Kebanyakan artikel disini adalah karya Al-Marhoum Tuan Guru Syeikh Wan Mohd Shaghir Abdullah R.A cucunda kepada Tuan Guru Syeikh Ahmad Al-Fathanie, juga dari akhbar2 nasional yang lain dan laman2 web yang bertebaran di alam maya juga disaduri macam2 hikayat,riwayat,kaifiat dan khasiat keemasan saya himpun dan susun sebagai koleksi peribadi dan bagi tatapan dan santapan rohani buat teman-teman yang sudi...himpunan artikel2 terbaru saya sekarang lebih muyul kepada informasi kesihatan ala muslim-jawi kearaban..... dan saya mula berjinak2 dengan jualan secara online produk kesihatan muslim, khasnya peralatan bekam (Set cawan, jarum dan pen bekam) dan khidmat pembekaman, Sudi-sudilah ziarah dan sudikan tinggal komentar anda. TQ
Memaparkan catatan dengan label Ulama Pulau Pinang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ulama Pulau Pinang. Papar semua catatan

Sabtu

SHEIKH JALALUDDIN MENDAPAT KEWARGANEGARAAN TURKI

Syeikh Jalaluddin al-Kalatani - Perintis pengajian pondok Seberang Perai
Dari dulu lagi resam ahli ilmu bukan hanya menyebarkan ilmu di kampung halaman, habis merantau mencari ilmu memenuh dada merantau pula menyebar ilmu di dada, begitu jugalah Syeikh Jalaluddin bin Muhammad Yusya' bin Abdul Ghafur al-Jawi al-Kalantani saudara sepupu kepada Tok Wan ALi Kutan r.a yang amat masyur ini merantau ke Mekah dari serambi Mekah ke Seberang Perai merintis titisan ilmu disana, dari titis-titisan yang dicurah sehingga membentuk kolam ilmu yang tak pernah kering, dari kolam sehingga menjadi sungai-sungai yang mengalir deras menghijaukan gurun yang tandus bersama keberkatan yang berpanjangan. Terciptalah pulau-pulau berasal dari busut-busut kecil menjadi tempat berhimpun insan yang dahagakan air madu dari sungai ilmu yang tak pernah kering, itulah ibarat yang mampu ku rungkaikan dalam tulisan ini menggambarkan bagaimana berkatnya ilmu ulama silam.

Allahyarham Syeikh Wan Muhammad Saghir telah menghimpunkan riwayat dan kisah ulama silam untuk renungan dan tenunan umat, semoga beliau berbahagia di alam barzakh. Hari ini 17 May genap setahun sudah keberangkatan Tuan Guru ke alam barzakh, saya tidak dapat hadir ke majlis houl Memperingati Tahun Pertama Kewafatan Syeikh Wan Mohd Shaghir Abdullah A-Riawi Al Fathani, jarak yang jauh menghalang diri ini, terima kasih kepada saudara Khairul Anwar kerana sudi menghampar jemputan. Kepada pembaca yang budiman dan dermawan silalah hadiahkan Al-Fatihah untuk Tuan Guru sebanyak dan seikhlas mungkin.

DARI KOLEKSI ALMARHOUM SYEIKH WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

MAKLUMAT sebelum ini diriwayatkan bahawa dua orang ulama telah membuka pondok pengajian di Sungai Dua, Seberang Perai. Kedua dua ulama itu ialah Syeikh Abdus Shamad bin Abdul Malik Kelombong berasal dari Jeringa, Patani dan Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani, atau digelar dengan Tuan Minal. Penyelidikan terkini didapati bahawa sebelum kedatangan kedua-dua ulama itu yang membuka pondok pengajian di Sungai Dua, Seberang Perai itu ialah seorang ulama berasal dari Kelantan. Beliau ialah Syeikh Jalaluddin bin Muhammad Yusya' bin Abdul Ghafur al-Jawi al-Kalantani.

