Kebanyakan artikel disini adalah karya Al-Marhoum Tuan Guru Syeikh Wan Mohd Shaghir Abdullah R.A cucunda kepada Tuan Guru Syeikh Ahmad Al-Fathanie, juga dari akhbar2 nasional yang lain dan laman2 web yang bertebaran di alam maya juga disaduri macam2 hikayat,riwayat,kaifiat dan khasiat keemasan saya himpun dan susun sebagai koleksi peribadi dan bagi tatapan dan santapan rohani buat teman-teman yang sudi...himpunan artikel2 terbaru saya sekarang lebih muyul kepada informasi kesihatan ala muslim-jawi kearaban..... dan saya mula berjinak2 dengan jualan secara online produk kesihatan muslim, khasnya peralatan bekam (Set cawan, jarum dan pen bekam) dan khidmat pembekaman, Sudi-sudilah ziarah dan sudikan tinggal komentar anda. TQ

Isnin

KEILMUAN SYEIKH AHMAD YANG SYUMUL

Sheikh Ahmad Al-Fathani dan ilmu hisab
Koleksi tulisan Allahyarham WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

Lembaran ekonomi dan matematik karya Sheikh Ahmad al-Fathani.


PEMIKIRAN Sheikh Ahmad al-Fathani dalam pelbagai bidang ilmu sememangnya amat panjang untuk dibicarakan. Artikel ini masih lagi berkisar tentang pemikiran-pemikiran beliau berkenaan hal demikian. Kali ini dibicarakan pemikiran-pemikiran Sheikh Ahmad al-Fathani dalam tiga bidang ilmu, iaitu ilmu berkaitan hisab/falakiyah, waktu dan falsafah.

SHEIKH AHMAD AL-FATHANI DAN ILMU HISAB/FALAKIYAH
Penglibatan Sheikh Ahmad al-Fathani dalam bidang ilmu hisab boleh diketahui dengan mengkaji karyanya yang berjudul Al-Fatawal Fathaniyah.

Tidak banyak ditemui pembicaraan beliau tentang ilmu hisab itu dalam bahasa Melayu. Ini kerana Sheikh Ahmad al-Fathani lebih banyak menulisnya dalam bahasa Arab.

Tulisan beliau dalam bahasa Arab mengenai ilmu hisab dimulai dengan penerbitan kitab Matn as-Sakhawiyah fi ‘Ilmil Hisab karya Sheikh Abdul Qadir as-Sakhawi. Penerbitan dan pentahqiqan dilakukan pada tahun 1304 H/1886 M. Kemudian kitab tersebut beliau syarah pula dalam bahasa Arab.

Selain ilmu hisab yang biasa, yang dapat kita samakan dengan matematik, ada lagi ilmu hisab yang sangat erat hubungannya dengan ilmu falak. Ilmu hisab dan ilmu falak lebih banyak ditulis oleh Sheikh Ahmad al-Fathani berbanding ilmu hisab yang bercorak matematik. Karya beliau yang jenis kedua itu juga ditulis dalam bahasa Arab. Dalam tahun 1305 H/1887 M, Sheikh Ahmad al-Fathani telah mentahqiqkan kitab Wasilatut Thullab li Ma‘rifati A’mal al-Lail wa an-Nahar bi Thariq al-Hisab karya Syeikh al-Khaththab.

Pada tahun 1313 H/1895 M diselesaikan pula pentahqiqan kitab Ghayah al-Idrak fi al-‘Amal bi Kurah al-Aflak. Dalam tahun 1315 H/1897 M, kitab yang sama ditulis kembali dengan beberapa tambahan. Terdapat sebuah lagi karya Sheikh Ahmad al-Fathani yang terbesar mengenai ilmu hisab dan falak berjudul ar-Rubu’ al-Mujaiyab, tetapi tidak sempat diselesaikan. Selain karya-karya yang tersebut, Syeikh Ahmad al-Fathani juga menyelesaikan beberapa tulisan mengenai ilmu tersebut.

Berkembang- nya ilmu hisab dan falak di dunia Melayu pada penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20 Masihi adalah hasil peranan beberapa orang murid yang pernah belajar ilmu tersebut daripada Sheikh Ahmad al-Fathani di Mekah.

