Kebanyakan artikel disini adalah karya Al-Marhoum Tuan Guru Syeikh Wan Mohd Shaghir Abdullah R.A cucunda kepada Tuan Guru Syeikh Ahmad Al-Fathanie, juga dari akhbar2 nasional yang lain dan laman2 web yang bertebaran di alam maya juga disaduri macam2 hikayat,riwayat,kaifiat dan khasiat keemasan saya himpun dan susun sebagai koleksi peribadi dan bagi tatapan dan santapan rohani buat teman-teman yang sudi...himpunan artikel2 terbaru saya sekarang lebih muyul kepada informasi kesihatan ala muslim-jawi kearaban..... dan saya mula berjinak2 dengan jualan secara online produk kesihatan muslim, khasnya peralatan bekam (Set cawan, jarum dan pen bekam) dan khidmat pembekaman, Sudi-sudilah ziarah dan sudikan tinggal komentar anda. TQ
Memaparkan catatan dengan label Ulama Perak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ulama Perak. Papar semua catatan

Isnin

AHLI PENGINTAI MATAHARI DAN BULAN

Syeikh Tahir Jalaluddin Al-Azhari - Ahli falak dunia Melayu
Biografi atau riwayat hidup Syeikh Tahir Jalaluddin ahli falak dunia melayu ini agak banyak ditulis orang. Walau bagaimanapun artikel ini merujuk sumber-sumber asli berupa catatan Syeikh Tahir Jalaluddin sendiri, surat-surat Syeikh Ahmad al-Fathani tahun 1323-1325 Hijrah dan lain-lain. Nama lengkapnya ialah Syeikh Muhammad Tahir bin Muhammad bin Jalaluddin Ahmad bin Abdullah al- Minankabawi al-Azhari. Ayahnya meninggal dunia di Cangking, Minangkabau pada hari Ahad 27 Jamadilawal 1288 Hijrah/14 0gos 1871 Masihi. Ibunya juga meninggal dunia di Cangking pada 1295 Hijrah/1878 Masihi.

Syeikh Tahir lahir di Cangking, Minangkabau pukul 4.45 pada hari Selasa, 4 Ramadan 1286 Hijrah/8 Disember 1869 Masihi. Meninggal dunia di Kuala Kangsar, Perak, sesudah sembahyang Subuh pada hari Jumaat, 22 Rabiulawal 1376 Hijrah/26 Oktober 1956 Masihi.


Sungguh pun Syeikh Tahir dalam catatannya menyebut tarikh lahirnya 4 Ramadan 1286 Hijrah/8 Disember 1869 Masihi tetapi dalam buku Ulama Silam Dalam Kenangan, halaman 20, dinyatakan bahawa beliau lahir pada 7 November 1869 Masihi. Tarikh yang diberikan ini adalah bertentangan dengan catatan Syeikh Tahir sendiri. Tarikh 7 November 1869 Masihi adalah bersamaan 2 Syaaban 1286 Hijrah, hari Sabtu, bukannya bersamaan 4 Ramadan 1286, hari Selasa.

PENDIDIKAN

Pada tahun 1296 Hijrah/1879 Masihi, dalam usia 10 tahun beliau ke Mekah bersama Syeikh Ahmad Khatib bin Abdul Lathif iaitu saudara sepupu beliau sendiri. Sampai di Mekah beliau dipelihara oleh Syeikh Muhammad Saleh al-Kurdi. Beliau mengaji al-Quran kepada Syeikh Abdul Haq di Madrasah Asy-Syaikh Rahmatullah serta belajar kitab kepada Syeikh Umar Syatha, Syeikh Muhammad al-Khaiyath dan Syeikh Ahmad Khatib al-Minankabawi.

Syeikh Ahmad al-Fathani ulama Melayu yang masyur kealimanya juga termasuk salah seorang guru kepada Syeikh Tahir Jalaluddin. Setelah Syeikh Ahmad al-Fathani pulang dari Mesir dan ke Mekah pada akhir tahun 1299 Hijrah/1881 Masihi atau awal 1300 Hijrah/ 1882 Masihi, beliau mempengaruhi pemuda-pemuda Melayu dan murid-murid beliau di Mekah mengenai kelebihan pendidikan di Masjid Al-Azhar, Mesir. Maka pemuda Melayu peringkat pertama yang dikirim oleh Syeikh Ahmad al-Fathani belajar di Mesir ada beberapa orang, antaranya termasuklah Syeikh Tahir Jalaluddin.

Sewaktu Syeikh Tahir berada di Mesir, terdapat banyak surat timbal-balik antara kedua-duanya. Syeikh Ahmad al-Fathani memberikan kepercayaan kepadanya dalam kepengurusan putera-putera DiRaja Riau yang beliau kirim ke Mesir, termasuk juga anak Syeikh Ahmad al-Fathani yang bernama Haji Ismail, Muhammad Zain bin Ahmad Kelantan dan lain-lain. Dalam suratnya Syeikh Ahmad al-Fathani menyebut Syeikh Tahir Jalaluddin dengan panggilan "waladuna'' ertinya "anak kami'' atau maksudnya "anaknda''. Sebaliknya Syeikh Tahir Jalaluddin menyebut Syeikh Ahmad al-Fathani dengan panggilan "waliduna'' ertinya "ayah kami'' atau maksudnya "ayahnda''.

CATATAN PERKAHWINAN

Syeikh Tahir Jalaluddin berkahwin beberapa kali. Catatan beliau sendiri dinyatakan bahawa: kahwin di Mekah pada hari Sabtu, 26 Zulkaedah 1305 Hijrah/4 Ogos 1888 Masihi dengan Aisyah binti Syeikh Muhammad bin Syeikh Ismail al-Khalidi. Diakadkan oleh Sayid Bakri Syatha yang menerima wakil daripada Syeikh Ismail bin Syeikh Muhammad di hadapan Sayid Umar Syatha, Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Ismail, Syeikh Muhammad Saleh al-Kurdi, Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau dan Syeikh Ismail bin Syeikh Muhammad, saudara Aisyah. Perkahwinan yang pertama ini adalah dengan cucu Syeikh Ismail al-Khalidi al-Minankabawi, ulama besar yang terkenal dan penyebar Thariqat Naqsyabandiyah Khalidiyah.

Kemudian Syeikh Tahir Jalaluddin berkahwin lagi dengan Kaltsum binti Haji Ibrahim, pada malam Jumaat, 9 Rejab 1310 Hijrah/27 Januari 1893 Masihi. Selanjutnya pada malam Jumaat 13 Ramadan 1310 Hijrah/31 Mac 1893 Masihi, berkahwin pula dengan Jamilah binti Haji Abdul Karim. Pada malam Khamis, 20 Jamadilawal 1317 Hijrah/23 September 1899 Masihi berkahwin dengan Aisyah binti Haji Mustafa bin Datuk Menteri Sati yang dihadiri oleh Syeikh Muhammad al-Khaiyath, Haji Hasyim Kelantan dan lain-lain. Selain yang tersebut masih ada lagi.

PENGEMBARAAN

Syeikh Tahir juga mencatat siri pengembaraan dan pengalamannya di beberapa kerajaan Nusantara, iaitu beliau pertama kali menginjakkan kakinya di Singapura pada 9 Ramadan 1305 Hijrah/20 Mei 1888 Masihi. Pada 15 Safar 1310 Hijrah/8 September 1892 Masihi pergi ke Riau, Pulau Penyengat. Di sana beliau berjumpa dengan Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Ismail al-Khalidi al-Minankabawi. Raja Muhammad Tahir Hakim bin al-Marhum Mursyid, Hakim Riau, menyarankan supaya Syeikh Tahir tidak meneruskan perjalanan kerana cerdik pandai Riau bermaksud bermuzakarah kitab falak berjudul "At-Thal'us Said'', maka beliau tinggal di Pulau Penyengat itu hingga bulan Rabiulakhir.

Dari Penyengat, Syeikh Tahir kembali ke Singapura. Kemudian dengan menumpang sebuah kapal layar beliau menuju ke Siantan, Kepulauan Anambas bersama Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Ismail al-Khalidi al-Minankabawi. Oleh sebab ketika itu kepulauan tersebut diserang wabak sakit biri-biri (sakit kebas), mereka terpaksa pulang ke Singapura pada bulan Syaaban 1316 Hijrah/Januari 1899 Masihi, dengan menumpang sebuah tongkang yang membawa kelapa kering (kopra).

Pada 5 Ramadan 1321 Hijrah/24 November 1903 Masihi, Syeikh Tahir ke Surabaya dan singgah di Bali, Boleleng dan Ampenan. Pada 9 Ramadan 1321 Hijrah/28 November 1903 Masihi, beliau sampai di Pulau Sumbawa. Pada 13 Ramadan 1321 Hijrah/2 Disember 1903 Masihi hari Rabu, Syeikh Tahir Jalaluddin berhenti di rumah Tuan Qadhi Haji Muhammad Saleh. Sultan Muhammad Jalaluddin ibni Sultan Muhammad Daimuddin, Sumbawa, mempelawa supaya beliau tinggal di Sumbawa. Pada 7 Zulhijjah 1321 Hijrah/23 Februari 1904 Masihi, Syeikh Tahir dari Sumbawa menuju ke Bima. Tiba di Bima pada 25 Februari beliau berhenti di rumah Imam Haji Thalib dan mengadap Sultan Ibrahim bin Sultan Abdullah bin Sultan Ismail bin Sultan Abdul Hamid.

Pada 16 Zulhijjah 1321 Hijrah/3 Mac 1904 Masihi, Syeikh Tahir Jalaluddin dari Bima menuju ke Makasar. Sampai di Makasar pada 16 Mac 1904 beliau berhenti di rumah Haji Ahmad Rifa'ie dan berkenalan dengan Haji Muhammad Saleh Palembang dan Raden Haji Abdul Ghani Palembang. Pada 17 Mac beliau ke Goa menemui Haji Daud Daeng Manabi' bin Yusuf. Kemudian menghadap Sultan Husein bin Sultan Idris bin Sultan Abdul Qadir bin Al-Amir Mahmud Goa.

PENULISAN DAN SUMBANGAN

1. Irsyadul Khaidhi li `Ilmil Faraidhi, penggal yang pertama, diselesaikan pada hari Khamis, 12 Jamadilakhir 1348 Hijrah. Cetakan pertama, Mathba'ah Al-Ahmadiah 82 Jalan Sultan, Singapura, 10 Rejab 1348 Hijrah/11 Disember 1929 Masihi. Kandungannya membicarakan masalah membahagi pusaka. Penggal yang kedua, diselesaikan pada hari Jumaat, 9 Safar 1371 Hijrah. Cetakan pertama, oleh percetakan yang sama, 1371 Hijrah/1952 Masihi.

2. Huraian Yang Membakar, Taman Persuraian Haji, diselesaikan pada tahun 1349 Hijrah. Kandungannya merupakan polemik, membantah karangan Tuan Guru Haji Abu Bakar bin Haji Hasan, Qadhi Muar yang berjudul Taman Persuraian. Pokok perbicaraan ialah sembahyang sunat sebelum sembahyang Jumaat. Kitab di atas dibantah lagi oleh Haji Abu Bakar Muar dengan karangannya Taufan Yang Memalui Atas Huraian Haji Thahir Al-Minkabawi, ditulis pada 10 Rabiulawal 1351 Hijrah/1932 Masihi.

3. Perisai Orang Beriman Pengisai Mazhab Orang Qadyan, diselesaikan pada 4 Rabiulawal 1349 Hijrah/30 Julai 1930 Masihi, di Singapura. Dicatatkan umur pengarang 62 tahun Qamariyah, 6 bulan genap. Atau 60 tahun Syamsiyah, 7 bulan, 23 hari. Kandungannya membantah ajaran Qadyani. Cetakan pertama oleh Setia Press, 32 Lorong 21 Geylang Singapura.

4. Ithaful Murid fi Ahkamit Tajwid, tanpa disebut tarikh selesai penulisan. Kandungan pelajaran tajwid al-Quran. Cetakan yang ketiga, Jelutong Press, Pulau Pinang, 1349 Hijrah/1931 Masihi. Cetakan yang keempat, Mathba'ah Persama, Pulau Pinang, 1352 Hijrah/1933 Masihi.

5. Ta'yidu Tazkirah Mutba'is Sunnah fir Raddi `alal Qa-ili bi Saniyati Raka'ataini Qablal Jum'ah, dalam bahasa Arab. Diselesaikan di Pulau Pinang pada 12 Syawal 1349 H. Kandungannya membahas perkara khilafiyah sembahyang sunat dua rakaat sebelum sembahyang Jumaat. Dicetak oleh The United Press, 55 Achen Street, Penang, 1372 Hijrah/1953 Masihi.

6. Natijatul `Umur, diselesaikan: 1355 Hijrah/1936 Masihi. Kandungannya mendapatkan perkiraan/perhitungan pada taqwim tarikh hijri dan miladi, arah Kiblat dan waktu-waktu sembahyang yang boleh digunakan selama hidup. Dicetak oleh Penang Printer Press, Pulau Pinang, 1355 Hijrah/ 1936 Masihi.

7. Jadawil Pati Kiraan Pada Menyatakan Waktu Yang Lima Dan Hala Qiblat Dengan Logharitma, diselesaikan 15 Syaaban 1356 Hijrah. Kandungan perhitungan falakiyah. Pada halaman 13 ada dicatat bahawa gurunya al-'Allamah Syeikh Muhammad bin Yusuf al-Khaiyath, ulama al-Haramul Makki yang mengajar berbagai-bagai ilmu di Masjidil Haram khusus `ilmul hisab dan `ilmul falak. Kemudian ulama tersebut dilantik menjadi Syeikh al-Islam Kedah yang meninggal dunia di Batuban, Pulau Pinang, pada malam Rabu, 17 Rejab 1333 Hijrah. Cetakan yang pertama oleh Al-Ahmadiah Press Singapura, 1357 Hijrah/1938 Masihi. Dicetak dalam bentuk kombinasi Melayu/Jawi dan Latin/Rumi.

8. Nukhbatut Taqrirat fi Hisabil Auqat wa Sammatil Qiblat bil Lugharitmat, tanpa dinyatakan tahun selesai penulisan. Kandungannya membicarakan kaedah ilmu falak. Huraiannya ditulis dalam bahasa Arab sedang jadual yang menggunakan angka ditulis dalam angka Rumi/Latin. Cetakan yang pertama, Royal Press, 745 North Bird Road, Singapura, 1356 Hijrah/1937 Masihi.

9. Al-Qiblah fi Nushushi `Ulamais Syafi'iyah fi ma Yata'allaqu bi Istiqbalil Qiblatis Syar'iyah Manqulah min Ummuhat Kutubil Mazhab, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan. Kandungannya membicarakan falak. Dicetak oleh Mathba'ah Az-Zainiyah, Taiping 1951, atas kebenaran Majlis Ugama Islam dan Adat Melayu Perak, No. (18) dlm. Pk. Red. Dept 110/50, bertarikh 21 September 1950. Terdapat lapan nama ulama yang mengesahkan, ialah Haji Abdullah Pak Him, Mufti Pulau Pinang, Haji Ahmad bin Tuan Husein Kedah, Guru Besar Sekolah Arab Pokok Sena Seberang Perai, Haji Syihabuddin bin Abdus Shamad Sungai Dua, Haji Hamzah bin Haji Muhammad Ali Pak Jak Sung, Seberang Perai, Haji Muhammad Saleh al-Masri, Sekolah Arab Bukit Martajam, Haji Muhammad Sa'ad al-Masri, Sekolah Arab Bukit Martajam, Abdul Halim Utsman Mudir Al-Ma'had al-Mahmud Alor Setar dan Muhammad Nawawi bin Muhammad Tahir, Guru Agama Perak.

Artikel diatas diambil dari akhbar utusan karya Syeikh m.Saghir 07/06/2004, ada banyak tulisan yang membicarakan Ulama yang masyur dengan Ilmu Falak ini, sebagai rujukan bolehlah tanya ammu google.

* Banyak tulisan-tulisan tentang biografi Sheikh Tahir Jalaluddin, antaranya:
- Dalam web Pusat Falak Sheikh Tahir Pualu Pinang ( Click here)
- Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas. - click right and open new windows here
- Dalam akhbar Berita Harian juga ada diceritakan riwayat dan biografi Syeikh Muhammad Tahir oleh Mohd Azis Ngah, kesini


Rabu

SYEIKHUL ISLAM SEORANG PENDEKAR

Syeikh Muhammad Saleh Al Minankabawi Syeikhul Islam Perak Darul Redzuan
MENGENAI ulama yang berasal dari Minangkabau ini, masih terdapat beberapa perkara yang masih bersimpangsiur. Terdapat dua nama mengenai orang tuanya, iaitu Abdullah dan Muhammad Thaiyib. Ayahnya yang bernama Abdullah digunakan pada tiga buah karyanya yang telah ditemui. Nama Muhammad Thaiyib pula digunakan sewaktu beliau menjadi Syeikh al-Islam Perak Darul Redzuan.

Syeikh Muhammad Saleh dilahirkan di Kampung Tungkar, Luak Tanah Datar, Minangkabau, Sumatera Barat. Muridnya bernama Muhammad Saleh Mandahiling, penulis buku biografinya yang menyebut bahawa Syeikh Muhammad Saleh lahir kira-kira pada tahun 1266 Hijrah. Penulis masih meragui tahun andaian itu, kerana beberapa fakta bertentangan dengan jalan sejarah yang ada hubungan dengannya. Syeikh Muhammad Saleh meninggal dunia pada 17 Zulkaedah 1351 Hijrah/12 Mac 1933 Masihi di Kuala Lumpur.

Dalam buku muridnya itu diceritakan bahawa Syeikh Muhammad Saleh bersahabat dengan Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau (lahir 1276 Hijrah), Syeikh Mukhtar Jawa/Bogor (lahir 1278 Hijrah) dan Syeikh Nawawi Bantan (1230 Hijrah). Berdasarkan perbandingan tahun kelahiran ulama-ulama yang tersebut dengan kelahiran Syeikh Muhammad Saleh (1266 Hijrah) itu, penulis berkesimpulan bahawa Syeikh Muhammad Saleh bukan sahabat Syeikh Nawawi Bantan tetapi beliau adalah muridnya. Kelahirannya yang diandaikan tahun 1266 Hijrah itu masih perlu dikaji semula, sekurang-kurangnya agak berdekatan dengan tahun kelahiran Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau (1276 Hijrah) dan Syeikh Mukhtar Jawa/Bogor (1278 Hijrah) itu.

PENDIDIKAN

Syeikh Muhammad Saleh berangkat ke Mekah sejak berumur 6 tahun mendapat pendidikan daripada orang tuanya, Syeikh Muhammad Thaiyib @ Syeikh Abdullah, seorang Syeikh haji di Mekah. Beliau sempat belajar kepada ulama-ulama besar Mekah yang terkenal, iaitu Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan, Syeikh Abu Bakar Syatha, Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani, Saiyid Umar Ba Junaid, Saiyid Muhammad Said Babshail dan Saiyid Abdullah Zawawi.

Dalam buku biografinya tidak disebut seorang pun gurunya yang berasal dari dunia Melayu secara jelas, tetapi memperhatikan jalan ceritanya, Syeikh Muhammad Saleh juga belajar kepada ulama-ulama dunia Melayu yang terkenal di Mekah pada zaman itu. Diceritakan dalam buku itu bahawa sewaktu Syeikh Muhammad Saleh akan memperdalam ilmu falak bersama beberapa orang kawannya. Kawan-kawannya hanya belajar empat kali saja kerana guru tersebut terlalu keras. Nama guru falak yang diceritakan dalam buku itu tidak dinyatakan. Syeikh Muhammad Saleh sempat khatam belajar kepada guru yang keras itu. Demi lebih memperoleh kefahaman, beliau belajar pula kepada seorang pemuda yang berusia 16 tahun, juga tidak disebut namanya.

Daripada cerita di atas penulis berpendapat kemungkinan yang dimaksudkan guru falak yang terlalu keras itu ialah Syeikh Ahmad al-Fathani. Sedangkan pemuda ahli falak yang berusia 16 tahun itu, ialah Syeikh Muhammad Nur al-Fathani.

PENGEMBARAAN DAN AKTIVITI

Setelah belajar selama 17 tahun di Mekah, Syeikh Muhammad Saleh pulang ke Minangkabau. Selama kira-kira empat tahun di Minangkabau, digunakan untuk mengembara ke segenap pelosok wilayah itu, dan pada waktu-waktu tertentu membantu gurunya, Syeikh Muhammad Jamil mengajar. Pengembaraan di Minangkabau dimanfaatkannya pula berdakwah dan mengajar melalui pembacaan kitab, sama ada kitab bahasa Arab mahu pun bahasa Melayu.

Sewaktu berada di Minangkabau selama empat tahun itu, Syeikh Muhammad Saleh berkesempatan pula belajar ilmu persilatan dan beberapa jenis ilmu hikmat untuk pertahanan diri yang diperlukan pada zaman itu. Diceritakan bahawa dalam ilmu persilatan, beliau telah mencapai martabat seorang pendekar. Dalam ilmu perubatan beliau berkemampuan pula mengubati berjenis-jenis penyakit.

Syeikh Muhammad Saleh berangkat lagi ke Mekah kerana masih dirasakan kekurangan ilmunya dalam bidang-bidang tertentu, seperti ilmu falakiyah, ilmu manthiq, ilmu tafsir dan lain-lain. Setelah beberapa tahun belajar dan mengajar di Mekah, sahabat dan muridnya, Engku Kudin, putera Raja Deli-Serdang mengajak beliau menyebarkan Islam di kerajaan di Sumatera Timur itu. Selesai menunaikan haji tahun 1309 Hijrah/1892 Masihi, Syeikh Muhammad Saleh bersama jemaah haji menaiki kapal dari Jeddah ke Pulau Pinang.

Selanjutnya Syeikh Muhammad Saleh mengembara di seluruh Semenanjung Tanah Melayu, mulai Pulau Pinang, Perak, Selangor, Pahang, Terengganu dan Johor. Di mana saja beliau pergi, beliau terus mendapat sambutan bukan hanya rakyat jelata tetapi juga para sultan setiap kerajaan yang tersebut itu.

Daripada pergaulan dengan sultan-sultan Melayu, Syeikh Muhammad Saleh berkesimpulan bahawa Sultan Abdur Rahman Mu'azzam Syah, Sultan Riau-Lingga adalah sultan yang paling garang. Beliau mementingkan keindahan pakaian dan perhiasan serta menyukai kelazatan makanan dan minuman. Sultan Abu Bakar, Sultan Johor, adalah sultan yang cerdik, mengasihi rakyat dan mengutamakan kepentingan kerajaannya. Sultan Zainal Abidin III, Sultan Terengganu, adalah sultan yang sangat alim pengetahuan Islamnya dan sangat bertakwa kepada Allah.

HAKIM DI KERAJAAN RIAU-LINGGA

Sebelum Syeikh Muhammad Saleh menjadi Syeikh al-Islam Perak, beliau pernah memegang jawatan Hakim di kerajaan Riau-Lingga. Pelantikan beliau sebagai Hakim Riau-Lingga adalah atas kehendak Yam Tuan Muda Raja Muhammad Yusuf al-Ahmadi.

Sebab-sebab Syeikh Muhammad Saleh diminta oleh Yam Tuan Muda Raja Muhammad Yusuf al-Ahmadi menjadi Hakim Riau-Lingga adalah untuk menjaga kewibawaan putera baginda, Sultan Abdur Rahman Mu'azzam Syah, Sultan Riau-Lingga ketika itu. Yam Tuan Muda Raja Muhammad Yusuf al-Ahmadi dalam beberapa tahun merasa gelisah kerana beberapa perkara di mahkamah banyak yang tidak dapat diselesaikan. Ada yang tertangguh sekurang-kurangnya tiga tahun. Syeikh Muhammad Saleh dapat menyelesaikannya, beliau adalah seorang ulama yang bijaksana, amanah. Semuanya dapat beliau selesaikan.

Syeikh Muhammad Saleh terpaksa berpindah dari Riau, Pulau Penyengat ke Pulau Lingga untuk menjalankan tugasnya sebagai Hakim. Sewaktu Syeikh Muhammad Saleh memegang jawatan Hakim Riau-Lingga itulah salah seorang Kerabat Diraja Kerajaan Perak bernama Engku Raja Mahmud atau digelar dengan Imam Paduka Tuan Perak mengenalinya.

Engku Raja Mahmud mengkagumi kebijaksanaan Syeikh Muhammad Saleh dalam menyelesaikan pelbagai isu, apatah lagi ulama yang berasal dari Minangkabau itu dapat menggabungkan pengetahuan yang bercorak duniawi dan ukhrawi. Dengan bermacam-macam cara Engku Raja Mahmud memujuk ulama itu supaya berkhidmat di negerinya di Perak Darul Redzuan.

MENJADI SYEIKH AL-ISLAM

Engku Raja Mahmud akhirnya berhasil mengajak Syeikh Muhammad Saleh berpindah ke Perak setelah dua tahun beliau bertugas sebagai Hakim di Riau-Lingga. Manakala Engku Raja Mahmud kembali ke Perak, beliau dilantik menjadi Kadi Besar Kerajaan Perak.

Syeikh Muhammad Saleh mulai mengajar pelbagai kitab-kitab Islam terutama kitab-kitab Melayu/Jawi di Kuala Kangsar pada tahun 1318 Hijrah/1900 Masihi. Sejak awal kedatangannya di Kuala Kangsar, beliau telah mendapat restu daripada Sultan Idris, Sultan Perak Darul Redzuan ketika itu.

Selain mengajar kitab untuk pengajian orang tua-tua, Syeikh Muhammad Saleh juga berhasil mendirikan Madrasah Ihsaniyah yang menurut sistem pendidikan persekolahan di Teluk Anson.

Cita-cita Sultan Perak untuk melantik seorang Syeikh al-Islam bermula tahun 1922 Masihi, namun secara rasminya Syeikh Muhammad Saleh al-Minankabawi memegang jabatan itu pada 6 Jamadilakhir 1343 Hijrah/1 Januari 1925 Masihi.

KARYA-KARYA

1. Mawa'izhul Badi'ah, diselesaikan pada 24 Muharam 1335 Hijrah. Dicetak Mathba'ah Al-Ahmadiah, 1344 Hijrah. Kandungannya merupakan nasihat dan akhlak yang diringkaskan daripada Mawa'izhul Badi'ah karya Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri.

2. Kasyful Asrar, diselesaikan pada hari Selasa, 27 Safar 1344 Hijrah. Cetakan yang pertama hingga cetakan yang ke 29 oleh Maktabah wa Mathba'ah Al-Ahmadiah, Singapura. Kandungannya membicarakan tentang tasawuf haqiqat atau tasawuf falsafi. Karya ini pernah ditahqiq oleh Syeikh Haji Muhammad Wali al-Khalidi dengan judul Tanwirul Anwar fi Izhhari Khalal ma fi Kasyfil Asrar, diterbitkan oleh Al-Maktabatut Taufiqiyah, JalanPerdagangan No. 4 Atas, Banda Aceh. Kasyful Asrar juga pernah diubahsuai ke dalam bahasa Indonesia dengan judul Menyingkap Rahsia Agama Dan Tasawuf, diterbitkan oleh Yayasan Dakwah Islam, Surabaya.

3. Jalan Kematian, diselesaikan 14 Jamadilakhir 1344 Hijrah. Dicetak pada bahagian akhir Kasyfur Asrar oleh Maktabah wa Mathba'ah Al-Ahmadiah, Singapura.

4. Nashihatul Mubtadi, tanpa tarikh. Cetakan yang pertama Maktabah wa Mathba'ah Al-Ahmadiah, 1346 Hijrah/1927 Masihi. Kandungannya merupakan berbagai-bagai nasihat ke arah keteguhan pegangan dalam beragama Islam dan iman.

MURID-MURID

Murid beliau sangat ramai di seluruh Semenanjung, di antaranya termasuk Sultan Iskandar Syah, Sultan Perak. Yang pernah menulis riwayat hidup beliau ialah murid yang lama bergaul dengannya, beliau ialah Muhammad Saleh Mandahiling, Tapanuli. Buku tersebut diberi judul Izalatul Hairan fi Qshshah Syaikhil Islam Darir Ridhwan, judul bahasa Melayu ialah Menghilangkan Kehairanan Pada Menyatakan Cerita Syeikhul Islam Perak Darul Redzuan.

Nukilan dari karya Syeikh Wan Mohd Saghir 26/04/2004