Selanjutnya sama ada pertalian nasab ke atas mahu pun keturunan ke bawah Syeikh Jalaluddin al-Kalantani menyentuh kekeluargaan besar para ulama terkenal. Di antara ulama yang ada hubungan kekeluargaan itu ialah Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman bin Abdul Ghafur al-Kalantani, Syeikh Abdus Shamad Kelombong, Tuan Minal al-Fathani, Syeikh Ahmad al-Fathani, Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani, Haji Abdullah Fahim, Syeikh Usman Jalaluddin Penanti, Tuan Guru Haji Zakaria, Kampung Rambai, Tokai, Kedah dan ramai lagi. Artikel ini menyentuh perhubungan kekeluargaan para ulama tersebut, yang merupakan satu penyelidikan dan pengenalan ringkas peringkat awal.

Riwayat Penyelidikan

Sejak tahun 1962 penulis mendapat informasi bahawa Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani, Pengarang kitab al-Jauhar al-Mauhub dan Lum'atul Aurad mempunyai hubungan kekeluargaan dengan kebanyakan ulama di Pulau Pinang. Tahun 1970 penulis cuba melakukan penyelidikan di Pondok Syeikh Usman Jalaluddin Penanti, menemui anak beliau bernama Haji Saleh. Tahun 1989 di pondok yang sama, penulis dua kali menemui menantu ulama tersebut, beliau ialah Tuan Guru Haji Abdul Wahhab. Beliau adalah murid kepada Tuan Guru Haji Wan Ibrahim bin Abdul Qadir al-Fathani (Pak Cu Him), Gajah Mati, Kedah. Penyelidikan di pondok tersebut tidak banyak memperoleh maklumat.

Maklumat terbanyak diperoleh ialah pukul 10.00 malam Sabtu, 5 Rejab 1425 Hijrah/21 Ogos 2004 Masihi hingga pukul 11.35 malam Ahad, tarikh 6 Rejab 1425 Hijrah/22 Ogos 2004 Masihi. Selain wawancara terhadap beberapa orang, yang berupa bahan bertulis ialah;

1. Salinan surat jual beli rumah di Mekah milik Syeikh Jalaluddin bin Muhammad Yusya' bin Abdul Gha-fur al-Jawi al-Kalantani, bertarikh 23 Safar 1281 Hijrah.

2. Salasilah Zuriat Allahyarham Hj. Muhammad Yusya' dan Allahyarham Hj. Tahir susunan Yahaya bin Haji Awang

3. Salasilah Awang Kecik Setol susunan Haji Ismail, penulis peroleh melalui Cikgu Mustafa bin Hj. Hasein bin Hj. Tahir, Balik Pulau, Pulau Pinang.

Nama lengkap ulama yang diriwayatkan ini ialah Syeikh Jalaluddin bin Muhammad Yusya' bin Abdul Ghafur al-Jawi al-Kalantani. Syeikh Jalaluddin al-Kalantani kemungkinan adalah saudara sepupu Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman bin Abdul Ghafur al-Kalantani. Mengenai ini berdasarkan nama datuk kedua-keduanya adalah Abdul Ghafur al-Kalantani yang termaktub dalam surat jual beli rumah di Mekah seperti tersebut di atas. Selanjutnya berdasarkan cerita yang mutawatir dapat dipastikan bahawa antara Syeikh Jalaluddin al-Jawi al-Kalantani dan Syeikh Wan Ali al-Kalantani memang ada pertalian keluarga yang sangat dekat. Oleh itu, boleh dipastikan kedua-duanya adalah saudara sepupu.
" Syeikh Jalaluddin al-Kalantani pada mulanya tinggal di Mekah, memperoleh kewarganegaraan Turki Usmaniyah pada 10 Jamadilawal 1299 Hijrah. "
Daripada surat jual beli rumah di Mekah di atas dapat diketahui beberapa orang ulama yang sezaman dengan Syeikh Jalaluddin al-Kalantani. Sebagai wakil Syeikh Jalaluddin al-Kalantani dalam urusan jual beli rumah di Mekah itu, seorang ulama besar yang sangat terkenal, iaitu Sayid Umar asy-Syami al-Baqa'ie bin Sayid Muhammad Barakat al-Baqa'ie. Belum jelas hubungan antara Syeikh Jalaluddin al-Kalantani dengan Sayid Umar asy-Syami al-Baqa'ie itu, apakah kedua-duanya bersahabat atau Syeikh Jalaluddin al-Kalantani sebagai murid ulama yang sangat masyhur itu. Yang sudah pasti Sayid Umar asy-Syami al-Baqa'ie yang hidup antara dalam lingkungan tarikh lahir 1245 Hijrah/1829 Masihi dan wafat di Mekah, 18 Syawal 1313 Hijrah/2 April 1896 Masihi adalah guru kepada ramai ulama, di antaranya ialah Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.

Surat jual beli di atas ditandatangani oleh ramai orang, hanya seorang ulama dunia Melayu yang turut menandatanganinya sebagai saksi, iaitu Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani (Pengarang kitab Mathla' al-Badrain, yang terkenal), ketika menandatangani surat itu disebut sebagai al-Hakim Syari'ie. Syeikh Jalaluddin al-Kalantani umurnya diperkirakan lebih tua sedikit daripada Syeikh Wan Ali al-Kalantani dan Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani.

Syeikh Jalaluddin al-Kalantani pada mulanya tinggal di Mekah, memperoleh kewarganegaraan Turki Usmaniyah pada 10 Jamadilawal 1299 Hijrah. Selanjutnya pulang ke tanah Jawi menyebarkan agama Islam di beberapa kampung di Pendang, di antaranya Kampung Tobiak, Guar Kepayang dan lain-lain. Setelah itu Syeikh Jalaluddin al-Kalantani pergi ke Sungai Dua, Seberang Perai. Sewaktu beliau berangkat ke Mekah untuk melanjutkan pelajaran tiga orang anaknya, pada waktu itulah beliau menyerahkan pusat pendidikan pondok itu kepada Haji Abdus Shamad bin Abdul Malik Kelombong al-Fathani. Haji Abdus Shamad mengajak sahabatnya, Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad (Tuan Minal) al-Fathani membina pengajian itu, selanjutnya berkembang dengan sangat pesat. Tuan Minal al-Fathani termasuk ulama besar yang sangat terkenal di dunia Melayu kerana beberapa buah karangannya, di antaranya ialah Kasyful Litsam, `Aqidatun Najin dan lain-lain.

Tiga orang anak Syeikh Jalaluddin al-Kalantani setelah ketiga-tiganya menjadi ulama, membuka perkampungan baru dan institusi pengajian pondok yang baru pula. Mereka ialah Haji Zakaria tatap di Pondok Pematang Sungai Dua, Haji Muhammad Saleh membuka Pondok Kampung Setol dan Haji Abdullah membuka Pondok Pematang Buluh. Jarak ketiga-tiga pondok pengajian berdekatan, semuanya dalam kawasan Serang Perai.

Kekeluargaan

Abdul Ghafur al-Kalantani mempunyai beberapa orang anak, di antaranya ialah Muhammad Yusya' dan Abdur Rahman. Syeikh Muhammad Yusya' memperoleh tiga orang anak, ialah Haji Mustafa, Hajah Sarahi dan Syeikh Jalaluddin al-Kalantani.

Haji Mustafa bin Muhammad Yusya' al-Kalantani menurut riwayat beliau adalah salah seorang yang membuka perkampungan Sabak Bernam. Beliau memperoleh tiga orang anak iaitu; Haji Abdur Rahman, Hajah Fatimah dan Hajah Zubaidah. Hajah Sarahi binti Muhammad Yusya' al-Kalantani kahwin dengan Haji Muhammad Arsyad memperoleh tiga orang anak. Salah seorang di antaranya bernama Hajah Khatijah (Tok Itam) berkahwin dengan Haji Abdus Shamad bin Abdul Malik. Beliau memperoleh anak di antaranya Syeikh Abdullah Shamad al-Filfulani (ulama di Mekah) dan Haji Syahabuddin (Tok Ayah). Salah seorang anak Haji Syahabuddin yang perempuan bernama Hajah Habibah yang berkahwin dengan Tuan Guru Haji Ahmad, Sungai Petai, Perak. Memperoleh anak Datuk Haji Hasan Haji Ahmad (Mufti Pulau Pinang sekarang), Prof. Madya Saleh Haji Ahmad (Pensyarah di Universiti Malaya), dan lain-lain.

Syeikh Jalaluddin bin Muhammad Yusya' al-Kalantani kahwin dengan Hajah Sara binti Haji Muhammad Tahir al-Fathani. Hajah Sara adalah adik-beradik dengan Haji Ibrahim (Pak Him). Haji Ibrahim (Pak Him) ini ialah ayah kepada Mufti Haji Abdullah Fahim (Mufti Pulau Pinang, iaitu datuk kepada Datuk Seri Abdullah Badawi Perdana Menteri Malaysia) dan Haji Tahir (Kadi Pulau Pinang, di Balik Pulau).

Perkahwinan Syeikh Jalaluddin al-Kalantani dengan Hajah Sara binti Haji Muhammad Tahir al-Fathani memperoleh tiga orang anak, ketiga-tiganya adalah ulama. Mereka ialah Haji Zakaria, Haji Muhammad Saleh, Haji Abdullah. Haji Zakaria bin Jalaluddin al-Kalantani kahwin dengan Rabi'ah binti Lebai Din, memperoleh tujuh orang anak, di antaranya Arsyad, Arsyad memperoleh anak bernama Haji Ja'afar, tok guru di Pondok Padang Lalang. Anaknya yang kedua ialah Hajah Asma kahwin dengan Haji Awang, anaknya bernama Haji Yahaya (dari beliau saya peroleh silsilah keluarga ini, pada malam Sabtu, 5 Rejab 1425 Hijrah/21 Ogos 2004 Masihi, sebagai pelengkap maklumat yang telah saya miliki sejak tahun 1962 dari Hajah Wan Zainab binti Syeikh Ahmad al-Fathani, dll).

Haji Muhammad Saleh bin Syeikh Jalaluddin al-Kalantani, memperoleh tujuh orang anak, enam orang di antaranya tinggal di Mekah. Anaknya bernama Hajah Sara kahwin dengan Syeikh Usman Jalaluddin Penanti, seorang ulama besar yang terkenal serta pengasas pusat Pondok Pengajian Manabi'ul `Ulum, Penanti, Bukit Mertajam.

Haji Abdullah bin Syeikh Jalaluddin al-Kalantani berkahwin dengan Wan Maimunah binti Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani (ulama ini adalah Kader Syeikh Ahmad al-Fathani, khusus dalam bidang pentashhihan kitab). Beliau juga memperoleh tujuh orang anak, salah seorang di antaranya bernama Hajah Sa'diyah. Hajah Sa'diyah berkahwin pertama kali dengan Haji Abdul Hamid, anaknya bernama Nik Abdur Rasyid. Perkahwinan kedua dengan salah seorang keluarga ulama yang berasal dari Pontianak, Kalimantan Barat, iaitu Haji Ali bin Muhammad Nur. Perkahwinan tersebut memperoleh empat orang anak, salah seorang di antaranya ialah Aisyah. Beliau inilah yang memandikan dan mengkapankan Hajah Kailan binti Haji Hasan, ibu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Perdana Menteri Malaysia), ketika meninggal dunia.

