Kebanyakan artikel disini adalah karya Al-Marhoum Tuan Guru Syeikh Wan Mohd Shaghir Abdullah R.A cucunda kepada Tuan Guru Syeikh Ahmad Al-Fathanie, juga dari akhbar2 nasional yang lain dan laman2 web yang bertebaran di alam maya juga disaduri macam2 hikayat,riwayat,kaifiat dan khasiat keemasan saya himpun dan susun sebagai koleksi peribadi dan bagi tatapan dan santapan rohani buat teman-teman yang sudi...himpunan artikel2 terbaru saya sekarang lebih muyul kepada informasi kesihatan ala muslim-jawi kearaban..... dan saya mula berjinak2 dengan jualan secara online produk kesihatan muslim, khasnya peralatan bekam (Set cawan, jarum dan pen bekam) dan khidmat pembekaman, Sudi-sudilah ziarah dan sudikan tinggal komentar anda. TQ

Jumaat

Dan daripada air kami jadikan segala sesuatu yang hidup....



Kita perlukan 30ml X berat(kg) air puteh setiap hari
Al-Quran sejak lebih 1400 tahun lepas dengan jelas menyatakan bahawa setiap kehidupan dijadikan daripada air. Kenyataan Al-Quran tidak bercanggah dengan tahap keilmuan masyarakat ketika ia diturunkan dan tidak juga bertentangan dengan kefahaman ilmu-ilmu moden yang kompleks tentang bagaimana air boleh menjadi sumber kehidupan.

Di dalam surah Al-Anbiya`, ayat ke-30 Al-Quran menerangkan secara umum tentang segala sesuatu yang hidup dijadikan daripada air:
وَجَعَلْنَا مِنَ الْمَاء كُلَّ شَيْءٍ حَيٍّ
Dan daripada air kami jadikan segala sesuatu yang hidup

Manakala di dalam surah An-Nur, ayat ke-45 Al-Quran secara lebih spesifik menjelaskan bahawa kesemua haiwan yang melata di bumi diciptakan daripada air.

وَاللَّهُ خَلَقَ كُلَّ دَابَّةٍ مِن مَّاء
Dan Allah menciptakan kesemua jenis haiwan daripada air

Kedua-dua ayat ini sudah cukup membuktikan kemukjizatan Al-Quran tentang penobatan air sebagai sumber penciptaan kehidupan walaupun sains masih terawang-awang mencari bagaimanakah air boleh menjadi asal kepada kehidupan

Kepentingan air kepada kehidupan.

Tubuh badan manusia terdiri daripada 75 peratus air manakala selebihnya 25 peratus adalah bahan pepejal.
Begitu juga dengan otak kita, mengandungi sebanyak 75 peratus air yang mana penghidratan sederhana boleh menyebabkan sakit kepala dan pening.

Kebanyakan daripada kita tidak menyedari akan peri pentingnya untuk mengekalkan kelembapan badan terutama sekali jika mengamalkan gaya hidup aktif. Keperluan badan terhadap cecair (air) meningkat di dalam persekitaran panas dan lembap seperti halnya di Malaysia di mana, badan mengeluarkan peluh dengan lebih banyak sekali gus meningkatkan kadar kehilangan air.
Ambil sahaja contoh mudah, tumbuh- tumbuhan yang anda tanam di halaman rumah. Anda menyiram tumbuh-tumbuhan tersebut dan membajanya dengan baik sekali. Apa yang akan terjadi sekiranya anda tidak menyiraminya selama seminggu? Ia akan menjadi layu, bukan?

Itulah juga yang akan terjadi kepada tubuh badan kita jika tidak dihidrasi (diberikan air atau tidak mendapat kelembapan) sebagaimana yang sepatutnya.

Kadang-kala, dalam iklim yang lebih sejuk mahu pun persekitaran berhawa dingin, semakin banyak tenaga yang diperlukan untuk mengekalkan suhu badan, semakin bertambahlah cecair yang diperlukan.
Justeru, adalah sangat penting bagi kita untuk minum, tidak kiralah sama ada ia air masak, jus, minuman isotonik, susu mahu pun memakan buah-buahan serta sayur- sayuran yang secukupnya.

Peranan air di dalam badan kita :-

  • Air membantu hampir kebanyakan anggota badan manusia untuk berfungsi secara berkesan. Kita perlu memahami peranannya di dalam badan.
  • Otak kita adalah 75 peratus air manakala darah, tulang dan otot-otot masing- masing mewakili sebanyak 92, 22 dan 75 peratus air
  • Air penting untuk pernafasan dan mengawal atur suhu badan
  • Air juga penting bagi melindungi dan ‘melapik’ organ-organ utama termasuklah sendi tulang
  • Di samping itu, air membawa nutrien (zat makanan) dan oksigen ke semua sel dalam badan serta membantu tubuh menyerap nutrien
  • Air menukar makanan kepada tenaga dan menyingkirkan bahan-bahan sisa yang tidak dikehendaki.
Tanda-tanda penyahhidratan

Kesan penyahhidaratan boleh muncul dalam pelbagai bentuk dari dahaga dan lemah kepada kegagalan fungsi buah pinggang. Dalam kes-kes yang lebih ekstrem, penyahhidratan boleh membawa kepada koma dan akhirnya mengundang maut.

Berikut adalah tanda-tanda penyahhidaratan yang berbeza-beza di antara setiap individu.

Penyahhidratan yang tidak begitu kuat
  • Rasa dahaga
  • Sakit kepala kesan daripada tekanan atau stres mental dan/atau fizikal yang boleh berpunca daripada tidak mendapat bekalan air mencukupi
  • Mengalami keadaan letih lesu. Ini terjadi kerana jantung terpaksa bekerja keras untuk membekalkan kulit dengan oksigen dan nutrien disebabkan oleh ketidakseimbangan cecair
  • Mulut dan tekak terasa kering
Penyahhidratan sederhana
  • Rasa keliru, terjadi disebabkan oleh kekurangan cecair di dalam sistem otak yang boleh mempengaruhi cara seseorang membuat keputusan. Ini kerana, otak mengalami penghidratan yang sangat lemah yang mendorong kepada ingatan jangka pendek yang teruk disertai sakit kepala serius
  • Degupan jantung menjadi kencang, pening kepala, mengakibatkan tekanan darah rendah yang berpunca daripada penurunan darah
  • Rasa lemah dan tidak bertenaga disebabkan oleh perubahan dalam keseimbangan cecair di mana jumlah darah boleh menurun sekali gus menjejaskan prestasi dan rutin seharian kita
  • Air kencing menjadi sangat pekat tetapi jumlah pengeluarannya merosot
Penyahhidratan teruk
  • Pengecutan otot-otot berlaku disebabkan oleh timbunan jumlah toksin atau bahan racun dan bakteria yang terperangkap di dalam kelenjar limfa. Akibatnya, buah pinggang tidak berupaya mengusir keluar toksin-toksin itu
  • Lidah bengkak
  • Peredaran darah yang lemah disebabkan oleh kuantiti darah yang semakin berkurangan
  • Rasa lemah, tidak bermaya tambah ketara
  • Buah pinggang tidak dapat berfungsi kerana tidak mendapat cecair yang mencukupi untuk menyingkirkan toksin.
Untuk hidrasi sewajarnya, adalah disarankan agar anda minum pelbagai jenis cecair termasuk air, susu, minuman isotonik, jus buah-buahan, sup, minuman dengan rasa buah-buahan atau mengambil buah-buahan serta sayur-sayuran segar dalam jumlah cecair dibenarkan, mengikut saranan.

Minuman isotonik memang mempunyai peranannya yang tersendiri di dalam hidrasi terutamanya bagi mereka yang mengamalkan gaya hidup aktif. Minuman isotonik yang mengandungi karbohidrat membantu menggantikan semula tenaga yang hilang manakala natrium bukan hanya menambahkan keenakan rasa cecair tetapi juga meningkatkan sensasi dahaga. Ia turut membantu memperbetulkan kehilangan garam akibat perpeluhan berpanjangan.

Sementara itu, kalium, klorida dan magnesium tidak sekadar menggantikan semula elektrolit-elektrolit yang telah hilang di dalam peluh tetapi turut membantu pembendungan cecair serta menggalakkan penghidratan semula.

Mesejnya

Matlamat utamanya adalah untuk kekal berada dalam keadaan terhidrasi yang secukupnya kerana dengan cara itu, suhu badan kita mampu dikawal atur.

Dalam masa yang sama, bahan-bahan buangan dapat disingkirkan dari badan manakala sendi, organ serta tisu badan kita pula mendapat perlindungannya dalam usaha mengekalkan gaya hidup sihat.

Disadur dari
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan: