Kebanyakan artikel disini adalah karya Al-Marhoum Tuan Guru Syeikh Wan Mohd Shaghir Abdullah R.A cucunda kepada Tuan Guru Syeikh Ahmad Al-Fathanie, juga dari akhbar2 nasional yang lain dan laman2 web yang bertebaran di alam maya juga disaduri macam2 hikayat,riwayat,kaifiat dan khasiat keemasan saya himpun dan susun sebagai koleksi peribadi dan bagi tatapan dan santapan rohani buat teman-teman yang sudi...himpunan artikel2 terbaru saya sekarang lebih muyul kepada informasi kesihatan ala muslim-jawi kearaban..... dan saya mula berjinak2 dengan jualan secara online produk kesihatan muslim, khasnya peralatan bekam (Set cawan, jarum dan pen bekam) dan khidmat pembekaman, Sudi-sudilah ziarah dan sudikan tinggal komentar anda. TQ

Isnin

KARYA SHEIKH AHMAD FATHONI DALAM BAHASA ARAB

Karya-karya Bahasa Arab Sheikh Ahmad al-Fathani
koleksi kajian dan tulisan Almarhoum Syeikh Wan Mohd Saghir

Adalah suatu penyelidikan yang keliru oleh beberapa penulis yang mengatakan Syeikh Ahmad al-Fathani meninggalkan karya lebih kurang 16 buah saja. Menurut kajian penulis sendiri, barangkali boleh ditambah ‘0’ di belakangnya, bererti menjadi 160. Bahkan lebih banyak daripada yang tersebut itu.

Karya Sheikh Ahmad al-Fathani terbahagi kepada tiga bentuk iaitu:

A. Tulisan dalam bahasa Arab

B. Tulisan dalam bahasa Melayu

C. Kitab-kitab yang ditashhihnya termasuk beberapa bahasa daerah disesuaikannya dengan bahasa Melayu yang berlaku menurut zamannya. Kitab-kitab yang ditashhihnya terdiri pula kepada dua bahagian iaitu dalam bahasa Arab dan dalam bahasa Melayu.

Jumlah karya Syeikh Ahmad al-Fathani sebenarnya tidak diketahui kerana sebahagian besar koleksi manuskrip karya beliau atau orang lain yang dipindahkan dari Mekah ke Jambu, Patani oleh anaknya Kadi Haji Wan Ismail Al-Fathani telah musnah dalam Sungai Jambu dalam tahun 1970.

Beberapa naskhah pula diambil oleh beberapa orang yang tinggal di rumah beliau di Mekah yang kemudiannya membawa pulang ke tempat asal mereka. Manuskrip yang dapat diselamatkan hanyalah sebahagian kecil. Itu pun yang dibawa oleh Tuan Guru Haji Mahmud dari rumah Sheikh Ahmad al-Fathani di Mekah ke Gajah Mati, Pendang, Kedah. Ada juga yang dibawa ke Kepulauan Riau oleh anak beliau sendiri, iaitu Hajah Wan Zainab.

Seluruh karya Sheikh Ahmad al-Fathani yang telah diperolehi ataupun maklumat tentangnya yang telah diketahui akan dibicarakan dalam artikel ini. Karya yang ditulisnya dalam bahasa Arab diusahakannya sejak umurnya masih muda belia, ketika ia masih belajar di Baitulmaqdis dan Mesir. ( kisah bagaimana beliau berkelana menimba ilmu tanpa rasa lelah dan jemu boleh dirujuk di artikel sebelum ini disini )

Selanjutnya setelah pulang ke Mekah baru beliau menulis dalam bahasa Melayu. Walau bagaimanapun karyanya yang pertama yang ditulis ketika berusia 15 tahun ditulis dalam bahasa Melayu.

KARYA-KARYA BELIAU

Berikut adalah sebahagian senarai karya-karyanya yang diketahui ditulis dalam bahasa Arab:

- Jumanatut Tauhid, tahun 1293 H/1876 M di Mesir. Disalin semula pada malam Ahad, pukul 8.12, pada 27 Ramadan 1312 H/24 Mac 1895 M. Ditemui hanya dua salinan selain yang disebut itu, sebuah salinan milik anak beliau Kadi Wan Ismail al-Fathani dan sebuah lagi milik anak saudara sepupu pengarang, iaitu Tuan Guru Haji Abdul Qadir Senawi al-Fathani.

- Jumanat al-Tauhid ditulis dalam bentuk puisi terdiri daripada 184 bait. Pada halaman muka Sheikh Ahmad al-Fathani menegaskan bahawa beliau bermazhab Syafie dalam fiqh, Ahli Sunnah wal Jamaah (Al-Asy’ariyah dan al-Maturidiyah) dalam akiidah, dan bertarekat dengan Tarekat Syathariyah dalam tasauf.

- Munjiatul ‘Awam li Manhajil Huda minazh Zhalam, diselesaikan penulisannya pada malam Jumaat, selepas sembahyang Isyak, 12 Rabiulawal 1293 H/7 April 1876 M di Mesir. Hanya dijumpai sebuah manuskrip salinan Tuan Guru Haji Mahmud bin Yusuf Juani, Gajah Mati, Kedah.

Risalah ini juga dalam bentuk puisi Arab, yang terdiri dari 102 bait, dua rangkap-dua rangkap. Kandungannya juga mengenai akidah tetapi beberapa perbicaraannya adalah berbeza dengan Jumanat al-Tauhid.

- Ats-Tsimarusy Syahiyah fi ma la Yastaghnal Mubtadi-una ‘anhu min Masa-ilin Nahwiyah, diselesaikan di Mesir. Tanpa dinyatakan tarikh pada manuskrip, tetapi pada manuskrip milik Abdul Lathif bin Zainal Abidin al-Fathani. Tarikh pada halaman muka dinyatakan 1294 H/1877 M.

Risalah ini yang berupa cetakan pernah dikembarkan dengan cetakan Abniyatul Asma’ wal Af’al dan Ar-Risalatul Fathaniyah. Semua cetakan dilakukan di Patani dan di Kelantan tetapi Abniyatul Asma’ wal Af’al dan Ar-Risalatul Fathaniyah dicetak di Timur Tengah dan risalah ini tidak tercantum. Risalah nahwu tersebut ditulis dalam bentuk puisi terdiri dari 99 bait.

- Syarhuts Tsimarusy Syahiyah, tidak sempat diselesaikan. Dijumpai hanya satu manuskrip asli pada 26 Jamadilawal 1425 H/14 Julai 2004 M di rumah sepupu beliau, Sheikh Wan Ibrahim bin Abdul Qadir bin Mushthafa al-Fathani.

- Manzhumatul ‘Awamil, selesai ditulis pada Jumaat, 19 Syaaban 1296 H/8 Ogos 1879 M. Hanya diperolehi sebuah manuskrip asli saja. Kitab ini mengenai ilmu nahu yang terdiri dari 69 bait. Risalah ini adalah usaha Sheikh Ahmad al-Fathani merubah karya Sheikh Abdul Qahir al-Jurjani (wafat 471 H) daripada bentuk prosa kepada bentuk puisi.

- ‘Unqudul La-ali, selesai ditulis pada Selasa, 23 Syaaban 1296 H/12 Ogos 1879 M. Hanya diperolehi satu manuskrip asli saja. Juga mengenai ilmu nahu (ilmu tatabahasa arab) digubah dalam bentuk puisi yang terdiri daripada 98 bait.

- Tas-hilu Nailil Amani, tahun 1300 H/1882 M di Mekah. Tashilu Nailil Amani atau dengan judul lain Tasrihul Ghawanil fi Syarhil ‘Awamil, selesai ditulis bertepatan dengan azan zuhur, 12 Rabiulawal 1300 H/21 Januari 1883 M. Cetakan pertama diusahakan oleh Mathba’ah al-Bahiyah, Mesir, 1301 H/1883 M manakala cetakan ketiga pula oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1317 H/1899 M.

Termasuk juga cetakan mutawal oleh Dar al-Kutub al-‘Arabiyah al-Kubra, Mesir, 1325 H/1907 M. Ada lagi cetakan pertama untuk Mathba’ah al-Khairiyah, Mesir pada 1331 H/1912 M. Sejak cetakan pertamanya pada tahun 1301 H/1883 M sehingga kini, kitab tersebut masih dicetak terus oleh pelbagai percetakan termasuk beberapa percetakan di Surabaya, Bandung, Singapura, Pulau Pinang, Patani, Bangkok, dan lain-lain.

Kitab nahwu karya Sheikh Ahmad al-Fathani ini masih dijadikan bahan mengajar di beberapa tempat di dunia Islam.

- Syarh Matnis Sakhawi, diselesaikan penulisannya dalam tahun 1304 H/1886 M. Hanya diperolehi sebuah naskhah asli. Kitab ini membicarakan ilmu matematik.

- Syarh Wasilatith Thullab li Ma’rifati A’malil Laili wan Nahar, diselesaikan penulisannya dalam tahun 1305 H/1887 M. Hanya diperolehi sebuah manuskrip yang membicarakan ilmu falak.

- Sabilus Salam fi Syarhi Hidayatil ‘Awam, diselesaikan penulisannya pada Jumaat, 9 Jamadilawal 1306 H/12 Januari 1889 M di Mekah. Ditemui tiga manuskrip, sebuah yang asli, bertulis tangan, sebuah salinan Tuan Guru Haji Abdul Qadir Senawi tetapi salinan ini telah hilang di Kota Bharu, Kelantan dalam tahun 1391 H/1971 M. Terdapat sebuah lagi salinan Tuan Guru Haji Mahmud bin Yusuf Juani, tetapi tidak sempat diselesaikan penyalinannya.

Diriwayatkan bahawa kitab ini pernah dicetak di Mekah dan diajar oleh Sheikh Ahmad al-Fathani di Masjidil Haram. Kitab syarah mengenai tauhid itu adalah syarah karya gurunya Sheikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki. Sheikh Ahmad al-Fathani mensyarahkannya atas perintah gurunya itu.

- Al-Ibrizush Shirfi fi Fannish Sharfi, diselesaikan penulisannya pada Isnin, 4 Jamadilawal 1308 H/16 Disember 1890 M. Manuskrip asli bertulis tangan Syeikh Ahmad al-Fathani, ditemui dua buah dan yang sebuah lagi disalin dalam tahun 1310 H/1892 M. Terdapat pula sebuah salinan yang diusahakan oleh Abdul Hamid Tungkal dan kerja-kerja penyalinan dilakukan di Gajah Mati, Pendang, Kedah.

Kitab ini hanya sekali dicetak yang dilakukan oleh The United Press, Pulau Pinang atau usaha saudara sepupu Sheikh Ahmad al-Fathani, iaitu Sheikh Ibrahim/Pak Cu Him Kedah. Kitab yang membicarakan ilmu sharaf ini mempunyai catatan yang panjang, sehingga catatannya lebih panjang daripada kandungannya sendiri.

- Ghayatul Idrak fil ‘Amal bi Kuratil Aflak, diselesaikan penulisannya pada Isnin, 7 Rejab 1313 H/24 Disember 1895 M. Terdapat dua manuskrip asli tulisan tangan Sheikh Ahmad al-Fathani.

- ‘Ilmush Sharf, diselesaikan penulisannya pada Isnin, 21 Syaaban 1317 H/25 Disember 1899 M. Hanya ditemui salinan yang dibuat oleh anak beliau, iaitu Kadi Haji Wan Ismail al-Fathani, yang diselesaikan penulisannya pada Jamadilawal /Jamadil Akhir 1318 H/September/Oktober 1900 M.

Pada mulanya manuskrip ini dibuang ke Sungai Jambu tetapi dapat diselamatkan oleh ahli waris Sheikh Ahmad al-Fathani. Kejadian tersebut terjadi dalam tahun 1970. Kitab mengenai sharaf ini ditulis dalam bahasa Arab dan disertakan maksudnya dalam bahasa Melayu.

- Abniyatul Asma’ wal Af’al. Dijumpai hanya sebuah manuskrip asli. Beberapa percetakan di Patani, Kelantan dan Bangkok sentiasa menggabungkan karya beliau itu dengan Ar-Risalatul Fathaniyah. Semua cetakan tersebut terdapat taqrirat, saudara sepupu beliau, iaitu Sheikh Ismail/Pak De El bin Sheikh Abdul Qadir al-Fathani, sedangkan pada manuskrip tidak ada.

- Matnu Dhammin wa Madkhal, ditemui sebuah manuskrip yang asli dan jauh lebih lengkap daripada yang pernah diterbitkan. Manuskrip tersebut tidak menyertakan ertinya dalam bahasa Melayu sedang yang pernah diterbitkan setiap perkataan Arab disusuli ertinya dalam bahasa Melayu.

Selain itu ditemui sebuah ‘contoh’ naskhah untuk cetakan pertama yang merupakan pembacaan pruf yang disemak oleh Sheikh Ahmad al-Fathani sendiri yang dipenuhi dengan catatan-catatan pembetulan. Kitab ini pernah diterbitkan oleh Al-Ahmadiah Press, Singapura dengan meletakkan nama Muhammad Shiddiq, Sapat, Inderagiri sebagai pengarangnya dan ini menimbulkan suatu kekeliruan.

Edisi cetakan kitab ini sangat banyak, sama ada cetakan di Timur Tengah maupun di Asia Tenggara tetapi semuanya tidak mencantumkan nama Sheikh Ahmad al-Fathani selaku pengarangnya.

- Ar-Risalatul Fathaniyah. Dijumpai hanya sebuah manuskrip asli. Cetakan-cetakannya sama seperti keterangan di atas. Kedua-dua risalah yang berbentuk matan itu masih diajarkan di beberapa buah pondok di Kelantan, Kedah, Patani, Bangkok dan Burma.

Terdapat dua syarah kitab ini, sebuah syarah oleh Sheikh Ahmad al-Fathani sendiri, tidak sempat diselesaikan. Sebuah lagi berjudul Ibanatul I’rabiyah fi Syarh Ar-Risalatul Fathaniyah oleh Haji Abdul Qadir Senawi.

- Syarh Matnir Risalatil Fathaniyah, tidak sempat diselesaikan. Dijumpai hanya sebuah manuskrip asli pada 26 Jamadilawal 1425 H/14 Julai 2004 M di rumah sepupu beliau, Sheikh Wan Ibrahim bin Abdul Qadir bin Mushthafa al-Fathani. Manuskrip itu dalam keadaan rosak.

- Tadrijush Shibyan, tanpa catatan tahun. Dijumpai hanya sebuah manuskrip asli. Kandungannya membicarakan ilmu balaghah. Risalah ini dulunya pernah dicetak di Makkah dan Mesir.

- Ilmu Isti’arah, dinamakan juga Matnul Bayan, tanpa catatan tarikh. Dijumpai tiga buah manuskrip asli. Dua buah dilengkapi dengan catatan yang panjang dan sebuah tanpa catatan. Selain itu dijumpai lagi tiga naskhah salinan, yang dilakukan oleh anak beliau Kadi Haji Wan Ismail al-Fathani, Haji Abdul Qadir Senawi al-Fathani dan naskhah salinan Haji Mahmud bin Yusuf Juani. Cetakan risalah ini yang dijumpai adalah cetakan pertama oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Makkah, dalam tahun 1325 H/1907 M yang digabungkan dengan Janiyatuts Tsmarat karya Sheikh Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman al-Fathani iaitu anak Raja Jambu Fathani yang menjawat Syeihkhul Islam Selangor

Judul yang diberikan pada cetakan ini ialah Risalah Tata’allaqu bi ‘Ilmil Isti’arat. Dicetak pula di bahagian tepi kitab Syarhu Tadrijis Shibyan ila Tasywiqil Bayan karya Sheikh Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman al-Fathani.

