Maqom Tok Sheikh Duyong di Terengganu |
PADA tarikh 13 Februari 2006 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah Kolej
Ugama Sultan Zainal Abidin
(KUSZA) Terengganu telah berlangsung Seminar
Kebangsaan Kefahaman Tasawuf Nusantara. Majlis itu dihadiri 1,500
orang. Pada keesokan harinya di dewan yang sama berlangsung pula
Peringatan 101 Tahun Kewafatan Syeikh Ahmad Al-Fathani yang diberi judul
Ulama Bermesra Sultan dan Rakyat (Syeikh Ahmad Al-Fathani dan Sultan
Zainal Abidin III).
Peringatan ini adalah atas kerjasama pihak KUSZA dan Persatuan
Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara (PENGKAJI). Saya telah diberi
kesempatan memberi ceramah di beberapa tempat di Terengganu yang diatur
oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu.
Saya dan PENGKAJI terhutang budi atas kerjasama pihak KUSZA dan
Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu. Kami mengucapkan jutaan terima
kasih. Selama seminggu di Terengganu saya berkesempatan menziarahi
beberapa makam ulama yang bersejarah di Terengganu dan mewawancara
beberapa orang.
Wawancara itu bukanlah yang pertama kali di Terengganu, tetapi adalah
lanjutan wawancara yang pernah dijalankan tahun 1976. Ulama Terengganu
tidak dapat dipisahkan dengan ulama Patani, termasuk yang diriwayatkan
ini, yang digelar orang Tok Syeikh Duyung.
Nama sebenarnya ialah Syeikh Wan Abdullah bin Muhammad Amin bin
Yaqub al-Fathani. Lahir di Cabang Tiga, Patani, tahun 1216 H/1802 M,
Allahyarham wafat pada hari Khamis, pukul 4.00 petang, 12 Jamadilakhir
1306 H/24 Februari 1889 M.
Saya terkenang kembali hasil wawancara saya di Terengganu pada tahun
1976, terutama dengan Datuk Sansura Pahlawan, tentang nama Duyung. Ia
mengingatkan saya bahawa Pulau Duyung Kecil menjadi tempat keluarga
besar ulama Patani berhijrah akibat perang dengan Siam. Di antara yang
berhijrah ialah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, ulama yang banyak
menulis kitab yang sangat terkenal itu. Yang digelar Tok Syeikh Duyung
yang lebih awal ialah Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani
yang kemudian lebih dikenali dengan panggilan Tok Syeikh Bukit Bayas.
Sheikh Mohd Saghir (kanan)bersama waris Tok Sheikh Duyong |
Syeikh Wan Abdullah bin Muhammad Amin digelar Tok Syeikh Duyung
kemungkinan kemudian daripada Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim
al-Fathani. Ketiga-tiga ulama yang saya sebutkan iaitu Syeikh Daud bin
Abdullah al-Fathani, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim Bukit Bayas dan
Syeikh Wan Abdullah bin Muhammad Amin Duyung adalah masih dalam satu
lingkungan keluarga yang dekat.
Nama ayahnya ialah Syeikh Wan Muhammad Amin al-Fathani yang digelar
dengan Tok Syeikh Qadhi al-Fathani. Beliau pula ialah anak Wan Yaqub
al-Fathani. Hanya sampai kepada Wan Yaqub saja nasab dari sebelah
ayahnya dapat dikesan. Ibu Tok Syeikh Qadhi (Syeikh Wan Muhammad Amin)
bernama Wan Salamah binti Tok Wan Deraud bin Cik Wan Derahim yang kahwin
dengan Tok Wan Nik. Ibu Tok Wan Nik ini bernama Wan Dewi binti Tok Kaya
Rakna Diraja bin Syeikh Faqih Ali al-Malabari.
Ibu Tok Syeikh Duyung (Syeikh Wan Abdullah) bernama Wan Aminah binti
Tok Wan Drahmad bin Tok Wan Derahman bin Tok Kaya Pandak. Tok Kaya
Pandak ini nama sebenarnya ialah Wan Ismail bin Nakhoda Wan Kang
daripada perkahwinan dengan puteri Laksamana Johor.
Nakhoda Wan Kang yang dimaksudkan di sini adalah nama gelar pada
Syeikh Faqih Ali al-Malabari. Ada riwayat menyebut bahawa beliau ini
adalah seorang Arab keturunan Nabi Muhammad s.a.w. yang berhijrah ke
Malabar (India) dan selanjutnya berhijrah ke dunia Melayu.
Berkahwin
Riwayat yang lain menyebut bahawa beliau berasal dari negeri Bugis.
Syeikh Faqih Ali al-Malabari atau Nik Ali atau Saiyid Ali pertama sampai
di Johor telah berkahwin dengan puteri Johor bernama Wan Tijah.
Mastautin atau tempat tinggal terakhir Syeikh Faqih Ali al-Malabari
ialah di Patani.
Keturunan beliau selain menjadi ulama seumpama Syeikh Daud bin
Abdullah al-Fathani, Tok Syeikh Bukit Bayas dan lain-lain, termasuk
juga tokoh-tokoh kerajaan seumpama Long Yunus Kelantan.
Tok Syeikh Qadhi al-Fathani (Syeikh Wan Muhammad Amin) adalah seorang
ulama yang seangkatan dan sahabat dengan Syeikh Daud bin Abdullah
al-Fathani, Syeikh Wan Mustafa bin Muhammad al-Fathani (Tok Bendang Daya
I) ketiga-tiganya adalah ulama besar. Oleh itu Wan Abdullah mendapat
pendidikan daripada Tok Syeikh Qadhi al-Fathani, iaitu ayahnya sendiri
yang ketika itu tinggal di Kampung Paya Bunga.
Pada masa yang sama Wan Abdullah bin Wan Muhammad Amin bersahabat
dengan Saiyid Muhammad Zainal Abidin (Tukku Tuan Besar) dan selanjutnya
belajar dengan Syeikh Wan Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani yang
pada ketika itu tinggal di Bukit Bayas.
Tok Syeikh Qadhi al-Fathani dan Tok Syeikh Bukit Bayas kedua-duanya
mendapat kedudukan yang tinggi pada zaman pemerintahan Sultan Omar
Terengganu, bahkan kedua-duanya termasuk guru baginda.
Selanjutnya pelajaran dilanjutkan di Mekah kepada Syeikh Daud bin
Abdullah al-Fathani. Dalam masa yang sama sekurang-kurangnya ada tiga
orang yang berasal dari Terengganu yang belajar dengan Syeikh Daud bin
Abdullah al-Fathani yang sangat terkenal itu.
Ketiga-tiga mereka kemudian menjadi ulama besar yang terkenal. Mereka
ialah Wan Abdullah bin Wan Muhammad Amin, Saiyid Muhammad Zainal
Abidin dan Syeikh Mahmud bin Muhammad Yusuf bin Abdul Qadir Terengganu.
Ulama nama yang terakhir ini diriwayatkan berasal dari Kemaman,
Terengganu. Beliau merupakan tokoh besar yang menulis salinan
karya-karya ulama dunia Melayu. Jumlah manuskrip salinannya seimbang
dengan salinan Tok Kelaba yang datang kemudian daripada beliau. Hingga
kini belum dijumpai ulama dunia Melayu yang menyalin manuskrip Melayu
lebih banyak daripada kedua-duanya.
Setelah pulang dari Mekah pada tahun 1263 H/1846 M, Wan Abdullah bin
Wan Muhammad Amin mengambil tempat kedudukan dan pusat aktivitinya di
Pulau Duyung Kecil Terengganu. Selain mengajar di Pulau Duyung Kecil,
beliau juga mengajar di beberapa tempat di antaranya Paloh, Losong dan
Bukit Bayas.
Wan Abdullah bin Wan Muhammad Amin (Tok Syeikh Duyung) seperti
ulama-ulama Patani lain tetap mengajar dua jenis kitab, iaitu yang
berbahasa Melayu dan berbahasa Arab.
Kitab-kitab bahasa Melayu yang
diajarkan diutamakan karangan gurunya, Syeikh Daud bin Abdullah
al-Fathani. Kitab-kitab bahasa Arab yang diajarkan adalah karangan
ulama-ulama yang terkenal dalam pelbagai disiplin ilmu. Yang paling
diutamakan dalam tasawuf ialah Ihya Ulumid Din oleh Imam al-Ghazali
Murid Tok Syeikh Duyung sangat ramai, termasuk yang datang dari luar
Terengganu. Ada yang datang dari Patani, seluruh Semenanjung Tanah
Melayu, Sumatera, Jawa, Brunei, Kalimantan dan lain-lain.
Di antara murid Tok Syeikh Duyung yang menjadi ulama besar lagi
terkenal ialah Syeikh Abdur Rahman Gudang al-Fathani, Tukku Paloh dan
Haji Wan Muhammad (anak beliau sendiri) yang pernah menjadi Mufti
Terengganu setelah Tok Syeikh Duyung wafat. Di kalangan Sultan
Terengganu yang pernah menjadi murid Tok Syeikh Duyung ialah Sultan Omar
dan Sultan Zainal Abidin III.
Baginda Sultan Omar telah melantik Syeikh Muhammad Amin al-Fathani
(Tok Syeikh Qadhi) menjadi seorang pembesar negeri. Pada masa
pemerintahan Sultan Terengganu itu anak Tok Syeikh Qadhi yang bernama
Haji Wan Abdullah (Tok Syeikh Duyung) telah dilantik menjadi kadi,
sekali gus menjadi penasihat kepada Baginda Sultan Omar.
Pada waktu yang sama gurunya Tok Syeikh Bukit Bayas menjadi mufti.
Selanjutnya setelah gurunya itu wafat, Tok Syeikh Duyung dilantik
menjadi Mufti Terengganu mulai tahun 1269 H/1853 M hingga beliau wafat
pada tahun 1306 H/1889 M.
Sewaktu berlaku Pemberontakan Besut pada 1874, Sultan Omar telah
menugaskan Tok Syeikh Duyung ke Kelantan dengan tujuan supaya Sultan
Kelantan menghentikan bantuan kepada pemberontakan itu.
Tok Syeikh Duyung bersama-sama anak beliau Haji Wan Muhammad Wan
Abdul Qadir dan angkatan kebesaran yang membawa perutusan berangkat ke
Kelantan dengan menaiki gajah.
Menurut riwayat, perundingan antara Tok
Syeikh Duyung dengan Sultan Kelantan mendatangkan hasil yang memuaskan. Daripada riwayat itu, dapat disimpulkan bagaimana bijaknya seorang
ulama menangani sesuatu isu yang besar sehingga seseorang sultan dapat
menerima buah fikirannya seterusnya peperangan terhenti dan perdamaian
diperoleh.
Riwayat itu pula adalah bukti iaitu Sultan Terengganu mahupun
Sultan Kelantan ketika itu terpaksa akur dan patuh atas besarnya
kewibawaan seorang ulama yang bergelar Tok Syeikh Duyung. Riwayat ini
pula adalah sebagai bukti karamah Tok Syeikh Duyung. Menurut cerita,
sesiapa sahaja yang berjumpa dengan beliau, sama ada disengaja ataupun
tidak, akan terpahat pada hati memandang beliau sebagai seorang yang
sangat hebat.
Tok Syeikh Duyung selain berwibawa dan dihormati oleh Sultan Omar
(Sultan Terengganu) dan Sultan Kelantan, beliau sangat berkesan pada
hati seorang muridnya yang menjadi Sultan Terengganu berikutnya, iaitu
Sultan Zainal Abidin III. Tok Syeikh Duyung pula sangat kasih kepada
muridnya itu sama ada sebelum menjadi sultan mahupun sesudahnya.
Tambatan kasih sayang daripada guru kepada murid atau sebaliknya
daripada murid kepada guru dalam istilah tasawuf dinamakan dengan
rabithah. Rabithah yang dimaksudkan telah berlaku antara Nabi Muhammad
s.a.w. terhadap para sahabatnya dan sebaliknya.
Sembahyang hajat
Maksud perkataan Saidina Abu Bakar as-Siddiq terhadap Nabi Muhammad
s.a.w.: Aku kasih dalam dunia tiga perkara, duduk bersama-sama Nabi
Muhammad s.a.w., membelanjakan hartaku untuk Nabi
Muhammad s.a.w. dan mengucapkan selawat atas Nabi Muhammad s.a.w.
Oleh itu sewaktu pertabalan Sultan Zainal Abidin III menjadi Sultan
Terengganu pada 18 Disember 1881, Tok Syeikh Duyung telah melakukan
sembahyang hajat dengan doa yang bersungguh-sungguh untuk keselamatan
Sultan Zainal Abidin III, semua rakyat dan kerajaan yang di bawah
pemerintahan baginda.
Sesuatu pemerintahan Islam akan selamat apabila penguasa tertingginya
dapat bekerjasama dengan ulama. Ulama yang membawa selamat dan berkat
ialah ulama yang dapat memberi nasihat kepada pemerintah, berani
berkata benar walaupun terhadap penguasa yang zalim.
Sesuatu pemerintahan Islam dan rakyat akan binasa apabila para
ulamanya tidak berani memberi nasihat yang benar kepada pemerintah.
Sesuatu pemerintahan Islam akan lebih binasa apabila pemerintahnya
memusuhi ulama yang berani berkata benar seperti yang diperintahkan oleh
Allah dan Rasul-Nya.
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan