Koleksi Alhamrhoum Syeikh Wan Mohd Saghir r.a
MANDAILING adalah satu istilah salah satu suku kaum yang tinggal di Tapanuli Selatan, Sumatera Utara. Marga Mandailing termasuk dalam bahagian Marga Batak. Istilah Marga Batak adalah tidak asing bagi masyarakat Indonesia, tetapi bagi masyarakat Malaysia ramai orang beranggapan istilah ``Batak'' itu adalah kurang sopan.
Perlu kita ketahui bahawa "Marga Batak'' majoriti adalah beragama Kristian. Berbeza dengan "Marga Mandailing'' majoriti adalah beragama Islam.
Sejarah mencatat bahawa sangat ramai orang Mandailing yang menjadi ulama besar dan pengarang kitab. Tuan Haji Abdullah Abbas Nasution, yang satu ketika dulu pernah terkenal adalah termasuk salah seorang dari Marga Mandailing. Beliau ini sangat gigih mempertahankan bahawa Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri ulama yang sangat terkenal adalah orang Mandailing, bukan orang Aceh.
Antara ulama Mandailing yang dapat dicatat ialah: Ulama Mandailing yang bernama Syeikh Abdul Qadir al-Mandaili yang mengajar di Mekah ada tiga orang. Mereka ialah: Syeikh Abdul Qadir bin Shabir al-Mandaili, mengajar di Masjid al-Haram, Mekah, beliau ini menghasilkan beberapa buah karangan. Syeikh Abdul Qadir bin Abdullah al-Mandaili, salah sebuah hasil karyanya ialah Tarjamah Matil Ajrumiyah. Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Muthallib al-Mandaili, beliau ini memulai pendidikannya daripada Syeikh Wan Ibrahim (Pak Cu Him), Pondok Gajah Mati, Kedah. Beliau inilah yang terbanyak menghasilkan karangan di antara ulama yang berasal dari Mandailing. Ulama Mandailing yang lain pula ialah Syeikh Ja'far, termasuk salah seorang murid Syeikh Ahmad al-Fathani yang ditugaskan belajar di al-Azhar Mesir.
Perlu kita ketahui bahawa "Marga Batak'' majoriti adalah beragama Kristian. Berbeza dengan "Marga Mandailing'' majoriti adalah beragama Islam.
Sejarah mencatat bahawa sangat ramai orang Mandailing yang menjadi ulama besar dan pengarang kitab. Tuan Haji Abdullah Abbas Nasution, yang satu ketika dulu pernah terkenal adalah termasuk salah seorang dari Marga Mandailing. Beliau ini sangat gigih mempertahankan bahawa Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri ulama yang sangat terkenal adalah orang Mandailing, bukan orang Aceh.
Antara ulama Mandailing yang dapat dicatat ialah: Ulama Mandailing yang bernama Syeikh Abdul Qadir al-Mandaili yang mengajar di Mekah ada tiga orang. Mereka ialah: Syeikh Abdul Qadir bin Shabir al-Mandaili, mengajar di Masjid al-Haram, Mekah, beliau ini menghasilkan beberapa buah karangan. Syeikh Abdul Qadir bin Abdullah al-Mandaili, salah sebuah hasil karyanya ialah Tarjamah Matil Ajrumiyah. Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Muthallib al-Mandaili, beliau ini memulai pendidikannya daripada Syeikh Wan Ibrahim (Pak Cu Him), Pondok Gajah Mati, Kedah. Beliau inilah yang terbanyak menghasilkan karangan di antara ulama yang berasal dari Mandailing. Ulama Mandailing yang lain pula ialah Syeikh Ja'far, termasuk salah seorang murid Syeikh Ahmad al-Fathani yang ditugaskan belajar di al-Azhar Mesir.
Riwayat semua mereka ditangguhkan, yang diambil data untuk artikel ini hanyalah Syeikh Abdul Ghani bin Abdul Hamid al-Mandaili al-Khalidi an-Naqsyabandi berasal dari Kampung Cu Badak, Mandailing, Sumatera Utara kemudian pindah ke Selangor. Kedatangan Syeikh Abdul Ghani bin Abdul Hamid al-Mandaili ke Selangor barangkali serentak dengan kedatangan sekian ramai orang-orang yang berasal dari Minangkabau dan Mandailing terutama sekali sewaktu bandar Kuala Lumpur mula diteroka. Di antara orang-orang yang datang dari Minangkabau dan Mandailing itu terdapat beberapa orang ulama. Ulama yang berasal dari Minangkabau ialah Haji Utsman bin Abdullah al-Minankabawi, Kadi, Imam dan Khatib Kuala Lumpur yang pertama. Ulama yang berasal dari Mandailing ialah Syeikh Abdul Ghani bin Abdul Hamid al-Mandaili yang dibicarakan dalam artikel ini.
PEMBANGUNAN MASJID
Dari selembaran surat yang pernah disebarkan dan sebuah buku catatan tulisan tangan beliau sendiri ternyata Syeikh Abdul Ghani bin Abdul Hamid al-Mandaili berhasil membangun sebuah masjid di Kampung Selayang dalam tahun 1917 M. Surat sebaran ditandatangani bersama oleh beliau dan Raja Ali, Penghulu Mukim Batu, Kuala Lumpur ketika itu. Masjid yang beliau bangun bersama murid-murid dan masyarakat tersebut masih wujud sampai sekarang.
Dalam selembaran surat Syeikh Abdul Ghani bin Abdul Hamid al-Mandaili menyatakan, "Iaitu adalah hamba hendak membangunkan sebuah masjid di Kampung Selayang akan mengganti masjid yang telah sedia lama di tempat itu. Oleh kerana masjid yang sedia lama itu tersangat sudah uzurnya, dan sekalian pekakasnya sudah buruk belaka, bertambah pula itu masjid tersangatlah kecilnya. Dan adalah selalu pada tiap-tiap Jumaat tiada muat orang-orang yang datang sembahyang Jumaat. Dan oleh hal yang demikian inilah hamba hendak bangunkan sebuah masjid baru dan bangunnya dengan 3 tingkat. Dan lantai, tiang, serta dindingnya daripada batu dan atapnya daripada genting. Dan lain-lain pekakasnya daripada kayu yang keras. Dan tinggi temboknya daripada tanah 3 kaki. Dan panjang serta lebarnya 50 kaki persegi. Dari hal belanjanya itu telah ditaksirkan dengan kasar sahaja dengan $ 3,000.00 (tiga ribu ringgit Inggeris).''
PENULISAN
1. Aqidatul Iman, diselesaikan di Kampung Pinang Baik, Negeri Kelang, Kuala Lumpur, hari Isnin, jam 4.00, 17 Rabiulawal 1323 H. Kandungan membicarakan akidah, fiqh yang fardu ain dan tasawuf secara ringkas. Dicantumkan juga Ratib al-Haddad dan selawat atas Nabi s.a.w. Dicetak dengan huruf batu (litografi). Nama pencetak dan tarikh tidak dinyatakan. Catatan: Pengarang memberikan iklan, "... Dan barangsiapa berhajat akan ini kitab boleh datang di rumah kita di Pinang Baik atau di rumah Haji Muhammad Thaiyib di Batu adanya''. Sesudah ditutup pada halaman 23 di atas terdapat lagi lima halaman sebagai tambahan membicarakan ilmu pelangkahan dan beberapa qasidah. Pada halaman tambahan pengarang menyebut nama lengkapnya dengan tambahan "al-Khalidi an-Naqsyabandi'' berasal dari Cu Badak Mandailing.
2. Kitab Syair Nashihat, diselesaikan di Kampung Pinang Baik, Selayang, Mukim Batu, Kuala Lumpur, Selangor, pada 17 Rejab 1342 H. Kandungan untaian syair dalam bahasa Melayu merupakan nasihat pengarang supaya berpegang teguh kepada agama Islam. Cetakan yang pertama Mathba'ah Al-Ahmadiah, 50 Minto Road, Singapura, 1342 H.
3. Terjemah Nazam Akidah Awam dan Syair Nasihat, diselesaikan di Kampung Pinang Baik, Selayang, Mukim Batu, Kuala Lumpur, Selangor, pada 17 Rejab 1342 H. Kandungan terjemahan Akidah Awam yang diberi gantungan maknanya dalam bahasa Melayu dan disertakan dengan syair Melayu yang terdiri banyak bait dan ilmu raksi. Dicetak oleh Haji Abdullah bin Muhammad Nuruddin ar-Rawi/Rawa, 59 Achen Street, Penang, 13 Jumadilawal 1345 H.
4. Risalah Nasihat dan Jaga-jaga Hati, diselesaikan: 25 Rabi'uts Tsani 1346 H. Kandungan nasihat-nasihat pengarang supaya mengamalkan perintah-perintah Allah dan Rasul-Nya. Dicetak oleh Malayan Press, 183 Batu Road, Kuala Lumpur tanpa dinyatakan tarikh. Cetakan yang kedua Mathba'ah Al-Zainiyah, 185 Main Road Taiping, Perak, 1347 H. Cetakan yang kedua dengan ukuran lebar dan tercantum selembar surat wasiat pengarangnya.
5. Risalah Pohon Peringatan dan Jaga-jaga Hati Bagi Agama diselesaikan di Kampung Pinang Baik, Selayang, Mukim Batu, Kuala Lumpur, Selangor, pada 14 Rejab 1348 H bersamaan 15 Disember 1929 M. Kandungan nasihat-nasihat pengarang supaya mengamalkan perintah-perintah Allah dan Rasul-Nya. Cetakan yang pertama Selangor Press, Kuala Lumpur, 1348 H.
6. Kaifiyat Thariqatin Naqsyabandiyah, masih dalam bentuk manuskrip. Kandungan membicarakan cara-cara mengamalkan Thariqat Naqsyabandiyah Khalidiyah.
WASIAT
Memang terdapat hadis Nabi s.a.w. supaya kita berwasiat sebelum meninggal dunia, namun tidak semua orang dapat melaksanakannya. Orang-orang sufi sangat memandang penting perkara wasiat, oleh itu Syeikh Abdul Ghani bin Abdul Hamid al-Mandaili yang termasuk salah seorang khalifah dalam Thariqat Naqsyabandiyah Khalidiyah juga menulis wasiat yang beliau sebarkan dalam salah sebuah karangannya. Di antara kandungan wasiat itu ialah, ``Wasiat sahaya, nama Syeikh Abdul Ghani, Kampung Selayang, Mukim Batu Kuala Lumpur, pada 26 haribulan Januari 1928 bersamaan 3 haribulan Syaaban 1346. Pada masa inilah sahaya Syeikh Abdul Ghani ibnu al-Marhum Haji Abdul Hamid memperbuat satu Surat Wasiat beri pegang kepada waris sahaya dan wakil sahaya. Bahasa sahaya nama yang tersebut di atas ini ditakdir-Nya jikalau sahaya mati. Fasal harta benda sahaya beberapa yang ada lebih daripada pembayar hutang sahaya takdir-Nya jikalau ada sahaya berhutang. Maka itu harta dibahagi atas tiga bahagi. Maka satu bahagi: Minta dijalankan apa-apa yang membagi faedah di atas diri sahaya kemudian daripada mati. Seperti fidiyah sembahyang, dan fidiyah puasa, dan upah haji, dan Quran, dan korban, dan membaca tahlil, dan lainnya. Dan yang dua bahagi lagi itu: Minta dibagikan kepada waris sahaya yang ahli pusaka beberapa yang ada ahli pusaka mengikut sepanjang hukum syarak. Minta dibahagi dengan hukum faraid seperti yang tersebut di dalam Quran. Hal inilah dimaklumkan kepada sekalian ahli waris sahaya atau kepada siapa-siapa yang melihat ini surat. Dan sahaya, waktu memperbuat ini wasiat waktu badan sahaya lagi sihat dan akal sahaya lagi sempurna. Sah dengan nyatanya, tidak boleh didakwa dan dakwi pada kemudian hari kerana sudah turun tanda tangan sahaya di bawah ini surat ...''
Dari wasiat di atas dapat diketahui bahawa Syeikh Abdul Ghani bin Abdul Hamid al-Mandaili adalah termasuk ulama "Kaum Tua'' kerana beberapa perkara yang dianggap bid'ah oleh "Kaum Muda'' tetap beliau pertahankan dalam wasiat tersebut di atas. Fidiyah sembahyang adalah berasal dari Mazhab Hanafi, beberapa orang ulama besar dalam Mazhab Syafi'ie di antaranya Imam as- Subki membolehkan bertaqlid mengerjakan fidiyah sembahyang yang tersebut. Di dunia Melayu semua ulama Syafi'iyah silam menganjurkan amalan fidiyah sembahyang itu, maka dalam masa yang relatif lama telah diamalkan oleh umat Islam di seluruh pelosok dunia Melayu.
Selain fidiyah yang dibidaahkan oleh Kaum Muda pula termasuklah tahlil untuk orang yang meninggal dunia. Sama ada fidiyah sembahyang, tahlil mahu pun amalan-amalan lain yang pernah ditulis dan dikerjakan oleh para ulama silam tidaklah dapat dituduh sebagai bid'ah kerana ada dalil-dalil atau hujah-hujah yang kukuh untuk beramal dengannya. Sesuatu amalan yang betul berdasarkan dalil tetapi ada pihak lain menolaknya itulah yang diistilahkan dengan "khilafiyah''. Selagi sesuatu bernama "khilafiyah'' maka tiadalah patut seseorang itu berbangga diri menuduh orang lain salah lalu beranggapan dirinya sendiri saja yang benar. Yang terpenting bagi kita bukanlah menyalahkan amalan orang lain tetapi adalah kita sendiri mestilah banyak beramal untuk kepentingan umat yang kita tinggalkan setelah mati. Lebih penting pula, ketika kita berada dalam kubur dan selanjutnya bahawa ada amalan kita tiada berkeputusan, itulah yang dinamakan amal jariah. Jika perkara tersebut ini dapat kita laksanakan, jadilah kita seorang yang benar-benar bijak kerana dapat selamat kita hidup di dunia dan kehidupan yang abadi di akhirat
Dalam Surat Wasiat Syeikh Abdul Ghani bin Abdul Hamid al-Mandaili juga dapat kita ketahui bahawa beliau sangat bertanggungjawab terhadap pembayaran hutang, kerana mengenai itu adalah merupakan perkara yang diwajibkan. Mengenai pusaka yang ditinggalkan pula mestilah dibagi berdasarkan faraid iaitu benar- benar menurut ajaran Islam, bukan ajaran selainnya. Daripada huraian ini dapat disimpulkan bahawa yang termaktub dalam "Surat Wasiat Syeikh `Abdul Ghani bin `Abdul Hamid al-Mandaili'' adalah menepati ajaran Islam dan patut menjadi teladan. Setiap insan Muslim sebelum meninggal dunia memang perlu memperkemas wasiat untuk pedoman para ahli keluarga yang ditinggalkan.
Al-Fatihah.
ARKIB : 11/04/2005 Utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan