Kebanyakan artikel disini adalah karya Al-Marhoum Tuan Guru Syeikh Wan Mohd Shaghir Abdullah R.A cucunda kepada Tuan Guru Syeikh Ahmad Al-Fathanie, juga dari akhbar2 nasional yang lain dan laman2 web yang bertebaran di alam maya juga disaduri macam2 hikayat,riwayat,kaifiat dan khasiat keemasan saya himpun dan susun sebagai koleksi peribadi dan bagi tatapan dan santapan rohani buat teman-teman yang sudi...himpunan artikel2 terbaru saya sekarang lebih muyul kepada informasi kesihatan ala muslim-jawi kearaban..... dan saya mula berjinak2 dengan jualan secara online produk kesihatan muslim, khasnya peralatan bekam (Set cawan, jarum dan pen bekam) dan khidmat pembekaman, Sudi-sudilah ziarah dan sudikan tinggal komentar anda. TQ
Memaparkan catatan dengan label Ulama Riau. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ulama Riau. Papar semua catatan

Rabu

WASIAT RAJA HAJI ABDULLAH KEPADA ANAK-ANAK

Raja Haji Abdullah - Yamtuan Muda Riau Ke IX
Koleksi dari karya muarrikh jawi Almarhom Syeikh Wan.Mohd Saghir Abdullah

RAJA Haji Abdullah adalah putera Raja Ja'afar Yamtuan Muda Riau VI. Raja Haji Abdullah termasuk seorang ulama sufi, seorang mursyid dalam Thariqat Naqsyabandiyah al-Khalidiyah. Mula-mula beliau belajar kepada saudara sepupunya Raja Ali Haji bin Raja Haji Ahmad. Setelah itu ke Mekah belajar kepada Syeikh Ismail bin Abdullah al-Minankabawi, Syeikh Syihabuddin bin Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, Syeikh Ahmad al-Jabarti, Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan lain-lain.

Sewaktu beliau pulang ke Riau, dialah yang membawa Syeikh Syihabuddin al-Banjari dan Syeikh Ahmad al-Jabarti datang ke Riau untuk dijadikan guru. Kemudian setelah dia menetap di Riau, Syeikh Ismail Minangkabau datang ke Riau. Raja Haji Abdullah sungguh pun seorang raja, namun menyediakan dirinya sebagai khadam Syeikh Ismail al-Minankabawi, ulama besar yang sudah terkenal di Mekah itu.

Sewaktu Syeikh Ismail al-Minankabawi berangkat ke Singapura, dan mungkin ke mana saja Syeikh Ismail pergi, termasuk ke Kedah, Raja Haji Abullah ikut serta kerana mengharapkan limpah barakah pancaran ilmu sufi yang demikian tinggi yang ada pada peribadi Syeikh Ismail al-Minankabawi itu. Raja Haji Abdullah digelar juga dengan Haji Muda. Selain itu sebagai gelar tertinggi bagi penganut thariqat beliau disebut sebagai Marhum Mursyid. Gelar ini setelah baginda mangkat. Sebenarnya gelar itu memang sesuai untuknya kerana baginda adalah putera Riau yang diakui oleh gurunya Syeikh Ismail Minangkabau sebagai Khalifah Mursyid yang boleh mentawajjuh dan membai'ah para ikhwan Thariqat Naqsyabandiyah al-Khalidiyah itu, apabila Syeikh Ismail Minangkabau tidak berada di Riau.

Setelah saudaranya Raja Ali bin Raja Ja'afar mangkat, Raja Haji Abdullah menggantikan saudaranya sebagai Yamtuan Muda Riau-Lingga ke IX. Walaupun Raja Haji Abdullah sebagai penguasa tertinggi kerajaan Riau-Lingga, namun baginda tetap sebagai seorang tokoh ahli sufi yang melakukan ibadah dengan rutin sebagaimana disebut oleh Raja Ali Haji, "Maka di dalam hal itu, maka ia pun duduk di dalam berbuat ibadat juga dengan segala sanak-sanak saudaranya serta menjalankan ibadat Thariqat Naqsyabandiyah itu. Maka tiadalah berhenti khatam dan tawajjuhnya pada tiap-tiap malam Selasa dan hari Jumaat serta menderas ilmu di balainya, iaitu Raja Haji Ali mengajar-ngajar serta membaca kitab-kitab akan segala sanak-sanak saudaranya serta pegawai-pegawai negeri. Ada pun kitab yang dibacanya itu kitab fikah: sah, batal, halal, haram ...''

BERAMBISI

Raja Haji Abdullah bukanlah seorang yang berambisi (berkeinginan) atau hubbud dunya (cintakan dunia) atau hubbul jah (gila kuasa), bahawa baginda berkehendak jadi Yamtuan Muda Riau-Lingga itu, tetapi adalah sebaliknya, pangkat yang disandangnya hanyalah berupa anugerah Allah jua adanya. Ini dapat dibuktikan daripada kata-katanya, "Saya ini, apabila setahun di dalam pekerjaan raja ini, saya hendak berhenti, jika dikehendaki oleh goverment, adalah ganti saya anak saya Muhammad Yusuf.'' Perkataan tersebut seakan-akan sindiran bahawa seolah-olah baginda tahu daripada pandangan kasyaf, umurnya tidak akan berapa lama lagi, baginda akan meninggalkan dunia yang fana ini. Selanjutnya baginda mengatakan, "Ada pun anak-anak sulbi saya tiadalah yang kebetulan kepada hati saya, yang saya hendak pindah ke Bentan, atau mana-mana tempat yang sunyi membuat ibadat.'' Adapun Raja Muhammad Yusuf di atas bukan puteranya tetapi adalah anak saudaranya. Puteranya ketika itu sedang belajar di Mekah namanya Raja Haji Muhammad atau digelar juga dengan Tengku Nong. Raja Haji Muhammad/Tengku Nong itu merupakan orang ketiga mengadakan konteks dengan alim-ulama di Mekah sesudah Raja Haji Ahmad bin Raja Haji dan Raja Haji Abdullah.

Ambisi: keinginan (keghairahan) mendapatkan sesuatu kedudukan (pangkat dll).

Raja Haji Abdullah Yamtuan Muda Riau ke IX jatuh sakit tumbuh bisul di belakangnya. Penyakit itu mengakibatkan ajalnya. Sebagaimana saudaranya Raja Ali ketika akan mangkat dulu sempat berwasiat dan wafat dalam kalimah zikrullah, maka Raja Haji Abdullah yang tinggi pengetahuan sufiyahnya tentu lebih daripada itu adanya. Baginda juga memanggil sanak saudaranya terutama Raja Ali Haji. Baginda juga sempat meninggalkan wasiat. Raja Ali Haji menulis, "Maka hampirlah wafatnya, maka ia pun memanggil kekandanya Raja Ali Haji dekat-dekat dia, ia minta riba (pangku, pen:) kepalanya. Maka ia pun bercakap perlahan-lahan pada pekerjaan barzakh, iaitu ba'dal maut, serta beringat-ingatan ilmu, fatwa segala Masyaikh Ahli Thariqat...'' Kemudian ia pun minta tasbihnya diunjukkan isterinya sambil menangis, kemudian bertanya pula ia kepada Raja Ali, "Pukul berapa ini?''.

Kata Raja Ali, "Hampir pukul sebelas!''

Katanya, "Uzurkah tuan hari ini? Tiada usahlah sembahyang Jumaat dahulu, ditinggalkan saja!''.

Jawab Raja Ali, "Baiklah !''

Seketika lagi ia pun berkata, "Sesak dada!''

Sekira-kira sampai pukul dua setengah istighfarlah ia di dalam zikir nafi itsbat zal Haq, zikir ismuz Zat. Seketika, rohnya pun berpindah dari negeri fana' ke negeri yang baqa'. Surat wasiatnya diserahkan kepada Raja Ali Haji sementara menunggu puteranya Raja Muhammad/Tengku Nong pulang dari Mekah. Ada pun wasiat itu tulisan tangan dengan huruf Melayu/ Jawi atas kertas lebar dengan khat indah sebagai yang berikut, "Tarikh as-Sanah 1276, kepada 26 hari bulan Zulhijjah, hari Sabtu, bahawasanya kita Raja al-Haji Abdullah Yang Di Pertuan Muda membuat suatu surat wasiat ini bagi anak-anaknya. Dan pada ketika tarikh ini juga yang aku telah memberikan kepada anakku Maimunah, dan Puteri, dan Muhammad bin Abdullah dan Muhammad Thahir, daripada segala harta bendaku, yang aku tiada mempunyai sesuatu jua, tetapi selagi aku hidup ini seperti orang meminjam jua kepada anakku yang empat orang itu. Dan tiadalah boleh seseorang saudaranya mendakwakan dia adanya.

Fasal Yang Pertama: Adapun rumah dengan sampah sarapnya hak bagi Maimunah dan si Puteri. Adapun segala senjata besar-kecil hak bagi Muhammad. Syahdan dari kebun seperti Pulau Soreh pulang kepada Muhammad bin Abdullah. Dan perahu, sampan, jongkong mana-mana yang ada itu pulang kepada Muhammad bin Abdullah juga. Sebermula jika aku pulang ke rahmatullah Ta'ala, Muhammad bin Abdullah itulah jadi kuasa, dan memerintah, dan memeliharakan segala saudaranya tiada boleh anak-anakku yang lainnya, melainkan dia yang terlebih kuasa daripadanya.

Fasal Yang Kedua: Apabila sudah sampai ajalku, segala hutang aku Muhammad bin Abdullah membayarnya serta mufakat ia dengan ibunya Raja Hawi. Maka jika sudah sampai akil baligh Muhammad Thahir, jika tiada ibunya hendaklah ia mufakat dengan dia pada menyelesaikan hutang-hutang aku itu. Jikalau aku tiada terikhtiarkan yang demikian itu mufakatlah engkau kepada siapa yang menggantikan aku adanya.

Fasal Yang Ketiga: Mana-mana hutangku yang kena kepada pekerjaan kerajaan, maka iaitu Raja Mudalah yang membayarnya, seperti hutang perang atau kerana sesuatu yang lain yang hendak membaiki negeri dan belanja "mashalihul muslimin''. Jika dengan sebab itu lazimlah Raja Muda itu membayarnya. Demikianlah adatnya selama-lamanya pusaka kita Upu Bugis.

Sathar

Fasal Yang Keempat: Jangan aku ditanam seperti raja-raja, tanamlah aku seperti menanam seorang fakir. Dan jangan aku dimandikan ramai-ramai. Taruh aku di dalam satu sathar dengan dua tiga orang yang saleh. Hawilah memandikan aku, dan janganlah aku diriba. Letakkan sahaja aku di atas suatu tempat yang suci atau di atas sarir(katil) yang terus airnya. Mandikanlah aku seperti barang yang telah disebutkan kaifiatnya di dalam kitab fikah. Dan lagi jangan engkau semua yang hidup sepeninggalan aku bersusah-susah belanja tajhiz aku. Jikalau hendak juga engkau semua mentahlilkan aku suruhlah tahlilkan dengan khalifah syeikh kita. Dan boleh engkau beri sedekah ala kadar kifayahnya. Dan jangan sekali-kali menyakit diri yang di luar syariat Rasulullah s.a.w. Hendak engkau semua turut akan jalan yang sebenarnya. Dan haji dan umrah semua selesai tiada lagi menyusahkan adanya. Adapun senjata besar kecil pulang kepada Muhammad Thahir semuanya.

Fasal Yang Kelima: Sesiapa yang menggantikan aku hendaklah engkau semua turut perintahnya. Dan jangan engkau dengki hasad kepadanya, tiada selamat. Dan engkau semua kerjakanlah dia dengan cuci putih hati kepadanya, inilah jalan orang yang baik-baik. Apa yang ada sampah sarap yang aku tinggalkan kepada kamu, jikalau Raja Muda itu berkehendak jangan sekali-kali ditahan adanya.

Fasal Yang Keenam: Engkau semua adik beradik jangan sekali menaruh hasad dan dengki sesama sendiri. Dan jangan bercerai engkau semua dari jalan mufakat dengan saudara-saudaramu yang lain seperti anak Marhum Abdur Rahman, dan anak marhum Raja Ali kerana adalah Marhum kedua itu saudara syaqiqah, yakni saudaraku seibu sebapa adanya.

Fasal Yang Ketujuh: Jangan engkau semua tiada mendengar nasihat ajaran ulama dan shulaha' jika engkau tiada kuasa menuntut kepadanya. Maka jika engkau kuasa menuntut, maka inilah yang sangat gemar dan tuntutku. Kerana tersebut di dalam hadis Nabi s.a.w. Ertinya: "Menuntut ilmu fardu atas tiap-tiap Islam laki-laki dan Islam perempuan''. Tiada aku panjangkan pada fadilat menuntut ilmu itu melainkan jikalau Allah bukakan hatimu pada menuntut itu ialah yang sebaik-baik jalan dan nikmat yang tiada dapat dibagaikan fid dun-ya wal akhirah.

Fasal Yang Kelapan: Sayugianya engkau merendahkan diri kepada pangkat saudara tua atau pangkat bapa kepadamu. Hendaklah engkau ber''patik'' jikalau serupa gara sekalipun umpamanya. Dan engkau dengar juga akan nasihatnya dan segala ajarannya yang patut pada syarak dan adat.

Fasal Yang Kesembilan: Pesanku kepada kamu sekalian, hendaklah kamu memuliakan anak cucu Rasulullah s.a.w. apa lagi yang sudah jadi kaum kerabat kita; jangan sekali-kali hasad dengki akan dia, seperti abang "Embong'' dan abang "Syeikh Engku'' hendaklah engkau jadikan ia seperti saudaramu yang betul adanya.

Fasal yang kesepuluh: Jangan membangsat dan serta rapik pinta meminta kepada segala rakyat raja, inilah pesan datuk nenek moyangku, pantang yang tiada boleh dilalui juga, tiada selamat dunia akhirat kerana banyak daripada beberapa kebinasaan mendatangkan murka Allah Taala Yang Maha Besar.

Inilah wasiat yang aku tahshishkan kepada Muhammad Abdullah al-Khalidi. Bermula hendaklah kiranya engkau ingatkan baik-baik sepeninggal aku mati''.

artikel dari bicara agama 24/01/2005

Sabtu

TENGKU ALI ULAMA DAN USAHAWAN

Tengku Ali Tengku Selat - Gembala perniagaan Melayu
Oleh ALMARHUM WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
DATUKNYA ialah Tengku Abdullah, Yang Dipertuan Muda Kerajaan Riau-Lingga ke-9. Ayahnya Raja Haji Muhammad atau Tengku Nong hanya sempat menyandang gelar `Kelana'. Oleh sebab beberapa faktor tertentu, tidak sempat menjadi Yang Dipertuan Muda Kerajaan Riau-Lingga. Ayah saudaranya pula Raja Haji Muhammad Tahir adalah Hakim Kerajaan Riau-Lingga. Semua nama yang tersebut itu dan beliau sendiri, iaitu Tengku Ali atau digelar juga dengan Tengku Selat adalah tokoh-tokoh Melayu yang bertaraf ulama, bersepadu dengan kearifan perkara-perkara yang bercorak duniawi.

Mereka beramal dan mendalami pengetahuan Islam, sekali gus bijak mengatur kemaslahatan kepentingan kehidupan peribadi, keluarga besar, umat Islam di persekitaran dan zamannya melalui perniagaan, pentadbiran jabatan dan pemerintahan yang mereka tangani.

Memperjuangkan

Hanya dua orang tokoh besar yang pernah berperanan dalam kerajaan Riau-Lingga, sewaktu penulis masih kanak-kanak dan pemuda, yang sempat penulis temui pada akhir hidupnya, ialah Tengku Ali dan Raja Haji Ahmad bin Raja Haji Umar Endut. Tengku Ali adalah seorang tokoh besar kerajaan Riau-Lingga kerana pernah menjadi Ketua Setiausaha Riau-Lingga. Rakyat Riau-Lingga juga pernah memperjuangkan beliau untuk menjadi Sultan Riau-Lingga, namun beliau menolaknya.

Tidak sedikit orang yang pernah memegang sesuatu jabatan tinggi atau berkuasa, mereka berpengaruh dan bijak, tetapi setelah tiada kuasa, mereka menjadi orang yang bodoh kerana hilang pegangan dan pedoman. Berlainan dengan Tengku Ali, sewaktu kerajaan Riau-Lingga dihapuskan oleh penjajah Belanda (1911), beliau sangat tekun beribadah, bertawakal kepada Allah. Sebahagian besar Kerabat Diraja Riau-Lingga berhijrah ke Singapura, namun Tengku Ali mempunyai pandangan tersendiri.

Kerajaan Riau-Lingga yang demikian besar pengaruhnya ketika itu telah hapus, perniagaan Raja Ali Kelana dan Raja Haji Ahmad mengalami krisis kehancuran tiada terkawalkan lagi, ketika itulah Tengku Ali muncul dengan kebijaksanaannya. Di dunia Melayu hanya beliau seorang yang diberi gelar `Gembala Perniagaan Melayu' oleh pemerintah Belanda ketika itu.

Dalam artikel ini penulis cuba mengungkapkan kisah ulama Riau-Lingga ini membina perniagaan yang benar-benar berdasarkan syariah Islam dan menggunakan sistem persahaman yang banyak persamaan dengan yang digunapakai dunia moden sekarang ini. Kemuncak niaga yang diusahakannya ialah Al-Ahmadiah Press, 101 Jalan Sultan Singapura yang berjasa mencetak dan menerbitkan pelbagai jenis kitab, buku, majalah dan lain-lain yang melibatkan pelbagai disiplin keilmuan, budaya dan warisan Melayu dan Islam.

Tengku Ali lahir tercatat pada 1286 H/1869 M, tetapi dalam Surat Keterangan Yang Berlaku Laksana Paspot No. 21441 yang dikeluarkan di Singapura pada 10/8/1950 oleh Republik Indonesia Serikat dinyatakan bahawa Tengku Ali lahir di Pulau Penyengat (Riau) tahun 1874 M. Wafat di Pulau Midai, Kepulauan Riau, 9 Rejab 1374 H/ 3 Mac 1955 M.

PENUNJANG EKONOMI

Untuk pengukuhan ekonomi, Tengku Ali memasuki pelbagai sektor penunjang sebagai benteng pertahanan supaya ekonomi tetap stabil. Sektor-sektor itu ialah, memiliki tanah perkebunan, memiliki tempat-tempat perniagaan sendiri, bukan menyewa kepada pihak lain, memiliki alat pengangkutan sama ada di darat mahu pun di laut, menjalankan permodalan bersama sama ada sesama keluarga atau kerabat mahu pun seluruh kaum Muslimin. Dalam hal ini perlu penentuan saham atau sher. Untuk kemaslahatan umat Islam, rangka pendek, perlu menyediakan tempat-tempat pendidikan. Untuk rangka panjang, umat Islam perlu mempunyai hak milik sendiri. Dalam hal ini perlu menyediakan perkebunan wakaf dan tanah wakaf. Menurut Tengku Ali modal yang paling utama seseorang insan Muslim ialah `tawakkal `alallah', mendahulukan pembayaran yang wajib, iaitu zakat daripada sedekah yang sunat. Mengenai ini termasuk juga mendahului pembayaran upah pekerja daripada lain-lainnya. Semua yang tersebut ini termasuk dalam kerangka pembinaan ekonomi sistem Islam Tengku Ali, yang menghendaki huraian yang sangat panjang, sekelumit di antaranya saja yang dapat diperkenalkan dalam artikel ini.

Sebagai bukti aktiviti Tengku Ali dalam sektor perkebunan di antaranya ditemui tulisan tangan beliau sendiri, bahawa beliau membuka perkebunan di Pulau Kemili, Riabu, Kepulauan Siantan. Surat yang dikeluarkan oleh Mahkamah Siantan, hari Isnin, 2 Rejab 1319 H bersamaan dengan tahun 1901 M yang ditandatangani oleh Orang Kaya Dewa Perkasa Muhammad Usman dan Amir Serta Bakal Pangeran Siantan yang diberikan izin kepada Raja Ali bin Raja Haji Muhammad Kelana/Tengku Nong membuat kebun getah dan lainnya di tanah Pulau Siantan Darat, Teluk Tarempa. Pemilikan tanah dan perkebunan Raja Ali di sekitar Kepulauan Siantan bukan untuk keperluan peribadinya saja, tetapi untuk umat Islam.

Tanah yang disebut dalam surat di atas, adalah sangat luas, separuh gunung Tarempa, Siantan, beliau wakafkan untuk Masjid Jamik Tarempa. Selain yang tersebut Tengku Ali juga mewakafkan beberapa tanah dan perkebunan kelapa di tempat-tempat lainnya, di antaranya tanah dan kebun kelapa untuk Masjid Baitur Rahman di Pulau Midai. Masjid tersebut beliau sebagai ketua, yang peralatannya dikerjakan dan didatangkan dari Terengganu. Selain itu ada lagi tanah wakaf dan kebun wakafnya untuk masjid di Jemaja. Tengku Ali juga adalah perintis pengurusan kebun-kebun wakaf untuk guru-guru yang mengajar di Mekah dan Madinah, kerana ulama yang mengajar di kedua-dua tanah haram pada zaman itu tiada bergaji atau mempunyai penghasilan tetap seperti sekarang ini. Pengiriman wang hasil wakaf ke Mekah dilakukan sekurang-kurangnya dua kali dalam setahun. Wakil Tengku Ali dalam urusan tersebut di Mekah ialah Syeikh Abdullah Shamad al-Filfulani (Pulau Pinang).

PERNIAGAAN DAN PERCETAKAN

Perniagaan Kerabat Diraja Riau-Lingga dicetuskan oleh Raja Haji Ahmad bin Raja Haji Umar, dimulai di Pulau Midai tahun 1324 H/ 1906 M. Tahun 1330 H/19l2 M Raja Ali/Tengku Selat menerima penyerahan pimpinan Syarikat Ahmadi & Co. Midai daripada Raja Haji Ahmad, kerana Raja Haji Ahmad akan berangkat pindah ke Mekah. Tanggal 28 Rejab 1332 H/1913 M surat nombor 91 dan nombor 92 Raja Ali mengirim surat kepada Raja Haji Ahmad di Mekah, bahwa beliau akan mengembangkan perniagaan Syarikat Ahmadi & Co. Midai di Singapura. Dengan Akta, Midai 1 Syaaban 1333 H/14 Jun 1915 M ditetapkanlah untuk membuka cawangan Ahmadiah Pulau Tu-juh di Singapura yang berpejabat di Palembang Road 18 B. Aktiviti perniagaannya merupakan agensi pengumpulan hasil bumi dan laut, selanjutnya aktif dalam eksport dan import pelbagai jenis barangan.

Kemudian pindah ke Minto Road 50. Pada hari Jumaat, 22 Rabiulawal 1339 H/3 Disember 1920 M mufakat pula mendirikan percetakan. Perusahaan di Minto Road 50 itu berkembang terus dan pada tahun 1926 M Ahmadiah membeli sebuah rumah nombor 82 Jalan Sultan Singapura, kemudian nombornya diganti menjadi nombor 101 Jalan Sultan. Grant List Governement nombor 2650 lamanya dianggarkan 99 tahun. Telah dibeli oleh orang lain sebelumnya pada 12 Julai 1873 M. Jadi Syarikat Ahmadi & Co. Midai di Singapura hanya memilikinya sampai 12 Julai 1972 Masihi saja.

DOKUMEN

Selain sebagai Ketua Al-Ahmadiah, Raja Ali/Tengku Selat adalah sebagai sponsor dan sesepuh daripada berbagai-bagai perusahaan niaga di Pulau Tujuh, Sumatera, Singapura dan Malaya. Di antara yang sempat penulis jumpai dokumennya ialah: 1. Natuna Syarkah Sedanau, sekurang-kurangnya telah wujud tahun 1318 H/1900 M, enam tahun mendahului Ahmadi & Co. Midai. Pendirinya Raja Haji Idris bin Raja Haji Umar/Tengku Endut. 2. Syarikat Air Putih (Midai). 3. Syarikat Kampar-Kuantan di Midai dan Sumatera. 4. Syarikat Semuafakat/ Moefakat (seluruh Pulau Tujuh). 5. Syarikat Subi-Pulau Panjang 6. Syarikat Letung-Jemaja. 7. Syarikat Terempa. 8. Syarikat Usaha Tenun Terengganu di Singapura. Semua syarikat tersebut ada ketua, tetapi hanya sebagai simbolik. Kuasa tertinggi sebagai penentu adalah Raja Ali/Tengku Selat. Lambang pada surat peribadi Raja Ali/Tengku Selat berbentuk tangan bersalaman dengan cogan kata (motto) di atasnya `Tawakkalna `ala Allah.' Di kanan `Bersetia Jaya', dan di kiri `Bercerai Merbahaya'.

Untuk menjadi anggota salah satu syarikat itu adalah dengan cara membeli lembaran sher atau saham. Ternyata yang paling banyak diminati oleh masyarakat Melayu ialah saham Ahmadi & Co. Midai mahu pun saham Mathba'ah Al-Ahmadiah Cawangan Singapura. Dalam penyelidikan yang penulis jalankan, penulis belum menemui sesebuah syarikat milik Melayu pada zaman itu yang mempunyai anggota yang bercorak sejagat. Orang-orang Melayu yang membeli saham syarikat itu selain Kerabat Diraja Riau-Lingga, termasuk beberapa orang ulama Melayu di Mekah yang berasal dari Patani, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan tempat-tempat lainnya. Saham juga dibeli oleh golongan terpelajar, di antara mereka ada yang berasal dari Padang dan Betawi (Jakarta). Saham anugerah pula di antaranya pernah diberikan kepada ulama Arab bernama Syeikh Abdul Hamid al-Firdausi, bekas Mufti Riau-Lingga. Surat Raja Ali di Singapura, tarikh 8 Safar 1347 H, memperlihatkan niat baik atau tujuan Al-Ahmadiah ditulisnya, ``... segala perjalanan kita dari dahulu hingga ini semata-mata atas jalan pemeliharaan dan bantu membantu atas tiap-tiap kesusahan, keberatan kerabat yang jauh apa lagi yang hampir ... ``. Dalam surat ini juga dinyatakan bahawa ``yang empunya harta benda yang dipegang oleh Ahmadi itu, laki-laki yang cerdik pandai berhitung dan lainnya''.

Hubungan perniagaannya juga sangat luas, surat Tengku Ali di Singapura tarikh 26.9.1925 M membuktikan bahawa Al-Ahmadiah 50 Minto Road, Singapura ada hubungan langsung kepada Company Robin di Amsterdam (Negeri Belanda). Surat Tengku Ali di Singapura kepada Raja Kaluk dan Raja Hasnan di Ahmadi Midai, tarikh 2 Jamadilawal 1344 H/18 November 1925 M membuktikan Al-Ahmadiah Singapura memesan langsung alat-alat percetakan dari Mesir, Beirut dan Amerika. Selain itu surat yang sama juga membuktikan kemajuan Mathba'ah Al-Ahmadiah Singapura.

WASIAT

Ketika Tengku Ali mencecah usia lebih kurang 93 tahun, pada tarikh Midai 35 Julai 1954, ketika itulah beliau membuat Surat Wasiat untuk orang-orang yang meneruskan usahanya. Ada 13 perkara yang termaktub dalam surat wasiat itu. Surat wasiat ditandatangani oleh yang berwasiat, juga ditanda tangani oleh tiga orang yang menerima wasiat, ialah Haji Abdullah bin Haji Wan Abdur Rahman, Raja Haji Muhammad Arif bin Raja Haji Mahmud dan Raja Muhammad Nazir bin Raja Haji Mahmud. Pada tarikh, Midai, 7 Ogos 1954 dibuat penambahan, yang beliau tanda tangani, juga ditanda tangani oleh dua orang saksi ialah Haji Abdullah bin Haji Wan Abdur Rahman dan Raja Ali bin Raja Mohd. Sa'id.

Utusan Malaysia 29/11/2004

Selasa

RAJA HAJI UMAR TOKOH KEWIRASWASTAAN ISLAM

Raja Umar Hasan - Mudir Mathba'ah Al-Ahmadiah pertama
BIOGRAFI Raja Ali Haji cukup banyak ditulis orang, yang diriwayatkan ini adalah salah seorang cucu ulama, pujangga, sejarawan Melayu yang sangat terkenal itu. Nama lengkap beliau ialah Raja Haji Umar bin Raja Haji Hasan bin Raja Ali Haji bin Raja Haji Ahmad bin Raja Haji asy-Syahid fi Sabilillah bin Upu Daeng Celak. Beliau adalah orang pertama yang berusaha menerbitkan karya-karya datuknya, Raja Ali Haji itu. Salah sebuah karangan Raja Ali Haji yang penting berjudul Kitab Pengetahuan Bahasa terbitan pertama oleh Mathba'ah Al- Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura, juga atas usaha Raja Haji Umar.

Oleh sebab kekeluargaan ini termasuk penting dalam perkembangan kepelbagaian dunia Melayu sejagat, maka sebelum menceritakan riwayat ringkas Raja Haji Umar bin Raja Hasan bin Raja Ali Haji yang tersebut, dirasakan perlu terlebih dulu memperkenalkan adik beradik Raja Ali Haji dan putera/puteri beliau. Adik beradik Raja Ali Haji yang telah diketahui ada 16 orang, ialah 1. Raja Abdul Majid, 2. Raja Abdul Wadud, 3. Raja Haji Umar/Tengku Endut, 4. Raja Haji Ali, 5. Raja Abdullah (Amir Karimun), 6. Raja Utsman, 7. Raja Abdul Hamid, 8. Raja Muhammad Sa'id, 9. Raja Kecik, 10. Raja Shaliha, 11. Raja Fatimah, 12. Raja Aisyah, 13. Raja Shafiyah, 14. Raja Maimunah, 15. Raja Hawi, dan 16. Raja Maryam. Perkembangan keturunan nama-nama yang tersebut di atas belum dibicarakan di sini dan akan dibicarakan secara terperinci pada tempat dan waktu-waktu mendatang.

Putera/puteri Raja Ali Haji ada 17 orang, ialah: 1. Raja Haji Hasan (ayah kepada personaliti yang sedang diriwayatkan), 2. Raja Mala', 3. Raja Abdur Rahman, 4. Raja Abdul Majid, 5. Raja Salamah, 6. Raja Kaltsum, 7. Raja Ibrahim Kerumung, 8. Raja Hamidah, 9. Raja Engku Awan (ibu kepada Raja Kaluk), 10. Raja Khadijah, 11. Raja Mai, 12. Raja Cik, 13. Raja Muhammad Daeng Menambon, 14. Raja Aminah, 15. Raja Haji Salman Engku Bih, 16. Raja Siah, 17. Raja Engku Amdah. Perkembangan keturunan nama-nama yang tersebut di atas juga belum dibicarakan di sini, kecuali yang sedang diriwayatkan iaitu anak Raja Haji Hasan saja.

Selanjutnya adik beradik Raja Haji Umar bin Raja Haji Hasan bin Raja Ali Haji, ada 12 orang, mereka, ialah: 1. Raja Haji Abdullah Hakim 2. Raja Khalid Hitam, meninggal dunia di Jepun, 3. Raja Haji Abdul Muthallib, 4. Raja Mariyah, 5. Raja Manshur, 6. Raja Qamariyah, 7. Raja Haji Umar (yang sedang diriwayatkan), 8. Raja Haji Andi, 9. Raja Abdur Rasyid, 10. Raja Kaltsum, 11. Raja Rahah, 12. Raja `Amimah.

Raja Haji Umar yang dibicarakan dalam artikel ini adalah pada nombor 7 dalam senarai yang tersebut di atas. Raja Haji Umar dari sebelah ayahnya adalah cucu Raja Ali Haji, sedangkan dari sebelah ibunya adalah cucu Marhum Mursyid, iaitu Raja Haji Abdullah Yang Dipertuan Muda Riau Lingga ke-9. Raja Haji Hasan, ayahnya, adalah putera Raja Ali Haji. Ibunya pula ialah Raja Maimunah binti Marhum Mursyid. Raja Maimunah adalah adik beradik dengan Raja Haji Muhammad Tahir, Hakim Kerajaan Riau-Lingga yang telah diperkenalkan dalam Utusan Malaysia, Isnin yang baru lalu.

PENDIDIKIAN

Riwayat pendidikannya ketika masih berada di Riau-Lingga, beliau mendapat pendidikan daripada golongan intelektual istana bersama adik beradiknya, di antaranya Raja Haji Abdullah yang kemudian menjadi hakim terakhir Kerajaan Riau-Lingga, Raja Khalid Hitam, pejuang Riau-Lingga, yang meninggal dunia di Jepun pada tahun 1912 M. Pelajarannya dilanjutkan ke Mekah. Sewaktu berada di Mekah sangat rapat hubungannya dengan dua orang anak Syeikh Ismail an-Naqsyabandi al-Khalidi Minangkabau, iaitu Syeikh Muhammad al-Minankabawi (wafat 1303 H) dan Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Ismail al-Minankabawi (wafat 1313 H). Oleh sebab pelajar-pelajar golongan Kerabat Diraja Riau-Lingga di Mekah, termasuk Raja Haji Umar, adalah dalam pengurusan keluarga Syeikh Ismail Minangkabau pada waktu itulah mereka berhubung erat dengan Syeikh Tahir Jalaluddin, kerana Syeikh Tahir Jalaluddin adalah menantu Syeikh Muhammad bin Syeikh Ismail Minangkabau itu.

Raja Haji Umar tidak sempat belajar kepada Syeikh Muhammad bin Syeikh Ismail Minangkabau, tetapi sempat belajar kepada Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Ismail al-Minankabawi. Walau bagaimana pun diriwayatkan Raja Haji Umar dan saudara-saudaranya selama berada di Mekah lebih banyak belajar kepada dua orang ulama yang berasal dari Patani, iaitu Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani dan Syeikh Ahmad al-Fathani. Selanjutnya Syeikh Ahmad al-Fathani mengirim Raja Haji Umar belajar ke Mesir.

Di antara sahabat Raja Haji Umar bin Raja Haji Hasan sewaktu belajar di Mekah ialah Haji Wan Ismail bin Syeikh Abdullah al-Fathani, iaitu anak saudara Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani. Kedua-dua ulama Riau dan Patani itu akhirnya berbiras, kerana kedua-dua isteri mereka adalah adik beradik. Kedua-duanya berjuang menyebarkan ilmu melalui Mathbaah Al-Ahmadiah Singapura.

Aktiviti dimulai dengan perlantikannya sebagai Mudir atau istilah lain digunakan juga Manager Mathba'ah Al-Ahmadiah Singapura yang pertama. Syarikat tersebut diasaskan oleh beberapa orang Kerabat Diraja Riau, syarikat induknya berpusat di Pulau Midai, Pulau Tujuh, Kepulauan Riau dengan nama Syarkah Al-Ahmadi & Co. Midai (1324 H/1906 M). Raja Haji Umar dilantik dalam syarikat itu adalah atas kehendak saudara sepupunya Raja Ali (Tengku Selat) bin Raja Muhammad Tengku Nong dan pengasas syarikat itu Raja Haji Ahmad bin Raja Haji Umar/Tengku Endut.

Sebelum melanjutkan aktiviti Raja Haji Umar yang lain, di sini perlu juga disentuh status kepimpinan Ahmadiah ketika itu ialah di pusatnya di Pulau Midai digunakan istilah Wakil Kuasa Ahmadi & Co. Midai ialah Raja Kaluk. Beliau juga cucu Raja Ali Haji, ibunya bernama Engku Awan adalah anak perempuan Raja Ali Haji.Dalam masa yang sama terdapat dua orang Wakil Kuasa, yang seorang lagi ialah Raja Hasnan. Setelah kedua-duanya meninggal dunia digunakan istilah Kuasa Al-Ahmadi & Co. Midai, dipegang oleh Haji Abdullah bin Haji Wan Abdur Rahman. Untuk di Cawangan Singapura digunakan istilah Mudir atau Manager. Mudir atau Manager yang pertama Mathba'ah Al-Ahmadiah Cawangan Singapura ialah Raja Haji Umar bin Raja Haji Hasan. Untuk pengurusan di Mekah al-Mukarramah digunakan istilah Wakil Al-Ahmadiah di Mekah ditangani oleh Syeikh Abdullah Shamad al-Filfulani (berasal dari Pulau Pinang). Raja Ali/Tengku Selat adalah Ketua Syarkah Al-Ahmadi & Co. Midai dan Mathba'ah Al- Ahmadiah Cawangan Singapura, merupakan pimpinan yang tertinggi daripada Keluarga Diraja Riau itu, dalam bidang usaha niaga mulai Pulau Tujuh hingga Singapura ketika itu.

Atas usaha Raja Haji Umar itulah maka karangan-karangan yang berasal daripada keluarga Diraja Riau-Lingga dikumpulkan dan diterbitkan oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah yang mendapat restu daripada Raja Ali (Tengku Selat) dan Raja Haji Ahmad. Daripada semua yang telah dipaparkan di atas dapat diambil kesimpulan bahawa Raja Haji Umar bin Raja Haji Hasan adalah seorang ulama yang mahir dalam penyusunan pentadbiran kewiraswastaan usaha niaga yang bercorak Islam. Sekali gus beliau seorang tokoh yang pandai menilai sesuatu penulisan, pemikiran, sejarah dan khazanah yang dipandang perlu diselamatkan.

Selain aktif mengumpul dan menyelamatkan khazanah pemikiran kekeluargaan Riau-Lingga, Raja Haji Umar juga melibatkan diri dalam penulisan, di antaranya Jurnal Keluarga Riau (tidak sempat diterbitkan) yang mengandungi di antaranya perjalanan kewafatan Raja Badariyah binti Raja Haji Muhammad Tahir saudara sepupunya. Karyanya yang lain ialah Ibu Di dalam Rumah Tangganya. Dalam Natijah Al-Ahmadiah terbitan 1341 H/1922-1923 M Raja Haji Umar telah memuat salinan ilmu falakiyah karangan sahabatnya Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin.

WAFAT DAN KETURUNANYA

Raja Haji Umar meninggal dunia berdasarkan catatan Raja Ali (Tengku Selat) tertulis, "Dan pada 27 Rabiulawal 1347 bertepatan 12 September 1928 siang Arba' (Rabu, pen) pukul dua, lewat lima belas minit, waktu itulah berlaku kudrat Allah Taala atas Raja Haji Umar bin al-Marhum Raja Haji Hasan Riau kembali ke rahmatullah. Dikuburkan berhampiran dengan kubur Marhumah Raja Badariyah, Perkuburan Qasim Keling, Batu Enam Sigelap ...''

Raja Haji Umar bin Raja Hasan meninggalkan lima orang anak, ialah: Raja Muhammad Saleh, Raja Muhammad Shafik, Raja Muhsin, Raja Salamah (semuanya daripada satu ibu). Daripada isterinya yang bernama Raja Hajah Malihah binti Raja Haji Muhammad memperoleh seorang anak, ialah Raja Abdul Aziz al-Mursyidi.

Raja Muhammad Saleh adalah anak beliau yang tua yang bekerja di Al-Ahmadiah Press sejak masa jayanya hingga ke masa menurunnya perusahaan itu. Penulis mempunyai hubungan dekat dengan keluarga ini, oleh itu pertama kali sampai di Singapura pada tahun 1967 penulis menginap di rumahnya, di Lorong Engku Kadir, Kaki Bukit, Singapura. Pada waktu itu Al-Ahmadiah Press masih berjalan dengan lancar. Raja Muhammad Shafik bin Raja Haji Umar pernah berkhidmat kepada Pustaka Nasional Singapura.

Darah pengarang Raja Ali Haji turun kepada cucunya Raja Haji Umar bin Raja Haji Hasan dilanjutkan oleh Raja Abdul Aziz al-Mursyidi. Aziz al-Mursyidi mendapat pendidikan jurusan sastera Arab di Universiti al-Azhar. Artikel-artikelnya banyak dimuat dalam beberapa majalah terutama majalah Qalam. Sewaktu pertama sampai di Kuala Lumpur (1970) penulis menginap di rumahnya, di Jalan Intan, Gombak, penulis menggunakan kesempatan menanyakan beberapa kalimat sastera Arab kepada beliau, bererti penulis sebagai murid beliau. Pada waktu itu beliau jugaselaku penterjemah daripada bahasa Arab ke Melayu dan sebaliknya di radio dan televisyen Malaysia. Pertemuan terakhir antara beliau dengan penulis tahun 1978, dalam keadaan sakit dan selanjutnya meninggal dunia di Singapura, tanpa meninggalkan keturunan.

Sebagai penutup, " Kukhayalkan secebis kisah Aziz Mursyidi kelahiran Singapura, pernah tinggal di pulau kecil, terpencil, Pulau Midai. Menumpang tongkang berangkat ke Terengganu, ke Singapura terus ke Mekah dan Mesir mencari ilmu. Raja Ali Haji adalah moyangnya, dia adalah pewaris pujangga, dia dilupakan orang, namun padaku ada catatan.''

Al-Fatihah.......................
___________________________________________________

Inilah catatan Wan Mohd Saghir Abdullah r.a semasa hayatnya yang berjuang memertabatkan sejarah dan syiar islam di Nusantara, walaupun cuma sempat berjumpa sekali di ceramah maulidurrasul mendengar ceramah beliau, beliau ku anggap sebagai guruku dan idola ku sebagaimana kata Imam zaman Sidna ALi kr.wjh " Man allamani harfan soro lahu abdan"

Sumber dari bicara ugama 01/11/2004

Ahad

AHLI FALAK BERDARAH RAJA

Raja Muhammad Tahir Riau - Hakim Riau-Lingga dan ulama falakiah
ILMU Hisab dan Falakiah berkembang dalam kerajaan Riau-Lingga dimulai oleh Raja Ali Haji yang belajar daripada Saiyid Abdul Rahman bin Ahmad al-Mashri di Betawi. Apabila pujangga Riau itu ke Mekah mengikut orang tuanya, Raja Haji Ahmad pada tahun 1243 H/1817 M, Raja Ali Haji dan ayahnya mentahqiqkan pelbagai ilmu kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, termasuk Ilmu Hisab dan Falakiyah. Raja Ali Haji selain seorang pengarang, juga mengajar ilmu-ilmu keIslaman kepada kerabat-kerabatnya, di antara mereka yang menjadi ulama besar dan Hakim ialah Raja Haji Muhammad Tahir bin Raja Haji Abdullah (al-Marhum Mursyid).
Raja Haji Muhammad Tahir merupakan orang pertama di Riau yang menulis dalam bidang Ilmu Hisab dan Falakiyah sebagai dokumentasi. Kemunculannya boleh disenaraikan dalam golongan di antara orang-orang pertama melakukan penulisan ilmu itu di dunia Melayu.

Hal tersebut diakui, kerana pada peringkat awal memang tidak ramai ulama dunia Melayu melakukan penulisan ilmu tersebut, bahkan termasuk sampai ke zaman kita sekarang ini (1425 H/2004 M) sangat sedikit sekali yang menulis perkara itu. Walau bagaimanapun Syeikh Abbas Kuta Karang Aceh dan lain- lain telah mendahului Raja Haji Muhammad Tahir Riau. Naskhah hisab dan falak karya beliau hanyalah dapat diketahui dan dipelajari melalui salinan yang dibuat oleh putera beliau sendiri, iaitu Raja Haji Muhammad Sa'id, seorang ulama Riau-Lingga yang banyak menghasilkan karya. Oleh sebab asas Ilmu Hisab dan Falak telah dirintis oleh kedua-dua orang kerabat Diraja Riau-Lingga itu, ia memberi laluan mudah kepada Syeikh Tahir Jalaluddin al-Azhari memperkembangkan ilmu itu. Kerabat Diraja Riau-Lingga merupakan orang pertama memperkenalkan dan memperkembangkan karya-karya hisab dan falak Syeikh Tahir Jalaluddin itu melalui natijah-natijah yang mereka terbitkan di Singapura. Yang memperkenalkan karya Syeikh Tahir Jalaluddin al-Azhari itu masih keluarga dekat dengan ulama ini, di antara mereka ialah Raja Haji Umar bin Raja Haji Hasan dan Raja Haji Muhammad Arif bin Raja Haji Mahmud.

Ketokohan

Raja Haji Muhammad Tahir telah dikenali sebagai tokoh Thariqat Naqsyabandiyah al-Khalidiyah melalui beberapa jalur, ayahnya Raja Haji Abdullah Yang Dipertuan Muda Riau-Lingga ke-9 adalah seorang ulama pengamal thariqat, bahkan beliau digelar dengan Marhum Mursyid. Ketokohan beliau ini diakui oleh gurunya, Syeikh Ismail Minangkabau sebagai seorang Mursyid dalam Thariqat Naqsyabandiah al-Khalidiyah yang diamalkannya.

PENDIDIKAN

Sewaktu ayahnya, Raja Haji Abdullah membuat surat wasiat, 26 Zulhijjah 1276 H/1859 M, Raja Muhammad Tahir belum akil baligh lagi, sedangkan anaknya yang tua, Raja Haji Muhammad/ Tengku Nong berada di Mekah. Saudara tuanya, ialah Raja Haji Muhammad/ Tengku Nong yang telah diberi kepercayaan oleh ayahnya untuk mendidik Raja Muhammad Tahir. Raja Haji Muhammad/Tengku Nong sendiri sebelum ke Mekah telah mendapat pendidikan daripada ayahnya. Juga sewaktu di Riau-Lingga beliau diasuh oleh Syeikh Ismail Minangkabau hinggalah beliau berangkat ke Mekah mengikut ulama yang berasal dari Minangkabau itu. Raja Muhammad Tahir mendapat pelbagai ilmu daripada abangnya termasuklah Thariqat Naqsyabandiyah al-Khalidiyah. Beliau juga sempat belajar kepada Raja Ali Haji. Di antara pengetahuan yang dipelajarinya daripada Raja Ali Haji ialah Ilmu Bahasa Melayu, termasuk karang mengarang, Ilmu Sosiologi, Sejarah, Ilmu Hisab/Falak dan lain-lain lagi. Selepas itu Raja Haji Muhammad Tahir melanjutkan pelajarannya ke Mekah. Selama berada di Mekah beliau dalam pemeliharaan Syeikh Ismail Minangkabau dan keluarganya. Di antara guru-gurunya di Mekah ialah: Syeikh Ismail Minangkabau, Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki dan ramai lagi.

Kejayaan

Raja Haji Muhammad Tahir adalah seorang ulama besar kerajaan Riau-Lingga dalam masa transisi kejayaan kerajaan itu kepada masa kerajaan itu dimusnahkan oleh pihak penjajah Belanda. Walaupun keadaan pada ketika itu sangat mencabar, namun beliau masih sempat mendidik kaum kerabatnya mengenai ilmu-ilmu keIslaman. Dua orang anak beliau yang berilmu pengetahuan, Raja Haji Muhammad Sa'id dan Tengku Badariyah. Beliau jugalah sebagai pendidik anak saudaranya iaitu Raja Ali/Tengku Selat bin Raja Haji Muhammad/Tengku Nong. Raja Ali/Tengku Selat digelar masyarakat dengan ``Bapak Gembala Perniagaan Melayu''. Raja Haji Muhammad Tahir juga dikenali sebagai tokoh ``murabbir ruh'' (pendidik kerohanian). Beliau adalah Mursyid Thariqat Naqsyabandiyah al-Khalidiyah seperti orang tuanya, Raja Haji Abdullah/Marhum Mursyid. Ramai kerabat Diraja Riau-Lingga ditawajuh atau dibaiah oleh beliau sendiri, di antaranya termasuk putera beliau, Raja Haji Muhammad Sa'id, anak saudara beliau, Raja Ali/Tengku Selat, dan ramai lagi. Perkara ini jelas dalam sepucuk surat wasiat Raja Haji Muhammad Tahir kepada Raja Ali/ Tengku Selat itu. Kata beliau, "Sesungguhnya Raja Ali yang tersebut itu sebagai munassibku sebagaimana yang telah diijazahkan oleh saudaraku Raja Haji Muhammad yang tersebut itu atasku .''

PENULISAN DAN PEMIKIRAN

Raja Haji Muhammad Tahir tidak menghasilkan karangan, jika dibandingkan penulisan Raja Haji Muhammad Sa'id, putera beliau, ternyata puteranya itu lebih produktif. Yang dapat dikesan setakat ini ialah: 1. Naskhah Hisab. 2. Syair Pintu Hantu. Pada Naskhah Hisab beliau menggunakan nama lengkap Raja Haji Muhammad Tahir bin Almarhum Mursyid al-Khalidi. Pada penulis ada sebuah manuskrip yang merupakan salinan puteranya Raja Haji Muhammad Sa'id, tarikh 1 September 1910 M. Naskhah Hisab juga pernah dimuat dalam Natijah Al-Usrah, terbitan Mathba'ah Al-Usrah, 5-2 Palembang Road, Singapura, tahun 1336H/ 1917 M-1918 M. Dimuat lagi salinan Raja Haji Muhammad Sa'id yang tersebut.

Menyalin

Untuk menyemak pemikiran dan gaya bahasa Raja Haji Muhammad Tahir itu, dirasakan perlu menyalin mukadimah Naskhah Hisab itu, ialah, katanya, ``Kemudian daripada itu maka inilah natijah bagi tahun hijrah nabawiyah 1336 yang masuk ke dalamnya tahun milad 1917 dan 1918 melengkapi akan segala waktu sembahyang, dan menyatakan segala musim-musim, dan hari-hari besar dan lainnya sebagaimana yang dilihat di dalamnya.

Ada pun takwim sehari bulan yang di dalam natijah ini ialah atas hisab qamari yang hakiki, iaitu dihubungkan sehari bulannya apabila pada ketika masuk matahari maka bulan masih tertinggal di atas ufuk, padahal telah berhimpun bulan itu dengan matahari pada ketika siangnya. Syahdan segala auqat (waktu-waktu, pen:) ini atas hisab zaman wusta urufi, iaitu jam yang dipakai oleh orang putih. Permulaannya dari pukul 12 tengah malam. Adalah segala auqat ini bagi negeri-negeri yang hampir khatulistiwa dan bagi negeri-negeri yang aradnya 1 dan 2 darjat ke Utara, iaitu seperti: Riau, Singapura, Johor, Batu Pahat, Muar, Melaka, Kampar, Siak, Pontianak, Sambas, Mempawah, Sarawak, Siugu, Padang Sidempuan, Rawa, Ternate, Sintang, dan negeri-negeri yang bersamaan dan berhampiran aradnya dengan dia. Maka bolehlah beramal dengan dia pada negeri-negeri arad satu darjat dan dua darjat ke Selatan. Dan negeri-negeri yang aradnya tiga, empat dan lima darjat ke Utara dan ke Selatan dengan syarat berihtiyathlah masing-masing ahli negeri itu sekadar lima minit hingga lapan minit. Ada pun negeri-negeri yang memakai jam negeri asing itu, maka sayugianya memakai tafawut di antara dua taul. Pada tiap-tiap satu darjat tafawutnya empat minit. Jika negeri yang diikut jamnya itu sebelah Barat, yang negerinya sebelah Timur, maka ditambah. Dan jika negeri yang diikut jamnya itu di sebelah Timur dan negerinya di sebelah Barat maka dikurangkan. Seperti: Melaka mengikut jam Singapura (sebelah Timur Melaka). Singapura taulnya 108.51 darjat, Melaka taulnya 102.15 darjat tafawut taulnya 1.36. 1.36 darjat kali empat minit sama dengan 6.24 minit (iaitu pukul 12 Singapura sama dengan 12.06 Melaka). Tersalin daripada: Naskhah Hisab Raja Haji Muhammad Tahir bin Almarhum Mursyid. Oleh Muhammad Sa'id bin Muhammad Tahir Riau Singapura, 14 Mei 1917 M.''

Demikianlah transliterasi mukadimah Naskhah Hisab karya Raja Haji Muhammad Tahir pada Natijah Mathba'ah Al-Usrah, 1336 H/1917-1918 M. Kandungannya pula banyak perkara-perkara yang menarik sebagai contoh pada halaman 32 pengarangnya mencatatkan bahawa sampai Muharam 1336 H bersamaan Oktober 1917 M, ``... telah lalu dari masa turun Nabi adam a.s. daripadanya syurga 8195 tahun.''

Naskhah Hisab karya Raja Haji Muhammad Tahir yang disalin oleh Mudir Mathba'ah Ahmadi, 50 Minto Road, Singapura, 15 Ogos 1920, lain pula kandungannya dengan salinan di atas sesudah mukadimah lalu membicarakan judul Gerhana Bulan Gelap selanjutnya tertulis, ``Berlaku hikmah al-Ilahiyah, dan harakat falakiyah, dan qawaid hisabiyah dengan bahawasanya menengahi bumi antara jirim bulan dan matahari pada 15 Safar, malam Khamis, sanah 1338 berbetulan 27 Oktober tahun 1920, gerhana bulan gelap. Permulaan gerhana pukul 7.46. Permulaan gelap pukul 9.02. Pertengahan gelap pukul 9.37. Permulaan terang pukul 10.12. Kesudahan gerhana pukul 11.27.''

Memperkenalkan

Transliterasi yang bersumber daripada kedua-dua salinan karya Raja Haji Muhammad Tahir Riau di atas adalah bertujuan memperkenalkan jalan ilmiah dan gaya bahasa ulama silam kita mengenai ilmu yang kurang diminati orang. Jika membicarakan kandungan kedua-dua sumber tersebut, maka ruangan yang diperuntukkan tidak cukup memadai. Oleh itu memperkenalkan ini lebih lengkap perlu difikirkan.

Selain karya Raja Haji Muhammad Tahir Riau yang disebutkan di atas barangkali masih ada karya beliau belum diketahui. Saya mempunyai sebuah surat wasiat beliau kepada saudaranya Raja Ali/Tengku Selat juga boleh dianggap sebagai satu karya tulisannya.

KETURUNAN

Putera Raja Haji Muhammad Tahir yang menjadi ulama besar ialah Raja Haji Muhammad Sa'id (wafat di Singapura, 11 Safar 1338 H/4 November 1919 M) dan Tengku Badariyah (wafat di Singapura, 10 Rabiulawal 1347 H/26 Ogos 1928 M). Raja Haji Muhammad Sa'id adalah seorang ulama besar Riau-Lingga mendapat pendidikan di Mekah dan Tengku Badariyah adalah seorang tokoh perempuan Riau-Lingga yang mahir berbahasa Arab, baik percakapan mahupun penterjemahan. Kedua-dua mereka akan dibicarakan dalam artikel yang tersendiri.

Sumber tulisan Almarhoum Wan Mohd Saghir 25/10/2004
___________________________________________________

Ya Allah....berkatilah masa dan waktu ku...amin

Jumaat

RAJA ALI KELANA TOKOH INTELEKTUAL MELAYU

Raja Ali Kelana - Ulama pejuang Riau dan Johor
Nama lengkapnya Raja Ali Kelana bin Sultan Muhammad Yusuf al-Ahmadi (Yamtuan Muda ke-10, 1858 Masihi - 1899 Masihi) bin Raja Ali (Yamtuan Muda ke-8, 1844 Masihi - 1857 Masihi) bin Raja Jaafar (Yamtuan Muda ke-6, 1808 Masihi - 1832 Masihi) bin Raja Haji asy-Syahidu fi Sabilillah (Yamtuan Muda ke-4, 1777 Masihi - 1784 Masihi) bin Upu Daeng Celak (Yamtuan Muda ke-2, 1729 Masihi - 1746 Masihi). Daripada nama-nama tersebut dapat disimpulkan bahawa lima orang Yamtuan Muda mulai ayah hingga ke atas adalah pertalian lurus pada Raja Ali Kelana. Raja Ali Kelana tidak sempat menjadi Yamtuan Muda kerana kerajaan Riau-Lingga dimansukhkan oleh penjajah Belanda dan sultan terakhir Sultan Abdur Rahman Muazzam Syah, adik beradik dengan Raja Ali Kelana hijrah ke Singapura (1911 Masihi).

Perlu dicatatkan di sini bahawa mulai Yamtuan Muda yang pertama (Upu Daeng Merewah) tahun 1722 Masihi sampai tahun 1825 Masihi (masa pemerintahan Raja Jaafar Yamtuan Muda ke-6) bernama Kerajaan Riau-Lingga-Johor dan Pahang dan takluknya. Mulai tahun 1844 Masihi sampai tahun 1911 Masihi bernama Kerajaan Riau-Lingga dan takluknya.

* Sebelum ini ada di hikayatkan tentang kisah Sultan Alauddin Sulaiman Syah sebagai seorang pemerintah yang terlalu amat mengasihi ulama, khususnya Tengku Mahmud Zuhdi yang dilantik sebagai Syeikhul Islam Selangor dan anak beliau Syeikh Muhammad yang dihantar ke Jambi dan dikenali sebagai ulama jubah hitam, baginda jika disusur-galur leluhur keturunannya dengan Raja Ali Kelana akan bertangkup di Upu Daeng Celak, kerana Raja Lumu yang memerintah Selangor sekitar (1743-1766) dan Raja Haji asy-Syahidu fi Sabilillah kedua-duanya ber'abun'kan Upu Daeng Celak.

Pangkat

Barangkali di dalam kerajaan Melayu yang memperoleh pangkat atau gelar 'Kelana' hanya disandang oleh keturunan raja Bugis di dalam kerajaan Riau-Lingga, sekurang-kurangnya yang paling terkenal dengan gelar itu ialah Raja Haji asy-Syahidu fi Sabilillah. Yang dimaksudkan dengan 'Kelana' ialah sebagai petanda calon untuk menjadi Yang Dipertuan Muda atau Yamtuan Muda. Raja Ali Kelana wafat pada hari Ahad, pukul 8.00 pagi di rumahnya di Jalan Teberau, Johor Bahru pada 10 Jamadilakhir 1346 Hijrah/4 Disember 1927 Masihi

PENDIDIKAN

Pendidikan asas Raja Ali Kelana dalam bidang Islam, bahasa Melayu, bahasa Arab, adat istiadat kebangsawanan Melayu dan undang-undang kepemerintahan adalah diperoleh di Riau. Di Riau pada zaman kanak-kanaknya sangat ramai ulama dan cendekiawan, sama ada yang berasal dari Riau seperti Raja Ali Haji yang sangat terkenal, mahu pun yang datang dari luar. Sewaktu Raja Ali Kelana akan ke Mesir, beliau singgah di Mekah dan sempat memperdalam pelbagai pengetahuan daripada Syeikh Ahmad al-Fathani, Sayid Abdullah az-Zawawi dan lain-lain.

Setelah selesai mengerjakan haji pada tahun 1322 Hijrah/Februari atau Mac 1905 Masihi, Raja Ali Kelana menerima baiah Thariqat Naqsyabandiyah Mujaddidiyah Ahmadiyah Muzhhariyah daripada keluarga az-Zawawi, sekali gus beliau juga sebelum itu beramal dengan Thariqat Naqsyabandiyah al-Khalidiyah daripada Syeikh Ismail bin Abdullah al-Minankabawi. Dengan baiah atau tawajjuh, Raja Ali Kelana juga diberi gelar dihujung namanya dengan 'al-Ahmadi' sebagaimana gelar yang pernah diberikan kepada ayahnya, Sultan Muhammad Yusuf al-Ahmadi. Yang dimaksudkan dengan 'al-Ahmadi' pada gelaran tersebut ialah dibangsakan kepada mujaddid (penemu sesuatu yang baru) Thariqat Naqsyabandiyah bernama Sayid Ahmad al-Muzhhar. Jika bergelar 'al-Khalidi' adalah dibangsakan kepada mujaddidnya yang bernama Syeikh Khalid al-Kurdi.

AKTIVITI

Organisasi yang pertama didirikan oleh orang Melayu ialah Jamiyatul Fathaniyah oleh Syeikh Ahmad al-Fathani di Mekah (1290 Hijrah/1873 Masihi) yang diikuti oleh murid-murid beliau dengan mendirikan pelbagai organisasi. Murid-murid Syeikh Ahmad al-Fathani di Riau termasuk Raja Ali Kelana mendirikan Jamiyatul Rusydiyah atau Rusydiyah Klab, 1298 Hijrah/1880 Masihi. Oleh orang-orang yang sama di Riau juga diasaskan Jamiyatul Khairiyah.

Raja Ali Kelana pernah menerima perlantikan daripada Syeikh Ahmad al-Fathani supaya bergerak dalam bidang percetakan untuk kawasan Singapura dan Riau yang berpusat di tempat pemerintah Riau-Lingga dijalankan, sedang Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani untuk kawasan Kelantan dan Patani yang berpusat di Kota Bharu Kelantan.

Dalam catatan didapati bahawa Raja Ali Kelana beberapa kali mengikut Syeikh Ahmad al-Fathani ke Istanbul, Turki-Usmaniyah kerana urusan diplomatik politik dalam rangka membebaskan dunia Melayu daripada segala macam bentuk penjajahan. Kepergiannya ke Turki yang dapat dicatat, antaranya pada tahun 1301 Hijrah/1883 Masihi, 1312 Hijrah/1895 Masihi dan setelah selesai mengerjakan haji pada akhir tahun 1322 Hijrah/Februari atau Mac 1905 Masihi atau Muharam 1323 Hijrah/ Februari atau Mac 1905 Masihi.

Setelah Syeikh Ahmad al-Fathani meninggal dunia, Raja Ali Kelana pergi ke Turki lagi pada tahun 1913 Masihi. Keberangkatan ke Turki itu dengan persetujuan antara Raja Ali Kelana dan Raja Khalid Hitam (cucu Raja Ali Haji), seorang ke Turki dan seorang lagi ke Jepun. Raja Khalid Hitam dalam tahun itu juga (1913 Masihi) berangkat ke Jepun untuk yang kedua kalinya. Pertama kali ke Jepun pada tahun 1911 Masihi. Sama ada ke Turki atau ke Jepun, tujuannya adalah mencari sokongan untuk mengembalikan kesultanan Riau-Lingga yang telah dimansukhkan oleh penjajah Belanda.

Pada tahun 1324 Hijrah/1906 Masihi, Syarikat Al-Ahmadi didirikan oleh Raja Haji Ahmad bin Raja Haji Umar dan kerabat kerajaan Riau di Pulau Midai, Pulau Tujuh, yang direstui oleh Sultan Abdur Rahman Muazzam Syah, Sultan Riau-Lingga. Tidak berapa lama setelah syarikat itu diasaskan atas titah Sultan Riau-Lingga supaya Raja Ali Kelana (saudara Sultan) mengeluarkan modal bersama membeli sebuah kapal yang dinamakan 'Kapal Karang'. Kapal tersebut beroperasi mengangkut kelapa kering, hasil bumi lainnya dan hasil laut dari Pulau Tujuh ke Singapura dan sebaliknya dari Singapura ke Pulau Tujuh membawa semua barangan keperluan harian, terutama makanan dan pakaian. Tentang ini disebut oleh Raja Haji Ahmad di Singapura dalam surat kepada saudara sepupunya, Haji Abdullah bin Haji Wan Abdur Rahman (ayah penulis), Kuasa Ahmadi & Co. Midai diPulau Midai.

Cawangan

Selain bergerak dalam perkapalan dan pengangkutan, Raja Ali Kelana adalah pemilik Syarikat Batam Bricks Works Limited yang bergerak dalam pemprosesan batu-bata di Pulau Batam, Riau. Syarikat itu mempunyai cawangan dan berpejabat di Singapura. Gerakan niaga Raja Ali Kelana mengalami kerugian besar dan berakhir pada tahun 1329 Hijrah/1911 Masihi. Kejatuhan perniagaan dan termasuk tekanan pihak penjajah Belanda terhadap Raja Ali Kelana merupakan sebab beliau pindah ke Johor. Di Johor beliau dilantik sebagai Syaikhul Islam Kerajaan Johor.

PENULISAN

1. Pohon Perhimpunan Pada Menyatakan Peri Perjalanan, diselesaikan pada hari Sabtu, 23 Ramadan 1313 Hijrah/6 Mac 1896 Masihi. Kandungannya merupakan laporan perjalanan Raja Ali Kelana bersama conteleur Belanda ke Pulau Tujuh. Dimulai catatan ketika berangkat dari pelabuhan Tanjungpinang, hari Rabu 6 Ramadan 1313 Hijrah/19 Februari 1896 Masihi dan diakhiri dengan tiba kembali di pelabuhan yang sama pada hari Sabtu pukul 5.00 petang, 23 Ramadan 1313 Hijrah/6 Mac 1896 Masihi. Dicetak oleh Maktabah wa Mathba'ah ar-Riyauwiyah, Pulau Penyengat, 1315 Hijrah/1897 Masihi.

2. Perhimpunan Pelakat, diselesaikan pada tahun 1316 Hijrah/1899 Masihi. Kandungannya mengenai peraturan yang telah dimasyarakatkan antara Kerajaan Riau-Lingga dengan Gubernemen Hindia-Nederland dari tahun 1286 Hijrah hingga tahun 1307 Hijrah. Dicetak oleh Mathba'ah ar-Riyauwiyah, Pulau Penyengat, 1317 Hijrah. Karya pertama dan kedua ini telah ditransliterasi daripada Melayu/Jawi ke Latin/Rumi oleh Hasan Junus dimuat dalam karyanya berjudul Pendokumentasian Naskah Kuno Melayu dan Kajian Khusus, diterbitkan oleh Pemerintah Daerah Tingkat I Propinsi Riau, Proyek Inventarisasi dan Dokumentasi Kebudayaan Daerah Riau Pekan Baru, 1993.

3. Bughyatul Ani fi Hurufil Maani, diselesaikan tidak diketahui tarikh. Kandungannya membicarakan tatabahasa. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 50 Minto Road, Singapura, 1341 Hijrah/1922 Masihi

4. Rencana Mudah Pada Mengenal Diri Yang Indah, diselesaikan di Johor Bahru, pada 3 Rejab 1344 Hijrah/17 Januari 1926 Masihi. Kandungannya adalah pelajaran tasawuf yang ditulis dalam bentuk soal jawab. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 50 Minto Road, Singapura, 1344 Hijrah yang dibenarkan mencetak kepada Sahal bin Ahmad.

5. Kesempurnaan Yang Lima Bagi Islam Menerima, diselesaikan di Bukit Kenangan, Negeri Johor Bahru pada 3 Jamadilakhir 1345 Hijrah/8 Disember 1926 Masihi. Kandungannya, pelajaran fardu ain. Dicetak oleh Maktabah wa Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura, 27 Ramadan 1345 Hijrah.

6. Kumpulan Ringkas atau judul yang lebih lengkap diungkapkan dalam bentuk bersajak Kumpulan Ringkas * Berbetulan Lekas Pada Orang Yang Pantas * Dengan Fikiran Yang Lintas, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan. Kandungannya, terkumpul di dalamnya 31 keringkasan yang terdiri daripada 160 perbicaraan. Sub judul yang penting yang jarang dibicarakan tetapi termaktub dalam karya ini antaranya ialah Pada Menyatakan Kelebihan Akal, Jadi Bekal, Pada Menyatakan Berhimpun Bersatu Dengan Pengetahuan, Berpegang Kukuh Oleh Bangsawan, Pada Menyatakan Tawarikh Segala Raja-Raja Dahulu Kala, Pada Menyatakan Sultan Yang Ada Sekarang, Daripada Ayah-Bundanya Terang, Pada Menyatakan Asal Melayu Diambil Dalil, Daripada Al-Marhum Abdul Jalil, Pada Menyatakan Sebab Gelar Upu Kelana Dengan Shahihah, Yang Dipertuan Muda Sultan Alauddin Syah, Pada Menyatakan Hikayat Yang Keempat Ditanya Orang, Akan Aristotales Dijawab Terang, Pada Menyatakan Hikayat Yang Keenam, Cetera Iskandar Muda Elok Ditanam, Pada Menyatakan Hikayat Yang Kesembilan, Yang Dikehendaki Bagi Sultan, Pada Menyatakan Hikayat Yang Kesepuluh Pada Perjalanan, Menteri Yang Elok Diperkenan, Pada Menyatakan Hikayat Yang Kesebelas Menteri Terpuji, Sunyi Mendapat Nama Yang Keji, Pada Menyatakan Hikayat Yang Kedua belasnya, Peri Berubah Niat Rajanya, Pada Menyatakan Hikayat Yang Ketiga belas, Menter Khianat Lagi Pemulas. Ringkasan Yang Ke-30 dan Ringkasan Yang Ke-31 diungkapkan dalam bentuk puisi/syair.

Intelektual

Cetakan pertama Mathba'ah Al-Imam, No. 26 Robinson Road, Singapura, 1328 Hijrah. Cetakan yang kedua diusahakan oleh Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur 1420 Hijrah/1999 Masihi.

Artikel ini penulis tutup dengan pandangan bahawa walaupun Raja Ali Kelana seorang tokoh intelektual Islam pada zamannya, namun beliau tetap berada di dalam lingkungan 'Kaum Tua', berbeza dengan Sayid Syeikh al-Hadi dan Syeikh Tahir Jalaluddin, kedua-duanya terkenal sebagai pelopor 'Kaum Muda'. Sama ada Sayid Syeikh al-Hadi mahu pun Syeikh Tahir Jalaluddin adalah tokoh yang sangat erat hubungannya dengan Raja Ali Kelana, berbeza dalam pemikiran keIslaman tetapi bersatu untuk kepentingan umum dan kemaslahatan.

Artikel ini diambil dari karya Muarrikh Zaman Syeikh Wan Muhammad Saghir dalam utusan malaysia bertarikh 12/07/2004