Kebanyakan artikel disini adalah karya Al-Marhoum Tuan Guru Syeikh Wan Mohd Shaghir Abdullah R.A cucunda kepada Tuan Guru Syeikh Ahmad Al-Fathanie, juga dari akhbar2 nasional yang lain dan laman2 web yang bertebaran di alam maya juga disaduri macam2 hikayat,riwayat,kaifiat dan khasiat keemasan saya himpun dan susun sebagai koleksi peribadi dan bagi tatapan dan santapan rohani buat teman-teman yang sudi...himpunan artikel2 terbaru saya sekarang lebih muyul kepada informasi kesihatan ala muslim-jawi kearaban..... dan saya mula berjinak2 dengan jualan secara online produk kesihatan muslim, khasnya peralatan bekam (Set cawan, jarum dan pen bekam) dan khidmat pembekaman, Sudi-sudilah ziarah dan sudikan tinggal komentar anda. TQ

Isnin

Empat jenis manusia yang dijauhi Ilmu

(gambar hiasan saje)
Empat Golongan yang akan jahil sampai bila-bila

Segala puji bagi Allah yang menghidupkan hati-hati yang mati umpama menghidupkan tanah gersang yang kering kontang dengan tumbuhan yang segar menghijau, begitulah ilmu umpama air hujan yang menghidupkan buzur yang kontang.

Al-Kesahnya pada suatu hari seorang ahli Ilmu dijemput menjamu selera oleh seorang Abkorie, duduklah orang alim tersebut disatu hidangan bersama lima orang tetamu lain termasuk si abkorie tadi, sebagai seorang alim yang banyak ilmu beliau tahu sunnah nabi ketika makan,rasul menuntut umatnya agar bercakap benda-benda yang bermanfaat ketika makan seadanya,beliau pun memulakan sapaan kepada salah seorang lelaki disisinya.

"Tuan, adakah tuan sudi mendengar kalau saya bagitau satu ilmu ? Langsung dijawab lelaki tersebut "Ilmu aku udah cukup, tak perlu apa-apa yang hendak dibagitau" majlis tersebut senyap membisu beberapa ketika, namun tanpa kecewa dan niat menghidupkan sunnah nabi lantas dia bertanya kepada seorang pemuda yang kedua disisinya "Adakah kamu punya persoalan untuk ditanya dan kita boleh berbincang bersama? Tetapi yang pelik bin ajaibnya tiba-tiba merah-merang muka pemuda tersebut, lalu Si ALim itupun mengulangi katanya maka dijawab pemuda tersebut " Aku malu"

Masing-masing diam sambil menjamu selera, agak lama membisu dengan niat yang baik langsung Si ALim tersebut mengutara kata kepada lelaki yg ketiga dihadapanya" Tuan,mungkin ada perkara dalam apa-apa bab yang menjadi kesamaran yang kita buleh sama-sama bincang sambil menjamu selera..? Lalu lelaki tersebut manggangguk kepala perlahan-lahan sambil mengiyakan dan berkata"Ya..memang benar aku ada sesuatu yang hendak ditanyai, tapi aku tidak mahu menjatuhkan air-muka aku dikhalayak ramai,aku ini orang terpandang masyarakat, punya status yang tinggi,cukuplah dengan ilmuku lonih "

Tercengang Si ALim mendengar jawaban ketiga-tiga manusia dihadapanya, setelah beberapa ketika beliau pun mengajukan kata-kata untuk lelaki yang keempat, bagaimana dengan tuan syeikh,elok sangatlah jika kita serikan halakoh kita dan jadikan ilmu sebagai pembasuh mulut juadah hari ini ? Langsung dijawabnya "Kamu siapa untuk aku bertanya dan berbincang? Engkau lebih muda dari aku,aku orang tua, aku dulu yang makan garam dari engkau, aku banyak membaca kitab dan semuanya aku faham dan aku mengerti,aku pasti jikalau ada yang aku tidak paham isinya tidak akan ada lagi orang yang mampu memahaminya"

Maka setelah selesai sudah majlis jamuan dan para tetamu beramah mesra sesama sendiri maka Si Abkorie tersebut menyapa Sang Alim seraya berkata " Tuan Sheikh, tenangkan perasaan tuan dari mengingati peristiwa tadi kerana aku melihat sesuatu yang amat pelik dalam hidupku, terhimpunya empat perkara dalam satu hidangan" Bertanya Sang ALim " Apa yang anda maksudkan dengan empat itu?" Lalu berkata Si Abkorie "Ada empat jenis manusia di dunia ini yang tidak akan mendapat ilmu selama-lamanya"

Pertama : Orang yang takabbur (Mustakbir)
Kedua : Orang yang malu bertanya (Mustahyie)
Ketiga : Orang yang merasa cukup dengan ilmunya (Mustaghnie)
Keempat : Orang yang menyombong diri. (Mustankief)

Jika ada salah satu dari sifat-sifat ini dalam diri seseorang pasti dia tidak akan beroleh ilmu selama-lamanya.

Renungkanlah......

Kisah diatas tidak ada kena mengena dengan mereka yang mati, tapi mungkin ada kena mengena dengan kita yang hidup. :) Semoga dapat mengambil iktibar dan pengajaran.
Sekian dari kokamania ..bimadadika Ya Sidi.

(Harap maaf kepada pembaca yang budiman, tatabahasa kurang memuaskan, kawe tok pandai mengarang alah mano ,hukhu..kalau sapo2 pandai edit lain kasi syok sikit dipersilakan, hakcipta sama2 pelihara)

Ahad

Adakah pembikin gambar masuk neraka..???

Dengan namaMu Ya Latiff..
Bemulanya karangan dari patah-patahan kata, sepatah kata dari susunan huruf, Allah menciptakan hehuruf yang meniti dibibir manusia lalu terdengarlah lagu dan puisi dendangan penyair dan pujangga, terciptalah seni lagu yang dinamai muziq, sebagaimana warna di-olah menjadi gambar yang memukau pandang juga kata-kata biduan yang mengulit gegendang, itulah rahmat kurniaan Ilahi, dengan kurniaan rahmatNya terbentuklah kelazatan cinta padaNya di hati hamba2nya....

Persoalan..?? Adakah bakat,talent,kemahiran,kepakaran kurniaan tuhan disia-sia tanpa harga, terkira salah-satu rahsia abadi yang mengangkat nilai kemanusiaan melebihi makhlouknya yang lain, sedarkah kita ada hadith yang bermaksud lebih kurang " Pembikin gambar tempatnya di neraka " Photographers in the hell....ada segelompok manusia yang menyalah artikan paham hadith ini dengan mengharamkan gambar, lukisan dan seni ukir, menyalah dan mengharamkan lukisan benda yang bernyawaa...

Sukar bagi yang mengerti seni untuk mendeclarekan karya Vincent Van Gogh dari Holanda, Picasso maupun Mahmoud Said dari Mesir dengan karya dan seni tangan yang nyata memukau dan mampu menyihir dihukum sebagai haram, aliran seni bagaikan elektrik flow untuk menghaluskan perasaan dan mengupgrade jiwa seniman dan pencinta seni jika mampu dialir hingga kepada Sang Pencipta yang Maha seni...tidakkah timbul persoalan diminda terdetik dijiwa, siapakah dan bagaimana yang dimaksudkan dalam hadith nabi tersebut ???

Sebenarnya maksud Pembikin gambar yang tempatnya di neraka kelak adalah mereka yang menggambarkan tuhan itu boleh digambarkan, menggambari dan percaya serta beriktiqod bahawa itulah tuhan yang disembah, misalnya mereka yang mengkhayal tuhan itu seperti lembu rupanya lalu disuci dan diibadati, atau tuhan laksana metahari lantas dirosamkan gambar mentari untuk sembahan, maupun yang menggambarkan tuhan itu umpama bintang dilangit atau bulan diawan atau apa jua makhluk...lalu diambil sebagai pegangan dan menyembahnya, inilah yang dimaksudkan dalam hadith " Al musowwirun finnar" Golongan inilah yang mensyirikkan Allah yang tak serupa dengan segala sesuatu dengan menyerupakan dengan nafsu, inilah golongan yang tempatnya di neraka, nauzubillah.

Mereka lupa bahawa Tuhan itu suci dari berbilang atau bertempat, tiada sekutu baginya, tak boleh dibanding-tarakan, dimisal-amsthalkan, diumpama-bagaikan, tidak sesekali tuhan berkahwin apatah lagi punya anak,segala apa yang terlintas di fikiran, yang singgah di jiwa, bermain di akal, tergambar dipejaman, teraba oleh sentuhan itu sama sekali bukan tuhan yang dimaksudkan, Lasakamislihi sai'un filard wala fissama'. Ingatlaah, apa sahaja yang mampu kita khayalkan bukan tuhan, tuhan yang kita sembah itu tuhan yang pasti ada, adanya tuhan tidak serupa dengan makhluk, tidak tergambar dimata, tidak terlintas difikiran dan tidak terdetik dihati bagaimana adanya, cukuplah ibadat kita untuk syurgaNya...kerana hanya disitu sahaja satu-satunya tempat yang diizinkan kita menatap wajah tuhan yang kita sembah, mintalah syurga untuk bertemu Allah bukan syurga kerana takutkan neraka...wallahuaklam

Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani - Guru agama Sultan Kedah

Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani - Guru agama Sultan Kedah
Oleh AL-MARHOUM SYEIKH WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH R.A

PENGENALAN awal gerangan orang yang bernama Tuan Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani hanyalah daripada satu sumber sahaja, iaitu Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah karya Muhammad Hassan bin Kerani Muhammad Arshad dalam bentuk tulisan Melayu/Jawi, yang kemudian ditransliterasikan dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1968.

Oleh sebab ulama ini dinyatakan dalam buku yang tersebut adalah ayah atau orang tua kepada Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, sedangkan dalam beberapa maklumat yang lain ayah atau orang tua Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani bernama Syeikh Abdullah, dan yang lain pula menyebut bernama Syeikh Abdur Rahman, maka penelitian dan kajian yang lebih kemas perlu dilakukan.

Namun begitu, penulis pernah membuat bahasan terawal mengenai hal ini, dan dapat diperhatikan dalam buku penulis berjudul Syeikh Abdus Shamad Palembang Ulama Shufi Dan Jihad Dunia Melayu (cetakan pertama, Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur 1996, hlm: 1-5).

ASAL USUL DAN KEDATANGAN KE NUSANTARA

Nama lengkap beliau ialah Syeikh Abdul Jalil bin Syeikh Abdul Wahhab bin Syeikh Ahmad al-Mahdani. Berasal dari San’a, Yaman. Nama-nama lain untuk personaliti ini ialah Syeikh Abdullah dan Syeikh Abdur Rahman belum dibicarakan di sini, selanjutnya dibahas di bawah judul Syeikh Abdus Shamad Al-Falimbani.

Tersebut kisah seorang Arab penyebar Islam yang berasal dari San’a, Yemen. Nama beliau ialah Tuan Syeikh Abdul Jalil bin Tuan Syeikh Abdul Wahhab bin Tuan Syeikh Ahmad al-Mahdani. Kurang jelas tahun kedatangannya ke Palembang, Indonesia namun dikatakan bahawa setelah enam bulan beliau berada di Palembang, beliau berangkat ke Tanah Jawa bersama muridnya, Tengku Muhammad Jiwa keturunan Sultan Kedah.

Beliau menyebar Islam di Pulau Jawa tidak lama, lalu berangkat pula ke India. Muridnya yang berasal dari Kedah itu juga mengikut beliau ke India. Oleh kerana Tuan Syeikh Abdul Jalil tidak mengetahui bahawa muridnya yang setia itu seorang anak raja, maka seolah-olah Tengku Muhammad Jiwa itu adalah sebagai khadamnya. Namun demikian, muridnya itu sangat pandai menyembunyikan kebangsawanannya. Bahawa dia sentiasa tawaduk kepada Syeikh Abdul Jalil itu.

Syeikh Abdul Jalil dan muridnya itu sentiasa berpindah-pindah tempat di negeri India itu, barangkali sangat banyak kota dan kampung menjadi tempat kegiatan dakwah yang beliau rintis, sehinggakan di negeri India beliau mendapat seorang murid yang setia seperti Tengku Muhammad Jiwa, nama pemuda itu Hapisap.

Setelah sekian lama Tengku Muhammad Jiwa menjadi muridnya, namun Tengku Muhammad Jiwa tetap menyembunyikan dirinya sebagai seorang putera raja Kedah.
Pada satu ketika Tengku Muhammad Jiwa menceritakan kepada gurunya Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani dan sahabatnya Hapisap bahawa Kedah satu negeri besar juga, rajanya seorang Islam bernama Sultan Abdullah. Tengku Muhammad Jiwa mengatakan bahawa adalah patut Tuan Syeikh dan Hapisap berlayar ke sebelah sana.

Ajakan Tengku Muhammad Jiwa itu tiada lain, melainkan didorong oleh kerinduan beliau kepada sanak keluarga, rasa cinta kepada tanah air dan utamanya, ingin menyebar agama Islam lebih luas lagi.
Dari segi hubungan sanak-saudara, ia teringatkan hadis-hadis tentang suatu kewajipan menghubungi silaturahim yang telah terputus, antaranya dengan sanak-saudara di Kedah itu. Ditinjau dari segi cinta kepada tanah air, ia tiada lupa bahawa, mencintai tanah air itu adalah sebahagian daripada iman (hadis Nabi Muhammad s.a.w.).

Ampuh dan kukuh

Lebih dari segala itu adalah menyebarkan Islam, bahawa ia berasaskan kewajipan menyebarkan ilmu pengetahuan Islam, kerana ilmu yang dikuasainya sangat banyak dan mendalam yang diterimanya dari Syeikh Abdul Jalil Mahdani itu. Bahawa ia bercita-cita membina Islam di Kedah yang telah kuat berpegang dengan dasar-dasar Islam sejak lama itu lebih ampuh dan kukuh asas Islamnya pada masanya, dan masa-masa mendatang kemudian daripadanya.

Pada tahun itu juga (1122 H bersamaan 1710 M), Syeikh Abdul Jalil Mahdani berkenan memenuhi ajakan muridnya itu, maka berangkatlah mereka bertiga dengan sebuah kapal yang berasal dari sebuah pelabuhan Arab (berbangsa Maskat) yang kebetulan singgah di India untuk menuju ke Tenggara. Dalam pelayaran itu mereka singgah di pelabuhan Murgi/Murgui di negeri Burma.

Kejadian di Negeri Kedah pula pada masa keberangkatan Tengku Muhammad Jiwa, bahawa ayah Tengku Muhammad Jiwa, Sultan Abdullah al-Muazzam Shah mangkat pada 13 Jamadilakhir 1118 H/1706 M. Baginda diganti oleh puteranya, Tengku Ahmad Tajuddin Halim Syah. Baginda mangkat pula. Oleh kerana Tengku Ahmad Tajuddin tidak meninggalkan putera mahupun puteri, maka timbullah masalah tentang pengganti baginda sebagai Sultan Kedah.
Maka, para pembesar Kedah sepakat untuk mencari Tengku Muhammad Jiwa, kerana enam tahun lamanya meninggalkan Kedah tanpa memberi berita sesuatu apa pun juga.

Dato’ Kema Jaya berangkat mencari berita ke arah jurusan Sumatera dan Jawa. Dato’ Indera Mambang menuju ke arah jurusan India dan Burma. Dato’ Seri Indera Mambang berhasil menemui Tengku Muhammad Jiwa, yang kebetulan kapal layar kedua-dua pihak itu berlabuh di pelabuhan negeri Burma.

Pada mulanya Dato’ Seri Indera Mambang tidak mengenali Tengku Muhammad Jiwa kerana pakaian yang telah berubah, mungkin kerana menurut model India tidak mengikut model pakaian Melayu Kedah dan parasnya juga telah berubah. Tetapi Tengku Muhammad Jiwa masih mengenali Dato’ Seri Indera Mambang.

Setelah diketahui oleh Tengku Muhammad Jiwa bahawa ayahandanya telah mangkat, demikian juga saudaranya Tengku Ahmad Tajuddin, lalu ia menangis. Maka barulah diketahui oleh Tuan Syeikh Abdul Jalil bahawa Tengku Muhammad Jiwa itu adalah seorang putera Sultan Kedah sendiri.

Tengku Muhammad Jiwa menjawab pertanyaan gurunya tentang dirinya semuanya menggunakan bahasa Arab, memang tidak sia-sialah dia belajar selama ini, bahawa ia fasih berkata-kata dalam bahasa Islam yang tercinta itu. Akhirnya semua mereka berangkat menuju ke Kedah.

DILANTIK SEBAGAI MUFTI
Tengku Muhammad Jiwa dilantik menjadi Sultan Kedah menggantikan saudaranya Tengku Ahmad Tajuddin. Ketika beliau ditabalkan menjadi Sultan, gurunya Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani telah membaca doa untuk baginda. Pada suatu hari, pada suatu permusyawaratan, Sultan Tengku Muhammad Jiwa berkata: “Hamba persilakan mamak-mamak dan guru hamba kerana hamba hendak bermuafakat hendak memberi pangkat kepada Hapisap iaitu menjadi kadi menggantikan kadi yang telah kembali ke rahmatullah Taala itu”. Maka dijawab sekalian menteri dan Tuan Syeikh, “Benar seperti titah itu”.
Sultan Tengku Muhammad Jiwa berkata pula, “Hamba harap guru hamba menjadi mufti di dalam negeri Kedah ini.”
Tidak berapa lama setelah pengangkatan tersebut, Tengku Muhammad Jiwa berusaha pula menjodohkan tuan gurunya, Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani dengan perempuan di lingkungan istana, bernama Wan Zainab binti Dato’ Seri Maharaja Putra Dewa.

KETURUNAN
Setelah beberapa bulan perkahwinan Tuan Syeikh Abdul Jalil Mahdani dengan Wan Zainab, tiba-tiba datang seorang muridnya dari Palembang bernama Raden Siran. Muridnya itu mengajak gurunya ziarah ke Palembang kerana murid-muridnya di Palembang sangat rindu kepada beliau.

Di Palembang, Raden Siran berusaha mencarikan isteri untuk gurunya itu, maka terjadilah perkahwinan antara Syeikh Abdul Jalil Mahdani dengan Raden Ranti/Rantai.
Hasil perkahwinan Raden Ranti dengan Tuan Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani itu, mereka memperoleh seorang anak, Abdus Shamad. Dialah yang dikenal sebagai Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani seorang ulama sufi Asia Tenggara yang terkenal dengan karyanya yang terkemuka, Hidayatus Salikin dan Siyarus Salikin yang biografinya akan diperkenalkan kemudian.

Menerusi perkahwinan Syeikh Abdul Jalil dengan Wan Zainab di Kedah pula, beliau mendapat dua orang anak iaitu Wan Abdul Qadir yang menjadi Mufti Kerajaan Kedah dan Wan Abdullah yang memangku gelaran Seri Maharaja Putera Dewa di Kedah.

Ada pun Syeikh Abdus Shamad Palembang itu, maklumat keturunannya hanya diketahui seorang anaknya bernama Fathimah. Mengenai kedua-dua anaknya yang di Kedah, keturunan selanjutnya belum dapat dikesan.

WAFAT
Makamnya terletak di Tanjung Pauh, Jitra, Daerah Kubang Pasu, Kedah. Penulis pernah sampai ke makam itu membuat penyelidikan dalam tahun 1992, memperoleh catatan bahawa Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani meninggal dunia tahun 1196 H/1782 M. Kawasan makam sangat luas, sekali-sekali ada orang datang berziarah kerana membayar nazar.
Penulis diberitahu oleh salah seorang penunggu makam bahawa orang-orang India datang ke tempat itu setahun sekali, secara beramai-ramai kerana membuat kenduri dan menyampaikan nazar.

Siapa Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani..?
- Ayah kepada Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani
- Nama lengkapnya ialah Syeikh Abdul Jalil bin Syeikh Abdul Wahhab bin Syeikh Ahmad al-Mahdani.
- Berasal dari San'a, Yemen.
- Nama-nama lainnya ialah; Syeikh Abdullah dan Syeikh Abdur Rahman.
- Berkahwin dengan Wan Zainab (Kedah) dan Raden Ranti/Rantai (Palembang).
- Meninggal dunia pada 1196 H/1782 M.
- Makamnya terletak di Tanjung Pauh, Jitra, Daerah Kubang Pasu, Kedah.

* Koleksi tulisan Allahyarham Wan Mohd. Shaghir Abdullah.


Muhammad Thaiyib penerus tradisi ulama Banjar

Muhammad Thaiyib penerus tradisi ulama Banjar
Oleh AL-MARHOUM SYEIKH WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH R.A

BEBERAPA orang ulama yang berasal dari Banjar, Kalimantan Selatan, keluarga dekat dengan ulama yang diriwayatkan ini, telah diperkenalkan dalam Bahagian Agama, Utusan Malaysia.

Mereka ialah Tuan Husein Kedah Al-Banjari, Generasi Penerus Ulama Banjar (16 Ogos 2004), Syeikh Abdur Rahman Shiddiq Al-Banjari, Mufti Kerajaan Inderagiri (23 Ogos 2004), Mufti Jamaluddin Al-Banjari, Ahli Undang-Undang Kerajaan Banjar, (15 Ogos 2005), Haji Yusuf Saigon Al-Banjari, (22 Ogos 2005) dan Syeikh Muhammad Arsyad Al-Banjari, Pengarang Sabil Al-Muhtadin (19 September 2005). Pada judul-judul yang tersebut ulama yang bernama Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari adalah jalur ke atas ulama yang diriwayatkan ini, sedang Tuan Husein Kedah al-Banjari adalah cucu beliau


Nama lengkapnya ialah Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas'ud bin Qadhi Abu Su'ud bin Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari. Di antara nama yang digunakan dalam penulisan ialah Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas'ud al-Khalidi an-Naqsyabandi. Penambahan perkataan "al-Khalidi an-Naqsyabandi" adalah berdasarkan sebuah karya beliau judul, "Fat-hul Hadi. Dengan digunakannya perkataan yang tersebut berertilah ulama yang berasal dari Banjar yang tinggal di Kedah tersebut adalah seorang sufi, pengamal Thariqat Naqsyabandiyah aliran al-Khalidiyah.

Daripada maklumat di atas jelas bahawa Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas'ud al-Banjari sama pegangannya dengan Syeikh Ismail bin Abdullah al-Khalidi (Minangkabau) yang kedua-duanya hidup sezaman yang menyebarkan Thariqat Naqsyabandiyah aliran al-Khalidiyah yang tersebut dalam kerajaan Riau-Lingga dan selanjutnya di Melaka dan Kedah. Sangat kemungkinan bahawa Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas'ud al-Banjari adalah murid pada Syeikh Ismail bin Abdullah al-Khalidi yang tersebut, hal ini kerana jika dibandingkan kemunculan ulama Minangkabau tersebut lebih dulu muncul daripada Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas'ud al-Banjari.

Asal usul keturunan beliau.
Ayahnya Syeikh Mas'ud itulah yang dikatakan telah menemui syahidnya di dalam peperangan di antara Patani dan Kedah melawan Siam, iaitu bersama-sama kejadian hilangnya Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani. Datuknya bernama Qadhi Haji Abu Su'ud diceritakan bahawa beliau pulang dari Makkah untuk meneruskan perjalanannya pulang ke Banjar telah singgah di Kedah. Sultan Kedah telah meminta kepadanya supaya tinggal di Kedah saja untuk menjadi guru baginda dan rakyat Kedah.

Peristiwa yang sama berlaku pula kepada saudara kandung Syeikh Qadhi Haji Abu Su'ud yang bernama Syeikh Syihabuddin bin Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari diminta oleh Sultan Riau-Lingga supaya menjadi Mufti, mengajar istana dan rakyat Riau-Lingga dalam berbagai-bagai ilmu pengetahuan Islam. Pendek kata semua adik beradik dan datuk/nenek kepada Syeikh Muhammad Thaiyib adalah ulama-ulama besar yang terkenal dan tidak asing bagi masyarakat Melayu di seluruh dunia Melayu.

Di Kedah Qadhi Haji Abu Su'ud al-Banjari atas kehendak Sultan Kedah telah kahwin dengan perempuan bernama Rajmah. Dari perkahwinan itu memperoleh anak dinamakan Mas'ud, iaitu ayah kepada Syeikh Muhammad Thaiyib yang diriwayatkan dalam artikel ini. Daripada cerita di atas dapat diambil kesimpulan bahawa ulama yang diriwayatkan ini sebelah ayahnya adalah berasal dari Banjar sedang sebelah ibunya berasal dari Kedah.

Pendidikan
Syeikh Muhammad Thaiyib Banjar-Kedah dipercayai memperoleh pendidikan asas dari ayah dan datuknya sendiri. Selanjutnya Syeikh Muhammad Thaiyib juga mempunyai konteks kepada kaum keluarganya yang menjadi ulama di negeri Banjar, Jawa, Bangka, Belitung dan Makkah. Banyak kali beliau pulang ke Banjar, atau pergi ke Makkah, atau di tempat-tempat yang diketahuinya ada kaum keluarganya yang menjadi ulama.

Pada masa usia mudanya lebih banyak menerima pelajaran daripada memberikan pelajaran. Tetapi manakala beliau telah meningkat tua adalah sebaliknya lebih banyak mengajar daripada menerima. Tidaklah diragukan bahawa Syeikh Muhammad Thaiyib tersebut adalah seorang ulama besar, bahkan anak beliau juga seorang ulama besar yang banyak jasanya dalam pembinaan ulama di Semenanjung Tanah Melayu.

Daripada sebuah kitab judul Miftah as-Shibyan fi 'Aqaidil Iman oleh Syeikh Muhammad Zain Nuruddin dapat diketahui sanad atau hubungan pengajian Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas'ud al-Banjari ialah, "... hamba mengambil ilmu sharaf, dan nahu, dan fiqh, dan ilmu tasawuf, dan ilmu ushuliddin di dalam Negeri Bahara Pesisir Kampung Dahari kepada Syeikhina Walidiyi al-murabbiyi ruhiyi wal jasadiyi al-'Alim asy-Syeikh Abbas, Imam al-Khalidi an-Naqsyabandi, ibnu al-Mukarram al-Haji Muhammad Lashub. Ia mengambil daripada asy-Syeikh Ismail ibnu asy-Syeikh al-Khathib Sikin, dan daripada asy-Syeikh Alim al-Allamah al-Fahamah asy-Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani, dan daripada asy-Syeikh al-Allamah Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas'ud al-Banjari al-Qad-hi, dan daripada Syeikh 'Ali al-Qad-hi."

Daripada petikan ini dapat disimpulkan bahawa Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas'ud al-Banjari al-Qad-hi adalah termasuk salah seorang guru bagi Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani, iaitulah ulama besar dunia Melayu yang terkenal penyusun kitab 'Aqidah an-Najin, Kasyf al-Litsam, Kasyf al-Ghummah, dan lain-lain.
Melalui sanad ini menurunkan beberapa orang ulama di Sumatera Utara, di antaranya ialah Syeikh Abbas bin Haji Muhammad Lashub Imam al-Khalidi an-Naqsyabandi dan anak beliau Syeikh Muhammad Zain Nuruddin, Negeri Bahara Pesisir Kampung Dahari, Sumatera Utara, penyusun beberapa buah kitab.

Karya

Ada tiga risalah karya ulama yang berasal dari Banjar ini yang telah dijumpai, ialah: 1. Miftah al-Jannah fi Bayan al-'Aqidah, 2. Fat-hul Hadi, 3. Bidayah al-Ghilman fi Bayan Arkan al-Iman, 4. Bidayah al-Ghulam fi Bayan Arkan al-Islam. Risalah yang pertama, Miftah al-Jannah, pada satu naskhah catatan diselesaikan penulisan pada 16 Syawal 1247 H/19 Mac 1832 M pada naskhah yang lain pula dinyatakan pada 16 Syawal 1255 H/23 Disember 1839 M. Terdapat pelbagai edisi cetakan, cetakan Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah Mekah, 1321 H dan 1327 H. Dicetak kombinasi dengan risalah-risalah Ushul at-Tahqiq, Mau'izhah li an-Nas, Tajwid al-Quran semuanya tanpa menyebut nama pengarang. Dan di tepinya pula dicetak risalah Asrar ad-Din juga tidak disebut nama pengarang.

Risalah yang kedua, Fat-hul Hadi, diselesaikan hari Isnin, 4 Jumadilakhir 1282 H/25 September 1865 M. Kandungan membicarakan ilmu tasawuf tentang haqiqat merupakan terjemahan dan petikan daripada kitab Syarh Tuhfah al-Mursalah Syeikh Muhammad Bin Fadhlullah Al-Burhanfuri yang disyarah oleh Syeikh 'Abdul Ghani an-Nablusi.

Pada bahagian akhir kitab Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas'ud al-Banjari menyatakan, "Bermula yang membangunkan bagi aku pada yang demikian itu, dan jika tiada aku ahli bagi yang demikian itu, isyarat daripada putera Sultan kami dengan lisan halnya dan maqalnya serta elok segala perangainya dan af'alnya. Maka bahawasanya ia datang akan aku dengan kelakuan segala faqir-faqir dan meninggal ia akan segala pakaian bagi segala amir-amir. Serta bahawasanya ia kamil pada kemuliaan, dan kekayaan dan rakha. Bermula namanya itu seperti nama seorang Nabi yang asyiq akan dia oleh Zulaikha ..."

Risalah yang ketiga (Bidayah al-Ghilman fi Bayan Arkan al-Iman) dijumpai sebuah manuskrip yang diselesaikan pada tahun 1297 H/1879 M. Hanya sebuah itu saja manuskrip judul ini, tidak terdapat salinan lainnya. Dalam sebuah manuskrip terkumpul beberapa buah naskhah, bukan karya Syeikh Muhammad Thaiyib sendiri saja. Pada halaman 3 terdapat tulisan Syeikh Abdul Muthallib bin Tuan Faqih Kelantan di Mekah, tahun 1307 H/1890 M.

Kandungannya membicarakan mengganti sembahyang yang tertinggal menurut Mazhab Hanafi yang diamalkan dalam Mazhab Syafie. Halaman 6 sampai halaman 24 berasal dari tulisan Haji Abdur Rahman bin Haji Wan Thalib di dalam negeri Cenak, Kampung Temparak (Patani) tahun 1290 H. Membicarakan fiqh dimulai dengan membicarakan zakat. Halaman 35 sampai 51 iaitulah tulisan/karya Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas'ud dengan judul yang telah disebutkan. Kandungan karya Syeikh Muhammad Thayib bin Mas'ud al-Banjari al-Qad-hi ini membicarakan ilmu tauhid, membahas Sifat Dua Puluh.

Daripada yang dipaparkan di atas, terdapat banyak bukti bahawa Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas'ud banyak meninggalkan karya yang lain, di antaranya telah dijumpai sebuah naskhah yang beliau karang dalam bahasa Arab dan di bawahnya diberi makna dengan bahasa Melayu. Di akhir manuskrip tersebut beliau tulis nama orang tuanya dengan "Mas'ud asy-Syahid". Maksud asy-Syahid di sini ialah mati syahid dalam perang fi sabilillah melawan pencerobohan Siam terhadap Patani dan Kedah. Dengan dijumpai naskhah tersebut dapat memperkuat sekian banyak cerita masyarakat Melayu terutama di Kedah, Patani, Pontianak dan Banjar serta yang bertulis pula diriwayatkan oleh Tuan Guru Mufti Haji Abdur Rahman Shiddiq al-Banjari yang beliau ceritakan dalam kitab Syajaratul Arsyadiyah. Juga cerita rakyat yang mungkin ada pihak-pihak tertentu memandang cerita tersebut sebagai legenda atau dongeng.

Keturunan
Anak-anak Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas'ud di Kedah di antaranya ialah Haji Muhammad Nashir, Haji Salman, Haji Abdullah dan Haji Abdur Rahman. Haji Muhammad Nashir bin Syeikh Muhammad Thaiyib al-Banjari yang tersebut menurunkan seorang anak yang menjadi ulama besar yang sangat terkenal di Malaysia, Patani dan Banjar. Beliau ialah Tuan Guru Tuan Husein Kedah, atau nama lengkapnya Tuan Guru Haji Husein bin Muhammad Nashir bin Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas'ud al-Banjari al-Qad-hi.

Sebahagian jasa Tuan Husein Kedah yang tidak dapat dilupakan ialah pendidikan pondok yang diasaskannya di Pokok Sena, iaitu termasuk di antara pusat pengajian pondok yang terkenal di Malaysia pada zamannya. Sangat ramai murid beliau yang menjadi ulama dan tokoh yang terkenal baik di Malaysia mahu pun di tempat-tempat lainnya seperti di Indonesia, Patani dan lain-lain. Tuan Husein pula meninggalkan beberapa buah karangan meneruskan tradisi datuk nenek beliau mulai dari Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari lagi. Di antara karangan Tuan Husein Kedah al-Banjari ada yang masih beredar di pasaran kitab sampai sekarang dan ada juga yang tidak beredar lagi. Di antara karangan Tuan Husein Kedah cucu Syeikh Muhammad Thaiyib al-Banjari al-Qad-hi ialah: 1. Hidayah ash-Shibyan, diselesaikan tahun 1330 H, 2. Qathr al-Ghaitsiyah, diselesaikan tahun 1348 H, 3. Bidayah ath-Thalibin, 4. Ushul at-Tauhid, 5. Hidayah al- Mutafakkirin dan lain-lain.


Ibnu Syeikh Abdul Mu’ti -- Penyusun Ilmu Tajwid pertama Bahasa Melayu

Ibnu Syeikh Abdul Mu’ti -- Penyusun Ilmu Tajwid pertama Bahasa Melayu
Oleh AL-MARHOUM SYEIKH WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH R.A

Ulama ini tidak menjelaskan dari mana beliau berasal. Kebiasaannya penulisan oleh para ulama zamannya (1193H/1779M) akan menyebut nama negeri di hujung nama, seperti al-Asyi, al-Fatani, al-Falimbani, al-Banjari, as-Sumbawi dan lain-lain.
Untuk menentukan dari mana beliau berasal dengan berdasarkan andaian sahaja tidak memenuhi kriteria sejarah. Berdasarkan sebuah salinan dari sekian banyak salinan karya ulama tersebut, terdapat nama Muhammad Salih bin Ibnu Mu’ti bin Syeikh Muhammad Salih al-Kalantani.
Melihatkan pada hujung namanya tertulis al-Kalantani, maka kemungkinan Ibnu Syeikh Abdul Mu’ti berasal dari Kelantan.

Namun demikian, dengan hanya sebuah naskhah salinan beliau sahaja belum cukup kuat untuk dijadikan bukti bahawa ulama tersebut berasal dari Kelantan. Ia masih perlu disokong dengan naskhah-naskhah lain.

Mengenai namanya juga tidak cukup jelas. Apakah ‘Ibnu’ itu namanya yang sebenar atau adakah pernyataan bahawa dia adalah ‘anak’ (terjemahan dari ‘Ibnu’) kepada Syeikh Abdul Mu’ti. Semua salinan karyanya menggunakan nama Ibnu Syeikh Abdul Mu’ti Ibnu Syeikh Muhammad Salih.

Berdasarkan tahun yang terdapat pada karyanya mengenai ilmu tajwid iaitu tahun 1193H/1779M adalah tarikh terawal mengenai ilmu itu yang ditulis dalam bahasa Melayu. Ilmu tajwid yang dikarang atau disusun oleh ulama-ulama Melayu yang lain jauh ketinggalan berbanding ulama ini. Karya beliau yang terawal tersebut iaitu Mir’atul Quran yang pernah disalin oleh Tuan Guru Haji Mahmud bin Muhammad Yusuf Raman -Terengganu yang pernah dibicarakan sebelum ini.

Pendidikan
Apabila memperhatikan kemunculan kitab Mir'atul Quran tahun 1193H/1779M hasil karangan ulama yang dibicarakan ini, maka dapat dipastikan bahawa beliau adalah sezaman dengan beberapa ulama. Antaranya Syeikh Abdus Samad al-Falimbani yang menyelesaikan karyanya Hidayatus Salikin tahun 1192H/1778M, Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari yang menyelesaikan karya Lugthatul ‘Ajlan tahun 1192H/1778M juga.

Selain itu juga sezaman dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani yang menyelesaikan Syarh Hikam (bahasa Arab) tahun 1193H/1779M. Oleh itu, jika Ibnu Syeikh Abdul Mu’ti bin Muhammad Salih belajar dalam tahun-tahun yang sama dengan ketiga-tiga ulama yang berasal dari tanah Jawi/dunia Melayu itu, maka mudah untuk dikenalpasti dengan siapa beliau belajar.

Namun tidak terdapat satu maklumat dalam karyanya dengan siapa beliau belajar. Dalam sejarah perkembangan Islam di Asia Tenggara, sangat mudah kita menentukan ulama-ulama yang pakar dalam beberapa ilmu seperti tasauf, usuluddin, tafsir, fikah, hadis dan lain-lain. Namun belum ditemui maklumat siapakah ulama Melayu pada peringkat awal yang pakar dalam ilmu tajwid.

Ibnu Syeikh Abdul Mu’ti bin Syeikh Muhammad Salih hanyalah menyebut pada mukadimah karyanya “…dan daripada tajwid yang telah dijawikan oleh segala guru-guru kita sekalian.” Dari perkataan beliau yang singkat tersebut dapat dibuat dua kesimpulan.

Kesimpulan pertama, sebelum karya beliau telah ada kitab tajwid yang dijawikan atau yang diterjemah ke bahasa Melayu. Yang kedua, kitab-kitab tajwid dalam bahasa Melayu itu diusahakan oleh guru-guru kepada Ibnu Syeikh Abdul Mu’ti sendiri. Namun amat dikesali kerana beliau tidak menyenaraikan nama-nama kitab dalam bahasa Melayu tersebut dan menyebut nama guru-gurunya itu.

Data karya
Tajuk lengkap karya beliau ialah Mir’atul Quran fi Tashili Ma’rifati Ahkamit Tajwid lil Mulkil Wahhab. Manuskrip kitab ini sangat banyak ditemui. Beberapa buah disimpan di Muzium Islam Pusat Islam Kuala Lumpur dan juga di Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia.
Dalam koleksi peribadi penulis terdapat beberapa buah, tetapi data yang dimuatkan dalam rencana ini diambil daripada karya beliau yang telah disalin oleh Tuan Guru Haji Mahmud bin Muhammad Yusuf Terengganu.

Menurut keterangan ulama yang berasal dari Kemaman, Terenganu itu adalah beliau menyalin daripada naskhah yang asal dan diselesaikan pada tahun 1265H/1848M. Walaupun jarak waktu ketika Mir’atul Quran yang ditulis tahun 1193H/1779M itu agak jauh dengan salinan Haji Mahmud Terengganu yang selesai tahun 1265H/1848M (kira-kira 72 tahun) namun masih ada kemungkinan kedua-dua ulama ini sempat berjumpa.

Ini kerana sewaktu di Mekah, Haji Mahmud Terengganu sempat belajar dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani, sedangkan Ibnu Syeikh Abdul Mu’ti adalah hidup sezaman dengan Syeikh Daud al-Fatani. Tambahan pula, Haji Mahmud Terengganu memulakan aktiviti penyalinan tahun 1235H/1819M, iaitu jarak waktu sekitar 42 tahun sesudah kitab Mir’atul Quran.

Dalam karyanya, Sesudah Basmalah, Hamdalah dan Salawat, Ibnu Syeikh Abdul Mu’ti menulis, “Adapun kemudian daripada itu, maka tatkala hijratun Nabi s.a.w 1193, bahawasanya telah meminta padaku, seorang sahabatku yang besar, pada menghimpunkan suatu kitab pada menyatakan ilmu tajwid, menterjemahkan daripada bahasa Arab kepada bahasa Jawi.…”

Setelah menyebut namanya dan judul kitab dalam bahasa Arab, maka beliau menyebut terjemahan judulnya dalam Bahasa Melayu iaitu ‘cermin’ bagi segala mereka itu yang minat membaca al-Quran pada memudahkan mengenal segala hukum at-tajwid.

Untuk memenuhi syarat ilmiah bagi sesuatu karya, beliau juga menyebut kitab-kitab rujukan yang menurut istilah beliau ‘segala pohon kitab ini’ iaitu:
* Tuhfatut Talibin fi Tajwid Kitabi Rabbil ‘Alamin, karya Syeikh Mansur ibnu Isa ibnu ‘Azi al-Ansari al-Mu’ir.
* Ahwasul Mufahhamah fi Syarhil Muqaddimah fi ‘Ilmit Tajwid karya Syaikhul Islam.
* Daqaiqul Mu’akkah karya Syaikhul Islam juga.
* Kanzul Ma’ani min Syarhi Hirzil Ma’ani.
* Husnul Qari.
* Masalatul Mufiddin.

Sifat-sifat tawaduk Ibnu Syeikh Abdul Mu’ti yang mencorakkan beliau sebagai seorang ulama tasauf juga jelas dari kalimat beliau, “Hai saudaraku! Apabila kau lihat bersalahan suatu masalah daripada segala masalahnya dengan dalil dan hadis, atau salah ambilannya daripada segala pohon kitab kitab ini, maka perbaiki kiranya olehmu dengan ibarat yang sahih….”

Sesudah mukadimah serta menyebut kitab-kitab rujukan, Ibnu Syeikh Abdul Mu’ti menjelaskan hukum mempelajari ilmu tajwid, katanya, …menuntut ilmu tajwid itu fardu ain atas tiap-tiap Islam laki-laki dan perempuan daripada diberat sekalian itu….

Beberapa hadis Nabi s.a.w. dan pendapat para ulama yang bersangkut-paut dengan membaca al-Quran dikemukakan pula sebagai mukadimah bagi bab yang dinamakan Isti’azah, iaitu bab yang menyatakan membaca A’uzubillah.

Ibnu Syeikh Abdul Mu’ti bin Muhammad Salih memulakan bahasan bab ini dengan menulis, “Bahawasanya mengucap A’uzubillah itu sunat dahulu daripada membaca al-Quran. Dan wajib mengucap A’uzubillah. “Maka sunat mengucap A’uzu billah itu dengan barang yang permulaan membaca al-Quran apabila ada hadir orang yang mendengar. Maka adapun barang siapa membaca pada tempat yang sunyi atau di dalam sembahyang, maka diperlahankan terlebih aula daripada dinyaringkan. Dan sama ada pada awal kemudian pula dengan bab Basmalah, dimulai dengan kata beliau, …bahawa hukum Basmalah, tiada dapat tiada daripadanya pada permulaan tiap-tiap surah bagi resamnya pada Masahif al-Utsmani, seperti yang demikian itu, barang yang lain daripada surah Baraah (surah Taubat) kerana bahawasanya mereka itu tiada meresamkan mereka itu dengan Basmalah pada awal surah.”

Susunan Mir’atul Quran karya beliau yang tersebut sebelum memasuki hukum-hukum tajwid yang biasa dibicarakan dalam kitab-kitab lain, terlebih dulu meletakkan bab Lam Takrif sebagai bab yang ketiga sesudah dua bab yang tersebut sebelumnya.

Mengenai bab ini dimulainya dengan, …bermula Lam Takrif itu dibahagi segala huruf hijaiyah , ertinya huruf hijaiyah itu adalah 28 huruf. Dibangsakan atasnya dua bahasa. Suatu bahagian Lam Takrif Syamsiah, dan kedua Lam Takrif Qamariah.

Mulai bab yang keempat barulah beliau membicarakan perkara-perkara yang pokok dalam ilmu tajwid iaitu bab Pada Menyatakan Nun Yang Mati dan Tanwin.

Pada bab ini membicarakan fasal-fasal dan beliau mula membandingkan wajah-wajah bacaan imam-imam qiraat yang terkenal seumpama Syeikh Hafas, Syeikh Qalun, Syeikh Nafi’, Syeikh Abu Umar, Syeikh Ibnu Katsir, Syeikh Ibnu ‘Amir, Syeikh Kisa-I, Syeikh ‘Asim dan ramai lagi.
Dalam bahagian ini juga terdapat rujukan beliau iaitu kitab tafsir bahasa Melayu Turjumanul Mustafid karya Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Ia adalah terjemahan dan tafsir al-Quran yang pertama dalam bahasa Melayu.

Pendek kata Mir’atul Quran karya beliau adalah kitab tajwid yang menyentuh seluruh aspek perbicaraan tajwid yang fardu ain. Bahkan juga menyentuh lebih daripada itu iaitu kepada peringkat fardu kifayah.
Sebagai penutup kitab tersebut, telah dinyatakan oleh penyusunnya iaitu, “Faedah pada menyatakan hadis, datang pada menyatakan fadilat al-Quran serta dengan membaiki baca. Iaitu amat banyak…. Beberapa petikan hadis mengenainya dinyatakan oleh pengarang kitab tersebut, yang di antaranya adalah seperti berikut:
Sabda Nabi s.a.w, “Barang siapa mengaji al-Quran, maka dibaiki bacaannya dengan dia nescaya adalah baginya tiap-tiap satu huruf, 20 kebajikan. Dan barang siapa tiada membaik daripadanya sesuatu, nescaya adalah baginya dengan tiap-tiap satu huruf 10 kebajikan.”

Dan setengah daripadanya cerita daripada Ibnu Mas’ud, sabda Nabi s.a.w, “Barang siapa mengaji al-Quran, maka dihafalkan akan dia, dan dibacanya ia dengan tiada menilik surat dan dihalalkannya yang halalnya dan diharamkannya yang haramnya, nescaya dimasukan-Nya ia ke dalam syurga. Dan diterima syafaatnya 10 orang daripada isi rumahnya yang telah patut akan mereka itu neraka.

Hadis, “Barang siapa mengaji al-Quran di dalam mushaf, nescaya disuratkan oleh Allah baginya 2,000 kebajikan. Dan barang siapa mengaji Qur'an pada yang lain, pada mushaf maka disuratkan oleh Allah baginya 1,000 kebajikan.”

Hadis, “Ahli al-Quran itu ahlillah dan tertentulah. Barang siapa memuliakan akan dia, mereka itu dimuliakan akan dia oleh Allah. Dan barang siapa menghinakan dia, mereka itu dihinakan oleh Allah s.w.t.

Demikianlah contoh beberapa hadis yang termaktub dalam kitab Mir’atul Quran karya Ibnu Syeikh Abdul Mu’ti yang dibicarakan ini. Hadis tersebut beliau tulis lengkap dengan lafaz Arabnya, kesemuanya melebihi 30 hadis dan hanya dinyatakan beberapa contoh sahaja, tidak dinyatakan kesemuanya.

Mengenai keturunannya, penulis belum menemui data yang lengkap untuk dibicarakan, maka sampai di sini sahaja dapat penulis bicarakan mengenai ulama ini.
Kitab ilmu tajwid yang lain
* Tuhfatul Murid karya Muhammad Said Ibnu Hasan, diselesaikan tahun 1266H/1849M,
* Risalah Tajwid karya Aminuddin bin Nuruddin bin Husein, diselesaikan tahun 1286H/1869M,
* Al-Mawahibul Makkiyah karya Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fatani diselesaikan tahun 1296H/1879M,
* Sirajul Qari karya Syeikh Muhammad Salih bin Zainal Abidin al-Fatani diselesaikan tahun 1308H/1891M,
* Tuhfatul Ikhwan karya Syeikh Ismail bin Abdul Mutalib al-Asyi, diselesaikan tahun 1311H/1893M.
* Ilmu Tajwid dalam bahasa Melayu ialah Mauriduz Zumaan karya Syeikh Abdullah bin Qasim as-Sanquri (Senggora) diselesaikan tahun 1315H/1898M.


Haji Muhammad Sa’id Arsyad tokoh litografi Melayu-Islam

Haji Muhammad Sa’id Arsyad tokoh litografi Melayu-Islam
Oleh: AL-MARHOUM SYEIKH WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH R.A

SALAH satu cabang khazanah kewarisan Melayu-Islam yang dilupakan orang ialah cetakan-cetakan sastera klasik yang ditulis dalam bentuk hikayat dan syair. Lebih 100 tahun yang lalu sekurang-kurangnya terdapat tiga tokoh yang paling banyak mencetak hikayat dan syair Melayu-Islam yang menggunakan huruf litografi (huruf batu) yang berpusat di Singapura. Ketiga-tiga tokoh itu ialah Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad, Haji Muhammad Amin bin Abdullah dan Haji Muhammad Idris bin Yahya.

Yang dibicarakan dalam artikel ini ialah tentang aktiviti Haji Muhammad Sa’id saja, manakala dua lagi akan dibicarakan dalam kesempatan yang lain. Sebelum riwayat ulama dan tokoh ini saya teruskan, terlebih dulu saya peringatkan bahawa beliau yang dibicarakan dalam artikel ini adalah lain dari Haji Muhammad bin Muhammad Sa’id (Datuk Laksamana) yang dimuat dalam Bahagian Agama, Utusan Malaysia, 9 Oktober 2006.
Setahu saya ulama dan tokoh ini belum pernah diperkenalkan oleh sesiapa pun, kecuali hanya tarikh meninggal dunia saja yang pernah disebut oleh Muhammad Yasin bin Abbas Langkat dalam Syair Cermin Islam yang selesai ditulis di Kampung Babus Salam, Langkat pada 1 Jamadilawal 1345 H. Berdasarkan tulisan tersebut dinyatakan bahawa Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad meninggal dunia di Singapura, lepas zuhur, pukul 1.30 tengah hari Sabtu, 4 Zulkaedah 1342 H/6 Jun 1924 M ketika berusia 90 tahun.
Perkara yang sama juga disebut pada halaman terakhir Syair Dandan Setia Intan Terpilih, jilid ke-2, cetakan 3 Syaaban 1344 H. Dengan demikian diduga beliau lahir dalam tahun 1252 H. Berdasarkan maklumat pada muka depan Kitab Hadits Arba'in yang dihimpun oleh anak beliau ada dinyatakan bahawa Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad berasal dari Kauman, Semarang, Jawa Tengah.
Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad mendapat pendidikan di beberapa pondok-pesantren di sekitar Semarang, Jawa Tengah dan Jawa Timur pada zamannya. Ulama Semarang yang paling terkenal pada zaman itu ialah Kiai Haji Syeikh Muhammad Shalih Darat Semarang. Ulama Semarang tersebut lahir di Kedung Cemlung, Jepara, 1235 H/1820 M, wafat hari Jumaat, di Semarang, 29 Ramadan 1321 H/18 Disember 1903 M. Dipercayai Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad juga pernah belajar dengan Kiai Haji Khalil al-Maduri (lahir 11 Jamadilakhir 1235 H/27 Januari 1820 M, wafat 29 Ramadan 1341 H/14 Mei 1923 M. Riwayat lain menyebut wafat 29 Ramadan 1343 H/22 April 1925 M). Selain kedua-dua ulama yang tersebut beliau juga pernah belajar di Mekah.
Oleh sebab beliau memahami keadaan dalam ilmu ekonomi dan perkembangan zaman, bahawa Singapura pada ketika itu mula menuju ke arah sebuah pelabuhan dan bandar yang maju dan pesat, maka beliau pindah ke Singapura.
CETAKAN
Cetakan litografi (huruf batu) berdasarkan beberapa hikayat dan syair yang ada dalam koleksi saya. Antara yang paling awal dicetak di Mathba'ah Haji Muhammad Sa'id bin Haji Arsyad Singapura ialah dalam tahun 1333 H/1915 M. Sebagai contoh beberapa maklumat yang dapat diketahui dari Kitab Hadits Arba'in’yang dihimpunkan oleh anak beliau bernama Muhammad bin Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad Singapura, pada kulit depan tertulis, Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad nombor 82 dan nombor 124 Kampung Sailon Arab Street, Tukang Cap dan Penjual Serba Jenis Kitab Arab, Melayu dan Jawa Daripada Thaba’ Mekah, Setambul, Mesir, Bombay dan lainnya.
Maka siapa yang berhajat mengecap apa-apa kitab atau azimat atau lainnya sama ada cap batu atau timah atau azimat bolehlah datang ke kedai yang tersebut di atas ini atau berkirim surat supaya kita menjawabnya dengan harga yang patut. Pada halaman belakang tertulis, “Telah sempurna daripada mengecap Hadits Arba’’n di Mathba' Tuan Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad nombor 82 Arab Street Singapura bertarikh 5 Hijrah an-Nabi s.a.w Rabiulawal 1333.” (5 Rabiulawal 1333 H /19 Februari 1915 M, pen:).
Pada halaman belakang risalah Solawat al-Kubra tertulis, ‘Tercap di Tempat Cap Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad, Kampung Selong, Arab Street, Rumah nombor 82, 30 Syaaban 1333.’ (30 Syaaban 1333 H /12 Julai 1915 M). Kedua-dua cetakan yang disebutkan ini adalah sama-sama dalam tahun 1333 H/1915 M. Solawat al-Kubra kemungkinan adalah terjemahan Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad sendiri dan merupakan pertama kali diperkenalkan dalam bahasa Melayu. Ada pun Kitab Hadits Arba’in karya anak beliau, iaitu Haji Muhammad bin Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad. Dari maklumat ini dapat diambil kesimpulan bahawa kedua-dua beranak yang berasal dari Kauman, Semarang, Jawa Tengah yang tersebut adalah ulama.
Sepuluh tahun kemudian kemungkinan percetakan tersebut berpindah alamat, mengenai ini dapat disimpulkan dari kalimat dalam Syair Dandan Setia Intan Terpilih, pada akhir tertulis, “Telah selesai daripada mengecap Syair Dandan Setia kepada 3 Syaaban 1344 H (3 Syaaban 1344 H/15 Februari 1926 M, pen:) di dalam negeri Singapura, Kampung Gelam di Lorong Mesjid...”
Dari cetakan di atas, terdapat dua perkataan yang maksudnya mungkin sama tetapi berbeza tulisannya. Yang pertama tertulis ‘Sailon’ yang satu lagi ‘Selong’ mungkin maksudnya ialah Ceylon. Kemungkinan dulunya tempat itu didiami oleh ramai orang Melayu yang berasal dari Ceylon atau Sri Langka.
Kandungan
Sebagaimana diketahui oleh masyarakat Islam tentang kelebihan atau fadilat membaca selawat, demikianlah kandungan Solawat al-Kubra yang menceritakan tentang perkara yang tersebut itu. Mulai halaman depan sekali dinyatakan, “Inilah Solawat al-Kubra yang terlalu besar faedahnya serta dengan syarahnya bahasa Melayu. Baharu dicap sekali.”
Pada bahagian bawah sekali dinyatakan pula “Baik disimpan ini solawat.” Selanjutnya pada halaman ketiga, pembuka hikayat diceritakan sebagai berikut, Ini satu ceritera daripada Abdullah ibnu Abbas r.a, ia berkata, Adalah Nabi S.A.W duduk di dalam Masjid Madinah tiba-tiba datang Jibril kepada Nabi kita Muhammad s.a.w, maka ia berkata: “Ya Muhammad, bermula Tuhan engkau memberi salam akan dikau, dan Dia menentu akan dikau dengan satu haluan yang kemuliaan.” Berkata Malaikat Jibril selanjutnya: “Bahawasanya aku ini sesungguhnya datang akan dikau dengan membawa hadiah daripada Allah s.w.t. Tiada Dia menghadiah akan hadiah ini seseorang yang dahulu daripada engkau hai Muhammad ...” Yang dimaksudkan dengan hadiah itu ialah Solawat al-Kubra.
Selanjutnya Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad menyebut pelbagai fadilat selawat tersebut secara mendalam.
Ada pun mengenai kandungan Kitab Hadits Arba’in karya anak beliau, Haji Muhammad bin Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad pula ialah membicarakan 40 hadis menurut pilihannya sendiri. Hadis yang pertama, yang ditulis sesudah puji-pujian terjemahan Haji Muhammad bin Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad ialah: “Sabda Nabi s.a.w: Barangsiapa membaca dengan menghafalkan 40 hadis daripada ummatku, dinamai akan dia oleh Allah pada langit akan wali dan pada bumi dinamai ahli fiqh. Dan dihimpunkan akan dia serta orang yang soleh. Yang tiada takut atas mereka itu dan tiada mereka itu dukacita.”
*Dalam Kitab Hadits Arba’in, Haji Muhammad bin Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad tersebut juga sekurang-kurang ada tiga hadis membicarakan tentang kemasyarakatan, sebagaimana diterjemahkan oleh penyusunnya
Sabda Nabi s.a.w: Barang siapa menyampaikan hajat saudaranya yang Islam, nescaya disampaikan oleh Allah baginya 70 hajat di dalam dunia dan akhirat.
Hadis yang lain pula, “Sabda Nabi s.a.w: Barang siapa memuliakan orang yang dijamu, maka sesungguhnya ia memuliakan aku. Barang siapa memuliakan orang yang dagang, maka sesungguhnya memuliakan 70 Nabi yang menjadi Rasul.” (Kitab Hadits Arba’in, hlm. 6).
Syair wafat
Walau pun Syair Dandan Setia Intan Terpilih bukan berasal dari kisah dalam agama Islam, namun apabila kita teliti hanya sebuah judul ini saja yang ditangani oleh Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad. Pada cetakan dinyatakan sebagai berikut, ‘Adalah yang empunya kerja ini Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad’.
Saya berkesimpulan bahawa Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad, selain pemilik percetakan itu sekali gus beliau sebagai penterjemah awal Syair Dandan Setia ke dalam bahasa Melayu. Syair tersebut hingga sekarang tidak diketahui nama pengarangnya. Pada akhir syair terdapat tambahan, kemungkinan disyairkan oleh anak beliau bernama Muhammad.
Syair tambahan itu ialah tentang tarikh wafat Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad. Syair wafat Haji Muhammad Sa‘id bin Haji Arsyad dalam Dandan Setia kemungkinan kemudian dari syair yang sama yang terdapat dalam Syair Cermin Islam karya Muhammad Yasin bin Abbas murid Syeikh Abdul Wahhab al-Khalidi Babus Salam, Langkat.
Petikan syair dalam Syair Cermin Islam, cetakan yang ketujuh, di Tempat Cap Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad, No. 82 Arab Street, Kampung Geylang, Singapura, 9 Zulhijjah 1345 H sebagai berikut:
“Syair Cermin Islam khatamlah ia,
di Mathba’ Haji Muhammad Sa'’d yang bahagia Al-Marhum telah meninggal dunia,
pada 4 Zulkaedah bulan yang mulia Lepas zuhur,
Sabtu harinya,
jam satu setengah,
1342 hijrahnya Enam Jun 1924, tahunnya,
sembilan puluh tahun umurnya.”
Dalam Syair Dandan Setia pula tertulis,
“Khatamlah Syair Dandan Setia,
di Mathba'’ Haji Muhammad Sa'’id yang bahagia Al-Marhum telah meninggal dunia,
pada empat Zulkaedah bulan yang mulia Lepas zuhur,
Sabtu harinya,
jam satu setengah,
1342 hijrahnya Enam Jun 1924,]
tahunnya,
sembilan puluh tahun umurnya.”

Makna perkataan.

litografi (lithography)

  • kaedah mencetak pd permukaan yg mendatar (plat logam atau batu) dgn mengalirkan dakwat pd bahagian tertentu permukaan yg berkenaan (menurut reka bentuk bahan yg hendak dicetak).
lithography(Inggeris-Melayu)
  • litografi
  • Huraian:

    (1) Kaedah mentakrif corak untuk pemprosesan peranti semipengalir. (KEJ)

  • (2) Proses mencetak dengan tapak satah daripada batu, logam atau plastik. (SLUKIS)



Haji Abdur Rahman al-Mandaili

Haji Abdur Rahman al-Mandaili penyusun kamus tiga bahasa
Oleh Al-Marhoum Syeikh Wan Mohd. Shaghir Abdullah r.a

SEBELUM ini ada dua orang ulama yang berasal dari Mandailing diperkenalkan di ruangan Ulama Nusantara dalam Bahagian Agama, Utusan Malaysia, ialah Syeikh Abdul Ghani bin Abdul Hamid al- Mandaili (Utusan Malaysia, Isnin, 11 April 2005) dan Syeikh Junid Thala al-Mandaili (Utusan Malaysia, Isnin, 4 September 2006).

Ulama yang diperkenalkan sekarang ialah Haji Abdur Rahman bin Jabugis al-Mandaili. Di antara perkara yang menarik tentang Haji Abdur Rahman bin Jabugis, ulama yang berasal dari Mandailing ini ialah sebuah kamus tiga bahasa yang beliau susun. Kamus tersebut merangkumi bahasa Arab, Melayu dan Mandailing.

Kita mengakui bahawa kamus perkataan Arab yang diterjemahkan ke dalam perkataan Melayu pada zaman yang sama dengan Haji Abdur Rahman bin Jabugis memang terdapat beberapa buah, tetapi terjemahan ke dalam perkataan Mandailing karya ulama tersebut adalah merupakan satu-satunya. Hingga kini belum dijumpai kamus seperti demikian baik dalam perkataan Melayu-Mandailing mahu pun Indonesia-Mandailing

Mengenai tempat lahir Haji Abdur Rahman bin Jabugis al-Mandaili tidak diragui kerana ada beliau tulis sekurang-kurangnya dalam dua buah karyanya, iaitu beliau dilahirkan di Tanjung Balai Asahan, Sumatera Utara. Adapun mengenai tarikh lahir, walau pun ada beliau nyatakan pada kulit depan Ats-Tsamaratul Lughat, namun masih diragui. Tertulis, “Al-Haji Abdur Rahman bin Jabugis Mandaili Penyabungan, al-maulud fi balad Asahan 27 Rabiulawal fi sanah 1335.”
Maksudnya bahawa beliau lahir pada 27 Rabi'ul Awwal 1335 H. Tahun yang diberikan ini kemungkinan tersalah cetak kerana pada akhir karya beliau ‘Kisah Qamaruz Zaman ibnu Malik Syaharman,’ dinyatakan: “Adalah tamatnya kepada 17 Ramadan sanah 1338.” Jadi sekiranya benar tarikh lahir 27 Rabiulawal 1335 H hingga tarikh 17 Ramadan sanah 1338 H bererti umur Haji Abdur Rahman bin Jabugis al-Mandaili ketika itu ialah sekitar tiga tahun, enam bulan saja.
Menurut lazimnya tidak dapat diterima akal kanak-kanak yang masih di bawah umur dapat menyelesaikan penulisan yang termasuk pekerjaan yang berat itu. Lebih meragukan lagi kerana Syair Mikraj juga dinyatakan karya Haji Abdur Rahman bin Jabugis al-Mandaili yang diselesaikan pada Jumaat, pukul 4 petang, 6 Syaaban 1328 H.

Bererti sewaktu karya ini selesai ditulis Haji Abdur Rahman bin Jabugis al-Mandaili belum lahir lagi. Oleh yang demikian kemungkinan tarikh yang betulnya ialah pada 27 Rabiulawal 1253 H/1 Julai 1837 M. Tarikh yang diberi ini bersifat sementara selagi belum ditemui catatan yang lebih jelas dan konkrit.

Perjuangan bahasa
Setakat ini, karya Haji Abdur Rahman bin Jabugis al-Mandaili yang telah ditemui hanya empat judul saja. Tiga daripada judulnya dikategorikan kepada karya yang nadir.
Sebelum menyenaraikan keempat-empat karya yang dimaksudkan terlebih dulu saya bahas tentang kamus yang beliau susun, kerana dapat dijadikan perbandingan perjuangan bahasa Melayu pada zaman silam dalam era sebelum kemerdekaan dengan era sesudah kita merdeka.
Karya Haji Abdur Rahman bin Jabugis al-Mandaili yang saya utamakan itu ialah yang berjudul Ats-Tsamaratul Lughat, tanpa tarikh, sama ada tarikh selesai penulisan mahu pun tarikh cetakan. Dicetak oleh Muhammad Idris, Jalan Haji Lank, No. 21, Singapura. Dicetak dengan huruf batu atau litografi. Kandungan kamus tiga bahasa, iaitu bahasa Arab, Melayu dan Mandailing.

Pada halaman depan dinyatakan bahawa pengarangnya berasal dari Mandailing Penyabungan, lahir di negeri Asahan. Pada bahagian akhir karya beliau Kisah Qamaruz Zaman ibnu Malik Syaharman, dinyatakan bahawa Haji Abdur Rahman bin Jabugis orang Mandailing dilahirkan di negeri Asahan Balai (nama sekarang Tanjung Balai Asahan, pen:).

Selanjutnya dinyatakan pula bahawa kitab ini telah ditelaah oleh Maulana as-Saiyid Hamid bin al-Marhum as-Saiyid Ali, Naib as-Sultan Negeri Asahan. Di bawahnya diterangkan pula: “Ini risalah pelajaran bahasa Arab, dan Melayu, dan Mandaili. Tiada dibenarkan seseorang pun mengecapnya atau meniru, jikalau tiada minta izin yang empunya, kerana sudah diregister.” (Ats-Tsamaratul Lughat, hlm. kulit).

Pada mukadimah Haji Abdur Rahman bin Jabugis al-Mandaili menjelaskan sebab-sebab beliau menyusun kamus tersebut, katanya “Ada pun kemudian, maka meminta akan daku setengah saudara kami, berulang-ulang mereka itu sekali kemudian sekali, bahawa aku tuliskan akan bahasa Arab dan aku gantungkan akan maknanya dengan bahasa Melayu Asahan, atas kadar sedikit ilmuku dan keruh hatiku, dan pandak mengertiku.”

Ada maklumat lain menyebut bahawa yang meminta beliau menyusun kamus yang tersebut ialah Sultan Asahan atau Naib Sultan yang tersebut di atas. Yang dimaksudkan dengan “bahasa Melayu Asahan” atau pun “bahasa Mandailing” adalah merupakan bahasa lokal saja, iaitu termasuk bahagian kecil bahasa Melayu global, yang lebih luas digunakan pada zaman sebelum Indonesia dan Malaysia merdeka.

Di daerah yang sama juga terdapat dan berkembang bahasa Melayu lokal yang lain dengan dialek yang berbeza-beza, seumpama bahasa Melayu Deli, bahasa Melayu Langkat, dan lain-lain. Dari sini kita dapat mengambil pengertian dan pelajaran bahawa sultan dalam sesuatu kerajaan kecil dan ulama pada zaman dulu berusaha untuk mempertahan dan menghidupkan bahasa Melayu di dalam kerajaan mereka masing-masing.

Oleh itu masa kini, sekurang-kurangnya tiga negara serumpun Melayu telah merdeka iaitu Indonesia, Malaysia dan Brunei Darussalam, sebenarnya bukan zamannya lagi untuk mengagung-agungkan bahasa dari bangsa-bangsa yang pernah menjajah. Kita cuba berfikir, berjuang dan terus berjuang bukan lagi menyebarkan bahasa Melayu dalam negara serumpun, tetapi sesuai dengan kita telah merdeka, bererti merdeka dan berhak memartabat dan menyebarluaskan bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa.

Penulisan
Tiga karya Haji Abdur Rahman bin Jabugis Mandailing, selain yang tersebut adalah bercorak sastera klasik Melayu-Islam, yang bererti turut memperkaya bahasa Melayu. Sekali gus dapat dimasukkan dalam perkembangan sejarah sastera klasik Nusantara. Karya-karya Haji Abdur Rahman bin Jabugis Mandailing yang dimaksudkan ialah: Syair Mikraj, diselesaikan pada Jumaat, pukul 4 petang, 6 Syaaban 1328 H/12 Ogos 1910 M.

Tidak dinyatakan nama percetakan kerana halaman depannya belum dijumpai. Dicetak dengan huruf batu atau litografi. Kandungan menceritakan kisah Israk dan Mikraj yang diungkapkan dalam bentuk syair/puisi. Karya beliau yang pertama ini dikategorikan karya biasa kerana terdapat beberapa karya tentang Israk dan Mikraj sama ada dalam bentuk prosa mahupun puisi/syair.

Qishah Qamaruz Zaman Ibnu Malik Syaharman, diselesaikan pada 17 Ramadan 1338 H/3 Jun 1920 M. Dicetak oleh Mathba’ah Muhammad Idris, Jalan Haji Lank, No. 21, Singapura, 1934 M. Dicetak dengan huruf batu atau litografi. Ditulis dalam bentuk prosa dan dalam beberapa halaman dihiasi dengan syair-syair Melayu.

Kandungan mengisahkan seorang raja yang bernama Qamaruz Zaman. Qishah Qamaruz Zaman adalah merupakan karya sastera Islam klasik yang diterjemahkan dari bahasa Arab ke bahasa Melayu. Pada akhir Qishah Qamaruz Zaman, Haji Abdur Rahman bin Jabugis Mandailing menulis: “Tamatlah kisah ajaib yang bernama Qishah Qamaruz Zaman ibnu Malik Syaharman diterjemahkan daripada bahasa Arab kepada bahasa Melayu oleh hamba yang daif, lagi miskin, dan yang mengaku banyak dosa kepada tuhan yang kaya al-Haji Abdur Rahman bin Jabugis al-Mandaili diperanakkan di negeri Asahan Tanjung Balai ....” (Qishah Qamaruz Zaman, hlm. 143-144).

Syair Mikraj dan Qishah Qamaruz Zaman karya Haji Abdur Rahman bin Jabugis Mandailing di atas diperoleh di Ketapang, Kalimantan Barat pada Jumaat, pukul 5 petang, 3 Ramadan 1421 H/29 Disember 2000 M di rumah pusaka kewarisan Datuk Kaya Muda Amar Di Raja.

Salah sebuah hikayat sufi yang terkenal juga dapat perhatian Haji Abdur Rahman bin Jabugis Mandailing. Oleh itu, sebuah karya yang beliau terjemah dari bahasa Arab ke bahasa Melayu selain yang tersebut di atas ialah yang diberi judul Hikayat Sultan Ibrahim Ibnu Adham, tanpa tarikh. Dicetak di Tempat Cap Haji Idris bin Yahya, Singapura, tanpa dinyatakan tahun cetak. Cerita lisan tentang Ibrahim bin Adham termasuk salah satu kisah seorang sufi yang amat terkenal dalam masyarakat Melayu sejak lama. Tetapi cerita tersebut hampir-hampir tidak terdapat dalam penulisan ulama-ulama Melayu terkecuali hanya termuat dalam beberapa kitab tasauf.

Di antara kitab Melayu/Jawi yang memperkenalkan kisah Ibrahim bin Adham, tetapi adalah sangat ringkas ialah dalam Ward az-Zawahir oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan dalam Hadiqah al-Azhar oleh Syeikh Ahmad al-Fathani.

Hingga kini saya belum menjumpai sejarah khusus mengenai Ibrahim bin Adham dalam tulisan klasik Melayu/Jawi, kecuali satu-satunya hanyalah Hikayat Sultan Ibrahim Ibnu Adham karya Haji Abdur Rahman bin Jabugis ulama Mandailing yang sedang dibicarakan ini.
Sebelum membicarakan kandungan pada bahagian atas sekali diletakkan judul oleh pengarangnya ialah Hikayat Sultan Ibrahim Bin Adham Wali Allah. Dari judul ini dapat kita fahami bahawa Ibrahim bin Adham itu adalah seorang sultan.

Kemudian dijelaskan pula bahawa selain baginda seorang sultan, sekali gus adalah Wali Allah. Gaya bahasa Melayu klasik yang digunakan oleh Haji Abdur Rahman bin Jabugis Mandailing sebagai pembukaan hikayat, kata beliau, “Ini hikayat, ada seorang raja negeri Baghdad bernama Sultan Ibrahim ibnu Adham Wali Allah, terlalu besar tahta kerajaan baginda itu. Syahdan baginda itu sangat pertapa ...” Yang dimaksudkan dengan perkataan ‘pertapa’ dalam kalimat ini jika dikembalikan kepada istilah sufi ialah “khalwat” ataupun “suluk” ialah bersunyi-sunyi diri atau mengasingkan diri kerana melakukan ibadat.

Kemudian Haji Abdur Rahman bin Jabugis Mandailing menyambung tulisan di atas dengan kalimat, “Lagi masyhur namanya. Lagi adil perintahnya. Lagi dengan masyhur amat pengasih pada sekalian wazir menteri, hulubalang, dan kepada rakyatnya hina dina.
Dan terlalu amat pengasihnya kepada segala alim ulama, dan fuqaha, dan fakir miskin. Serta dengan periksanya menghukumkan di atas sekalian rakyat dengan sebenarnya. Maka segala menteri hulubalang pun sangat takut dan kasih akan baginda itu, maka negeri itu pun terlalu ramainya dengan sentosanya ...” (Sultan Ibrahim Ibnu Adham, hlm. 2).

Pada akhir hikayat Haji Abdur Rahman bin Jabugis Mandailing menulis, “Telah menyambung akan hikayat ini, oleh hamba nama al-Haji Abdur Rahman bin Jabugis Tanjung Balai Asahan dengan kehendak yang empunya ini hikayat Tuan Haji Muhammad Idris.” (Sultan Ibrahim Ibnu Adham, hlm. 63).


Basiyuni Imran Maharaja Imam Sambas

Masjid Agung Sambas yang dibangun oleh
Sultan Abubakar Tajuddin (1848-1853).

Basiyuni Imran Maharaja Imam Sambas
Oleh Almarhoum Syeikh Wan Mohd. Shaghir Abdullah r.a .Al-Fatihah

INDAH nian, sekiranya kira merenung dan menghayati liku-liku sejarah keperibadian ulama. Yang lalu belum tamat, disambung pula dengan ulama Sambas, Kalimantan, Indonesia dalam artikel ini. Pada 1963, ketika saya mengembara di Jawa, saya membeli buku berjudul, Mengapa Kaum Muslimin Mundur dan Mengapa Kaum Selain Mereka Maju yang diterjemah oleh K. H. Munawar Chalil daripada karya Amir Syakib Arsalan. Sejak itu nama Syeikh Muhammad Basiyuni Imran Maharaja Imam Sambas mulai terpahat pada ingatan saya.

Betapa tidak, kerana buku itu disusun adalah sebagai jawapan daripada pertanyaan ulama Sambas itu yang ditujukan kepada gurunya Saiyid Rasyid Ridha. Judul asli dalam bahasa Arab Limaza Taakhkharal Muslimun, wa limaza Taqaddama Ghairuhum? Tiga tahun kemudian, tepatnya pada 1966, di Kepulauan Riau saya mulai bergaul dengan adik ulama itu iaitu Pak Hifni Imran, salah seorang pejuang kemerdekaan Indonesia.

Beliau pula memiliki banyak ilmu hikmat untuk berdepan dengan musuh. Pada 1968 - 1969 sebelum saya bertemu dengan Syeikh Muhammad Basiyuni Imran saya telah menemui dua orang adik beliau ialah Haji Maaz Imran, seorang ulama, dan adiknya yang bongsu Haji Muhammad Zuhdi Imran, juga ulama, ketika itu sebagai Kepala Kantor Jabatan Agama Kabupaten Sambas, Kalimantan, Indonesia. Haji Muhammad Zuhdi Imran adalah seorang yang fasih berbahasa Arab, ahli pidato dan luas pergaulan.

Sewaktu beliau melantik Penghulu-Penghulu Nikah di Kecamatan Tebas, bertempat di Kampung Tekarang, ketika itu saya sempat tidur sekatil (satu tempat tidur) dengan beliau. Setelah menyebut nama adik-beradik beliau yang sempat saya wawancara, maka sebelum membicarakan hal-hal yang lain di sini saya sebut nama lengkap beliau ialah Syeikh Muhammad Basiyuni Maharaja Imam bin Syeikh Muhammad Imran Maharaja Imam bin Syeikh Muhammad Arif Maharaja Imam bin Imam Nuruddin bin Imam Mushthafa as-Sambasi. Lahir di Sambas, Kalimantan, Indonesia pada 23 Zulhijjah 1300 H/25 Oktober 1883 M. Tarikh wafat 29 Rejab 1396 H/26 Julai 1976 M.

Pada satu hari Jumaat, tahun 1970, saya berdua dengan Pak Abdul Ghani, waktu Dhuha, Syeikh Muhammad Basiyuni Imran seorang dirinya saja, rupanya ulama besar Sambas tersebut telah berada dalam Masjid Jamik Sultan Sambas. Ketika itu beliau duduk mentelaah kitab. Kami berdua terpaku, kagum, sukar menjelaskannya dalam artikel ini. Sungguh hebat dan berwibawa caranya duduk, caranya berpakaian, semuanya menarik.

Ketika itu umur beliau hampir 90 tahun, namun wajahnya berseri-seri apatah lagi kulit beliau putih kekuningan langsat menghiasi susuk tubuh yang berjubah putih, kepala dililit dengan serban, semuanya dengan rapi dan bersih. Melihat kami datang beliaulah yang terlebih dahulu mengucapkan salam. Setelah berkenalan sejenak kami berdua mohon beliau membaca kitab yang ada di tangannya, kerana kami ingin mengambil berkat. Walau pun yang mendengar hanya kami berdua beliau tidak keberatan memenuhi permintaan kami.

Lafaz Arabnya beliau baca, langsung diterjemah dan ditafsirkannya ke bahasa Melayu Sambas. Menjelang Jumaat orang bertambah ramai sehingga azan barulah beliau berhenti membaca kitab. Syeikh Muhammad Basiyuni Imran juga menjadi imam Jumaat pada hari itu, bertambahlah kagum saya terhadap ulama Sambas tersebut, kerana bukan parasnya saja yang cantik, rupanya suara dan bacaannya sangat merdu dan sedap didengar telinga. Tidak dapat saya bayangkan, kerana hingga saya menulis artikel ini apabila saya teringat peristiwa yang bersejarah ini masih terkesan dan tercari-cari bunyi bacaan yang demikian itu. Padahal saya pernah menjadi makmum sembahyang Jumaat mengikut Syeikh Muhammad Basiyuni Imran hanya dua kali. Yang sekali lagi di Masjid Gang Wan Sagaf Pontianak.

Baik pertemuan yang pertama di Sambas mahu pun yang kedua di Pontianak bagi saya memang ada kesan yang tersendiri. Yang saya ceritakan ini adalah yang sebenarnya bukan atas ketaksuban. Haji Agus Salim, Buya Hamka dan Prof. Dr. Kahar Muzakkir, ketiga-tiganya orang-orang yang hebat belaka, mereka mengakui ketinggian ilmu yang dimiliki oleh ulama Sambas tersebut. (Lihat Riwayat Hidup dan Perjuangan Maharaja Imam Sambas, oleh Machrus Effendy, P.T Dian Kemilau, Jakarta, 1995, hlm. 16.)

Pendidikan

Syeikh Muhammad Basiyuni Imran mendapat pendidikan awal dan asas selama 10 tahun dari ayahnya sendiri, Maharaja Imam Muhammad Imran dan ayah saudaranya Khathib Muhammad Jabir. Ayah dan ayah saudaranya itu adalah anak ulama besar Maharaja Imam Sambas yang pertama, ialah Haji Muhammad Arif. Sejak Muhammad Basiyuni dilahirkan ayahnya telah ada firasat berdasarkan tanda-tanda, bahawa anak yang dilahirkan itulah yang akan meneruskan riwayat datuk neneknya yang menjadi ulama dalam kerajaan Sambas. Oleh hal yang demikian itulah kedua adik beradik tersebut tidak melalaikan diri memberi pendidikan khusus tentang ilmu-ilmu Islam selama sepuluh tahun kepada Muhammad Basiyuni.

