Kebanyakan artikel disini adalah karya Al-Marhoum Tuan Guru Syeikh Wan Mohd Shaghir Abdullah R.A cucunda kepada Tuan Guru Syeikh Ahmad Al-Fathanie, juga dari akhbar2 nasional yang lain dan laman2 web yang bertebaran di alam maya juga disaduri macam2 hikayat,riwayat,kaifiat dan khasiat keemasan saya himpun dan susun sebagai koleksi peribadi dan bagi tatapan dan santapan rohani buat teman-teman yang sudi...himpunan artikel2 terbaru saya sekarang lebih muyul kepada informasi kesihatan ala muslim-jawi kearaban..... dan saya mula berjinak2 dengan jualan secara online produk kesihatan muslim, khasnya peralatan bekam (Set cawan, jarum dan pen bekam) dan khidmat pembekaman, Sudi-sudilah ziarah dan sudikan tinggal komentar anda. TQ
Memaparkan catatan dengan label Ulama Perlis. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ulama Perlis. Papar semua catatan

Ahad

SEKALUNG TAHNIAH UNTUK GURU KU.

Tuan Guru Haji Datuk Dr.Haron Din Tokoh Maal Hijrah Selangor

SHAH ALAM, 7 Dis: Datuk Dr Haron Din dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Negeri Selangor 1432H dalam satu majlis yang diadakan di Masjid Negeri, di sini malam tadi, sebagai pengiktirafan pada penglibatan beliau dalam bidang dakwah sejak sekian lama.

Anugerah itu disampaikan oleh Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Sulaiman Shah AlHaj mewakili Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang sebelum itu berkenan melancarkan sambutan awal tahun Islam serta meluncurkan sebuah buku bertajuk Solat Rasul terbitan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Ketika ditemui seusai majlis, Dr Haron, 70, berkata, anugerah itu merupakan satu motivasi terhadap dirinya yang terlibat dalam bidang dakwah sejak di bangku sekolah lagi.

"Saya mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT dan berterima kasih atas pengiktirafan Kerajaan Negeri Selangor ini, meskipun saya tidak pernah impikannya namun bila sudah ditakdirkan, saya menerima dengan sepenuh hati," jelasnya kepada media.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Exco-Exco Kerajaan Negeri dan Mufti Selangor, Datuk Seri Mohamad Tamyez Abdul Wahid.

Menjelaskan tentang pandangan negatif masyarakat kepada golongan ulamak, Dr Haron menjelaskan, sebenarnya rakyat dan masyarakat awam tidak mengenali siapa dan yang mana satu ulamak kerana tidak banyak pendedahan berlaku di media perdana khasnya.

Membandingkan dirinya sendiri yang banyak diberikan peluang untuk siaran di televisyen sebelum ini, menyebabkan orang ramai termasuk golongan muda tetap mengenali dan memberikan penghormatan sebaiknya.

"Jadi tidak timbul masalah kalangan muda tidak menghormati ulamak kerana yang sebenarnya mereka belum mengenali siapa ulamak itu," ujarnya yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS.

Justeru, tegasnya, peranan ulamak ini mesti diinstitusikan agar mereka dapat menjalankan kewajipan mendidik rakyat dan anggota masyarakat dengan lebih baik lagi.

Menyentuh tentang peranan ulamak muda dan golongan tua, beliau menjelaskan, itu hanya istilah untuk menunjukkan usia dan tempoh mereka mendidik masyarakat sahaja, tidak lebih dari itu dan semua pihak mesti berperanan dalam masyarakat.

Dr Haron memulakan pengajiannya di Madrasah al-Islahiah al-Wataniah, Bohor Mali, Madrasah al-‘Alawiyah al-Diniah, Perlis dan Kuliah al-Islamiah, Klang, Selangor seterusnya mengambil Sijil Tertinggi Kolej - Kolej Islam Malaya pada 1962 hingga 1965), lulus dengan cemerlang dan mendapat hadiah biasiswa persekutuan terus ke Mesir.

Menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana (M.A.) Syariah - University Al-Azhar (1966-1968), Diploma Pendidikan - ‘Ain Shams, Universiti Cairo (1966-1968) dan Ph.D Syariah - Universiti Darul - Ulum Qahirah (1972-1974).

Antara kerjayanya sebagai Pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (1975–1976), Timbalan Dekan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (1977-1985), Profesor di UKM sejak tahun 1986 hingga bersara.

Juga menjadi Ahli Majlis Penasihat Syariah, CIMB, Ahli Majlis Penasihat, Bank Negara Malaysia, Majlis Penasihat Syariah, Suruhanjaya Sekuriti, Ahli Majlis Fatwa Negeri Selangor, Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Bank Pembangunan.

Begitu juga sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, RHB Bank, Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Public Bank Bhd, Ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis dan Ahli Majlis Penasihat Syariah, Muamalah Financial Consulting.

Dalam politik, pula sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (1975-1983), Ketua Penerangan PAS Pusat, sehingga kini sebagai Ahli Majlis Syura Ulamak PAS dan Timbalan Mursyidul Am PAS serta pernah bertanding di dalam pilihan raya 2004 di Parlimen Arau mewakili PAS.

Dr Haron Din adalah Pengasas Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia (DarusSyifa') yang terletak di Bangi.

Sumber : Harakah daily & Web rasmi darussyifa

Khamis

KENALI TUAN GURU DATO' DR. HARON DIN

Tuan Guru Dato' Dr. Haron bin Din dilahirkan pada hari Ahad, 18 Ogos 1940 bersamaan 14 Rajab 1359 (Tarikh Hijrah ini mengikut kiraan Komputer) di Bohor Mali, Kangar, Perlis. Berkahwin dengan seorang Isteri dan dianugerahkan Allah dua orang anak lelaki dan tiga perempuan. Beliau dibesarkan dikalangan keluarga yang kuat mengamalkan ajaran agama Islam. Ibu bapa beliau adalah guru al-Quran yang mengajar bacaan al-Quran kepada masyarakat setempat. Beliau adalah anak yang ketiga daripada 10 orang adik beradik.Mempunyai seorang abang dan kakak dan seorang adik lelaki menakala enam adik perempuan.Dua orang saudara lelaki beliau juga tokoh agama terkenal iaitu abang beliau Ustaz Ishak bin Din dan adik beliau Ustaz Abu Hassan bin Din. Ayahanda beliau dikenali sebagai sebagai Lebai Din, yang juga seorang perawat yang mengamalkan rawatan pengubatan Islam.

Lebai Din juga seorang guru silat yang mengamalkan Silat Gayung Petani, bagaimanapun ilmu silat ini tidak langsung diturunkan kepada anak-anaknya. Berkenaan ilmu pengubatan Islam, Lebai Din hanya menurunkan ilmunya kepada seorang anaknya sahaja iaitu kepada Ustaz Haron Din. Lebai Din hanya mengijazahkan ilmunya dan memberi buku catatan pengubatan kepada Ustaz Haron Din sahaja.

Ustaz Haron Din menerima pendidikan awal di tangan ayah dan ibunya sendiri. Kemudian dimasukkan ke Madrasah al-Islahiah al-Wataniah Bohor Mali. Seterusnya ke Madrasah al-‘Alawiyah al-Diniah dan al-Kuliah al-Islamiah, Kelang Selangor. Kemudian melanjutkan pelajaran di Kolej Islam Malaya (1962-1965). Di kolej ini beliau memperolehi Sijil Tertinggi Kolej dengan cermerlang kemudian telah memenangi hadiah Biasiswa Persekutuan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat “Master Degree” di Universiti Al-Azhar, Cairo (1966-1968). Dalam masa tidak sampai dua tahun beliau telah berjaya memperolehi dua degree serentak iaitu M.A (Ijazah Sarjana) Syariah daripada Universiti Al-Azhar dan Diploma Pendidikan dari ‘Ain Shams, Universiti Cairo.

Setelah memperolehi Ijazah Sarjana Syariah, beliau kembali ke tanah air dan berkhidmat sebagai guru agama di Kementerian Pelajaran. Beberapa tahun kemudian beliau kembali semula ke Mesir untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Doktor Falsafah. Beliau memperolehi Ph.D Syariah dengan cermerlang daripada Universiti Darul-Ulum Qahirah (1972-1974).

Pulang ke tanah air dan berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Akademik adalah bidang kerjayanya. Kekeluargaan Islam adalah jurusannya. Sebagai satu pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademiknya, UKM menganugerahkan pangkat “Profesor” kepadanya sejak tahun 1986.

LATAR BELAKANG TUAN GURU DATO' DR. HARON DIN DALAM BIDANG PENGUBATAN ISLAM

Ayahanda Ustaz Haron Din berasal dari Patani dan menetap di Kampung Bohor Mali Perlis. Dia merupakan seorang perawat yang melibatkan diri dalam dunia perubatan dengan menggunakan ayat-ayat suci al-Qur'an, hadith dan doa-doa. Daripada 10 orang adik beradik, hanya Ustaz Haron Din yang menunjukkan minat dalam bidang rawatan Islam ini, menyebabkan ayahandanya sering membawanya ketika merawat.

Pengalaman yang dilalui oleh orang tuanya ketika merawat sama ada di rumah atau dijemput merawat pesakit secara tidak langsung melibatkan diri Ustaz Haron Din dalam dunia perubatan walaupun umumya ketika itu masih terlalu muda lagi. Ayahanda beliau merupakan perawat yang disegani di kampung juga di kawasan sekitarnya. Sebagai tanda hormat, orang kampung mengelarnya Lebai Din.

Ustaz Haron Din amat mengkagumi kejayaan ayahnya merawat orang gila, dirasuk dan juga penyakit kronik yang lain. Kekaguman melihat kejayaan ayahnya telah melahirkan keinginan beliau untuk mengikuti jejak langkahnya. Setelah meningkat dewasa beliau memujuk ayahnya supaya menurunkan ilmu yang dimilikinya. Ketika itu umur beliau baru dalam lingkungan belasan tahun dan masih menuntut di Sekolah Arab Alawiyah. Walaupun beliau sering rnengikut bapanya merawat pesakit tetapi ayahnya tidak begitu mudah menurunkan ilmu yang dimilikinya. Ayahnya berpesan agar beliau mendalami ilmu agama terlebih dahulu. Belaiu hanya diajar ilmu perubatan ketika berada pada akhir pengajlan sekolah menengah. Ilmu yang diajar hanyalah asas pengubatan sahaja.

Sebagai seorang murid, Ustaz Haron Din yakin tentang dirinya walaupun menyedari bahawa untuk mempelajari ilmu seumpama itu bukanlah mudah. Belaiu juga berkeyakinan bahawa beliau dapat memberi khidmat pertolongan dengan baik kepada mereka yang memerlukan. Oleh sebab itu, di samping belajar daripada ayahnya, beliau berazam untuk terus mempelajari ilmu yang berkaitan dengannya. Selain bapanya, ahli keluarga beliau yang lain juga mahir dalam bidang perubatan Islam. Antaranya ialah bapa saudara beliau sendiri iaitu Ustaz Said bin Ali.

Keluarga Ustaz Haron Din memiliki banyak khazanah ilmu perubatan. Kunjung mengunjung antara keluarga di Perlis dan Patani terus berlaku dan mereka sering berbincang tentang kaedah dan petua perubatan. Beliau selalu mendampingi ayahnya dan secara tidak langsung ia memberi pendedahan kepada beliau tentang ilmu perubatan.

Ketika belajar di Mesir, Ustaz Haron Din tertarik dengan kaedah rawatan yang diguna oleh Dr. Kamal yang dikenali sebagai hypnotism. Setelah kembali ke tanah air beliau berpeluang belajar dengan seorang perawat dari Sarawak iaitu Tuan Haji Mursidi. Kaedah Haji Mursidi hampir sama dengan kaedah yang dimiliki oleh Dr. Kamal.

Selain belajar melalui kitab dan pengalaman, Ustaz Haron Din juga mendalami ilmunya daripada 'alim ulama yang menggunakan kaedah rawatan Islam. Di antaranya ialah al-marhum Dr. al-Sheikh Muhammad Idris al-Marbawi seorang ulama' dari Malaysia yang menetap di Mesir. Pemergian Ustaz Haron Din kali kedua ke Mesir untuk mendapat ljazah Doktor Falsafah (1971-74) telah memberi peluang kepadanya untuk berdampingan dengan Dr. al-Sheikh Muhammad Idris al-Marbawi. Antara doa yang dipelajari ialah doa penerang hati. Latar belakang doa ini ada kaitan dengan sunnah Rasulullah s.a.w.. Selain itu beliau juga berguru dengan al-Syeikh Muhammad Bayumi, seorang yang 'alim dan sering berada dan mengajar di Masjid al-Azhar.

Ketika di Mesir pada awal 70-an, Ustaz Haron Din sempat berkenalan dengan Bapak Mokhtar Lintang. Pak Mokhtar adalah perawat yang menggunakan kaedah Islam. Kesempatan tersebut telah diguna oleh beliau untuk menimba ilmu perubatan seberapa banyak yang boleh .

Sekembalinya ke Malaysia, ketika tinggal di Taman Bangi Kajang, Ustaz Haron Din dikunjungi oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Pak Leh. Beliau mengaku sebagal seorang perawat yang terkenal di Langkawi. Beliau telah mengajar beberapa kaedah rawatan kepada Ustaz Haron Din. Antaranya ilmu berkaitan dengan penyakit barah, ketumbuhan, kayap, demam panas, penyakit kulit dan sebagainya. Beliau telah tinggal bersama dengan Ustaz Haron Din beberapa ketika.

Perlis tempat kelahiran Ustaz Haron Din sememangnya mempunyai ramai orang yang arif tentang ilmu perubatan. Terdapat seorang perawat bemama Tok Omar yang banyak menggunakan bahan-bahan dari tumbuh-tumbuhan di samping ayat-ayat al-Qur'an. Ustaz Haron Din telah berkesempatan mempelajari ilmu yang berkaitan dengan tumbuh-tumbuhan daripada beliau. Selain itu Ustaz Haron Din juga berpeluang belajar dengan Tahir Abdullah. Beliau yang digelar dengan nama Tok Lang Kiang dintaranya telah mengajar Ustaz Haron Din cara mengeluarkan sampah dari mata.

Perawat-perawat lain yang pernah mengajar Ustaz Haron Din alah Pak Andak Noh dan Haji Husin atau dikenali sebagai Tuk Chin. Pak Andak Noh telah menurunkan ilmu mengeluarkan benda tajam dari badan manusia seperti besi, serpihan kaca, terkena racun dan sebagainya. Ilmu yang diamalkan oleh Tuk Chin pula adalah ilmu yang dinamakan Laduni iaitu ilmu yang dianugerahkan oleh Allah SWT khusus kepada orang yang tertentu.

Perubatan Islam adalah berdasarkan syariat. Ilmu ini mempunyai dua cabang iaitu fizikal dan spritual. Penekanan yang menjadi keutamaan Ustaz Haron Din ialah rawatan dengan menggunakan doa-doa yang berdasarkan al-Qur'an, hadith Rasulullah s.a.w. dan doa-doa' lain yang jelas maknanya yang tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Sungguhpun telah lama berkecimpung dalam bidang perubatan Islam, namun Ustaz Haron Din masih lagi mencari ilmu baru dalam merawat pesakit. Beliau sentiasa bertanya mereka yang arif dalam bidang ini di samping membaca pelbagai buku untuk menambahkan pengetahuan. Tidak semua kaedah yang dipelajari itu dipratikkan, hanya yang bertepatan dengan syariat sahaja akan diamalkan.

RINGKASAN BIODATA TUAN GURU DATO' DR. HARON DIN

Pendidikan

• Madrasah al-Islahiah al-Wataniah, Bohor Mali
• Madrasah al-‘Alawiyah al-Diniah dan al-Kuliah al-Islamiah, Kelang Selangor
• Sijil Tertinggi Kolej - Kolej Islam Malaya (1962-1965)
• Ijazah Sarjana (M.A.) Syariah - University Al-Azhar (1966-1968)
• Diploma Pendidikan - ‘Ain Shams, Universiti Cairo (1966-1968)
• Ph.D Syariah - Universiti Darul - Ulum Qahirah (1972-1974)

Kerjaya

• Pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (1975 – 1976)
• Timbalan Dekan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (1977-1985)
• Profesor di UKM sejak tahun 1986 hingga bersara
• Ahli Majlis Penasihat Syariah, CIMB
• Ahli Majlis Penasihat, Bank Negara Malaysia
• Majlis Penasihat Syariah, Suruhanjaya Sekuriti
• Ahli Majlis Fatwa Negeri Selangor
• Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Bank Pembangunan
• Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, RHB Bank
• Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Public Bank Bhd
• Ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis
• Ahli Majlis Penasihat Syariah, Muamalah Financial Consulting

Politik

• Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (1975-1983)
• Ketua Penerangan PAS Pusat
• Ahli Majlis Syura Ulamak PAS
• Timbalan Mursidur Am PAS

Sumber rasmi dari di laman Darussyifa Online