Kebanyakan artikel disini adalah karya Al-Marhoum Tuan Guru Syeikh Wan Mohd Shaghir Abdullah R.A cucunda kepada Tuan Guru Syeikh Ahmad Al-Fathanie, juga dari akhbar2 nasional yang lain dan laman2 web yang bertebaran di alam maya juga disaduri macam2 hikayat,riwayat,kaifiat dan khasiat keemasan saya himpun dan susun sebagai koleksi peribadi dan bagi tatapan dan santapan rohani buat teman-teman yang sudi...himpunan artikel2 terbaru saya sekarang lebih muyul kepada informasi kesihatan ala muslim-jawi kearaban..... dan saya mula berjinak2 dengan jualan secara online produk kesihatan muslim, khasnya peralatan bekam (Set cawan, jarum dan pen bekam) dan khidmat pembekaman, Sudi-sudilah ziarah dan sudikan tinggal komentar anda. TQ
Memaparkan catatan dengan label Ulama Pontianak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ulama Pontianak. Papar semua catatan

Ahad

TUAN GURU MENGEMBARA MENCARI REDHO

Koleksi tulisan Almarhoum s.w.m.Saghir.r.a
Syeikh Abu Bakar al-Funtiani Ulama pengembara yang cekal.
DI dalam ruangan Agama, Utusan Malaysia yang lalu(sila baca artikel tentang Syeikh Jalaluddin disini) penulis menyentuh bahawa salah seorang keturunan Syeikh Jalaluddin al-Kalantani ada yang berkahwin dengan keluarga ulama Pontianak. Tanpa penulis menduga bahawa ulama yang akan diriwayatkan ini pernah menjadi sahabat dan guru kepada orang tua penulis dan mempunyai keluarga di Seberang Perai. Dalam tahun 1949 - 1950 di beberapa pulau di Pulau Tujuh, Kepulauan Riau didatangi oleh seorang ulama besar dari Singapura.
Masyarakat menyebutnya Pak Tuan Alim Haji Abu Bakar. Raja Ali bin Raja Muhammad Tengku Nong, Ketua Syarikat Al-Ahmadi & Co. Midai dan cawangannya Mathba'ah Al-Ahmadiah Singapura mengarahkan orang tua penulis, Haji Abdullah bin Haji Wan Abdur Rahman, supaya mengeluarkan dana syarikat itu untuk mendirikan sebuah rumah wakaf sebagai kediaman ulama tersebut. Rumah wakaf tersebut masih ada hingga sekarang. Ia terletak di sebelah kanan Masjid Baiturrahman di Pulau Midai, Pulau Tujuh, Kepulauan Riau

Sejak tahun 1950, Pak Tuan Haji Abu Bakar yang berasal dari Pontianak itu mempunyai kesan tersendiri dalam ingatan penulis, sungguhpun penulis lama tinggal di Pontianak namun sedikit sahaja memperoleh data mengenainya. Tokoh yang diriwayatkan ini diperoleh di Seberang Perai dalam rangka menjejaki asal-usul ulama yang berada di kawasan itu, tepatnya pada 5 Rejab 1425 Hijrah/21 Ogos 2004 Masihi dan 6 Rejab 1425 Hijrah/22 Ogos 2004 Masihi. Di antara yang terpenting yang diperoleh di Pematang Bertam, bahawa ayah saudara Pak Tuan Haji Abu Bakar bernama Haji Ali bin Haji Muhammad Nur Pontianak meninggalkan keturunan yang ramai di Seberang Perai. Ayah Pak Tuan Haji Abu Bakar bernama Haji Abdul Ghani bin Haji Muhammad Nur adalah adik beradik kepada Haji Ali bin Haji Muhammad Nur. Adik beradiknya seramai 27 orang yang menetap di banyak tempat di dunia Melayu. Beberapa orang yang menjadi ulama besar di antaranya akan disentuh serba ringkas dalam artikel ini.

Riwayat beliau dan nama lengkapnya.

Setelah penulis menggabungkan hasil penyelidikan terkini yang diperoleh di Seberang Perai dengan dokumen Riau dan Pontianak yang ada pada penulis, maka dapatlah dipastikan bahawa Haji Abdul Ghani (ayah Haji Abu Bakar) itu adalah seorang penyandang gelaran Dato' Kaya Lela Pahlawan. Ada pun Haji Muhammad Nur atau Haji Muhammad Nur Putih itu ketika berada di Kemboja bernama Wan Muhammad Daram. Oleh itu nama lengkap ulama yang berasal dari Pontianak yang diriwayatkan ini ialah Haji Abu Bakar bin Dato' Kaya Lela Pahlawan Haji Abdul Ghani bin Haji Muhammad Nur Putih @ Wan Muhammad Daram bin Encik Wan Mat Thalib bin Encik Wan Jeramat bin Umar (Megat Laksamana) bin Utsman (Dato' Kaya Megat Patan Pahang) bin Tuan Qadhi Ahmad. Tuan Qadhi Ahmad, datuk neneknya berasal dari Melaka yang terpaksa berpindah ke Bentan, seterusnya ke Kampar dan Minangkabau dalam peristiwa kedatangan Portugis.

Haji Muhammad Nur Putih @ Wan Muhammad Daram setelah mengembara ke pelbagai tempat di dunia Melayu akhirnya membuka kampung yang dinamakan Kampung Kemboja di Pontianak. Seluruh kampung itu adalah milik beliau. Berdampingan dengan Kampung Kemboja dinamakan Kampung Saigon dimiliki oleh Haji Yusuf Saigon adalah keturunan Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari. Haji Muhammad Nur Putih berkahwin banyak kali dan dikatakan mempunyai anak 27 orang. Setakat ini yang dapat dikesan hanya 10 orang.

Sebar keturunan dan keilmuan.

Anak-anak beliau ialah: 1. Haji Sulaiman bin Muhammad Nur, beliau menyebarkan Islam di Lombok. Menurut riwayat, sampai sekarang masih terdapat pondok pesantren yang diasaskannya. Salah seorang anak beliau yang menjadi ulama besar ialah Syeikh Husein bin Sulaiman al-Funtiani. Beliau menghasilkan beberapa buah karya iaitu Babul Jum'ah, 28 Jamadilawal 1316 Hijrah, cetakan pertama oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1317 Hijrah. Tuhfatur Raghibin fi Taqlidil Qauli bi Shalatil Jum'ati bi Dunil Arba'in, 27 Syawal 1319 Hijrah, cetakan yang pertama oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1319 Hijrah. Nuzhatut Tharaf fi Auzani Ilmis Sharfi, 6 Syawal 1321 Hijrah, cetakan pertama, Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 16 Safar 1322 Hijrah.

2. Haji Husein bin Muhammad Nur. 3. Haji Shalih bin Muhammad Nur. 4. Haji Ali bin Muhammad Nur, berkahwin dengan Hajah Sa'diyah binti Haji Abdullah bin Syeikh Jalaluddin al-Kalantani, anak-anaknya ialah: Aisyah, Abdur Razaq, Azizah dan Jamil. 5. Hajah Kaltsum binti Muhammad Nur. 6. Haji Abdul Ghani bin Muhammad Nur, anaknya Haji Abu Bakar Pontianak, yang sedang diriwayatkan. 7. Haji Mushthafa bin Muhammad Nur. 8. Haji Abdul Hamid bin Muhammad Nur, 9. Haji Abdul Aziz bin Muhammad Nur, termasuk salah seorang ulama besar Pontianak, menghasilkan di antaranya, Risalah Kitabish Shalah, bulan Zulhijjah 1316 Hijrah, dicetak di Tempat Cap Haji Muhammad Amin, Singapura, 6 Safar 1317 Hijrah, dengan huruf batu (litografi). Karyanya yang lain ialah Isnadul Ghulam fi Bayanil Imani wal Islam, atau judul dalam bahasa Melayu oleh pengarangnya, Persandaran Budak-Budak Yang Baharu Belajar Pada Menyatakan Iman dan Islam, 12 Jamadilawal 1325 Hijrah, dicetak di Tempat Cap Haji Muhammad Amin bin Abdullah, Kampung Gelam Singapura, 1325 Hijrah. Dicetak dengan huruf batu (litografi). Dan anak Haji Muhammad Nur Putih yang ke-10. Haji Abdul Wahhab bin Muhammad Nur tinggal di Mekah, tidak pernah pulang ke dunia Melayu sehingga meninggal dunia di sana.

Daripada karyanya yang berjudul Rajaul Mustarhim fit Takhtim wat Taslim wat Tarhim dapat diketahui nama guru-guru beliau seperti ditulis pada halaman 26, "Adalah tarhim yang dianjurkan oleh datuk guru kami, al-'Allamah Husein Pontianak'' seperti yang ditulis akan datang. Adalah Tok Guru Husein bin Sulaiman ini satu masa dengan guru kami asy-Syeikh Mukhtar bin `Atharid al-Batawi al-Bughri, dan guru kami al-'Allamah `Utsman Sarawak, dan guru kami asy-Syeikh `Abdul Qadir (bin Shabir] Mandailing, dan asy-Syeikh Ahmad Khathib Min[ang]kabau. (Syeikh) Husein (bin) Sulaiman ini hafiz al-Quran, cantik parasnya, al-'amil ash-shalih. Ia mengambil ilmu daripada ulama Mekah al-Musyarrafah, seperti: (Syeikh Sayid) Husein al-Habsyi dan lain-lain. Aku tidak tahu ahli Pontianak yang lebih alim daripadanya, berkata guru kami asy-Syeikh Abdul Qadir (bin Shabir) Mandailing, "Kalau Husein bin Sulaiman tidak selalu turun ke Jawi nescaya boleh ia mengajar di Masjid al-Haram pada waktu Daulah al-'Utsmaniyah itu. Asy-Syeikh Abdul Qadir (bin Shabir) berkata bagiku''.
"...pernah mengajar di Masjidil Haram, Mekah, Pontianak dan tempat-tempat lain di Kalimantan Barat..."
Pengetahuan

Daripada beberapa maklumat dapat dipastikan bahawa Syeikh Husein bin Sulaiman al-Funtiani (Pontianak) yang tersebut dalam tulisan di atas adalah saudara sepupu beliau sendiri, kerana sama-sama cucu kepada Haji Muhammad Nur Putih. Oleh itu dapat dipercayai bahawa Haji Abu Bakar bin Abdul Ghani al-Funtiani lebih banyak memperoleh pengetahuan daripadanya jika dibandingkan dengan ulama-ulama lainnya. Walaupun kedua-duanya saudara sepupu tetapi umur Syeikh Husein bin Sulaiman al-Funtiani jauh lebih tua daripada Haji Abu Bakar kerana Haji Sulaiman (ayah Syeikh Husein) adalah anak daripada isteri pertama Haji Muhammad Nur Putih. Sedangkan Haji Abdul Ghani (ayah Haji Abu Bakar) adalah anak Haji Muhammad Nur Putih daripada isteri beliau yang kemudiannya.

Tuan Guru Haji Abu Bakar bin Abdul Ghani al-Funtiani pernah mengajar di Masjidil Haram, Mekah, Pontianak dan tempat-tempat lain di Kalimantan Barat, Singapura, Tembilahan dan tempat-tempat lain di Riau Daratan, juga Kepulauan Riau di antaranya pernah tinggal di Pulau Midai dan Pulau Bunguran/ Natuna.

Barangkali sudah jadi sebati dengan keperibadiannya bahawa Tuan Guru Haji Abu Bakar mengajar dengan cara berpindah dari satu tempat ke tempat lain. Pada akhir hayatnya atau beberapa tahun sebelum beliau meninggal dunia beliau mengajar di beberapa kampung di Seberang Perai dan sekitarnya.

Penulisan

1. Tafrihul Murid wal Ikhwan fi Tahshil Tajwidil Quran, diselesaikan pada 1 Jamadilakhir 1375 Hijrah/14 Januari 1956 Masihi. Kandungannya membicarakan berbagai-bagai aspek tajwid al-Quran, termasuk perbandingan beberapa qiraah. Cetakan yang pertama oleh Al- Ahmadiah Press, 101 Jalan Sultan, Singapura, 1377 Hijrah.

2. Al-Muna fi Asbabil Ghina, diselesaikan pada hari Khamis, 21 Syawal 1359 Hijrah. Kandungannya membicarakan berbagai-bagai amalan tilawah surah-surah tertentu dalam al-Quran, selawat, wirid, doa dan lain-lain sebagai ikhtiar mendapatkan kemudahan rezeki dan kekayaan. Cetakan pertama, Mathba'ah al-'Umariyah, 768, North Bird Road, Singapura, 1359 Hijrah.

3. Rajaul Mustarhim fit Takhtim wat Taslim wat Tarhim, judul dalam bahasa Melayu oleh penyusunnya ialah Harapan Orang-Orang Yang Menuntut Kelebihan Khatam Al-Quran Dan Taslim Dan Tarhim, diselesaikan malam Sabtu, jam 12.20, 2 Zulhijjah 1379 Hijrah/28 Mei 1960 Masihi. Kandungannya membicarakan cara-cara melakukan khatam al-Quran, tarhim yang dibaca menjelang Subuh, taslim yang dibaca bulan Ramadan ketika akan melakukan sembahyang terawih. Selain itu terdapat beberapa amalan lainnya seperti ayat lima, selawat Syeikh Ahmad al-Badawi. Cetakan yang pertama Al-Ahmadiah Press, Singapura, 1379 Hijrah.

Penutup

Demikianlah riwayat Tuan Guru Haji Abu Bakar bin Abdul Ghani al-Funtiani, yang meninggal dunia di Singapura pada tahun 1967 Masihi. Pada hari beliau meninggal dunia secara kebetulan saya berada di Singapura, dapat menyaksikan bahawa sangat ramai orang yang hadir menziarahinya, sama ada jenazah masih di rumah mahu pun hingga menghantar ke perkuburannya.

Sebagai penutup artikel ini penulis berpendapat bahawa: "Ulama perlu dekat kepada pemerintah yang adil supaya kebaikan dapat dikekalkan. Ulama perlu dekat kepada pemerintah yang zalim untuk memberi nasihat terhadap mereka. Ulama perlu dekat kepada hartawan yang bertakwa dan dermawan untuk memudahkan pembiayaan pendidikan dan dakwah Islam. Ulama perlu dekat kepada orang miskin supaya timbul rasa belas kasihan. Ulama perlu dekat kepada sesama ulama supaya dapat bermuzakarah dan menambah ilmu pengetahuan. Ulama perlu dekat kepada orang yang jahil supaya dapat memberi pendidikan Islam terhadap mereka. Mudah-mudahan kita tetap berpandangan bahawa manusia yang paling mulia di sisi Allah ialah insan Muslim, mukmin, ahlul Makrifatullah yang bertakwa kepada Allah s.w.t., bukan lainnya.''

Artikel bertarikh 20/09/2004
_______________________________

Ya Allah, dengan berkat semua mashayiekh diatas ku mohon berkatilah hidupku dan keluarga ku dunia akhirat dan geng zend Hajib Wa, jumal dan dr.kimi...ampunkan semua dosa-dosa kami semua amin.

Rabu

MEMBACA AL-QURAN JADI KESUKAANYA

HAJi Ismail Al-Kalantani (kiri) dan Saiyid Abdullah Az-Zawawi dua
ulama luar yang berperanan besar dalam kerajaan Pontianak.


Ismail al-Kalantani - Mufti Kerajaan Pontianak

Nama lengkapnya ialah Ismail bin Haji Abdul Majid bin Haji Abdul Qadir al-Kalantani. Lahir di Kampung Labok, Macang, Kelantan. Mengenai tahun lahir dan wafatnya masih perlu dikaji kembali. Pendapat awal menyebut bahawa Ismail Kelantan lahir pada tahun 1293 Hijrah/1876 Masihi. Ismail Che' Daud menjelaskan pada notanya bahawa ulama tersebut lahir pada awal tahun 1300 Hijrah/1882 Masihi. Demikian tentang wafatnya bahawa pendapat awal menyebut tahun 1365 Hijrah/1946 Masihi, Ismail Che' Daud menyebut kemungkinan pada tahun 1370 Hijrah/1951 Masihi atau terkemudian lagi.

PENDIDIKAN

Ismail dan abangnya Muhammad Nuh (yang kemudian dikenali sebagai Haji Nuh Kaya) setelah memperoleh pendidikan asas di Kelantan, dihantar belajar ke Mekah. Di Mekah, Ismail sempat mengikuti majlis pengajian Syeikh Ahmad al-Fathani, sama ada di rumah mahu pun di Masjid al-Haram. Ada orang meriwayatkan bahawa Ismail Kelantan pulang ke Kelantan sesudah haji pada tahun 1325 Hijrah/1908 Masihi, iaitu tahun kewafatan Syeikh Ahmad al-Fathani (wafat 11 Zulhijjah 1325 Hijrah/18 Januari 1908 Masihi). Riwayat lain menyebut bahawa setelah Syeikh Ahmad al-Fathani meninggal dunia, Ismail Kelantan meneruskan pengajiannya kepada beberapa orang ulama besar Mekah, antaranya Saiyid Abdullah az-Zawawi (lahir 1266 Hijrah/1850 Masihi, wafat 1343 Hijrah/1924 Masihi), Syeikh Muhammad Mahfuz bin Abdullah at-Tarmasi dan ramai lagi. Syeikh Muhammad Mahfuz bin Abdullah at-Tarmasi berasal dari Termas (Jawa) adalah seorang ulama besar Mazhab Syafie dan ahli dalam ilmu hadis. Beliau mempunyai beberapa karangan yang besar, antaranya Muhibah Zawin Nazhar yang tebalnya empat jilid.

Hubungan mesra antara Ismail Kelantan dengan Saiyid Abdullah az-Zawawi sejak beliau belajar di Mekah lagi, yang ketika itu Saiyid Abdullah az-Zawawi adalah seorang Mufti Mazhab Syafie di Mekah. Ketika pergolakan Wahhabi di Mekah, beberapa orang ulama tidak aman tinggal di Mekah, termasuklah Saiyid Abdullah az-Zawawi. Haji Ismail Kelantan mengikut gurunya Saiyid Abdullah az-Zawawi itu berhijrah dari Mekah ke Riau dan selanjutnya ke Pontianak. Sewaktu Saiyid Abdullah az-Zawawi menjadi Mufti Pontianak, Ismail Kelantan terus bersama gurunya itu, belajar pelbagai bidang ilmu tiada henti-hentinya walau pun ilmu yang dikuasainya cukup banyak dan memadai. Riwayat lain menyebut bahawa Ismail Kelantan pulang ke Kelantan lebih awal (1325 Hijrah/1908 Masihi), dan selanjutnya pergi ke Cam/Kemboja.

Ilmu falak

Ismail Kelantan tidak sempat menamatkan ilmu falak yang dipelajarinya daripada Syeikh Ahmad al-Fathani. Oleh itu setelah Syeikh Ahmad al-Fathani meninggal dunia, beliau meneruskan pendidikan khusus tentang ilmu falak itu daripada Syeikh Muhammad Nur bin Muhammad bin Ismail al-Fathani. Ketika mempelajari ilmu falak daripada Syeikh Muhammad Nur al-Fathani, beliau bersama Syeikh Haji Abu Bakar bin Haji Hasan Muar.

Mengenai ketokohan Ismail Kelantan dalam ilmu falak dapat dibuktikan dalam karyanya Pedoman Kesempurnaan Manusia. Menurut cerita Ustaz Abdur Rani Mahmud (ketika masih hidup sebagai Ketua Majlis Ulama Kalimantan Barat), bahawa Ismail Kelantan adalah orang pertama yang menyebarluaskan ilmu falak di Pontianak, khususnya atau Kalimantan Barat umumnya.

KE PONTIANAK SEBAGAI MUFTI

Selain bersama gurunya Saiyid Abdullah az-Zawawi di Pontianak, Ismail Kelantan pernah menziarahi Syeikh Muhammad Yasin, seorang ulama yang berasal dari Kedah, yang tinggal di Kuala Secapah, Mempawah. Pada tahun kedatangan Ismail Kelantan ke Kuala Secapah, Mempawah itulah Syeikh Muhammad Yasin Kedah meninggal dunia. Ismail Kelantan juga menziarahi Wan Nik, seorang ulama sufi yang berasal dari Patani. Beliau tinggal dalam bandar Mempawah.

Dalam waktu yang relatif singkat, kealiman Ismail Kelantan tersebar di sekitar Mempawah dan Pontianak. Oleh sebab itu Adam, seorang hartawan Bugis di Sungai Itik, Pontianak, iaitu seorang yang sangat haus dengan ilmu pengetahuan, menjemput Ismail Kelantan mengajar di rumahnya. Bukan itu saja, atas kehendak Adam dan Mu'minah binti Haji Muhammad Thahir, mereka menjodohkan anak perempuannya dengan Ismail Kelantan. Perkahwinan dengan anak Adam itu merupakan perkahwinan Ismail Kelantan yang pertama di Pontianak. Detik-detik terakhir akan kepulangannya ke Kelantan, Ismail berkahwin lagi dengan Jamaliah yang berasal dari Tasik Malaya, Jawa Barat. Perkahwinan kedua ini adalah atas kehendak dan perintah Sultan Muhammad, Sultan Pontianak.

Daripada sepucuk surat Ismail Kelantan kepada Syarif Muhammad bin Syarif Yusuf, Sultan Pontianak, tarikh Pontianak: 28 Februari 1924, dapatlah diketahui bahawa mula-mula beliau dilantik sebagai Naib Hakim di Rad Agama Pontianak mulai tarikh 12 Ogos 1920 Masihi. Pada tarikh penulisan surat 28 Februari 1924, kedudukan Ismail Kelantan adalah sebagai Mufti di Kerajaan Pontianak.

Sewaktu Ismail Kelantan menjadi Mufti Pontianak, ada tiga orang ulama yang bernama Ismail. Dua orang lagi ialah Ismail bin Abdul Lathif (lebih dikenali dengan Ismail Jabal) dan Ismail bin Abdul Karim (lebih dikenali sebagai Ismail Mundu). Ismail bin Abdul Lathif berpangkat Adviseur Penasihat Rad Agama Kerajaan Pontianak. Ismail bin Abdul Karim (wafat pada hari Khamis, 15 Jamadilakhir 1376 Hijrah/16 Januari 1957 Masihi) pula adalah Mufti Kerajaan Kubu, sebuah kerajaan kecil di bawah naungan Kerajaan Pontianak. Ketiga-tiga ulama tersebut sangat terkenal di dalam Kerajaan Pontianak. Bahkan kerajaan-kerajaan lain di seluruh Kalimantan/Borneo.

PULANG KE KELANTAN

Ismail Kelantan pulang ke Kelantan sekitar tahun 1937. Di Kota Bharu beliau menjadi guru di Jami' Merbau yang berstatus sebagai pendidikan tinggi Islam ketika itu. Murid-murid yang diterima di Jami' Merbau adalah orang-orang yang telah mendapat pendidikan yang cukup memadai, yang datang dari seluruh Semenanjung dan Patani.

* Sekarang ini Jami' Merbau dikenali Sekolah Menengah Arab Ma'ahad Muhammadi, ianya didirikan pada tahun 1937 dengan nama Al-Madrasah al-Arabiyah al-Muhammadiyah Majlis Agama Islam Kelantan. Pada masa itu, ia belajar di sudut belakang bangunan Majlis Agama Islam Kelantan, dekat dengan Masjid Muhammadi, masjid besar Kota Bharu Kelantan. Pada tahun 1942, ia berpindah ke Jalan Merbau, dan namanya pun ditukar kepada al-Madrasah al-Arabiyah Jami' Merbau al-Ismalili. Dalam tahun 1956 sekali lagi berpindah, dan namanya pun turut diubah kepada Al-Ma'ahad al-Muhammadi. Dalam tahun 1982, ia dipecah kepada dua bahagian, iaitu bahagian lelaki dan bahagian perempuan. Pada tahun 1984, Ma'ahad Muhammadi bahagian lelaki berpindah ke Jalan Pangkalan Chepa. Dalam tahun 1985, Ma'ahad Muhammadi lelaki ditempatkan di bangunan lama al-Madrasah al-Falahiyah, Pasir Pekan. Pada tahun 1988, bangunan tambahan Ma'ahad Muhammadi lelaki di Jalan Pangkalan Cepa dibina untuk menampung pelajar dari kelas peralihan hingga ke tingkatan 6 atas, yang mula diguna pada awal tahun 1989 hingga kini.

Semangat

Selain mengajar di Jami' Merbau, Ismail Kelantan juga menjadi guru dan imam di Istana Sultan Kelantan. Ismail Kelantan adalah hafiz al-Quran tiga puluh juzuk, fasih ketika berpidato dan berkhutbah di atas mimbar. Kelebihannya pula dapat mempengaruhi dan membakar semangat pendengar. Dalam satu peristiwa pergaduhan yang didalangi Bintang Tiga yang terjadi di Kota Bharu, Ismail Kelantan telah berpidato sehingga menaikkan semangat juang orang Melayu.

PENULISAN

1. Fatwa Daripada as-Saiyid Abdullah Ibnu Almarhum as-Saiyid Muhammad Shalih az-Zawawi Jawab Soal Dari Tanah Jawa, diselesaikan pada 25 Syawal 1330 Hijrah. Kandungannya mengenai ayat-ayat al-Quran dalam piring hitam. Diberi gantungan makna dalam bahasa Melayu daripada karya asalnya yang ditulis dalam bahasa Arab, Rejab tahun 1326 Hijrah. Dicetak dengan kehendak as-Saiyid Ja'far bin Pangeran Syarif Abdur Rahman al-Qadri Pontianak. Dicetak di Mathba' Haji Muhammad Sa'id bin al-Marhum Haji Arsyad, No. 82 Arab Street Singapura, pada 25 Syawal 1330 Hijrah oleh Muhammad bin Haji Muhammad Sa'id, Basrah Street, No. 49 Singapura.

2. Risalah Pada Bicara Jum'at dan Sembahyang Zhuhur Mu'adah, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan. Tarikh salinan 3 Rabiulawal 1345 Hijrah. Manuskrip disalin oleh Khathib Peniti Kecil, diperoleh di Pontianak pada 8 Syawal 1422 Hijrah/22 Disember 2001 Masihi. Kandungan perbahasan khilafiah mengenai sembahyang Jumaat dan sembahyang Zuhur atau mu'adah.

3. Pedoman Kemuliaan Manusia, kandungannya membicarakan rampaian berbagai-bagai ilmu, termasuk falakiyah. Cetakan yang pertama Mathba'ah al-Ma'arif, Kota Bharu, Kelantan. Taqriz/pujian: Tuan Guru Ahmad Mahir bin Haji Ismail Kemuning, Kadi Besar Negeri Kelantan (ditulis pada 22 Januari 1938), Tuan Guru Nik Muhammad Adib bin Syeikh Muhammad Daud, Jawatan Tinggi Kadi Pelawat atau Pemeriksa Kadi-kadi Dalam Kelantan (ditulis 22.11.37), Tuan Guru Abdullah Tahir bin Ahmad, Guru Besar Ugama Dalam Kelantan dan Anggota Ulama Dalam Majlis Ugama Islam Kelantan (ditulis 14 Zulkaedah 1356 Hijrah).
"..di mana saja beliau duduk, mulutnya sentiasa membaca ayat-ayat al-Quran. Tangannya senantiasa memegang tasbih.."
KETURUNAN DAN MURID

Sewaktu Ismail Kelantan pulang ke Kota Bharu, Kelantan, tiga orang anaknya dengan isteri pertama telah berumah tangga, ketiga-tiganya tidak ikut pulang ke Kelantan. Anak-anaknya yang pernah ditemui penulis ialah anaknya yang tinggal di Parit Sungai Keluang, Peniti, Kecamatan Siantan, Kabupaten Pontianak. Suaminya bernama Arif. Seorang anak Ismail Kelantan yang perempuan lainnya tinggal di Pontianak. Dipercayai ketiga-tiga anak Ismail Kelantan melahirkan keturunan yang ramai di Pontianak atau pun telah berpindah ke tempat-tempat lainnya.

Antara sekian ramai murid Ismail Kelantan di Pontianak yang sangat rapat dengan penulis ialah Ustaz Abdur Rani Mahmud. Beliau termasuk salah seorang guru penulis. Jawatan terakhir beliau ialah Ketua Majlis Ulama Kalimantan Barat. Beliau adalah tempat rujukan segala kemusykilan mengenai Islam bagi masyarakat umum dan pihak pemerintah di Kalimantan Barat.

Cerita-cerita mengenai kelebihan atau keistimewaan Ismail Kelantan banyak penulis dengar dan catat daripada Abdur Rani Mahmud. Menurut Abdur Rani Mahmud, Ismail Kelantan adalah orang pertama menyebarkan ilmu falak secara meluas di Pontianak. Katanya, "Kemungkinan Haji Ismail Kelantan hafal Quran tiga puluh juzuk kerana di mana saja beliau duduk, mulutnya sentiasa membaca ayat-ayat al-Quran. Tangannya senantiasa memegang tasbih. Kalau mengajar mata pelajaran apapun yang diajarkannya semuanya secara hafal walau pun kitab ada di depannya.''

ULAMA yang berasal dari Kelantan ini pernah penulis (Almarhoum Syeikh W.Md.Saghir) riwayatnya di dalam Majalah Pengasuh yang diperlengkapkan oleh Ismail Awang. Selanjutnya dimuat dalam buku Tokoh-Tokoh Ulama Semenanjung Melayu (jilid 1), yang diselenggarakan oleh Ismail Che Daud dan diterbitkan oleh Majlis Ugama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, cetakan pertama, 1988. Beberapa tahun kemudian penulis menemui data-data baru mengenai ulama Kelantan yang pernah menjadi Mufti Kerajaan Pontianak di Kalimantan Barat ini, oleh itu riwayat mengenainya ditulis kembali di dalam ruangan Agama, Utusan Malaysia ini.

Oleh ALMARHOUM WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH [Utusan Malaya] 02/08/2004