dipusakai dari Syeikh Ahmad al-Fathani.

Bahan itulah sebagai dasar utama penulis melakukan penyelidikan sehingga tulisan penulis dimuat dalam majalah Dian itu.

Terdapat banyak kisah yang ditulis oleh sarjana tempatan dan luar negeri tentang ulama yang berasal dari Palembang, Sumatera ini. Antaranya artikel penulis dalam majalah Dian tersebut, Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah karya Muhammad Hassan bin Dato’ Kerani Muhammad Arsyad (Dewan Bahasa dan Pustaka,1968), Syamsuddin bin Siddiq yang membuat tesis tentang Hidayatus Salikin, dan Dr. Mahmud Saedon bin Awang Othman dalam kertas kerjanya untuk Seminar Sufi Peringkat Kebangsaan.

Malahan penulis sendiri menerbitkan sebuah buku kecil berjudul Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani,Shufi Syahid fi Sabilillah (1983).Setelah itu menyusul pula buku Mengenal Allah Suatu Studi Mengenal Ajaran Tasawuf Syeikh Abdus Shamad al-Palimbani oleh Dr.M.Chatib Quzwan(1985). Dan berbagai-bagai buku lain, terakhir sekali buku Jaringan Ulama Timur Tengah dan Kepulauan Nusantara Abad XVII dan XVIII oleh Dr. Azyumardi Azra, tahun 1994.

Bagi penulis keseluruhan buku mengenai Syeikh Abdus Shamad yang diproses oleh para sarjana itu tidak banyak diperoleh bahan baru, kerana apa yang mereka bicarakan hanyalah berdasarkan tulisan yang telah ada dan tidak menemukan karya-karya Syeikh Abdus Shamad yang belum dibicarakan selama ini.

Menurut penelitian penulis, ada yang dibicarakan juga banyak bersimpangsiur dan terdapat banyak kekeliruan. Oleh itu penulis muncul kembali dengan buku Syeikh Abdus Shamad Palembang Ulama Shufi Dan Jihad Dunia Melayu terbitan pertama Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur, 1996. Dalam buku tersebut di beberapa halaman adalah sanggahan dengan tujuan untuk perbandingan, demi lebih meluruskan jalan sejarah yang sebenarnya.

Mengenali nama ayahnya

Terdapat banyak percanggahan berkenaan nama ayah kepada ulama ini. Pada penyelidikan awal, penulis menemui nama orang tua Syeikh Abdus Shamad Falimbani itu adalah Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani dan Faqih Husein al-Falimbani. Maka dalam penyelidikan selanjutnya, penulis jumpai pula nama ayahnya selain Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani dan Faqih Husein al-Falimbani itu. Nama-nama lain itu ialah: Abdur Rahman al-Jawi al-Falimbani. Maklumat ini pertama sekali penulis jumpai hanya pada Hidayatus Salikin terbitan Al-Ahmadiah Press, Singapura, tanpa menyebut tahun cetakan, berdasarkan satu naskhah yang dijumpai di Banjar.

Pada cetakan itu pentashhihnya juga disebutkan ialah Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani sebagaimana cetakan-cetakan lainnya. Sedangkan Hidayatus Salikin terbitan lainnya tidak menyebut nama orang tua Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani itu. Hal ini bersamaan pula dengan manuskrip salin semula judul Zahratul Murid yang terdapat di Pusat Islam Malaysia. Manuskrip Zahratul Murid yang ada dalam simpanan penulis juga menyebut nama orang tuanya Abdur Rahman al-Jawi al-Falimbani.

Tetapi dalam karya beliau judul yang sama, salinan Hj. Muhammad Husein bin Abdul Latif (Tok Kelaba al-Fathani) menyebut bahawa nama orang tua Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani ialah Syeikh Abdullah al-Jawi al-Falimbani, tidak Abdur Rahman al-Falimbani al-Jawi dan tidak pula dua nama yang terdahulu (Faqih Husein al-Falimbani dan Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani).

Manuskrip Zahratul Murid yang tersimpan di Muzium Nasional Jakarta, nampaknya serupa dengan salinan Tok Kelaba al-Fathani, iaitu orang tuanya bernama Abdullah al-Jawi al-Falimbani.

Nama ayah Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani dinyatakan ialah Abdur Rahman al-Jawi al-Falimbani, juga tersebut pada cover cetakan kitab itu oleh Matba’ah at-Taraqqil Majidiyah al-‘Itsmaniyah, Mekah, tahun 1331 H/1912 M, ditashhih oleh Syeikh Idris bin Husein al-Kalantani, iaitu murid kepercayaan Syeikh Ahmad al-Fathani. Dipercayai ada cetakan yang lebih awal dari cetakan ini yang diusahakan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani yang dicetak oleh Matba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah dalam tahun 1300 H/1882 M.

Juga nama ayahnya Abdur Rahman al-Jawi al-Falimbani tersebut pada mukadimah risalah Ilmu Tasauf, manuskrip koleksi Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia. Nama Abdur Rahman al-Jawi al-Falimbani juga disebut pada banyak halaman dalam karya Syeikh Muhammad Yasin bin ‘Isa al-Fadani (Padang) berjudul Al-‘Iqdul Farid min Jawahiril Asanid dan Balughul Amani.

Nama ayah Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani adalah Syeikh Abdur Rahman al-Jawi al-Falimbani, dari sumber Melayu sendiri selain sumber-sumber yang penulis sebutkan di atas. Juga disebut oleh salah seorang murid beliau bernama Haji Mahmud bin Muhammad Yusuf Terengganu, dalam salah sebuah salinan karya Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani. Tokoh tersebut sangat banyak membuat salinan pelbagai judul manuskrip.

Berbeza

Susur galur keturunan Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani sampai saat ini baru dijumpai dua sumber yang agak lengkap walaupun antara kedua- duanya sangat berbeza. Kedua-dua sumber itu ialah: Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah, yang mengemukakan bahawa Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani bin Syeikh Abdul Jalil bin Syeikh 'Abdul Wahhab bin Syeikh Ahmad al-Mahdani.

Dalam Bulughul Maram karya Syeikh Muhammad Yasin Padang pula dijumpai bahawa Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani bin Abdur Rahman bin Abdullah bin Ahmad al-Falimbani. Namun pada beberapa halaman lain oleh pengarang dalam buku yang sama dinyatakan: Syeikh Abdus Shamad bin Abdur Rahman bin Abdul Jalil al-Falimbani. Penulis tidak dapat mengesan dengan pasti apa sebab persoalan ini boleh berlaku, nama ayahnya berbeda-beda dan nama-nama ayah ke ayah pula terjadi demikian seperti yang telah disalinkan di atas.

Nama yang digunakan di makam yang terletak di Tanjung Pauh, Jitra, Daerah Kubang Pasu, Kedah ialah Syeikh Abdul Jalil, bukan nama yang lainnya. Sungguh pun di makamnya memakai nama Syeikh Abdul Jalil, namun jika diperhatikan dengan perbandingan ternyata jumlah maklumat yang menyebut nama ayah beliau Abdur Rahman al-Jawi al-Falimbani lebih banyak dari nama-nama lain seperti yang disebutkan di atas.

Selama ini semua penulis hanya mengenal bahawa di hujung nama Syeikh Abdus Shamad biasa ditambah dengan perkataan ‘al-Falimbani’, iaitu yang dinisbahkan/dibangsakan bahawa beliau berasal dari Palembang. Akan tetapi dalam sebuah manuskrip al-‘Urwatul Wutsqa karya beliau, ternyata beliau menyebut di hujung namanya dengan ‘al-Fathani’.

Pada beberapa halaman al-‘Iqdul Farid, Syeikh Yasin Padang menyebut di hujung nama beliau dengan ‘al-Asyi asy-Syahir bil Falimbani’, yang maksudnya bahawa dinisbahkan/dibangsakan berasal dari Aceh yang masyhur berasal dari Palembang.

Pendidikan

Syeikh Abdus Shamad mendapat pendidikan asas dari ayahnya sendiri, Syeikh Abdul Jalil, di Kedah. Kemudian Syeikh Abdul Jalil mengantar semua anaknya ke pondok di negeri Patani. Zaman itu memang di Patani lah tempat menempa ilmu-ilmu keislaman sistem pondok secara yang lebih mendalam lagi.

Mungkin Abdus Shamad dan saudara-saudaranya Wan Abdullah dan Wan Abdul Qadir telah memasuki pondok-pondok yang terkenal, antaranya ialah Pondok Bendang Gucil di Kerisik, atau Pondok Kuala Bekah atau Pondok Semala yang semuanya terletak di Patani.

Di antara para gurunya di Patani, yang dapat diketahui dengan jelas hanyalah Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Mubin Pauh Bok. Demikianlah yang diceritakan oleh beberapa orang tokoh terkemuka Kampung Pauh Bok itu (1989), serta sedikit catatan dalam salah satu manuskrip terjemahan Al-‘Urwatul Wutsqa, versi Syeikh Abdus Shamad bin Qunbul al-Fathani yang ada dalam simpanan penulis. Kepada Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok itulah sehingga membolehkan pelajaran Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani dilanjutkan ke Mekah dan Madinah. Walau bagaimana pun mengenai Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani belajar kepada Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani itu belum pernah ditulis oleh siapa pun, namun sumber asli didengar di Kampung Pauh Bok sendiri.

Sistem pengajian pondok di Patani pada zaman itu sangat terikat dengan hafalan matan ilmu-ilmu Arabiyah yang terkenal dengan ‘llmu Alat Dua Belas’. Dalam bidang syariat Islam dimulai dengan matan-matan fiqh menurut Mazhab Imam Syafie. Di bidang tauhid dimulai dengan menghafal matan-matan ilmu kalam/usuluddin menurut faham Ahlus Sunah wal Jamaah yang bersumber dari Imam Syeikh Abul Hasan al-Asy’ari dan Syeikh Abu Mansur al-Maturidi.

Setelah Syeikh Abdus Shamad banyak hafal matan lalu dilanjutkan pula dengan penerapan pengertian yang lebih mendalam lagi. Sewaktu masih di Patani lagi, Syeikh Abdus Shamad telah dipandang alim, kerana beliau adalah sebagai kepala thalaah (tutor), menurut istilah pengajian pondok. Namun ayahnya berusaha mengantar anak-anaknya melanjutkan pelajarannya ke Mekah. Memang merupakan satu tradisi pada zaman itu walau bagaimana banyak ilmu pengetahuan seseorang belumlah di pandang memadai, jika tak sempat mengambil barakah di Mekah dan Madinah kepada para ulama yang dipandang Wali Allah di tempat pertama lahirnya agama Islam itu.

Keturunan

Mengenai pengajiannya di Mekah dan Madinah sumber yang paling pertama diketahui ialah tulisan Syeikh Abdur Rahman Shiddiq, keturunan Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, ditulisnya dalam Syajaratul Arsyadiyah. Menurut beliau, bahawa Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, belajar di Mekah sekitar 30 tahun dan di Madinah 5 tahun bersama kawan-kawannya. Mereka ialah Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari penyusun kitab Sabilul Muhtadin yang terkenal, Syeikh Abdul Wahab Pang-kajene (Sidenreng Daeng Bunga Wardiah) Bugis, Syeikh Abdur Rahman al-Masri, Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari, Syeikh Muhammad Ali Aceh, Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan ramai lagi.

Sahabat-sahabat Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani sewaktu melanjutkan pelajaran di Mekah selain yang tersebut itu sangat ramai, di antara nama mereka telah penulis sebut dalam buku Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari Pengarang Sabilal Muhtadin. Mengenai para gurunya di Mekah, selain yang diketahui umum, dalam sebuah manuskrip disebutkan bahawa Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani pernah belajar daripada Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin Aceh di Mekah. Para ulama besar yang pernah mendidik Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani selama berada di Mekah dan Madinah selain yang tersebut dapat dirujuk kepada buku penulis Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari ... tersebut di atas, lihat hlm. 14-15, sanad-sanadnya dari hlm. 16 sampai 27. Namun masih ada beberapa guru Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani yang berasal dari Palembang dan sanad beberapa ilmu yang tidak tersebut dalam buku penulis itu. Hal ini kerana ada beberapa ilmu yang mereka tidak belajar secara bersama-sama.

Menurut Syeikh Yasin Padang dalam beberapa bukunya yang telah disebutkan, bahawa hampir semua ilmu nampaknya Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani menerima dari al-Mu’ammar Aqib bin Hasanuddin bin Ja’far al-Falimbani. Ulama yang berasal dari Palembang ini tinggal di Madinah. Beliau berguru dengan ramai ulama, namun di antara gurunya termasuklah ayah saudaranya bernama Thaiyib bin Ja'far al-Falimbani. Thaiyib bin Ja’far belajar dengan ayahnya Muhammad bin Badruddin al-Falimbani.

Tulisan Syeikh Yasin Padang yang mengatakan Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani belajar dengan Syeikh Muhammad Aqib bin Hasanuddin al-Falimbani itu bertentangan dengan tulisan Syeikh Muhammad Azhari ibnu Abdullah al-Jawi al-Falimbani. Kenyataan ulama ini ialah, “... telah mengambil talqin zikir ini oleh faqir Muhammad Azhari ibnu Abdillah al-Falimbani. [Ia] mengambil daripada asy-Syeikh Abdullah bin Ma’ruf al-Falimbani, [Ia] mengambil daripada asy-Syeikh Muhammad Aqib bin Hasanuddin al-Falimbani, [Ia] mengambil daripda asy-Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani ...”.

Jika kita berpegang kepada Syeikh Yasin Padang bererti Syeikh Abdus Shamad adalah murid Syeikh Muhammad Aqib. Sebaliknya jika kita berpegang kepada Syeikh Muhammad Azhari bin Abdullah bin Muhammad Asyiquddin bin Safiyuddin Abdullah al-Alawi al-Husaini al-Falimbani, bererti Syeikh Abdus Shamad adalah guru kepada Syeikh Muhammad Aqib bin Hasanuddin al-Falimbani.