Kebanyakan artikel disini adalah karya Al-Marhoum Tuan Guru Syeikh Wan Mohd Shaghir Abdullah R.A cucunda kepada Tuan Guru Syeikh Ahmad Al-Fathanie, juga dari akhbar2 nasional yang lain dan laman2 web yang bertebaran di alam maya juga disaduri macam2 hikayat,riwayat,kaifiat dan khasiat keemasan saya himpun dan susun sebagai koleksi peribadi dan bagi tatapan dan santapan rohani buat teman-teman yang sudi...himpunan artikel2 terbaru saya sekarang lebih muyul kepada informasi kesihatan ala muslim-jawi kearaban..... dan saya mula berjinak2 dengan jualan secara online produk kesihatan muslim, khasnya peralatan bekam (Set cawan, jarum dan pen bekam) dan khidmat pembekaman, Sudi-sudilah ziarah dan sudikan tinggal komentar anda. TQ
Memaparkan catatan dengan label Ulama Melaka. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ulama Melaka. Papar semua catatan

Isnin

SAYID SYEIKH AL-HADI sebagai PENDAKWAH DAN WIRAUSAHA

Sayid Syeikh Al-Hadi - Penyebar ilmu yang gigih
Terdapat pertikaian pendapat tentang tarikh dan tempat lahir Sayid Syeikh al-Hadi. Pendapat pertama menyebut bahawa beliau lahir di Kampung Hulu, Melaka, pada hari Jumaat, 25 Rejab 1281 Hijrah/24 Disember 1864 Masihi. Dalam buku Sayid Syeikh Al-Hadi, Sasterawan Progresif Melayu karya Talib Samat, hari lahirnya ialah hari Selasa (lihat hlm. 1), buku Jadwal Tarikh, Bulan dan Tahun Hijri-Masihi, jilid 14 karya Raja Haron bin Raja Mohammad Salleh (manuskrip) tarikh 25 Rejab 1281 Hijrah bukannya hari Selasa, tetapi adalah hari Jumaat. Maklumat di Muzium Islam Melaka pula dinyatakan bahawa beliau lahir pada tahun 1278 Hijrah/1862 Masihi. Selain itu ada lagi yang menyebut bahawa Sayid Syeikh al-Hadi lahir pada tahun 1867 Masihi.

Dalam buku Pendokumentasian Naskah Kuno Melayu dan Kajian Khusus, Hasan Junus menyebut bahawa Sayid Syeikh al-Hadi "lahir di Pulau Penyengat pada akhir tahun 1860-an atau awal tahun 1870-an.'' (hlm. 128). Beliau meninggal dunia di rumahnya No. 410, Jalan Jelutong, Mukim Jelutong, Pulau Pinang pada 6 Zulkaedah 1352 Hijrah/20 Februri 1934 Masihi.

Ayahnya Sayid Ahmad bin Sayid Hasan as-Saqaf al-Hadi lahir pada hari Khamis, di Kampung Hulu Melaka, 1 Syawal 1253 Hijrah/29 Disember 1837 Masihi dan meninggal dunia di Penyengat, Riau pada Sabtu, 15 Zulhijjah 1312 Hijrah/9 Jun 1895 Masihi. Sayid Syeikh al-Hadi termasuk dalam golongan kerabat diraja Riau-Lingga kerana ayah saudaranya, Sayid Muhammad al-Hadi berkahwin dengan Syarifah Hasyimah binti Sayid Utsman as-Saqaf. Sebelah ibu Syarifah Hasyimah ini adalah keturunan Upu Daeng Celak, iaitu jalur ke atas golongan Diraja Riau-Lingga.

PENDIDIKAN
Jika kita ikuti perkembangan pada masa kanak-kanak dan remaja Sayid Syeikh al-Hadi, maka kita peroleh data pendidikannya dimulai di Kampung Hulu Melaka, Pulau Penyengat (Riau), Kuala Terengganu, Mekah al-Mukarramah dan Cairo (Mesir). Pendidikan terawal dan asas diperolehnya daripada orang tuanya sendiri, sekali gus memasuki sekolah agama dan Sekolah Melayu Settlements di Melaka. Pendidikan di Penyengat Riau pula adalah pendidikan khusus bersama-sama golongan elit Kerabat Diraja Riau-Lingga kerana Sayid Syeikh al-Hadi sendiri tinggal bersama Raja Ali Kelana, saudara kandung Sultan Abdur Rahman Mu'azzam Syah, iaitu Sultan Riau-Lingga yang terakhir.

Di Penyengat, Riau, selain belajar kepada Raja Ali Kelana, beliau juga belajar kepada Raja Haji Muhammad Tahir bin Marhum Mursyid, Hakim Kerajaan Riau-Lingga, juga kepada Al-'Alim Al-'Allamah Al-Ustaz Tuan Guru Haji Husein. Antara sahabat Sayid Syeikh al-Hadi dalam pengajian tersebut ialah Raja Haji Muhammad Sa'id bin Raja Haji Muhammad Thahir, Raja Ali bin Raja Muhammad/Tengku Nong, dan ramai lagi.

Sayid Syeikh al-Hadi juga dikirim ke pengajian pondok di Terengganu. Setelah menimba ilmu pengajian pondok, tetapi kurang mendalam di Terengganu, Sayid Syeikh al-Hadi berpatah balik ke Penyengat, Riau untuk lebih memantapkan dan memperdalam ilmunya terutama ilmu bahasa Melayu dan bahasa Arab untuk komunikasi kerana Raja Ali Kelana akan membawa Sayid Syeikh al-Hadi berangkat ke Mekah. Selain menunaikan ibadah haji, sekali gus Raja Ali Kelana akan menemui gurunya Syeikh Ahmad al- Fathani untuk membicarakan pelbagai persoalan termasuk politik yang begitu tertekan oleh kaum penjajah.

Dalam tahun 1312 Hijrah/1895 Masihi sewaktu Raja Ali Kelana dibawa oleh gurunya Syeikh Ahmad al-Fathani ke Turki, Sayid Syeikh al-Hadi menemani Raja Ali Kelana, sama-sama berangkat dari pelabuhan Singapura ke Jeddah. Dalam perjalanan itulah Sayid Syeikh al-Hadi tinggal di Mesir dan sempat belajar kepada Syeikh Muhammad Abduh

AKTIVITI
Aktiviti Sayid Syeikh al-Hadi secara garis besarnya dapat dibahagikan kepada empat kelompok ialah: a) Aktiviti organisasi, b) Aktiviti menolong Raja Ali Kelana, c) Aktiviti pendidikan. d) Aktiviti penulisan. Organisasi yang pertama didirikan oleh orang Melayu ialah Jam'iyatul Fathaniyah oleh Syeikh Ahmad al-Fathani di Mekah (1290 Hijrah/1873 Masihi) yang diikuti oleh Jam'iyatul Rusydiyah atau Rusydiyah Klab, 1298 Hijrah/1880 Masihi, oleh murid-murid beliau di Riau-Lingga.

Sayid Syeikh al-Hadi aktif dalam Rusydiyah Klab yang di-nyatakan sebagai Timbalan di Mekah ketika beliau masih seorang pelajar. Hingga tahun 1896 Masihi, Sayid Syeikh al-Hadi masih memegang jawatan pertubuhan itu di Mekah.

Sayid Syeikh al-Hadi adalah orang kepercayaan Raja Ali Kelana mengurus Syarikat Batam Bricks Works Limited yang bergerak dalam pemprosesan batu-bata di Pulau Batam, Riau. Syarikat itu mempunyai cawangan dan beribu pejabat di Singapura. Apabila kita bercerita tentang Raja Ali Kelana dalam bidang usahawan, ia melibatkan sekurang-kurangnya dua tokoh usahawan Riau-Lingga, iaitu Raja Haji Ahmad bin Raja Haji Umar dan Raja Ali bin Raja Muhammad/Tengku Nong. Bererti kedua-dua tokoh ini juga bersahabat karib dengan Sayid Syeikh al-Hadi. Sayid Syeikh al-Hadi telah berkhidmat kepada Raja Ali Kelana dalam perusahaan batu-bata mulai tahun 1325 Hijrah/1907 Masihi hingga berakhirnya syarikat itu pada tahun 1329 Hijrah/1911 Masihi.

Raja Ali Kelana pindah ke Johor, lalu dilantik sebagai Syaikhul Islam Kerajaan Johor. Disebabkan Raja Ali Kelana sangat besar pengaruhnya di dalam Kerajaan Johor, ia memberi kesempatan kepada Sayid Syeikh al-Hadi mendapat kedudukan dalam Kerajaan Johor pada tahun 1909 - 1915 Masihi. Sayid Syeikh al-Hadi menjadi peguam di Mahkamah Syariah Johor Bahru.

Dalam bidang pendidikan, pada tahun 1907 Masihi, Sayid Syeikh al-Hadi mengasaskan Madrasah Al-Iqbal di Seligie Road, Singapura. Oleh kerana madrasah itu tidak mendapat sambutan, maka ia dipindahkan ke Penyengat, Riau. Sayid Syeikh al-Hadi mendirikan Madrasah Al-Hadi di Bandar Kaba, Melaka pada tahun 1917 Masihi tetapi hanya bertahan setahun saja. ia ditutup pada tahun 1918 Masihi. Kemudian ia diteruskan di Pulau Pinang pada tahun 1919 Masihi dengan nama Madrasah al-Masyhur al-Islamiah di Tek Soon Street, Pulau Pinang. Hanya madrasah yang didirikan terakhir inilah perjuangan Sayid Syeikh al-Hadi dalam dunia pendidikan meninggalkan kesan yang tidak dapat dinafikan.

Pada tanggal 22 Julai 1906, Sayid Syeikh al-Hadi bersama Syeikh Muhammad bin Salim al-Kalali, Syeikh Tahir Jalaluddin dan Abbas Taha menerbitkan majalah Islam yang dinamakan Al-Imam. Dalam terbitan-terbitannya dinyatakan pada halaman depan dalam bahasa Melayu, "Al-Imam Majalah Perlajaran Pengetahuan Perkhabaran''. Pada bahagian bawahnya tertulis, "Dikeluarkan di Singapura pada tiap-tiap sehari bulan Arabi oleh mudirnya Asy-Syeikh Muhammad Salim al-Kalali, nombor 19 Wailid Road''. Daripada kalimat ini jelas bahawa mudir Al-Imam adalah Syeikh Muhammad bin Salim al-Kalali bukan Sayid Syeikh al-Hadi.

Menghairankan, kerana beberapa jilid Al-Imam yang ada pada penulis tidak terdapat nama Sayid Syeikh al-Hadi dalam Bibliografi, sedangkan nama Syeikh Muhammad bin Salim al-Kalali hampir semua terbitan terpampang namanya pada halaman kulit.

Beberapa orang pengkaji menyebut bahawa Al-Imam adalah majalah Melayu-Islam yang pertama dalam bahasa Melayu. Mengenai ini juga tercatat dalam salah satu terbitan Al-Imam.Tetapi dalam buku yang diterbitkan tahun 2002, berjudul Sultan Abd Al-Hamid II Dan Kejatuhan Khilafah Islamiah karangan Dr. Eeman Mohamed Abbas dinyatakan bahawa dalam tahun 1318 Hijrah/1900 Masihi telah wujud majalah-majalah Jajahan Melayu, Lengkongan Bulan dan Cahaya Pulau Pinang. Maklumat ini memberikan pengetahuan baru bagi kita, bahawa majalah-majalah tersebut telah mendahului Al-Imam sekitar enam tahun.

Al-Imam yang mulai terbit tahun 1906 itu tidak bertahan lama, setakat hingga tahun 1908 Masihi. Selanjutnya Sayid Syeikh al-Hadi menerbitkan majalah Al-Ikhwan di Pulau Pinang. Terbitan pertama pada 16 September 1926 Masihi dan berakhir dengan terbitan September 1931 Masihi. Terbit pula Akhbar Saudara mulai 29 September 1928 Masihi. Sayid Syeikh al-Hadi menulis dalam akhbar tersebut hingga Februari 1934 Masihi.

Selain majalah, pengkaryaan Sayid Syeikh al-Hadi dikategorikan kepada tiga kelompok iaitu, a). Mengenai Agama Islam, b). Novel/Sastera, dan c). Penulisan Kewartawanan. Penulisan keislaman ialah

1.At-Tarikhul Islami, cetakan pertama Al-Imam Printing Press, Singapura, 1922.

2. Tafsir Juz Amma, cetakan pertama The Jelutong Press, Pulau Pinang, 1927.

3. Tafsir Al-Fatihah, cetakan pertama The Jelutong Press, Pulau Pinang, 1928.

4. Alam Perempuan, cetakan pertama The Jelutong Press, Pulau Pinang, 1930.

5. Kitab Agama Islam dan Akal, cetakan pertama The Jelutong Press, Pulau Pinang, 1931.

6. Kitab Agama Islam, I'tiqad dan Ibadat, cetakan pertama The Jelutong Press, Pulau Pinang, 1931.

7. Hadiah Kebangsaan, cetakan pertama The Jelutong Press, Pulau Pinang, 1933.

Penulisan yang bercorak novel/sastera ialah Hikayat Faridah Hanum, cetakan pertama, 1925. Di Penyengat, Riau penulis menemui karangan-karangan Sayid Syeikh al-Hadi yang beliau kirim sebagai hadiah kepada sahabatnya bernama Raja Abbas bin Raja Abdul Muthallib. Pada halaman pertama terdapat tanda tangan Raja Abbas bertarikh 1 Mac 1929. Data hadiah pengarang Sayid Syeikh al-Hadi di antaranya ialah: Angan-Angan Kehidupan/The Moral Trainer. Bilangan Yang Pertama, Bagi Bulan Disember 1927, Tahun Yang Pertama. Penggal Yang Kedua. Tempat Penulisan: 555 Jelutong Road, Penang. Kandungan: Menceritakan kisah percintaan Mahir Afandi dan Iqbal Hanim. Tulisan huruf Melayu/Jawi. Cetakan pertama The Jelutong Press, Penang, 1927.

Angan-Angan Kehidupan/The Moral Trainer. Bilangan Yang Kelima, 25 Februari 1928, Tahun Yang Pertama. Penggal Yang Kedua. Kandungan: Menceritakan kisah anak dara Ghassan atau Hammad dan Hindun.Tulisan huruf Melayu/Jawi. Cetakan pertama The Jelutong Press, Penang, 1928. Dan yang lain-lain penulis tinggalkan sahaja.

Demikianlah tentang Sayid Syeikh al-Hadi pada konteks penyebaran ilmu, ketokohannya yang mengundang kontroversi yang pernah hangat dibicarakan tentang Kaum Tua dan Kaum Muda penulis tinggalkan sahaja. Ini kerana perkara khilafiyah jika dibicarakan tidak akan ada penghujungnya. Oleh itu sebaik-baiknya tidak dibicarakan kecuali jika tidak dapat dielakkan.

Diambil dari kayra Almarhoum Sheikh W.Md.Saghir r.a 14/06/2004

Sabtu

SYEIKH ABDUL LATIF ULAMA ASAL MELAKA

Syeikh Abdul Lathif Tambi - Ulama, gigih, dermawan
TIDAK banyak sejarah ulama ini diperkenalkan, namun pernah ditulis oleh Raja Haji Muhammad Yunus Ahmad dalam Peringatan, No. 1, th 1, Mei 1939. Gambarnya menghiasi muka depan majalah Qalam, Singapura, No. 158, terbitan Rabiulakhir 1383 H/September 1963 M. Sesudah itu riwayat hidup ringkasnya dimuat dalam majalah Qalam, No. 160, terbitan Jamadilawal/Rejab 1383 H/November 1963 M. Selanjutnya telah saya dokumenkan yang dinamakan Warqah Maklumat No. 31/PENGKAJI/1422/2001, tarikh Jumaat, 26 Jamadilakhir 1422 H/14 September 2001 M.

Datuk neneknya (lima lapis ke atas) berasal dari India yang beragama Islam. Haji Abdul Lathif berasal dari Melaka, tinggal di Kampung Teluk Mas, Melaka. Nama lengkapnya, Haji Abdul Lathif bin Haji Muhammad Nuruddin (Haji Tambi) bin Muhammad Shalih al-Malakawi at-Tankirawii. Gelarannya ialah Bahauddin. Gelaran ini diberikan oleh Syeikh Ahmad bin Abdur Rauf, ulama besar dan Mufti Melaka yang hidup sezaman dengan beliau.

Abdul Lathif lahir di Melaka pada tahun 1288 H/1872 M. dan meninggal dunia pada hari Jumaat pukul 2.30 tengah malam, 17 Rejab 1358 H/1 September 1939 M. Dikebumikan di Perkuburan Tengkera, Melaka.

Beliau dibesarkan di Singapura. Ketika berusia lapan tahun, beliau dikirim oleh ayahnya ke Mekah. Pendidikan di Mekah dilaluinya kira-kira 20 tahun, iaitu dari tahun 1880 M. hingga tahun 1900 M.

Kebangkitan

Di antara ulama-ulama dunia Melayu yang menjadi guru-gurunya di Mekah ialah: Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani, Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani, Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, Syeikh Abdul Qadir bin Shabir Mandailing, Syeikh Ahmad Khathib Minangkabau dan ramai lagi.

Kehadirannya di Mekah bersamaan dengan tahun kebangkitan Syeikh Ahmad al-Fathani yang mencetuskan Jam`iyatul Fathaniyah dalam gerakannya di Mekah, Mesir dan Turki.Oleh kerana itu tidak ragu-ragu lagi bahawa Abdul Lathif Tambi adalah termasuk salah seorang kader Syeikh Ahmad al-Fathani dan barisan ulama yang bersamanya.

Beliau mulai giat mengajar pada tahun 1318 H/1900 M di Singapura. Di sebuah ruangan kecil di dalam kedai menjual kain ayahnya di Arab Street, Singapura digunakannya untuk tempat mengajar. Selain itu Abdul Lathif Tambi juga mengajar di rumah kediamannya di North Bird Road, Singapura. Beliau juga giat berdakwah dan mengajar di tempat-tempat lain, di antaranya di Melaka, Pulau Pinang, Medan (Sumatera Utara), Surabaya, Bandung dan Tanjung Pinang (Kepulauan Riau).

Selain mengajar beliau juga aktif dalam perniagaan kain di Arab Street, Singapura. Beliau memiliki perniagaan mesin cetak, Lathifiyah Press, 768 di North Bird Road, Singapura dan Mathba'ah Al-Lathifiyah Al-Malakawiyah di Terengkera, Melaka. Hubungan perniagaannya yang dapat dikesan ialah Singapura, Melaka, Pulau Pinang, Medan, Tanjung Pinang (Kepulauan Riau), Surabaya dan Bandung.

Beliau terkenal sebagai seorang ulama yang gigih berjuang sekali gus sebagai seorang saudagar (hartawan) yang dermawan pada zamannya.

Di antara perwatakan peribadinya yang pernah disebut di dalam majalah Qalam pula, "Almarhum ialah seorang hartawan dan dermawan, iaitu selain sebagai seorang ulama yang terbilang pada zamannya. Almarhum sepanjang hayatnya adalah sentiasa mengajar dan banyak daripada murid-murid almarhum hingga sekarang ini masih ada lagi. Dan banyak pula di antaranya yang termasuk golongan yang terbilang.''

Selanjutnya, "... Beliau membuat syarahannya dengan gaya dan cara yang menarik terutamanya pula almarhum seorang yang pandai membuat jenaka. Dengan cara itu syarahan beliau menjadi perhatian dan sangat menarik. Beliau terkadang-kadang memakai serban tetapi yang terbanyak beliau memakai tharbusy.''

Disebutkan pula, "Demikianlah sebagai satu suluh, almarhum telah menyinarkan syiar Islam dengan kemahuan dan tenaga sendiri, berjihad pada jalan Allah, bukan sahaja dengan ilmunya tetapi dengan harta dan tenaga ...''

Di antara murid-muridnya yang terkenal ialah: Ustaz Hasyim Yunus yang pernah menjadi pengarang Warta Malaya, A. Hassan Bandung, Haji Junaid bin Imam Haji Ibrahim, Ustaz Muhammad bin Muhammad Sa'id dan ramai lagi.

Abdul Lathif Tambi termasuk ulama Kaum Tua yang berpegang teguh mengikut Mazhab Syafie dan Ahlus Sunnah wal Jamaah. Sebaliknya A. Hassan Bandung adalah anak saudara dan muridnya, merupakan pelopor Kaum Muda yang paling terkenal dan mengundang kontroversi di Nusantara.

Di antara karyanya yang telah ditemui atau yang telah diketahui judulnya ialah:

1. Hidayatur Rahman, diselesaikan pada hari Isnin, 15 Jamadilawal 1318 H/1900 M. Cetakan yang ketiga dilakukan di percetakan miliknya sendiri, iaitu Mathba'ah al-Lathifiyah al-Malakawiyah, Melaka pada akhir Syawal 1348 H. Kandungannya membicarakan akidah menurut Mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah. Pada halaman 86 kitab ini Abdul Lathif Tambi menegaskan, `` ...Iktikad Ahlus Sunnah wal Jamaah inilah iktikad yang betul,lagi sempurna daripada segala iktikad yang lain. Dan iktikad inilah, wahai thalib, yang dipegang oleh ulama yang besar-besar. Maka wajiblah di atas tiap-tiap mukalaf berpegang dengan iktikad mereka itu ...''.

Ada pun yang dimaksudkan dengan Ahlus Sunnah wal Jamaah, iaitu Abdul Lathif Tambi sama pendapatnya dengan jumhur ulama. Beliau menegaskan pada bahagian tepi kitab ini dengan katanya, "Qauluhu, Ahlus Sunnah wal Jamaah, iaitu mengikut iktikad (Imam) Abil Hasan al-Asy'ari dan (Imam) Abil Manshur al-Maturidi''.

2. Tazkiratus Sunnatil Basyar bi Ahkami Itsna `Asyar (Rangkapan), diselesaikan pada malam Sabtu, 13 Rabiulakhir 1343 H/1924 M. Dicetak oleh Mathba`ah Al-Ahmadiah, 50 Minto Road, Singapura, 25 Jamadilakhir 1344 H.

Kandungan ringkas: Membicarakan beberapa masalah dan berbagai-bagai disiplin ilmu Islam terutama sekali beberapa pertikaian pendapat atau khilafiyah dalam Islam.

Pada setiap perbahasan di beberapa tempat disebut kitab-kitab rujukan dalam bahasa Arab dan demikian juga kitab-kitab Melayu/Jawi lengkap dengan tahun cetakan dan halaman permasalahan yang dipetik.

Di antara kitab Melayu/Jawi yang disebut seperti pada halaman 7 disebut kitab berjudul Bidayatul Hidayah oleh Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin Acheh cetakan tahun 1333 H dan Ad-Durruts Tsamin oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani (halaman 7 dan 12) cetakan tahun 1338 H mengenai perbahasan akidah.

Fikah

Pada halaman 40 disebut Mathla'ul Badrain oleh Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani mengenai perbahasan fikah dan kitab yang sama disebut lagi pada halaman 84 pada perbahasan tasawuf. Pada halaman 74 disebut Furu`ul Masail jilid kedua oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani cetakan tahun 1307 H juga mengenai perbahasan fikah.

Pada halaman 76 dan 81 disebut Siyarus Salikin jilid ketiga oleh Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani cetakan tahun 1309 Hijrah mengenai perbahasan tasawuf. Pada halaman disebut Hidayatus Salikin oleh Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani cetakan tahun 1340 Hijrah juga mengenai perbahasan tasawuf.

Pada halaman 96 juga disebut Hidayatus Salikin mengenai ilmu yang memberi manfaat. Di antara kitab bahasa Arab yang dikarang oleh ulama dunia Melayu yang dirujuk ialah Shulhul Juma'atain (hlm. 60) cetakan tahun 1312 Hijrah dan Itsbatuz Zain (hlm. 71) cetakan tahun 1315 H, kedua-duanya oleh Syeikh Ahmad Khathib Minangkabau. Juga Miraqil 'Ubudiyah (hlm. 97) cetakan tahun 1328 H, oleh Syeikh Muhammad Nawawi bin Umar al-Bantani.

3. Risalah Buat Sementara Yang Sebenarnya Kelak Ketara, diselesaikan pada hari Jumaat, 23 Jamadilawal 1354 H/26 Ogos 1935 M). Dicetak oleh Melaka Lathifiyah Press, Singapura, tanpa tarikh.

Kandungannya membicarakan perkara khilafiyah merupakan sanggahan terhadap karangan Syeikh Muhammad Ali bin Husein al-Maliki, yang dicetak di Jeddah, 18 Rabiulawal 1353 H tentang haram memukul ketuk-ketuk (beduk).

Karangan ini adalah lanjutan atau memperkukuh sebuah karya yang ditulis oleh al-Alim al-'Allamah Syeikh Abdul Muhaimin bin Abdul Aziz al-Lasami (Lasem).

4. Dalailul Khairat. Kandungannya belum diketahui, kerana judul ini diketahui melalui iklan Al-Ahmadiah Press pada halaman belakang risalah Ibu Di Dalam Rumahnya oleh Raja Haji Umar bin Raja Haji Hasan Riau, cetakan tahun 1926 M.

5. Qiblah Dalail al-Hairan fi Jawazi Hadmi Masjid as-Sulthan. Judul ini diketahui melalui karya beliau berjudul Tazkiratus Sunnatil Basyar bi Ahkami Itsna `Asyar (Rangkapan). Mengenainya disebut beberapa halaman dalam kitab tersebut di antaranya halaman 83.

Judul ini ditulis barangkali ada kaitan dengan peristiwa perombakan Masjid Sultan Singapura yang diungkapkan dalam majalah Qalam, "Apabila terbit perbahasan mengganti bangunan Masjid Sultan yang lama dengan Masjid Sultan yang ada sekarang ini, maka almarhum banyak mengambil bahagian di dalam perbahasan yang hebat dan panjang di antara ulama itu. Iaitu tentang boleh merobohkan sebuah masjid menggantikanya dengan yang baru, ertinya memutuskan amal jariah seseorang yang telah terbina di situ.''

Tulisan ini diringkaskan daripada artikel berjudul Syeikh A. Latif Tamby Dan Pembelaannya Terhadap Akidah Ahli Sunnah Wa Al-Jamaah
Tulisan Syeikh Wan Mohd Saghir dalm akhbar utusan malaysia pd 01/03/2004