Penutup

Untuk mengakhiri artikel ini, di bawah ini penulis petik tulisan Haji Yahaya bin Haji Awang, pada bahagian bawah silsilah keluarga ini, katanya, "Saya berharap semua zuriat Allahyarham Haji Muhammad Yusya' dan Allahyarham Haji Tahir merendangkan susur galur zuriat masing-masing dengan berpandukan asas salasilah yang tercatat dalam buku ini. Saya yakin Allahyarham Haji Muhammad Yusya' dan Allahyarham Haji Tahir mempunyai hubungan darah keluarga selain daripada menjadi besan. Adalah menjadi amalan generasi zaman dahulu mengambil sanak saudara untuk menjadi menantu mereka.''

Sebagai tambahan, penulis berpendapat bahawa setiap keluarga yang besar adalah terdiri daripada golongan ulama, yang berpangkat, yang kaya, yang miskin dan sebagainya. Tugas ulama adalah yang paling berat kerana mereka wajib memberi pengenalan Islam, agamanya kepada semua golongan keluarga besarnya. Golongan berpangkat dan kaya perlulah menyelamatkan keluarga besarnya daripada kemiskinan dan kehinaan supaya sampai pada tahap mudah melakukan ibadah yang diredhai Allah s.w.t.

Al-Fatihah.......
Sumber utusan malaysia bertarikh 13/09/2004
_____________________________________________________
Doa untuk sahabat-sahabat ku semua khasnya....
Ya Allah, ampuni dan berkatilah aku dan sahahabt ku, Jempul, Syed Stopa, Gantang, Nafis dan Seman dan semua dengan berkat alim-ulama dalam blogku ini...Amin.

TUAN GURU HJ ABDULLAH PAKAR ILMU FALAK

Abdullah Fahim - Ulama mahir ilmu falak
ABDULLAH bin Ibrahim bin Tahir dipanggil dengan nama Haji Abdullah Pak Him. Pak Him ialah singkatan nama ayahnya, Ibrahim. Nama atau gelaran yang diketahui umum ialah Syeikh Abdullah Fahim.

Fahim yang dimaksudkan di sini ialah `Fahim' yang berasal daripada bahasa Arab, yang bererti `orang yang faham'.

Beliau lahir di Mekah pada tahun 1286 Hijrah/1869 Masihi, dan wafat pada tanggal 12 Zulkaedah 1380 Hijrah/ 27 April 1961 Masihi di Seberang Perai, Pulau Pinang.

Abdullah Fahim mendapat pendidikan asas tradisional daripada ayahnya sendiri, Haji Ibrahim bin Tahir di Mekah.

Ayahnya seorang yang alim mengenai bacaan al-Quran. Datuknya pula, Haji Tahir berasal dari Patani. Dikatakan juga bahawa beliau memahami ilmu-ilmu Islam tradisional cara Patani.

Ilmu yang dikuatkan adalah tiga jenis; ilmu yang berkaitan dengan fardu ain, iaitu menurut akidah Ahli Sunnah wal Jamaah, berimamkan Imam Abu Hasan al-Asy`ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi.

Kedua, ilmu fikah mengikut Mazhab Syafie, dan ketiga, ilu tasawuf berimamkan Syeikh Junaid al-Baghdadi.

Selanjutnya Abdullah Fahim mendapat pendidikan pelbagai bidang ilmu juga di Mekah. Beliau menuntut ilmu daripada kira-kira 50 orang ulama.

Di antara gurunya yang berbangsa Arab ialah Syeikh Muhammad Said Babsail (Mufti Mazhab Syafie), Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Sayed Abu Bakri Syatha (penyusun kitab I'anah at-Thalibin)

Ulama dari dunia Melayu yang menjadi gurunya yang paling berpengaruh baginya ialah Syeikh Muhammad bin Ismail Daudi al- Fathani (penyusun kitab Mathla' al-Badrain), Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan, al-Kalantani (penyusun Al-Jauhar al-Mauhub dan Lum'ah al-Aurad) dan Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani (pengasas pengkaderan ulama dunia Melayu di Mekah yang dikatakan mempunyai kemahiran sekurang-kurangnya 47 disiplin ilmu).

Sewaktu menuntut ilmu di Mekah, Abdullah Fahim bersahabat dengan beberapa orang yang berasal dari dunia Melayu, yang kemudian menjadi ulama dan tokoh-tokoh yang cukup terkenal.

Di antara mereka ialah: Tuan Guru Haji Umar, Sungai Keladi Kelantan (1284 H/1867 M -1366 H/1947 M), Syeikh Tahir Jalaluddin, Minangkabau (1286 H/1869 M-1376 H/1956 M), K.H. Hasyim Asy'ari, Jawa Timur (1287 H/1871 M-1366 H/1947 M), Tok Kenali, Kelantan (1287 H/1871 M-1352 H/1933 M) dan ramai lagi.

Abdullah Fahim seorang yang gigih mengajar kepada masyarakat dan menyebarkan ilmu-ilmu keIslaman, sama ada ketika menjawat jawatan Mufti Pulau Pinang atau sebelumnya.

Beliau pernah mengajar di beberapa tempat di Kedah, Kuala Kangsar, Perak dan Pulau Pinang. Selanjutnya beliau berhasil mendirikan sekolah agama di Seberang Perai Utara.

Kepakaran ilmunya:
Abdullah Fahim termasuk salah seorang ulama yang mahir dalam ilmu falak. Oleh kerana itu pendapatnya telah diminta untuk menentukan waktu yang sesuai bagi kemerdekaan Malaya.

Berdasarkan hisab dan falak Syeikh Abdullah Fahim, ditentukanlah bahawa hari kemerdekaan Malaya jatuh pada tanggal 31 Ogos 1957.
*Sila baca keratan akhbar Utusan kenapa Hari Sabtu bertarikh 4 Safar 1377 /31 Ogos1957 dipilih sebagai hari keramat bagi Tanah Melayu di sini

Mengenai ilmu hisab dan falak, beliau mempelajarinya daripada Syeikh Ahmad al-Fathani dan kemudian memahirkannya daripada Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Muhammad/ Syeikh Nik Mat Kecik bin Ismail Daudi al-Fathani, sahabatnya.

Ulama dunia Melayu yang seangkatan dengannya yang mahir dalam ilmu hisab dan falak tidak begitu ramai. Di antaranya yang berasal dari Malaysia ialah: Haji umar, Sungai Keladi Kelantan, Haji Abu Bakar bin Haji Hasan, Qadhi Muar, Johor.

Sementara mereka yang berasal dari Indonesia pula ialah Syeikh Jamil Jambek dan Syeikh Tahir Jalaluddin.

Mereka yang berasal dari Patani ialah Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani dan Syeikh Abdur Rahman Gudang al-Fathani.

Ilmu langka, selain ilmu hisab dan falak yang dikuasai oleh Abdullah Fahim, ialah ilmu sastera Arab, yang dinamakan juga ilmu `arudh dan qawafi.

Termasuk juga di dalamnya ialah ilmu isti`arah dan ilmu balaghah. Pengkaderan ilmu yang tersebut juga dimulai dengan kebangkitan Syeikh Ahmad al-Fathani.

Kader dan murid Syeikh Ahmad al-Fathani yang mahir menggubah syair dalam bahasa Arab secara profesional hanya beberapa orang, di antara mereka ialah: Syeikh Abdullah Fahim, Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani dan Syeikh Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh al-Islam Selangor.

Karya dan pemikirannya:
Karya-karya hasil tulisan Abdullah Fahim yang paling dapat ditonjolkan hanyalah melalui syair-syairnya dalam bahasa Arab, yang ditulis di dalam beberapa buah kitab yang diterbitkan oleh Persama Press Pulau Pinang, terutama sekali di dalam kitab-kitab mengenai ilmu hadis.

Di antaranya dalam kitab al-Hadiqah an-Nadiyah fi al-Hadits an-Nabawiyah yang disusun oleh Abi Abdil Hay Muhammad Isa bin Ibrahim ar-Rawa al-Filfulani (Rabiulakhir 1352 H).