Di antara mereka yang terkenal dalam disiplin ilmu hisab dan falak ini ialah, Sheikh‘Abdur Rahman Gudang al-Fathani, Sheikh Muhammad Nur al-Fathani, Haji Umar bin Ismail Nuruddin Kelantan, Sheikh Thahir Jalaluddin al-Azhari al-Falaki, Sheikh Jamil Jambek, Haji Abdullah Fahim, Mufti Pulau Pinang dan ramai lagi.

Perlu juga penulis sebutkan bahawa hanya terdapat dua ulama dunia Melayu yang menjadi pengajar ilmu hisab dan falak di Mekah pada zaman itu. Mereka ialah Sheikh Ahmad al-Fathani dan Sheikh Ahmad Khathib Minangkabau.

Setelah Sheikh Ahmad al-Fathani meninggal dunia (1325 H/1908 M), Sheikh Ahmad Khathib Minangkabau meneruskan aktiviti pengajaran ilmu itu. Pada waktu yang sama muncul nama Sheikh Muhammad Nur al-Fathani. Sewaktu Sheikh Ahmad al-Fathani masih hidup, Syeikh Muhammad Nur al-Fathani sudah mula mengajar ilmu itu tetapi masih belum begitu dikenali.

Pemikiran tentang Ilmu Hisab/Falakiyah
Pemikiran mengenai ilmu Hisab/Falakiyah ini dapat dilihat melalui karya beliau dari kitab Al-Fatawa Al-Fathaniyah.

Menurut beliau mengenai perkara tersebut, iaitu: “Ketahui olehmu, Bahawasa yang dikehendaki dengan hisab, yang bersalahan ‘ulama’ pada harus ia beramal dengan hisabnya pada puasa dan berbuka, iaitu: orang mengetahui ia akan segala manazil bulan dan segala darjahnya, dan segala daqaiqnya. Dan mengetahui ia akan turun bulan pada segala manazil, dan takdir perjalannya padanya. Dan mengetahui ia akan segala buruj, dan perjalanan matahari padanya. Dan mengetahui akan qausul irtifa’, dan jauh negeri itu dari khatulistiwa.

Dan yang lain daripada yang tersebut itu beberapa perkara lagi, terhenti atas mengetahuinya pada ‘ulama’ falak. Maka apabila mengetahui ia akan segala perkara itu sekeliannya, mengetahuilah ia akan ketika berhimpun matahari dan bulan, dan berhadap keduanya dan bercerai.

Maka mengetahuilah ia pada ketika itu, bahawasa bulan ada maujud pada malam itu, atau tiada. Inilah yang dikehendaki dengan hisab yang tersebut pada perkataan fuqaha’. Ada pun mereka yang tiada mengetahui ia akan segala perkara yang tersebut itu, dan mengambil ia daripada jadual atau daerah yang dihantarkan dia bagi mengetahui segala awal bulan atau me[n]taqlid ia akan mereka yang menghantarkan yang tersebut itu, maka orang yang tersebut itu tiada khilaf pada ketiadaan shah amalnya. Kerana tiada dinamakan dia hisab.

Ada pun orang yang hisab, maka berkhilaf ‘ulama’ padanya. Dan hasilnya bahawasanya Sheikh Ibnush Shalah dan jumhur al-‘ulama’ cenderung mereka itu ketiadaan harus ia beramal dengan hisabnya sekali-kali dengan ketiadaan tafshil. Dan cenderung kepadanya oleh Ibnu Qasim pada Fat-hul Ghaffar.

Dan kata Imam Nawawi pada Majmu’ dan Syeikh Ibnu Hajar pada Tuhfah bahawasanya harus baginya beramal dengan hisabnya bagi dirinya dan tiada memadakan dia daripada bulan Ramadan apabila nyata keadaan hari itu daripada bulan Ramadan.

Kata Sheikh Ramli, harus beramal bagi dirinya dan memadakan dia daripada bulan Ramadan. Ada pun taklidnya, maka tidak harus pada Sheikh Ibnu Hajar dan Nawawi. Dan harus pada setengah daripada kitab yang bernama Al-Qaulush Shawab.

“Dan bermula ibarat Kurdi, bermula yang berlaku atasnya oleh Thablawi dan asy-Syihabur Ramli dan anaknya iaitu wajib beramal dengan yang demikian itu serta dengan memadai. Dan demikian itu tiap-tiap mereka yang mengkhabarkan oleh kedua-duanya dan ghalib atas sangkanya benar kedua-duanya.”

Pemikiran tentang Waktu
Pemikiran Sheikh Ahmad al-Fathani tentang waktu pula dapat dilihat melalui beberapa petikan-petikan dari karya beliau dari kitab Hadiqah al-Azhar dan surat kepada anaknya yang bernama Haji Wan Ismail al-Fathani.

Petikan Dari Hadiqah Al-Azhar
“Ketahui olehmu hai saudaraku, bahawasa ini permainan membawa ia kerugian yang amat banyak daripada kebajikan dunia dan akhirat. Jikalau difardukan bahawasanya tiada daripadanya meninggalkan sembahyang dan umpamanya, memadailah akan dikau kerugian. Bahawasanya lalu beberapa juzuk yang sangat mahal daripada umur engkau di dalam sia-sia yang tiada dapat dipulangkan sekali-kali. Dan jikalau manfaat engkau pada mengembalikan dia akan beberapa bukit daripada emas sekali pun. Maka sayugialah bagi yang akil (yang berakal) meninggalkan dia dan berhadap ia kepada segala yang memberi manfaat baginya pada dunia dan akhirat.”

Petikan Arkib Surat Menyurat,
Surat Kepada Anaknya (Haji Wan Ismail Al- Fathani)

Mengetahui aku bahawasa engkau amat suka dan gemar berjalan, khususan pada malam. Dan tiada tersembunyi bahawa demikian itu membawa beberapa mudarat. Setengah daripadanya rugi muthala‘ah; dan hafaz dan mengaji misalan.

“ Jikalau engkau berjalan lepas Maghrib hingga pukul enam Arabi, malam, maka telah rugi daripada umur engkau. Hal keadaan sia-sia sekerat malam. Maka dalam sebulan telah rugi 15 malam. Dan di dalam setahun rugi engkau 180 malam. Bertambah pula beberapa rugi yang amat banyak daripada umur engkau yang lalu sia-sia dengan sebab engkau tinggal sehari atau sekerat hari. Sebelah pagi atau sebelah petang. Yang engkau sangkakan uzur engkau, padahal hanya semata-mata malas atau dengan sebab tiada ingat me[ng]hafaz yang jadi dengan sebab berjalan malam itu. Atau yang jadi dengan sebab mengantuk mata dengan bahawa duduk berjaga berjalan dan bercakap sama-sama kawan itu. Maka sekalian itu membawa kepada rugi umur daripada mendapatkan ma‘arif dan ‘ulum (ilmu pengetahuan).

“Hendaklah engkau bersungguh-sungguh pada menghasilkan akan ma‘arif dengan meninggalkan berjalan malam dan meninggalkan kuat bersuka-suka dengan ashhab (teman-teman)”.

SHEIKH AHMAD AL-FATHANI DAN FALSAFAH
Menurut seorang ulama Patani yang juga hafiz al-Quran iaitu Tuan Guru Haji Nik Abdullah bin Ahmad al-Jambui al-Fathani berkenaan Sheikh Ahmad al-Fathani dan falsafah, beliau menulis, “... Tok Wan Ngah (gelaran bagi Syeikh Ahmad al-Fathani) filosof Melayu Islam yang telah mengarang kitab- kitab Arab dan Jawi di Mekah, dan guru bagi alim-ulama Melayu pada zaman dahulu ...”

Ini bererti, Sheikh Ahmad al-Fathani adalah seorang yang pernah mempelajari falsafah dan memahaminya secara mendalam dan pernah membicarakan ilmu itu dalam beberapa tulisannya.

Oleh kerana beliau ialah seorang ulama yang berpegang teguh dengan Ahli Sunnah wal Jama‘ah mengikut ajaran dua orang Imam akidah, iaitu Syeikh Abu Hasan al-Asy’ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi, maka beliau menolak pegangan ahli falsafah yang bertentangan dengan akidah Islam.

Falsafah yang dipegang oleh Sheikh Ahmad al-Fathani adalah berpedomankan aliran yang digariskan oleh Hujjatul Islam Imam al-Ghazali.

Sewaktu beliau mentashhih kitab Bidayah al-Hidayah karya Sheikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin Aceh, beliau menyebut bahawa ‘filosof’ itu adalah kepala ahli filsafat Yunani manakala golongan ‘falsafah’ itu adalah golongan kafir Rom ahli Yunani.

Sheikh Ahmad al-Fathani menegaskan bahawa ahli filsafat Rom Yunani itu adalah kafir kerana mereka tidak mahu mengikut syariat yang diajar oleh Nabi Musa pada zaman itu.

Ketika mentashhih kitab ad-Durr ats-Tsamin karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Sheikh Ahmad al-Fathani telah menyamakan pengertian ‘falasifah’ itu dengan mulhid, iaitu menurut beliau “suatu firqah yang membantahi pada agama dan menikam padanya”.

Dalam puisi beliau yang ditulis dalam bahasa Arab, Sheikh Ahmad al-Fathani menegaskan bahawa 5 (lima) perkara menjadikan kufur golongan falasifah ialah:
- Bahawa mereka menafikan sifat-sifat ketuhanan.
- Bahawa setelah menafikan sifat-sifat ketuhanan, tiba-tiba mewajibkan makrifah.
- Mereka berpendapat bahawa alam adalah ada dengan sendirinya.
- Bahawa Tuhan tidak mengetahui bahagian-bahagian alam secara terperinci.
- Bahawa mereka menafikan berhimpun di Padang Mahsyar pada hari kiamat.
Pemikiran Tentang Falsafah
Pemikiran beliau mengenai falsafah dapat dilihat melalui beberapa petikan dari hasil karya-karya beliau. Berikut adalah petikan-petikan beliau tentang tersebut, iaitu:

Petikan dari Bidayah Al-Hidayah Karya Sheikh Muhammad Zain Aceh, Taqrir Sheikh Ahmad Al-Fathani.

Ketika mentashhih Bidayah al-Hidayah dan ad-Durr ats-Tsamin Sheikh Ahmad al-Fathani menulis, “Falasifah, mereka itu satu kaum daripada kuffar Rom daripada ahli Yunani. Dan kepala mereka itu filosof. Berkata ia dengan “sedia roh dan alam.”

Dibangkitkan Nabi Musa pada zaman mereka itu. Maka menyeru ia akan mereka itu kepada syariatnya, maka enggan mereka itu dan engkar mereka itu. Maka bahawasa kami berkata seperti barang yang engkau berkata. Dan lebih lagi atas engkau kerana bahawasanya kami tiada mengharuskan akan sembelih binatang bersalahan kamu”.

Petikan Dari Ad-Durr Ats-Tsamin Karya Sheikh Daud Bin Abdullah al-Fathani, Taqrir Syeikh Ahmad Al-Fathani.

“Mulhid, yakni falasifah, ambil dari kata ilhad. Dan iaitu cenderung daripada istiqamah. Ertinya i‘tiradh mereka itu dengan istiqamah atas istidlal Ahlus Sunnah, atas huduts segala jirim alam dengan huduts segala sifatnya. Maka berkata ahli falsafah, “Bermula alam itu qadim dan segala zatnya melainkan harakat jua. Makna mulhid itu suatu firqah yang membantahi pada agama dan menikam padanya”.

PENUTUP
Masih terdapat beberapa pemikiran Sheikh Ahmad al-Fathani dalam pelbagai bidang ilmu yang belum dibicarakan. Oleh itu, akan dilanjutkan seterusnya, yang mana ia menyentuh pemikiran beliau dalam ilmu perubatan, sejarah dan bahasan beliau tentang keturunan Bugis yang tersebar di kerajaan Melayu.

28 Julai 2008 / 25 Rejab 1429 utusan

Tiada ulasan: