Kebanyakan artikel disini adalah karya Al-Marhoum Tuan Guru Syeikh Wan Mohd Shaghir Abdullah R.A cucunda kepada Tuan Guru Syeikh Ahmad Al-Fathanie, juga dari akhbar2 nasional yang lain dan laman2 web yang bertebaran di alam maya juga disaduri macam2 hikayat,riwayat,kaifiat dan khasiat keemasan saya himpun dan susun sebagai koleksi peribadi dan bagi tatapan dan santapan rohani buat teman-teman yang sudi...himpunan artikel2 terbaru saya sekarang lebih muyul kepada informasi kesihatan ala muslim-jawi kearaban..... dan saya mula berjinak2 dengan jualan secara online produk kesihatan muslim, khasnya peralatan bekam (Set cawan, jarum dan pen bekam) dan khidmat pembekaman, Sudi-sudilah ziarah dan sudikan tinggal komentar anda. TQ

Sabtu

TENGKU ALI ULAMA DAN USAHAWAN

Tengku Ali Tengku Selat - Gembala perniagaan Melayu
Oleh ALMARHUM WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
DATUKNYA ialah Tengku Abdullah, Yang Dipertuan Muda Kerajaan Riau-Lingga ke-9. Ayahnya Raja Haji Muhammad atau Tengku Nong hanya sempat menyandang gelar `Kelana'. Oleh sebab beberapa faktor tertentu, tidak sempat menjadi Yang Dipertuan Muda Kerajaan Riau-Lingga. Ayah saudaranya pula Raja Haji Muhammad Tahir adalah Hakim Kerajaan Riau-Lingga. Semua nama yang tersebut itu dan beliau sendiri, iaitu Tengku Ali atau digelar juga dengan Tengku Selat adalah tokoh-tokoh Melayu yang bertaraf ulama, bersepadu dengan kearifan perkara-perkara yang bercorak duniawi.

Mereka beramal dan mendalami pengetahuan Islam, sekali gus bijak mengatur kemaslahatan kepentingan kehidupan peribadi, keluarga besar, umat Islam di persekitaran dan zamannya melalui perniagaan, pentadbiran jabatan dan pemerintahan yang mereka tangani.

Memperjuangkan

Hanya dua orang tokoh besar yang pernah berperanan dalam kerajaan Riau-Lingga, sewaktu penulis masih kanak-kanak dan pemuda, yang sempat penulis temui pada akhir hidupnya, ialah Tengku Ali dan Raja Haji Ahmad bin Raja Haji Umar Endut. Tengku Ali adalah seorang tokoh besar kerajaan Riau-Lingga kerana pernah menjadi Ketua Setiausaha Riau-Lingga. Rakyat Riau-Lingga juga pernah memperjuangkan beliau untuk menjadi Sultan Riau-Lingga, namun beliau menolaknya.

Tidak sedikit orang yang pernah memegang sesuatu jabatan tinggi atau berkuasa, mereka berpengaruh dan bijak, tetapi setelah tiada kuasa, mereka menjadi orang yang bodoh kerana hilang pegangan dan pedoman. Berlainan dengan Tengku Ali, sewaktu kerajaan Riau-Lingga dihapuskan oleh penjajah Belanda (1911), beliau sangat tekun beribadah, bertawakal kepada Allah. Sebahagian besar Kerabat Diraja Riau-Lingga berhijrah ke Singapura, namun Tengku Ali mempunyai pandangan tersendiri.

Kerajaan Riau-Lingga yang demikian besar pengaruhnya ketika itu telah hapus, perniagaan Raja Ali Kelana dan Raja Haji Ahmad mengalami krisis kehancuran tiada terkawalkan lagi, ketika itulah Tengku Ali muncul dengan kebijaksanaannya. Di dunia Melayu hanya beliau seorang yang diberi gelar `Gembala Perniagaan Melayu' oleh pemerintah Belanda ketika itu.

Dalam artikel ini penulis cuba mengungkapkan kisah ulama Riau-Lingga ini membina perniagaan yang benar-benar berdasarkan syariah Islam dan menggunakan sistem persahaman yang banyak persamaan dengan yang digunapakai dunia moden sekarang ini. Kemuncak niaga yang diusahakannya ialah Al-Ahmadiah Press, 101 Jalan Sultan Singapura yang berjasa mencetak dan menerbitkan pelbagai jenis kitab, buku, majalah dan lain-lain yang melibatkan pelbagai disiplin keilmuan, budaya dan warisan Melayu dan Islam.

Tengku Ali lahir tercatat pada 1286 H/1869 M, tetapi dalam Surat Keterangan Yang Berlaku Laksana Paspot No. 21441 yang dikeluarkan di Singapura pada 10/8/1950 oleh Republik Indonesia Serikat dinyatakan bahawa Tengku Ali lahir di Pulau Penyengat (Riau) tahun 1874 M. Wafat di Pulau Midai, Kepulauan Riau, 9 Rejab 1374 H/ 3 Mac 1955 M.

PENUNJANG EKONOMI

Untuk pengukuhan ekonomi, Tengku Ali memasuki pelbagai sektor penunjang sebagai benteng pertahanan supaya ekonomi tetap stabil. Sektor-sektor itu ialah, memiliki tanah perkebunan, memiliki tempat-tempat perniagaan sendiri, bukan menyewa kepada pihak lain, memiliki alat pengangkutan sama ada di darat mahu pun di laut, menjalankan permodalan bersama sama ada sesama keluarga atau kerabat mahu pun seluruh kaum Muslimin. Dalam hal ini perlu penentuan saham atau sher. Untuk kemaslahatan umat Islam, rangka pendek, perlu menyediakan tempat-tempat pendidikan. Untuk rangka panjang, umat Islam perlu mempunyai hak milik sendiri. Dalam hal ini perlu menyediakan perkebunan wakaf dan tanah wakaf. Menurut Tengku Ali modal yang paling utama seseorang insan Muslim ialah `tawakkal `alallah', mendahulukan pembayaran yang wajib, iaitu zakat daripada sedekah yang sunat. Mengenai ini termasuk juga mendahului pembayaran upah pekerja daripada lain-lainnya. Semua yang tersebut ini termasuk dalam kerangka pembinaan ekonomi sistem Islam Tengku Ali, yang menghendaki huraian yang sangat panjang, sekelumit di antaranya saja yang dapat diperkenalkan dalam artikel ini.

Sebagai bukti aktiviti Tengku Ali dalam sektor perkebunan di antaranya ditemui tulisan tangan beliau sendiri, bahawa beliau membuka perkebunan di Pulau Kemili, Riabu, Kepulauan Siantan. Surat yang dikeluarkan oleh Mahkamah Siantan, hari Isnin, 2 Rejab 1319 H bersamaan dengan tahun 1901 M yang ditandatangani oleh Orang Kaya Dewa Perkasa Muhammad Usman dan Amir Serta Bakal Pangeran Siantan yang diberikan izin kepada Raja Ali bin Raja Haji Muhammad Kelana/Tengku Nong membuat kebun getah dan lainnya di tanah Pulau Siantan Darat, Teluk Tarempa. Pemilikan tanah dan perkebunan Raja Ali di sekitar Kepulauan Siantan bukan untuk keperluan peribadinya saja, tetapi untuk umat Islam.

Tanah yang disebut dalam surat di atas, adalah sangat luas, separuh gunung Tarempa, Siantan, beliau wakafkan untuk Masjid Jamik Tarempa. Selain yang tersebut Tengku Ali juga mewakafkan beberapa tanah dan perkebunan kelapa di tempat-tempat lainnya, di antaranya tanah dan kebun kelapa untuk Masjid Baitur Rahman di Pulau Midai. Masjid tersebut beliau sebagai ketua, yang peralatannya dikerjakan dan didatangkan dari Terengganu. Selain itu ada lagi tanah wakaf dan kebun wakafnya untuk masjid di Jemaja. Tengku Ali juga adalah perintis pengurusan kebun-kebun wakaf untuk guru-guru yang mengajar di Mekah dan Madinah, kerana ulama yang mengajar di kedua-dua tanah haram pada zaman itu tiada bergaji atau mempunyai penghasilan tetap seperti sekarang ini. Pengiriman wang hasil wakaf ke Mekah dilakukan sekurang-kurangnya dua kali dalam setahun. Wakil Tengku Ali dalam urusan tersebut di Mekah ialah Syeikh Abdullah Shamad al-Filfulani (Pulau Pinang).

PERNIAGAAN DAN PERCETAKAN

Perniagaan Kerabat Diraja Riau-Lingga dicetuskan oleh Raja Haji Ahmad bin Raja Haji Umar, dimulai di Pulau Midai tahun 1324 H/ 1906 M. Tahun 1330 H/19l2 M Raja Ali/Tengku Selat menerima penyerahan pimpinan Syarikat Ahmadi & Co. Midai daripada Raja Haji Ahmad, kerana Raja Haji Ahmad akan berangkat pindah ke Mekah. Tanggal 28 Rejab 1332 H/1913 M surat nombor 91 dan nombor 92 Raja Ali mengirim surat kepada Raja Haji Ahmad di Mekah, bahwa beliau akan mengembangkan perniagaan Syarikat Ahmadi & Co. Midai di Singapura. Dengan Akta, Midai 1 Syaaban 1333 H/14 Jun 1915 M ditetapkanlah untuk membuka cawangan Ahmadiah Pulau Tu-juh di Singapura yang berpejabat di Palembang Road 18 B. Aktiviti perniagaannya merupakan agensi pengumpulan hasil bumi dan laut, selanjutnya aktif dalam eksport dan import pelbagai jenis barangan.

Kemudian pindah ke Minto Road 50. Pada hari Jumaat, 22 Rabiulawal 1339 H/3 Disember 1920 M mufakat pula mendirikan percetakan. Perusahaan di Minto Road 50 itu berkembang terus dan pada tahun 1926 M Ahmadiah membeli sebuah rumah nombor 82 Jalan Sultan Singapura, kemudian nombornya diganti menjadi nombor 101 Jalan Sultan. Grant List Governement nombor 2650 lamanya dianggarkan 99 tahun. Telah dibeli oleh orang lain sebelumnya pada 12 Julai 1873 M. Jadi Syarikat Ahmadi & Co. Midai di Singapura hanya memilikinya sampai 12 Julai 1972 Masihi saja.

DOKUMEN

Selain sebagai Ketua Al-Ahmadiah, Raja Ali/Tengku Selat adalah sebagai sponsor dan sesepuh daripada berbagai-bagai perusahaan niaga di Pulau Tujuh, Sumatera, Singapura dan Malaya. Di antara yang sempat penulis jumpai dokumennya ialah: 1. Natuna Syarkah Sedanau, sekurang-kurangnya telah wujud tahun 1318 H/1900 M, enam tahun mendahului Ahmadi & Co. Midai. Pendirinya Raja Haji Idris bin Raja Haji Umar/Tengku Endut. 2. Syarikat Air Putih (Midai). 3. Syarikat Kampar-Kuantan di Midai dan Sumatera. 4. Syarikat Semuafakat/ Moefakat (seluruh Pulau Tujuh). 5. Syarikat Subi-Pulau Panjang 6. Syarikat Letung-Jemaja. 7. Syarikat Terempa. 8. Syarikat Usaha Tenun Terengganu di Singapura. Semua syarikat tersebut ada ketua, tetapi hanya sebagai simbolik. Kuasa tertinggi sebagai penentu adalah Raja Ali/Tengku Selat. Lambang pada surat peribadi Raja Ali/Tengku Selat berbentuk tangan bersalaman dengan cogan kata (motto) di atasnya `Tawakkalna `ala Allah.' Di kanan `Bersetia Jaya', dan di kiri `Bercerai Merbahaya'.

Untuk menjadi anggota salah satu syarikat itu adalah dengan cara membeli lembaran sher atau saham. Ternyata yang paling banyak diminati oleh masyarakat Melayu ialah saham Ahmadi & Co. Midai mahu pun saham Mathba'ah Al-Ahmadiah Cawangan Singapura. Dalam penyelidikan yang penulis jalankan, penulis belum menemui sesebuah syarikat milik Melayu pada zaman itu yang mempunyai anggota yang bercorak sejagat. Orang-orang Melayu yang membeli saham syarikat itu selain Kerabat Diraja Riau-Lingga, termasuk beberapa orang ulama Melayu di Mekah yang berasal dari Patani, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan tempat-tempat lainnya. Saham juga dibeli oleh golongan terpelajar, di antara mereka ada yang berasal dari Padang dan Betawi (Jakarta). Saham anugerah pula di antaranya pernah diberikan kepada ulama Arab bernama Syeikh Abdul Hamid al-Firdausi, bekas Mufti Riau-Lingga. Surat Raja Ali di Singapura, tarikh 8 Safar 1347 H, memperlihatkan niat baik atau tujuan Al-Ahmadiah ditulisnya, ``... segala perjalanan kita dari dahulu hingga ini semata-mata atas jalan pemeliharaan dan bantu membantu atas tiap-tiap kesusahan, keberatan kerabat yang jauh apa lagi yang hampir ... ``. Dalam surat ini juga dinyatakan bahawa ``yang empunya harta benda yang dipegang oleh Ahmadi itu, laki-laki yang cerdik pandai berhitung dan lainnya''.

Hubungan perniagaannya juga sangat luas, surat Tengku Ali di Singapura tarikh 26.9.1925 M membuktikan bahawa Al-Ahmadiah 50 Minto Road, Singapura ada hubungan langsung kepada Company Robin di Amsterdam (Negeri Belanda). Surat Tengku Ali di Singapura kepada Raja Kaluk dan Raja Hasnan di Ahmadi Midai, tarikh 2 Jamadilawal 1344 H/18 November 1925 M membuktikan Al-Ahmadiah Singapura memesan langsung alat-alat percetakan dari Mesir, Beirut dan Amerika. Selain itu surat yang sama juga membuktikan kemajuan Mathba'ah Al-Ahmadiah Singapura.

WASIAT

Ketika Tengku Ali mencecah usia lebih kurang 93 tahun, pada tarikh Midai 35 Julai 1954, ketika itulah beliau membuat Surat Wasiat untuk orang-orang yang meneruskan usahanya. Ada 13 perkara yang termaktub dalam surat wasiat itu. Surat wasiat ditandatangani oleh yang berwasiat, juga ditanda tangani oleh tiga orang yang menerima wasiat, ialah Haji Abdullah bin Haji Wan Abdur Rahman, Raja Haji Muhammad Arif bin Raja Haji Mahmud dan Raja Muhammad Nazir bin Raja Haji Mahmud. Pada tarikh, Midai, 7 Ogos 1954 dibuat penambahan, yang beliau tanda tangani, juga ditanda tangani oleh dua orang saksi ialah Haji Abdullah bin Haji Wan Abdur Rahman dan Raja Ali bin Raja Mohd. Sa'id.

Utusan Malaysia 29/11/2004

Selasa

RAJA HAJI UMAR TOKOH KEWIRASWASTAAN ISLAM

Raja Umar Hasan - Mudir Mathba'ah Al-Ahmadiah pertama
BIOGRAFI Raja Ali Haji cukup banyak ditulis orang, yang diriwayatkan ini adalah salah seorang cucu ulama, pujangga, sejarawan Melayu yang sangat terkenal itu. Nama lengkap beliau ialah Raja Haji Umar bin Raja Haji Hasan bin Raja Ali Haji bin Raja Haji Ahmad bin Raja Haji asy-Syahid fi Sabilillah bin Upu Daeng Celak. Beliau adalah orang pertama yang berusaha menerbitkan karya-karya datuknya, Raja Ali Haji itu. Salah sebuah karangan Raja Ali Haji yang penting berjudul Kitab Pengetahuan Bahasa terbitan pertama oleh Mathba'ah Al- Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura, juga atas usaha Raja Haji Umar.

Oleh sebab kekeluargaan ini termasuk penting dalam perkembangan kepelbagaian dunia Melayu sejagat, maka sebelum menceritakan riwayat ringkas Raja Haji Umar bin Raja Hasan bin Raja Ali Haji yang tersebut, dirasakan perlu terlebih dulu memperkenalkan adik beradik Raja Ali Haji dan putera/puteri beliau. Adik beradik Raja Ali Haji yang telah diketahui ada 16 orang, ialah 1. Raja Abdul Majid, 2. Raja Abdul Wadud, 3. Raja Haji Umar/Tengku Endut, 4. Raja Haji Ali, 5. Raja Abdullah (Amir Karimun), 6. Raja Utsman, 7. Raja Abdul Hamid, 8. Raja Muhammad Sa'id, 9. Raja Kecik, 10. Raja Shaliha, 11. Raja Fatimah, 12. Raja Aisyah, 13. Raja Shafiyah, 14. Raja Maimunah, 15. Raja Hawi, dan 16. Raja Maryam. Perkembangan keturunan nama-nama yang tersebut di atas belum dibicarakan di sini dan akan dibicarakan secara terperinci pada tempat dan waktu-waktu mendatang.

Putera/puteri Raja Ali Haji ada 17 orang, ialah: 1. Raja Haji Hasan (ayah kepada personaliti yang sedang diriwayatkan), 2. Raja Mala', 3. Raja Abdur Rahman, 4. Raja Abdul Majid, 5. Raja Salamah, 6. Raja Kaltsum, 7. Raja Ibrahim Kerumung, 8. Raja Hamidah, 9. Raja Engku Awan (ibu kepada Raja Kaluk), 10. Raja Khadijah, 11. Raja Mai, 12. Raja Cik, 13. Raja Muhammad Daeng Menambon, 14. Raja Aminah, 15. Raja Haji Salman Engku Bih, 16. Raja Siah, 17. Raja Engku Amdah. Perkembangan keturunan nama-nama yang tersebut di atas juga belum dibicarakan di sini, kecuali yang sedang diriwayatkan iaitu anak Raja Haji Hasan saja.

Selanjutnya adik beradik Raja Haji Umar bin Raja Haji Hasan bin Raja Ali Haji, ada 12 orang, mereka, ialah: 1. Raja Haji Abdullah Hakim 2. Raja Khalid Hitam, meninggal dunia di Jepun, 3. Raja Haji Abdul Muthallib, 4. Raja Mariyah, 5. Raja Manshur, 6. Raja Qamariyah, 7. Raja Haji Umar (yang sedang diriwayatkan), 8. Raja Haji Andi, 9. Raja Abdur Rasyid, 10. Raja Kaltsum, 11. Raja Rahah, 12. Raja `Amimah.

Raja Haji Umar yang dibicarakan dalam artikel ini adalah pada nombor 7 dalam senarai yang tersebut di atas. Raja Haji Umar dari sebelah ayahnya adalah cucu Raja Ali Haji, sedangkan dari sebelah ibunya adalah cucu Marhum Mursyid, iaitu Raja Haji Abdullah Yang Dipertuan Muda Riau Lingga ke-9. Raja Haji Hasan, ayahnya, adalah putera Raja Ali Haji. Ibunya pula ialah Raja Maimunah binti Marhum Mursyid. Raja Maimunah adalah adik beradik dengan Raja Haji Muhammad Tahir, Hakim Kerajaan Riau-Lingga yang telah diperkenalkan dalam Utusan Malaysia, Isnin yang baru lalu.

PENDIDIKIAN

Riwayat pendidikannya ketika masih berada di Riau-Lingga, beliau mendapat pendidikan daripada golongan intelektual istana bersama adik beradiknya, di antaranya Raja Haji Abdullah yang kemudian menjadi hakim terakhir Kerajaan Riau-Lingga, Raja Khalid Hitam, pejuang Riau-Lingga, yang meninggal dunia di Jepun pada tahun 1912 M. Pelajarannya dilanjutkan ke Mekah. Sewaktu berada di Mekah sangat rapat hubungannya dengan dua orang anak Syeikh Ismail an-Naqsyabandi al-Khalidi Minangkabau, iaitu Syeikh Muhammad al-Minankabawi (wafat 1303 H) dan Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Ismail al-Minankabawi (wafat 1313 H). Oleh sebab pelajar-pelajar golongan Kerabat Diraja Riau-Lingga di Mekah, termasuk Raja Haji Umar, adalah dalam pengurusan keluarga Syeikh Ismail Minangkabau pada waktu itulah mereka berhubung erat dengan Syeikh Tahir Jalaluddin, kerana Syeikh Tahir Jalaluddin adalah menantu Syeikh Muhammad bin Syeikh Ismail Minangkabau itu.

Raja Haji Umar tidak sempat belajar kepada Syeikh Muhammad bin Syeikh Ismail Minangkabau, tetapi sempat belajar kepada Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Ismail al-Minankabawi. Walau bagaimana pun diriwayatkan Raja Haji Umar dan saudara-saudaranya selama berada di Mekah lebih banyak belajar kepada dua orang ulama yang berasal dari Patani, iaitu Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani dan Syeikh Ahmad al-Fathani. Selanjutnya Syeikh Ahmad al-Fathani mengirim Raja Haji Umar belajar ke Mesir.

Di antara sahabat Raja Haji Umar bin Raja Haji Hasan sewaktu belajar di Mekah ialah Haji Wan Ismail bin Syeikh Abdullah al-Fathani, iaitu anak saudara Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani. Kedua-dua ulama Riau dan Patani itu akhirnya berbiras, kerana kedua-dua isteri mereka adalah adik beradik. Kedua-duanya berjuang menyebarkan ilmu melalui Mathbaah Al-Ahmadiah Singapura.

Aktiviti dimulai dengan perlantikannya sebagai Mudir atau istilah lain digunakan juga Manager Mathba'ah Al-Ahmadiah Singapura yang pertama. Syarikat tersebut diasaskan oleh beberapa orang Kerabat Diraja Riau, syarikat induknya berpusat di Pulau Midai, Pulau Tujuh, Kepulauan Riau dengan nama Syarkah Al-Ahmadi & Co. Midai (1324 H/1906 M). Raja Haji Umar dilantik dalam syarikat itu adalah atas kehendak saudara sepupunya Raja Ali (Tengku Selat) bin Raja Muhammad Tengku Nong dan pengasas syarikat itu Raja Haji Ahmad bin Raja Haji Umar/Tengku Endut.

Sebelum melanjutkan aktiviti Raja Haji Umar yang lain, di sini perlu juga disentuh status kepimpinan Ahmadiah ketika itu ialah di pusatnya di Pulau Midai digunakan istilah Wakil Kuasa Ahmadi & Co. Midai ialah Raja Kaluk. Beliau juga cucu Raja Ali Haji, ibunya bernama Engku Awan adalah anak perempuan Raja Ali Haji.Dalam masa yang sama terdapat dua orang Wakil Kuasa, yang seorang lagi ialah Raja Hasnan. Setelah kedua-duanya meninggal dunia digunakan istilah Kuasa Al-Ahmadi & Co. Midai, dipegang oleh Haji Abdullah bin Haji Wan Abdur Rahman. Untuk di Cawangan Singapura digunakan istilah Mudir atau Manager. Mudir atau Manager yang pertama Mathba'ah Al-Ahmadiah Cawangan Singapura ialah Raja Haji Umar bin Raja Haji Hasan. Untuk pengurusan di Mekah al-Mukarramah digunakan istilah Wakil Al-Ahmadiah di Mekah ditangani oleh Syeikh Abdullah Shamad al-Filfulani (berasal dari Pulau Pinang). Raja Ali/Tengku Selat adalah Ketua Syarkah Al-Ahmadi & Co. Midai dan Mathba'ah Al- Ahmadiah Cawangan Singapura, merupakan pimpinan yang tertinggi daripada Keluarga Diraja Riau itu, dalam bidang usaha niaga mulai Pulau Tujuh hingga Singapura ketika itu.

Atas usaha Raja Haji Umar itulah maka karangan-karangan yang berasal daripada keluarga Diraja Riau-Lingga dikumpulkan dan diterbitkan oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah yang mendapat restu daripada Raja Ali (Tengku Selat) dan Raja Haji Ahmad. Daripada semua yang telah dipaparkan di atas dapat diambil kesimpulan bahawa Raja Haji Umar bin Raja Haji Hasan adalah seorang ulama yang mahir dalam penyusunan pentadbiran kewiraswastaan usaha niaga yang bercorak Islam. Sekali gus beliau seorang tokoh yang pandai menilai sesuatu penulisan, pemikiran, sejarah dan khazanah yang dipandang perlu diselamatkan.

Selain aktif mengumpul dan menyelamatkan khazanah pemikiran kekeluargaan Riau-Lingga, Raja Haji Umar juga melibatkan diri dalam penulisan, di antaranya Jurnal Keluarga Riau (tidak sempat diterbitkan) yang mengandungi di antaranya perjalanan kewafatan Raja Badariyah binti Raja Haji Muhammad Tahir saudara sepupunya. Karyanya yang lain ialah Ibu Di dalam Rumah Tangganya. Dalam Natijah Al-Ahmadiah terbitan 1341 H/1922-1923 M Raja Haji Umar telah memuat salinan ilmu falakiyah karangan sahabatnya Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin.

WAFAT DAN KETURUNANYA

Raja Haji Umar meninggal dunia berdasarkan catatan Raja Ali (Tengku Selat) tertulis, "Dan pada 27 Rabiulawal 1347 bertepatan 12 September 1928 siang Arba' (Rabu, pen) pukul dua, lewat lima belas minit, waktu itulah berlaku kudrat Allah Taala atas Raja Haji Umar bin al-Marhum Raja Haji Hasan Riau kembali ke rahmatullah. Dikuburkan berhampiran dengan kubur Marhumah Raja Badariyah, Perkuburan Qasim Keling, Batu Enam Sigelap ...''