Syeikh Muhammad Basiyuni Imran melanjutkan pendidikan di Mekah tahun 1320 H/1902 M hingga tahun 1325 H/akhir tahun 1907 M. Ramai gurunya di Mekah di antaranya termasuk Syeikh Ahmad Khathib al-Minankabawi dan Syeikh Ahmad al-Fathani. Bererti Syeikh Muhammad Basiyuni Imran sempat belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani sekitar lima tahun saja. Keberangkatan beliau belajar di Mesir adalah setelah kewafatan Syeikh Ahmad al-Fathani, 11 Zulhijjah 1325 H/14 Januari 1908 M, riwayat ini hampir sama dengan kisah Tok Kenali pulang ke Kelantan dan Syeikh Sulaiman ar-Rasuli pulang ke Minangkabau dalam tahun yang sama. Syeikh Muhammad Basiyuni Imran masuk Universiti Al-Azhar, Mesir agak kemudian dari Syeikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi dan Syeikh Muhammad Nur al-Fathani. Hanya dua tahun saja Syeikh Muhammad Basiyuni Imran belajar di Universiti Al-Azhar, iaitu dari 1327 H/1909 M hingga 1329 H/1911 M. Setelah itu selama setahun, 1330 H/1912 M, melanjutkan pelajaran di Madrasah Darud Da'wah wal Irsyad, iaitu pendidikan yang diasaskan oleh Saiyid Muhammad Rasyid Ridha.

Setakat ini karya Syeikh Muhammad Basiyuni Imran yang ada dalam simpanan saya hanya sembilan judul. Sungguhpun demikian belum dijumpai karya ulama yang berasal dari Sambas lebih banyak daripada karya beliau. Jadi bererti Syeikh Muhammad Basiyuni Imran adalah ulama Sambas yang terbanyak menghasilkan karangan. Senarai karya Syeikh Muhammad Basiyuni Imran ialah:

1. Bidayatut Tauhid fi 'Ilmit Tauhid, diselesaikan di Sambas, hari Rabu, 13 Jamadil Akhir 1336 H/27 Mac 1918 M. Membicarakan akidah merupakan petikan dari kitab Al-Jawahir al-Kalamiyah oleh al-'Allamah asy-Syeikh Thahir al-Jazairi, kitab Kalimah at-Tauhid oleh al-'Allamah asy-Syeikh Husein Wali al-Mashri dan kitab Kifayah al-'Awam. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 50 Minto Road, Singapura, awal Muharam 1344 H.

2. Cahaya Suluh Pada Menyatakan Jumaat Kurang Daripada Empat Puluh, diselesaikan di rumah penulisnya, Kampung Dagang Hulu Sambas, maghrib, malam jumaat, 2 Safar 1339 H/14 Oktober 1920 M. Kandungan membicarakan pertikaian pendapat (khilafiyah) tentang syarat-syarat mendirikan sembahyang jumaat. Membahas tentang mengulang sembahyang Zuhur sesudah sembahyang jumaat (sembahyang mu'adah), dll. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ikhwan, 74 Arab Street, Singapura, 1340 H.

3. Tazkir Sabilin Najah fi Tarkis Shalah, judul dalam bahasa Melayu oleh pengarangnya ialah Jalan Kelepasan Pada Mengingati Orang Yang Meninggalkan Sembahyang, diselesaikan di Sambas, hari rabu, 9 Rabiulakhir 1349 H/3 September 1930 M. Setelah tamat pada bahagian akhir ditambah pula terjemahan tulisan Saiyid Muhammad Rasyid Ridha yang terdapat dalam Al-Manar, juzuk yang pertama daripada majalah 31. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura.

4. Khulashatus Siratil Muhammadiyah disebut dengan judul yang lain Haqiqat Seruan Islam, diselesaikan 20 Jamadilakhir 1349 H/11November 1930 M. Terjemahan karya Saiyid Muhammad Rasyid Ridha tentang sejarah Nabi Muhammad s.a.w., cetakan yang pertama, Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura, 1351 H/1932 M.

5. Husnul Jawab 'an Itsbatil Ahillati bil Hisab diselesaikan pada 6 Ramadan 1352 H/23 Disember 1933 M. Membicarakan hisab anak bulan untuk melakukan puasa dan hari raya. Dicetak oleh Maktabah az-Zainiyah, Penang, 1938. Diberi Kata Pengantar oleh Syeikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi.

6. Irsyadul Ghilman ila Adabi Tilawatil Quran diselesaikan hari Ahad, 5 Syawal 1352 H/21 Januari 1934 M. Membicarakan persekitaran pembacaan al-Quran. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura, 15 Zulhijjah 1352 H/31 Mac 1934 M.

7. Durusut Tauhid As-Saiyid Muhammad Rasyid, diselesaikan pagi jumaat, 20 Rejab 1354 H/18 Oktober 1935 M. Membicarakan ilmu akidah merupakan terjemahan dari karangan gurunya Saiyid Muhammad Rasyid Ridha. Pada mukadimah, Syeikh Muhammad Basiyuni Imran menceritakan riwayat ringkasnya. Bahawa antara tahun 1329 H/1911 M - 1330 H/1912 M, beliau belajar di Madrasah Darud Da'wah wal Irsyad yang didirikan oleh Saiyid Muhammad Rasyid Ridha. Beliau telah belajar langsung kepada ulama tokoh tajdid itu. Salah satu sebab menterjemah karya gurunya itu setelah dapat berita gurunya meninggal dunia. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura, tanpa dinyatakan tarikh.

8. Nurus Siraj fi Qishshatil Isra' wal Mi'raj, diselesaikan sesudah sembahyang jumaat, 23 Jamadilakhir 1357 H/19 Ogos 1938 M. Membicarakan Israk dan Mikraj Nabi Muhammad s.a.w.. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 101 Jalan Sultan Singapura, tanpa dinyatakan tarikh.

9. Khutbah Jumaat, Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha Dan Gerhana. Membicarakan Khutbah Jumaat dan kedua-dua hari raya semuanya ditulis dalam bahasa Arab dan khutbah gerhana ditulis dalam bahasa Melayu. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura, tanpa dinyatakan tarikh.

Pandangan
Mukadimah artikel ini dimulai dengan kenyataan Islam dikatakan mundur atau terkebelakang daripada umat lainnya, demikianlah yang dipercakapkan oleh ramai orang Islam sendiri hingga sekarang. Saya mempunyai pandangan sebaliknya bahawa umat Islam adalah maju daripada umat lainnya.

Yang saya maksudkan ialah bahawa seseorang yang ditakdirkan lahir dalam Islam bererti sudah kurniaan Allah yang paling besar dan berharga. Setelah dipeliharanya Islam dan beriman ia dapat menilai dan memilih kemajuan mana yang diredai Allah atau dikutuk, bererti ia akan lebih maju lagi. Kemajuan tidak dapat diukur dengan teknologi saja. Seseorang peribadi atau sesuatu bangsa yang dikatakan maju membuat senjata pembunuh sesama manusia dan perosak seluruh alam bererti biadab dan mundur ke belakang kerana kembali ke zaman primitif.

Oleh itu ditinjau dari segi moral, umat Islam adalah jauh maju ke hadapan dalam semua zaman dulu, kini dan akan datang. Orang Islam yang mundur hanyalah penyokong-penyokong kebiadaban yang dilakukan oleh manusia-manusia biadab.


Rabu

Tok Guru Haji Abdullah Lubuk Tapah meninggal dunia

PASIR MAS, 19 Mac (Hrkh) � Ulama tersohor di Kelantan dan nusantara, Tuan Guru Abdullah Abdul Rahman meninggal dunia di rumahnya di Pondok Lubuk Tapah, kira-kira jam 7.20 pagi tadi.

Beliau merupakan antara dua ulama terkenal di negara ini yang mempertahankan institusi pondok tradisional. Seorang lagi Tuan Guru Hashim Abu Bakar, 88 mudir Pondok Pasir Tumbuh, Kota Bharu. Beliau juga kini sedang keuzuran.

Tuan Guru Abdullah terkenal dengan panggilan Tok Guru Haji Lah Lubuk Tapah berusia awal 80-an mewarisi Pondok Lubuk Tapah daripada ayahnya Tuan Guru Abdul Rahman.

Pondok tersebut merupakan yang ketiga terbesar di Kelantan selepas Pondok Sungai Durian dan Pondok Pasir Tumbuh.

Jenazahnya akan dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran pondok tersebut di tepi pusara ayahnya selepas solat Asar petang ini.

Allahyarham sebelum ini dirawat di Hospital Pakar Perdana, Kota Bharu kerana menghidapi mini strok, jantung dan konflikasi buah pinggang.

Tok Guru dirawat selama sebulan di hospital tersebut,� kata Adun Pengkalan Pasir, Haji Hanifa Ahmad ketika ditemui di sini.

Menteri Besar, Tuan Guru Dato� Nik Abdul Aziz Nik Mat juga sempat menziarahinya ketika sakit tenat malam tadi. Bacaan Yassin juga diadakan malam tadi.

Sementara itu orang ramai berduyung-duyung menziarahi jenazahnya pagi ini. Turut kelihatan Timbalan Menteri Besar, Dato� Ahmad Yakob, anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat, pegawai kerajaan dan pemimpin masyarakat.

Anggota Exco kerajaan negeri, Haji Abdul Fattah Mahmoood menyifatkan kematian Tuan Guru Abdullah merupakan satu kehilangan besar bagi umat Islam di Kelantan.

Katanya, ketokohan beliau dalam bidang agama sukar dicari ganti.

Ketua Penerangan PAS Kelantan, Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah pula berkata, pemergian buat selama-lamanya Tuan Guru Abdullah seumpama kehilangan obor Islam di negara ini.

Isnin

Ulama rujukan Sheikh Daud Abdullah al-Fathani

Koleksi tulisan Allahyarham WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

PARA ulama yang sering disebut-sebut oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani sebahagian besar adalah ulama-ulama ikutan beliau.

Tulisan ini adalah ringkasan daripada tulisan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang dipetik daripada pelbagai karya beliau.

Memperkenalkan biografi para ulama yang ditulis oleh beliau, bererti Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah juga seorang tokoh sejarah terutama tentang sejarah Islam.

Adapun para ulama dan para imam yang disebut-sebut beliau ialah:

1. IMAM SYAFIE

Sheikh Daud al-Fathani adalah seorang yang mengikut mazhab Syafie, maka didahulukan Imam Syafie daripada ulama-ulama lain. Beliau menulis di dalam Bughyatuth Thullab, yang ringkasannya sebagai berikut:
“Aku sebut sebahagian daripada manaqib radiallahu anhu kerana mengambil tabarruk. Bahawa dia adalah Sultan A’immah, namanya Muhammad, kuniyahnya Abu Abdullah bin Idris bin Abbas bin Usman bin Syafi’e bin Saib bin Ubaid bin Abdi Yazid bin Hasyim bin Abdul Muthalib bin Abdi Manaf nenek Nabi s.a.w”.

Dilahirkan di Ghuzzah (satu kampung di Palestin) tahun 150 H (756 M). Dari Saib itulah dibangsakan kepada Syafie, dan dapat berjumpa dengan Nabi s.a.w..

Dalam keadaan muda remaja Saib dan Syafie itu masuk Islam pada Perang Badar. Beliau adalah yang tunggal dalam golongan Bani Hasyim yang turut tertawan dalam perang Badar kerana pada mulanya beliau belum Islam, lalu dia menebus dirinya dengan masuk agama Islam.

Muhammad bin Idris Syafie pada umur kira-kira dua tahun dibawa ke Mekah, dan dibesarkan di Mekah. Pada usia tujuh tahun, beliau telah hafal 30 juzuk al-Quran dan pada usia 10 tahun, beliau menghafal kitab Kitab Muwathath karangan Imam Maliki. r.a

Beliau mempelajari ilmu fikah dengan Muslim bin Khalid, Mufti Makkatul Musyarrafah. Hidup beliau dalam keadaan yatim dan serba kekurangan. Sifat-sifatnya sejak kecil sangat suka menghadiri majlis ulama.

Dalam waktu belajar, beliau selalu menulis pelajaran di atas tulang dan lain-lain yang seumpama itu, sehingga dikumpulkan memenuhi tempat kediamannya.

Imam Syafie berpindah pula ke Madinatul Munawwarah untuk belajar dengan Imam Maliki. Pada tahun 195 H beliau berpindah ke Baghdad, tinggal di Baghdad selama dua tahun. Banyak ulama belajar dengan Imam Syafie hingga mengikut mazhabnya.

Di Baghdad beliau mengarang kitab yang terkenal dengan sebutan Qaul Qadim. Sesudah itu kembali ke Mekah. Setelah beberapa lama menetap di Mekah, beliau kemudian ke Baghdad pada 198 H. Setelah sebulan di Baghdad berangkat pula menuju Mesir (Egypt), selama di Mesir berkhidmat menyebarkan ilmu pengetahuan.

Beliau adalah seorang yang bekerja bebas merdeka di lingkungan jemaahnya. Akibat dipukul secara aniaya, beliau sakit dan kembali ke rahmatullah.

Imam Syafie meninggal dunia pada Jumaat, akhir bulan Rejab tahun 204H dan dikebumikan di Arafah setelah selesai sembahyang Asar.

P/s * Penyalin berpendapat disini ada sedikit kesilapan teknikal atau tersalah taip berhubung tempat dikebuminya Imam Syafie R.A, kerana dimaklum umum bahawa Sidi Imam meninggal di Mesir dan di maqamkan didalam mesjid yang diberi nama sempena nama beliau, sila rujuk artikel asal dari akhbar Utusan kemungkinan sudah diedit.

Bertaburanlah ilmu pengetahuan seluruh negeri. Sekelian imam mengutamakannya sama ada yang bersifat khilafiah, mahupun yang telah disepakati oleh ulama padanya.

Bahawa Imam Syafie adalah orang yang pertama sekali mencipta* ilmu usul fiqh. Beliau juga yang pertama mengadakan taqrir tentang Nasikh dan Mansukhnya dalam Ilmu Hadis. Selain itu beliau juga yang pertama mengarang beberapa bab pada ilmu fikah.

*Waalassowab, Imam Syafie bukanlah orang pertama yang mencipta ilmu usul fiqh, tetapi beliau orang pertama yang menyusun ilmu tersebut. wallahua'lam

Sesuai dengan apa yang diucapkan oleh Nabi s.a.w. Ilmu alim Quraisy itu memenuhi lapisan bumi.

2. IMAM HANAFI

Sheikh Daud al-Fathani menulis: “Adapun Imam Nu’man Abu Hanifah adalah pada beliau ini, agama kuat, mempunyai martabat yang mulia. Beliau ibarat lampu yang sangat menyala terang benderang bahkan seumpama matahari menerangi seluruh alam maya pada ini.

“Beliau adalah penghulu sekalian fuqaha pada masanya, mengepalai sekalian ulama di tempatnya. Nama lengkapnya ialah Nu’man bin Stabit bin Nu’man yang berasal dari peranakan Parsi.

Orang pernah menanyakan kepada Imam Malik tentang Imam Abu Hanifah. Berkata Imam Malik : “Aku lihat seorang laki-laki, kalau melihat tiang ini adalah dia daripada batu padahal dia adalah daripada emas, nescaya dia mendirikan hujahnya”.

Berkata Imam Syafie: “Barang siapa berkehendak kepada hadis maka lazimkanlah dengan Imam Malik. Barang siapa berkehendak kepada tafsir maka di atas Maqatil bin Sulaiman. Barang siapa berkehendak atas jadal maka atasnya dengan Abi Hanifah”.

Beliau wafat pada 150 H di Baghdad semasa berusia 70 tahun dan dimakamkan di Baghdad.

3. IMAM MALIKI

Sheikh Daud al-Fathani menulis di dalam Fathul Mannan sebagai berikut: “Dialah Imam Darul Hijrah dengan permuafakatan, dan dia Saidul Ummah. Keistimewaannya ialah dengan kefasihan lisan, tangan terbuka untuk bersedekah dan berani memisahkan yang hak dengan yang batil. Nama lengkapnya Malik bin Anas bin Abi Amir Asbahani bin Usman bin Ubaidillah dari keturunan Taim bin Ka’ab.

Berkata Yazid bin Daud: “Aku lihat dalam mimpi kubur Rasulullah terbuka. Tiba-tiba Rasulullah duduk sedang manusia berkeliling di sekitarnya. Ada orang memanggil katanya: “Di mana Anas bin Malik?”. Maka dia pun datang, mendekati Rasulullah. Rasulullah memberikan sesuatu kepadanya, sabdanya: “Bagikanlah olehmu kepada manusia!”. Di dalam hadis Nabi diriwayatkan: “Hampir-hampir manusia memukul unta pelari, mereka mencari orang alim. Maka tiadalah mereka mendapatkan seorang alim yang lebih alim daripada alim Madinah!”.

Imam Maliki wafat pada 14 Rabiulawal tahun 179H ketika berumur 85 tahun dan dimakamkan di Baqi’. Riwayat yang lain menyatakan 90 tahun.

4. IMAM HANBALI

Sheikh Daud al-Fathani menulis: “Maka Imam Ahmad bin Sahibul Maqam al-Ahmad. Dia adalah seorang yang sangat penyabar. Di otaknya banyak terkumpul sunah atau hadis Nabi s.a.w. Nama lengkapnya ialah Imam Ahmad bin Hanbal bin Hilal bin Asad bin Abdullah bin Hibban bin Abdullah bin Abbas bin Aun bin Qasith bin Syaiyan.

Dikatakan pada hari wafatnya kalau ditaksir (kira,hitung) kitabnya kira-kira dapat ditanggung di atas 12 unta, kitab-kitabnya itu semuanya telah beliau hafal.

Beliau wafat pada 12 Rabiulawal tahun 24H dalam usia 77 tahun. Jenazahnya disembahyangkan oleh 800,000 orang lelaki dan 60,000 perempuan. Orang-orang yang bukan Islam juga menghadiri yang ditaksir berjumlah 20,000 orang. Jenazah beliau juga dimakamkan di Baghdad.

Di dalam kitab Ad Durrust Stamin, Sheikh Daud al-Fathani meriwayatkan perjuangan Imam Hanbali tentang pegangannya yang menyatakan bahawa al-Quran itu adalah kalamullah bukan ‘makhluk’ seperti yang dipaksakan oleh pemerintah di kala itu. Cerita tersebut diperlengkap dalam kitab Warduz Zawahir dengan lebih jelas lagi.

5. SUFYAN AST STURI

Sheikh Daud bin Abdullah al-Fatani menulis: “Maka Sufyan Ast Sturi, laqabnya Abu Abdullah Sufyan bin Said bin Masruq Ast Sturi bin Abdullah bin Abdu Munnah bin ‘Ud bin Thabikhah bin Ilyas bin Mudhur al-Kufi. Adalah beliau ini ‘Syeikhul Islam, Saidul Huffazul A’lam Amir pada Ilmu Hadis’.

Beliau dilahirkan pada tahun 97H wafat di Basrah pada bulan Syaaban tahun 161 H. Mazhabnya hanya berkekalan sampai 500 tahun sahaja.

6. AL-LAIST BIN SAAD

Al-Laist adalah Syeikhul Islam Ilmu A’lam. Beliau adalah orang alim di negeri Basrah. Kunniyahnya Abdul Harist al-Laist bin Saad bin Abdur Rahman Fahimi. Beliau wafat pada tahun 175 H.

* p/s : Kemungkinan beliau Imam Laith yang amat alim meninggal di Mesir, ada Ulama mengatakan jika di kira 5 ulama' mujtahid sebagaimana termashurnya Mazhab 4, maka Imam Laithlah orangnya. wallahua'lam.

7. SUFYAN BIN ‘UYAINAH

Ibnu ‘Uyainah iaitu imam yang mempunyai hujah yang hafiz lagi luas ialah Sufyan bin ‘Uyainah bin Abi Imran Maimun al-Hilali. Beliau adalah imam ahli pengetahuan dan ahli hadis. Dia telah mendengar fatwa Imam Syafie dan Imam Ahmad.

Berkata Imam Ahmad: “Tiada aku lihat yang terlebih ahli dengan matan selain daripadanya”. Beliau wafat pada tahun 198H.

8.AL-AUZA’I

Auza’i ialah seorang Syeikhul Islam

dari Aimmatul A’lam, ialah Abdur Rahman bin Amru Muhammad al-Auza'i ad-Dimsyaqi. Adalah nama Abdul Aziz, kemudian menamakan dirinya dengan Abdur Rahman, nama inilah yang dimasyhurkan.

Beliau seorang yang bersungguh-sungguh mengerjakan sembahyang malam dan tilawatil Quran. Beliau telah memberi fatwa dalam 70,000 masalah. Beliau wafat pada 2 Safar 157H.

9. Sheikh JALALUDDIN AL-MAHALLI

Sheikh Jalaluddin al-Mahalli lahir tahun 768H, wafat tahun 864H. Beliau lahir di Kaherah, Mesir.

Sheikh Daud bin Abdullah al-Fatani dalam penyusunan kitab Furu’ul Masail telah mengambil pedoman dua kitab besar. Satu daripadanya ialah kitab Kasyful Listam karangan Sheikh Husein bin Muhammad al-Mahalli.

Pada permulaan kitab Furu’ul Masail Sheikh Daud bin Abdullah al-Fatani menulis: “Dan kitab Kasyful Listam ‘an as-Alatil Anam bagi Sheikh yang Allamah lagi Muhaqqiq sebahagian orang mutakhirin Husein anak Muhammad al-Mahalli r.a..

10. SYEIKHUL ISLAM ZAKARIA AL-ANSYARI

Dilahirkan di Kaherah, Mesir pada tahun 826H, dan wafat 926H. Sheikh Daud bin Abdullah al-Fatani dalam penyusunan beberapa kitab yang besar-besar telah mengambil pedoman karya-karya Sheikh Zakaria al-Ansari sebagai buku-buku rujukan.

Antara karangan Sheikh Daud al-Fatani yang sebahagian besarnya dipetik daripada karangan Sheikh Zakaria al-Ansari seumpama Bughyatuth Thullab dan Nahjur Raghibin.

11. Sheikh IBNU HAJAR AL-HAITAMI

Nama lengkapnya ialah Syihabuddin Ahmad bin Hajar al-Haitami. Lahir dalam tahun 909H di Mesir. Wafat di Mekah tahun 974H. Sewaktu menuntut di Universiti al-Azhar, beliau belajar daripada Sheikh Islam Zakaria al-Ansari.

Kitab-kitab karangan beliau adalah termasuk kitab-kitab pokok yang dikaji oleh Sheikh Daud al-Fathani. Sehingga banyak pendapat Sheikh Ibnu Hajar al-Haitami diterjemahkan Sheikh Daud al-Fathani terdapat dalam beberapa karya beliau.

Berdasarkan tulisan Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fatani bahawa Sheikh Daud al-Fathani menemui tahun-tahun kehidupan (mungkin Sheikh Daud al-Fathani sempat belajar daripada anak Sheikh Ibnu Hajar tersebut) anak Sheikh Ibnu Hajar.

12. KHATHIB SYARBAINI

Nama lengkapnya ialah Muhammad as-Syarbaini al-Khathib. Dalam mengisi Ilmu Fiqh Mazhab Syafie, beliau ini juga termasuk yang penting tidak ubahnya seumpama Sheikh Zakaria al-Ansari dan Sheikh Ibnu Hajar al-Haitami. Beliau juga termasuk salah seorang murid Sheikh Zakaria al-Ansari. Ulama besar yang terkenal ini meninggal dunia pada tahun 977 H.

13. IMAM RAMLI

Nama lengkapnya ialah Sheikh Syamsuddin Muhammad bin Abil Abbas Ahmad bin Hamzah Ibnu Syihabuddin ar-Ramli. Lahir di Kaherah, Mesir. Beliau digelar ‘Imam Syafie Kecil’ dan wafat tahun 1004H.

14. IBNU RUSLAN

Nama lengkap ialah Ahmad bin Husein bin Ruslan. Lahir di Ramlah, Palestin tahun 773H dan wafat tahun 844H. Beliau banyak mengarang kitab, antaranya yang sangat terkenal kerana banyak dikaji di berbagai pengajian bersistem pondok di seluruh Asia Tenggara ialah Matan Zubad.

Matan Zubad tersebut telah disyarah oleh Sheikh Ramli (bukan Imam Ramli pengarang Nihayah) atau nama lengkapnya ialah Syihabuddin ar-Ramli Ahmad bin Aminuddin Husein bin Hassan bin Ali bin Yusuf bin Ruslan al-Muqaddisi as-Syafi’i. Tahun wafatnya sama dengan tahun kewafatan Ibnu Ruslan yakni tahun 844 H.

Kitab Matan Zubad yang telah beliau syarah itu beliau namakan Safwatuz Zubad. Sheikh Daud al-Fathani telah menterjemah (mungkin beliau juga sebagai pensyarahnya, atau mungkin beliau hanya sebagai penterjemahnya saja) satu syarah daripada Matan Zubad yang beliau namakan dengan Fathul Mannan li Safwatiz Zubad.

Bahawa tulisan Sheikh Daud al-Fathani dalam permulaan karyanya tersebut adalah, “Maka tatkala faqir melihat kitab bernama Safwatuz Zubad karangan Wali Allah iaitu Syeikhul Islam dan ‘Alimul Hamam Abil Ahmad Syihabuddin Ibnu Ruslan ad-Damsyiqi, Allah telah menyirami dengan hujan rahmat ke atas kuburnya, Ridhwan Allah atasnya. Bahawa sangat indah susunan nazhamnya. Banyak manfaat yang terbit daripadanya, dua keindahan dari dua asal iaitu Ilmu Fiqh dan Ilmu Tasauf.

Seterusnya Sheikh Daud al-Fathani menulis: “Aku namakan terjemahan ini dengan Fathul Mannan li Safwatiz Zubad bagi Wali Allah Ahmad bin Ruslan”.

15. IMAM SYARQAWI

Nama lengkap ialah Sheikh Abdullah bin Hijaz bin Ibrahim. Lahir tahun 1150H dan wafat 1227H, dimakamkan di Mesir. Beliau lebih terkenal dengan sebutan Imam Syarqawi. Mungkin beliau ini termasuk salah seorang guru Sheikh Daud al-Fathani atau mungkin sahabat beliau.

Antara beberapa kitab Sheikh Daud al-Fathani ada menyebut nama ulama ini, sedang kitab yang ditulis Sheikh Daud al-Fathani itu di masa Imam Syarqawi belum wafat seumpama Nahjatur Raghibin (1225H). Tahun meninggal Imam Syarqawi sama dengan tahun meninggalnya Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari iaitu tahun 1227H.