Kebanyakan artikel disini adalah karya Al-Marhoum Tuan Guru Syeikh Wan Mohd Shaghir Abdullah R.A cucunda kepada Tuan Guru Syeikh Ahmad Al-Fathanie, juga dari akhbar2 nasional yang lain dan laman2 web yang bertebaran di alam maya juga disaduri macam2 hikayat,riwayat,kaifiat dan khasiat keemasan saya himpun dan susun sebagai koleksi peribadi dan bagi tatapan dan santapan rohani buat teman-teman yang sudi...himpunan artikel2 terbaru saya sekarang lebih muyul kepada informasi kesihatan ala muslim-jawi kearaban..... dan saya mula berjinak2 dengan jualan secara online produk kesihatan muslim, khasnya peralatan bekam (Set cawan, jarum dan pen bekam) dan khidmat pembekaman, Sudi-sudilah ziarah dan sudikan tinggal komentar anda. TQ

Sabtu

SYEIKH USMAN ULAMA PALING FAMOUS DI SARAWAK

Sheikh Usman as-Sarawaqi-Guru Masjidil Haram Mekah

Nama lengkapnya ialah Syeikh Usman Bin Abdul Wahhab bin Ahmad Bin Abdullah Bin Petinggi Amir Bin Datuk Akbar Bin Datuk Qaim Bin Petinggi Betung Bin Bandar Tanduk Bin Petinggi Kuntum Bin Patih Malang Bin Patih Mengadi Bin Merpati Jipang. Beliau lahir di Kampung Sinjan, Sarawak pada tanggal 10 Muharram 1281 Hijriyah/15 jun 1864 Masihi. Asal usulnya adalah golongan kaum bangsawan di Jawa.

Pendidikan di Mekah dan Madinah.
Sheikh Usman mulai belajar di Mekah pada tahun 1299 Hijriah/1881 Masihi. Para gurunya ketika belajar di Mekah sangat ramai, diantaranya ialah : Sheikh Muhammad Bin Sulaiman Hasbullah Al-Makki, Syeikh Mustofa bin Muhammad al-'Afifi, Sheikh Abdul Karim Daghistani, Sheikh Umar Ba Junaid dan ramai lagi.

Guru-guru beliau di Madinah pula ialah: Sayyid Falih bin Muhammad az-Zhahiri, Sayyid Muhammad Ali bin Zhahir al-Witri dan Saiyid Muhammad Amin bin Ahmad Ridhwan.

Guru-gurunya di Mekah al-Mukarromah yang merupakan ulama-ulama yang terkenal yang berasal dari dunia melayu pula ialah: Sheikh Abdul Karim al-Bantani (meninggal dunia pada 18 Safar 1315 Hijrah/19 Julai 1897 Masihi) Sheikh Muhammad Zainuddin al-Badawi as-Sumbawi(meninggal duni pada bulan Zulqoedah 1312 Hijrah/1895 Masihi) Sheikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga, Sheikh Ahmad al-Fathani dan ramai lagi.

Di dalam Nafahatul Ridhwan karya Sheikh Muhammad Zainuddin bin Sheikh Uthman Sarawak, menyebut beberapa orang ulama nusantara sebagai guru Usman, katanya. "Dan setengah daripada mereka itu, daripada orang jawi, orang yang telah naik ia pada segala ilmu agama, dan melebih atas lainnya daripada guru-guru yang sempurna mereka itu, al-Marhoum asy-Syaikh Zainuddin al-Badawi orang Sumbawa.

Selanjutnya, Usman adalah anak murid Syeikh Ahmad Lingga yang disebut oleh Syeikh Muhammad Zainuddin bin Syeikh Usman Sarawak dalam Nafahatur Ridhwan,katanya. "Dan setengah daripada mereka itu, asy-Syeikh yang alim, yang sampai kepada kepandaiannya, ialah seperti "Qus" pada masanya tentang bahasa Melayu, iaitu seorang cerdik pada orang-orang Arab, yang memegang tali lagam segala ilmu adab;(se)orang adalah ia atas me(ng)khidmat akan Tuhannya terlampau cermat dan jaga,iaitu asy-Syeikh Ahmad orang Lingga..."

Syeikh Muhammad Zainuddin juga menyebut tentang Syeikh Abdul Karim al-Bantani, katanya. "Dan setengah daripada mereka itu, gurunya, pada ilmu tarikat dan ilmu hakikat, ialah yang mempunyai pangkat yang tinggi, Al-Marhoum asy-Syeikh Abdul Karim orang Bantan...." Katanya lagi, "Anak murid orang yang mengenal ia akan Tuhannya lagi yang Wali, asy-Syeikh Ahmad Khatib orang Sambas..."

Tiga ulama berasal dari Nusantara yang disebut perlu dihuraikan, bahawa Syeikh Muhammad Zainuddin bin Muhammad Badawi as-Sumbawi, menghasilkan penulisan bahasa Arab dan Melayu. Dalam bahasa Arab ialah Tuhfatul Qudsiyah. Penulisan dalam bahasa Melayu pula masih diajar dikebanyakan tempat di Nusantara, iaitu Sirajul Huda tentang akidah dan Minhajus Salam mengenai fikah Mazhab Syafie.

Ulama Sumbawa ini mempelajari Sahih Hadith Bukhari daripada Syeikh Abdul Karim al-Bantani, sedang Sahih Hadis Muslim dipelajarinya daripada Syeikh Nawawi al-Bantani. Usman dikatakan mempelajari kedua-dua kitab hadith sahih yang terkenal itu daripada ulama yang berasal dari Sumbawa itu.

Walau bagaimanapun Sahih Bukhari secara lebih mendalam dipelajarinya daripada Syeikh Ahmad Lingga. Seorang ulama yang terkenal dari Johor yang bernama Haji Abu Bakar Muar, yang umurnya lebih muda sedikit daripada Usman, juga mendalami Sahih Bukhari daripada ulama yang berasal dari Lingga itu.

Syeikh Muhammad Zainuddin al-Badawi as-Sumbawi juga adalah seorang Khalifah Tarikat Qodiriyyah. Beliau menerimanya daripada Sayyid Muhammad Mukrim Mufti Hammad, Benua Syam. Syeikh Usman Sarawak dikatakan adalah murid Syeikh Abdul Karim al-Bantani dalam bidang khusus ilmu thariqat dan ilmu hakikat. Hingga artikel ini ditulis, belum terdapat maklumat bahawa ulama Sarawak itu menerima tarikat daripada Syeikh Muhammad Zainuddin as-Sumbawi itu.

Selain itu Syeikh Usman juga menerima talqin atau bai'ah ataupun tawajjuh Tarikat Qodiriyyah-Naqsyabandiyah daripada dua orang mursyidnya, Sheikh Ahmad Lingga dan Sheikh Haji Abdul Lathif bin Haji Abdul Qodir as-Sarawaqi. Kedua-duanya menerima Thariqat Qodiriyah-Naqsyabandiyah daripada Sheikh Ahmad Khatib Sambas. Bererti Sheikh Usman adalah cucu murid kepada Sheikh Ahmad Khathib Sambas.

SAHABAT-SAHABATNYA.

Di bawah ini dicatatkan para alim ulama nusantara yang lebih muda daripada Sheikh Uthman. Mereka ialah: Imam Haji Wan Abdur Rahman bin Wan Abu Bakar Bunguran yang meninggal dunia di Pulau Midai pada hari isnain,22 Rejab 1344 Hijrah/18 February 1926 Masihi, Imam Sheikh Haji Abdur Rahman bin Muhammad Nur Ambon, meninggal dunia di Pulau Midai pada hari khamis 24 Jamadilakhir 1355/ Hijrah/10 September 1936 Masihi, Abdur Rahman Shiddiq al-Banjari,lahir pada 1284 Hijrah/1867 Masihi dan meninggal dunia pada 1358 Hijrah/18 September 1939 Masihi, Syeikh Muhammad Mahfuz bin Abdullah at-Tarmasi, lahir pada tahun 1285 Hijrah/1868 Masihi, meninggal dunia 1385 Hijrah/1965 Masihi, Syeikh Tahir Jalaluddin al-Minangkabaw, lahir pada 4 Ramadhan 1286 Hijrah/4 December 1869 Masihi dan meninggal dunia 22 Rabiulawwal Hijrah/26 October 1956 Masihi, Kiyai Haji Hashim Asy'ari lahir 24 Zulkaedah 1287 Hijrah/15 February 1871 Masihi dan meninggal dunia 1366 Hijrah/25 Julai 1947 Masihi, Waliyullah kelantan Syeikh Muhammad Yusuf bin Ahmad atau lebih dikenali Tok Kenali lahir 1287 Hijrah/1871 Masihi dan wafat pada hari Ahad 2 Sya'aban 1352 Hijrah/19 November 1933 Masihi dan ramai lagi.

Ulama-ulama sahabat Syeikh Usman tersebut perlu diberi keterangan, bahawa ada dua orang yang kediamannya berdekatan dengan Sarawak. Mereka ialah Imam Haji Wan Abdur Rahman bin Wan Abu Bakar Bunguran dan Imam Syeikh Haji Abdur Rahman bin Muhammad Nur Ambon. Hubungan Imam Haji Wan Abdur Rahman Bunguran dengan Syeikh Usman ditinjau dari segi ikwanut thariqoh, posisinya lebih di atas kerana beliau sempat menerima talqin Tharikat Qodiriyah-Naqsyabandiyah langsung daripada Syeikh Ahmad Khathib Sambas. Sedangkan Syeikh Usman menerima talkin Thariqat Qodiriyah-Naqsyabandiyah daripada tiga orang murid Syeikh Ahmad Khathib Sambas.

Hubungan Syeikh Haji Abdur Rahman Ambon dengan Syeikh Usman ditinjau dari segi ikhwanut thariqah adalah saudara sepupu. Ulama yang berasal dari Ambon tersebut menerima talqin Thariqat Qodiriyah-Naqsyabandiyah melalui Syeikh Muhammad bin Ismail bin Abdur Rahim al-Bali. Beliau adalah murid Syeikh Ahmad Khathib Sambas. Imam Haji Wan Abdur Rahman Bunguran dan Syeikh Abdur Rahman Ambon kedua-duanya meninggal dunia di Pulau Midai, Kabupaten Natuna, Syeikh Usman pula pernah sampai ke Pulau Midai, pernah memiliki sebidang dusun di sana.

MURID-MURID

Oleh sebab Syeikh Usman bin Abdul Wahhad Sarawak mengajar di Masjidil Haram, Mekah, maka jumlah muridnya sangat ramai. Mereka berasal dari Nusantara yang kemudiannya menjadi ulama atau pun tokoh terkenal di antaranya ialah: Dr.Abdul Karim Amrullah (ayah kepada Prof.Dr.Hamka), Datuk Petinggi Abang Haji Abdullah Sarawak, Datuk Imam Haji Mursyidi bin Nuruddin Sarawak (lahir 1294 Hijrah/1877 Masihi wafat 1357 Hijrah/1939 Masihi), Syeikh Muhammad Zainuddin bin Syeikh Usman Sarawak dan ramai lagi.

Beberapa orang ulama sahabat Syeikh Usman Sarawak yang agak muda umurnya, pada satu ketika sama-sama belajar dengan ulama yang lebih tua, tetapi pada waktu yang lain beliau adalah sebagai ketua thala'ahnya. Misalnya Haji Abdullah Fahim, beliau ini lebih muda daripada Syeikh Usman Sarawak. Kedua-duanya pada mulanya bersahabat tetapi selanjutnya dalam beberapa bidang ilmu, Haji Abdullah Fahim belajar pula kepada Syeikh Usman Sarawak.

Tokoh Sarawak pula, Datuk Imam Haji Mursyidi bin Nuruddin tersebut adalah pengasa Madrasah Mursyidiyah yang kemudian ditukar namanya kepada Madrasah Al-Islamiah. Madrasah tersebut ramai melahirkan ulama dan cendiakawan Sarawak, diantaranya ialah: Datuk Haji Abdul Kadir Hassan, yang ketika hidupnya pernah menjadi Mufti Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Haji Mohd. Mortadza Haji Daud (bekas Mufti Kerajaan Sarawak) dan ramai lagi.

KETURUNAN

Syeikh Usman Sarawak pernah berkahwin sebanyak sembilan kali. Sewaktu beliau meninggal dunia isterinya yang hidup bersamanya seramai dua orang. Jumlah anak-anaknya ialah 14 orang yang diperoleh daripada tiga orang isteri. Ketika beliau meninggal dunia, anaknya yang masih hidup hanya 7 orang, iaitu: 1. Syeikh Muhammad Zainuddin - penyusun Nafahatur Ridhwan, meninggal dunia di Mekkah. 2. Syeikh Muhammad Syazili meninggal dunia di Singapore. 3. Haji Abdul Wahhab, meninggal dunia di Sungkai Perak. 4. Haji Abdul Karim, meninggal dunia di Sungkai Perak. 5. Muhammad Nawawi. 6. Syeikh Muhammad Syarqawi. 7. Hajjah Maimunah, meninggal dunia di Kuching, Sarawak.

Cucunya yang saya (al-Marhoum Syeikh Wan Mohd.Saghir) kenal ialah Haji Attaellah Zainuddin A.M.N. Beliau telah menghadiahkan saya Nafahatur Ridhwan, iaitu sebuah manaqib khusus mengenai Syeikh Syeikh Usman Sarawak yang disusun oleh Syeikh Muhammad Zainuddin bin Syeikh Usman Sarawak. Bagi saya manaqib ini adalah sangat penting kerana ia merupakan satu-satunya bahan bertulis asli yang paling lengkap mengenai ulama besar Melayu Syeikh Usman Sarawak.

KSIMPULAN

Saya(al-Marhoum Syeikh Wan Mohd.Saghir) berkesimpulan bahawa Syeikh Usman Sarawak adalah ulama Sarawak yang paling terkenal jika dibandingkan dengan semua ulama sarawak yang lainnya. Hingga sekarang belum didapati ulama yang Sarawak yang mencapai kemasyuran seperti beliau.

Sumber- disalin dari akhbar utusan malaysia bicara agama tulisan Sheik Wan Mohd Saghir Abdullah r.a

Sila baca Al-Fatihah hadiahkan kepada Tuan Guru Syeikh Usman Sarawaq
__________________________________________________
Ya Allah yang Maha Pengasih lagi Penyayang, ku bermohon dengan limpah kurniaMu dan berkat Syeikh Usman ini ampunilah kami Umat Sidna Muhammad...kurniakanlah kebijaksanaan kepadaku dalam menuntut ilmu, lapangkanlah dadaku dan bukakanlah rahsia-rahsia yang dikau tarukkan di dalam hati-hati kekasihMu seumpama dikau kurniakan kepada Syeikh Usman ini Ya Rabb, cepatkanlah jodohku Ya Tuhan dengan berkat Syeikh Usman dan berkatilah rumahtanggaku seumpama kurniaMu kepada Syeikh Usman, Ya Rabb...aku ini miskin tidak berharta,murahkanlah rezekiku Ya Rabb. peliharalah aku dalam kesenangan dan kesusahan dunia akhirat. Ya Allah...dikau Maha kaya dan maha mendengar...makbulkanlah doaku Ya Rabb..amin.

Tiada ulasan: