Kebanyakan artikel disini adalah karya Al-Marhoum Tuan Guru Syeikh Wan Mohd Shaghir Abdullah R.A cucunda kepada Tuan Guru Syeikh Ahmad Al-Fathanie, juga dari akhbar2 nasional yang lain dan laman2 web yang bertebaran di alam maya juga disaduri macam2 hikayat,riwayat,kaifiat dan khasiat keemasan saya himpun dan susun sebagai koleksi peribadi dan bagi tatapan dan santapan rohani buat teman-teman yang sudi...himpunan artikel2 terbaru saya sekarang lebih muyul kepada informasi kesihatan ala muslim-jawi kearaban..... dan saya mula berjinak2 dengan jualan secara online produk kesihatan muslim, khasnya peralatan bekam (Set cawan, jarum dan pen bekam) dan khidmat pembekaman, Sudi-sudilah ziarah dan sudikan tinggal komentar anda. TQ

Isnin

TUAN GURU HAJI SULONG AL-FATHANI YANG SYAHID

Telah tercatat dalam sejarah bahawa kelima-lima anak lelaki Tuan Minal al-Fathani (Sheikh Zainal Abidin al-Fathani) menjadi ulama. Salah seorang antaranya ialah Sheikh Abdul Qadir bin Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani. Beliau melahirkan ramai keturunan yang menjadi ulama, antaranya adalah ulama yang dibicarakan ini iaitu Tuan Guru Haji Sulong al-Fathani.

Haji Sulong al-Fathani adalah seorang ulama yang sangat besar pengaruhnya bagi umat Islam Patani. Bahkan hampir semua orang Islam yang berasal dari Patani mengenali beliau. Beliau turut diakui oleh masyarakat Patani sebagai Bapa Perjuangan Patani, kerana pembangkit Revolusi Patani Merdeka pada zaman moden.

Pada zaman Perang Dunia Kedua, beliau dilantik sebagai ketua untuk pergerakan ulama Patani yang membuat tuntutan kemerdekaan dengan dinamakan Hai-atun Nafaz al-Ahkam asy-Syari'yah.

Ketika remajanya, Haji Sulong selalu mengikuti bapanya belajar kepada Sheikh Ahmad al-Fathani. Tidak dapat dinafikan bahawa sehinggakan kesan kewibawaan dan kepimpinan Sheikh Ahmad al-Fathani turut sebati dalam diri Haji Sulong. Disimpulkan bahawa Haji Sulong ialah kader politik tempatan Sheikh ahmad al-Fathani walaupun ketika itu usia Haji Sulong masih muda.

Karya-karya

Kesemua karya Haji Sulong menggunakan nama Haji Muhammad Sulum bin Abdul Qadir bin Muhammad al-Fathani. Menurut penelitian penulis dan selepas berbahas dengan beberapa keturunan ini. Antaranya Haji Muhammad Amin bin Haji Sulong, Hajah Nik Wan Nafisah (iaitu isteri Abdullah bin Sheikh Abdul Qadir bin Tuan Minal al-Fathani, merupakan saudara kandung Haji Sulong), bahawa memang tidak terdapat anak Sheikh Zainal Abidin al-Fathani yang bernama Muhammad.

Maka kami simpulkan bahawa munculnya nama 'Muhammad' yang dikatakan ayah kepada Sheikh Abdul Qadir al-Fathani hingga kini belum diketahui sebab-sebabnya. Ia berkemungkinan memang sengaja ditulis oleh Haji Sulong seperti demikian yang merujuk kepada ayah Tuan Minal sendiri.

Nama Haji Sulong terkenal bukan kerana penulisan tetapi kerana perjuangan. Namun beliau juga telah menghasilkan beberapa artikel. Berikut dibicarakan sebahagian maklumat berkaitan penulisan yang beliau hasilkan.

i. Kitab Cahaya Islam - Gugusan Maulid Saiyidil Anam

Cahaya Islam ditulis oleh Haji Sulong al-Fathani sempena bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW pada tahun 1362 H/1943 iaitu dalam masa darurat suasana Perang Dunia Kedua.

Di bawah judul kitab, dinyatakan juga, "Dan perihal asal bagi berbuat Maulid Yang Karim. Dan Menyatakan kelebihan yang amim".

Karya judul tersebut kemungkinan terdiri dari beberapa jilid, tetapi yang sempat diterbitkan hanya jilid yang pertama saja. Cetakan yang pertama oleh Mathba'ah Patani Press, pada 23 Rabiulakhir 1372 H, bererti 10 tahun setelah selesai ditulis.