Dicetak oleh Mathba’ah al-Miriyah al- Kainah, Mekah, dalam tahun 1332 H/1913 M, judul yang diberikan pada cetakan ini ialah Matnul Bayan. Dicetak pula oleh Mathba’ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, Kelantan.

Disebut pada kulit muka, “Cetakan kali yang pertama ini dengan belanja Haji Wan Ismail anak mualif....” Dinyatakan bahawa naskhah tersebut ditashhih-kan oleh murid beliau, ialah Al-Fadhil Al-Haji Awang (Yusuf) Kenali atau maksudnya adalah Tok Kenali. Di halaman belakang naskhah tersebut dinyatakan selesai dicetak pada 19 Jamadilawal 1349 H/11 Oktober 1930 M. Pada cetakan ini digunakan judul Ar-Risalatu Tata’allaqu biha ‘Ilmul Isti’arah.

- Jadwal Mawaqi, tanpa tahun. Hanya ditemui sebuah manuskrip asli.

- Faidah Buruj Itsna ‘Asyara, tanpa catatan tahun. Hanya ditemui sebuah manuskrip asli.

- Mishbahul Ghulam, belum diketemui.

- Khawashu Asmail Husna, tanpa ada catatan tarikh. Hanya ditemui sebuah manuskrip asli.

- Manzhumatut Tauhid wal Fiqh wat Tashawul. Hanya ditemui sebuah manuskrip tetapi tidak lengkap. Ditulis dalam bentuk puisi.

- Ilmu Fiqh Islami, tanpa catatan tahun.

- Ilmu Tasauf, tanpa catatan tahun.

- Syarah Syarwani, tanpa catatan tahun. Belum pernah penulis lihat, tetapi diketahui berdasarkan cerita Ustaz Haji Abdur Rahman bin Abdul Qadir al-Fathani (di Mekah 1979). Kitab tersebut adalah antara kitab bekas koleksi Sheikh Ahmad al-Fathani yang dibuang ke Sungai Jambu dalam tahun 1970. Ustaz Haji Abdur Rahman al-Fathani yang kebetulan berdiri di tepi sungai tersebut dapat menyelamatkan kitab Syarah Syarwani daripada musnah dan kini ada dalam simpanan beliau.

- Al-Fatawal Fathaniyah, tanpa ada catatan tarikh. Hanya ditemui sebuah manuskrip tetapi tidak lengkap. Al-Fatawal Fathaniyah boleh ditemui dalam dua bahasa, iaitu bahasa Arab dan bahasa Melayu. Karya yang ditulis dalam bahasa Arab adalah kumpulan pertanyaan dan jawapan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani, iaitu pertanyaan yang datang dari seluruh dunia Islam sedang pertanyaan yang dalam bahasa Melayu datang dari dunia Melayu saja.

- As-Siyasatu wat Tadbir, ditemui manuskrip yang tidak lengkap. Kitab ini penting kerana membicarakan perkara-perkara politik dan pentadbiran zaman pemerintahan Melayu dan Islam.
- Al-Lam’atun Nuraniyah wan Nafahatul Miskiyah, hanya ditemui halaman pertama saja, di Menara, Patani, pada Oktober 1992. Kandungan kitab ini ialah mengenai sejarah Nabi Muhammad SAW.

Sumber utusan malaysia 16 Jun 2008 / 11 Jamadil Akhir 1429

Tiada ulasan: