Kebanyakan artikel disini adalah karya Al-Marhoum Tuan Guru Syeikh Wan Mohd Shaghir Abdullah R.A cucunda kepada Tuan Guru Syeikh Ahmad Al-Fathanie, juga dari akhbar2 nasional yang lain dan laman2 web yang bertebaran di alam maya juga disaduri macam2 hikayat,riwayat,kaifiat dan khasiat keemasan saya himpun dan susun sebagai koleksi peribadi dan bagi tatapan dan santapan rohani buat teman-teman yang sudi...himpunan artikel2 terbaru saya sekarang lebih muyul kepada informasi kesihatan ala muslim-jawi kearaban..... dan saya mula berjinak2 dengan jualan secara online produk kesihatan muslim, khasnya peralatan bekam (Set cawan, jarum dan pen bekam) dan khidmat pembekaman, Sudi-sudilah ziarah dan sudikan tinggal komentar anda. TQ
Memaparkan catatan dengan label Ulama Kedah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ulama Kedah. Papar semua catatan

Selasa

KENALI ALIM KEDAH PENGARANG TAFSIR QURAN MELAYU

Muhammad Sa'id Umar Kedah - Pengarang Tafsir Nur al-Ihsan
JIKA kita teliti penulisan pelbagai ilmu pengetahuan Islam zaman klasik yang menggunakan tulisan Melayu/Jawi di dunia Melayu, maka penterjemahan dan pentafsiran al-Quran secara lengkap tiga puluh juzuk adalah termasuk dalam kategori yang paling sedikit dilakukan oleh ulama kita. Terjemahan dan tafsir al-Quran klasik yang lengkap tiga puluh juzuk yang tersebar menggunakan media cetak hanya dua buah saja, iaitu Turjuman al-Mustafid atau Tafsir Baidhawi Melayu oleh Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri (abad ke 16-17 M), dan yang sebuah lagi ialah Tafsir Nur al-Ihsan oleh Syeikh Muhammad Sa'id bin Umar yang berasal dari Kedah.

Biografi ulama yang berasal dari Kedah ini belum pernah ditulis orang, oleh itu dalam artikel ini akan membicarakan tentang beliau terutama tentang dua buah karangannya; Fatawa al-Qad-hi fi Ahkam an-Nikah dan Tafsir Nur al-Ihsan. Hendaklah diperhatikan bahawa pada zaman yang sama di Kedah terdapat dua orang yang bernama serupa, yang pertama ialah Muhammad Sa'id Yan, yang telah diperkenalkan dalam Ruangan Agama, Utusan Malaysia (sila rujuk artikel lepas yang bertajuk Muhammad Said Yan - Ulama yang berdikari). Yang seorang lagi ialah ulama yang dibicarakan ini yang nama beliau juga Muhammad Sa'id.

TAFSIR QURAN

Dalam Fatawa al-Qad-hi beliau menggunakan nama Muhammad Sa'id bin Umar Khathib. Dalam Tafsir Nur al-Ihsan pula beliau menggunakan nama lengkap dengan keterangannya iaitu Sa'id bin Umar al-Qad-hi Baladan, asy-Syafi'ie Mazhaban, an-Naqsyabandi al-Ahmadi Thariqatan, al-Qadhi Syar'iyan. Nama lain yang diletakkan orang pada halaman depan Tafsir Nur al-Ihsan ialah Al-'Alim Al-Fadhil Al-Haji Muhammad Sa'id bin Umar Qadhi Jitra Kedah.

Yang dimaksudkan dengan al-Qad-hi Baladan, ialah negeri asalnya ialah Kedah. Jawatan beliau pula ialah al-Qadhi Syar'iyan, maksudnya ialah sebagai Kadi Syar'ie di Jitra. Beliau mengaku pula asy-Syafi'ie Mazhaban, maksudnya bermazhabkan Mazhab Syafi'ie. Dengan jelas diakuinya pula an-Naqsyabandi al-Ahmadi Thariqatan, iaitu beramal dengan Thariqat Naqsyabandiyah Ahmadiyah. Thariqat Naqsyabandiyah aliran ini dinamakan Naqsyabandiyah Ahmadiyah Muzhhariyah kerana berpegang dengan Mujaddidnya yang bernama Sayid Ahmad al-Muzhhar. Ada lagi yang dinamakan Naqsyabandiyah al-Khalidiyah kerana berpegang dengan Mujaddidnya yang bernama Syeikh Khalid al-Kurdi. Kedua-dua Thariqat Naqsyabandi yang tersebut diamalkan oleh ramai ulama di seluruh dunia termasuk ulama di dunia Melayu juga. Oleh itu tuduhan melulu yang mengatakan "semua tariqat adalah sesat'' adalah tidak berasas sama sekali.

LAHIR DAN PENDIDIKAN

Ada riwayat yang menyebut bahawa Haji Muhammad Sa'id bin Umar lahir sekitar tahun 1270 H/1854 M di Kampung Kuar, Jerlun, Kedah. Dan wafat pada tahun 1351 H/1932 M. Walau bagaimana pun penulis masih ragu dengan tahun kelahiran yang diriwayatkan itu, kerana berdasarkan tulisan beliau sendiri pada penutup Tafsir Nur al-Ihsan, juzuk keempat, ada menyebut bahawa Syeikh Wan Sulaiman, Syeikh al-Islam Kedah, adalah guru beliau. Sedangkan Syeikh Wan Sulaiman, Syeikh al-Islam Kedah, yang lahir 1291 H/1874 M bererti lebih muda daripada Haji Muhammad Sa'id bin Umar sekitar 20 tahun.

Mengenai pendidikannya pula ada riwayat yang menyebut bahawa Haji Muhammad Sa'id bin Umar pernah belajar di Pondok Bendang Daya, Patani, sempat belajar kepada pengasasnya Syeikh Haji Wan Mustafa al-Fathani (Tok Bendang Daya pertama), tetapi yang lebih banyak beliau belajar ialah kepada Syeikh Abdul Qadir bin Mustafa al-Fathani (Tok Bendang Daya ke-2). Memperhatikan riwayat ini berertilah Haji Muhammad Sa'id bin Umar seangkatan dengan Haji Ismail bin Mustafa al-Fathani atau lebih terkenal sebutan di Kedah dengan "Cik Doi @ Cik Dol'', iaitu ayah kepada Tuan Guru Haji Husein Cik Doi, Tok Kelaba dan ramai lagi. Haji Muhammad Sa'id bin Umar juga melanjutkan pendidikannya di Mekah seperti ulama-ulama lainnya.

PENULISAN

Hanya dua judul karangan Haji Muhammad Sa'id bin Umar Kedah yang telah diketahui, judul yang pertama ialah Fatawal Qad-hi fi Ahkam an-Nikah. Judul ini bermaksud Fatwa-Fatwa Kerajaan Kedah Tentang Hukum-Hukum Nikah Kahwin, diselesaikan di Negeri Kedah Darul Aman, hari Khamis, 25 Syaaban 1320 H (27 November 1902 M, pen:), Kandungannya membicarakan pelbagai aspek tentang nikah kahwin.

Dinyatakan pada muqaddimah, "Ada pun kemudian daripada itu, maka tatkala adalah tahun dua puluh, kemudian daripada seribu dan tiga ratus daripada Hijrah (1320 H, pen:) telah bertitah akan hamba oleh Sultan yang mu'azzam dan haqqan, yang mukarram, yang me[ng]hamburkan panji-panji keadilan atas segala rakyatnya, iaitu Maulana Sultan Abdul Hamid Halim Syah ibni al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukrim Syah, Yang Maha Mulia, yang khalifah ia pada melakukan hukum Tuhannya Yang Mannan pada Negeri Kedah Darul Aman.

Qahirah

Telah dikekal oleh Allah s.w.t. kiranya akan daulatnya yang qahirah. Dan [di]tinggikan kiranya akan martabatnya di dalam dunia dan akhirat. Dan dipeliharakan kiranya daripada segala seterunya zahir dan batin. Dan dipalingkan kiranya daripadanya kejahatan tiap-tiap yang mempunyai hasad pada sekarang dan ke hadapan ...``. Pada akhir karangan dinyatakan, ``Maka telah selesailah barang yang dikashad oleh faqir ilallahil qarib Muhammad Sa'id bin Umar Khatib daripada mentaswidkan Fatawa Kedah pada menyatakan masalah nikah, dan talaq, dan raj'ah, dan diyat, dan hudud, dan qadha, atas jalan ikhtishar pada hari Khamis, dua puluh lima Syaaban di dalam negeri Kedah Darul Aman tahun seribu tiga ratus dua puluh. Serta faqir hantar kepada Tuan Haji Ahmad Hakim bin Tuan Haji Muhammad Zain, dan Tuan Haji Idris bin Tuan Jamal, dan Tuan Haji Muhammad Amin bin Tuan Ismail, Anak Bukit, pintak ipa tashhihkan. Maka sudahlah ipa tashhih ... `` Dicetak oleh Mathba' tempat cetak Kerajaan Kedah, Alor Setar, pada 7 Syaban 1348 H.

Tafsir Nur al-Ihsan merupakan terjemah dan tafsir al-Quran dalam bahasa Melayu yang lengkap tiga puluh juzuk, ia merupakan yang kedua sesudah Turjuman al-Mustafid atau Tafsir al-Baidhawi. Penulisan dilakukan mulai tahun 1344 H/1925/6 M dan selesai pada 1 Rabiulakhir 1346 H/27 September 1927 M. Terdiri daripada empat juzuk. Juzuk yang pertama, mulai surah al-Fatihah hingga surah al-Maidah. Tebal 296 halaman. Juzuk yang kedua, mulai surah al-An'am hingga surah al-Isra'. Tebal 429 halaman. Juzuk yang ketiga, mulai surah al-Kahfi hingga surah az-Zumar. Tebalnya 432 halaman.

Pada juzuk yang ketiga ini ada dinyatakan selesai menulis pada hari Isnin, 27 Zulhijjah 1345 H. Juzuk yang keempat, mulai surah al-Mu'min hingga surah an-Nas. Diselesaikan 1 Rabiulakhir 1346 H. Tebal 387 halaman.

Pada akhir Tafsir Nur al-Ihsan, Haji Muhammad Sa'id bin Umar menyatakan, ``Telah selesailah bi `aunillah wa husnit taufiq daripada mentaswid Tafsir Nur al-Ihsan ini oleh faqir ilallahi Subhanahu wa Ta'ala Sa'id bin Umar al-Qad-hi baladan, asy-Syafi'ie Mazhaban, an-Naqsyabandi al-Ahmadi Thariqatan, al-Qadhi Syar'iyan, pada pagi hari Arba', sehari bulan Rabi'uts Tsani, tahun seribu tiga ratus empat puluh enam, zaman Hadhrat Maulana Al-Mu'azzam Sultan `Abdul Hamid Halim Syah Ibni Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukrim Syah, Negeri Kedah Darul Aman, dan hadhra najal (anak laki-laki, pen:)nya Maulana Al-Mu'azzam Tunku Ibrahim Raihin Banghasa, dan hadhrat syaqiq (saudara laki-laki, pen:) nya Maulana Tunku Mahmud Wais Presiden. Ialah asbab pada menyuratnya, dengan isyarat Syeikhul Waqti wat Thariqah, Mursyidi wa Ustazi Syeikh Sulaiman, Syeikh al-Islam bi Qad-hi Daril Aman.

Maka barang yang didapati berbetulan itu, maka itu daripada Allah kurnia-Nya. Dan yang khatha' (salah, pen:) atau silap qalam itu daripada hamba taqshirnya, diharap tolong perbetul kemudian daripada im'an an-nazhar. Mudah-mudahan dapat manfaat dan dapat ketahui kehendak Allah dalam al-Quran oleh ahli membaca daripada perempuan, dan kanak-kanak sekolah yang membawa jadi tauhid Allah yang melepas daripada kaum asyqiya' (orang-orang yang celaka, pen:) masuk kepada kaum su'ada' (orang-orang yang bahagia, pen:) yang dapat bahagia selama-lamanya ... `` Dari kenyataan di atas dapat diambil kesimpulan bahawa penterjemahan dan pentafsiran al-Quran yang dilakukan oleh Haji Muhammad Sa'id bin Umar ada kaitannya dengan pihak istana kerajaan Kedah Darul Aman ketika itu. Semua juzuk cetakan pertama Tafsir Nur al-Ihsan dicetak Mathba'ah Dar Ihya' al-Kutub al-'Arabiyah, Mesir 1349 H. Dinyatakan hak mencetak tertentu bagi Haji Muhammad bin Haji Muhammad Saleh, guru agama Alor Setar, Kedah. Cetakan pertama dengan nafqah Haji Muhammad bin Muhammad Ali Rawa.

PERBANDINGAN

Untuk mengetahui gaya bahasa, terjemah dan tafsir al-Quran menurut Melayu klasik di sini penulis kemukakan contoh satu ayat dalam surah Muhammad, ayat 22 berdasarkan terjemah dua orang ulama, yang terdahulu dan dibandingkan dengan Tafsir Nur al-Ihsan. Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri dalam Turjuman al-Mustafid, terjemahannya, ``Maka mudah-mudahan kamu, jika berpaling kamu daripada iman, bahawa binasa di dalam bumi, dan kembali kamu kepada pekerjaan jahiliah daripada derhaka dan membunuh, dan kamu putuskan daripada berkasih-kasih dengan segala kerabat kamu'' (ayat 22). Terjemah Syeikh Ahmad al-Fathani dalam Bisyarah al-'Amilin, ``Maka hampir kamu, jikalau berpaling kamu daripada iman, bahawa membinasa kamu di dalam bumi, dan memutus kamu akan segala rahim kamu.''

Terjemah

Kedua-dua contoh di atas lebih bercorak terjemah, sedang Haji Muhammad Sa'id Kedah dalam Tafsir Nur al-Ihsan, lebih bercorak tafsir, ialah ``Maka adakah barangkali kamu, jika kamu berpaling daripada iman atau perang itu, bahawa kamu berbuat fasid dalam bumi, dengan binasa tanaman dan bunuh anak-anak lembu, dan kamu putus rahim kamu, dengan balik pada kerjaan jahiliah daripada zalim dan bunuh orang''. Perkataan atau kalimat yang bercorak tafsir dalam Nur al-Ihsan ialah, ``atau perang itu'', ``dengan binasa tanaman dan bunuh anak-anak lembu'', ``dengan balik pada pekerjaan jahiliah daripada zalim dan bunuh orang''.

Ketiga-tiga ulama di atas dalam menterjemahkan perkataan "in tawallaitum'', kepada bahasa Melayu adalah sama, ialah "jika kamu berpaling daripada iman'', tetapi berbeza dengan kebanyakan terjemahan al-Quran sekarang, ialah "jika kamu berkuasa''.

Kedua-duanya adalah terjemahan yang betul, penulis lebih dapat menerima terjemahan Melayu lama kerana seseorang "jika berkuasa'' belum tentu "membuat kerosakan di bumi dan memutuskan rahim'', tetapi apabila seseorang "jika berpaling daripada iman'' ertinya "tidak beriman'' golongan inilah yang melakukan pelbagai "kerosakan di bumi dan tiada kasih sayang sesama manusia''. Fenomena keganasan, peperangan, dan pembunuhan sesama manusia yang terjadi di dunia sekarang ini adalah dilakukan oleh "orang-orang yang sedang berkuasa yang tiada beriman''.


Koleksi Almarhoum Syeikh Wan Mohd Saghir 13/12/2004

Isnin

AHLI FALAK MERAMAL GERHANA MATAHARI

Haji Wan Sulaiman bin Wan Sidek
Haji Wan Sulaiman bin Wan Sidek dilahirkan pada tahun 1874 di sebuah desa pedalaman iaitu Kampung Pulau Tengah dalam Mukim Padang Kerbau, Daerah Kota Star.
Setelah bapanya meninggal dunia, ibunya, Wan Tam berusaha memberikan pendidikan asas yang secukupnya kepada anaknya seperti membaca surat-surat jawi dan Muqaddam. Ketika usianya 9 tahun, Haji Wan Sulaiman belajar Bahasa Melayu di sebuah sekolah kepunyaan Haji Din sehingga lulus darjah tiga.

Apabila berusia 12 tahun, Haji Wan Sulaiman dihantar pula belajar membaca al-Quran dan Pengetahuan Agama Islam kepada Tuan Guru Haji Ismail berasal dari Kelantan. Selepas itu, Haji Wan Sulaiman dihantar belajar Bahasa Inggeris dengan Doktor Gomez (peranakan Ceylon) yang membuka klinik perubatannya di Pekan Melayu. Tetapi disebabkan kenakalannya, beliau sering dimarahi dan dipukul oleh gurunya. Hal itu menyebabkan Haji Wan Sulaiman enggan meneruskan pengajiannya kerana menganggap gurunya itu berbangsa kafir. Sejak itulah beliau berazam untuk melanjutkan pelajaran ke Mekah.

Haji Wan Sulaiman bertolak ke Mekah dengan dibiayai oleh ibu dan saudara-saudaranya pada tahun 1887. Selama 17 tahun berada di Mekah, Haji Wan Sulaiman berjaya menguasai pelbagai bidang ilmu agama Islam termasuklah bahasa Arab, Nahu, Saraf, Hadis, pembacaan dan pengkajian al-Quran dan ilmu Falakiah. Dalam masa tiga tahun terakhir, beliau memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap Ilmu Tarekat Naksyabandiyah Mujaddiyah Ahmadiyah. Dari gurunya iaitu Tuan Sheikh Fakir Muhammad Al-Bukhari, Haji Wan Sulaiman ditauliahkan Khalifah Tarekat yang ke-34. Sewaktu masih berada di Mekah, Haji Wan Sulaiman mengahwini Wan Kalsom (Wan Tom) binti Wan Abdul Hamid, anak bekas Kadi Daerah Yan, Kedah dan dikurniakan 11 orang cahayamata.

Pada tahun 1904, Sultan Abdul Hamid Halim Shah telah menubuhkan Majmuk Ulama untuk membantu baginda mengatasi sebarang masalah yang timbul berkaitan dengan agama Islam. Majmuk ini mengandungi 12 orang ulama dengan dipengerusikan olen Haji Wan Sulaiman sementara Haji Abdullah Fahim (Pak Him) selaku setiausahanya. Ulama-ulama lain yang menganggotainya termasuklah Sheikh Muhammad Khayat, Sheikh Jarum Derga (Haji Wan ldris Wan Jamal), Haji Ahmad Awang, Haji ldris Ayer Hitam, Haji Muhammad Saman (Keramat Serban Hijau), Haji lbrahim Paya Sena, Haji Muhammad Arif Sungai Nonang dan Haji Hussain Nasir Al-Banjari (Tuan Hussain Kedah). Majmuk ini berkumpul setiap malam Jumaat di Masjid Zahir untuk bermuzakarah hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam.

Pada awal tahun 1906, Kerajaan Kedah melantiknya bertugas sebagai Kadi yang kemudiannya menjawat jawatan Kadi Besar dalam tahun 1910. Bidang kerjayanya semakin bersinar apabila beliau dilantik selaku Syeikhul Islam Kedah menggantikan Sheikh Muhammad Khayat pada tahun 1920. (senarai Syeikhul Islam Kedah atau Mufti kedah dari tahun 1901 hingga sekarang boleh dirujuk dilaman web Jabatan Mufti Kedah bahagian Senarai Sahibus Samahah Mufti Negeri Kedah Darul Aman) atau click right and open link in new tab here

Di samping tugas rasminya sebagai Ketua Pentadbir Undang-undang dan agama Islam, beliau banyak mencurahkan segala ilmu pengetahuan yang dipelajarinya di Mekah selama 20 tahun kepada orang ramai di seluruh negeri. Selain daripada orang awam, para pelajarnya termasuklah guru agama, imam dan Pegawai-pegawai Kerajaan. Beliau bukan sahaja menyampaikan kuliah agama di Masjid Negeri, tetapi juga di madrasah tempat kediamannya di Limbong Kapal, Alor Star secara bergilir-gilir pada waktu malam. Beliau juga sering menyampaikan ceramah agama di beberapa buah masjid di daerah lain seperti Bandar Baharu, Kulim dan Yan. Beliau berulang-alik ke tempat tersebut pada mulanya dengan kereta kuda dan kemudiannya dengan motokar Austin bernombor K 51.

Haji Wan Sulaiman amat menentang keras segala ajaran sesat yang menyeleweng dari segi iktikad dan ajaran agama Islam seperti amalan khurafat dan bida'ah yang masih berkembang subur pada masa itu. Amalan-amalan tersebut termasuklah memohon atau bernazar sesuatu pada kuburan yang dianggap keramat, menjamu hantu jembalang dan berubat secara menurun (melupakan diri). Satu-satunya amalan khurafat yang pernah dihapuskan oleh Haji Wan Sulaiman di Bandar Alor Star ialah amalan berkenduri nasi kunyit dan "mandi susu' di tangga atau perkarangan Balai Nobat kerana menunaikan sesuatu niat atau nazar. Beliau juga tidak bersetuju masyarakat Melayu mengadakan kenduri bubur asyura sewaktu menyambut "Hari Asyura" pada 10 Muharram setiap tahun tanpa mengadakan pengkisahan sejarah atau peristiwa mengenainya. Beliau juga menolak "Adat Persandingan" dalam upacara perkahwinan masyarakat Melayu yang menurutnya mencemar kesucian agama Islam kerana bercanggah dengan ajaran agama Islam sebenar.

Dalam bidang pendidikan, beliau berusaha memperbaiki kaedah pengajaran al-Quran yang ketika itu, diasingkan daripada matapelajaran lain di sekolah Melayu. Kaedah baru yang disusun oleh beliau telah diterima oleh pihak kerajaan Kedah dan ini membolehkan kanak-kanak menamatkan pengajian al-Quran dalam masa yang singkat. Beliau juga menubuhkan sebuah sekolah agama moden pada tahun 1916 yang diberi nama "Madrasah Al-Hamidiah" mengambil sempena nama Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Sebagai sebuah sekolah agama Islam moden yang pertama di Kedah dan terawal di Semenanjung, sudah pasti ianya mengikut sistem pendidikan moden dari segala aspek seperti jadual waktu, buku teks, loceng, sukatan pelajaran, peperiksaan untuk naik darjah, guru-guru yang berpengkhususan dan pemberian sijil kepada pelajar yang lulus atau berjaya menamatkan pengajian sehingga darjah lima.

Madrasah Al-Hamidiah yang lebih dikenali sebagai Madrasah Pak Wan Sulaiman atau Sekolah Arab Limbong Kapal itu telah berjaya melahirkan ramai pelajar yang berkelulusan dalam pelbagai bidang seperti menjadi pentadbir, kadi, guru dan pemimpin masyarakat. Antara tokoh-tokoh terkenal termasuklah Dato' Sheikh Abdul Majid bin Mohd. Noor iaitu bekas Pengetua Maktab Mahmud dan Yang Dipertua Majlis Hal Ehwal Islam Kedah; Allahyarham Sheikh Saad bin Said, Pengasas Sekolah Attarbiatul-lslamiah dan bekas Kadi Besar Kedah dan Allahyarham Sheikh Salleh bin Shamsuddin, Guru Maktab Mahmud. Haji Wan Sulaiman bersama dengan Tunku Mahmud kemudiannya merancang untuk menubuhkan sebuah sekolah menengah agama yang lebih tinggi pengajiannya. "Al-Ma'hadil Mahmud" atau Maktab Mahmud yang terletak di Simpang Kuala, Alor Star telah dibina pada 16 Jun 1936 iaitu setelah setahun kematian Haji Wan Sulaiman. Maktab ini mengambil sempena nama Tunku Mahmud.

Dalam bidang karang mengarang, Haji Wan Sulaiman sering digandingkan dengan Tuan Hussain Kedah. Kedua mereka banyak menghasilkan karya-karya agama dalam bentuk kitab dan risalah. Sebagai pengarang yang gigih Haji Wan Sulaiman telah menghasilkan sebanyak 20 buah karya yang mencakupi pelbagai bidang. Beliau juga menghasilkan karya-karya bercorak pendidikan dalam bentuk puisi iaitu syair atau nazam. Hampir semua judul karyanya yang lain itu terdapat dalam bahasa Arab. Haji Wan Sulaiman banyak menyentuh tentang pentingnya mempelajari ilmu Tarekat Naksyabandiyah yang mempunyai kelebihan-kelebihan tertentu dalam karyanya. Perkara ini banyak dibicarakan olehnya dalam beberapa karyanya seperti Putuhatul-Kadihiyat, Nihayatul-Matlub, Haudhul-Maurud, Nursataak, Fakihatun-Janiah dan Mizanul-uklali wal-Udaba. Salah sebuah karyanya yang berbentuk syair atau nazam berjudul "Nazam Qasidah Lagu lbyari" telah dihasilkan olehnya di atas keretapi dalam tahun 1926 ketika turut mengiringi Tunku Mahmud ke Bangkok. Isi puisi tersebut mengandungi huraian tentang "Aqaidul-Iman' di mana amat sesuai diajar kepada kanak-kanak terutamanya di peringkat asuhan atau pra sekolah melalui lagu atau nasyid.

Sebagai seorang yang berkebolehan dalam ilmu Falakiah, beliau berjaya meramal akan berlakunya kejadian gerhana matahari dalam tahun 1928 dan dapat menerangkan kejadian gerhana itu secara saintifik melalui sebuah risalahnya berjudul "Risalah Nasihat Fasal Gerhana". Sehubungan dengan ini, Haji Wan Sulaiman pemah mengeluarkan siaran pekeliling untuk membantu para petani dalam hal mengerjakan sawah di mana mengandungi jadual musim-musim piama bendang di negeri Kedah.

Kamus Bahasa:
piama = musim ~ musim yg baik utk memulakan penanaman padi, musim hujan; awal ~ permulaan musim hujan; sayup ~ akhir musim hujan; semasak buah ~ genap satu musim dlm setahun

Haji Wan Sulaiman meninggal secara mengejut di rumahnya di Limbong Kapal pada 28 Muharam 1354 bersamaan 2 Mei 1935 iaitu dalam usia 61 tahun. Bagi mengenangkan sumbangan Haji Wan Sulaiman yang amat bernilai itu, Kerajaan Kedah telah memberikan sanjungan dan penghormatan yang tinggi kepadanya dengan mengizinkan jenazahnya dikebumikan di Makam Diraja. Selain itu, Sekolah Kebangsaan Kanchut di bandar Alor Star telah diabadikan dengan nama beliau iaitu Sekolah Kebangsaan Wan Sulaiman Sidek yang didirikan pada 1 Mac 1985.

Artikel diambil dari laman mykedah2.com

Ahad

IDEANYA TAJAM BAGAIKAN JARUM

( Sultan Kedah Abdul Hamid Halim Shah 1881 - 1943, Sultan yang menitahkan
agar Tok Syeikh Jarum Derga menetap di Kedah) sumber gambar


Haji Wan Muhammad Idris Bin Haji Wan Jamal(Tok Syeikh Jarum Derga)
Tok Sheikh Jarum atau nama penuhnya ialah Haji Wan Muhammad ldris bin Haji Wan Jamal dilahirkan pada tahun 1266 Hijrah bersamaan 1849 Masihi. Beliau dilahirkan di Kampung Bendang, Daerah Jaha dalam Wilayah Yala, Patani.

Gelaran 'Jarum' di hujung nama Haji Wan Muhammad ldris dikatakan berpunca dari peristiwa sewaktu Raja Patani mengumpul beberapa orang ulama di istananya untuk berbincang masalah 'hukum rejam' dalam Islam. Ketika Raja Patani meminta Haji Wan Muhammad ldris memberikan pendapat, ulama yang paling muda itu dapat menjawab dengan pintar dan tepat. Ketajaman fikiran yang difikirkan oleh raja seperti 'Jarum' itulah menyebabkan baginda menggelarnya, 'Tok Sheikh Jarum'.

Berdasarkan sumber kedua, iaitu catatan yang diperolehi dari cucunya, Haji Wan Muhammad ldris adalah berasal dari keturunan 'Al-Jarmi' di Hadhramaut, Tanah Arab. Di dalam catatan tersebut tertulis :"Sheikh ldris atau Sheikh Jarum bin Jamal masyhur dengan panggilan Wan ldris bin Wan Abdul Jamal bin Abdul Latif bin Sheikh Muhammad Shamsuddin bin Muhammad Fakeh bin Muhammad Yassin bin lbrahim Al-Hadharamaut bin lbar Hadharamaut Al-Jarmi". Salah seorang anak Tok Sheikh Jarum yang terkenal yang memakai gelaran ini ialah Haji Abdul Rahman Al-Jarum.

Tok Sheikh Jarum mula mempelajari pelajaran agama Islam dari gurunya yang juga sebagai ayah angkatnya bernama Haji Minai atau lebih dikenali dengan panggilan Tuan Minai atau Tok Sheikh Minai iaitu pengarang kitab Kashfal-Litham dan Aqidat Al-Najin yang sangat terkenal. Beliau telah membawa Tok Sheikh Jarum ke Mekah untuk menunaikan haji. Apabila beliau kembali ke tanahair, Tok Sheikh Jarum tidak ikut serta kerana beliau mahu mendalami pengajiannya di dalam bidang bahasa Arab, Usuluddin, Tafsir dan Fiqah.

Sekembalinya dari Mekah, Tok Sheikh Jarum mengajar beberapa tahun di pondok Tuan Minai di Bendang Dalam, Patani. Kali kedua beliau berangkat ke Mekah ialah pada tahun 1895 dengan ketiga-tiga orang isterinya dan dua orang muridnya yang berasal dari Kedah iaitu Haji Mohamad Salleh Haji ldris dan Haji Muhammad Taib. Kali ini beliau tidak tinggal lama di Mekah kerana cita-citanya ingin pulang ke tanahair untuk mengasaskan perkampungan pondoknya sendiri.

Pada awal tahun 1900, Tok Sheikh Jarum bersama isteri-isterinya meninggalkan Mekah dan berniat untuk singgah di Kedah. Di Kedah, beliau tinggal di rumah seorang muridnya, Haji Awang di Pondok Kubang Siam. Berita ketibaan ulama Patani di kampung itu dan kemasyhurannya telah sampai ke pengetahuan Sultan Kedah, Sultan Abdul Hamid Halim Shah melalui Sheikh Ahmad Daim, Kadi Besar Kedah waktu itu. Baginda dikatakan meminta supaya Tok Sheikh tinggal menetap di Kedah untuk mengembangkan syiar Islam di samping diberi tugas menjadi Guru Agama di istana. Permintaan baginda itu diterima oleh Tok Sheikh Jarum kerana bersesuaian dengan cita-citanya.

Tok Sheikh Jarum diberi tempat tinggal percuma di bandar Alor Star. Tetapi disebabkan suasana kesibukan dan kebisingan di bandar tidak sesuai baginya tinggal terus di situ, maka beliau memohon suatu tempat atau kawasan untuk membolehkan beliau membangunkan sekolah pondoknya. Permohonannya dibenarkan dan setelah diberi, Tok Sheikh Jarum memohon suatu tempat yang terletak di Derga. Di situlah beliau meneroka dan mendirikan perkampungan pondoknya dengan bantuan orang-orang dari Kanchut, Alor Star.

Dalam beberapa tahun sahaja, purata jumlah pelajarnya bertambah setiap tahun sehingga pondoknya meningkat kepada dua ratus buah. Oleh kerana pertambahan tersebut, Tok Sheikh Jarum membahagikan kawasan pondoknya kepada dua bahagian iaitu 'pondok luar' dan 'pondok dalam'. Di samping mengajar di pondoknya, beliau juga kerap ke istana untuk mengajar agama kepada putera-puteri diraja. Setiap kali ke istana, beliau menaiki kereta kuda khas yang datang mengambil dan menghantarnya pulang.

Mata pelajaran yang diajar oleh Tok Sheikh Jarum di pondoknya termasuklah Usuluddin, Tafsir, Fiqah dan bahasa Arab. Anak-anak murid Tok Sheikh Jarum ramai yang berjaya menjadi ulama terkenal di samping menjadi imam dan ada pula yang menurut jejaknya mengasaskan pondok masing-masing.

Tok Sheikh Jarum merupakan salah seorang ulama yang pernah dipilih menduduki barisan Majmak Ulama Dua Belas berpusat di Masjid Zahir, Alor Star yang dipengerusikan oleh Syeikhul-lslam Kedah, Haji Wan Sulaiman Wan Sidek. Mereka berkumpul setiap malam Jumaat bermuzakarah tentang agama dan mengeluarkan sesuatu fatwa.

Selain dari bidang agama, Tok Sheikh Jarum juga sering diminta mengubati orang-orang sakit dan beliau juga arif dalam melihat tuah ayam dan burung. Kebetulan pada waktu Tok Sheikh Jarum mendirikan pondoknya, Derga merupakan pusat atau gelanggang menyabung ayam yang terkenal di Alor Star.

Dengan kearifanya melihat rahsia ayam dan burung mudah bagi beliau mendekati penyabung-penyabung ayam sebagai salah satu method dakwah yang penuh berhikmah, ramai golongan ini yang berhenti dan bertaubat dari melakukan aktiviti yang menyalahi syariat berjudi dan menzalimi makhluk.

Tok Sheikh Jarum disifatkan sebagai seorang ulama yang bertindak tegas dan tetap pendirian. Satu contoh yang dapat dikaitkan dengan sifat tersebut ialah penghijrahan beliau ke Kedah disebabkan tidak bersetuju di atas dasar pemerintahan Thai yang memaksanya mengorek sebatang tali-air di kampungnya.

Kira-kira sepuluh tahun ia diasaskan, pada tahun 1909 pondok itu ditakdirkan musnah dalam suatu kebakaran besar. Punca kebakaran itu dihubungkaitkan dengan pembakaran ikan terubuk kerana boleh dikatakan setiap hari rata-rata penghuni pondok itu membakar ikan terubuk. Kebakaran yang amat dahsyat itu tidak dapat dicegah kerana ianya berlaku dalam sekelip mata. Kesan yang masih tinggal dan dapat disaksikan hingga ke hari ini ialah tiga buah telaga batu di kawasan itu. Salah sebuah daripadanya masih dapat digunakan lagi airnya.

Pihak kerajaan bertindak segera membina rumah-rumah panjang di kawasan itu untuk para penghuni dan juga tempat belajar agar pengajian dapat diteruskan. Dua tahun kemudian iaitu pada 6 April 1911, Tok Sheikh Jarum meninggal dunia ketika berusia 63 tahun. Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Derga. Pondok yang diasaskannya beransur-ansur menemui zaman kejatuhannya.

Sehingga kini, walaupun Tok Sheikh Jarum tiada lagi, boleh dikatakan ramai anak cucunya tergolong dalam kumpulan orang-orang yang dihajati oleh beliau, antaranya termasuklah :

1. Tuan Haji Abdul Rahman AI-Jarumi, anaknya yang menjadi Guru Agama Diraja di zaman Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Beliau meninggal pada tahun 1954.
2. Tuan Haji ldris bin Haji Abdul Rahman. Cucunya yang mengasaskan Pondok Alor Mengkudu, Alor Star.
3. Tuan Haji Hussin bin Haji Abdul Rahman. Cucunya yang pernah menjadi imam Masjid Zahir, Alor Star.
4. Dato' Sheikh Tajuddin bin Haji Abdul Rahman (Dato' Mursyid Diraja). Cucunva yang kini dilantik sebagai Ahli Majlis Fatwa di Jabatan Agama Islam Kedah dan juga selaku Pengetua Sekolah Menengah Nahdhatul Hasanah, Melele, Jitra.
5. Tuan Haji Abdul Ghani bin Haji Mohd. Noor. Cucunya yang juga seorang 'Hafiz'. Meninggal di Mekah pada tahun 1987.
6. Tuan Haji Nawawi bin Haji Ahmad. Cucunya yang pernah bertugas sebagai Nazir Sekolah-sekolah Agama Kedah. Terkenal sebagai seorang 'Qari' dan Penggubah Nasyid, juga seorang pendakwah yang berpengaruh. Banyak mengasaskan sekolah-sekolah agama termasuk Tarbiatul Banat di Seberang Perak, Alor Star bersama Ustaz Haji Saad bin Said, pada tahun 1948 yang kemudiannya dipindahkan ke Jalan Pegawai, Alor Star pada tahun 1958 dengan memakai nama Attarbiatul-lslamiah. Tuan Haji Nawawi meninggal pada 10 April 1985.
7. Tuan Haji Abdul Hamid bin Haji Abdul Rahman. Cucunya iaitu seorang guru bersara dari Maktab Mahmud, Alor Star. Kini menjadi imam Masjid Al-lrfan, Derga.
8. Tuan Sheikh Abdul Razak bin Haji Yusof, cucunya yang berkelulusan Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Kini bertugas sebagai Pegawai Pendidikan Sekolah-sekolah Agama di Jabatan Agama Islam Kedah.
9. Tuan Sheikh Fadzil bin Mohd. Noor. Cicitnya yang berkelulusan Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Pernah bertugas sebagai pensyarah di universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur. Kini selaku Yang Dipertua Agung Parti Islam Se-Malaysia.
10. Ustaz Muhamad Amin Al-Jarumi, cicitnya yang kini menjadi Pensyarah di Institut Teknologi Mara, Kuala Lumpur.

Selain dari nama-nama tersebut, masih terdapat cicitnya yang bernama Haji Abdullah bin Haji ldris atau lebih dikenali dengan nama Haji Abdullah Sarah yang membuka sebuah perkampungan pondok terbesar di Kampung Sarah, Patani. Sistem pengajaran dan pembelajaran di pondoknya masih mengekalkan ciri-ciri sistem tradisional

[Sumber dari mykedah2.com]

TOK SHEIKH JARUM MOYANGNYA DATO' FADZIL NOOR

(KUBUR Tok Sheikh Jarum di Tanah Perkuburan
Islam Masjid Al-Irfan, Derga.)


Tok Sheikh Jarum lahirkan ramai tokoh agama
SEJAK dari awal lagi, syiar Islam di Kedah terus berkembang subur walaupun melalui pelbagai perubahan di sepanjang 867 tahun di bawah pemerintahan 28 Sultan. Sepanjang tempoh itu, ulama di negeri ini bukan hanya sebagai pendakwah, malah mereka turut bertugas sebagai penasihat istana.

Sebagaimana negeri Melayu lain di Nusantara, pada peringkat awal kemasukan ulama Islam di Kedah kebanyakannya berasal dari luar, iaitu Yaman dan Hijaz di Arab Selatan yang datang berdagang di negeri ini.

Pada abad ke-19 pula ramai di antara mereka yang berasal dari negeri Melayu lain berhijrah dan tinggal menetap di Kedah.

Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah, Datuk Wan Shamsuddin Mohd Yusof, berkata antara yang terkenal, termasuk Sheikh Wan Muhammad Idris Wan Jamal atau lebih dikenali sebagai Tok Sheikh Jarum yang berasal dari Patani, Selatan Thailand. Tok Sheikh Jarum dilahirkan pada 1849 di Kampung Bendang, Daerah Jaha, Yala, Patani.

Gelaran ‘Jarum’ di hujung nama beliau dikatakan berpunca daripada peristiwa sewaktu Raja Patani mengumpul beberapa orang ulama di istananya untuk berbincang masalah hukum rejam dalam Islam. Ketika Raja Patani meminta Wan Muhammad ldris memberikan pendapat, beliau selaku ulama yang paling muda itu dapat memberikan pandangan yang bernas, pintar dan tepat.
Ketajaman fikirannya itu menyebabkan Raja Patani itu menggelarnya sebagai Tok Sheikh Jarum.

Beliau mula mendalami Islam melalui gurunya yang juga ayah angkatnya, Minai atau lebih dikenali dengan panggilan Tok Sheikh Minai iaitu pengarang kitab Kashfal-Litham dan Aqidat Al-Najin yang amat terkenal.

Selain mengajar agama, Tok Sheikh Minai turut membawa Tok Sheikh Jarum ke Makkah untuk menunaikan haji. Bagaimanapun, Tok Sheikh Jarum menetap di Makkah selama beberapa tahun kerana mendalami Bahasa Arab, Usuluddin, Tafsir dan Fiqah.

Cucu beliau, Abdul Hamid Abdul Rahman, 77, berkata sekembali dari Makkah dan tiba di Pengkalan Kapal, Pekan Cina, Alor Star, datuknya ditahan Kadi Besar Kedah, Sheikh Ahmad Daim dan diminta menghadap Sultan Kedah ketika itu, Sultan Abdul Hamid Halim Shah yang kemudian menitahkan Tok Sheikh Jarum menetap di Kedah untuk mengembangkan syiar Islam.

"Tok Sheikh Jarum diberi kepercayaan oleh pihak istana selepas Sultan mengetahui kemasyhuran beliau ketika itu.

"Disebabkan minat yang tinggi mahu melihat agama Islam berkembang di Kedah, Tok Sheikh Jarum membuka pondok mengaji agama di Derga, selain menjadi guru di Istana Anak Bukit," katanya yang juga imam Masjid al-Irfan, Derga yang diasaskan datuknya itu.

Dalam tempoh beberapa tahun saja jumlah pelajarnya bertambah sehingga pondoknya meningkat kepada kira-kira 200 buah. Walaupun sibuk mengajar di pondok, Tok Sheikh Jarum yang mempunyai enam anak masih sempat mengajar agama untuk putera dan puteri Sultan.

Disebabkan ketokohannya, beliau turut dipilih menganggotai sekumpulan 12 ulama tersohor di Kedah yang berpusat di Masjid Zahir untuk bermuzakarah dan mengeluarkan fatwa.

Selain ketokohannya dalam bidang agama, Tok Sheikh Jarum juga sering diminta mengubati penyakit penduduk sekitar Derga.

Malah, beliau juga dikatakan mempunyai kelebihan dapat menentukan tuah ayam yang mana kebetulan ketika mendirikan pondok, Derga adalah pusat kegiatan menyabung ayam terkenal di Alor Star.

Sambil melihat tuah ayam, Tok Sheikh Jarum dikatakan bijak menarik penyabung ayam supaya lebih dekat dengan ajaran Islam dengan mengajak mereka makan tengah hari di rumah serta diberikan nasihat. Hasilnya ramai kaki sabung ayam yang meninggalkan perbuatan itu.

Selepas 10 tahun ditubuhkan, iaitu sekitar 1909, kawasan pondok beliau mengalami kebakaran besar yang menyebabkan ia musnah sama sekali, termasuk banyak kitab yang beliau tulis dan gunakan untuk mengajar ketika itu.

Kebakaran itu dikatakan berpunca daripada api digunakan penghuni pondok untuk membakar ikan terubuk yang dikatakan mudah diperoleh di Alor Star selain harganya amat murah iaitu antara satu dan dua sen saja seekor.

Ketika hayatnya, beliau turut membina Masjid Derga di kawasan pondoknya itu. Bangunan asal masjid itu masih kukuh dan digunakan hingga sekarang dan dikenali sebagai Masjid al-Irfan. (semoga Allah memberkati orang yang bernama Erfan)

Kerajaan kemudian membantu mendirikan rumah panjang bagi menggantikan pondok yang terbakar, tetapi ia mengalami zaman suram selepas Tok Sheikh Jarum meninggal dunia pada 6 April 1911 ketika berusia 63 tahun kerana cirit birit.

Ramai keturunan Tok Sheikh Jarum mengikut jejak langkahnya, termasuk cicitnya, bekas Presiden Pas, Datuk Fadzil Noor yang berkelulusan Universiti Al-Azhar, selain pernah bertugas sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

INFO: Antara anak dan cucu yang mengikut jejak langkah beliau

* Anaknya, Abdul Rahman AI-Jarumi menjadi Guru Agama Diraja di zaman Sultan Abdul Hamid Halim Shah.

* Cucunya, Idris Abdul Rahman mengasaskan Pondok Alor Mengkudu, Alor Star.

* Cucunya, Hussin Abdul Rahman pernah menjadi imam Masjid Zahir, Alor Star.

* Cucunya, Datuk Sheikh Tajuddin Abdul Rahman pernah menjadi ahli majlis fatwa negeri Kedah.

* Cucunya, Abdul Ghani Mohd Noor seorang hafiz dan guru al-Quran.

* Cucunya, Nawawi Ahmad, pernah bertugas sebagai nazir sekolah agama Kedah dan penggubah lagu nasyid.

[sumber] tulisan : Azmi Md Deros dalam Berita Harian

TOK AYAH PUNYA ILMU PENGGERUN HARIMAU

Haji Muhammad Salleh bin Haji Idris
Haji Muhammad Salleh telah dilahirkan pada tahun 1870-an di Kampung Bendang Badang, Patani, Thailand. Beliau juga dikenali dengan nama 'Tok Ayah Lubuk Kawah'. Beliau mendapat pendidikan awal di Pondok Kampung Bendang Badang, Patani di bawah asuhan Wan Muhammad Idris bin Wan Muhammad Jamal atau lebih dikenali dengan nama Tok Sheikh Jarum. Tetapi pengajiannya terhenti seketika setelah Tok Sheikh Jarum berhijrah ke Kedah. Tidak lama kemudian, beliau dan bapanya turut berhijrah ke Kedah dan di Kedah, beliau mendesak bapanya mencari Tok Sheikh Jarum untuk menyambung pengajiannya. Beliau merupakan murid harapan Tok Sheikh Jarum dan justeru itulah beliau dilantik menjadi kepala mutala'ah (Ketua Murid). Beliau meneruskan pengajiannya di Tanah Suci Mekah dan menimba ilmu daripada beberapa orang guru, antaranya seperti Sheikh Abdullah Singgora.

Sekembalinya dari Mekah, beliau mengembara dengan berjalan kaki untuk mencari ilmu agama. Dari Kedah, beliau bertolak ke Patani, ke Kelantan dan seterusnya ke Terengganu. Di Terengganu, beliau menyebarkan semua ilmu yang dipelajarinya dengan mengajar di surau Kampung Losong. Beliau kembali semula ke Kedah tidak lama kemudian dan membuka sebuah pondok di Sungai Korok, Alor Changleh, Jitra, Kedah. Semasa mentadbir institusi pondok tersebut, beliau diminta memangku jawatan Tok Guru yang pergi menunaikan fardhu Haji di Mekah.

Haji Muhammad Salleh menyumbang tenaga dengan mengajar al-Quran kepada penduduk kampung. Kemudian, barulah beliau memulakan pengajian pondok di atas tanah seluas 5 ekar yang diwakafkan oleh penduduk Lubuk Kawah. Pelajaran yang diajar adalah berbentuk keagamaan seperti Fiqah, Tafsir, Hadis, al-Quran dan sebagainya.

Satu sifat beliau yang agak ganjil yang ada pada tokoh ini ialah beliau memelihara anjing. Jarang orang alim memelihara anjing dan sifat tersebutlah yang menjadikan beliau sebagai luar biasa. Namun, baginya anjing yang dipelihara itu adalah untuk mengawal keselamatan kampungnya daripada perompak atau binatang buas.

Beliau tidak ketinggalan dalam bidang perubatan secara tradisional di mana beliau akan mengubati pesakitnya dengan menggunakan penawar daripada akar pokok kayu. Rumah Haji Muhammad Salleh juga menjadi tempat orang mencari perlindungan daripada sebarang ancaman terutamanya penyamun. Pada masa pendudukan Jepun, pondoknya juga menjadi perlindungan daripada keganasan askar-askar Jepun. Ini disebabkan sifat keberanian yang ada padanya. Beliau dikatakan memakai 'penggerun harimau'. Lantaran itulah harimau tidak berani mengganggunya walaupun beliau berada di kawasan hutan yang banyak harimau.

Haji Muhammad Salleh menjalankan kegiatan dakwah secara aktif namun beliau tidak terikat dengan sebarang ajaran tarikat. Dalam bidang tarikat, beliau lebih suka bersikap berkecuali terutama di dalam pertikaian ilmu tarikat. Haji Muhammad Salleh meninggal dunia pada pertengahan tahun 1943

[Sumber]

PENERUS PONDOK BANANA ISLAND

Haji Muhammad Salleh bin Haji Hashim
Haji Muhammad Salleh dilahirkan di Kampung Pulau Pisang, Mukim Tunjang, Jitra pada tahun 1864. Pendidikan awal yang diterima beliau ialah menerusi pondok Kampung Pulau Pisang yang ditadbir oleh datuknya. Haji Muhammad Salleh adalah cucu kepada Haji Ishak bin Muhammad Hashim, pengasas pusat pendidikan pondok Kampung Pulau Pisang dan Kadi Besar di negeri Kubang Pasu Darulqiyam yang diperintah oleh Tunku Anom dari tahun 1841 sehingga tahun 1853. Beliau telah dihantar ke Mekah untuk memperluaskan lagi pengetahuan keagamaan pada tahun 1879 dan berada di sana selama 15 tahun. Haji Muhammad Salleh berjaya menguasai Ilmu Fiqah, Tauhid, Usuluddin, Tasawuf, Tafsir, Hadis dan ilmu bantu seperti Nahu dan Saraf dengan cekap. Beliau pulang ke Kedah ketika berusia 30 tahun.

Pusat pendidikan pondok di Pulau Pisang terus mendapat perhatian setelah kematian Haji Ishak kerana Haji Muhammad Salleh telah meningkatkan kegemilangan pondok tersebut di mana terdapat pertambahan jumlah murid iaitu di antara 800 hingga 1000 orang. Terdapat beberapa faktor yang menyumbang ke arah perkembangan dan kemajuan pusat pendidikan pondok di Kampung Pulau Pisang semasa pentadbirannya. Pertamanya, dari segi sejarah, Pulau Pisang telah mencapai taraf bandar dan menjadi ibu negeri Kubang Pasu sewaktu pemerintahan Tunku Anom. Keduanya, Haji Ishak yang telah menjadi Kadi Besar berjaya meletakkan asas ajaran Islam yang kukuh. Ketiganya, kewibawaan Haji Muhammad Salleh sendiri sebagai ulama yang gigih meninggikan syiar Islam dan keempatnya, kesedaran masyarakat untuk mendapat ilmu akhirat di samping menjauhi kejahilan.

Antara kitab yang digunakan dalam pengajian Fiqah ialah Minhaj Al Abidin, Fath Al Mu'in Al Baijuri dan Matan Al Minhaj. Manakala kitab Tauhid yang digunakan terdiri daripada Dusuqi, Kifayah Al Awam, Hidayah Al Salikin, Bidayah dan Dur Al Thamin. Kitab Tasawuf ialah Ihya Ulumuddin, Dur Al Nafis dan Risalah Al Muawanah. Kitab Hadis ialah Jauhar Al Tauhid dan Jawahir Al Bukhari. Tafsir yang digunakan ialah Jalalayn dan Tafsir Al Baidawi.

Haji Muhammad berupaya mengarang banyak kitab yang terkenal hingga ke Timur Tengah. Antara kitab karangan beliau ialah Sirajul-huda, Tanbihul-Awam Listiqadzil-Mana dan Nasihatuddin Azzakiyah. Namun begitu, semua kitab karangan beliau tidak bertahan lama kerana telah musnah dalam peristiwa kebakaran di pondok tersebut.

Beliau tidak hanya melibatkan diri dalam bidang keagamaan sahaja, di mana beliau bertanggungjawab menyediakan kemudahan sosial seperti membina jalan besar iaitu sebatang jalan besar yang menghubungi Kampung Pulau Pisang dengan Pekan Tunjang. Selain itu, beliau telah mengemaskini Masjid Ishaqiah dan mengasaskan more dan kenduri berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan. Setelah berbakti selama 50 tahun mengembangkan ajaran Islam di pondok Pulau Pisang, beliau meninggal dunia pada tahun 1944

* Artikel pendek biodata Tuan Guru Haji Muhammad Salleh Pulau Pisang ini diambil dari laman mykedah2.com , Penulis tersohor Almarhoum Syekh Wan Mohd Saghir r.a ada menulis artikel tentang Tuan Guru Haji Salleh ini, dipersilakan baca tulisan beliau untuk mengetahui lebih lanjut hikayat Tuan Guru Hj Salleh Banana Island yang amat masyur ini disini

ULAMA DAN THOBIB TERSOHOR YAN KEDAH

(Gambar Haji Muhammad Said Yan)
Tuan Haji Muhammad Said Bin Muhammad Taib
Tuan Haji Muhammad Said Yan atau nama penuh beliau Tuan Haji Muhammad Said bin Penghulu Muhammad Taib dilahirkan di Anak Bukit, Alor Star, Kedah pada tahun 1877. Beliau mendapat pendidikan awal di Pondok Haji Mat Tamim, Anak Bukit. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran agamanya di Sekolah Agama Hamidiah, Limbong Kapal, Alor Star

* Ulama dan penulis tersohor Syeikh Wan Mohd Saghir dalam artikelnya di akhbar utusan Malaysia meragui yang Tuan Haji Muhammad Said Yan pernah belajar di Sekolah Agama Hamidiah, Limbong Kapal, Alor Star Kedah. Artikel beliau boleh dibaca disini

Seterusnya, beliau telah berusaha mendalami pelajaran agamanya di Mekah selama beberapa tahun. Setelah pulang ke tanahair, beliau berkahwin dengan Che Dun, iaitu anak saudara Pak Wan Sulaiman bin Wan Sidek, yang ketika itu menjadi Syeikhul Islam Negeri Kedah.

Beliau berpindah ke Titi Bakong, Yan dan mengajar agama dengan membuka kelas agama di rumahnya sendiri. Beliau mengajar berbagai-bagai pelajaran agama kepada orang-orang dewasa, termasuklah ilmu Tauhid, Fikah, Tasawuf, Hadis dan al-Quran. Pelajar-pelajar beliau datang dari merata-rata tempat di sekitar tempat tinggalnya.

Tuan Haji Muhammad Said dilantik menjadi Kadi di beberapa daerah di Negeri Kedah termasuklah sebagai Kadi Daerah Kuala Nerang, Kuala Muda dan Yan. Tetapi akhirnya beliau meletakkan jawatan sebagai Kadi . Setelah berkahwin buat kali ketiga, Tuan Haji Muhammad Said kembali menetap di Titi Bakong dan menyambung pelajaran kelas agamanya. Ketika itulah beliau mula berminat mempelajarai ilmu perubatan tradisional. Beliau mula mencatat segala ilmu perubatan dan mula mengubat beberapa jenis penyakit. Jadi, di samping mengajar agama, beliau mula menjadi bomoh.

Selain terkenal sebagai guru agama, beliau juga terkenal sebagai seorang tabib. Beliau boleh mengubati berbagai-bagai jenis penyakit. Beliau pernah membuat makjun, membuat minyak untuk penyakit kebas, lenguh, penat dan sebagainya, serta ubat-ubatan daripada akar-akar kayu. Tuan Hj. Muhammad Said juga telah menulis sebuah buku dengan tulisan tangan. Di dalamnya dicatatkan segala petua dan peraturan bagi mengubati segala jenis penyakit. Beribu-ribu jenis ubat dicatatkan di dalam buku itu. Tuan Hj. Muhammad Said juga dikenali sebagai "Tabib Haji Muhammad Said" kerana beliau banyak mengeluarkan berbagai-bagai jenis ubat untuk berbagai-bagai jenis penyakit, dan pada botol-botol ubatnya bercetak : 'Diperbuat oleh Tabib Haji Muhammad Said Yan'.

Tuan Haji Muhammad Said merupakan orang yang bertanggungjawab menerbitkan Akhbar Melayu yang pertama di Negeri Kedah Darul Aman. Akhbar tersebut diberi nama 'NUN' yang dikeluarkan pada 23 Februari, 1926 bersamaan 11 Syaaban, 1344. Tuan Haji Muhammad Said sendiri bertindak sebagai penerbit dan pengarang bagi akhbar yang bertulisan jawi itu. Akhbar tersebut yang hanya mengandungi 10 halaman, diterbitkan dua kali sebulan iaitu di awal dan pertengahan setiap bulan Hijrah. Di samping berita-berita tempatan, akhbar tersebut juga memuatkan rencana bersiri yang merangkumi persoalan agama, pengetahuan am, sejarah, ilmu pengetahuan dan sastera tradisional, khususnya cerita-cerita lisan dan syair. Bagaimanapun, akhbar NUN itu terhenti penerbitannya pada bulan November 1932.

Selain daripada meneruskan pengajaran di kelas agamanya serta menjadi tabib atau bomoh, Haji Muhammad Said juga menulis serta mengeluarkan berbagai-bagai risalah kecil berbentuk dakwah. Risalah-risalah tersebut berbentuk buku kecil dan dicetak dalam tulisan jawi yang mengandungi di antara 18 hingga 32 muka surat. Antara risalah yang dikeluarkan bertajuk 'Risalah Banyak-Banyak Syukur', 'Risalah Bicara Tertib Puasa Ramadan' dan 'Risalah Jika Tiada Hendak Sembahyang, Apakah Hendak Jadi?"

Isi risalah-risalah tersebut berbentuk nasihat dan dakwah agar seluruh kaum muslimin dan muslimat taatkan perintah Allah dengan mengerjakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya. Risalah-risalah tersebut dicetak mulai tahun 1951 hingga tahun 1958. Di bahagian belakang risalah-risalah tersebut terdapat nama-nama risalah lain yang ditulis oleh Tuan Haji Muhammad Said seperti "Perbendaharaan Mastika Bicara Asmaul-Husna", "Syirah Bardah", "Selusuh Memudahkan Perempuan Beranak", "Wirid-wirid Am", "Kucing Bertuah", "Talqin Bahasa Jawi", "Pati Rahsia", "Risalah Bunga Raya" dan "Mengapa Engkau Tidak Sembahyang?". Semua risalah tersebut dijual ke seluruh negeri-negeri di Malaysia Barat, (ketika itu Semenanjung Tanah Melayu).

Pada muka surat pertama atau kedua risalah-risalah tersebut terdapat 'pengesahan' yang dibuat oleh Tuan Haji Abdullah Pak Him - Mufti Pulau Pinang ketika itu yang juga selaku mudir di Sekolah Agama Dairatul Ma'arif Al-Wathoniah, Kepala Batas, Seberang Perai mengesahkan bahawa risalah tersebut tidak salah atau tidak menyeleweng dan perlu dibaca oleh orang ramai. Ini bererti Tuan Haji Muhammad Said telah mengirimkan semua risalah tulisannya kepada Tuan Haji Abdullah Pak Him terlebih dahulu sebelum dicetak untuk mendapatkan pengesahan tentang tulisannya itu.

Tuan Haji Muhammad Said meninggal dunia di Titi Bakong, Yan pada tahun 1962 dalam usia 85 tahun dan selamat dikebumikan di tanah perkuburan Yan, Kedah.

Artikel sumbernya disedut dari MyKedah2.com

DOA ANAK KUNCI KEJAYAAN HAJI MUHAMMAD SAID YAN

Muhammad Said Yan - Ulama yang berdikari
NAMA lengkapnya, Haji Muhammad Said bin Penghulu Muhammad Thaiyib Yan, Kedah. Lahir di Kampung Anak Bukit, Alor Setar, Kedah pada 1294 Hijrah/1877 Masihi, meninggal di Titi Bakong, Yan, Kedah, 1382 Hijrah/ 1962 Masihi.

PENDIDIKAN

Muhammad Said mendapat pendidikan awal di Pondok Haji Mat Tamin, Kampung Anak Bukit. Ada juga diriwayatkan bahawa beliau sempat belajar kepada Syeikh Jarum. Diriwayatkan juga bahawa selain mendapat pendidikan pondok, beliau juga pernah memasuki Sekolah Agama al-Hamidiah di Limbong Kapal, Alor Setar, Kedah. Walau bagaimanapun mengenai Muhammad Said pernah memasuki sekolah tersebut penulis sangat meraguinya, kerana sekolah tersebut didirikan pada tahun 1916 Masihi oleh Syeikh Wan Sulaiman bin Wan Siddiq.Sedangkan selisih umur antara Syeikh Wan Sulaiman bin Wan Siddiq dengan Muhammad Said hanya lebih kurang tiga tahun. Syeikh Wan Sulaiman bin Wan Siddiq lahir pada 1291 Hijrah/1874 Masihi, sedangkan Muhammad Said lahir 1294 Hijrah/1877 Masihi.

*Syeikh Wan Sulaiman bin Wan Siddiq ialah Syeikhul Islam Kedah Darul Aman dan termasuk dalam senarai Sohibussamahah Mufti kerajaan Negeri Kedah mejawat jawatan Mufti ketiga dari tahun 1906 hingga 1935 Masihi selepas Syeikh Syed Abdullah Dahlan (1904-1905) sila rujuk laman Mufti Negeri Kedah Darul Amam (here)

Sekiranya benar Muhammad Said pernah memasuki Sekolah Agama al-Hamidiah di Limbong Kapal, bererti pada tahun 1916 Masihi itu beliau berusia sekitar 20tahun. Pada usia seperti demikian itu, memasuki sekolah rendah jarang berlaku. Lain halnya dengan sistem pendidikan pondok yang tidak terikat dengan umur seseorang. Kemungkinan Muhammad Said memang benar murid Syeikh Wan Sulaiman bin Wan Siddiq, tetapi adalah menurut sistem pondok bukan sistem persekolahan. Dalam karyanya Anak Kunci, Muhammad Said menyebut bahawa beliau murid Syeikh Sulaiman. Tidak jelas Syeikh Sulaiman mana yang dimaksudkan kerana penulisan nama tidak lengkap.

Penulis lebih meyakini bahawa Muhammad Said setelah melalui jalur pendidikan pondok di Kedah, kemungkinan juga di Patani, lalu berangkat ke Mekah. Antara gurunya di Mekah ialah Syeikh Daud bin Mustafa al-Fathani, Syeikh Ali al-Maliki dan ramai lagi.

AKTIVITI

Aktiviti Muhammad Said dapat dibahagikan kepada empat kelompok: 1. Guru Agama, 2. Kadi 3. Pengarang 4. Tabib. Sebagai seorang ulama, MuhammadSaid membuka pengajian sistem pondok dan penadahan pelbagai kitab di rumahnya di Titi Bakong, Yan, Kedah. Ramai orang berkunjung ke rumahnya setiaphari, siang dan malam. Murid-muridnya selain daripada Titi Bakong juga datang dari tempat-tempat lainnya. Bahkan ada yang datang dari Sumatera Utara terutama dari Mandailing.

Kemungkinan Muhammad Said dilantik menjadi kadi adalah atas kehendak Syeikh Wan Sulaiman. Isteri Muhammad Said yang pertama bernama Che' Dun adalah anak saudara Syeikh Wan Sulaiman. Muhammad Said pernah menjadi kadi di beberapa daerah, antaranya di Kuala Nerang, Kuala Muda dan Yan. Nampaknya Muhammad Said lebih yakin kehidupan wira swasta atau berdikari daripada bekerja sebagai kadi. Oleh itu beliau mohon berhenti daripada pekerjaan itu.

Manfaat

Pada zaman Muhammad Said, perubatan melalui doktor moden belumlah banyak seperti sekarang. Oleh itu ilmu tabib tradisional Islam dan Melayu dimanfaatkan oleh beliau untuk hidup berwira swasta. Muhammad Said mampu mengubati pelbagai penyakit dengan menggunakan tumbuh-tumbuhan yang berkhasiat, akar kayu, daun kayu, pembuatan minyak untuk disapu, makjun dan lain-lain. Wirid-wirid yang termaktub dalam al-Quran dan doa-doa juga digunakan. Ramai orang yang mengidap penyakit berhasil disembuhkannya. Ada juga yang tidak sembuh, yang demikian sama saja antara perubatan tradisional dengan perubatan moden. Akidah Islam mengajarkan kita bahawa ketentuan sembuh atau tidak adalah dengan izin Allah belaka, bukan manusia yang menentukannya.

Selain aktiviti yang tersebut di atas, Mathba'ah Al-Ahmadiah Singapura pernah menyenaraikan dalam beberapa buah buku terbitannya bahawa Muhammad Said bin Penghulu Muhammad Thaiyib, Alor Bakong, Yan, Kedah termasuk salah seorang agen penjual buku- buku terbitan syarikat itu. Dari sini dapat diambil kesimpulan bahawa beliau adalah seorang yang aktif dalam keseluruhan aspek yang ada hubungannya dengan penulisan dan penerbitan.

PENULISAN

1. Anak Kunci, diselesaikan 5 Zulhijjah 1332 Hijrah. Kandungan pelajaran adab untuk kanak-kanak. Muhammad Said telah membaca karya tersebut di hadapan Syeikh Muhammad Khaiyat, Syeikh al-Islam Kedah pada zaman itu, dan ulama besar bangsa Arab itu memuji karya tersebut. Cetakan ulangan dimuat secara keseluruhan dalam Ath-Thabib, juzuk yang pertama, cetakan pertama Tian Tek Printers, Alor Setar, Kedah, 1374 Hijrah, halaman 10 - 14.

2. Buah Putik Bagi Kanak-Kanak Pada Permulaan Tumbuhnya. Judul ini beliau sebut dalam karyanya Ath-Thabib, juzuk yang pertama, katanya ``... peringatan kemudian daripada hamba telah tulis dan sudah cap kepada Anak Kunci yang tersebut itu, kemudian hamba pun karangkan pula sambungannya, hamba namakan dia Buah Putik Bagi Kanak-Kanak Pada Permulaan Tumbuhnya. Dan sudahlah hamba cap akan dia kali yang pertama banyaknya seribu naskhah. Sekarang ini sudah habis ...''

3. Adabul Katib, juzuk yang pertama, tahun 1335 Hijrah/1917 Masihi. Pada halaman depan dinyatakan kandungannya bahawa pada menyatakan adab menulis dan rencana surat-surat kirim syair- syair. Pada halaman pertama dan kedua terdapat taqriz atau pujian-pujian daripada Muhammad Ihsan bin Haji Abdul Mannan, ulama Surabaya dan Haji Muhammad bin Muhammad Ali, ulama Sambas. Kata-kata pemberi semangat da-ripada ulama Sambas itu termaktub, ``Mudah-mudahan dengan sebab kerajinan dan jasa Tuan pada mengadakan beberapa karangan bertimbunan pula kelak beberapa laki-laki Melayu berusaha bagi mengadakan karangan- karangan supaya memberi faedah dan jadi pengenalan bagi roh kanak-kanak bangsa benih Islam.'' Pada mukadimah Muhammad Said, perhatian diberikan terhadap bahasa Melayu yang sudah mulai diabaikan daripada ucapan dan penulisan yang betul. The Critarian Press Limited, Pulau Pinang, 1335 Hijrah/1917 Masihi.

4. Punca Kesukaan, juzuk yang pertama, diselesaikan 1336 Hijrah/1918 Masihi. Pada halaman depan dinyatakan kandungannya bahawa ``pada bicara khutbah nikah dengan bahasa Jawi, dan kaedah surat panggilan, dan nasihat pengajaran.'' Pada halaman akhir terdapat dua bait syair bahasa Arab oleh Haji Abdullah Pak Him. Cetakan pertama The Critarian Press Limited, Pulau Pinang, 1336 Hijrah/1918 Masihi.

5. An-Nashihah Asy-Syabaniyah, diselesaikan 1343 Hijrah/1921 Masihi. Kandungannya membicarakan wirid malam Jumaat. Cetakan pertama The Teruna Kuala Pilah, Negeri Sembilan, 1355 Hijrah.

6. Majalah Nun, diselesaikan pada hari Selasa, 11 Syaaban 1344 Hijrah/23 Februari 1926 Masihi. Majalah ini hanya mampu bertahan hingga bulan November 1932 Masihi.

7. Ath-Thabib, juzuk yang pertama, diselesaikan pada bulan Muharam 1374 Hijrah. Kandungannya dimulai dengan mukadimah oleh pengarangnya dengan disambung kata pujian daripada Haji Abdullah Pak Him. Sekali gus Muhammad Said menjelaskan identiti Haji Abdullah Fahim, katanya, "Ini sepucuk surat pujian daripada Tuan Guru Besar al-Fadhil Tuan Haji Abdullah Pak Him al-Makki yang jadi guru Mursyid ath-Thalibin di dalam Madrasah al-Ulya al-Idrisiah as-Sultaniah yang didirikan di dalam benua Kuala Kangsar, di Bukit Candan ...'' Ia mencerminkan hubungan kekeluargaan dan kemesraan

Haji Abdullah Fahim memanggil Muhammad Said dengan 'adinda' dan sebaliknya Muhammad Said memanggil Haji Abdullah Fahim dengan 'kekanda'. MuhammadSaid menterjemahkan tulisan Haji Abdullah Fahim daripada bahasa Arab ke Melayu, katanya, "... telah saya lihat dan baca kepada makna-makna perkataan yang ada tersebut di dalam ini majalah yang mengeluar akan dia oleh satu orang yang mempunyai ghairah cemburu di atas jenis bangsanya ...'' Pandangan Haji Abdullah Fahim pula, "Maka sangatlah dukacita sekiranya tiada menaruh sudi pada menerima ini majalah oleh anak watan bangsa tanah air kita. Dan Tuhanlah juga kiranya memberi hidayah petunjuk kepada sebetul-betul jalan.'' Cetakan pertama Tian Tek Printers, Alor Setar, Kedah, 1374 Hijrah.

KEKELUARGAAN

Diriwayatkan bahawa Muhammad Said sepanjang hayatnya pernah berkahwin enam kali. Perkahwinan pertama dengan Che' Dun, anak saudara Syeikh Wan Sulaiman. Daripada perkahwinan ini beliau memperoleh enam orang anak. Perkahwinan kedua dengan Hajah Aisyah binti Haji Kecik, memperoleh seorang anak lelaki, Haji Ismail. Perkahwinan ketiga kalinya di Kuala Muda dengan Che' Lin, memperoleh seorang anak perempuan. Perkahwinan keempat di Pulau Pinang dengan Che' Aisyah, tidak memperoleh anak. Perkahwinan kelima dengan Hajah Aisyah berasal dari Kampung Tok Keling, Alor Setar, tidak memperoleh anak. Perkahwinan keenam dengan Hajah Latifah, berasal dari Tandop, Alor Setar. Sewaktu Muhammad Said meninggal dunia, yang masih bersamanya hanyalah isteri yang keenam ini. Ada pun isteri-isteri yang lain ada yang meninggal dunia mendahului beliau dan ada juga yang bercerai ketika beliau masih hidup.

Muhammad Said adalah seorang yang teguh mengikut ajaran Islam. Oleh itu dalam lingkungan keluarga, bersama isteri, anak-anak dan cucu-cucunya sangat ditekankan melakukan sembahyang berjemaah bersama beliau. Diriwayatkan bahawa Muhammad Said adalah seorang yang warak. Setiap kali selesai mengerjakan sembahyang beliau membaca wirid yang banyak, doa yang panjang dengan penuh khusyuk dan syahdu serta bercucuran air mata membasahi mukanya.

Penulis berkesimpulan bahawa Muhammad Said Yan, Kedah adalah seorang ulama yang berjaya mengatasi cabaran hidup duniawi secara wira swasta, kuat berusaha dan kuat beramal. Gabungan daripada kedua-duanya adalah satu rahsia memperoleh keredhaan dan berkat daripada pada Allah s.w.t. Wirid yang panjang tidak menghalang memperoleh kejayaan dunia tetapi di dalamnya ada satu rahsia tersembunyi yang jarang diketahui oleh kebanyakan orang. Antara rahsia wirid, doa, selawat dan sejenisnya, ialah pekerjaan yang sukar menjadi mudah, yang berat menjadi ringan, yang tersembunyi menjadi nyata dan banyak lagi.

Artikel diambil dari karya tulisan Syeikh wan Mohd Saghir 19/07/2004 utusan Malaysia

Isnin

HJ ISMAIL AL-QORI, qari tersohor dari kedah

Dato' Hj. Ismail bin Hashim
Dato' Hj. Ismail bin Hashim dilahirkan pada 16 April 1933 di Jerlun, Kedah. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kedawang, Langkawi sehingga darjah tiga dan meneruskan pelajaran ke Sekolah Melayu Air Hitam, Kubang Pasu pada tahun 1942. Seterusnya, pada tahun 1947 beliau melanjutkan pelajaran di Maktab Mahmud Alor Star.

Kerjaya
* Guru agama, Sekolah Kebangsaan Yan (1956 - 1970)
* Guru pelawat (Nazir), Jabatan Agama Islam Kedah

Nama Allahyarham Dato' Ismail b. Hashim tidak asing lagi dalam Majlis Tilawah Al-Quran sama ada di peringkat kebangsaan mahupun peringkat antarabangsa. Kemerduan dan kelunakan suaranya ketika memperdengarkan ayat suci al-Quran bukan saja dikagumi masyarakat tempatan malah masyarakat Islam di luar negara. Selepas pertama kali diadakan musabaqah membaca Al-Quran pada tahun 1956, Allahyarham merupakan satu-satunya Qari pertama yang menjadi johan sebanyak sembilan kali di peringkat Kebangsaan dan lapan kali di peringkat antarabangsa.

Dato' Hj. Ismail bin Hashim
* Qari Pertama Menjadi Johan Musabaqah Membaca Al-Quran Sebanyak 9 Kali Diperingkat Kebangsaan.
* Qari Pertama Menjadi Johan Musabaqah Membaca Al-Quran Sebanyak 8 Kali Diperingkat Antarabangsa.

Allahyarham merupakan peserta tunggal negara yang telah mencapai peringkat tertinggi dalam pertandingan musabaqah al-Quran. Allahyarham juga merupakan anak Melayu pertama dimana bacaan al-Qurannya telah disiarkan secara langsung di televisyen dan radio Sudan semasa beliau melawat negara tersebut pada tahun 1966 dan kemudiannya di Mesir pada tahun 1976. Allahyarham yang bersara daripada jawatannya sebagai Nazir Sekolah Agama Kedah pada tahun 1988, pernah diberi penghormatan oleh Kerajaan Negara Thailand untuk memperdengarkan bacaan al-Qurannya pada Majlis Maulidur Rasul yang diadakan di Bangkok pada tahun 1963.

Sebagai mengenang sumbangan dan baktinya beliau telah dianugerahkan Johan Setia Mahkota (J.S.M) dan Ahli Mangku Negara (A.M.N) oleh Yang DiPertuan Agung serta pingat Setia DiRaja Kedah (S.D.K), Perkhidmatan Setia Kedah (P.C.K), Dato' Setia DiRaja Kedah (D.S.D.K) dan Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) oleh DYMM Sultan Kedah dan Raja Perlis. Allahyarham telah kembali ke Rahmatullah pada 7 Ogos 1966 kerana mengidap sakit jantung ketika Allahyarham berusia 64 tahun.

Sumber asal dari web Di Antara Yang Pertama Di Malaysia dari Kedah sini

Ahad

SYEIKH MD.SALLEH PENERUS PONDOK BANANA ISLAND

(Tuan Guru Hj Muhammad Salleh Pulau Pisang)
Muhammad Saleh Kedah - Penerus pengajian pondok tertua di Kedah
Nama lengkapnya ialah Haji Muhammad Saleh bin Haji Muhammad Hasyim bin Abdul Hamid bin Ishaq al-Fathani. Sampai di sini sahaja yang dapat diketahui nasab dari sebelah ayahnya. Dari sebelah ibu pula ialah Fatimah binti Haji Ishaq bin Muhammad Hasyim bin Abdul Baqi. Muhammad Saleh lahir di Kampung Pulau Pisang, Mukim Tunjang, Jitra, Kedah pada tahun 1280 Hijrah/1864 Masihi dan meninggal dunia pada tahun 1363 Hijrah/1944 Masihi.

Sama ada datuk nenek dari sebelah ayah mahu pun dari sebelah ibunya, adalah golongan ulama yang berasal dari Patani. Hendaklah diperhatikan bahawa pada silsilah dari sebelah ayah mahu pun sebelah ibu terdapat nama 'Ishaq'. Nama ini adalah orang yang berlainan, bererti bukanlah nasab sebelah ayah dan ibu bertemu pada nama 'Ishaq'. 'Ishaq al-Fathani' dari sebelah ayah belum diketahui nama yang lebih ke atasnya, sedangkan nama 'Ishaq' dari sebelah ibu dapat disambung naik kepada Muhammad Hasyim bin Abdul Baqi.

Haji Ishaq bin Muhammad Hasyim (lahir 1184 Hijrah/1771 Masihi dan meninggal dunia pada 1287 Hijrah/1871 Masihi) adalah datuk dari sebelah ibunya. Beliau seorang ulama, murid Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, ulama-ulama yang sangat terkenal. Muhammad Hasyim bin Haji Abdul Baqi, ayah Haji Ishaq inilah yang datang ke Kedah dan beliau berasal dari Kampung Cerang, Patani. Haji Ishaq bin Muhammad Hasyim, datuknya dari sebelah ibu inilah yang dikatakan mendirikan institusi pengajian pondok di Kampung Pulau Pisang, Mukim Tunjang pada zaman pemerintahan Tengku Anom di Kubang Pasu Darul Qiyam, Kedah.

Ada pun ibunya, Fatimah binti Haji Ishaq, lima orang adik beradiknya ialah: Aisyah, Khadijah, Fatimah, Ya'qub dan Ismail. Ismail memperoleh anak bernama Aroff, iaitu ayah kepada Osman Aroff yang pernah menjadi Menteri Besar Kedah pada satu ketika dulu. Jadi bererti Osman Aroff adalah anak saudara sepupu kepada Tuan Guru Haji Muhammad Saleh bin Haji Muhammad Hasyim dari pihak sebelah ibunya.

Pendidikan

Pada zaman dahulu, sekiranya ayah atau pun datuk/nenek adalah seorang ulama, maka anak atau pun cucunya akan mendapat pendidikan langsung daripada mereka. Pada zaman sekarang, terutama sekali di kota atau bandar, boleh dikatakan sangat jarang pendidikan dari kalangan keluarga, kerana sejak kecil telah diserahkan kepada pihak lain menjaga, memelihara dan mendidiknya. Barangkali kerana demikianlah keberkesanan dalam budi dan akhlak orang-orang yang mendapat pendidikan daripada mereka yang mempunyai hubungan darah adalah lebih mantap. Muhammad Saleh bin Haji Muhammad Hasyim seperti juga ulama-ulama sebelum ini, beliau mendapat pendidikan asas keIslaman daripada keluarganya sendiri, dalam lingkungan pondok pengajian termasuk di surau dan di masjid.

Sebenarnya selain pendidikan asas, Muhammad Saleh telah alim sejak di Pondok Pulau Pisang lagi kerana beliau sempat mempelajari kitab-kitab besar daripada datuknya, Haji Ishaq, ulama besar Kedah murid Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Namun sudah menjadi tradisi pada zaman itu untuk mengesahkan seseorang itu diakui keilmuannya, hendaklah belajar lagi kepada ulama-ulama besar yang berada di Mekah dan Madinah.

Antara tahun 1295 Hijrah/1879 Masihi hingga tahun 1312 Hijrah/1894 Masihi, Muhammad Saleh melanjutkan pendidikan di Mekah. Ulama yang paling banyak mengajarnya ialah Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, cucu saudara dan Khalifah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Pengetahuan yang bercorak pengkaderan dan pelbagai bidang duniawi dan ukhrawi pula beliau adalah diasuh oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Selain itu Muhammad Saleh juga belajar kepada ulama-ulama bangsa Arab seperti ulama-ulama yang telah diriwayatkan sebelum ini.

TUAN GURU PONDOK PULAU PISANG

Ketika Haji Muhammad Saleh bin Haji Muhammad Hasyim pulang dari Mekah, beliau langsung menguruskan Pondok Pulau Pisang yang diasaskan oleh datuknya, Haji Ishaq. Perlu juga dicatatkan di sini bahawa sewaktu Haji Ishaq mengasaskan pondok di Pulau Pisang itu, bolehlah dianggap pengajian pondok tersebut satu-satunya yang sangat terkenal dalam kerajaan Kedah. Walau bagaimanapun setelah Haji Ishaq meninggal dunia, suasana pengajian di pondok itu dalam kelesuan. Pondok Pulau Pisang kembali memancarkan nur ilmu pengetahuan dan menjulang kecemerlangan kewibawaan setelah Haji Muhammad Saleh pulang dari Mekah dan langsung memimpin pondok tersebut.

Pandangan Haji Muhammad Saleh tentang pengetahuan diletakkannya pada halaman depan karyanya, Sirajul Huda. Katanya, "Hai saudaraku, tiada mencapai seseorang akan ilmu melainkan dengan enam syarat ... cerdik, dan sejahtera, dan ijtihad, dan bersungguh-sungguh mencapaikan (nya), dan cerdik gurunya, dan panjang masanya.'' Pandangan yang berasal daripada Imam Syafie tersebut adalah sangat ditekankannya di institusi Pondok Pulau Pisang yang beliau pimpin.

Institusi Pondok Pulau Pisang sama ada di bawah pimpinan Haji Ishaq, datuknya, mahu pun dalam pimpinan Haji Saleh sendiri telah ramai melahirkan ulama, cerdik cendekiawan, pemimpin dan lain-lain, bukan hanya di Malaysia saja, tetapi juga Indonesia, Patani, Myanmar, Kemboja, dan Brunei Darussalam. Diriwayatkan bahawa Pondok Pulau Pisang dalam masa pimpinan Haji Muhammad Saleh bin Haji Hasyim pelajarnya pernah mencapai 2,000 orang (dua ribu orang). Jumlah pelajar pondok ribuan orang di Semenanjung pada zaman itu merupakan satu jumlah yang besar dan luar biasa, yang tidak terjangkau oleh pengajian pondok lainnya, kecuali pada zaman yang sama di Patani dan Jawa ada yang lebih ramai daripadanya.

Antara ulama dan tokoh intelektual Malaysia yang pernah menetap di Institusi Pondok Pulau Pisang ialah: Haji Abdullah Abbas Nasution. Beliau adalah ulama, pendidik, pendakwah, tokoh politik dan pengarang beberapa buah kitab. Murid Haji Muhammad Saleh pula ialah Dr. Burhanuddin Helmi, doktor perubatan, tokoh politik dan pengarang. Dan masih ramai lagi yang belum dapat dibicarakan dalam ruangan ini.

KITAB-KITAB YANG DIAJARKAN

Kitab-kitab turas Islam, bahasa Melayu yang diajarkan di Pondok Pulau Pisang ialah Faridatul Faraid, Bidayatul Hidayah oleh Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin Aceh, Ad-Durruts Tsamin, ketiga-tiganya mengenai akidah. Hidayatus Salikin dan Siyarus Salikin, Ad-Durrun Nafis oleh Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari, ketiga-tiganya mengenai tasawuf. Mengenai terjemahan dan tafsir al-Quran diajarkan Turjumanul Mustafid (Tafsir Baidhawi Melayu) oleh Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri.

Kitab-kitab turas Islam, bahasa Arab yang diajarkan ialah Fathul Mu'in dan syarahnya I'anatut Thalibin, kedua-duanya tentang fikah. Jawahir al-Bukhari, Shahih Bukhari dan kitab-kitab hadis selain kedua-duanya menurut kurikulum yang telah ditentukan. Mengenai ilmu tafsir, yang diajarkan ialah Tafsir Jalalain dan Tafsir Baidhawi dan lain-lain. Ilmu tasawuf dalam bahasa Arab yang diajarkan ialah Minhajul `Abidin dan Ihya' Ulumid Din, kedua-duanya adalah karangan Imam al-Ghazali r.a.

Selain kitab-kitab bahasa Arab karangan orang luar juga diajarkan kitab-kitab bahasa Arab karangan orang Melayu, seperti Matnur Risalatil Fathaniyah, Tashilu Nailil Amani, kedua-duanya karangan Syeikh Ahmad al-Fathani mengenai ilmu nahwu. Kitab-kitab bahasa Arab karangan Syeikh Nawawi al-Bantani (berasal dari Banten, Jawa Barat) juga banyak diajarkan di Pondok Pulau Pisang.

PENULISAN DAB MAQOLAHNYA

Pada penghujung tahun 1988 di sebuah rumah di Patani, penulis memperoleh sebuah kitab berjudul Sirajul Huda wa Mishbahud Duja yang tertulis dengan lengkap nama penyusunnya Muhammad Saleh bin Muhammad Hasyim `Abdul Hamid Ishaq Fathani. Sejak penemuan kitab tersebut penulis mulai menyemak data penyusunnya, maka hanya sedikit dapat dikesan di Patani dan selebihnya diperoleh cerita di Kedah. Kitab berjudul Sirajul Huda yang disusun oleh ulama Kedah keturunan Patani tersebut buat pertama kali dicetak oleh Mathba'ah Muhammad Ali Shabih dekat Al-Azhar, Mesir tahun 1344 Hijrah.

Selain Sirajul Huda, karya beliau yang lain pula ialah Tanbihul 'Awam li Istiqazil Manam, juga dicetak di Mesir tahun 1950. Kemungkinan masih banyak karangan Tuan Guru Haji Muhammad Saleh bin Haji Hasyim namun sekarang sukar memperolehinya.

GENERASI PENERUS/KETURUNAN

Sewaktu Tuan Guru Haji Muhammad Saleh bin Haji Muhammad Hasyim meninggal dunia, beliau meninggalkan isteri bernama Saerah binti Abbas, seorang anak perempuan bernama Hajah Jamilah dan tiga orang lelaki, ialah Syeikh Ismail, Haji Qasim dan Syeikh Ramli. Kelima-lima anaknya mendapat pendidikan dan akhirnya mendapat kedudukan yang layak dalam masyarakat. Selain mendidik sendiri di Pondok Pulau Pisang, mereka juga melanjutkan pelajarannya ke Mekah dan Mesir.

Zakariya Ahmad dalam satu artikel yang dimuat dalam Biografi Ulama Kedah Darul Aman, menulis bahawa Syeikh Ismail bin Tuan Guru Haji Muhammad Saleh bin Haji Muhammad Hasyim pernah memegang jawatan Pengerusi Majmak Ulama Negeri Kedah, Syeikh Ramli pernah dilantik menjadi Pendaftar Sekolah-sekolah Agama Negeri Kedah dan Haji Qasim seorang tokoh agama yang banyak berjasa.

Penulis berkesimpulan, bahawa tiada siapa dapat menafikan keberkesanan dan jasa-jasa institusi pengajian pondok yang merupakan institusi pendidikan yang tertua di dunia Melayu dalam membina umat Islam dan etnik rumpun Melayu pada zaman dulu dalam tempoh masa yang sangat panjang. Pada zaman kita sekarang institusi pengajian pondok ada beberapa jenis, antaranya masih seperti sediakala, ada yang menggabungkan antara pendidikan pondok dan sistem persekolahan dan ada juga yang dinamakan pondok moden. Walau apa pun jenisnya, bagi kita mestilah mempertahankan kesinambungan khazanah dan warisan Melayu yang pernah wujud, berpotensi, atau bermanfaat bagi umat Islam dan bangsa Melayu. Institusi pengajian pondok tiada perlu dimusnahkan, tetapi sebaik-baiknya ialah mempertahankan keasliannya dengan mempertingkat dan menyesuaikannya dengan perkembangan zaman, yang dinamakan zaman sains dan teknologi seperti sekarang ini.

Koleksi tulisan Allahyarham WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH 31/05/2004

Rabu

MURID mengISLAMkan GURUNya

Syeikh Wan Sulaiman - Syeikhul Islam Kedah Darul Aman
Nama lengkapnya ialah Wan Sulaiman bin Wan Siddiq bin Wan Aman bin Wan Net binti Wan Su. Wan Su adalah Datuk Temenggung Kolot Bukit Lada yang berasal dari Patani. Wan Net binti Wan Su berkahwin dengan Wan Muhammad Hadi. Wan Sulaiman dilahirkan di Mukim Padang Kerbau, dalam daerah Kota Setar, Kedah pada tahun 1291 Hijrah/1874 Masih dan meninggal dunia pada 28 Muharam 1354 Hijrah/2 Mei 1935 Masihi.

Ibu kepada Wan Sulaiman bernama Wan Jamilah atau digelar dengan Wan Tam Kecil. Wan Jamilah adalah adik beradik dengan Datuk Kerani Muhammad Arsyad, Kerani Rahsia Kerajaan Kedah. Ayah mereka berdua bernama Haji Abu Bakar (Kadi Daerah Yan, Kedah) bin Wan Nurdiman bin Datuk Seri Paduka Raja Laksamana.

Wan Jamilah adalah anak saudara dan sepupu kepada Wan Hajar (Mak Wan Besar) binti Wan Ismail bin Datuk Seri Paduka Raja Laksamana, iaitu ibu kandung kepada Sultan Abdul Hamid, Raja Muda Tengku Abdul Aziz dan Tengku Mahmud, Presiden Majlis Negeri yang pernah menjadi Pemangku Sultan. Bererti pula Wan Jamilah adalah anak saudara sepupu kepada Wan Muhammad Saman bin Wan Ismail yang pernah menjadi Perdana Menteri Kedah. Ini kerana Wan Hajar adalah adik beradik dengan Wan Muhammad Saman.

PENDIDIKANNYA

Dalam usia 9 tahun, Wan Sulaiman mendapat pendidikan bahasa Melayu di sekolah yang dibuka oleh Haji Din. Pendidikan tersebut ditempuh lebih kurang tiga tahun, iaitu sekitar tahun 1882 - 1885. Dalam masa yang sama beliau juga mengaji al-Quran kepada Haji Ismail al-Kalantani. Wan Sulaiman juga mempelajari bahasa Inggeris kepada Dr. Gromez. Wan Sulaiman berhasil mengIslamkan gurunya ini setelah beliau pulang dari Mekah.

Ketika berusia 19 tahun pada tahun 1889, beliau melanjutkan pelajarannya ke Mekah. Sewaktu di Mekah beliau belajar kepada ramai ulama, seperti juga ulama-ulama dunia Melayu yang telah disiarkan dalam ruangan ini sebelumnya.

Senarai ulama dunia Melayu di Mekah yang pernah menjadi guru kepada Wan Sulaiman ialah Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani, Syeikh Wan Ali al-Kalantani, Syeikh Ahmad al-Fathani, Syeikh Daud bin Mustafa al-Fathani, Syeikh Ahmad Lingga, Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau, Syeikh Muhammad Zainuddin Sumbawa dan ramai lagi.

Di antara sahabat beliau yang sebaya umur dengannya ialah Syeikh Muhammad Said Linggi (lahir 1292 Hijrah/1875 Masihi, meninggal dunia 1345 Hijah/1926 Masihi). Walau bagaimanapun Syeikh Wan Sulaiman bin Wan Siddiq menerima Thariqat Naqsyabandiyah daripada Syeikh Faqir Muhammad Andakhuri al-Bukhari (meninggal dunia di Taif pada 19 Rabiulawal 1321 Hijrah/14 Jun 1903 Masihi). Sedangkan Syeikh Muhammad Said Linggi adalah pengamal Thariqat Ahmadiyah Idrisiyah yang diterima daripada Syeikh Muhammad ad-Dandarawi.

AKTIVITI

Wan Sulaiman pulang ke Kedah pada hari Isnin 9 Rabiulakhir 1324 Hijrah/30 Julai 1906 Masihi. Sungguh pun demikian ada pendapat yang menyebut bahawa beliau pulang pada tahun 1329 Hijrah/1910 Masihi.

Pendapat saya bahawa beliau pulang ke Kedah pada 9 Rabiulakhir 1324 Hijrah/ 30 Julai 1906 Masihi dikuatkan pula sebuah karya beliau berjudul `Umdatul Aulad, diselesaikan di Kedah pada 8 Muharam 1326 Hijrah bersamaan 10 Februari 1908 Masihi. Oleh sebab karya ini diselesaikan di Kedah lebih kurang 2 tahun sebelum tahun 1329 Hijrah/1910 Masihi, dengan demikian pendapat yang menyebut Wan Sulaiman pulang ke Kedah pada tahun 1329 Hijrah/1910 Masihi adalah sangat diragui.

Tidak berapa lama dari tarikh kepulangannya, Wan Sulaiman dilantik dengan beberapa jawatan; dimulai dengan kadi, kemudian Kadi Besar dan terakhir sekali Syeikhul Islam Kedah. Selain sebagai Syeikhul Islam, beliau juga giat mengajar di beberapa surau. Kemuncak aktivitinya ialah mengajar yang dipusatkan di Masjid Zahir. Masjid Zahir Kedah tersebut masih terkenal sehingga sekarang.

THARIQAT NAQSYABANDIYAH

Selain mengajar perkara-perkara yang tertakluk dengan fardu ain, fikah, usuluddin, tasawuf, al-Quran dan tajwidnya, Wan Sulaiman juga mentawajjuhkan zikrullah menurut metode Thariqat Naqsyabandiyah Ahmadiyah Mujaddidiyah.

Ada yang berpandangan bahawa me-masuki thariqat akan mengakibatkan kemunduran pembangunan duniawi, namun jika kita membaca karya-karya mengenai ilmu tersebut yang dikarang oleh ahlinya, termasuk karangan-karangan Syeikh Wan Sulaiman, tuduhan seperti itu adalah tidak benar. Sebagai contoh Wan Sulaiman adalah seorang ulama yang bergerak aktif sama ada untuk kepentingan duniawi dan ukhrawi. Wan Sulaiman juga telah mengeluarkan fatwa-fatwa mengenai Islam yang merupakan fatwa rasmi kerajaan Kedah pada zamannya.

Wan Sulaiman berpandangan bahawa selain aktiviti duniawi, urusan kehidupan (ma`isyiah) mestilah disegandingkan dengan aktiviti secara berjamaah antara guru (mursyid) dengan murid-muridnya.

Katanya lagi, pertemuan shuhbah (istilah dalam tasawuf, maksudnya murid yang terdekat) dengan mursyid sekurang-kurangnya setiap hari tiga kali, iaitu pada waktu sembahyang Subuh, Zuhur dan Asar. Setiap pertemuan sentiasa membahaskan pelbagai bidang ilmu, bahkan juga tiada sunyi daripada membahaskan permasalahan dan kepentingan duniawi. Walau bagaimanapun urusan duniawi mestilah ditimbang menurut yang dibenarkan oleh syarak Islam atau sebaliknya.

JASANYA

Beliau adalah pemikir dan pengasas pertama Madrasah al-Hamidiah pada tahun 1916 di Limbong Kapal Kedah. Beliau melantik sahabatnya Haji Abdullah Fahim menjadi mudir madrasah tersebut. Madrasah al-Hamidiah. Masyarakat menyebutnya Madrasah Pak Wan Sulaiman, juga Sekolah Arab Limbong Kapal. Ia merupakan tempat pendidikan Islam mengikut sistem persekolahan moden kedua terawal di Semenanjung Tanah Melayu, kerana yang paling awal ialah Madrasah Al-Attas di Johor Bahru, 132 Hijrah/1914 Masihi.

Setelah memperhatikan kemajuan pendidikan tersebut, Wan Sulaiman bersama Tengku Mahmud akhirnya memikirkan pula untuk menubuhkan sekolah menengah Islam. Walau bagaimanapun Wan Sulaiman tidak sempat melihat sekolah yang dicadangnya itu, kerana sekolah tersebut berfungsi setahun setelah beliau meninggal dunia. Sekolah itu ialah Al-Ma'ahad Mahmud yang kemudian lebih dikenali dengan nama Maktab Mahmud di Simpang Kuala Alor Setar yang mulai bergerak pada 29 Rabiulawal 1355 Hijrah/16 Jun 1936 Masihi.

Maktab Mahmud termasuk di antara sekolah menengah Islam yang terkenal di Malaysia sampai sekarang. Ramai pelajar lepasan madrasah itu yang menjadi tokoh pelbagai bidang, bukan hanya dalam urusan Islam tetapi juga bidang-bidang lainnya. Ini merupakan jasa besar dan amal jariah Syeikh Wan Sulaiman.

KARYA-KARYANYA

Wan Sulaiman juga menghasilkan beberapa buah karangan, di antaranya ialah:

1. `Umdatul Aulad fi Bayani fi `Ibadatihim ila Rabbil `Ibad, diselesaikan pada 8 Muharam 1326 Hijrah di Kedah Darul Aman. Kandungannya merupakan pelajaran darjah pertama bicara ibadat. Cetakan Keriterian Press Limited, Pulau Pinang.

2. Nihayatul Mathlub fi Tashfiyatil Qulub, diselesaikan pada 30 Jamadilawal 1337 Hijrah di Kedah yang berbentuk manuskrip. Disalin oleh Muhammad Tahir al-Juhuri (Johor) 16 Syaaban 1376 Hijrah/Mac 1957 Masihi. Kandungannya merupakan pelajaran Thariqat Naqsyabandiyah.

3. Futuhat Qad-hiyah, diselesaikan pada 17 Rabiulawal 1343 Hijrah di Kampung Limbong Kapal, Kedah. Kandungannya membahas mengenai Thariqat Naqsyabandiyah-Mujaddidiyah Ahmadiyah. Cetakan kedua, oleh Haji Hasyim bin Abdullah, di Percetakan Siaran, Alor Setar.

4. Qashidah Menyanyi Lagu Abyari, diselesaikan pada 3 Muharam 1344 Hijtah/1925 Masihi di Kampung Limbong Kapal, Kedah. Kandungannya tentang akidah untuk kanak-kanak. Terdiri daripada 114 bait syair. Diceritakan bahawa ia disusun ketika dalam perjalanan menaiki kereta api ke Bangkok sewaktu mengiringi Tengku Mahmud. Cetakan The Kedah Goverment Press, tanpa disebutkan tahunnya.

5. Tanwirul Bashirah ..., diselesaikan pada 20 Rejab 1347 Hijrah/1928 Masihi. Dicatatkan pada halaman belakang oleh Al-Haji Wan Ismail Daud, Setiausaha Hal Ehwal Jabatan Agama Negeri Kedah, katanya, ``Di atas jasa-jasa baik al-Marhum asy-Syeikh Wan Sulaiman bin Wan Siddiq dan perjuangannya untuk menegakkan agama, bangsa dan nusa, janganlah hendaknya kita sebagai kata pepatah, ``Kacang lupakan kulit, hadiah Fatihah kepadanya.'' Cetakan Persama Press, Pulau Pinang.

6. Nazham Syair Bicara Sirah An-Nabawiyah dan Dualul Islamil Kubra Kerajaan Islam Yang Besar-Besar, diselesaikan pada 3 Muharam 1348 Hijrah/1929 Masihi. Kandungannya merupakan syair yang terdiri daripada 198 bait. Selanjutnya menceritakan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w., sirah dan akhlak Nabi s.a.w. Disinggung juga mulai berdirinya Khalifah Usman bin Artoghrrol pada tahun 699 Hijrah hingga pemerintahan Sultan Abdul Hamid Tsani tahun 1293 Hijrah. Cetakan Kerajaan Kedah, tanpa tahun.

7. Mizanul `Uqala' wal Udaba', diselesaikan pada 16 Disember 1950 Hijrah. Kandungannya tentang pengertian syariat, thariqat, haqiqat dan ma'rifat. Cetakan keenam oleh Haji Hasyim bin Abdullah. Kesimpulannya bahawa keseluruhan karangan yang diketahui ada 17 judul, penulisan pertama tahun 1326 Hijrah/1908 Masihi dan berakhir pada tahun 1350 Hijrah/1931 Masihi.

KETURUNANNYA

Daripada perkahwinan Wan Sulaiman dengan Wan Kalsum binti Wan Abdul Hamid memperoleh 11 orang anak. Di antaranya yang sempat berkahwin ialah: 1. Wan Noor berkahwin dengan Syed Muhammad Al-Jufri. 2. Wan Mardhiyah berkahwin dengan Datuk Hj. Wan Ibrahim bin Wan Soloh. 3. Wan Rahimah berkahwin dengan Ismail Kasim. 4. Wan Zakhiuddin berkahwin dengan Zainab binti Abdullah.

Nukilan dari karya Syeikh Wan Mohd Saghir 19/04/2004

Ahad

Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani - Guru agama Sultan Kedah

Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani - Guru agama Sultan Kedah
Oleh AL-MARHOUM SYEIKH WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH R.A

PENGENALAN awal gerangan orang yang bernama Tuan Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani hanyalah daripada satu sumber sahaja, iaitu Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah karya Muhammad Hassan bin Kerani Muhammad Arshad dalam bentuk tulisan Melayu/Jawi, yang kemudian ditransliterasikan dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1968.

Oleh sebab ulama ini dinyatakan dalam buku yang tersebut adalah ayah atau orang tua kepada Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, sedangkan dalam beberapa maklumat yang lain ayah atau orang tua Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani bernama Syeikh Abdullah, dan yang lain pula menyebut bernama Syeikh Abdur Rahman, maka penelitian dan kajian yang lebih kemas perlu dilakukan.

Namun begitu, penulis pernah membuat bahasan terawal mengenai hal ini, dan dapat diperhatikan dalam buku penulis berjudul Syeikh Abdus Shamad Palembang Ulama Shufi Dan Jihad Dunia Melayu (cetakan pertama, Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur 1996, hlm: 1-5).

ASAL USUL DAN KEDATANGAN KE NUSANTARA

Nama lengkap beliau ialah Syeikh Abdul Jalil bin Syeikh Abdul Wahhab bin Syeikh Ahmad al-Mahdani. Berasal dari San’a, Yaman. Nama-nama lain untuk personaliti ini ialah Syeikh Abdullah dan Syeikh Abdur Rahman belum dibicarakan di sini, selanjutnya dibahas di bawah judul Syeikh Abdus Shamad Al-Falimbani.

Tersebut kisah seorang Arab penyebar Islam yang berasal dari San’a, Yemen. Nama beliau ialah Tuan Syeikh Abdul Jalil bin Tuan Syeikh Abdul Wahhab bin Tuan Syeikh Ahmad al-Mahdani. Kurang jelas tahun kedatangannya ke Palembang, Indonesia namun dikatakan bahawa setelah enam bulan beliau berada di Palembang, beliau berangkat ke Tanah Jawa bersama muridnya, Tengku Muhammad Jiwa keturunan Sultan Kedah.

Beliau menyebar Islam di Pulau Jawa tidak lama, lalu berangkat pula ke India. Muridnya yang berasal dari Kedah itu juga mengikut beliau ke India. Oleh kerana Tuan Syeikh Abdul Jalil tidak mengetahui bahawa muridnya yang setia itu seorang anak raja, maka seolah-olah Tengku Muhammad Jiwa itu adalah sebagai khadamnya. Namun demikian, muridnya itu sangat pandai menyembunyikan kebangsawanannya. Bahawa dia sentiasa tawaduk kepada Syeikh Abdul Jalil itu.

Syeikh Abdul Jalil dan muridnya itu sentiasa berpindah-pindah tempat di negeri India itu, barangkali sangat banyak kota dan kampung menjadi tempat kegiatan dakwah yang beliau rintis, sehinggakan di negeri India beliau mendapat seorang murid yang setia seperti Tengku Muhammad Jiwa, nama pemuda itu Hapisap.

Setelah sekian lama Tengku Muhammad Jiwa menjadi muridnya, namun Tengku Muhammad Jiwa tetap menyembunyikan dirinya sebagai seorang putera raja Kedah.
Pada satu ketika Tengku Muhammad Jiwa menceritakan kepada gurunya Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani dan sahabatnya Hapisap bahawa Kedah satu negeri besar juga, rajanya seorang Islam bernama Sultan Abdullah. Tengku Muhammad Jiwa mengatakan bahawa adalah patut Tuan Syeikh dan Hapisap berlayar ke sebelah sana.

Ajakan Tengku Muhammad Jiwa itu tiada lain, melainkan didorong oleh kerinduan beliau kepada sanak keluarga, rasa cinta kepada tanah air dan utamanya, ingin menyebar agama Islam lebih luas lagi.
Dari segi hubungan sanak-saudara, ia teringatkan hadis-hadis tentang suatu kewajipan menghubungi silaturahim yang telah terputus, antaranya dengan sanak-saudara di Kedah itu. Ditinjau dari segi cinta kepada tanah air, ia tiada lupa bahawa, mencintai tanah air itu adalah sebahagian daripada iman (hadis Nabi Muhammad s.a.w.).

Ampuh dan kukuh

Lebih dari segala itu adalah menyebarkan Islam, bahawa ia berasaskan kewajipan menyebarkan ilmu pengetahuan Islam, kerana ilmu yang dikuasainya sangat banyak dan mendalam yang diterimanya dari Syeikh Abdul Jalil Mahdani itu. Bahawa ia bercita-cita membina Islam di Kedah yang telah kuat berpegang dengan dasar-dasar Islam sejak lama itu lebih ampuh dan kukuh asas Islamnya pada masanya, dan masa-masa mendatang kemudian daripadanya.

Pada tahun itu juga (1122 H bersamaan 1710 M), Syeikh Abdul Jalil Mahdani berkenan memenuhi ajakan muridnya itu, maka berangkatlah mereka bertiga dengan sebuah kapal yang berasal dari sebuah pelabuhan Arab (berbangsa Maskat) yang kebetulan singgah di India untuk menuju ke Tenggara. Dalam pelayaran itu mereka singgah di pelabuhan Murgi/Murgui di negeri Burma.

Kejadian di Negeri Kedah pula pada masa keberangkatan Tengku Muhammad Jiwa, bahawa ayah Tengku Muhammad Jiwa, Sultan Abdullah al-Muazzam Shah mangkat pada 13 Jamadilakhir 1118 H/1706 M. Baginda diganti oleh puteranya, Tengku Ahmad Tajuddin Halim Syah. Baginda mangkat pula. Oleh kerana Tengku Ahmad Tajuddin tidak meninggalkan putera mahupun puteri, maka timbullah masalah tentang pengganti baginda sebagai Sultan Kedah.
Maka, para pembesar Kedah sepakat untuk mencari Tengku Muhammad Jiwa, kerana enam tahun lamanya meninggalkan Kedah tanpa memberi berita sesuatu apa pun juga.

Dato’ Kema Jaya berangkat mencari berita ke arah jurusan Sumatera dan Jawa. Dato’ Indera Mambang menuju ke arah jurusan India dan Burma. Dato’ Seri Indera Mambang berhasil menemui Tengku Muhammad Jiwa, yang kebetulan kapal layar kedua-dua pihak itu berlabuh di pelabuhan negeri Burma.

Pada mulanya Dato’ Seri Indera Mambang tidak mengenali Tengku Muhammad Jiwa kerana pakaian yang telah berubah, mungkin kerana menurut model India tidak mengikut model pakaian Melayu Kedah dan parasnya juga telah berubah. Tetapi Tengku Muhammad Jiwa masih mengenali Dato’ Seri Indera Mambang.

Setelah diketahui oleh Tengku Muhammad Jiwa bahawa ayahandanya telah mangkat, demikian juga saudaranya Tengku Ahmad Tajuddin, lalu ia menangis. Maka barulah diketahui oleh Tuan Syeikh Abdul Jalil bahawa Tengku Muhammad Jiwa itu adalah seorang putera Sultan Kedah sendiri.

Tengku Muhammad Jiwa menjawab pertanyaan gurunya tentang dirinya semuanya menggunakan bahasa Arab, memang tidak sia-sialah dia belajar selama ini, bahawa ia fasih berkata-kata dalam bahasa Islam yang tercinta itu. Akhirnya semua mereka berangkat menuju ke Kedah.

DILANTIK SEBAGAI MUFTI
Tengku Muhammad Jiwa dilantik menjadi Sultan Kedah menggantikan saudaranya Tengku Ahmad Tajuddin. Ketika beliau ditabalkan menjadi Sultan, gurunya Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani telah membaca doa untuk baginda. Pada suatu hari, pada suatu permusyawaratan, Sultan Tengku Muhammad Jiwa berkata: “Hamba persilakan mamak-mamak dan guru hamba kerana hamba hendak bermuafakat hendak memberi pangkat kepada Hapisap iaitu menjadi kadi menggantikan kadi yang telah kembali ke rahmatullah Taala itu”. Maka dijawab sekalian menteri dan Tuan Syeikh, “Benar seperti titah itu”.
Sultan Tengku Muhammad Jiwa berkata pula, “Hamba harap guru hamba menjadi mufti di dalam negeri Kedah ini.”
Tidak berapa lama setelah pengangkatan tersebut, Tengku Muhammad Jiwa berusaha pula menjodohkan tuan gurunya, Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani dengan perempuan di lingkungan istana, bernama Wan Zainab binti Dato’ Seri Maharaja Putra Dewa.

KETURUNAN
Setelah beberapa bulan perkahwinan Tuan Syeikh Abdul Jalil Mahdani dengan Wan Zainab, tiba-tiba datang seorang muridnya dari Palembang bernama Raden Siran. Muridnya itu mengajak gurunya ziarah ke Palembang kerana murid-muridnya di Palembang sangat rindu kepada beliau.

Di Palembang, Raden Siran berusaha mencarikan isteri untuk gurunya itu, maka terjadilah perkahwinan antara Syeikh Abdul Jalil Mahdani dengan Raden Ranti/Rantai.
Hasil perkahwinan Raden Ranti dengan Tuan Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani itu, mereka memperoleh seorang anak, Abdus Shamad. Dialah yang dikenal sebagai Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani seorang ulama sufi Asia Tenggara yang terkenal dengan karyanya yang terkemuka, Hidayatus Salikin dan Siyarus Salikin yang biografinya akan diperkenalkan kemudian.

Menerusi perkahwinan Syeikh Abdul Jalil dengan Wan Zainab di Kedah pula, beliau mendapat dua orang anak iaitu Wan Abdul Qadir yang menjadi Mufti Kerajaan Kedah dan Wan Abdullah yang memangku gelaran Seri Maharaja Putera Dewa di Kedah.

Ada pun Syeikh Abdus Shamad Palembang itu, maklumat keturunannya hanya diketahui seorang anaknya bernama Fathimah. Mengenai kedua-dua anaknya yang di Kedah, keturunan selanjutnya belum dapat dikesan.

WAFAT
Makamnya terletak di Tanjung Pauh, Jitra, Daerah Kubang Pasu, Kedah. Penulis pernah sampai ke makam itu membuat penyelidikan dalam tahun 1992, memperoleh catatan bahawa Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani meninggal dunia tahun 1196 H/1782 M. Kawasan makam sangat luas, sekali-sekali ada orang datang berziarah kerana membayar nazar.
Penulis diberitahu oleh salah seorang penunggu makam bahawa orang-orang India datang ke tempat itu setahun sekali, secara beramai-ramai kerana membuat kenduri dan menyampaikan nazar.

Siapa Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani..?
- Ayah kepada Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani
- Nama lengkapnya ialah Syeikh Abdul Jalil bin Syeikh Abdul Wahhab bin Syeikh Ahmad al-Mahdani.
- Berasal dari San'a, Yemen.
- Nama-nama lainnya ialah; Syeikh Abdullah dan Syeikh Abdur Rahman.
- Berkahwin dengan Wan Zainab (Kedah) dan Raden Ranti/Rantai (Palembang).
- Meninggal dunia pada 1196 H/1782 M.
- Makamnya terletak di Tanjung Pauh, Jitra, Daerah Kubang Pasu, Kedah.

* Koleksi tulisan Allahyarham Wan Mohd. Shaghir Abdullah.