Kebanyakan artikel disini adalah karya Al-Marhoum Tuan Guru Syeikh Wan Mohd Shaghir Abdullah R.A cucunda kepada Tuan Guru Syeikh Ahmad Al-Fathanie, juga dari akhbar2 nasional yang lain dan laman2 web yang bertebaran di alam maya juga disaduri macam2 hikayat,riwayat,kaifiat dan khasiat keemasan saya himpun dan susun sebagai koleksi peribadi dan bagi tatapan dan santapan rohani buat teman-teman yang sudi...himpunan artikel2 terbaru saya sekarang lebih muyul kepada informasi kesihatan ala muslim-jawi kearaban..... dan saya mula berjinak2 dengan jualan secara online produk kesihatan muslim, khasnya peralatan bekam (Set cawan, jarum dan pen bekam) dan khidmat pembekaman, Sudi-sudilah ziarah dan sudikan tinggal komentar anda. TQ

Jumaat

RAJA ALI KELANA TOKOH INTELEKTUAL MELAYU

Raja Ali Kelana - Ulama pejuang Riau dan Johor
Nama lengkapnya Raja Ali Kelana bin Sultan Muhammad Yusuf al-Ahmadi (Yamtuan Muda ke-10, 1858 Masihi - 1899 Masihi) bin Raja Ali (Yamtuan Muda ke-8, 1844 Masihi - 1857 Masihi) bin Raja Jaafar (Yamtuan Muda ke-6, 1808 Masihi - 1832 Masihi) bin Raja Haji asy-Syahidu fi Sabilillah (Yamtuan Muda ke-4, 1777 Masihi - 1784 Masihi) bin Upu Daeng Celak (Yamtuan Muda ke-2, 1729 Masihi - 1746 Masihi). Daripada nama-nama tersebut dapat disimpulkan bahawa lima orang Yamtuan Muda mulai ayah hingga ke atas adalah pertalian lurus pada Raja Ali Kelana. Raja Ali Kelana tidak sempat menjadi Yamtuan Muda kerana kerajaan Riau-Lingga dimansukhkan oleh penjajah Belanda dan sultan terakhir Sultan Abdur Rahman Muazzam Syah, adik beradik dengan Raja Ali Kelana hijrah ke Singapura (1911 Masihi).

Perlu dicatatkan di sini bahawa mulai Yamtuan Muda yang pertama (Upu Daeng Merewah) tahun 1722 Masihi sampai tahun 1825 Masihi (masa pemerintahan Raja Jaafar Yamtuan Muda ke-6) bernama Kerajaan Riau-Lingga-Johor dan Pahang dan takluknya. Mulai tahun 1844 Masihi sampai tahun 1911 Masihi bernama Kerajaan Riau-Lingga dan takluknya.

* Sebelum ini ada di hikayatkan tentang kisah Sultan Alauddin Sulaiman Syah sebagai seorang pemerintah yang terlalu amat mengasihi ulama, khususnya Tengku Mahmud Zuhdi yang dilantik sebagai Syeikhul Islam Selangor dan anak beliau Syeikh Muhammad yang dihantar ke Jambi dan dikenali sebagai ulama jubah hitam, baginda jika disusur-galur leluhur keturunannya dengan Raja Ali Kelana akan bertangkup di Upu Daeng Celak, kerana Raja Lumu yang memerintah Selangor sekitar (1743-1766) dan Raja Haji asy-Syahidu fi Sabilillah kedua-duanya ber'abun'kan Upu Daeng Celak.

Pangkat

Barangkali di dalam kerajaan Melayu yang memperoleh pangkat atau gelar 'Kelana' hanya disandang oleh keturunan raja Bugis di dalam kerajaan Riau-Lingga, sekurang-kurangnya yang paling terkenal dengan gelar itu ialah Raja Haji asy-Syahidu fi Sabilillah. Yang dimaksudkan dengan 'Kelana' ialah sebagai petanda calon untuk menjadi Yang Dipertuan Muda atau Yamtuan Muda. Raja Ali Kelana wafat pada hari Ahad, pukul 8.00 pagi di rumahnya di Jalan Teberau, Johor Bahru pada 10 Jamadilakhir 1346 Hijrah/4 Disember 1927 Masihi

PENDIDIKAN

Pendidikan asas Raja Ali Kelana dalam bidang Islam, bahasa Melayu, bahasa Arab, adat istiadat kebangsawanan Melayu dan undang-undang kepemerintahan adalah diperoleh di Riau. Di Riau pada zaman kanak-kanaknya sangat ramai ulama dan cendekiawan, sama ada yang berasal dari Riau seperti Raja Ali Haji yang sangat terkenal, mahu pun yang datang dari luar. Sewaktu Raja Ali Kelana akan ke Mesir, beliau singgah di Mekah dan sempat memperdalam pelbagai pengetahuan daripada Syeikh Ahmad al-Fathani, Sayid Abdullah az-Zawawi dan lain-lain.

Setelah selesai mengerjakan haji pada tahun 1322 Hijrah/Februari atau Mac 1905 Masihi, Raja Ali Kelana menerima baiah Thariqat Naqsyabandiyah Mujaddidiyah Ahmadiyah Muzhhariyah daripada keluarga az-Zawawi, sekali gus beliau juga sebelum itu beramal dengan Thariqat Naqsyabandiyah al-Khalidiyah daripada Syeikh Ismail bin Abdullah al-Minankabawi. Dengan baiah atau tawajjuh, Raja Ali Kelana juga diberi gelar dihujung namanya dengan 'al-Ahmadi' sebagaimana gelar yang pernah diberikan kepada ayahnya, Sultan Muhammad Yusuf al-Ahmadi. Yang dimaksudkan dengan 'al-Ahmadi' pada gelaran tersebut ialah dibangsakan kepada mujaddid (penemu sesuatu yang baru) Thariqat Naqsyabandiyah bernama Sayid Ahmad al-Muzhhar. Jika bergelar 'al-Khalidi' adalah dibangsakan kepada mujaddidnya yang bernama Syeikh Khalid al-Kurdi.

AKTIVITI

Organisasi yang pertama didirikan oleh orang Melayu ialah Jamiyatul Fathaniyah oleh Syeikh Ahmad al-Fathani di Mekah (1290 Hijrah/1873 Masihi) yang diikuti oleh murid-murid beliau dengan mendirikan pelbagai organisasi. Murid-murid Syeikh Ahmad al-Fathani di Riau termasuk Raja Ali Kelana mendirikan Jamiyatul Rusydiyah atau Rusydiyah Klab, 1298 Hijrah/1880 Masihi. Oleh orang-orang yang sama di Riau juga diasaskan Jamiyatul Khairiyah.

Raja Ali Kelana pernah menerima perlantikan daripada Syeikh Ahmad al-Fathani supaya bergerak dalam bidang percetakan untuk kawasan Singapura dan Riau yang berpusat di tempat pemerintah Riau-Lingga dijalankan, sedang Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani untuk kawasan Kelantan dan Patani yang berpusat di Kota Bharu Kelantan.

Dalam catatan didapati bahawa Raja Ali Kelana beberapa kali mengikut Syeikh Ahmad al-Fathani ke Istanbul, Turki-Usmaniyah kerana urusan diplomatik politik dalam rangka membebaskan dunia Melayu daripada segala macam bentuk penjajahan. Kepergiannya ke Turki yang dapat dicatat, antaranya pada tahun 1301 Hijrah/1883 Masihi, 1312 Hijrah/1895 Masihi dan setelah selesai mengerjakan haji pada akhir tahun 1322 Hijrah/Februari atau Mac 1905 Masihi atau Muharam 1323 Hijrah/ Februari atau Mac 1905 Masihi.

Setelah Syeikh Ahmad al-Fathani meninggal dunia, Raja Ali Kelana pergi ke Turki lagi pada tahun 1913 Masihi. Keberangkatan ke Turki itu dengan persetujuan antara Raja Ali Kelana dan Raja Khalid Hitam (cucu Raja Ali Haji), seorang ke Turki dan seorang lagi ke Jepun. Raja Khalid Hitam dalam tahun itu juga (1913 Masihi) berangkat ke Jepun untuk yang kedua kalinya. Pertama kali ke Jepun pada tahun 1911 Masihi. Sama ada ke Turki atau ke Jepun, tujuannya adalah mencari sokongan untuk mengembalikan kesultanan Riau-Lingga yang telah dimansukhkan oleh penjajah Belanda.

Pada tahun 1324 Hijrah/1906 Masihi, Syarikat Al-Ahmadi didirikan oleh Raja Haji Ahmad bin Raja Haji Umar dan kerabat kerajaan Riau di Pulau Midai, Pulau Tujuh, yang direstui oleh Sultan Abdur Rahman Muazzam Syah, Sultan Riau-Lingga. Tidak berapa lama setelah syarikat itu diasaskan atas titah Sultan Riau-Lingga supaya Raja Ali Kelana (saudara Sultan) mengeluarkan modal bersama membeli sebuah kapal yang dinamakan 'Kapal Karang'. Kapal tersebut beroperasi mengangkut kelapa kering, hasil bumi lainnya dan hasil laut dari Pulau Tujuh ke Singapura dan sebaliknya dari Singapura ke Pulau Tujuh membawa semua barangan keperluan harian, terutama makanan dan pakaian. Tentang ini disebut oleh Raja Haji Ahmad di Singapura dalam surat kepada saudara sepupunya, Haji Abdullah bin Haji Wan Abdur Rahman (ayah penulis), Kuasa Ahmadi & Co. Midai diPulau Midai.

Cawangan

Selain bergerak dalam perkapalan dan pengangkutan, Raja Ali Kelana adalah pemilik Syarikat Batam Bricks Works Limited yang bergerak dalam pemprosesan batu-bata di Pulau Batam, Riau. Syarikat itu mempunyai cawangan dan berpejabat di Singapura. Gerakan niaga Raja Ali Kelana mengalami kerugian besar dan berakhir pada tahun 1329 Hijrah/1911 Masihi. Kejatuhan perniagaan dan termasuk tekanan pihak penjajah Belanda terhadap Raja Ali Kelana merupakan sebab beliau pindah ke Johor. Di Johor beliau dilantik sebagai Syaikhul Islam Kerajaan Johor.

PENULISAN

1. Pohon Perhimpunan Pada Menyatakan Peri Perjalanan, diselesaikan pada hari Sabtu, 23 Ramadan 1313 Hijrah/6 Mac 1896 Masihi. Kandungannya merupakan laporan perjalanan Raja Ali Kelana bersama conteleur Belanda ke Pulau Tujuh. Dimulai catatan ketika berangkat dari pelabuhan Tanjungpinang, hari Rabu 6 Ramadan 1313 Hijrah/19 Februari 1896 Masihi dan diakhiri dengan tiba kembali di pelabuhan yang sama pada hari Sabtu pukul 5.00 petang, 23 Ramadan 1313 Hijrah/6 Mac 1896 Masihi. Dicetak oleh Maktabah wa Mathba'ah ar-Riyauwiyah, Pulau Penyengat, 1315 Hijrah/1897 Masihi.

2. Perhimpunan Pelakat, diselesaikan pada tahun 1316 Hijrah/1899 Masihi. Kandungannya mengenai peraturan yang telah dimasyarakatkan antara Kerajaan Riau-Lingga dengan Gubernemen Hindia-Nederland dari tahun 1286 Hijrah hingga tahun 1307 Hijrah. Dicetak oleh Mathba'ah ar-Riyauwiyah, Pulau Penyengat, 1317 Hijrah. Karya pertama dan kedua ini telah ditransliterasi daripada Melayu/Jawi ke Latin/Rumi oleh Hasan Junus dimuat dalam karyanya berjudul Pendokumentasian Naskah Kuno Melayu dan Kajian Khusus, diterbitkan oleh Pemerintah Daerah Tingkat I Propinsi Riau, Proyek Inventarisasi dan Dokumentasi Kebudayaan Daerah Riau Pekan Baru, 1993.

3. Bughyatul Ani fi Hurufil Maani, diselesaikan tidak diketahui tarikh. Kandungannya membicarakan tatabahasa. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 50 Minto Road, Singapura, 1341 Hijrah/1922 Masihi

4. Rencana Mudah Pada Mengenal Diri Yang Indah, diselesaikan di Johor Bahru, pada 3 Rejab 1344 Hijrah/17 Januari 1926 Masihi. Kandungannya adalah pelajaran tasawuf yang ditulis dalam bentuk soal jawab. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 50 Minto Road, Singapura, 1344 Hijrah yang dibenarkan mencetak kepada Sahal bin Ahmad.

5. Kesempurnaan Yang Lima Bagi Islam Menerima, diselesaikan di Bukit Kenangan, Negeri Johor Bahru pada 3 Jamadilakhir 1345 Hijrah/8 Disember 1926 Masihi. Kandungannya, pelajaran fardu ain. Dicetak oleh Maktabah wa Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura, 27 Ramadan 1345 Hijrah.

6. Kumpulan Ringkas atau judul yang lebih lengkap diungkapkan dalam bentuk bersajak Kumpulan Ringkas * Berbetulan Lekas Pada Orang Yang Pantas * Dengan Fikiran Yang Lintas, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan. Kandungannya, terkumpul di dalamnya 31 keringkasan yang terdiri daripada 160 perbicaraan. Sub judul yang penting yang jarang dibicarakan tetapi termaktub dalam karya ini antaranya ialah Pada Menyatakan Kelebihan Akal, Jadi Bekal, Pada Menyatakan Berhimpun Bersatu Dengan Pengetahuan, Berpegang Kukuh Oleh Bangsawan, Pada Menyatakan Tawarikh Segala Raja-Raja Dahulu Kala, Pada Menyatakan Sultan Yang Ada Sekarang, Daripada Ayah-Bundanya Terang, Pada Menyatakan Asal Melayu Diambil Dalil, Daripada Al-Marhum Abdul Jalil, Pada Menyatakan Sebab Gelar Upu Kelana Dengan Shahihah, Yang Dipertuan Muda Sultan Alauddin Syah, Pada Menyatakan Hikayat Yang Keempat Ditanya Orang, Akan Aristotales Dijawab Terang, Pada Menyatakan Hikayat Yang Keenam, Cetera Iskandar Muda Elok Ditanam, Pada Menyatakan Hikayat Yang Kesembilan, Yang Dikehendaki Bagi Sultan, Pada Menyatakan Hikayat Yang Kesepuluh Pada Perjalanan, Menteri Yang Elok Diperkenan, Pada Menyatakan Hikayat Yang Kesebelas Menteri Terpuji, Sunyi Mendapat Nama Yang Keji, Pada Menyatakan Hikayat Yang Kedua belasnya, Peri Berubah Niat Rajanya, Pada Menyatakan Hikayat Yang Ketiga belas, Menter Khianat Lagi Pemulas. Ringkasan Yang Ke-30 dan Ringkasan Yang Ke-31 diungkapkan dalam bentuk puisi/syair.

Intelektual

Cetakan pertama Mathba'ah Al-Imam, No. 26 Robinson Road, Singapura, 1328 Hijrah. Cetakan yang kedua diusahakan oleh Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur 1420 Hijrah/1999 Masihi.

Artikel ini penulis tutup dengan pandangan bahawa walaupun Raja Ali Kelana seorang tokoh intelektual Islam pada zamannya, namun beliau tetap berada di dalam lingkungan 'Kaum Tua', berbeza dengan Sayid Syeikh al-Hadi dan Syeikh Tahir Jalaluddin, kedua-duanya terkenal sebagai pelopor 'Kaum Muda'. Sama ada Sayid Syeikh al-Hadi mahu pun Syeikh Tahir Jalaluddin adalah tokoh yang sangat erat hubungannya dengan Raja Ali Kelana, berbeza dalam pemikiran keIslaman tetapi bersatu untuk kepentingan umum dan kemaslahatan.

Artikel ini diambil dari karya Muarrikh Zaman Syeikh Wan Muhammad Saghir dalam utusan malaysia bertarikh 12/07/2004

Tiada ulasan: