Kebanyakan artikel disini adalah karya Al-Marhoum Tuan Guru Syeikh Wan Mohd Shaghir Abdullah R.A cucunda kepada Tuan Guru Syeikh Ahmad Al-Fathanie, juga dari akhbar2 nasional yang lain dan laman2 web yang bertebaran di alam maya juga disaduri macam2 hikayat,riwayat,kaifiat dan khasiat keemasan saya himpun dan susun sebagai koleksi peribadi dan bagi tatapan dan santapan rohani buat teman-teman yang sudi...himpunan artikel2 terbaru saya sekarang lebih muyul kepada informasi kesihatan ala muslim-jawi kearaban..... dan saya mula berjinak2 dengan jualan secara online produk kesihatan muslim, khasnya peralatan bekam (Set cawan, jarum dan pen bekam) dan khidmat pembekaman, Sudi-sudilah ziarah dan sudikan tinggal komentar anda. TQ
Memaparkan catatan dengan label Ulama Johor. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ulama Johor. Papar semua catatan

Jumaat

DATUK ABDULLAH MUSA MUFTI JOHOR YANG BERBUDI BAHASA

Datuk Abdullah Musa - Mufti dan Hakim Besar Johor
Koleksi Almarhoum Syeikh W.Mohd Saghir r.a

Datuk Hj. Abdullah bin Musa(1899 – 1907) mufti kedua Kerajaan Islam Negeri Johor


DALAM artikel yang lalu terdapat artikel bercerita tentang budi bahasa. Guru yang berbudi dan murid yang berbahas. Budi bahasa yang dibicarakan adalah surat daripada seorang ulama kepada seorang raja. Artikel ini dimulai dengan membicarakan surat daripada seorang pembesar kepada seorang ulama. Pembesar yang dimaksudkan ialah Datuk Mufti dan Hakim Besar Johor, beliau ialah Datuk Paduka Mahkota Johor Abdullah bin Musa.

Dalam koleksi catatan dan surat-surat Syeikh Ahmad al-Fathani terdapat maklumat mengenai beliau.

Sepucuk surat daripadanya ditujukan kepada Syeikh Wan Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani dan Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, surat tersebut bertarikh 25 Safar 1321 H/22 Mei 1903 M. Beliau menyebut Syeikh Muhammad Zain al-Fathani sebagai Hadhrat Ayahanda dan untuk Syeikh Ahmad al-Fathani dengan panggilan Hadhrat Al-Fadhil Kakanda. Sama ada Syeikh Wan Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani mahu pun Syeikh Ahmad al-Fathani (yang disurati), kedua-duanya adalah tokoh yang banyak berjasa dalam pembentukan watak Abdullah bin Musa. Pergaulan antara mereka memakan masa yang agak panjang, iaitu sama ada mereka berada di Patani dan Kelantan sehinggalah mereka berpindah ke Mekah. Hubungan pertalian kekeluargaan dan rangkaian ilmu, sama ada yang bercorak zahiri mahu pun yang bercorak batini tiada dapat dipisahkan. Oleh itu ilmu-ilmu yang berasal daripada ayah dan anaknya itu dipegang kejat-kejat oleh Abdullah dari sejak muda hinggalah beliau memperoleh kedudukan yang demikian tinggi di Kerajaan Johor.

Abdullah sungguhpun mendapat kedudukan yang tinggi di Johor, sebenarnya berasal dari Kelantan. Nampaknya memang ramai ulama Kelantan yang pernah menjadi mufti di luar Kelantan, di antaranya Wan Muhammad menjadi Mufti Perak yang pertama. Ismail bin Abdul Majid pernah menjadi Mufti Kerajaan Pontianak, Haji Abdur Rahman bin Husein pernah menjadi Mufti Kerajaan Mempawah, dan ramai lagi.

PENDIDIKAN

Abdullah berasal dari Kelantan, kelahiran Pasir Pekan, Syawal 1279 H/April 1863 M. Biografi Abdullah juga belum banyak ditulis orang, maka riwayat ringkas mengenai beliau dijelaskan sebagai yang berikut: Pendidikan awalnya di beberapa pondok di Patani, merupakan kader Pondok Bendang Daya. Syeikh Muhammad Zain (Tok Wan Din) al-Fathani yang tersebut adalah salah seorang gurunya sewaktu berada di Pondok Bendang Daya, dan Abdullah belajar lagi kepada beliau sewaktu di Mekah.

Di antara yang seangkatan dengan Abdullah sewaktu belajar di Bendang Daya ialah Ismail bin Mustafa al-Fathani (Cik Doi Kedah), Muhammad Husein bin Abdul Lathif al-Fathani/Tok Kelaba, Kadi Muhammad Sa'id Umar Kedah, Syeikh Daud bin Mustafa al-Fathani (Tok Cik Wan Daud al-Fathani), dan ramai lagi.

Sewaktu melanjutkan pelajaran di Mekah Abdullah belajar kepada ramai ulama. Ulama-ulama yang berasal dari dunia Melayu di antaranya: Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani, dan gurunya yang terakhir adalah Syeikh Ahmad al-Fathani.

Selain belajar kepada ulama-ulama yang berasal dari dunia Melayu, Abdullah juga belajar kepada ulama-ulama bangsa Arab yang terkenal pada zaman itu, di antara mereka ialah Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Syeikh Abu Bakri Syatha, dan lain-lain. Ilmu khusus dalam bidang pentadbiran, siasah (politik), dan lain-lain yang bersangkutpaut pada kemaslahatan dunia, Abdullah hanyalah menerima pelajaran daripada Syeikh Ahmad al-Fathani bukan kepada ulama-ulama lainnya.

Mengajar

Abdullah pulang ke Kelantan mendapat arahan daripada Syeikh Ahmad al-Fathani supaya menyebarkan ilmu ke Tanah Jawi, lalu berpindah pula ke Johor pada 22 Disember 1882 M. Di Johor beliau mulai mengajar kitab secara berpindah-pindah dari satu tempat ke tempat yang lain. Banyak masjid dan surau tempat beliau mengajar. Pada 22 Mac 1886 M. beliau pulang ke Kelantan dan pada 10 April 1886 M. atas permintaan murid-muridnya di Johor, maka Abdullah kembali ke Johor lagi.

Pelantikan Abdullah sebagai Hakim Besar Johor dan berikutnya sebagai Datuk Mufti Johor di sebut oleh Abdul Rahman Al-Ahmadi dalam buku, Tokoh dan Pokok Pemikiran Tok Kenali diterbitkan oleh Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan Malaysia, 1983, hlm. 47 - 48 bahawa pada 22 Jun 1887 dilantik oleh Sultan Johor sebagai Hakim Besar Kerajaan Johor. Bererti jawatan sebagai Hakim Besar Johor lebih dulu disandangnya daripada Mufti Datuk Kerajaan Johor. Kariernya terus naik, dua tahun kemudian tepatnya pada 9 Mac 1889 dilantik pula sebagai Mufti Kerajaan Johor. Walau bagaimanapun tarikh ini berbeza dengan tulisan Othman Ishak dalam bukunya, Fatwa Dalam Perundangan Islam, terbitan Fajar Bakti, Kuala Lumpur, 1981, hlm. 31 bahawa Abdullah berkhidmat dari tahun 1899 hingga 1907, sebagai mufti yang kedua. Mufti Johor yang pertama ialah Datuk Syed Salim bin Ahmad al-Attas yang berkhidmat dari tahun 1896 hingga tahun 1899. Yang disebut oleh Othman Ishak ada persamaan dengan Buletin Majlis, terbitan Majlis Agama Islam Johor, bil. 18, 1424 H./ 2003 M., hlm. 7, yang menyebut tentang Mufti Johor 1895 - 2004 M., bahawa mufti yang pertama Datuk Syed Salim bin Ahmad al-Attas tahun 1895 - 1899 M. Mufti yang kedua, ialah Abdullah tahun 1899 - 1907 M. Daripada pertikaian penulisan yang tersebut di atas saya berpendapat bahawa kemungkinan Abdullah dilantik menjadi Mufti Johor dua kali. Yang pertama ialah 9 Mac 1889 M hingga tahun 1895 M. Sesudahnya ialah Datuk Syed Salim bin Ahmad al-Attas, sesudah itu Abdullah dilantik lagi untuk menjadi Mufti Johor untuk yang kedua kali pada tahun 1899 - 1907 M. Oleh sebab terjadinya maklumat yang berbeza seperti yang tersebut di atas, penelitian yang lebih kemas perlu dijalankan. Mufti Kerajaan Johor sesudah Abdullah (pelantikan kedua) ialah Datuk Syed Abdul Kadir bin Mohsin al-Attas tahun 1907 - 1933 M. dan seterusnya sehinggalah Mufti Johor yang sekarang Datuk Nooh bin Gadot yang dilantik tahun 1999 M. hingga sekarang. Jika kita perhatikan pelantikan kedua Abdullah (1899 - 1907 M) hingga pelantikan Datuk Nooh bin Gadot (1999 - 2005 M) mengambil jarak waktu sekitar lebih kurang 100 tahun.

Abdullah wafat pada malam Jumaat, 19 Ramadan 1325 H./25 Oktober 1907 M. mendahului gurunya Syeikh Muhammad Zain dan Syeikh Ahmad al-Fathani sekitar lebih kurang tiga bulan.

BUDI BAHASA PERSURATAN

Pada mukadimah telah disentuh perkara `budi bahasa'. Oleh sebab budi bahasa baru-baru ini termasuk anjuran kerajaan, maka beberapa contoh kalimat yang mengandungi unsur budi bahasa dirasakan perlu memperkenalkannya. Di antara kalimat Abdullah yang berunsurkan budi bahasa seperti kata beliau, ``Sangatlah lama adinda tiada menulis kepada Hadhrat Ayahanda al-Haji Wan Muhammad Zain, demikian jua kepada Hadhrat Kakanda (maksudnya Syeikh Ahmad al-Fathani, pen:), maka iaitu semata-mata menunjukkan atas kebebalan dan kurang budi adinda jua. Daripada sebab itu haraplah adinda kiranya yang demikian itu dimaafkan.''

Tawaduk

Daripada kalimatnya ``...maka iaitu semata-mata menunjukkan atas kebebalan dan kurang budi adinda jua ...'' mencerminkan bahawa Abdullah seorang yang tawaduk dan tidak membesarkan diri. Sifat tawaduk, tidak membesarkan diri termasuk dalam kategori sifat mahmudah (sifat terpuji) yang dalam hal ini termasuk dalam golongan budi bahas. Beliau lama tidak berkirim surat kepada kedua-dua gurunya, melambangkan terputusnya hubungan silaturahim. Putus hubungan silaturahim bererti adalah sangat dicela oleh agama Islam. Secara terus terang mengaku kelemahan dan kesalahan dirinya, dengan kalimatnya, ``...menunjukkan atas kebebalan dan kurang budi adinda jua ...'' Jika kita bandingkan dengan kebanyakan orang pada zaman kita apabila mereka tidak dapat menghubungi keluarga atau pun teman dekat atau lainnya, mereka akan memberi alasan `kerana sibuk', atau pun beribu-ribu macam dalih. Sebenarnya kerana rendahnya budi bahasa sangat ramai orang sanggup mengabaikan hubungan dengan kedua-dua ibu bapanya.

Kalimat di bawah ini juga mencerminkan kehalusan budi bahasa Abdullah, kata beliau, ``Dan lagi adinda harapkan kiranya kakanda berbuat kasihan dan tolong memberi sedikit kenyataan beberapa lagi baki hutang al-Haji Ya'qub Kangkung, Kelantan kepada ayahanda dahulu itu kerana hutang itu adinda telah sanggup hendak membayarkan ...'' Daripada kalimat ini dapat diambil beberapa kesimpulan bahawa Abdullah seorang yang pengasih terhadap sesama Islam, kerana mungkin meresapnya ajaran tentang sesama Islam itu adalah bersaudara. Langkah membayar hutang orang lain, yang telah meninggal dunia pernah diamalkan oleh para sahabat Nabi Muhammad s.a.w. Perkara yang lain pula, Abdullah kemungkinan dapat membayangkan bahawa orang yang tidak mahu membayar hutang ancamannya sangat keras, di antara amalannya tidak diterima oleh Allah s.w.t., amalan itu tergantung di antara bumi dan langit. Orang-orang yang berbudi bahasa apabila dia berhutang, di dalam hati tetap berazam untuk membayar hutang. Hanya orang-orang yang tidak berbudi bahasa saja yang senantiasa berbelit-belit mengelak membayar hutang.

Daripada contoh budi bahasa dalam persuratan yang dilakukan oleh Abdullah di atas, memandangkan kedudukan beliau sebagai seorang Hakim Besar dan Mufti sangat menarik untuk diberi sedikit komentar.

Komentar dari Almarhoum SW.Mohd Saghir

Hampir semua orang tahu bahawa seorang hakim kerjanya ialah memutuskan sesuatu perkara di mahkamah atau pengadilan. Dalam ajaran Islam seorang hakim wajib menghukum dengan adil. Hakim yang tidak adil ancamannya adalah neraka. Pengertian mufti pula ialah orang yang dapat memberi fatwa dengan tepat dan betul menurut al-Quran, hadis, ijma' dan qiyas. Seseorang mufti yang memberi fatwa sesuai dengan kehendak syarak diberi pahala. Sebaliknya fatwa yang tidak betul juga diancam dengan hukuman keras di akhirat kelak. Daripada budi bahasa yang terdapat pada surat tersebut, kita dapat membayangkan Abdullah sama ada kedudukan beliau sebagai Hakim Besar mahu pun sebagai mufti, beliau berpegang teguh kepada ajaran Islam. Oleh itu kita wajib berbaik sangka, bukan sebaliknya. Kita berbaik sangka bahawa Abdullah menjalankan tugas dan memenuhi tanggungjawab yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Sangatlah kita harapkan terhadap semua orang yang berkedudukan seumpamanya berbuat demikian, mudah-mudahan kita terhindar daripada tindakan seseorang yang tidak berbudi bahasa sama ada dalam ucapan, persuratan mahu pun dalam tindakan kerana padah dan akibatnya sangat merugikan masyarakat.

Al-Fatihah..

Sumber utusan malaysia 07/03/2005
photo dari laman web
Senarai Mufti Johor

KIYAI SALLEH PANGLIMA SELEMPANG MERAH

ALLAHYARHAM TUAN HAJI KIYAI SALLEH PANGLIMA
BIN KARIM BERSAMA POLIS LAUT DIJOHOR. (pic from)

Pemimpin Tentera Selempang Merah banyak berjasa halang kekejaman askar PKM di Batu Pahat, Johor
"SEKIRANYA tiada Panglima Salleh, mungkin tidak ramai penduduk asal Batu Pahat dan Muar di Johor yang masih hidup ketika ini kerana mereka mungkin mati dibunuh komunis," demikian ulas penulis yang juga pakar motivasi, Dr HM Tuah Iskandar ketika mengenang kembali sejarah perjuangan Salleh Abdul Karim yang kini semakin dilupakan ramai pihak.

Beliau berkata, jasa Panglima Salleh amat besar malah mungkin setaraf dengan perjuangan tokoh terdahulu seperti Tok Janggut dan Mat Kilau tetapi melewati masa, nama pahlawan itu semakin dilupakan dan tidak mustahil akan hilang dalam catatan sejarah negara, suatu hari nanti.

"Walaupun tidak banyak catatan mengenai perjuangan dan kehidupan beliau yang direkodkan dalam sejarah tanah air, nama Panglima Salleh tetap kekal diingati dan disebarkan menerusi lisan oleh penduduk sekitar Batu Pahat dan Muar.

"Walaupun hampir setengah abad tokoh pahlawan itu meninggal dunia, kisah keperwiraan Panglima Salleh tetap diperturunkan daripada satu generasi ke generasi seterusnya di Johor dan semangat beliau dijadikan teladan buat anak muda hari ini," katanya.

Sememangnya benar berbanding dengan nama pahlawan lain seperti Datuk Bahaman, Datuk Maharajalela, Tok Gajah atau Leftenan Adnan, mungkin ramai tidak mengenali siapakah Salleh Abdul Karim yang turut digelar Panglima Salleh.

Sumbangan Panglima Salleh amat besar, ketika komunis mengganas dengan menyeksa dan membunuh kejam penduduk tempatan sekitar Batu Pahat dan Muar, tokoh itu bangun 'mengamuk' menentang pengkhianat negara itu bagi mempertahankan maruah bangsa.

Tentangan hebat diberikan Panglima Salleh dan pasukan 'Tentera Selempang Merah' yang ditubuhkannya menyebabkan nama tokoh itu digeruni komunis sehinggakan mereka tidak berani lagi bermaharajalela dan menganiaya penduduk sekitar daerah berkenaan sesuka hati.

"Apa yang mengagumkan saya adalah Panglima Salleh sanggup 'turun padang' untuk bertempur dan memerangi sendiri askar komunis, beliau tidak takut mati malah sanggup mempertaruhkan darah dan nyawanya sendiri demi membela agama dan bangsa," katanya.

Menyedari tidak banyak catatan mengenai jasa dan sejarah kehidupan Panglima Salleh yang direkodkan, Dr Tuah mengambil inisiatif mengkaji seterusnya mengabadikan kisah pejuang itu dalam bukunya 'Membina Jati Diri Gemilang'.

"Riwayat hidup Panglima Salleh bermula apabila beliau dilahirkan di Tanjung Olak Batu, Bukit Pasir, Muar pada 1916," kata Dr Tuah seterusnya memulakan kisah perjuangan Panglima Salleh menentang komunis demi membela agama, bangsa dan negara.

Keperwiraan Salleh mula diasuh sejak kecil apabila beliau mula menuntut ilmu kepahlawanan daripada beberapa pendekar di Pagoh antaranya Haji Hussein, Haji Alias, Haji Adam dan Haji Ahmad ketika beliau berusia 13 tahun.

Ketika usia mudanya itu, beliau dikenali sebagai seorang yang agak 'nakal'. Ada cakap-cakap mengatakan dia pernah mencuri, bagaimanapun dia menyara hidup dengan menjadi peraih yang mengutip tanaman penduduk kampung untuk dijual di Batu Pahat.

Akan tetapi, kehadiran tentera Jepun di Tanah Melayu pada 1941 mula menggugat kehidupannya lalu beliau berpindah ke Seri Medan yang menjadi lubuk Parti Komunis Malaya (PKM) seterusnya ke Parit Gantung, dekat Lopiak.

Pada zaman pemerintahan Jepun, komunis menerusi Malayan People Anti-Japanese Army (MPAJA) masih dianggap sebagai antara pejuang penentang penjajah Jepun di Tanah Melayu malah mereka turut mendapat sokongan rakyat tempatan.

Berikutan itu, Salleh dipercayai menerima pelawaan PKM supaya menyertai pihak itu dan beliau diberi kepercayaan untuk mengutip cukai daripada penduduk kampung dan peniaga. Salleh juga turut diberi sepucuk pistol oleh PKM.

Bagaimanapun, Salleh tidak menyerahkan semua pungutan cukai itu kepada PKM sebaliknya beliau bertindak seumpama 'Robin Hood' apabila mengagihkan pungutan itu kepada penduduk susah dan miskin.

Tindakan itu menyebabkan PKM berang dan pada suatu malam, segerombolan komunis bertindak mengepung rumah Salleh. Bagaimanapun, ketika menyerbu masuk, mereka gagal menemui kelibat Salleh walaupun dia memang berada di dalam rumah berkenaan.

Mereka mengulangi serbuan selama tujuh malam berturut-turut tetapi masih gagal. Berang dengan kelicikan Salleh menyebabkan komunis memasukkan pemuda itu dalam senarai 'bertanam ubi' iaitu istilah bagi mereka yang akan dihukum bunuh oleh komunis.

Ketika itu PKM mula menunjukkan 'wajah' sebenar mereka. Berita kehilangan penduduk Mukim Empat secara tiba-tiba tanpa dapat dikesan semakin menjadi-jadi. Selepas seorang, seorang lagi penduduk dilaporkan hilang secara misteri.

Penduduk yang kebanyakannya terdiri daripada suku Banjar dan Jawa mula percaya yang kehilangan saudara mereka adalah angkara komunis berikutan mereka enggan tunduk kepada perintah dan arahan pihak terbabit.

Pihak komunis pula mengesyaki penduduk Mukim Empat berpakat dengan tentera Jepun untuk memerangi mereka menyebabkan mereka mula menangkap penduduk yang disyaki seterusnya dihukum bunuh.

Kemelut itu akhirnya menyebabkan penduduk tempatan mula menubuhkan 'Persatuan Muhammadiah' dalam usaha menentang komunis. Penduduk juga mula bangkit membela diri dan pembunuhan balas antara komunis dengan penduduk Mukim Empat semakin memuncak.

Ketika tentera Jepun di ambang kekalahan, komunis semakin bermaharajalela di Johor. Mereka mula mengganas dan menyeksa penduduk tempatan dengan zalim. Penduduk dibunuh dengan pelbagai cara antaranya ditanam hidup-hidup, diseksa sampai mati, direbus atau diseret di jalan sehingga ratusan penduduk menjadi mangsa mereka.

Pertemuan Salleh dengan seorang tokoh iaitu Haji Kadri pada petang 4 April 1945 akhirnya mula membenihkan semangat juang demi membela agama, bangsa dan tanah air di dalam hati sanubarinya.

* Ada dikatakan Kiyai Salleh juga belajar dengan Syeikh Kiyai Haji Fadhil bin Haji Abu Bakar al-Banten (Kiyai Fadhil) ulama' tasauf dan tarikat yang amat masyur ketika itu

Kesedaran tulus itu menyebabkan Salleh mula bangkit menentang komunis. Dengan pedang pusaka Raja Riau disisip di pinggang, berpakaian serba hitam, Salleh mula melangkah gagah memasuki gelanggang perang bersama doa dan bacaan ayat suci yang dibaca berulang kali.

Penyertaan Salleh dalam penentangan terhadap komunis menyebabkan namanya dicalonkan Haji Kadri supaya memimpin Persatuan Muhammadiah selepas pemimpin sebelum itu, Ijam Ahmad menarik diri.

Walaupun pada mulanya ada ahli tidak bersetuju dengan pencalonan Salleh berikutan ‘kenakalan’ tokoh itu ketika muda, akhirnya semua ahli akur untuk menerima Salleh sebagai pemimpin persatuan itu.

Ini berikutan Salleh dikenali sebagai seorang yang hebat dalam ilmu persilatan dan tinggi ilmu batin malah sikap gagah berani tokoh itu dilihat amat sesuai untuk mengepalai pasukan perang menentang komunis.

Sebaik dilantik, Salleh mula menyusun strategi dan mengumpul anak muda yang tidak gentar atau lemah semangat untuk bersama-samanya bertempur. Anak muda itu diajar amalan tertentu bagi menguatkan aspek kebatinan masing-masing.

Seterusnya di bawah pimpinan Salleh, serangan demi serangan mula dilancarkan pasukannya yang turut digelar 'Tentera Selempang Merah'. Serangan Tentera Selempang Merah terhadap komunis tercetus di seluruh Batu Pahat dan Muar.

Selain serangan secara berpasukan, Salleh juga bertindak berani apabila berbasikal seorang diri hampir setiap malam semata-mata untuk mencari komunis bagi dibunuh dan dicantas kepalanya.

Di bawah bimbingan Salleh, semangat perjuangan di kalangan penduduk ketika itu amat berkobar-kobar dan mereka mula merancang satu serangan besar-besaran terhadap komunis di Bandar Penggaram.

Bagaimanapun, serangan itu berjaya dihalang Datuk Onn Jaafar dan tokoh politik itu sebaliknya cuba mengaturkan perdamaian antara pihak Salleh dengan komunis.

Lalu pada 15 September 1945, pada satu pertemuan di Tangkak, Muar, akhirnya pemimpin PKM dan Salleh akur untuk mengadakan perdamaian selepas tiga hari berbincang.

Bagaimanapun, perjanjian damai itu akhirnya dikhianati komunis apabila mereka terus melakukan angkara dan membunuh kejam penduduk tempatan terutama apabila Jepun menyerah kalah.

Pengkhianatan itu segera membangkitkan kemarahan Salleh dan beliau kembali mengumpul pasukan Tentera Selempang Merahnya untuk kembali menentang komunis Bintang Tiga itu. Serangan berterusan dan semakin ramai komunis yang maut di tangan pahlawan itu.

Jasa Salleh dalam usaha menghapuskan komunis menyebabkan Sultan Johor ketika itu, Sultan Ibrahim memberi gelaran 'Panglima' kepadanya pada 26 Disember 1945 malah beliau turut dilantik sebagai Penghulu Mukim Empat, Batu Pahat.

Selepas menabur begitu banyak jasa terhadap agama, bangsa dan tanah air, Panglima Salleh akhirnya meninggal dunia di Hospital Besar Johor Bahru pada 21 April 1959 iaitu selepas hampir dua tahun negara beroleh kemerdekaan.

Tokoh pahlawan itu meninggal dunia akibat penyakit bengkak paru-paru sekali gus meninggalkan nama dan keperwiraannya sebagai sebuah kisah pejuang ulung yang meniti daripada bibir ke bibir.

Komunis terkejut tubuh tak lut peluru

SELAIN semangat cintakan agama, bangsa dan tanah air yang begitu membara, kehebatan Panglima Salleh dipercayai terletak pada kekuatan ilmu batin yang dikuasainya sehingga menyebabkan ramai komunis takut untuk berhadapan dengan tokoh itu.

Pengkaji yang juga penulis novel sejarah, Zaharah Nawawi, berkata berdasarkan kajiannya mengenai sejarah hidup dan perjuangan Panglima Salleh, ramai kenalan atau pihak yang mengenali tokoh itu menceritakan bahawa kekuatan ilmu batinnya menyebabkan beliau mampu melakukan beberapa perkara luar biasa.

"Mengikut cerita, beliau boleh menjelma seperti kucing, menyelinap masuk ke dalam rumah daripada celah lubang yang kecil malah boleh mengghaibkan dirinya.

"Bagaimanapun, beliau menggunakan ilmu batin yang dikuasainya ke arah kebaikan iaitu dengan memerangi komunis," katanya yang mengabadikan kisah perjuangan Panglima Salleh dalam novelnya 'Panglima Salleh Selempang Merah' yang diterbitkan pada 1988.

Zaharah berkata, kehebatan ilmu batin Panglima Salleh juga menyebabkan berlaku beberapa kejadian aneh sehingga menyebabkan komunis berasa gerun tatkala berhadapan dengan tokoh itu ketika pertempuran.

"Bayangkan, peluru komunis macam hujan tetapi tidak kena pada jasadnya, yang kena hanya batang pokok. Ketika itu komunis melihat tubuh Panglima Salleh menjadi gergasi dan mereka menembak ke atas jadi kena pokok saja.

"Ketika Panglima Salleh pergi ke Batu Pahat pula, seluruh bandar sunyi sepi kerana musuhnya melihat di langit tertera kelibat gergasi hitam menyebabkan mereka takut dan melarikan diri," katanya.

Katanya, antara kehebatan Panglima Salleh yang menjadi buah mulut ramai pihak adalah cerita mengenai komunis yang melihat parang milik Tentera Selempang Merah terbang mencari kepala mereka untuk dicantas ketika pertempuran.

Pasukan Panglima Salleh juga dikatakan menggempur komunis dengan menggunakan senjata tradisional seperti parang dan tombak walaupun pengganas itu menggunakan senjata api.

Panglima Salleh sendiri memiliki sebilah pedang luar biasa yang diperoleh beliau di Kampung Tebing Tinggi. Pedang istimewa warisan pusaka Raja Riau itu diberikan seorang lelaki bernama Taib sebagai bayaran tukaran kepada segantang beras yang ingin dibeli Taib daripada Salleh. Pedang itu dikatakan mampu memberi tujuh kesan cantas dengan sekali libasan.

Zaharah berkata, tubuh fizikal Panglima Salleh hanyalah kecil tetapi semangat dan keberaniannya menyebabkan beliau tidak gentar menentang komunis malah turut sama menyertai pertempuran. Panglima Salleh juga dikatakan memiliki kebolehan melentur besi.

Sebelum turun untuk memerangi komunis, Panglima Salleh akan melakukan amal ibadat tertentu antaranya berpuasa, berzikir serta mengamalkan bacaan wirid tertentu malah kaedah persediaan serupa turut dilakukan pengikutnya.

"Sebelum bertempur, Panglima Salleh akan memilih pengikut berasingan mengikut kampung, beliau akan memilih pengikut yang tidak terlalu tua atau terlalu muda dan akan menepuk bahu bagi menguji tahap keberanian pengikut yang ingin menyertainya berperang.

"Selepas itu beliau akan menyuruh pengikut terbabit berkumpul di rumahnya untuk melakukan persediaan dengan beramal ibadat, solat hajat dan menikmati jamuan," katanya.

Seterusnya semua pengikut terbabit akan meminum air dari tempayan yang dijampi Panglima Salleh malah beliau akan memberi secebis kain merah kepada setiap daripada mereka.

"Ramai beranggapan yang Panglima Salleh dan anak muridnya yang menerima cebisan kain itu kebal tetapi mengikut seorang daripada pengikutnya, mereka semua tidak kebal.

* Ada juga diceritakan beliau sendiri turut tercedera dibahu terkena tikaman tombak semasa berperang, ini menunjukan beliau tidaklah kebal sebagaimana yang diwar-warkan, perlu diingat bahawa perkara yang mencarik adat biasa terjadi kepada hamba-hambaNya yang beriman dan bertakwa, jika seseorang itu kejap dan kukuh tauhidnya tulus tawakkalnya kepada Allah memang harus bagi Allah mengurniakan keramat atau maunah kepada hambaNya yang dikehendaki, para pendekar dan hulubalang islam berjuang untuk menegakkan addin atau mati dijalan Allah, syahid matlamat kita dan mereka, bagaimana mungkin pejuang islam menuntut ilmu kebal untuk mengelak diri dari mati, terlebih lagi dari mati syahid dijalan Allah..bagi saya kebalnya dari peluru, tak lut senjata berasal dari kebalnya hati dan iman dari panahan syaitan, itulah kekebalan para pejuang islam. Terkadang Allah mengurniakan kemuliaan atau menzahirkan keramat untuk mengejapkan iman hambanya, inilah rahsia kurniaan ilahi kepada hambaNya yang bertakwa.. kebalnya hati sanubari terzahir di jasad kebal dari senjata. wallahuaklam. (muhibmahbub)

"Panglima Salleh memberi cebisan kain merah dan menjampi air tempayan untuk diminum pengikutnya sebagai permainan psikologi, supaya pengikutnya lebih bersemangat dan yakin ketika bertempur. Mungkin kain merah itu diberi supaya beliau dapat membezakan pengikutnya dengan komunis apabila terkorban," katanya.

PROFIL: Kiyai Salleh Abdul Karim

* Gelaran lain: Panglima Salleh, Kiyai Salleh, Cikgu Salleh, Penghulu Salleh, Salleh Hitam, Salleh Keling

* Tahun lahir: 1916

* Tempat lahir: Tanjung Olak Batu, Bukit Pasir, Muar, Johor

* Tarikh meninggal: 21 April 1959

* Sumbangan: Tokoh pejuang menentang komunis di Batu Pahat dan Muar, Johor.

Artikel tulisan Nasron Sira Rahim dalam Berita Harian

Gambar Alharhoum Kiyai Salleh Muar


Khamis

KIAYI FADHIL keturunan WALI SONGO

Artikel sebelum ini tentang Syeikh Fadhil dinuqil dari karya Syeikh Wan Mohd Saghir, di bawah ini sebagai perbandingan dan penambahan fakta tentang beliau saya ambil dari tulisan tuan Mohd Azis Ngah dari akhbar Berita Harian (here)
Makam Sheikh Fadhil Banten di perkarangan perkuburan
Masjid Jamek, Batu 31, Lenga, Muar [Blog Si MerahSilu ]
Kiyai Fadhil rujukan Istana Johor
SEBELUM negara mencapai kemerdekaan sekitar 1920-an, masyarakat Melayu masih mengamalkan amalan adat dan kepercayaan tradisi yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Amalan menyemah (jamuan makanan dan lain-lain yang diberikan kepada hantu atau orang halus) di kampung masih kuat diamalkan, kepercayaan kepada makhluk ghaib masih berada dalam bentuk keyakinan dan amalan sebilangan masyarakat Islam.

Masalah sama berlaku di Johor khususnya masyarakat Melayu sekitar Lenga, Bandar Maharani (Muar), Bakri, Bukit Kepong dan kawasan sekitarnya yang sering mencampuradukkan pegangan agama.

Penduduk di situ cukup bertuah kerana dengan izin Allah, Penghulu Lenga yang dikenali sebagai Penghulu Daud menjemput Kiayi Fadhil al-Banteni atau dikenali Kiyai Fadhil Lenga untuk mengajar di sana pada 1910 hingga 1915.
* Mengikut apa yang tercatat dari lama Web Badan Kebajikan Jemaah Khaujakan Johor boleh dilayari diSINI Penghulu Daud ini merupakan kenalan beliau semasa di Mekah dan berjaya memujuk serta membawa balik Syeikh Fadhil ke Tanah Melayu pada tahun 1915.

Kiyai Fadhil ini berketurunan Sultan Syafiffuddin Hidayatullah (pengasas Kesultanan Banten) yang dikenali Sunan Gunung Jati iaitu Wali Songo terkenal di Indonesia. Moyangnya adalah antara lima anak kepada Sultan Maulana Mufakir, pemerintah kesultanan Banten ke-14 di Pulau Jawa pada abad ke-19.

Dilahirkan di Banten, Jawa Barat pada 1287 hijrah bersamaan 1870 Masihi, Kiyai Fadhil banyak menabur bakti di dalam masyarakat Islam. Sebelum itu, Kiyai Fadhil bersama isterinya banyak membantu menguruskan jemaah haji, khususnya dari Tanah Melayu dan Indonesia ketika berada di Makkah.

Pensyarah di Jabatan Pengajian Islam dan Sains Sosial, Pusat Pengajian Kemanusiaan dan Komunikasi, Universiti Tun Hussein Onn, Mohd Akbal Abdullah, berkata bersesuaian dengan maksud kedatangan dan jemputan yang diterima daripada Penghulu Daud, Kiayi Fadhil mulai mengajar di Muar.

“Kehadirannya membuka banyak mata masyarakat di situ mengenai amalan Islam disebabkan banyak perlakuan penduduknya menyalahi ajaran Islam.

“Dalam setiap kuliah dan butir bicara seharian, beliau banyak menasihatkan mereka mengenai masalah syirik dan ketekunan dalam mengerjakan amalan kerohanian,” katanya.

Bagi memudahkan pergerakan di dalam masyarakat, beliau cenderung membina masjid dan surau sebagai tempat mengajar dan mengadakan kelas agama. Di bandar Muar, beliau kerap berdakwah di Surau Jalan Hashim dan Surau Lorong Sekam.

Selain menjadi tempat rujukan agama, beliau sering didatangi masyarakat yang inginkan sesuatu hajat misalnya mendapatkan rawatan kerohanian, ubatan dan menerima ijazah amalan tarikat.

Sepanjang 1930-an, beliau sibuk berulang-alik dari Muar, Lenga dan ke Sungai Lembing, Pahang bahkan membina sebuah masjid untuk kegunaan masyarakat di situ. Anaknya yang masih kecil dibawa bersama merasai suasana bermujahadah menyampaikan agama di sana selama tujuh tahun.

Kemuncak minat dan mendapati pentingnya pendidikan mendorongnya mendirikan sebuah madrasah Arab di Muar iaitu Madrasah Maharani al-Islamiah pada 1937.

Ketokohan Kiyai Fadhil turut mendapat perhatian istana Johor kerana ketika pemerintahan Jepun (1942 hingga 1945), Sultan Ibrahim yang mendapat layanan agak baik dari Jepun merasakan baginda serta kerabat tidak bebas dalam mengecapi kemakmuran seperti zaman sebelum perang.

Timbul hasrat mendapatkan ketenangan dan memohon keselamatan dari Allah SWT demi menyelamatkan kerajaan Johor dan keluarganya dengan apa cara sekali pun.

Atas nasihat beberapa insan yang arif, baginda mendekati beberapa ulama sufi yang mustajab doanya dan menitahkan mereka yang mempunyai keistimewaan kerohanian dibawa ke Istana Pelangi.

Bersama dengan tokoh lain, Kiyai Fadhil diperkenalkan oleh Datuk Othman Buang kepada baginda. Selepas diteliti, baginda memilih Kiyai Fadhil dan menegaskan beliaulah ulama yang dimimpikan sebelum ini. Hajat Sultan Ibrahim dipersetujui oleh Kiyai Fadhil.

Sultan menyediakan sebuah rumah berhampiran istana di Pasir Pelangi bagi memudahkan Kiyai Fadhil beramal dan beruzlah. Pada waktu malam, beliau berwirid di sebelah bilik peraduan Sultan.

Tidak lama selepas itu, beliau bercadang untuk tinggal di Masjid Pasir Pelangi kerana lebih mudah melakukan amalan wirid dan munajat selain masjid adalah tempat paling mulia dan lebih berkat.

Dengan amalan dan doa yang berterusan, akhirnya Sultan Ibrahim memperoleh ketenangan jiwa.

Setelah Perang Dunia Kedua tamat, baginda melantik dan menganugerahkan pangkat Mufti Peribadi Sultan. Jawatan ini berbeza dengan Mufti Kerajaan kerana ia bertanggungjawab terus kepada Sultan.

Ia memberi nasihat dan fatwa jika dikehendaki oleh Sultan. Selain anugerah kedudukan itu, Sultan Ibrahim juga membiayai Kiyai Fadhil dan isterinya menunaikan haji dan pelbagai ganjaran.

Hadiah paling besar daripada Sultan Ibrahim ialah keizinan menubuhkan kumpulan Wirid Khaujakan di seluruh Kerajaan Johor tanpa sebarang halangan. Amalan wirid Khaujakan masih subur hingga sekarang dan berkesinambungan di Johor seperti juga di beberapa tempat lain di seluruh dunia Islam.

INFO: Kiayi Fadhil al-Banteni (Kiyai Fadhil Lenga)

* Berasal dan dilahirkan di Banten, Jawa Barat pada 1287 hijrah bersamaan 1870 Masihi.

* Meninggal dunia kerana sakit tua di Bakri, Muar Johor pada 29 Jamadilawal 1369 Hijrah bersamaan 18 Mac 1950.

* Jenazahnya dikebumikan dengan pengebumian diraja, di perkarangan perkuburan Masjid Jamek, Batu 31, Lenga, Muar ketika berusia 80 tahun.

* Bapanya, Abu Bakar Abu Kassim juga dikenali Mbah Buka adalah ulama terkenal di daerah Lewiliang, Sadeng.

* Bapanya pernah dilantik menjadi wakil kesultanan di Banten mengislamkan masyarakat Jawa, di sekitar Pulau Jawa Tengah.

* Datuknya, Abu Kassim atau lebih dikenali sebagai To'bagus Abu Kassim yang dimakamkan di puncak sebuah bukit di Pasir Ahad.

* Kiyai Fadhil mempunyai tiga adik beradik iaitu Yahya, Koris dan Tiunah.

* Kebanyakan ahli keluarga Kiyai Fadhil di Banten ini mendalami ilmu agama dan terdapat dalam kalangan mereka yang penghafaz al-Quran.

* Beliau berkahwin sebanyak empat kali dan seorang daripada anaknya yang terkenal ialah Orang Kaya Hamid, Penghulu Lenga.


DOKTOR KEROHANIAN SULTAN JOHOR

Sheikh Fadhil Banten - Penyebar wirid Khaujakan di Johor
APABILA riwayat Haji Abu Bakar bin Haji Hasan Muar (here)tersiar dalam Ruangan Agama, Utusan Malaysia, penulis menerima panggilan daripada beberapa orang di Muar, antaranya Cikgu Haji Muhammad. Beliau menyatakan bahawa sezaman dengan ulama Muar itu ada lagi beberapa ulama yang sangat besar pengaruhnya dalam bidang kerohanian di kerajaan Johor, iaitu Syeikh Kiyai Haji Fadhil bin Haji Abu Bakar al-Banten.

Daripada hasil wawancara, sebuah buku berjudul Amalan Wirid Khaujakan dan Huraiannya, susunan Ustaz Haji Ahmad Tunggal diterbitkan oleh Badan Kebajikan Jamaah Khaujakan Johor Darul Takzim, serta beberapa catatan. Maka ulama berasal dari Banten yang menaburkan baktinya di Johor dapat diperkenalkan. Beliau lahir di Banten, Jawa Barat sekitar tahun 1287 Hijrah/1870 Masihi dan meninggal dunia di Bakri, Muar, Johor pada 29 Jamadilawal 1369 Hijrah/18 Mac 1950 Masihi, dikebumikan di Batu 28 Langa, Muar.

Sebelum riwayat ini diteruskan, dirasakan perlu menjelaskan nama `Banten' kerana ada orang memperkata bahawa ulama yang diceritakan ini berasal dari `Bentan'. Hal ini terjadi hanyalah kerana ada orang yang tidak dapat membezakan antara Banten dengan Bentan. Banten, kadang-kadang disebut juga dengan Bantan, kadang-kadang Bantam. Banten pada zaman dulu mempunyai kerajaan sendiri. Setelah Indonesia merdeka ia dimasukkan ke dalam Propinsi Jawa Barat dan setelah reformasi, menjadi propinsi sendiri yang dinamakan Propinsi Banten.

Ada pun Bentan adalah sebuah pulau di Kepulauan Riau, yang kedua terbesar sesudah Pulau Natuna. Bentan sangat penting dalam sejarah dan geografi, sama ada zaman kerajaan Melaka mahu pun zaman pembentukan kerajaan Riau-Lingga-Johor dan Pahang dan takluknya, zaman Riau-Johor dan terakhir sekali menjadi Riau-Lingga.

Ulama yang dikisahkan ini berasal dari Banten bukan dari Bentan. Banten memang ramai melahirkan ulama yang terkenal, antara yang terkenal di seluruh dunia Islam ialah Syeikh Nawawi al-Bantani yang diakui oleh dunia Islam dengan gelar Imam Nawawi ats-Tsani (Imam Nawawi yang ke-2). Sedang dari Bentan hingga kini belum diketahui nama ulamanya, yang ada hanyalah ulama Riau yang berasal dari pulau-pulau lainnya. Antara ulama Riau yang mengajar di Mekah peringkat guru pada Fadhil ialah Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga .

PENDIDIKAN

Selain mendapat pendidikan dari kalangan keluarga sendiri, Syeikh Fadhil juga memasuki pelbagai pondok pengajian di Banten. Sekitar usia tiga puluhan, barulah beliau melanjutkan pendidikannya di Mekah.

Sewaktu masih berada di Banten lagi, Fadhil telah mengenal beberapa thariqat yang berada di Banten, antaranya ialah Thariqat Qadiriyah yang tersebar di seluruh Jawa yang dibawa oleh murid-murid Syeikh Ahmad Khathib bin Abdul Ghaffar Sambas (lahir 1217 Hijrah/ 1802 Masihi, wafat 1289 Hijrah/1872 Masihi). Salah seorang khalifahnya yang paling terkenal, yang berasal dari Banten ialah Syeikh Abdul Karim al-Bantani (wafat 18 Safar 1315 Hijrah/19 Julai 1897 Masihi). Thariqat Naqsyabandiyah yang tersebar di Banten juga berasal daripada ulama Sambas tersebut melalui Syeikh Abdul Karim al-Bantani. Oleh itu dipercayai bahawa Fadhil telah ditawajjuh dengan kedua-dua thariqat tersebut oleh Syeikh Abdul Karim al-Bantani, ulama Banten yang sangat terkenal itu.

Setelah berada di Mekah, Syeikh Fadhil menerima pula Thariqat Tijaniyah, walau bagaimana pun tidak jelas daripada siapa beliau menerima thariqat itu. Selain belajar, di Mekah beliau membantu saudara sepupunya Hajah Halimah mengurus jemaah haji.

DATANG KE JOHOR

Penghulu Mukim Lenga bernama Haji Daud kenalan beliau ketika di Mekah sangat tertarik pada keperibadian, keilmuan dan kerohanian yang ada pada Fadhil, maka penghulu itu berusaha memujuk ulama yang berasal dari Banten ini supaya datang ke Johor. Akhirnya hasrat Daud tercapai juga. Maka dalam tahun 1915 Masihi, Syeikh Fadhil Banten sampai di Johor. Beliau mengajar di Kampung Langa, Muar. Selain pelbagai ilmu Islam yang asas seperti fardu ain, Fadhil lebih menekankan Wirid Khaujakan atau Khatam Khaujakan yang sangat terkenal dalam ajaran Thariqat Qadiriyah dan Thariqat Naqsyabandiyah.

Fadhil melebarkan sayap dakwahnya bukan hanya di Kampung Langa tetapi juga termasuk dalam Bandar Maharani (Muar), Bakri, Bukit Kepong dan tempat-tempat lainnya. Pendek kata banyak surau dan masjid yang menjadi tempat beliau mengajar. Ajaran beliau dapat diterima oleh semua pihak termasuk Sultan Johor.

SULTAN JOHOR PERLU PERTOLONGAN

Perang dunia kedua meletus antara tahun 1939 hingga tahun 1945. Dalam masa darurat itulah Sultan Ibrahim, Sultan Johor merasa perlu menyelamatkan Kerajaan Johor, termasuk diri peribadi dan keluarganya dengan apa cara sekali pun. Atas nasihat beberapa insan yang arif, baginda mendekati seorang ulama sufi yang sangat mustajab doanya. Ulama yang dimaksudkan Syeikh Fadhil. Beliau tidak perlu didatangkan dari luar kerana beliau memang telah bermustautin di Johor. Baginda menitahkan Datuk Othman Buang, Pegawai Daerah Muar ketika itu untuk mencari dan menjemput ulama sufi itu datang ke istana baginda.

Hajat Sultan Ibrahim itu dipersetujui oleh Syeikh Fadhil, namun walaupun sultan telah menyediakan sebuah rumah dekat dengan istana di Pasir Pelangi tetapi beliau lebih suka tinggal di Masjid Pasir Pelangi. Pada waktu malam beliau hadir di sebelah bilik peraduan Sultan Ibrahim membaca wirid untuk menjaga keselamatan sultan. Walau bagaimana pun untuk lebih mudah melakukan pelbagai amalan wirid dan munajat kepada Allah, beliau memilih masjid yang lebih banyak berkatnya dari rumah. Oleh itu Fadhil lebih banyak melakukannya di dalam masjid.

Akhirnya Sultan Ibrahim memperoleh ketenangan jiwa kerana keberkesanan dan keberkatan doa Syeikh Fadhil. Selanjutnya perang dunia kedua selesai dan baginda memberikan anugerah kepada ulama sufi tersebut. Ustaz Haji Ahmad Tunggal dalam bukunya menyebut, "Sultan telah menganugerahkan pangkat kepada Haji Fadhil, iaitu ia dilantik sebagai Mufti Peribadi Sultan. Jawatan ini berbeza dengan Mufti Kerajaan. Mufti Peribadi adalah bertanggungjawab kepada sultan. Ia memberi nasihat dan fatwa jika dikehendaki oleh sultan.''

Selain anugerah yang berupa kedudukan itu, Sultan Ibrahim juga membiayai Fadhil dan isterinya menunaikan ibadah haji, dan memberikan hadiah-hadiah yang tidak terkira besar dan banyaknya. Sumbangan yang tiada terhingga besarnya kepada Sultan Ibrahim ialah beliau telah membuka pintu kebebasan seluas-luasnya kepada Kiyai Syeikh Fadhil untuk menubuhkan kumpulan-kumpulan Wirid Khaujakan di seluruh Kerajaan Johor tanpa sebarang halangan.

Berdasarkan tulisan Ustaz Haji Ahmad Tunggal, peringkat awal pembentukan kumpulan tersebut di Pontian diketuai oleh Haji Ahmad Syah. Di Batu Pahat oleh Kiyai Saleh. Di Muar oleh Haji Abdul Majid dan di Mersing oleh Haji Siraj bin Marzuki.

KETURUNAN DAN MURID

Daripada isteri yang pertama, Syeikh Fadhil memperoleh empat orang anak; seorang lelaki dan tiga perempuan. Anak lelakinya ialah Orang Kaya Penghulu Haji Abdul Hamid. Setelah isteri pertamanya meninggal dunia, beliau pindah ke Bandar Muar dan berkahwin lagi dengan seorang janda beranak dua. Kedua-duanya ialah Haji Othman bin Haji Azhari dan Haji Ali bin Haji Azhari yang meneruskan perjuangan Syeikh Fadhil.

Antara murid Syeikh Fadhil ialah Sahibus Samahah Haji Ahmad Awang yang pernah menjadi Mufti Kerajaan Johor. Murid dan anak tirinya, Haji Othman Azhari, dalam buku Amalan Wirid Khaujakan dan Huraiannya, pada tahun 1994 adalah sebagai Yang Dipertua Badan Kebajikan Jamaah Khaujakan, dan ramai lagi.

Daripada buku Amalan Wirid Khaujakan dan Huraiannya oleh Ustaz Ahmad Tunggal yang memperoleh pendidikan di Universiti Al-Azhar, Mesir itu banyak perkara yang dapat kita ketahui. Antaranya bahawa terasasnya Badan Kebajikan Jamaah Khaujakan yang sangat meluas di seluruh Johor adalah bermula daripada Syeikh Fadhil. Amalan Wirid Khaujakan masih subur dan berkesinambungan di Johor seperti juga di beberapa tempat lain di seluruh dunia Islam.

Pada pandangan penulis, walaupun ada golongan anti amalan sufi yang menuduh bahawa orang-orang sufi mengamalkan perkara-perkara bidaah dan khurafat, tuduhan melulu seperti itu tidak berasas sama sekali kerana Wirid Khaujakan dan beberapa amalan golongan sufi selainnya juga bersumberkan al- Quran dan as-sunah. Mereka yang beramal dengannya bukan terdiri daripada golongan awam saja tetapi juga termasuk ulama-ulama besar terkenal yang mampu membahas al-Quran dan hadis. Ia bukan diamalkan oleh orang-orang di dunia Melayu sahaja tetapi juga di tempat-tempat dalam belahan dunia.

Penulis tidak sependapat dengan beberapa pandangan yang menuduh bahawa apabila beramal mengikut sufi mengakibatkan ketinggalan dalam membina kemajuan duniawi, kerana ternyata tidak sedikit golongan sufi yang menghasilkan karya, mencetuskan pemikiran yang bernas maju, menghasilkan sesuatu pemikiran baru pada setiap zaman dan lain-lain.

Kebijakan Sultan Ibrahim yang memahami keadaan zaman darurat menghadapi huru-hara perang dunia kedua yang sukar diatasi dalam bentuk zahiri semata-mata, sehingga baginda memerlukan insan takwa seperti Syeikh Fadhil, patut dicontohi oleh pemimpin-pemimpin kita masa kini dan zaman-zaman yang akan datang. Setelah kita mengetahui dalam dunia sekarang bahawa nyawa seolah-olah tiada harganya, situasi dunia yang tiada ketentuannya, termasuk dunia Melayu juga, maka patutlah umat Islam Melayu memperbanyak zikir, wirid, selawat dan lain-lain sejenisnya demi kebaikan dan ketahanan diri Muslimin dan dunia Melayu sejagat.

Artikel dari utusan Malasyia 17/05/2004 tulisan Syeikh Wan Mohd Saghir.

*Untuk mengetahui serba sedikit tentang amalan
wirid Khaujakan ini silalah ke laman web Badan Kebajikan Jemaah Khaujakan Johor click right and open link in new windows HERE
* Di laman web Surau Taman Muhibbah ada dinyatakan sedikit perubahan dalam Wirid Khaujakan dengan mengambil kira nasihat dan pandangan Majlis Fatwa dan Mufti kerajaan Johor, tidak pula dinyatakan sebab musabbab mengapa dan kenapa PERLU diubah.??? Untuk mengetahui lebih lanjut silalah ke laman web tersebut disini .


Sabtu

HAJI ABU BAKAR ALIM ULAMA MUAR

Abu Bakar Muar - Benteng pertahanan kaum tua
NAMA lengkapnya ialah Haji Abu Bakar bin Haji Hasan al-Muari bin Haji Ahmad bin Anggak bin Datuk Sijo Bukit Moh, Muar Bandar Maharani, Johor. Beliau dilahirkan pada tahun 1292 Hijrah/1875 Masihi, dan meninggal pada tahun 1357 Hijrah/1938 Masihi. Selama 34 tahun beliau berada di Mekah untuk menuntut ilmu, iaitu ketika usianya enam tahun (1881 M/1299 H.) dan pulang ke tanah air pada tahun 1915 Masihi.

GURU-GURUNYA:
Semua ulama yang telah disebut dalam riwayat Syeikh Abdullah Fahim dan Abdul Lathif Melaka, adalah juga guru kepada Abu Bakar. Ulama yang paling rapat dengannya ialah Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga.

Kepada ulama yang berasal dari Lingga, Riau itu beliau mendalami hadis Bukhari. Sementara Ilmu Qiraat dipelajarinya dan menerima ijazah daripada Syeikh Abdullah bin Qasim as-Sanquri, iaitu ulama yang berasal dari dunia Melayu yang menjadi ketua qiraat tujuh di Hijaz pada zaman itu.

Seperti Abdullah Fahim, beliau juga mendalami Ilmu Falak dan menerima ijazah daripada Syeikh Muhammad Nur al-Fathani. Selain itu ada dua orang ulama, gurunya yang banyak disebut dalam tulisannya, iaitu Syeikh Muhammad Mukhtar bin Atharid Bogor dan Syeikh Umar bin Abdur Rasyid as-Sumbawi.

AKTIVITI:
Abu Bakar al-Muari adalah Qadi Muar dan pernah menjadi Mufti Johor, selama seminggu sahaja. Bersama-sama Abdullah bin Isa, Syed Abdul Qadir bin Muhammad, Abdus Syukur bin Ismail, Yusuf bin Muhammad, Syed Muhammad bin Othman bin Yahya, Haji Muhammad Yunus bin Haji Ibrahim dan Haji Abu Bakar bin Haji Hasan, mereka menggubal `Undang-Undang Jam`iyah Percadangan' (Bandar Maharani Muar, Mac 1925, dicetak oleh Mathba'ah al-Khairiyah Muar 1925).

Abu Bakar al-Muari adalah pengasas Madrasah Al-Arabiyah Al-Khairiah di Muar. Beliau bukan hanya mendirikan madrasah, tetapi keterlibatannya di Bandar Muar meliputi keseluruhan aspek pembangunan di Muar, terutama sekali yang melibatkan urusan keIslaman.

MURID-MURIDNYA:
Murid-muridnya sangat ramai, bukan hanya murid di madrasah tetapi termasuk murid-murid yang menadah kitab di masjid, surau dan di rumahnya, sehingga beliau dikenali dengan nama `Haji Abu Bakar Alim'.

Di antara tokoh yang pernah mendapat pendidikan di Madrasah Al-Arabiyah Al-Khairiah ialah saudara sepupu beliau yang bernama Tan Sri Mohamed Noah. Setelah Mohamed Noah menerima pendidikan di madrasah tersebut, Abu Bakar lalu menghantarnya belajar ke Timur Tengah. Mohamed Noah adalah ayah mertua kepada allahyarham Tun Abdul Razak (Perdana Menteri Malaysia yang kedua).

Murid Abu Bakar yang lain ialah Ustaz Muhammad Yasin. Beliaulah yang meneruskan perjuangan pendidikan madrasah yang diasaskan oleh gurunya itu. Muhammad Yasin adalah ayah kepada Tan Sri Muhyiddin Yasin (sekarang Menteri Pertanian Malaysia).

Murid Abu Bakar yang lain ialah Datuk Haji Mohd. Noor. Di antara anak beliau ialah Datuk Haji Juma'at, bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, (sekarang Bendahari) Persatuan Sejarah Malaysia. Menurut keterangan Mohammad, anak kepada Abu Bakar Muar, kedua-dua tokoh di atas sangat memuji dan mengenang jasa orang tuanya (Abu Bakar).

Mohamed Noah pernah berkata, "Kalaulah aku tidak dididik oleh sepupuku, Abu Bakar, tiadalah aku dapat ke Timur Tengah. Barangkali aku pun hidup dalam kejahilan tiada kenal hukum-hakam Islam ... ".

Muhammad Yasin pula pernah berkata, "Ketika aku akan belajar ilmu kemegahan dunia di Sumatera, setelah diketahui oleh Abu Bakar Alim, aku lalu dinasihatinya supaya belajar kepada beliau sahaja. Sekiranya aku melanggar nasihat beliau, mungkin aku menjadi seorang yang jahat.''

KARYA-KARYANYA:
Abu Bakar al-Muari menghasilkan karangan dalam jumlah yang banyak. Ia ditulis dalam bahasa Arab dan Melayu. Oleh sebab ruangan yang disediakan sangat terbatas, semua karangannya tidak dapat disenaraikan di ruangan ini.

Keterangan ringkas hanyalah sebagai berikut, bahawa beberapa karyanya merupakan polemik dengan Syeikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi al-Azhari. Walaupun Syeikh Tahir Jalaluddin adalah sahabatnya yang sama-sama belajar di Mekah, namun pendapat kedua-duanya adalah berbeza.

Abu Bakar merupakan benteng pertahanan Kaum Tua, sedangkan Syeikh Tahir Jalaluddin adalah pelopor pergerakan Kaum Muda. Abu Bakar juga mengarang risalah menolak pendapat Hasan Bandung. Sebuah lagi karyanya di dalam bahasa Arab juga menolak beberapa pendapat Sayid Rasyid Ridha, ulama Mesir, tokoh reformis yang sangat terkenal. Karya-karya Abu Bakar Muar yang bercorak polemik dengan Syeikh Tahir Jalaluddin yang telah ditemui ialah Taman Persuraian, ditulis pada 6 Ramadan 1346 Hijrah/1927 Masihi di Muar, Bandar Maharani.

Kandungannya menyatakan tentang sunat sembahyang ba'diyah Jumaat dan qabliyahnya. Ia membatalkan perkataan Syeikh Thahir Jalaluddin al-Minankabawi, guru Madrasah Al-Haji Taib Parit Jamil Muar yang mengatakan sembahyang qabliyah itu bidaah. Dan menyatakan sembahyang sunat Tahiyatul Masjid, rumuz-rumuz ulama fikah, tarikh Imam ar-Rafi'ie, Imam an-Nawawi dan Ibnu Hajar al-Haitami. Dicetak oleh Mathba'ah al-Khairiyah, Muar (tanpa tarikh). Dicetak dengan perbelanjaan ahli-ahli al-khair Johor, Muar, Segamat, Kota Tinggi dan Kukup.

Salah satu sebab penyusunan karya ini ialah pertanyaan Haji Utsman bin Haji Muhammad Said, guru agama Bandar Maharani, 14 Syaaban 1346 Hijrah. Surat dilampirkan pada halaman awal dan setelah pada halaman akhir dilampirkan surat Haji Utsman bin Haji Muhammad Said, tarikh, Bandar Maharani, 18 Zulhijjah 1346 Hijrah yang menyambut baik kitab ini.

Judul selanjutnya ialah Taufan Yang Memalui Atas Huraian Haji Thahir Al-Minankabawi. Diselesaikan 10 Rabiulawal 1351 Hijrah/1932 Masihi dalam Bandar Maharani, Muar. Cetakan yang pertama Mathba'ah al-Jamiliyah, Muar, 1351 Hijrah/1932 Masihi. Kandungannya merupakan polemik dengan Syeikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi, sebagai tanggapan atas karya yang berjudul Huraian Yang Membakar.

Di dalam Taman Persuraian Haji Bakar, yang dipersoalkan ialah mengenai sembahyang qabliyah Jumaat. Ia merupakan kelanjutan judul Taman Persuraian. Polemik dengan Hasan Bandung pula, Abu Bakar Muar menyusun risalah berjudul Majlis Uraian Muar-Johor. Diselesaikan 20 April 1932 Masihi dalam Bandar Maharani, Muar, Johor. Kandungannya menjawab dan membatalkan fatwa pengarang Al-Fatwa Persatuan Islam Bandung yang mengatakan babi itu najis dimakan bukan najis disentuh, dan mulut anjing pun belum tentu najisnya. Salah satu sebab disusun karangan ini atas permintaan anggota Gubahan Setia Kelab Muar yang ditandatangani oleh ketuanya, Abdus Syukur bin Ismail bertarikh 2 April 1932. Surat tersebut dicetak pada halaman 1-2.

Mengenai sanggahan pendapat Sayid Rasyid Ridha selain dalam bahasa Arab, terdapat terjemahannya dalam bahasa Melayu yang diberi judul Sanggamara Dalam Perkara Menolak dan Membatalkan Perkataan Sayid Muhammad Rasyid Ridha Yang Berkata Dengan Niat Ushalli Itu Bid'ah. Sama ada yang dalam bahasa Arab atau pun yang dalam bahasa Melayu hingga kini belum ditemui.

Cogan Perikatan. Diselesaikan pada 3 Zulkaedah 1346 Hijrah/1928 Masihi, dalam Muar, Bandar Maharani, Johor. Cetakan yang pertama Mathba'ah al-Khairiyah, Muar, 15 Syawal 1346 Hijrah/1928 Masihi. Kandungan risalah ini juga merupakan polemik kerana mempertahankan pendapat golongan Mazhab Syafie daripada serangan Kaum Muda yang menolak mengucapkan lafaz `Ushalli'.

Karya Abu Bakar Muar selain yang bercorak polemik, dilengkapi pula dengan pelbagai disiplin ilmu, di antaranya tentang Ilmu Falak, ditulis dalam bahasa Arab. Ia masih dalam bentuk manuskrip dan belum diberi judul, diselesaikan pada 28 Rabiuakhir 1323 Hijrah/1905 Masihi di Mekah. Kandungan ilmu falakiyah merupakan syarah nazam al-Fadhil Abil Hasan Ali bin Abi ar-Rijal al-Katib al-Qairuani.

Ilmu Wafaq, juga dalam bahasa Arab. Ia masih dalam bentuk manuskrip dan belum diberi judul. Diselesaikan pada 1 Zulhijjah 1323 Hijrah/1905 Masihi di Mekah. Tentang faraid (cara-cara membahagi pusaka) ditulis kitab berjudul Nihayatut Taqrib fi Ma'rifatil Irtsi wat Ta'shib, juga dalam bahasa Arab. Ia masih dalam bentuk manuskrip dan diselesaikan pada 28 Jamadilawal 1324 Hijrah/1906 Masihi di Mekah.

Tentang kelahiran Nabi Muhammad s.a.w., disusun risalah bernama Peringatan. Diselesaikan pada 2 Rabiulawal 1338 Hijrah/1919 Masihi dalam Bandar Maharani, Muar, Johor. Kandungannya menyatakan kalimah-kalimah yang ada di dalam kitab Kisah Maulid an-Nabi bagi karangan Sayid Ja'far al-Barzanji yang harus diubah-ubahkan bacaannya, cetakan yang pertama, Mathba'ah al-Khairiyah, Bandar Maharani, Muar, 1938.

Juga tentang kelahiran Nabi s.a.w. beliau susun Mastika Ajaib. Diselesaikan pada 9 Safar 1350 Hijrah/26 Jun 1931 Masihi, dalam Bandar Maharani, Muar, Johor. Kandungannya menyatakan hukum dan kelebihan membaca Maulid an-Nabi s.a.w., cetakan yang pertama Mathba'ah al-Jamiliyah, Parit Jamil, Muar, 1350 Hijrah/1931 Masihi. Sebab disusun risalah ini memenuhi pertanyaan anggota Gubahan Setia Kelab Muar.

Tentang tajwid, Abu Bakar Muar menyusun risalah Pertinjauan, Penggal Pertama. Diselesaikan pada 1 Syaaban 1342 Hijrah dalam Bandar Maharani, Muar. Cetakan yang pertama, Mathba'ah al-Khairiyah, Muar, 1342 Hijrah/1924 Masihi. Pada halaman pertama sesudah halaman kulit terdapat salinan ijazah daripada gurunya, Syeikh Abdullah bin Muhammad Qasim Senggora yang dikeluarkan pada hari Jumaat, 25 Zulhijjah 1334 Hijrah di Mekah.

Hikayat Qadhi Dengan Harami, diselesaikan pada 12 Rabiulawal 1343 Hijrah dalam Bandar Maharani, Muar. Cetakan yang pertama, Mathba'ah al-Khairiyah, Muar, 1343 Hijrah/1924 Masihi. Kandungannya merupakan sastera Islam, menceritakan kisah seorang qadi pada zaman pemerintahan Harun ar-Rasyid

Abu Bakar juga menyusun buku-buku pengetahuan lain, seperti buku mengenai masakan yang terkumpul dalam judul Jangka Rampaian yang terdiri daripada tiga jilid. Saya simpulkan saja bahawa Abu Bakar Muar telah melakukan penulisan sejak tahun 1323 Hijrah/1905 Masihi hingga 18 Muharam 1357 Hijrah/20 Mac 1938 Masihi. Judul terakhir karyanya ialah Jadwal Tarikh Antara Nabi Adam Dengan Nabi Muhammad s.a.w. Dan Lainnya.

Sumber artikel dari penulisan Al-MArhoum Syeikh Wan Mohd Sahgir pd 08/03/2004