Raja Haji Umar bin Raja Hasan meninggalkan lima orang anak, ialah: Raja Muhammad Saleh, Raja Muhammad Shafik, Raja Muhsin, Raja Salamah (semuanya daripada satu ibu). Daripada isterinya yang bernama Raja Hajah Malihah binti Raja Haji Muhammad memperoleh seorang anak, ialah Raja Abdul Aziz al-Mursyidi.

Raja Muhammad Saleh adalah anak beliau yang tua yang bekerja di Al-Ahmadiah Press sejak masa jayanya hingga ke masa menurunnya perusahaan itu. Penulis mempunyai hubungan dekat dengan keluarga ini, oleh itu pertama kali sampai di Singapura pada tahun 1967 penulis menginap di rumahnya, di Lorong Engku Kadir, Kaki Bukit, Singapura. Pada waktu itu Al-Ahmadiah Press masih berjalan dengan lancar. Raja Muhammad Shafik bin Raja Haji Umar pernah berkhidmat kepada Pustaka Nasional Singapura.

Darah pengarang Raja Ali Haji turun kepada cucunya Raja Haji Umar bin Raja Haji Hasan dilanjutkan oleh Raja Abdul Aziz al-Mursyidi. Aziz al-Mursyidi mendapat pendidikan jurusan sastera Arab di Universiti al-Azhar. Artikel-artikelnya banyak dimuat dalam beberapa majalah terutama majalah Qalam. Sewaktu pertama sampai di Kuala Lumpur (1970) penulis menginap di rumahnya, di Jalan Intan, Gombak, penulis menggunakan kesempatan menanyakan beberapa kalimat sastera Arab kepada beliau, bererti penulis sebagai murid beliau. Pada waktu itu beliau jugaselaku penterjemah daripada bahasa Arab ke Melayu dan sebaliknya di radio dan televisyen Malaysia. Pertemuan terakhir antara beliau dengan penulis tahun 1978, dalam keadaan sakit dan selanjutnya meninggal dunia di Singapura, tanpa meninggalkan keturunan.

Sebagai penutup, " Kukhayalkan secebis kisah Aziz Mursyidi kelahiran Singapura, pernah tinggal di pulau kecil, terpencil, Pulau Midai. Menumpang tongkang berangkat ke Terengganu, ke Singapura terus ke Mekah dan Mesir mencari ilmu. Raja Ali Haji adalah moyangnya, dia adalah pewaris pujangga, dia dilupakan orang, namun padaku ada catatan.''

Al-Fatihah.......................
___________________________________________________

Inilah catatan Wan Mohd Saghir Abdullah r.a semasa hayatnya yang berjuang memertabatkan sejarah dan syiar islam di Nusantara, walaupun cuma sempat berjumpa sekali di ceramah maulidurrasul mendengar ceramah beliau, beliau ku anggap sebagai guruku dan idola ku sebagaimana kata Imam zaman Sidna ALi kr.wjh " Man allamani harfan soro lahu abdan"

Sumber dari bicara ugama 01/11/2004

Isnin

SYEIKH AHMAD FATHANI MAHIR 47 CABANG ILMU PENGETAHUAN

Guru Sheikh Ahmad al-Fathani di Mekah dan Madinah
Sebelum ini ada diriwayatkan permulaan kehidupan Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani dalam artikel berjodol Kenali Sheikh Ahmad al-Fathani guru Tok Kenali r.a, bagaimana beliau sejak kecil behijrah ke Mecca dengan usrohnya diasuh oleh ayah dan datuknya agar menjadi seorang ulama yang terbilang sebagaimana yang dicita-citakan oleh datuknya Panglima Wan Pa, datuknya pernah berdoa agar dari keturunannya ada yang menjadi ahli ilmu untuk menggantikan para ulama Patani yang telah hampir habis setelah ulama-ulama Patani ramai mati syahid dibunuh oleh Siam. Sejarah melakarkan beliau pernah belajar beberapa lama di Baitul Maqdis, pulang ke Mekah dan meneruskan pengajian ke Ardul Kinanah Mesir di Masjid Jami' Al-Azhar. Syeikh Ahmad merupakan orang pertama dari Asia Tenggara yang mejadi mahasiswa Jami' Al-Azhar. Beliau juga yang mempopularkan pengajian di Mesir kepada anak bangsanya sehingga sekarang Universiti Azhar tidak pernah lengang dengan wajah-wajah melayu berkulit sawa matang menadah dan bertalaqqi dengan para guru alim ulama di Jami' Al-Azhar yang sekarang lebih dikenali sebagai Universiti Azhar of Egypt.

Belum sampai 30 tahun umurnya, telah diakui sebagai seorang ulama besar yang menguasai pelbagai bidang ilmu pengetahuan sekurang-kurangnya 47 jenis. Namun bagi Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani sendiri masih tetap dahagakan ilmu pengetahuan. Dia pulang ke Mekah kerana ingin memperdalam ilmunya, tetapi ulama yang tahu bahawa Sheikh Ahmad al-Fathani itu seorang yang telah banyak menguasai ilmu pengetahuan jarang yang sudi untuk mengajarnya.

Berbulan-bulan Sheikh Ahmad al-Fathani menyamar seperti orang yang tidak mengerti apa-apa. Dia mendatangi seluruh halaqah tempat guru-guru mengajar dalam Masjidil Haram untuk mencari guru mana yang layak untuk tempatnya belajar. Pada suatu hari beliau mendatangi seorang ulama yang sangat terkenal di Masjidil Haram. Apabila Tuan Guru itu selesai mengajar, ketika diadakan ruang soal jawab, Sheikh Ahmad al-Fathani menanyakan sesuatu masalah kepada Tuan Guru itu...tetapi.

Tuan Guru itu tidak mahu menjawab pertanyaannya. Dengan demikian Syeikh Ahmad al-Fathani telah maklum adanya, lalu dia minta izin untuk meninggalkan majlis itu. Setelah dia pergi, murid-murid yang hadir dengan tercengang-cengang menanyakan kepada Tuan Guru, “Apa sebab Tuan Guru tidak menjawab pertanyaan pemuda itu? Jangankan Tuan Guru kami pun dapat menjawabnya kalau Tuan memberikan izin kepada kami untuk menjawabnya. Dan siapakah pemuda itu?".

Tuan Guru menjawab, “Apakah kamu tidak kenal itulah yang dinamakan orang Ahmad az-Zaki Mesir yang berasal dari negeri Patani, bahawa ilmunya melebihi ilmuku. Kalau hanya itu yang ditanyakan mudah saja menjawabnya, namun aku malu sekiranya dia menanyakan hal-hal yang lebih mendalam lagi. Oleh sebab itu aku sengaja tidak menjawab pertanyaannya”.

GURU-GURU BELIAU YANG MULIA

Guru-guru Sheikh Ahmad al-Fathani yang disebut dalam puisi beliau berjudul Nazham ‘Uqudid Durri adalah seperti berikut:

* Sheikh Umar Asy-Syami Al-Baqa’ie.

Setelah beliau mempelajari pelbagai permasalahan tatacara dan keilmuan para ulama di Mekah, maka jatuhlah pilihannya sebagai tempat dia belajar. Di antaranya yang beliau sebut pada bahagian akhir Nazham ‘Uqudid Durri ialah para gurunya sebelum beliau berangkat ke Mesir dulu.

Masih belum jelas siapakah yang beliau maksudkan dengan Wa bi Syaikhina ad-Dardir dalam nazham itu. Kemungkinan Syeikh Umar bin Barakat asy-Syami al-Baqa’ie yang lahir pada 1245 H/1829 M, dan wafat 1313 H/1896 M, pengarang Syarh ‘Umdah dan lain-lain. Sebelum Sheikh Ahmad al-Fathani pergi ke Mesir dulu (sebelum tahun 1292 H/1875 M), beliau mendalami pelbagai ilmu dalam banyak kitab daripada Sheikh Umar asy-Syami.

Disebut oleh Sheikh Abdullah Mirdad Abul Khair bahawa kepada Sheikh Umar tersebut, Sheikh Ahmad al-Fathani mendalami pelbagai kitab seperti: ilmu-ilmu arabiah, usul, tafsir, hadis, fiqh, ma’ani, bayan, ‘arudh dan lain-lain. Sheikh Umar asy-Syami pula memberi tempat kepada Sheikh Ahmad al-Fathani mengajar di Masjid al-Haram Mekah terutama dalam bidang sastera Arab.

Menurut Sheikh Abdullah Mirdad Abu Khair, dalam beberapa buah karangan Sheikh Umar al-Baqa’ie, di antaranya tentang ilmu Bayan, terdapat syair-syair Sheikh Ahmad al-Fathani. Dalam Mafahat ar-Ridhwan oleh Sheikh Zainuddin bin Sheikh Utsman as-Sarawaqi diriwayatkan juga bahawa Sheikh Umar al-Baqa’ie Shahibul Maqamis Sami (empunya makam yang tinggi) dan Hazam (gelaran perempuan yang masyhur pada orang Arab yang benar Arab).

* Saiyid Husein Al-Habsyi.

Dimaksudkan pula dengan Mulazina al-Hifni Quthub lit Thariqati qad hada’ dalam nazham yang sama tersebut berkemungkinan adalah Saiyid Husein al-Habsyi. Nama ‘al-Hifni’ untuk Saiyid Husein Al-Habsyi di sini kemungkinan mengambil gelaran yang sama yang pernah diberikan kepada Asy-Syamsu Muhammad Salim al-Hifni.

Tentang ini kedudukan salah satu sanad keilmuan ialah Sheikh Ahmad al-Fathani belajar kepada Saiyid Husein Al-Habsyi, Saiyid Husein Al-Habsyi belajar kepada Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan, Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan belajar kepada Sheikh Ustman ad-Dimyathi, Sheikh Ustman ad-Dimyathi belajar kepada Sheikh Abdullah asy-Syarqawi, Sheikh Abdullah asy-Syarqawi belajar kepada Asy-Syamsu Muhammad Salim al-Hifni.

Ketika membahas tentang permainan catur nama ‘Hifni’ juga disebut oleh Sheikh Ahmad al-Fathani dalam karyanya Hadiqatul al-Azhar, cetakan pertama, halaman 175, “..... seperti barang yang berkata akan dia ‘Hifni’ atasnya....” Nama ‘Hifni’ di sini juga tidak jelas apakah yang dimaksudkan Asy-Syamsu Muhammad Salim al-Hifni atau pun Saiyid Husein Al-Habsyi.

Dalam puisi Sheikh Ahmad al-Fathani juga menyebut Quthub. Disebabkan Saiyid Husein Al-Habsyi dalam beberapa tulisan ulama adalah diakui sebagai seorang Quthub pada zamannya. Maka penulis bertambah yakin bahawa yang dimaksudkan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani pada nazham/syairnya ialah Saiyid Husein Al-Habsyi.

Sheikh Muhammad Mahfuz Termas menyebut bahawa Saiyid Husein Al-Habsyi adalah Khatimatull Muhaqqiqin wa ‘Umdatul Fuqaha’ wal Muhadditsin. Ulama yang lain pula menggelarnya dengan Al-Quthbur Rabbaniyul Qurasyisyu.

Sheikh Ahmad al-Fathani pada satu catatan menyebut bahawa beliau mendapat ijazah amalan yang bersalasilah sampai kepada Saidina Ali bin Abi Thalib karramahullah wajhah dari Saiyid Husein Al-Habsyi. Selain itu guru tersebut memberikan kata-kata pujian atas karyanya yang berjudul Tashilu Naili Amani.

Kata puji-pujinya (taqrizh) Saiyid Husein Al-Habsyi itu sentiasa tercantum pada karya Sheikh Ahmad al-Fathani itu, iaitu pada terbitan Mekah dan Mesir. Sedangkan pada terbitan di Jawa, Singapura dan Pulau Pinang tidak pernah dicantumkan lagi.

SANAD ILMU HADITH

Salah satu sanad, selain sanad-sanad yang lain, tentang pembacaan kitab Hadis Sahih Bukhari.

Syeikh Ahmad al-Fathani bertitik mula seperti berikut, iaitu:

* Sheikh Ahmad al-Fathani (1272 H/1856M-1325 H/1908M), belajar kepada

* Saiyid Husein Al-Habsyi (wafat 1330 H/ 1912 M), belajar kepada

* Ayahnya, Saiyid Muhammad bin Saiyid Husein al-Habsyi (1213 H/1798-9 M - 1281 H/1864-5 M), belajar kepada

* Sheikh Umar bin Abdul Karim bin Abdur Rasul al-‘Athar, belajar kepada

* Sheikh Ali bin Abdul Barri al-Wana-I, belajar kepada

* Sheikh Abdul Qadir bin Ahmad bin Muhammad al-Andalusi, belajar kepada

* Sheikh Muhammad bin Abdullah al-Idrisi, belajar kepada

* Al-Quthub Muhammad bin 'Alauddin an-Nahruali, belajar kepada

* Ayahnya Sheikh Falih al-Madani, belajar kepada

* Sheikh Abil Futuh Ahmad bin Abdullah ath-Thawus, belajar kepada

* Baba Yusuf al-Harawi, belajar kepada

* Muhammad bin Syaz Bakhat al-Farghani, belajar kepada

* Abi Luqman Yahya bin Ammar al-Khanlani, belajar kepada

* Muhammad bin Yusuf al-Farbari, belajar kepada

* Imam al-Bukhari

* Saiyid Abu Bakri Syatha.

Sheikh Ahmad al-Fathani ada hubungan erat dengan Saiyid Abu Bakri bin Saiyid Muhammad Syatha (wafat 12 Zulhijjah 1310 H/27 Jun 1893 M). Disebutnya pada nazham Wa bi Syaikhina wa Mulazina al-Bakriy man haza wilayah wal karamah wal huda. Saiyid Abu Bakri Syatha yang lahir tahun 1266 H/1849 M lebih tua kira-kira enam tahun daripada Sheikh Ahmad al-Fathani (lahir 1272 H/ 1856 M) sebenarnya sama-sama belajar dengan beberapa orang ulama di Mekah.

PERTANDINGAN MENGUBAH PUISI

Antara guru mereka ialah Saiyid Zaini Dahlan, Sheikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki dan lain-lain. Saiyid Abu Bakri Syatha adalah seorang ketua telaah (tutor) bagi Sheikh Ahmad al-Fathani. Selepas Saiyid Abu Bakri Syatha selesai menyusun kitab I’anatuth Thalibin, Sheikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki mengadakan ujian penggubahan nazham (puisi).

Penyusun puisi yang terbaik itulah yang akan diberikan kepercayaan untuk mentashhih kitab I’anatuth Thalibin tersebut. Daripada jumlah 35 orang yang menyertai pertandingan itu, ternyata yang memenanginya ialah Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Puisi tersebut termaktub dalam cetakan awal kitab itu, dan penulis juga lampirkan terjemahannya dalam artikel ini. Terjemahan lengkap dilakukan oleh salah seorang cicit Sheikh Ahmad al-Fathani, iaitu Ustazah Zaharah binti Awang, sebagai berikut:

* Khabar gembira tentang I’anah telah dinamakan menyinari ketinggian dan penerimaan dengan senyuman

* Bergelora kegembiraan hati orang yang berakal dan burung pemikiran menyanyi gembira

* Bangkitlah, berilah padaku minuman yang melegakan maka menyelami ingatanku tempat-tempat keagungan

* Kehadhrat Allah aku mengadu kerinduanku dan berfikir ketika malam yang gelap gulita

* Betapa jalan kembali kepada asalnya dan dengan apakah untuk mengatasi halangan dan kebosanan

* Dia adalah tempat ketenangan, gedung segala kebajikan di Kaabah-Nya hamba-hamba-Nya haji dan ihram

* Allah yang berkuasa dan memberi hidayah kemunculan sinar mentari, kelahiran Islam

* Di kalangan mereka seorang pemuda seperti bulan dipagari bintang-bintang seperti samudera, dilingkari sungai-sungai, airnya melimpah ruah

* Hamparan segala kebaikan ada tempat letak kakinya dan padanya ilmu-ilmu yang melahirkan para ulama

* Saiyid al-Bakri seorang yang berwibawa mempunyai ketinggian cita-cita yang membara

* Dia mujaddid menjadikan kebenaran zamannya dari datuknya yang mengiringi tsiqah/kepercayaan dengan penuh teliti

* Penghulur bantuan kepada para pelajar, ilmu-ilmu dalam kitab al-I’anah dan membina menara-menara dan menyerlahkannya pada yang telah binasa

* Sesungguhnya kitab al-I’anah itu kelebihannya amat tinggi iaitulah kitab yang menerangkan ayat-ayatnya secara terperinci

* Bahkan ia adalah perbendaharaan bernilai bagi yang mencarinya mencukupi bagi tetamu, yang meninggalkannya hina dan bodoh

* Padanya segala kebenaran yang telah tetap baginya menanggung segala kesusahan dan berserah

* Maka balasan untuk pengarangnya dan kelebihannya, hanyalah Allah SWT dengan segala kurniaan dan hadiah kebaikan

* Ya Allah, peliharalah Sheikhnya, iaitu Wali Quthub yang bertakwa perhiasan syariat, dialah ulama yang sertanya kemuliaan yang tinggi.

Penutup

Masih ramai lagi guru Sheikh Ahmad al-Fathani yang belum dibicarakan. Penulis hanya membicarakan guru- guru yang hanya disebut oleh beliau dalam puisinya berjudul Nazham Uqudid Durri.

Guru-guru beliau selain yang dinyatakan ini disebut dalam karya-karya beliau yang lain, yang akan dibicarakan lagi seterusnya

Sumber diambil dari koleksi cucu beliau sendiri al-marhoum Syeikh Wan Mohd Saghir Abdullah r.a. 26 Mei 2008 / 20 Jamadil Awal 1429
________________________________________________________

Doa tawasul dengan berkat Syeikh Ahmad.

Ya Allah, dengan rahmatMu terciptanya alam ini, kerana kekasihMu dikau buat segala makhluk untuk mengenal dikau, Maha suci dan Maha Tingginya Dikau Ya Tuhanku tiada yang setara sebanding dengan keagunganMu. Ku bermohon dengan limpahan rahmatMu, ku meminta dengan berkat keberkatan yg dikau kurniakan kepada hamba-hambaMu yg dikau pilih..ampunilah,berkatilah, lapangkanlah dada, murahkanlah rezeki kedua ibu-bapaku, leluhur dan keturunan keduanya, Ya Rabb..dikau mendengar bukan berhajatkan suara, sifat agungMu mampu mendengar tulisan..mendengar warna..mendengar isyarat, Duhai yang Maha mendengar segala sesuatu, dengarilah permohonan bertulisku ini dengan berkat Syeikh Ahmad Al-Fathoni.
Ya Rabb..ku pohon untuk diriku adik-adikku serta keluargaku dan sahabat handaiku, sampaikanlah hajat kami dunia akhirat, bantulah sahabatku Fauzi Manap Johore, Mazlan Mansour Al-Qodahi, Azwan Abdul Rahim P.Pinang, Abu Bakar Al-Hafiz, Khalil Johore, Hafizi Zahari Laboq,Sukri Osman el-Champa..keluarga kami dan sahabat taulan kami semua dengan berkat Syeikh Ahmad Al-Fathoni...amin Yaa robbal alamin.

Ahad

AHLI FALAK BERDARAH RAJA

Raja Muhammad Tahir Riau - Hakim Riau-Lingga dan ulama falakiah
ILMU Hisab dan Falakiah berkembang dalam kerajaan Riau-Lingga dimulai oleh Raja Ali Haji yang belajar daripada Saiyid Abdul Rahman bin Ahmad al-Mashri di Betawi. Apabila pujangga Riau itu ke Mekah mengikut orang tuanya, Raja Haji Ahmad pada tahun 1243 H/1817 M, Raja Ali Haji dan ayahnya mentahqiqkan pelbagai ilmu kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, termasuk Ilmu Hisab dan Falakiyah. Raja Ali Haji selain seorang pengarang, juga mengajar ilmu-ilmu keIslaman kepada kerabat-kerabatnya, di antara mereka yang menjadi ulama besar dan Hakim ialah Raja Haji Muhammad Tahir bin Raja Haji Abdullah (al-Marhum Mursyid).
Raja Haji Muhammad Tahir merupakan orang pertama di Riau yang menulis dalam bidang Ilmu Hisab dan Falakiyah sebagai dokumentasi. Kemunculannya boleh disenaraikan dalam golongan di antara orang-orang pertama melakukan penulisan ilmu itu di dunia Melayu.

Hal tersebut diakui, kerana pada peringkat awal memang tidak ramai ulama dunia Melayu melakukan penulisan ilmu tersebut, bahkan termasuk sampai ke zaman kita sekarang ini (1425 H/2004 M) sangat sedikit sekali yang menulis perkara itu. Walau bagaimanapun Syeikh Abbas Kuta Karang Aceh dan lain- lain telah mendahului Raja Haji Muhammad Tahir Riau. Naskhah hisab dan falak karya beliau hanyalah dapat diketahui dan dipelajari melalui salinan yang dibuat oleh putera beliau sendiri, iaitu Raja Haji Muhammad Sa'id, seorang ulama Riau-Lingga yang banyak menghasilkan karya. Oleh sebab asas Ilmu Hisab dan Falak telah dirintis oleh kedua-dua orang kerabat Diraja Riau-Lingga itu, ia memberi laluan mudah kepada Syeikh Tahir Jalaluddin al-Azhari memperkembangkan ilmu itu. Kerabat Diraja Riau-Lingga merupakan orang pertama memperkenalkan dan memperkembangkan karya-karya hisab dan falak Syeikh Tahir Jalaluddin itu melalui natijah-natijah yang mereka terbitkan di Singapura. Yang memperkenalkan karya Syeikh Tahir Jalaluddin al-Azhari itu masih keluarga dekat dengan ulama ini, di antara mereka ialah Raja Haji Umar bin Raja Haji Hasan dan Raja Haji Muhammad Arif bin Raja Haji Mahmud.

Ketokohan

Raja Haji Muhammad Tahir telah dikenali sebagai tokoh Thariqat Naqsyabandiyah al-Khalidiyah melalui beberapa jalur, ayahnya Raja Haji Abdullah Yang Dipertuan Muda Riau-Lingga ke-9 adalah seorang ulama pengamal thariqat, bahkan beliau digelar dengan Marhum Mursyid. Ketokohan beliau ini diakui oleh gurunya, Syeikh Ismail Minangkabau sebagai seorang Mursyid dalam Thariqat Naqsyabandiah al-Khalidiyah yang diamalkannya.

PENDIDIKAN

Sewaktu ayahnya, Raja Haji Abdullah membuat surat wasiat, 26 Zulhijjah 1276 H/1859 M, Raja Muhammad Tahir belum akil baligh lagi, sedangkan anaknya yang tua, Raja Haji Muhammad/ Tengku Nong berada di Mekah. Saudara tuanya, ialah Raja Haji Muhammad/ Tengku Nong yang telah diberi kepercayaan oleh ayahnya untuk mendidik Raja Muhammad Tahir. Raja Haji Muhammad/Tengku Nong sendiri sebelum ke Mekah telah mendapat pendidikan daripada ayahnya. Juga sewaktu di Riau-Lingga beliau diasuh oleh Syeikh Ismail Minangkabau hinggalah beliau berangkat ke Mekah mengikut ulama yang berasal dari Minangkabau itu. Raja Muhammad Tahir mendapat pelbagai ilmu daripada abangnya termasuklah Thariqat Naqsyabandiyah al-Khalidiyah. Beliau juga sempat belajar kepada Raja Ali Haji. Di antara pengetahuan yang dipelajarinya daripada Raja Ali Haji ialah Ilmu Bahasa Melayu, termasuk karang mengarang, Ilmu Sosiologi, Sejarah, Ilmu Hisab/Falak dan lain-lain lagi. Selepas itu Raja Haji Muhammad Tahir melanjutkan pelajarannya ke Mekah. Selama berada di Mekah beliau dalam pemeliharaan Syeikh Ismail Minangkabau dan keluarganya. Di antara guru-gurunya di Mekah ialah: Syeikh Ismail Minangkabau, Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki dan ramai lagi.

Kejayaan

Raja Haji Muhammad Tahir adalah seorang ulama besar kerajaan Riau-Lingga dalam masa transisi kejayaan kerajaan itu kepada masa kerajaan itu dimusnahkan oleh pihak penjajah Belanda. Walaupun keadaan pada ketika itu sangat mencabar, namun beliau masih sempat mendidik kaum kerabatnya mengenai ilmu-ilmu keIslaman. Dua orang anak beliau yang berilmu pengetahuan, Raja Haji Muhammad Sa'id dan Tengku Badariyah. Beliau jugalah sebagai pendidik anak saudaranya iaitu Raja Ali/Tengku Selat bin Raja Haji Muhammad/Tengku Nong. Raja Ali/Tengku Selat digelar masyarakat dengan ``Bapak Gembala Perniagaan Melayu''. Raja Haji Muhammad Tahir juga dikenali sebagai tokoh ``murabbir ruh'' (pendidik kerohanian). Beliau adalah Mursyid Thariqat Naqsyabandiyah al-Khalidiyah seperti orang tuanya, Raja Haji Abdullah/Marhum Mursyid. Ramai kerabat Diraja Riau-Lingga ditawajuh atau dibaiah oleh beliau sendiri, di antaranya termasuk putera beliau, Raja Haji Muhammad Sa'id, anak saudara beliau, Raja Ali/Tengku Selat, dan ramai lagi. Perkara ini jelas dalam sepucuk surat wasiat Raja Haji Muhammad Tahir kepada Raja Ali/ Tengku Selat itu. Kata beliau, "Sesungguhnya Raja Ali yang tersebut itu sebagai munassibku sebagaimana yang telah diijazahkan oleh saudaraku Raja Haji Muhammad yang tersebut itu atasku .''

PENULISAN DAN PEMIKIRAN

Raja Haji Muhammad Tahir tidak menghasilkan karangan, jika dibandingkan penulisan Raja Haji Muhammad Sa'id, putera beliau, ternyata puteranya itu lebih produktif. Yang dapat dikesan setakat ini ialah: 1. Naskhah Hisab. 2. Syair Pintu Hantu. Pada Naskhah Hisab beliau menggunakan nama lengkap Raja Haji Muhammad Tahir bin Almarhum Mursyid al-Khalidi. Pada penulis ada sebuah manuskrip yang merupakan salinan puteranya Raja Haji Muhammad Sa'id, tarikh 1 September 1910 M. Naskhah Hisab juga pernah dimuat dalam Natijah Al-Usrah, terbitan Mathba'ah Al-Usrah, 5-2 Palembang Road, Singapura, tahun 1336H/ 1917 M-1918 M. Dimuat lagi salinan Raja Haji Muhammad Sa'id yang tersebut.

Menyalin

Untuk menyemak pemikiran dan gaya bahasa Raja Haji Muhammad Tahir itu, dirasakan perlu menyalin mukadimah Naskhah Hisab itu, ialah, katanya, ``Kemudian daripada itu maka inilah natijah bagi tahun hijrah nabawiyah 1336 yang masuk ke dalamnya tahun milad 1917 dan 1918 melengkapi akan segala waktu sembahyang, dan menyatakan segala musim-musim, dan hari-hari besar dan lainnya sebagaimana yang dilihat di dalamnya.

Ada pun takwim sehari bulan yang di dalam natijah ini ialah atas hisab qamari yang hakiki, iaitu dihubungkan sehari bulannya apabila pada ketika masuk matahari maka bulan masih tertinggal di atas ufuk, padahal telah berhimpun bulan itu dengan matahari pada ketika siangnya. Syahdan segala auqat (waktu-waktu, pen:) ini atas hisab zaman wusta urufi, iaitu jam yang dipakai oleh orang putih. Permulaannya dari pukul 12 tengah malam. Adalah segala auqat ini bagi negeri-negeri yang hampir khatulistiwa dan bagi negeri-negeri yang aradnya 1 dan 2 darjat ke Utara, iaitu seperti: Riau, Singapura, Johor, Batu Pahat, Muar, Melaka, Kampar, Siak, Pontianak, Sambas, Mempawah, Sarawak, Siugu, Padang Sidempuan, Rawa, Ternate, Sintang, dan negeri-negeri yang bersamaan dan berhampiran aradnya dengan dia. Maka bolehlah beramal dengan dia pada negeri-negeri arad satu darjat dan dua darjat ke Selatan. Dan negeri-negeri yang aradnya tiga, empat dan lima darjat ke Utara dan ke Selatan dengan syarat berihtiyathlah masing-masing ahli negeri itu sekadar lima minit hingga lapan minit. Ada pun negeri-negeri yang memakai jam negeri asing itu, maka sayugianya memakai tafawut di antara dua taul. Pada tiap-tiap satu darjat tafawutnya empat minit. Jika negeri yang diikut jamnya itu sebelah Barat, yang negerinya sebelah Timur, maka ditambah. Dan jika negeri yang diikut jamnya itu di sebelah Timur dan negerinya di sebelah Barat maka dikurangkan. Seperti: Melaka mengikut jam Singapura (sebelah Timur Melaka). Singapura taulnya 108.51 darjat, Melaka taulnya 102.15 darjat tafawut taulnya 1.36. 1.36 darjat kali empat minit sama dengan 6.24 minit (iaitu pukul 12 Singapura sama dengan 12.06 Melaka). Tersalin daripada: Naskhah Hisab Raja Haji Muhammad Tahir bin Almarhum Mursyid. Oleh Muhammad Sa'id bin Muhammad Tahir Riau Singapura, 14 Mei 1917 M.''

Demikianlah transliterasi mukadimah Naskhah Hisab karya Raja Haji Muhammad Tahir pada Natijah Mathba'ah Al-Usrah, 1336 H/1917-1918 M. Kandungannya pula banyak perkara-perkara yang menarik sebagai contoh pada halaman 32 pengarangnya mencatatkan bahawa sampai Muharam 1336 H bersamaan Oktober 1917 M, ``... telah lalu dari masa turun Nabi adam a.s. daripadanya syurga 8195 tahun.''

Naskhah Hisab karya Raja Haji Muhammad Tahir yang disalin oleh Mudir Mathba'ah Ahmadi, 50 Minto Road, Singapura, 15 Ogos 1920, lain pula kandungannya dengan salinan di atas sesudah mukadimah lalu membicarakan judul Gerhana Bulan Gelap selanjutnya tertulis, ``Berlaku hikmah al-Ilahiyah, dan harakat falakiyah, dan qawaid hisabiyah dengan bahawasanya menengahi bumi antara jirim bulan dan matahari pada 15 Safar, malam Khamis, sanah 1338 berbetulan 27 Oktober tahun 1920, gerhana bulan gelap. Permulaan gerhana pukul 7.46. Permulaan gelap pukul 9.02. Pertengahan gelap pukul 9.37. Permulaan terang pukul 10.12. Kesudahan gerhana pukul 11.27.''

Memperkenalkan

Transliterasi yang bersumber daripada kedua-dua salinan karya Raja Haji Muhammad Tahir Riau di atas adalah bertujuan memperkenalkan jalan ilmiah dan gaya bahasa ulama silam kita mengenai ilmu yang kurang diminati orang. Jika membicarakan kandungan kedua-dua sumber tersebut, maka ruangan yang diperuntukkan tidak cukup memadai. Oleh itu memperkenalkan ini lebih lengkap perlu difikirkan.

Selain karya Raja Haji Muhammad Tahir Riau yang disebutkan di atas barangkali masih ada karya beliau belum diketahui. Saya mempunyai sebuah surat wasiat beliau kepada saudaranya Raja Ali/Tengku Selat juga boleh dianggap sebagai satu karya tulisannya.

KETURUNAN

Putera Raja Haji Muhammad Tahir yang menjadi ulama besar ialah Raja Haji Muhammad Sa'id (wafat di Singapura, 11 Safar 1338 H/4 November 1919 M) dan Tengku Badariyah (wafat di Singapura, 10 Rabiulawal 1347 H/26 Ogos 1928 M). Raja Haji Muhammad Sa'id adalah seorang ulama besar Riau-Lingga mendapat pendidikan di Mekah dan Tengku Badariyah adalah seorang tokoh perempuan Riau-Lingga yang mahir berbahasa Arab, baik percakapan mahupun penterjemahan. Kedua-dua mereka akan dibicarakan dalam artikel yang tersendiri.

Sumber tulisan Almarhoum Wan Mohd Saghir 25/10/2004
___________________________________________________

Ya Allah....berkatilah masa dan waktu ku...amin

TUAN MINAL ULAMA ZAHIR DAN BATHIN

Tuan Minal al-Fathani - Karangannya rujukan ulama Melayu
Tuan Minal al-Fathani, satu nama yang gah dipersada ilmu,segah dan sehebat empunya nama, ulama yang berasal dari dari Kampung Anak Ru Patani Darus Salam tersohor dengan karanganya Kitab Kasyful Litsam sehingga sekarang menjadi bacaan dan rujukan oleh mereka-mereka yang menyintai ilmu pengetahuan. Ilmu yang tinggi dan karangan-karangan yang hebat sebagai rujukan ulama menjadikan Tuan Minal atau nama lengkapnya Syeikh Zainal Abidin al-Fathani diakui sebagai seorang ulama besar. Jika Tok Sheikh Daud r.a dan Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani digelar Al-Alim Al-Allamah Al-Arif Ar-Rabbani Tuan Minal pula digelar dengan Al-'Alim al-Allamah al- Mudaqqiq al-Fahamah Sirajuddin.

Syeikh Haji Wan Muhammad Saghir r.a telah membicarakan serba sedikit tentang ulama agung ini di akhbar utusan malaysia pada 18/10/2004 ruangan bicara agama. Dibawah ini artikel penuh tulisan almarhoum Syeikh r.a

MERUJUK kepada judul di atas, ulama yang menjalankan aktiviti terakhirnya di Sungai Dua, Seberang Perai ini terkenal di seluruh dunia Melayu sekurang-kurangnya kerana dua buah karyanya, ialah Kasyaful Litsam dan Aqidatun Najin. Terdahulu daripada ini, mengenai beliau pernah saya tulis dalam Jurnal Dewan Bahasa, Februari 1991 dan majalah Dakwah. Kerana banyak penemuan terkini maka dirasakan perlu ditulis kembali. Tuan Minal adalah gelarannya. Nama lengkapnya ialah Syeikh Wan Zainal Abidin bin Wan Muhammad al-Fathani bin Wan Muhammad Dahan bin Wan Syamsuddin bin Wan Ja'far bin Wan Husein bin Ali. Pertikaian pendapat, salasilah yang lain menyebut Wan Muhammad Dahan Syeikh Wan Muhammad Muhyiddin bin Syeikh Yahya bin Syeikh Ibrahim Hadhrami.

PENDIDIKAN

Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani diceritakan asal usulnya dari Kampung Anak Ru Patani, mendapat pendidikan dimulai daripada orang tuanya di kampung halaman sendiri. Pernah memasuki Pondok Bendang Daya Patani dan sempat berguru kepada pengasas pertamanya, iaitu Syeikh Haji Wan Mustafa bin Muhammad al-Fathani. Sahabat-sahabatnya di antaranya Syeikh Wan Muhammad Zain al-Fathani (ayah Syeikh Ahmad al-Fathani), Syeikh Abdul Qadir al-Fathani (Tok Bendang Daya ke-2), Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani, Syeikh Jamaluddin Negeri Sembilan, Haji Abdus Samad Kelumbung dan ramai lagi.

Belajar

Guru beliau yang lain ialah Syeikh Abdur Rasyid al-Fathani, iaitu Abdur Rasyid Keramat Pulau Bidan. Di dalam kitab Miftah ash-Shibyan oleh Syeikh Muhammad Nuruddin bin Syeikh Abbas al-Khalidi, Batu Bahara, Pasir Dahari, Inderapura, diriwayatkan bahawa Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani belajar ilmu usuluddin kepada Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas'ud al-Banjari al-Qad-hi (Kedah). Syeikh Muhammad Thaiyib al-Banjari al-Qad-hi mempelajari ilmu yang sama daripada Syeikh Ali al-Qad-hi (Kedah). Sanad beliau sampai kepada dua imam besar Ahlus Sunnah wal Jama'ah, iaitu Imam Abu al-Hasan al-Asy'ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi.

Untuk membolehkan Syeikh Zainal Abidin al-Fathani diakui sebagai seorang ulama besar dan digelar dengan Al-'Alim al-Allamah al- Mudaqqiq al-Fahamah Sirajuddin adalah beliau mendapat pendidikan terakhir ialah di Mekah. Di antara gurunya di Mekah termasuk Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.
" Beliau adalah seorang ulama yang tidak pernah bermasam muka atau memperlihatkan gejolak emosi tinggi yang tidak terkawal."
KEPERIBADIAN

Gelaran keilmuan yang diperolehnya ialah Al-'Alim al-'Allamah al- Mudaqqiq al-Fahamah Sirajuddin. Sirajuddin yang bererti `Lampu Agama' adalah tidak diragukan. Kalau Kasyful Litsam merupakan karya beliau yang terbesar bahkan merupakan kitab fikah yang membicarakan furuk-furuk fikah yang paling lengkap dalam bahasa Melayu, maka daripada bidang usuluddin pula karya beliau, `Aqidatun Najin merupakan yang kedua besar sesudah Warduz Zawahir karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Selain digelar dengan Sirajuddin, Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani digelar juga dengan al-Alim atau lebih tinggi daripada sebutan itu ditambah lagi dengan gelar al-'Allamah. Ditambah lagi dengan `al-Mudaqqiq', yang bermaksud seorang yang sangat teliti. Ditambah lagi dengan `al-Fahamah', yang bermaksud mempunyai kefahaman tentang keIslaman terutama dalam fikah.

Digelar pula dengan Tuan Minal. Ada sebab maka beliau digelar Tuan Minal, ada beberapa orang penulis menyebut ia berasal daripada singkatan nama beliau Zainal. Pendapat ini jauh daripada kesahihan, kerana hampir semua Tok Guru pondok di Patani yang pernah penulis temui di sekitar tahun 1970an meriwayatkan lain. Tuan Minal berasal daripada serangkaian peristiwa yang pernah berlaku kepada beliau iaitu apabila beliau merasa marah dan gusar kepada murid-muridnya, beliau sering membaca surah An-Nas. Apabila sampai kepada ayat "Minal jinnati wan nas'' beliau mengeraskan tekanan suaranya. Semakin kuat perasaan marah menyerang perasaannya beliau lebih keras menekan suaranya apabila sampai kepada ayat itu. Walau bagaimanapun marahnya hanyalah diketahui dengan kelakuan demikian, sedangkan air mukanya tetap menampakkan kelembutan dan ramah tamah seolah-olah beliau tidak marah.

Beliau adalah seorang ulama yang tidak pernah bermasam muka atau memperlihatkan gejolak emosi tinggi yang tidak terkawal. Hal ini adalah suatu corak yang mencerminkan bahawa Syeikh Zainal Abidin al-Fathani seorang ulama yang mendalami pengetahuan tasawuf serta mempraktikkannya sekali.

AKTIVITI

Setelah pulang dari Mekah, Syeikh Zainal Abidin al-Fathani terus mengasaskan sebuah pusat pengajian sistem pondok di suatu kampung dalam negeri Patani. Ada orang meriwayatkan pondok pengajian yang diasaskannya terletak di Bendang Badang, Patani. Setelah pondok yang diasaskannya kukuh, beliau berhijrah ke Sungai Dua, Seberang Perai dan menangani pondok pengajian yang diasaskan oleh sahabat seangkatan dengan beliau Syeikh Jalaluddin bin Muhammad Yusya' al-Kalantani.

BERHIJRAH

Ada orang meriwayatkan bahawa beliau mulai membuka pondok pengajian di Sungai Dua, Seberang Perai pada tahun 1292 H/1875 M. Penulis ragu dengan tahun 1292 H/1875 M tersebut kerana tahun 1304 H/1887 M Syeikh Zainal Abidin al-Fathani masih berada di Patani dan belum berhijrah ke Sungai Dua, Seberang Perai.

Walau bagaimanapun penulis yakin bahawa beliau berhijrah ke Sungai Dua, Seberang Perai sebelum tahun 1900 M lagi. Ataupun barangkali kedua-dua pengajian pondok di Patani dan di Sungai Dua, Seberang Perai itu dibuka secara serentak dalam tahun yang sama. Kemungkinan Syeikh Zainal Abidin al-Fathani berulang alik mengajar di kedua-dua pengajian itu. Atau pun kemungkinan sewaktu beliau kembali ke Patani pengajian pondok yang terletak di Sungai Dua, Seberang Perai itu ditangani oleh sahabatnya, Haji Abdus Samad Kelumbung al-Fathani. Beliau ini berasal dari Paya Bemban Jeringo, Teluk Manuk, dalam Wilayah Menara. Syeikh Zainal Abidin al-Fathani atau Tuan Minal dan Haji Abdus Samad Kelumbung kedua-duanya meninggal dunia di Sungai Dua, Seberang Perai. Tahun wafat kedua-duanya masih belum diketahui dengan pasti...... Al-Fatihah

PENULISAN

Jika kita teliti semua karya Tuan Minal memang banyak terdapat perkara-perkara yang penting sama ada bersumber dari al-Quran, hadis, ijmak ulama dan qias dengan penafsiran-penafsiran dan perbandingan-perbandingan mahu pun berupa pendapat beliau yang disimpulkan daripada pengetahuan beliau yang luas dan pembacaannya yang banyak. Karya-karya Tuan Minal ialah:

1. Kasyful Ghaibiyah fi Ahwali Yaumil Qiyamah, 1301 H/1883M. Kandungannya membicarakan mulai kejadian alam seluruhnya, tanda-tanda kiamat dan peristiwa dahsyat kejadian Hari Kiamat. Cetakan pertama Matba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1302 H. Ditashhih dan diusahakan penerbitannya oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Cetakan Matba'ah at-Taraqqil Majidiyah `Utsmaniyah, Mekah, 1332 H/1913 M, diusahakan oleh anak beliau, Syeikh Muhammad Saleh al-Fathani dengan tashhih Syeikh Idris bin Husein al-Kalantani.

2.Kasyful Litsam `an As-ilatil Anam, diselesaikan pada tahun 1307 H/1889 M. Kitab ini dijadikan penonjolan nama Tuan Minal seperti tersebut pada judul artikel ini. Tentangnya sudah cukup jelas dimuat dalam Jurnal Dewan Bahasa, Februari 1991.

3. `Aqidatun Najin fi `Ilmi Ushuliddin diselesaikan pada hari Sabtu, Jamadilakhir tahun 1308 H/1890 M. Kitab ini bukan hanya setakat untuk rujukan tetapi masih banyak diajar di surau-surau dan di masjid-masjid bahkan di beberapa pondok di seluruh dunia Melayu. Sebagaimana telah tersebut bahawa kitab ini yang kedua besar tentang akidah dalam bahasa Melayu sesudah Warduz Zawahir karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani tetapi adalah yang pertama besar yang masih beredar di pasaran dan yang diajarkan. Cetakan pertama oleh Matba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1319 H/1901 M, ditashhih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani.

4. Irsyadul `Ibad ila Sabilil Rasyad, tanpa tarikh. Pernah dicetak dalam beberapa edisi, iaitu Matba'ah al-Miriyah, Mekah, Mathba'ah Dar Ihya' al-Kutubal `Arabiyah, Mesir, Matba'ah Al-Ahmadiyah, Singapura, Persama Press, Pulau Pinang dan lain-lain.

5.Tabassumusy Syaribin, dicetak oleh Al-Ahmadiyah Press, Singapura yang dikombinasikan dengan cetakan Irsyadul `Ibad.

6. Miftahul Murid fi `Ilmit Tauhid, tanpa tarikh, cetakan pertama Mathba'ah at-Taraqqil Majidiyah, Makkah 1330 H. Cetakan pertama Pulau Pinang, 1373H/1954M. Kitab ini dicetak kombinasi dengan karya anak beliau, Syeikh Umar, judulnya Risalah Pada Menyata- kan Sebab Jadi Murtad.

7.Sembahyang Jumaat, nombor kelas MS 111, Koleksi Pusat Manuskrip Perpustakaan Negara Malaysia. Naskhah tidak lengkap, hanya enam muka surat. Belum pernah diterbitkan.

8.Tahqiqul Kalam fi Bayani Ibtidais Shiyam, nombor kelas MS 112, Koleksi Pusat Manuskrip Perpustakaan Negara Malaysia. Naskhah tidak lengkap, hanya enam muka surat. Belum pernah diterbitkan.

PENYAMBUNG AKTIVITI

Semua anak Tuan Minal sempat menerima pendidikan langsung daripada Tuan Minal sendiri, sama ada menetap di Pondok Patani mahupun di Pondok Sungai Dua, Seberang Perai. Mereka merupakan ka-der-kader pendidik dan pendakwah langsung daripada ayahnya sendiri. Ada pun anak-anak Tuan Minal adalah sebagai yang berikut di bawah:

1. Al-'Alim al-'Allamah Haji Daud.

2. Al-'Alim al-'Allamah Haji `Abdul Qadir.

3. Al-'Alim al-'Allamah Haji Muhammad Saleh.

4. Al-'Alim al-'Allamah Haji Umar.

5. Al-'Alim al-'Allamah Haji Hasan.

6. Hajah Fatmah.

Empat orang anak Tuan Minal yang tersebut di atas adalah ulama, tiga orang di antara mereka menghasilkan karangan. Syeikh Muhammad Saleh karyanya berjudul Risalah Yang Kecil Pada Bicarakan Ilmu Tajwid Al-Quran dan Sirajul Qari. Haji Umar, karya beliau ialah Risalah Pada Menyatakan Sebab Jadi Murtad. Karya Haji Hasan bin Tuan Minal yang telah diketahui ialah Pungutan Kanak-Kanak.

Keturunan Tuan Minal ramai di Malaysia, Patani dan Mekah. Haji Abdul Qadir pernah berkahwin dengan anak seorang hartawan Muar yang bernama Shafiyah @ Mik Muar. Memperoleh tujuh orang anak. Ramai keturunannya di Patani dan Kelantan, walau bagaimana pun keluarga di Muar terputus kerana tidak terdapat alamat yang jelas. Haji Abdul Qadir adalah ayah Haji Sulung, ulama dan pejuang Patani yang sangat terkenal, tetapi ibunya bukan Mik Muar. Shafiyah @ Mik Muar itu adalah ibu tiri kepada Haji Sulung.

_____________________________________________
Doa tawasul dengan berkat Tuan Minal.

Ya Allah ya tuhanku, ku pohon dariMu dengan berkat Syeikh Wan Zainal Abidin yg dikau beri gelaran Al-'Alim al-Allamah al- Mudaqqiq al-Fahamah Sirajuddin. kurniakan daku ilmu yg manfaat, halusikanlah kefahamanku, terangkanlah qolbuku. Ya Allah dikau perintah juga agar memohon untuk orang lain kerana Pemurahnya Mu Ya Rab, ku pohon kurniakan keampunan kepada ayah dan ibuku,adik-adik dan saudara ku,leluhur dan keturunan ku, peliharalah kami sepanjang masa.
Ya Rabb..tak lupa untuk semua kenalan sahabatku terutamanya Zainuddin Belanga Island, Azri Telipot, Najmuddin Sik,Azizi Pendang, Bustomi Al-Qodhi dan keluarga mereka serta sahabat taulan mereka, ampuni dan berkatilah hidup dan mati kami Ya Rabb..Amin bibarokati Syeikh Tuan Minal Al-'Alim al-Allamah al- Mudaqqiq al-Fahamah Sirajuddin.

Sabtu

TOK PULAI UBI ANAK MURID TOK WAN ALI WALIYULLAH.

Diam-diam ubi berisi, Tok Pulau Ubi punya ingatan yang kuat.
Buku salasilah keturunan Tok Pulau Ubi dan keratan akhbar bertulis
"Guru agama yang terkenal di Kelantan meninggal dunia"


Tok Pulau Ubi, Tok Kenali dan Tok Selehor merupakan tiga orang tok yang bersahabat dan pernah berguru dengan Tok Wan Ali Kutan pengarang kitab lumatul aurod merangkap Syeikh tarikat Ahmadiyah, sebenarnya ramai lagi tok-tok yang sezaman dengan Tok Pulau Ubi yang masyur dengan ingatan yang kuat ini. Walaupun nama beliau tidak semasyur Tok Kenali yang termasuk dalam ranking tujuh auliya' Allah Tanah Melayu namun jasa dan bakti beliau amat besar.

Sebelum merdeka, kebanyakan ulama dan tokoh agama sangat berpengaruh dalam pembentukan sosial masyarakat kerana mereka cukup disegani berikutan peribadi danilmunya. Kelantan yang juga dikenali sebagai Serambi Makkah adalah antara negeri yang melahirkan ramai tokoh agama termasuk Tok Kenali, ulama tersohor yang dianggap antara tujuh wali Allah di Tanah Melayu. Selain Tok Kenali, antara ulama besar di negeri Cik Siti Wan Kembang itu ialah Yusuf Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Tok Pulau Ubi.

Yusuf dilahirkan pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad II. Ketika itu, Kelantan dilanda bencana 'angin besar' yang menyebabkan negeri itu menjadi miskin kerana banyak ternakan dan tanaman musnah sehingga ada penduduk terpaksa memakan pucuk kelapa dan pinang untuk hidup, selain ada yang mati kebuluran.Sebagai anak kesayangan, Yusof cukup bertuah kerana dihantar berguru di Pattani di bawah bimbingan Tuan Guru Abdul Malek dan bapa sepupunya, Abdul Latif Pattani yang turut membiayainya melanjutkan pengajian di Makkah selama 10 tahun.
CUCU Tok Pulau Ubi, Fadhil menziarahi pusara
datuknya di Kampung Telaga Lanas.


Sekembalinya ke Sungai Pinang, beliau telah membuka sekolah pondok dalam kawasan rumah Datuk Menteri Che Hasan Muhammad Saleh, tidak jauh dari Pondok Tuan Guru Abdul Malek.Setelah Mufti Wan Musa meletakkan jawatannya pada 1916, beliau ditawarkan jawatan Mufti Negeri Kelantan tetapi menolak tawaran itu. Jawatan itu diberi kepada Wan Muhammad, abang kepada Mufti Wan Musa.

Yusof kemudian berpindah dari Sungai Pinang ke Pulai Ubi, sebuah kawasan yang tidak berpenghuni, cuma dipenuhi rumput panjang dan semak samun.Walaupun Yusof tinggal di Pulau Ubi, Datuk Menteri masih menghormatinya, bahkan memberikan sepucuk senapang untuk menjaga keselamatan diri dan kampungnya.Beliau berhasrat memajukan kawasan itu dan niatnya berjaya kerana selepas itu, ramai yang datang membuka pondok pengajian di situ.

Suasana di situ digambarkan sebagai 'rumput yang panjang telah musnah oleh tangan manusia, kawasan yang lengang mula menjadi riuh rendah dengan suara manusia termasuk bacaan ayat suci al-Quran'. Begitulah Pulau Ubi digambarkan yang penuh dengan aktiviti mendalami ilmu. Pondoknya berkekalan hampir 50 buah sehingga Perang Dunia Kedua.

Anak murid Yusof datang dari pelusuk tempat termasuk Pattani dan beberapa negeri di luar Kelantan. Kemuncaknya ialah selepas seorang guru agama, Husain Mustafa Besut menjadi menantunya dan mereka berdua mengajar silih berganti.

Mengenai peribadinya, beliau dikenali sebagai seorang yang sangat kuat ingatannya. Apabila wujud kemusykilan, beliau memberi jawapan dengan menerangkan nama kitab dan muka suratnya sekali.Hakikat itu diakui cucunya, Fadhil Abdul Hamid, 57, yang menjelaskan datuknya mempunyai suara nyaring, jika membaca al-Quran di Pulau Ubi, suaranya boleh didengari penduduk Telaga Lanas.

"Datuk saya seorang yang cukup tegas dalam mendidik anak, tidak menegur kesalahan dengan suara lantang untuk menasihati.

"Arwah bapa saya, Abdul Hamid pernah memberitahu bahawa datuk saya adalah seorang yang pendiam dan tidak suka bercakap perkara bukan-bukan, tetapi cukup mesra dengan cucunya.

"Setelah beliau meninggal dunia, bapa saya dan adiknya, Abdullah mewarisi ilmu agamanya, malah sekolah pondok yang dibukanya sebelum ini diambil alih bapa saya," katanya.

Ulama tersohor itu kini mempunyai 251 ahli keluarga merangkumi lima generasi.

Katanya, Yusuf sempat membina pusat pengajian pondok di Kampung Pulau Ubi, namun setelah Jepun menyerang Tanah Melayu pondok berkenaan dipindahkan ke Kampung Telaga Lanas.Namun, jika berkunjung ke kampung itu, masih ada lagi tinggalan sejarah ulama ini, apabila madrasah yang dibina oleh tokoh agama berkenaan masih kekal hingga kini.

Malah, madrasah itu pada asalnya dibina di kampung kelahirannya di Sungai Pinang, kemudian dipindah ke kampung Pulau Ubi sebelum didirikan kembali di Telaga Lanas oleh Abdul Hamid.Menyingkap sejarahnya, walaupun ramai guru agama lain sezaman di sekitar Pengkalan Kubor, beliau masih dihormati oleh guru itu kerana kematangannya dalam ilmu agama dan al-Quran.

Satu daripada kelebihannya ialah sebarang perbuatan maksiat tidak boleh dilakukan di kampungnya. Contoh, kalau dibawa ayam sabung, ayam sabung itu tidak dapat bersabung. Kalau bergendang di kawasannya, gendang akan pecah.

"Pernah berlaku kes, seorang pencuri memanjat pokok kelapa untuk mencuri buahnya, ketika turun dia ternampak ular besar di batang pokok dan sejak peristiwa itu, orang ramai segan, hormat dan takut untuk melakukan perbuatan yang menyalahi agama di kampung berkenaan," katanya. Tok Pulai Ubi juga sangat gemar membaca al-Quran pada waktu malam, suka mentelaah kitab dan pada masa sama mengawal anak muridnya keluar daripada kawasan pondok pada waktu malam.

Biodata

Yusuf Abdul Rahman

* Dilahirkan di Sungai Pinang, Kelantan pada 1887 dan meninggal dunia ketika usia 90 tahun.

* Dikebumikan di Kampung Telaga Lanas, Tumpat, bersebelahan pusara isterinya.

* Berguru dengan Tok Wan Ali Kutan dan Wan Ahmad Muhammad Zain Pattani.

* Belajar al-Quran dengan Abdullah Senggora.

* Ketika di Makkah, Yusof bersahabat dengan Tok Selehor, Tok Kenali dan Pak Da Ail.

* Antara kitab yang diajarnya iaitu Furu' al-Masa'il, Kashf al-Litham, 'Aqidah al-Najid, Al-Durr al-thamin, Jauhar al-Mauhub, Hikam, Hudhud, Qatr al-Nada dan Fath al-Muin.

* Kelebihannya ialah dalam ilmu fiqh dan tauhid.

* Di antara muridnya ialah Ali Pulau Pisang, Syaikh 'Uthman Jalaludin Penanti.

* Dikurnikan enam anak:-

1) Abdul Hamid (meninggal dunia pada 23 September 1978

2) Abdullah (meninggal dunia pada 6 Julai 1977)

3) Muhammad Saud (meninggal dunia)

4) Mariam (meninggal dunia)

5) Zainab (meninggal dunia)

6) Azirah

sumber

Rabu

TUAN TABAL JUGA DIGELAR TUAN KUTAN

( Dua anak Tuan Tabal mengikut jejak ayahnya menjadi ulama, mufti ketiga Kerajaan
Islam Kelantan Haji Wan Musa dan abangnya Haji Wan Muhammad mufti kempat)


Tuan Tabal - Penyebar Tarikat Ahmadiyah pertama di Nusantara

Hubungan Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman al-Kalantani dengan Tuan Tabal yang diriwayatkan sebagai saudara ipar dalam Ruangan Agama, Utusan Malaysia, Isnin, 13 September 2004/28 Rejab 1425H, masih dirasakan perlu diberi keterangan lanjut. Oleh itu pada terbitan kali ini dipilih judul mengenai ulama yang berasal dari Tabal itu. Nama sebenarnya ialah Haji Abdus Shamad bin Muhammad Saleh Tabal al-Fathani al-Kalantani. Sebelum bergelar Tuan Tabal beliau juga pernah digelar Tuan Kutan.

Oleh sebab semua tulisan yang meriwayatkan Tuan Tabal sebelum ini tidak pernah menyebut bahawa beliau adalah beripar dengan Syeikh Wan Ali Kalantani, maka sebelum meneruskan riwayat ini dirasakan perlu menulis perbandingan di bawah ini. Para penulis Kelantan selama ini menyebut bahawa isteri Tuan Tabal itu bernama Wan Tsum atau Wan Kaltsum anak Tok Semian. Maklumat daripada keluarga ini di Terengganu menyebut bahawa Tok Semian adalah nama gelar kepada Haji Abdur Rahman. Apabila kita teliti maklumat ini, maka salasilah yang diperoleh dari Terengganu ada benarnya, kerana ayah Syeikh Wan Ali Kutan dan Wan Kaltsum, adiknya memang bernama Abdur Rahman. Cuma ayah Abdur Rahman di sini bernama Abdul Ghafur, sedangkan ayah Abdur Rahman pada konteks isteri Tuan Tabal sebelum ini dikatakan bernama Lebai Muda. Kemungkinan Lebai Muda di sini adalah nama gelar juga bagi Abdur Ghafur pada konteks datuk kepada Syeikh Wan Ali Kutan dan saudaranya Wan Kaltsum tersebut. Penulis meyakini maklumat versi Terengganu ini, namun walau bagaimana pun penelitian tetap masih perlu dijalankan tanpa hentinya.

Untuk lebih jelas, saya masukkan keratan dari lain dari tulisan al-marhoum di Bicara Agama dalam tajuk Syeikh Wan Senik Karisiqi moyang Syeikh Daud Al-Fathani [sumber].

Syeikh Muhammad Yusya' bin Abdul Ghafur, ayah pada Syeikh Jalaluddin, adalah adik -beradik dengan Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Ghafur. Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Ghafur adalah orang yang sama dengan Syeikh Wan Abdur Rahman al-Kalantani, yang ketika mudanya tinggal di Lorong Tok Semian Kelantan. Beliau juga digelar dengan Tok Semian. Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Ghafur berkahwin dengan Hajah Wan Zainab binti Wan Abdul Qadir, anak perempuannya bernama Hajah Wan Kaltsum, menjadi isteri Tuan Tabal al-Kalantani. Hajah Wan Kaltsum adalah kakak Syeikh Wan Ali Kutan, dapat disemak dalam artikel tarikh 27 September 2004 atau dalam koleksi lepas disini.

KELAHIRAN DAN PENDIDIKAN

Ada pertikaian pendapat tentang tahun kelahiran Tuan Tabal. Yang pertama mengatakan bahawa beliau lahir tahun 1816 Masihi, dan pendapat yang kedua menyebut tahun 1840 Masihi. Nik Abdul Aziz bin Haji Nik Hassan dalam buku Sejarah Perkembangan Ulama Kelantan menentukan bahawa Tuan Tabal lahir pada tahun 1840 Masihi, yang diikuti oleh Hamdan Hassan dalam bukunya Tarekat Ahmadiyah di Malaysia Suatu Analisa Fakta Secara Ilmiah (DBP, 1990, hlm.72). Disebabkan ada dua pendapat di atas, maka penulis masih ragu dengan kedua-dua tahun yang disebutkan itu. Kedua-dua tahun yang disebutkan penulis-penulis lain tidak menyebutkan tahun Arabiyahnya. Padahal pada zaman itu tidak ada ulama kita mencatatkan tahun kelahiran dan tahun wafat menggunakan tahun Masihi. Pemindahan dari tahun Arabiyah kepada tahun Masihi sering terjadi kekeliruan, sebagai contoh Nik Abdul Aziz dalam buku yang sama tersebut di atas (lihat hlm. 99) menyebut bahawa Syeikh Ahmad al-Fathani lahir tahun 1872, padahal hanya salah menyalinnya sahaja daripada tulisan penulis dalam majalah Dian bil. 49, 1972, yang penulis tulis tahun 1272 Hijrah bukan 1872 Masihi.

Tulisan terawal Tuan Tabal ialah Munabbihul Ghafilin yang beliau selesaikan dalam tahun 1285 Hijrah yang jika dijadikan tahun Masihi lebih kurang tahun 1868 Masihi, bererti ketika itu Tuan Tabal baru berusia 28 tahun. Kitab yang tersebut itu walaupun nipis sahaja, namun mencorakkan falsafah mistik peringkat tinggi, yang menurut tradisi ulama dunia Melayu, ilmu tasawuf semacam itu tidak pernah ditulis oleh orang-orang yang berumur 28 tahun. Walaupun mereka menguasai ilmu tasawuf, namun mereka lebih suka menulis ilmu-ilmu yang bercorak zahir saja. Oleh sebab hal-hal yang tersebut di atas tahun 1840 Masihi itu perlu penyelidikan lebih lanjut.

Setelah memperoleh ilmu di Patani, Tuan Tabal melanjutkan pelajarannya ke Mekah. Oleh sebab ilmu Arabiyah beliau kurang kemas sewaktu di Patani, beliau diperintah oleh gurunya Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki memperdalam ilmu-ilmu Arabiyah itu daripada Syeikh Ahmad al-Fathani, walaupun Syeikh Ahmad al-Fathani sendiri jauh lebih muda daripada Tuan Tabal. Tuan Tabal lebih muda sedikit umurnya daripada Syeikh Muhammad Zain al-Fathani, ayah kepada Syeikh Ahmad al-Fathani.
"...dipercayai Tuan Tabal adalah orang pertama menyebarkan thariqat Ahmadiyah di Kelantan dan sekitarnya.."
Mengenai Tuan Tabal belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani itu sangat masyhur diceritakan oleh guru-guru pondok. Juga telah dirakamkan berupa tulisan oleh beberapa orang di antaranya Muhammad Uthman El-Muhammady, Hamdan Hassan (dalam buku yang sama di atas) dan lain-lain. Namun demikian tulisan Hamdan Hassan mengenai kepulangan Tuan Tabal dari Mekah sebelum tahun 1860 Masihi (lihat hlm. 74) masih meragukan. Sebab, dalam tahun 1860 Masihi itu Syeikh Ahmad al-Fathani baru berumur 4 tahun, jadi dalam tahun berapakah Tuan Tabal belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani ? Sebab itu mahu tidak mahu kita terpaksa memilih salah satu daripada dua, iaitu Tuan Tabal benar pernah belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani jauh sesudah tahun 1860 Masihi, atau Tuan Tabal tidak pernah belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani kerana ketika beliau turun dari Mekah pada tahun 1860 Masihi, Syeikh al-Fathani masih kanak-kanak.

Penulis tetap masih berpegang kepada cerita yang mutawatir bahawa Tuan Tabal memang pernah belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani, namun yang perlu penelitian ialah tahun-tahun yang bersangkutan dengan Tuan Tabal kerana masih banyak yang diragui. Ada pun tahun-tahun yang melibatkan Syeikh Ahmad al-Fathani mulai lahir, aktiviti kepelbagaian dalam kehidupan dan tarikh wafat semuanya cukup jelas kerana dokumen mengenai beliau memang tercatat secara teratur.

Dalam waktu yang sama Tuan Tabal, Syeikh Wan Ali Kutan dan Syeikh Ahmad al-Fathani menerima Thariqat Ahmadiyah daripada Sidi Syeikh Ibrahim ar-Rasyidi. Sidi Syeikh Ibrahim ar-Rasyidi adalah murid kepada Sidi Ahmad Idris, iaitu daripadanya dinisbahkan Thariqat Ahmadiyah yang tersebut. Oleh sebab Tuan Tabal pulang ke Kelantan sedangkan Syeikh Wan Ali Kutan dan Syeikh Ahmad al-Fathani tetap tinggal di Mekah, maka dipercayai Tuan Tabal adalah orang pertama menyebarkan thariqat tersebut di Kelantan dan sekitarnya, atau tempat-tempat lain di Nusantara.

Sampai artikel ini ditulis memang belum diketahui orang lain yang lebih awal menyebarkan thariqat itu di dunia Melayu, bagaimanapun penyebaran yang dilakukan oleh Tuan Tabal tidaklah secara besar-besaran seperti yang dilakukan oleh Syeikh Muhammad Sa'id Negeri Sembilan yang muncul agak terkebelakang sedikit daripada Tuan Tabal.

AKTIVITI

Maklumat mengenai Tuan Tabal, pengamal Thariqat Ahmadiyah yang tersebut dapat disemak daripada surat Raja Kelantan ibnu Sultan Muhammad kepada Syeikh Ahmad al-Fathani tarikh 14 Ramadan 1323 Hijrah, tertulis,''... orang yang dahulu beberapa banyak terima Thariqat Rasyidi, seperti Tuan Haji Abdus Shamad Tabal ...'' Dipercayai beliau telah mengajar thariqat yang tersebut terutama kepada anak-anak beliau.

Bagaimanapun pengajaran Thariqat Ahmadiyah yang disebarkan oleh Tuan Tabal bukanlah merupakan pengajian asas. Pengajian yang asas dan pemantapan beliau mula mengajarnya di kampung Kutan, Kelantan, selanjutnya pindah ke Terengganu. Di antara muridnya di Terengganu ialah Bentara Guru Haji Wan Saleh, iaituDato' Bentara Guru Mufti Terengganu. Selanjutnya beliau mengajar pondok di kampung Tempoyak Tabal. Setelah berpindah ke Kota Bharu, Kelantan, pengajaran dan dakwah lebih dipergiatkan lagi. Beliau telah berhasil membangun sebuah surau tempat beribadat dan mendidik umat di Lorong Semian.

PENULISAN

Karya Tuan Tabal yang telah ditemui ialah:

1. Munabbihul Ghafilin, diselesaikan hari Sabtu, 2 Muharam 1285 Hijrah/ 1868 Masihi. Kandungannya membicarakan tasawuf, merupakan petikan daripada kitab Ihya Ulumid Din dan Masyariqul Anwar. Naskhah yang dicetak berasal daripada salinan anak beliau, Nik Abdullah pada hari Sabtu, 29 Syaaban 1320 Hijrah.

2. Jalalul Qulub bi Zikrillah, diselesaikan pada waktu Zuhur, hari Rabu, 18 Muharam 1287 Hijrah/1870 Masihi. Kandungannya juga mengenai tasawuf. Cetakan pertama oleh Majlis Ugama Islam Kelantan, 29 Zulhijjah 1254 Hijrah/ 1935 Masihi. Cetakan yang kedua, Mathba'ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, Kelantan. Diberi kata pendahuluan oleh Tuan Guru Haji Nik Daud bin Ahmad Jambu, di Bukit Rahmah Tanah Merah, Kelantan.

3. Kifayatul `Awam fima Yajibu `alaihim min Umuril Islam, diselesaikan 14 Safar 1295 Hijrah/1878 Masihi. Manuskrip kitab ini telah penulis miliki pada 3 Syawal 1411 Hijrah, dihadiahkan oleh salah seorang keturunan Tuan Guru Haji Ahmad bin Abdul Manan (ulama Kelantan murid Syeikh Ahmad al-Fathani). Manuskrip tersebut tidak lengkap dan merupakan salinan yang dilakukan pada akhir bulan Syawal 1321 Hijrah/1903 Masihi. Selain manuskrip penulis juga memiliki cetakan batu yang diperoleh di Senggora (1991). Tempat dan tarikh cetakan tiada tersebut dalam cetakan huruf batu tersebut.

4. Mun-yatu Ahlil Auwab fi Bayanit Taubah, oleh sebab saya tidak dapat merujuk kitab asli, maka tidak dapat memastikan yang mana sebenarnya judul yang betul, apakah seperti yang penulis tulis itu atau yang satu lagi tertulis "... al-Awbah ...'' bukan " ... Auwab ...''. Tertulis Auwab berdasarkan senarai tulisan tangan yang penulis peroleh daripada salah seorang keturunan Tuan Tabal, dalam senarai Nik Abdul Aziz juga sama demikian. Yang menulis al-Awbah ditulis oleh beberapa penulis termasuk Hamdan Hassan (lihat hlm. 238). Daripada senarai Hamdan Hassan diperoleh maklumat bahawa kitab ini pernah diterbitkan oleh Mustafa Press, Kota Bharu (tanpa tahun).

5. Bab Harap, dicetak oleh Mathba'ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, 1359 Hijrah/ 1940 Masihi.

6. Bidayatu Ta'limil `Awam fi Tarafi min Arkanil Islam, tanpa menyebut tarikh. Pernah dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah, Mekah, 1323 Hijrah/1906 Masihi. Cetakan kelima oleh Mathba'ah al-Kamaliyah, Kota Bharu.

7. Manhatul Qaribil Mujib wa Mughnir Raghibin fit Taqrib, diselesaikan pada Jumaat, 10 Zulhijjah 1300 Hijrah/1882 Masihi. Kandungan kitab ini ialah usuluddin, fikah dan tasawuf. Tetapi yang terpenting ialah fikah. Cetakan yang kedua oleh Mathba'ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, 1354 Hijrah/ 1935 Masihi. Kitab ini adalah karya Tuan Tabal yang paling tebal, 327 halaman menurut ukuran model kitab-kitab Melayu/Jawi.

8. Mun-yatul Muridin fi Ba'dhi Ausafi Saiyidil Mursalin, kitab ini tidak sempat diselesaikan kerana beliau meninggal dunia. Kitab ini pernah diterbitkan oleh Mathba'ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, 1345 Hijrah/1926 Masihi.

Beberapa orang anak dan keturunan Tuan Tabal yang menjadi ulama, di antaranya Mufti Haji Wan Muhammad Bin Haji Abdul Samad (1870M-1920M) mufti ketiga kerajaan Islam Kelantan abang kepada Mufti Haji Wan Musa Bin Haji Abdul Samad menjadi mufti ke empat kelantan selepas menggantikan adiknya(1875M-1939M) dan lain-lain akan dibicarakan dalam siri-siri berikutnya. Insyallah

Al-Fatihah.....

sumber dari utusan malaysia bertarikh 04/10/2004
gambar dari web tokoh Ulama kelantan here

__________________________________________________
Ya Allah ya tuhanku...aku bermohon dengan berkat kekasihmu Tuan Guru Tabal Al-Kelantani ampunilah dan berkatilah ibubapaku,aku adik2ku dan leluhur keluargaku juga keturunanku sepanjang masa, tiliklah kami dengan tilikan rahmatmu Ya Rabb dunia dan akhirat...
Ya Rabb..ampunilah juga sahabat2 kuyg telah pergi mengadapMu YaRabb dan yg pasti kami akan pergi jua Ya rabb,khusus doaku untuk diriku dan sahabatku Nik Fuad berketurunan Tuan Tabal ini, juga Md Anuwi dan Fadli Yusuf P.Puteh, Ruzaha Kuala Krai, Zabidi, Nik Azham , Azman dan Safie jelawat keluarga dan sahabat2 mereka semua dengan berkat Tuan Tabal r.a...amiin.


SAHABAT HAQIQI DI TAMAN ALAM ILUSI


Sahabat HAQIQI di Taman Alam ILUSI.


Ugama dan nasihat

BahrusShofa - Khas untuk Ahlus Sunnah wal Jama`ah bermazhab. Wahhabi, Syiah, La Mazhabi, Salafi Gadungan dan lain-lain, anda mungkin tersinggung, eloklah cari blog lain, melainkan jika anda mencari kebenaran.
Keluarga Bahagia - Terisi info yang baik dan berguna sebagai amalan dan wirid harian,doa-doa dan kaifiat solat.

Islam terIndah - Curahan hati Islamic Blogger yang cintakan agama bangsa dan tanahair baca Info Islam terbaru di sini.
PondokBuku - Inisiatif seorang teman mengulas buku-buku ugama sambil menyediakan khidmat jualan buku-buku keugamaan
Blogger Indonesia
Mas Oman Fathurahman - This Blog is specifically dedicated to promote studying old Indonesian manuscripts.Especially those relate to religious issues.
Ustaz Syamsuri - Blog seorang ustaz yang penuh dengan amalan kesihatan bathin dan ulasan keugamaan.
Broherhood For Better

BrotherHood for Better - Menebar Dakwah Merajut Ukhwah
MudiMesra - Islamic religion boarding school of MUDIMESRA Samalanga located at mideun jok village in samalanga aceh bireuen district, aceh darussalam province
Ulama Kelantan - Ringkasan Ulama Kelantan DarunNaim
Ulama Kedah - Ringkasan Ulama Kedah Darun Aman
Anjung Senama - Ringkasan Ulama Tulisan muarrikh Syeikh Wan Md.Saghir
Ulama Pondok - Perihal Ulama pondok Malaysia

Kisah Imani - Kisah Imani tempat himpunan kisah-kisah teladan untuk tatapan semua, ada cerita auliya, selawat dan macam-macam santapan rohani

The Java Reporter - -Memperkaya hidup dengan informasi, berita Indonesia dan dunia international, walaupun content pelbagai namun saya sisipkan dibagian ini kerana suka artikel Dialog Islam-Yahudi


Kesihatan


Kesehatan Gigi - Info Kesehatan Gigi Sayangilah Gigi anda

FoodandDrink - Info makan dan minum,makanan yang lazat menyenangkan hati yang berkhasiat menyihatkan body
Health Care
HealthSide- Health and General Lifie Care

Lain-Lain

Eriy-apapaje - Ulasan apapajer, blog,story,medical,music,movies,healt,money mania dan apapajerlah
Poetra-Indonesia - Tulisan teman tentang Islam,Olahraga,sejarah,tokoh untuk renungan kita bersama
kamezaim
Kamezaim - Sekadar seorang Insan menulis untuk silaturrahim, mau dengar lagu-lagu silam sila-silau ke blog temanku ini
MyHendriyanto - Pemuda Riau yang menulis apa saja dalam blognya
ROSSONERRI.GIF

Rossonerri - Catatan kecil Sang Blogger yang punyer hati yang besar
Melody Arabia - Melody From the Desert Through into The Heart
PrettyGreeting - Islamic Greeting Cards


Tourism Informasi

PekanBaru-Riau - Mempromosikan Pekanbaru dan Riau



Tutorial dan Tips Blog

Blogger-Holic - Tutorial Blog dan Info terbaru anything about blog, belajar optimasi blog di sini.
Blogmenjerit - pusat kecantikan blog
BlogMenjerit - Terisi dengan tip-tips menarik mencantikkan blog anda

Link Promo - Tips Promosi , Tukar Link , Blogging Tips dan Bisnis Online
Kang Rohman - Tutorial Blog,mau belajar ngeBlog dari mula...disinilah tempatnya
.: Eriyza Qistina :.
Eriyzaqistina - Jom lepak sini sambil borak-borak tentang tips terbaghu dan kita sama-sama gelak..hahahha
Info-Baru - Blogger Review Web Design
Photobucket
Tips-Trik-Blog-Tips-Trik-Blog terisi informasi bikin dan modifikasi blog .:. Jangan lupa waktu..jangan bazirkan waktu sia-sia

Technology dan Tips IT

Zona Teknologi - Ulasan dan share maklumat tebaru tulisan Mas Didiet al-Indonesie al-Advancei
Computer blog
Komku.Blogspot - The Nature of Computer
Mobiles-X - This BLog all about you mobile..
include software, mp3, truetones, 3gp clips, and many more.

Hafiz - Blog teman sang perantau dari Melbourne,merantau di alam maya menulis info terbaru dunia ilusi
ThePayeh - Info teknologi dari Qelantanese, download aplikasi tercomel dan kenali wayang kulit dan wayang kulit dari Kelantan Tanah Serendah Sekebun Bunga Cerang Tegayung Sepagar Ruyung Kilatan Darul Pas

TanpaTinta - Tanpa Tinta Blog info tentang pendidikan luar sekolah,Kisah Motifasi,Cara Blog,Tips dan Trik
BlogMild - Blog yang karen banget kayaknya Clone Yahoo, terisi pelbagai topic menarik dari Technology News,Economic and business, Internet, blogger Tips dan yang penting Blognya ayu.

Anime7graphic - Tutorial Graphic, Flash, Vector Art Design, mau belajar Grafik maju kesini.











Sahabat Haqiqi di Taman Ilusi ....siapa yang Sudi comment aja di bawah Ini