SHAH ALAM – Polemik isu ‘kalimah Allah’ harus dihentikan segera bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini kelak.
Mufti Kedah, Datuk Sheikh Muhamad Baderudin Ahmad berkata, semua pihak perlu tampil dan berbuat sesuatu untuk menangani situasi ini.
Beliau berkata, titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menitahkan semua pihak berpegang teguh kepada pendirian mengharamkan penggunaan kalimah Allah oleh agama lain adalah langkah terbaik menghadkan isu itu daripada terus berpanjangan.
“Saya cukup bersetuju dengan titah baginda dan rakyat harus akur dengan titah tersebut,” katanya kepada Sinar Harian, semalam
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan semua pihak di negeri ini berpegang teguh kepada pendirian mengharamkan penggunaan kalimah Allah oleh agama selain Islam.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa kelmarin memberitahu, titah itu dinyatakan dalam pertemuan beliau dengan baginda pada 5 Januari lalu.
Katanya, Baginda memaklumkan pendiriannya mengenai perkara itu bertujuan memelihara akidah umat Islam serta menjaga keharmonian beragama setiap rakyat di Selangor.
Sementara itu, Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Othman menyifatkan hasrat Herald-The Catholic Weekly untuk tidak lagi menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya, keputusan itu adalah tepat.
“Sepatutnya isu penggunaan kalimah Allah ini tidak wujud kerana Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah bersetuju bahawa lafaz Allah adalah kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam.
“Jadi, tiada sebab untuk agama lain mahu menggunakan lafaz itu. Namun, keputusan editor majalah itu, Reverend Lawrence Andrew yang berkata, keputusan tidak menggunakan kalimah itu atas rasa tanggungjawab untuk menjamin keamanan negara sewajarnya dipuji,” katanya.
Sinar Harian
sub sumber dari Pondokhabib
Tiada ulasan:
Catat Ulasan