Tumpuan utama kandungan kitab Cahaya Islam adalah tentang Maulid Nabi Muhammad SAW. Namun pendekatan yang digunakan jauh berbeza dengan penulisan-penulisan lain yang pernah dihasilkan oleh ulama dunia Melayu yang terdahulu daripadanya. Hampir separuh kandungan jilid pertama adalah membahas pembahagian bidaah.

Seterusnya dilanjutkan pula pendapat para ulama-ulama yang terkenal dunia Islam tentang hukum mengadakan Maulid Nabi Muhammad SAW.

Sebelum membahaskan lebih lanjut, Haji Sulong al-Fathani menyatakan abstrak karangannya terlebih dahulu, iaitu: 1. Kenyataan fasal bidaah, dan maknanya, serta segala bahagiannya. 2. Kenyataan fasal dalil bagi sunat berbuat maulid, dan sunat bangun berdiri. 3. Kenyataan fasal kelebihan berbuat maulid, dan kelebihan orang yang hadir pada majlisnya.

Mengenai yang pertama iaitu fasal bidaah yang terkandung pada halaman 4-5 kitab tersebut, Haji Sulong al-Fathani menulis, "Bahawa berbuat maulid itu bidaah, kerana tidak diperbuat oleh Nabi SAW, dan begitu juga sahabat-sahabat dan ulama-ulama yang kemudian daripada sahabat.

" Hingga sampai kepada tahun hijrah 300 tahun tiada ada siapa-siapa yang berbuat akan dia. Dan kemudian daripada hijrah yang tersebut itu barulah timbul maulid. Dan tatkala timbul maulid itu sentiasa orang-orang Islam pada tiap-tiap negeri mengadakannya, istimewa pula negeri yang besar-besar seperti Baghdad, negeri Syam, negeri Mesir, negeri Mekah, Madinah, pada tiap-tiap tahun menghimpunkan manusia serta diperbuat beberapa kebajikan daripada jamuan, dan membaca Quran, dan berzikir, dan membaca kisah maulid...".

Namun, Haji Sulong al-Fathani menolak pendapat golongan tertentu yang mengatakan bahawa mengadakan perayaan maulid adalah bidaah yang keji (terlarang). Selanjutnya beliau menulis perkara tersebut yang terkandung pada halaman 5-6, iaitu "Maka sesungguhnya berbuat maulid itu bidaah. Akan tetapi masuk di dalam bahagian 'bidaah hasanah' diberi pahala akan orang yang mengerjakan dia, seperti memperbuat ibadat yang sunat ... Maka perhamba sebutkan sedikit fasal bahagian bidaah kerana takut terkeliru di atas mereka yang tidak tahu bahagian bidaah, maka ia berkata bahawasanya berbuat maulid itu bidaah yang keji atau haram, seperti sangkaan mereka yang telah disesatkan..."

Haji Sulong al-Fathani berpegang bahawa merayakan maulid Nabi SAW adalah termasuk dalam kategori Bidaah Hasanah atau sunat dikerjakan. Untuk menguatkan pendapat tersebut, beliau memetik pendapat-pendapat di antaranya Sheikh Ibnu Hajar al-'Asqallani, Imam as-Sayuthi, al-Muhaddits Muhammad bin Mas'ud al-Kazaruni dan ulama-ulama lainnya, sedangkan mereka adalah ulama ahli hadis yang sangat terkenal.

Semua pendapat ulama yang tersebut dilengkapi dengan petikan yang agak panjang dan pada beberapa tempat disebut pula kitab-kitab rujukan.

Pada penutup bahagian pengenalan Cahaya Islam di halaman 42, karya Haji Sulong menulis, "Dan telah lalu cerita Hikayat Raja al-Muzhaffar Abu Said, bahawasanya membelanjakan hartanya pada berbuat maulid di dalam setahun 30 laksa dinar.

"Maka janganlah mengikut pengugut-pengugut iblis, yang ia berkata kepada seseorang, "Janganlah engkau belanjakan harta engkau kepada jalan kebajikan, lama-lama habis harta engkau jadi papa, maka jadilah engkau orang miskin". Maka itulah jadi bakhil dan lokek tidak berbuat sesuatu kebajikan dengan hartanya. Maka minta Allah SWT menjauhkan hal yang semacam itu daripada kita".

ii. Kitab Gugusan Cahaya Keselamatan

Kitab ini adalah karya Haji Sulong yang terakhir yang ditulis ketika dalam penjara di Legor. Selepas karya ini, tidak ada karya beliau yang lain kerana setelah itu Haji Sulong hilang secara misteri. Bahkan hingga sekarang tidak diketahui dimana Haji Sulong dikebumikan. Judul karangan yang diberikan oleh Haji Sulong ialah Gugusan Cahaya Keselamatan.

Gugusan Cahaya Keselamatan selesai ditulis pada 3 Zulkaedah 1368 H bersamaan dengan 28 Ogos 1949 M. Cetakan yang pertama 10.000 naskhah, diusahakan oleh Haji Muhammad Amin anak Haji Sulong.

Dicetak oleh Saudara Press Patani, 185, Jalan Rodi, Patani, 1377 H/1958 M. Di bawah judulnya, Haji Sulong memberi keterangan sebagai berikut, "Pada membentengkan. Beberapa wirid, dan doa, dan ayat Quran. Diterbitkan cahaya yang cemerlang daripada jel negeri Legor, Siam, ke seluruh negeri Islam ..."

Kandungannya merupakan kisah yang terjadi mulai kedatangan pihak penguasa Siam untuk menangkap Haji Sulong pada jam 5 petang, hari Jumaat 5 Rabiulawal 1367 H bersamaan 16 Januari 1948 M.

Semua peristiwa yang berlaku terhadap diri beliau dicatat dengan kemas dan teliti, sehinggalah beliau selesai menulisnya. Kandungan selanjutnya ialah berbagai-bagai jenis amalan untuk ketahanan diri menghadapi perjuangan.

Sebelum membicarakan kandungan kitab, terlebih dulu dimuat gambar Haji Sulong. Di bawah gambar tersebut dan sesudah nama beliau diberi keterangan oleh Haji Muhammad Amin bin Haji Sulong,

"Beliau telah meninggal dunia bersama-sama anaknya Ahmad, Wan Utsman dan Encik Ishaq pada malam Sabtu, 13 Singhakom 2497 bersamaan 13 Ogos 1954, di dalam laut Senggora kerana dibunuh oleh kakitangan kerajaan kejam".

Sesudah gambar Haji Sulong, pada halaman yang di sebelahnya adalah gambar anak beliau, di bawahnya dinyatakan, "Haji Muhammad Amin bin al-Marhum Tuan Guru Haji Muhammad Sulum Fathani. Wakil Rakyat Patani".

Pada kata pengantarnya, Haji Muhammad Amin mencerminkan jiwa patriotik, mengajak umat Patani terus berjuang. Di antara kata-kata beliau, "Dengan ini saya mengeluarkan sebuah buku karangan ayahanda saya untuk menjadi pengetahuan kepada seluruh umat Islam. Buku inilah menjadi pusaka bagi isterinya, anak-anaknya seterusnya kaum bangsa kita".

Kata Haji Muhammad Amin pula, "Sekarang ini saya berseru kepada kaum muslimin dan muslimat sekelian, biar pun ayahanda saya telah tidak ada lagi dimuka bumi ini, kerana beliau telah mati syahid, tetapi perasaan dan semangat serta juga jasa-jasanya masih hidup. Dan tertanam di dalam jantung sanubari tuan-tuan sekalian untuk kita pula bersama-sama bekerja dan mencapai tujuan-tujuan baik yang telah diasaskan oleh ayahanda saya itu ..."

Pada mukadimah, Haji Sulong memantapkan pegangan perjuangannya dengan pandangan akidah, dipetik dari firman Allah bahawa sesuatu tiada terjadi pada seseorang melainkan yang sudah ditentukan oleh Allah.

Dari hadis pula Haji Sulong menyebut, "Barang yang menghendaki Allah SWT itu ada ia. Dan barang yang tidak menghendaki itu tidak ada ia". Kata Haji Sulong lagi, "Datanglah percubaan yang berpatutan dan munasabah dengan pekerjaannya dan tuannya. Kalau besar pekerjaannya, besar percubaannya. Kalau kecil, kecil percubaannya".

Setelah wasiat dan nasihat pada mukadimah, pada halaman dua pula Haji Sulong menceritakan penangkapan terhadap dan sebab-sebabnya, bahawa pada 16 Januari 1948 petugas-petugas kerajaan Siam datang ke rumah beliau.

Katanya, "..serta membawa surat memberi perintah suruh tangkap saya. Dan suruh periksa bilik-bilik rumah dengan sebab saya membuat surat wakil kepada Tengku Mahmud Muhyiddin bin Tengku Abdul Qadir, Raja Patani berkenaan dengan tujuh buku (maksudnya: perkara) tuntutan rakyat-rakyat Patani kepada kerajaan Siam. Ialah dengan persetujuan rakyat jelata Patani suka berwakil kepadanya supaya boleh berunding dan berkira akan tuntutan yang telah dihantar kepada kerajaan pada 19 Jamadilawal tahun 1366 H bersamaan dengan 3 Musayun tahun 2490 B (3 April 1947 M) ..."

Mulai dari kalimat-kalimat yang tersebut dan seterusnya Haji Sulong menceritakan semua peristiwa yang berlaku atas diri beliau. Pada pandangan penulis, karangan Haji Sulong inilah merupakan sejarah asli perjuangan rakyat Patani sesudah perang dunia yang kedua untuk mengembalikan 'Daulah Patani Darus Salam' dari pemerintahan Siam.

Sebelum menutup karangan ini, sekali lagi Haji Sulong memberikan kata-kata slogan perjuangannya, kata beliau pada halaman 13, "Akan tetapi manakala saya teringat akan tarikh nabi-nabi dan sahabat-sahabat dan tabi'in r.a bermacam-macam ditimpa percubaan di atas mereka itu, ialah menjadi contoh dan tauladan supaya mengikut oleh mereka yang bersetuju melangkah sebagaimana langkahan mereka itu yang patut dengan peredaran masa yang kelam sekarang.

"Maka tidaklah jadi pelik dan dukacita, oleh kerana perjalanan saya mengikut dasar mereka itu, iaitu meninggikan agama yang maha suci..."

Sumber dari Utusan Melayu :) 2 Ferari 2009

3 ulasan:

Muhammad berkata...

SEMINAR PEMBINAAN UMMAH DAN MEMBASMI MURTAD{ Februari 3, 2009 @ 12:02 pm } · { Majlis Ilmu }
{ Tags: SEMINAR PEMBINAAN UMMAH DAN MEMBASMI MURTAD }

ANJURAN BERSAMA UIA (MAHALLAH REPRESENTATIVE COMMITTEE(MRC)ALL MAHALLAH IN PETALING JAYA AND NILAI CAMPUS AND FOUNDATION STUDENTS COORDINATION COUNCIL - FSCC), JAKIM, JAWI DAN YAYASAN SOFA
TARIKH: 11 SHAFAR 1430H / 7 FEBRUARI 2009M (SABTU)
MASA: 8.00 PAGI - 11.45 MALAM
TEMPAT: DEWAN MASJID WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR, JALAN DUTA.

ATURCARA:
7.30 pagi : Ketibaan para peserta
7.45 pagi : Ketibaaan tetamu khas dan juga para penceramah. Tetamu kehormat: Dato’ Pengarah JAKIM, Dato’ Mufti Wilayah Persekutuan dan Penaung Yayasan Sofa

8.15 pagi : Majlis Perasmian Seminar dan ucapan para tetamu kehormat.

9.15 pagi : Minum pagi

9.45 pagi : Ceramah 1 oleh al-Fadhil Ustaz Zamihan bin Haji Mat Zin, Pen. Pengarah Pusat Pengajian al-Quran dan Ilmu Teras, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM).
Tajuk ceramah: Peranan Mahasiswa Dalam Memahami Serta Membenteras Penyelewengan Agama Dan Gejala Murtad

10.45 pagi : Rehat

11.00 pagi : Ceramah 2 oleh al-Fadhil Ustaz Haji Mahfuz bin Muhammad al-Khalil, Pendakwah Bebas.
Tajuk ceramah: Kesamaran yang Perlu Dijelaskan dalam Memahami Agama

12.45 t’hari : Makan tengahari dan shalat zohor

2.00 petang : Ceramah 3 oleh Ustaz Ahmad Faidzurrahim bin Haji Muhammad Alwi, Pen. Pengarah Institut Pengajian Darul Hijrah, Pahang.
Tajuk ceramah: Pegangan Jitu Seorang Muslim

3.15 petang : Rehat

4.30 petang : Suai kenal bersama Ulama. Tausiyah oleh al-Mukarram Syaikh ‘Afeefuddin al-Jailani; Tausiyah oleh al-Habib ‘Ali Zaenal Abidin al-Hamid dan persembahan Qasidah oleh Yayasan al-Jenderami.

*************
Ceramah Khas - مفاهيم يجب أن تصحح (Kefahaman Yang Wajib Diperbetulkan)

7.45 malam: Ketibaan Tetamu Kehormat, penceramah dan para peserta seminar

8.15 malam: Majlis bermula - bacaan al-Quran, bacaan Ratib al-Hadddad, Ceramah oleh Syaikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki, Soal-Jawab

11.15 malam: Bacaan Maulid Daiba’ie, Qasidah Nabawiyah oleh Kumpulan as-Sofa

11.45 malam: Jamuan ringan dan bersurai.

Untuk keterangan lanju, sila hubungi:
Syed Muhd Saufi: 013-628 0251
Ustaz Muhadir: 012 - 697 3893

http://pondokhabib.wordpress.com

debun.ga berkata...

mmg bagus blog ni.. tatapan rohani.
truskan usaha

Godek Blog

Tanpa Nama berkata...

Article yang menarik! Semoga lebih banyak article seperti ini.
:)