Ada yang mengatakan bahawa Abdullah Fahim pernah menyusun sebuah kitab tafsir dan kitab mengenai ilmu falak tetapi tidak sempat diselesaikannya.

Walau bagaimanapun di atas selembar kertas dapat disemak jalan pemikirannya, di antaranya beliau beliau menulis:

"Tuan-tuan sedia maklum, beratus-ratus tahun bahawa orang-orang bangsa Melayu se Malaya ini dari peringkat ke bawah hingga peringkat ke atas, awam-awam, qadhi-qadhi, ulama-ulama, menteri-menteri, hingga raja-raja, sekalian mereka itu bermazhab dengan Mazhab al-Imam asy-Syafie ijma'an. Tiada seorang pun yang bermazhab lain daripada Mazhab Syafie ... ``

Abdullah Fahim menyebut nama kitab-kitab Arab yang dipegang di dalam Mazhab Syafie ialah, "Ambil mereka itu hukum fikah Syafie daripada kitab Tuhfah, dan kitab Nihayah hingga kitab al-Umm dan mukhtasharatnya ..."

Walaupun ilmu pengetahuan Arabiyahnya luas melaut, namun beliau juga merujuk kitab-kitab bahasa Melayu yang dikarang oleh ulama-ulama dunia Melayu yang terkenal.

Kitab-kitab yang beliau sebut ialah, "Dan terjemahannya kepada bahasa Melayu, seperti Sabil al-Muhtadin, Bughyah at-Thullab, Mathla' al-Badrain dan lainnya''

Mengenai pegangan akidahnya, Abdullah Fahim menulis, "Usuluddin atas perjalanan Abi al-Hasan al-Asy'ari. Diambil dari syuruh dan hawasyi Umm al-Barahin, dan Jauharah ... "

Pegangan akidah dalam bahasa Melayu pula beliau sebut, "Dan sebagainya daripada kitab-kitab Melayu''.

Yang dimaksudkan di sini semua kitab Melayu/Jawi yang membicarakan akidah yang dikarang oleh ulama-ulama dunia Melayu muktabar.

Beliau pernah belajar dan mengajar kitab berkenaan, di antaranya Faridah al-Faraid oleh guru beliau, Syeikh Ahmad al-Fathani, Aqidah an-Najin juga oleh guru beliau yang bernama Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani dan ad-Durr ats-Tasamin oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, dan kitab-kitab akidah lainnya.

Mengenai pegangannya di dalam tasawuf, beliau menulis, "Ilmu tasawuf atas perjalanan al-Imam al-Ghazali diambilkan daripada Minhaj al-Abidin, Ihya' Ulumid Din ...''

Di dalam tasawuf beliau juga memartabatkan pengkaryaan ulama Melayu. Katanya, ``Dan terjemahnya kepada bahasa Melayu, seperti Siyar as-Salikin''.

Abdullah Fahim menegaskan, "Maka ini kitab-kitab dan seumpamanya, segala hukum dalamnya kesemuanya mengistinbat daripada al-Quran dan hadis yang dihalusi dan ditapis oleh ulama-ulama ajilla', diamal dengan dia sudah lebih dari seribu tahun dan terjemah kepada bahasa Melayu beratus-ratus tahun.''

Keturunannya:
Di antara anak Syeikh Abdullah Fahim ialah Datuk Haji Ahmad Badawi. Beliau adalah seorang alim yang bertanggungjawab menangani sekolah agama yang didirikan oleh ayahnya.

Di antara anak Datuk Haji Ahmad Badawi pula ialah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang secara rasmi dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia pada hari Jumaat, 31 Oktober 2003 Masihi bersamaan 5 Ramadan 1424 Hijrah oleh Yang Dipertuan Agong Malaysia.

Artikel oleh Syeikh Wan Muhammad Saghir